Minggu, 06 Desember 2009

Hadits 1 - 850

TARJAMAH HADITS BUKHORI-MUSLIM

Kitab/Bab :
1. Pendahuluan/1
2. Iman/5
3. Bersuci/131
4. Haid/163
5. Sembahyang/209
6. Masjid dan tempat-tempat shalat/284
7. Sembahyang orang musafir dan mengqasarkannya/379
8. Jumaat/567
9. Sembahyang dua hari raya/486
10. Sembahyang Istisqa'/494
11. Gerhana/499
12. Jenazah/507
13. Zakat/534
14. Puasa/606
15. Iktikaf/667
16. Haji/671
17. Nikah/809
18. Persususan/835
19. Cerai/851
20. Li'an/865
21. Memerdekakan Hamba/870
22. Jual Beli/875
23. Musaqat/903
24. Faraid/943
25. Pemberian/948
26. Wasiat/955
27. Nazar/962
28. Al-Aiman (Sumpah)/967
29. Qasamah, Pencerobohan, Qisas, dan Diat/980
30. Hudud/992
31. Aqdiah (Keputusan Pengadilan)/1008
32. Luqatah/1017
33. Jihad dan Strateginya/1022
34. Imarah (Kepemimpinan)/1079
35. Binatang buruamn, Sembelihan/1135
36. Korban/1156
37. Minuman/1168
38. Pakaian dan Perhiasan/1211
39. Adab/1251
40. Salam/1267
41. Ucapan-ucapan yang beradab/1318
42. Syair/1322
43. Mimpi/1324
44. Kelebihan/1333
45. Kelebihan para Sahabat/1390
46. Kebajikan, Hubungan Kekeluargaan dan Etika/1502
47. Takdir/1545
48. Ilmu/1554
49. Dzikir, Taubat, dan Istgfar/1562
50. Taubat/1594
51. Sifat Orang Munafik dan Hukum mereka/1609
52. Suasana Hari kiamat, Surga dan Neraka/1616
53. Surga, Kenikmatan dan Penghuninya/1641
54. Berbagai Fitnah dan tanda-tanda Hari Kiamat/1671
55. Sifat Zuhud dan Lemah Lembut/1708
56. Tafsir/1731



PENDAHULUAN
Ancaman Mendustakan Rosululloh saw.
1 Diriwayatkan dari Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu coba mendustakan aku kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan ke dalam api Neraka.
2 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya aku dilarang meriwayatkan Hadits kepadamu terlalu banyak kerana Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang sengaja mendustakan aku, maka bersedialah untuk menerima azab api Neraka.
3 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang sengaja mendustakan aku, maka bersedialah untuk menerima azab api Neraka.
4 Diriwayatkan dari al-Mughirah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya pendustaan terhadapku adalah tidak sama dengan pendustaan yang dilakukan terhadap seseorang kerana orang yang sengaja mendustakanku akan disediakan baginya azab dari api Neraka.

BAB. IMAN
5 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya yaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan denganNya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan. Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam? Baginda bersabda: Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukanNya dengan perkara lain, mendirikan sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, sekiranya engkau tidak melihatNya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bilakah Hari Kiamat akan berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan majikannya maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya pengembala kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari yaitu samada baik atau jahat dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ. Rasulullah s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati lelaki tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah Jibril a.s. Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka.
6 Diriwayatkan dari Thalhah bin Ubaidillah r.a katanya: Seorang penduduk Najd telah datang mengadap Rasulullah s.a.w dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah s.a.w dia terus bertanya mengenai Islam. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam. Lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepada ku? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela yaitu sembahyang sunat. Seterusnya kamu hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan. Lalu lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah puasa lain yang diwajibkan kepada ku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela yaitu puasa sunat. Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya: Keluarkanlah zakat. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Adakah terdapat zakat lain yang diwajibkan kepadaku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin mengeluarkannya secara sukarela yaitu sedekah. Kemudian lelaki itu beredar sambil berkata: Demi Allah, aku tidak akan menambah dan menguranginya. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia amat beruntung sekiranya membenarkan yaitu menepati apa yang telah diucapkannya.
7 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Kami dilarang bertanya sesuatu kepada Rasulullah s.a.w. Maka kami merasa amat bertuah apabila seorang kampung yang cukup bijak datang mengadap Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepada baginda di mana kami dapat mendengar perbualannya. Kemudian datang pula seorang lelaki dari daerah pendalaman lalu bertanya baginda: Wahai Muhammad! Utusanmu telah datang kepada kami dan menyatakan kepada kami bahawa engkau telah diutuskan oleh Allah. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Sekiranya benar, siapakah yang menciptakan lagit? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Lelaki tersebut bertanya lagi: Siapakah yang menciptakan bumi? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Siapakah yang menegakkan gunung-ganang dan menjadikannya sebagaimana sekarang? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Lelaki tersebut terus bertanya: Demi Pencipta langit dan bumi serta menegakkan gunung-ganang, adakah Allah yang telah mengutuskanmu? Rasulullah s.a.w. menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki itu bertanya lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mendirikan sembahyang sebanyak lima waktu sehari semalam. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut bertanya: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengeluarkan zakat dari harta kami. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu juga mendakwa bahawa kami diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan setiap tahun. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengerjakan Haji di Baitullah, sekiranya berkemampuan. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Kemudian lelaki tersebut beredar sambil berkata: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak akan menambah atau mengurangi apa yang telah engkau jelaskan. Setelah mendengar kata-kata lelaki tersebut, baginda pun bersabda: Sekiranya dia membenarkan sebagaimana yang diucapkannya nescaya dia akan masuk Surga.
8 Hadits Abu Ayub al-Ansari r.a: Seorang lelaki kampung yang dalam keadaan musafir telah mengadap Rasulullah s.a.w, lalu dia memegang tali unta baginda. Kemudian lelaki tersebut berkata: Wahai Muhammad! Ceritakanlah kepadaku perkara yang boleh mendekatkanku kepada Surga dan menjauhkanku dari Neraka. Rasulullah s.a.w tidak segera menjawab, sebaliknya baginda memandang ke arah para Sahabat sambil bersabda: Sesungguhnya dia adalah orang yang telah mendapat petunjuk. Kemudian baginda bertanya kepada lelaki tersebut: Apakah perkara yang engkau tanyakan tadi? Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat dan pulihkanlah hubungan kekeluargaan. Sekarang lepaskanlah unta ini.
10 Hadits Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Islam ditegakkan di atas lima perkara yaitu mengesakan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan Haji.
11 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rombongan Abdul Qais telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Kami berasal dari perkampungan Rabi'ah. Hubungan kami dan engkau terhalang oleh orang-orang kafir Bani Mudhar. Oleh itu kami tidak dapat datang menemuimu kecuali pada bulan Haram yaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Oleh yang demikian, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang mampu kami lakukan dan kami sampaikan kepada orang lain. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memerintahkan kamu empat perkara dan melarang kamu empat perkara. Yaitu beriman kepada Allah. Kemudian baginda menjelaskannya kepada mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Mengucap Dua Kalimah Syahadat yaitu: mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengeluarkan satu perlima dari harta rampasan perang. Manakala aku melarang kamu agar tidak membuat arak di dalam bekas yang diperbuat dari labu, bekas yang diperbuat dari tanah, bekas yang diperbuat secara melubangkan batang pokok atau bekas yang dilumur dengan tar.
12 Diriwayatkan dari Muaz r.a katanya: Aku diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Engkau akan mendapati golongan Ahli Kitab, oleh itu dakwahlah mereka supaya mengucap Dua Kalimah Syahadat. Jika mereka menerima Dua Kalimah Syahadat tersebut, ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sekiranya mereka tetap mentaati perintah tersebut, ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka agar mengeluarkan zakat. Jika mereka tetap mentaatinya, beritahulah mereka supaya berhati-hati terhadap harta mereka dan takutlah doa orang yang teraniaya kerana doa mereka adalah mustajab.
13 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Saidina Abu Bakar r.a terus memegang teraju pemerintahan sebagaimana yang diamanahkan oleh baginda s.a.w. Keadaan ini menyebabkan beberapa kelompok masyarakat Arab bertukar kembali menjadi kafir. Saidina Umar r.a bertanya Saidina Abu Bakar: Bagaimana kamu akan memerangi manusia sedangkan Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya bebas dari aku kecuali apa yang dibenarkan oleh syariat dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya. Abu Bakar menjawab: Demi Allah aku akan memerangi mereka yang membezakan antara sembahyang dan zakat kerana zakat merupakan tuntutan terhadap harta. Demi Allah, andaikata mereka enggan membayar zakat tersebut sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka.
14 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya bebas dari aku kecuali dibenarkan oleh syariat dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya.
15 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat yaitu: mendirikan sembahyang serta mengeluar zakat. Sesiapa yang melakukannya bererti dia dan hartanya bebas dari aku kecuali dibenarkan oleh syariat Islam dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya.
16 Diriwayatkan dari al-Musayyab bin Hazn r.a katanya: Rasulullah s.a.w menziarahi Abu Talib di saat-saat beliau tenat menghadapi sakaratul maut. Baginda dapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah s.a.w bersabda: Pak cik! Ucaplah Dua Kalimah Syahadat, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah s.w.t. Lalu Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mencelah: Wahai Abu Talib Sanggupkah kamu meninggalkan agama Abdul Mutalib? Rasulullah s.a.w tidak berputus asa malah tetap mengajarnya mengucap Dua Kalimah Syahadat serta berkali-kali mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib menjawab sebagai ucapan terakhir kepada mereka bahawa dia tetap bersama dengan agama Abdul Mutalib malah enggan mengucapkan Kalimah Syahadat. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku akan pohonkan keampunan dari Allah untukmu sehinggalah Allah menurunkan ayat Yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun bagi orang-orang yang syirik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri. Telah nyata bagi mereka bahawa orang-orang syirik itu adalah ahli Neraka. Firman Allah bersempena dengan peristiwa Abu Talib Yang bermaksud: Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayat yaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya yaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam.
17 Diriwayatkan dari Ubadah bin As-Somit r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat yaitu: dan bersaksi bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, anak hambanya dan kalimah Allah yaitu Nabi Isa a.s dijadikan oleh Allah tidak berbapa hanya dengan kalimah KUN yang bererti jadilah engkau maka jadilah dia yang disampaikan kepada Mariam dan juga tiupan roh dariNya, serta bersaksi bahawa balasan Surga adalah pasti begitu juga balasan Neraka adalah pasti di mana Allah akan memasukkan mereka yang dikehendaki ke dalam Surga melalui salah satu dari lapan pintu Surga sebagaimana yang dikehendakinya.
18 Diriwayatkan dari Muaz bin Jabal r.a katanya: Pernah aku mengekori Nabi s.a.w dalam satu perjalanan di mana aku berada di belakang baginda. Baginda memanggil: Wahai Muaz bin Jabal! Aku terus menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Kami meneruskan lagi perjalanan. Kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Kami meneruskan lagi perjalanan kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut lagi: Telah keterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Tahukah kamu kewajipan manusia terhadap Allah? Aku menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Kewajipan manusia terhadap Allah ialah dengan mengabdikan diri kepadaNya tanpa menyekutukanNya. Kami meneruskan lagi perjalanan beberapa ketika kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tahukah engkau apakah kewajipan Allah terhadap manusia apabila mereka melakukan perkara-perkara yang aku nyatakan di atas? Aku menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui. Akhirnya baginda bersabda: Allah tidak akan menyiksa mereka.
19 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika Muaz bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Muaz menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat yaitu: nescaya terselamatlah dia dari api Neraka. Kemudian Muaz berkata: Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah.
20 Hadits Itban bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadits. Kata beliau: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musalla yaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para Sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para Sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para Sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat yaitu: Para Sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka.
21 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Iman terdiri dari lebih dari tujuh puluh bahagian dan malu adalah salah satu dari bahagian-bahagian iman.
22 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w mendengar seseorang menasihati saudaranya dalam hal malu yaitu melarangnya dan menganggap perbuatan itu buruk, lalu Nabi s.a.w bersabda: Malu itu sebahagian dari iman.
23 Diriwayatkan dari Imran bin Husaini r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.
24 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru r.a katanya: Seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Apakah sifat yang paling baik dalam Islam? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberikan makanan serta memberi salam samada kepada orang yang engkau kenali atau pun tidak.
25 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya.
25 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya.
26 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya.
27 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih dari selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.
28 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang tidak boleh dikatakan beriman dan mengikut setengah Hadits Abdul Waris sebelum dia mencintai seorang lelaki lebih dari keluarga, harta dan manusia seluruhnya.
29 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia mengasihi saudaranya atau baginda bersabda: Sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.
30 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.
31 Diriwayatkan dari Abu Syuraih al-Khuza'iy r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.
32 Hadits Abu Said r.a: Diriwayatkan dari Tariq bin Syihab r.a katanya: Orang pertama yang berkhutbah pada Hari Raya sebelum sembahyang Hari Raya didirikan ialah Marwan. Seorang lelaki berdiri lalu berkata kepadanya: Sembahyang Hari Raya hendaklah dilakukan sebelum membaca khutbah. Marwan menjawab: Sesungguhnya kamu telah meninggalkan apa yang ada di sana. Kemudian Abu Said berkata: Orang ini benar-benar telah membatalkan apa yang menjadi ketentuan kepadanya sedangkan beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya yaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.
33 Diriwayatkan dari Abi Mas'ud Uqbah bin Amru r.a katanya: Nabi s.a.w memberi isyarat dengan tangan ke arah Yaman, seraya bersabda: Ingatlah, sesungguhnya iman ada di sana sedangkan kekerasan dan kekasaran hati ada pada orang-orang yang bersuara keras berhampiran pangkal ekor unta ketika muncul sepasang tanduk syaitan, yaitu pada Bani Rabi'ah dan Bani Mudhar.
34 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Penduduk Yaman datang, mereka lebih lembut hatinya. Iman ada pada orang Yaman. Fiqh juga ada pada orang Yaman. Kemudian hikmah juga ada pada orang Yaman.
35 Diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah r.a katanya: Aku membuat bai'ah kepada Rasulullah s.a.w untuk selalu mendirikan sembahyang, memgeluarkan zakat dan memberi nasihat baik terhadap setiap Muslim.
36 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada di dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada di dalam keimanan yaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada di dalam keimanan.
37 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu darinya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya yaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia khianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas.
38 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, yaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.
39 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya, maka ucapan mengkafirkan itu akan kembali kepada salah seorang di antara keduanya yaitu yang berkata atau yang dikata.
40 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang mengaku keturunannya selain dari ayahnya, padahal dia mengetahuinya, pastilah dia kafir yaitu mengingkari nikmat dan kebaikan, tidak memenuhi hak Allah dan hak ayahnya. Sesiapa mengaku sesuatu yang bukan menjadi miliknya, maka dia tidak tergolong dari golongan kami dan hendaknya dia mempersiapkan tempatnya di Neraka. Sesiapa memanggil seseorang dengan kafir atau menyatakan musuh Allah, padahal sebenarnya tidak demikian, maka tuduhan itu akan kembali kepada dirinya.
41 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.aw bersabda: Janganlah kamu membenci bapa-bapa kamu. Barangsiapa membenci ayahnya bererti dia kafir.
42 Diriwayatkan dari Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Kedua telingaku mendengar dari Rasulullah s.a.w yang bersabda: Barangsiapa mengaku ayah semasa Islam selain dari ayahnya, sedangkan dia tahu bahawa itu bukanlah ayahnya, maka diharamkan kepadanya memasuki Surga.
43 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Mencaci dan memaki orang-orang Islam adalah fasik dan memerangi mereka adalah kafir.
44 Diriwayatkan dari Jarir r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda kepadaku sewaktu Haji Wida' supaya menyuruh orang ramai diam. Setelah orang ramai diam, baginda bersabda: Janganlah kamu kembali menjadi orang-orang kafir setelah peninggalan ku dengan memukul-mukul leher di antara satu sama lain di kalangan kamu.
45 Diriwayatkan dari Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a katanya: Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang bersama kami di Hudaibiah, selepas hujan turun pada malam tersebut. Setelah selesai sembahyang, baginda menghadap kepada kaum muslimin, lalu bersabda: Tahukah kamu apa yang telah difirmankan oleh Tuhan kamu? Para kaum muslimin menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengentahui, lalu baginda bersabda: Allah berfirman: Di antara hamba-hambaKu, ada yang beriman kepadaKu dan ada yang kafir. Maka barangsiapa yang menyatakan: Kita dituruni hujan dengan anugerah dan rahmat Allah, orang itu beriman kepadaKu dan tidak beriman terhadap bintang-bintang. Sebaliknya orang yang berkata: Kita dituruni hujan oleh bintang ini atau bintang itu, maka orang tersebut kafir terhadapKu dan beriman kepada bintang-bintang.
46 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tanda orang Munafik adalah membenci Sahabat Ansar dan tanda orang Mukmin adalah menyintai Sahabat Ansar.
47 Hadits al-Bara' r.a: Diriwayatkan dari Nabi s.a.w bahawa baginda telah bersabda mengenai golongan Ansar: Golongan Ansar tidak dicintai oleh orang lain kecuali orang yang beriman dan mereka tidak dibenci oleh orang lain kecuali orang yang munafik. Sesiapa yang menyintai mereka, maka Allah akan menyintainya. Sesiapa yang membenci mereka, maka Allah akan membencinya.
48 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar yaitu memohon ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka. Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka? Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, dari golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.
49 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Beriman kepada Allah. Sahabat bertanya lagi: Kemudian apa? Rasulullah s.a.w bersabda: Jihad pada jalan Allah yaitu berjuang pada jalan Allah dan Sahabat bertanya lagi: Kemudian apa? Rasulullah s.a.w bersabda: Haji Mabrur yaitu ibadat Haji yang diterima.
50 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apakah amalan yang paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Beriman kepada Allah dan berjuang pada jalanNya. Aku bertanya: Hamba yang bagaimanakah paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang paling baik menurut pemiliknya dan paling banyak harganya. Aku bertanya lagi: Bagaimana Jika aku tidak bekerja? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau boleh membantu orang yang bekerja atau berkerja untuk orang yang tidak memiliki pekerjaan. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku tidak mampu melakukan sebahagian dari amalan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah memberhentikan kejahatanmu terhadap orang lain kerana, hal itu merupakan sedekah darimu kepada dirimu.
51 Diriwayatkan dari Abdullah bin Masud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan baginda.
52 Diriwayatkan dari Abdullah bin Masud r.a katanya: Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau menjadikan yaitu menganggap ada yang sebanding dengan Allah sedangkan Dialah yang menciptakanmu. Aku berkata: Sesungguhnya dosa demikian memang besar. Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Kemudian engkau membunuh anakmu kerana bimbang dia makan bersamamu yaitu makananmu. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Rasulullah s.a.w bersabda: Jika engkau berzina dengan isteri jiranmu.
53 Diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar? Ianya tiga perkara, yaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu. Semasa Rasulullah bersabda, baginda sedang bersandar lalu duduk. Baginda terus mengulangi sabdanya sehingga kami berkata: Semoga baginda berhenti dari menyebut Hadits tersebut.
54 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w pernah menceritakan tentang dosa-dosa besar. Baginda bersabda: Menyekutukan Allah, mengherdik kedua-dua ibubapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu.
55 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah telah bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu yaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah yaitu menyekutukanNya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik yaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan RasulNya dengan fitnah melakukan perbuatan zina.
56 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara dosa-dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
57 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu nescaya akan memasuki Neraka. Maka aku berkata yaitu perawi Hadits: Aku dan orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, akan memasuki Surga.
58 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Jibril a.s telah mendatangi aku lalu memberitahu berita gembira, yaitu sesiapa yang mati di kalangan umatku dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, nescaya dia akan dimasukkan ke dalam Surga. Aku bertanya: Walaupun dia berzina dan mencuri? Rasulullah bersabda: Walaupun dia berzina dan mencuri.
59 Diriwayatkan dari Miqdad bin al-Aswad r.a katanya: Beliau telah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu sekiranya aku berjumpa dengan seorang lelaki dari golongan orang-orang kafir, lalu menyerangku dan memotong salah satu dari tanganku dengan pedangnya. Kemudian dia lari dariku dan berlindung di sebalik sepohon kayu, lalu berkata, aku menyerah diri kerana Allah. Adakah aku boleh membunuhnya selepas dia mengucapkan ungkapan itu? Rasulullah bersabda: Janganlah engkau membunuhnya. Miqdad tidak berpuas hati lalu membantah: Wahai Rasulullah! Lelaki itu telah memotong tanganku kemudian telah mengungkapkan ungkapan tersebut selepas memotongnya, adakah aku boleh membunuhnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu membunuhnya, sekiranya kamu membunuh lelaki itu, sesungguhnya dia seperti kamu sebelum kamu membunuhnya dan sesungguhnya kamu sepertinya sebelum dia mengucapkan perkataan tersebut.
60 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengutuskan kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di al-Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah pada waktu pagi. Aku berjumpa seorang lelaki, lelaki tersebut menyebut lalu aku menikamnya. Aku menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah. Rasulullah bertanya dengan sabdanya: Adakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan kalimah syahadat Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya lelaki itu mengucap demikian kerana takutkan hayunan pedang. Rasulullah bertanya lagi: Sudahkah engkau membelah dadanya sehingga kamu tahu dia benar-benar mengucapkan Kalimah Syahadat atau tidak? Rasulullah mengulangi soalan itu kepadaku menyebabkan aku bercita-cita untuk menyerah diri pada ketika itu juga. Usamah menceritakan lagi, Saad telah berkata: Demi Allah, aku tidak akan membunuh seorang muslim sehinggalah ianya telah dilakukan oleh orang yang mempunyai perut yang kecil, yaitu Usamah. Usamah berkata lagi, seorang lelaki telah bertanya: Tidakkah Allah telah berfirman Yang bermaksud: Dan Perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah serta jadikanlah agama itu semata-mata kerana Allah. Maka Saad menjawab: Sesungguhnya kami memerangi mereka supaya tidak berlaku fitnah, tetapi kamu dan para Sahabat kamu memerangi mereka, untuk menimbulkan fitnah.
61 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Nabi bersabda: Sesiapa yang menghunuskan pedang kepada kami, maka dia tidak termasuk dalam golongan kami.
62 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menghunuskan pedang kepada kami, maka dia tidak termasuk dalam golongan kami.
63 Diriwayatkan dari Abdullah Ibnu Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Bukan dari golongan kami orang yang menampar pipinya, mengoyak-ngoyak saku bajunya atau berdoa dengan doa orang-orang jahiliah.
64 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak masuk Surga orang yang suka menabur fitnah.
65 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Tidak Akan Berkata-kata Kepada Tiga Golongan Manusia pada Hari Kiamat, tidak membersihkan mereka dari dosa dan mereka akan diazab dengan azab siksa yang pedih. Mereka itu ialah seseorang yang mempunyai lebihan air di Padang Sahara tetapi dia enggan memberikan air tersebut kepada musafir yang memerlukan. Seseorang yang menjual barang dagangan selepas waktu asar dan dia bersumpah dengan nama Allah yaitu sumpah bohong bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga sekian, sekian menyebabkan pembeli mempercayainya sedangkan dia membelinya bukan dengan harga tersebut. Seseorang yang berikrar setia kepada seorang pemimpin kerana tujuan keduniaan, sekiranya pemimpin berkenaan memenuhi permintaannya dia tetap setia dan jika tidak dia berpaling tadah.
66 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sepotong besi, maka dengan besi yang tergenggam di tangannya itulah dia akan menikam perutnya dalam Neraka Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam Neraka tersebut untuk selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan meminum racun maka dia akan merasai racun itu dalam Neraka Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam Neraka tersebut untuk selama-lamanya. Begitu juga, sesiapa yang membunuh dirinya dengan terjun dari puncak gunung, maka dia akan terjun dalam Neraka Jahanam secara berterusan untuk membunuh dirinya dan dia akan dikekalkan dalam Neraka tersebut untuk selama-lamanya.
67 Diriwayatkan dari Thabit bin Ad-Dhahhak r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang bersumpah dengan agama selain agama Islam secara dusta maka keadaannya adalah seperti ucapannya. Sesiapa yang membunuh dirinya sendiri maka dia akan diazab pada Hari Kiamat sebagaimana kelakuannya untuk membunuh diri. Seorang lelaki tidak boleh bernazar dengan sesuatu yang dia tidak memilikinya.
68 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah dalam peperangan Hunain, Rasulullah telah berkata kepada seorang lelaki yang diakui sebagai seorang muslim: Dia tergolong dalam golongan ahli Neraka. Ketika kami di medan pertempuran, lelaki itu telah berperang dengan bersungguh-sungguh menyebabkan dia mengalami luka yang parah. Ada yang melaporkan kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Lelaki yang engkau katakan sebelum ini bahawa dia merupakan ahli Neraka telah berjuang pada hari ini dengan penuh semangat dan dia telah mati. Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dia akan ke Neraka. Sebahagian kaum muslimin merasa ragu. Pada saat itu datang seseorang melaporkan bahawa dia tidak mati kerana berjuang, tetapi luka parah. Pada malam itu, dia tidak sabar menghadapi kesakitan lukanya lalu telah membunuh dirinya sendiri, hal itu telah dilaporkan kepada Rasulullah. Rasulullah terus bertakbir: dan berkata Aku bersaksi bahawa aku adalah hamba Allah dan RasulNya. Lalu Rasulullah menyuruh Bilal r.a memberitahu semua orang bahawasanya tidak akan masuk Surga kecuali jiwa atau orang yang berserah diri yaitu Muslimah. Sesungguhnya Allah telah menguatkan lagi agama ini dengan seorang lelaki yang gagah perkasa.
69 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad As-Sa'idiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bertemu dengan orang-orang musyrik dan terjadilah peperangan. Semasa Rasulullah kembali ke pasukan muslimin dan orang kafir kembali ke pasukan mereka terdapat seorang lelaki dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu sahaja. Dia mengejar dan menetak musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah yang lain berkata: Pada hari ini tiada di kalangan kita yang benar-benar berpuas hati seperti yang dilakukan oleh Si Anu. Rasulullah s.a.w terus bersabda apabila mendengar kata-kata itu: Tetapi ingat! Dia tergolong dalam golongan ahli Neraka. Seorang lelaki dari kaum muslimin berkata: Aku akan mengikutnya sepanjang masa. Sahl bin Saad berkata lagi: Lelaki itu telah keluar bersama-sama dengan Si Anu, apabila Si Anu berhenti ketika berperang maka dia turut berhenti, ketika Si Anu bergerak pantas maka dia pun sama bergerak pantas. Lelaki itu telah menceritakan bahawa Si Anu telah mengalami luka parah. Oleh kerana tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, maka dia ingin segera mati lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah lalu menikam dirinya sendiri. Lelaki itu keluar bertemu Rasulullah lalu berkata: Aku bersaksi sesungguhnya engkau Muhammad, sememangnya Rasul yaitu utusan Allah. Rasulullah bertanya dengan sabda baginda: Kenapa dengan kamu ni? Lelaki itu berkata: Lelaki yang engkau sebut-sebut sebagai ahli Neraka dan kebanyakkan manusia yaitu Sahabat dan pejuang-pejuang mengambil berat tentang hal ini, aku bersaksi kepada kamu Rasulullah s.a.w tentang Si Anu, aku telah keluar mengikutnya sepanjang peperangan sehingga aku dapati dia telah luka parah, dia ingin cepat mati, lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah dan mata pedang di antara dua dadanya kemudian dia menekan ke atas dirinya lantas membunuh dirinya sendiri. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lelaki yang beramal seperti amalan ahli Surga sedangkan dia adalah ahli Neraka. Ada juga lelaki yang beramal dengan amalan ahli Neraka sedangkan dia adalah ahli Surga.
70 Diriwayatkan dari Jundab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Terdapat seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu dijangkiti bisul. Ketika bisul itu membuatnya sakit, dia mencabut panah dari bekasnya lalu membedah bisul tersebut menyebabkan darah tidak berhenti mengalir sehingga lelaki tersebut mati. Allah berfirman: Aku mengharamkan Surga ke atasnya.
71 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar. Allah memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan harta rampasan perang berupa emas atau perak. Kami hanya memperolehi barang-barang, makanan dan pakaian. Kemudian kami berangkat menuju ke sebuah lembah dan terdapat seorang hamba bersama Rasulullah s.a.w milik baginda yang diberikan oleh seorang lelaki dari Juzam. Hamba itu bernama Rifa'ah bin Zaid dari Bani Ad-Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah itu berdiri untuk melepaskan pelananya tetapi, dia terkena anak panah dan ternyata itulah saat kematiannya. Kami berkata: Ketenanganlah baginya dengan Syahid wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mungkin! Demi zat yang menguasai Muhammad sesungguhnya sehelai baju yang diambilnya dari harta rampasan perang Khaibar, yang tidak dimasukkan dalam pembahagian akan menyemarakkan lagi api Neraka ke atasnya. Abu Hurairah berkata: Maka terkejutlah orang-orang Islam. Lalu datanglah seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali pelana, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku mendapatkannya semasa perang Khaibar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Seutas atau dua utas tali pelana itu dari Neraka.
72 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika ayat ini diturunkan: Yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi. Hingga ke akhir ayat 2 surat al-Hujurat. Thabit bin Qais sedang duduk di rumahnya dan berkata: Aku ini termasuk dari ahli Neraka! Beliau bersembunyi dari Nabi s.a.w sehingga Nabi s.a.w bertanya Saad bin Muaz. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Amru, bagaimanakah keadaan Thabit? Adakah dia sakit? Sa'ad menjawab: Keadaannya seperti biasa dan aku tidak mendengar apa-apa berita yang menyatakan dia sakit. Anas berkata: Lalu Saad pun menziarahinya dan memberitahu kepadanya tentang percakapan beliau dengan Rasulullah s.a.w. Tsabit berkata: Ayat ini diturunkan, sedangkan kamu semua mengetahui bahawa aku adakah orang yang paling keras bersuara, melebihi suara Rasulullah s.a.w. Kalau begitu aku ini termasuk dari ahli Neraka. Maka Sa'ad menceritakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Bahkan beliau termasuk dari kalangan ahli Surga.
73 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Adakah kami akan dihukum kerana perbuatan yang telah kami lakukan semasa Jahiliah Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu yang berbuat baik pada zaman Islam, maka dia tidak akan dikenakan hukuman kerana perbuatannya pada zaman Jahiliah. Tetapi sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dia akan dihukum kerana perbuatannya pada zaman Jahiliah dan pada zaman Islam.
74 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Ramai di antara orang musyrik yang telah membunuh dan ramai pula yang telah berzina. Kemudian mereka mengadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata: Apa yang engkau katakan dan engkau seru itu sangat baik sekalipun engkau beritahu kami bahawa apa yang telah kami lakukan ada penebusnya. Lalu diturunkan ayat Yang bermaksud: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah yaitu membunuhnya kecuali dengan cara yang dibenarkan oleh syarak dan tidak berzina. Sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut akan mendapat pembalasan dosanya. Diturunkan juga ayat Yang bermaksud: Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri yaitu dengan perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.
75 Diriwayatkan dari Hakim bin Hizam r.a katanya: Bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Adakah kamu melihat beberapa perkara yang aku pernah sembah pada zaman Jahiliah dulu? Adakah aku akan dikenakan sesuatu hukuman berkaitan dengan perkara itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Adakah engkau menganggap perkara yang engkau lakukan sebelum ini adalah kebaikan dan masih menyembahnya.
76 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Ketika turunnya ayat 82 surah al-An'am Yang bermaksud: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman yaitu syirik. Hal ini membuatkan para Sahabat Rasulullah s.a.w susah hati, lalu mereka berkata: Siapakah di antara kita yang tidak menganiyai dirinya sendiri yaitu berbuat zalim? Rasulullah s.a.w bersabda: Itu tidak seperti yang kamu duga, tetapi ia seperti yang dikatakan oleh Lukman kepada anaknya di dalam al-Quran Yang bermaksud: Wahai anak kesayanganku, janganlah kamu menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.
77 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah memberi keampunan dan tidak mengambil kira segala pembicaraan hati umatku selagi mereka tidak memperkatakannya atau melakukannya.
78 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda.
79 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah meriwayatkan bahawa Allah s.w.t telah berfirman: Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan. Kemudian baginda menerangkan hal itu: Sesiapa berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi tidak lagi melakukannya, maka Allah mencatatkan niat itu sebagai kebaikan yang sempurna di sisiNya. Jika seseorang itu berniat ingin melakukan kebaikan lalu mengerjakannya, maka Allah mencatatkan di sisiNya sepuluh kebaikan hingga sampai tujuh ratus kali ganda seterusnya hingga kepada gandaan yang sebanyak-banyaknya. Jika seseorang berniat ingin melakukan kejahatan tetapi tidak melakukannya, maka Allah mencatatkannya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisiNya. Jika dia berniat untuk melakukan kejahatan lalu melakukannya maka Allah mencatatnya sebagai satu amalan kejahatan sahaja.
80 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia masih lagi tertanya-tanya, sehinggalah dikatakan bahawa Allah telah menciptakan makhluk, lalu mereka bertanya siapakah yang menciptakan Allah? Sesiapa yang mendapati perkara tersebut ada di dalam hatinya maka hendaklah dia mengucapkan: Aku beriman kepada Allah.
81 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Allah s.w.t telah berfirman: Sesungguhnya umatmu masih lagi mengatakan begitu dan begini sehinggalah mereka berkata: Jika Allah telah menciptakan makhluk maka siapakah pula yang menciptakan Allah?.
82 Diriwayatkan dari Abdullah Ibn Mas'ud r.a katanya: Dari Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Sesiapa yang bersumpah dengan sumpah palsu, sumpah yang boleh menyekat harta seorang muslim, sedangkan dia melakukan kepalsuan dalam sumpahnya itu maka dia akan menemui Allah dalam keadaan yang dimurkai oleh Allah.
83 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya adalah mati syahid.
84 Hadits Ma'qil bin Yasar r.a: Diriwayatkan dari Hasan r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang ditaklifkan oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya Surga.
85 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menceritakan kepada kami dua buah Hadits. Aku telah mengetahui salah satu darinya dan aku masih menunggu Hadits yang kedua. Baginda menceritakan kepada kami bahawa: Amanah ditempatkan pada pangkal hati seorang lelaki. Setelah al-Quran diturunkan, mereka mula mempelajari dari al-Quran begitu juga mereka mula mengetahui dari Sunnah. Seterusnya baginda menceritakan kepada kami tentang kehilangan amanah dengan bersabda: Seorang lelaki sedang tidur lalu amanah diambil dari hatinya sehingga menampakkan kesannya. Kemudian dia tidur lagi lalu di ambil pula amanah dari hatinya sehingga kesannya bengkak seperti melecur kerana terkena bara yang jatuh ke kaki. Kesan tersebut terus membengkak sedangkan tidak ada apa-apa di dalamnya. Seterusnya baginda mengambil seketul batu kecil lalu menjatuhkannya ke kaki baginda. Orang ramai kembali meneruskan urus niaga masing-masing. Hampir tidak ada seorangpun yang menunaikan amanah lantas baginda bersabda: Di kalangan Bani Polan ada seorang lelaki yang sangat amanah. Sehinggalah baginda berkata kepada seorang lelaki: Alangkah tabahnya! Alangkah jujurnya! Alangkah pintarnya! Sedangkan dihatinya tidak ada iman walaupun sebesar biji sawi. Benar-benar telah datang kepadaku suatu zaman dan aku tidak peduli kepada sesiapa di antara kalian aku berjual beli. Jika dia orang Islam maka agamanya akan menegahnya mengkhianatiku. Sekiranya dia seorang Nasrani atau Yahudi maka penguasanya akan menegahnya dari mengkhianatiku. Adapun hari ini aku hanya berjual-beli dengan si Polan dan si Polan.
86 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Saidina Umar r.a pernah bertanya aku ketika aku bersamanya. Katanya: Siapakah di antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah s.a.w meriwayatkan tentang fitnah? Para Sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya. Saidina Umar bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab: Ya, benar. Saidina Umar berkata: Fitnah tersebut boleh dihapuskan oleh sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, siapakah di antara kamu yang pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda tentang fitnah yang bergelombang sebagaimana lautan bergelombang? Huzaifah berkata: Para Sahabat terdiam. Kemudian Hudzaifah berkata: Aku, wahai Umar! Saidina Umar berkata: Engkau. Lantas Saidina Umar memuji dengan berkata ayahmu adalah milik Allah. Huzaifah berkata: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.
87 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya iman itu berlindung yaitu merimbun di Madinah, sebagaimana ular berlindung di dalam sarangnya.
88 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda ketika kami bersamanya: Kumpulkan untukku beberapa orang sahabat yang boleh menyatakan Islam. Kata Huzaifah: Kami menjawab: Wahai Rasulullah! Adakah engkau bimbangkan kami, sedangkan kami berjumlah antara enam hingga tujuh ratus orang. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak dapat menyangka bahawa suatu hari nanti kamu akan diuji. Huzaifah berkata: Ujilah kami walaupun sehingga Sahabat-sahabat kami terpaksa mendirikan sembahyang secara sembunyi.
89 Diriwayatkan dari Sa'ad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah membahagikan suatu pembahagian. Lalu aku mencelah: Wahai Rasulullah! Berilah kepada lelaki itu kerana dia juga seorang mukmin. Baginda bertanya dengan bersabda: Adakah dia juga seorang Islam? Aku menjawabnya sebanyak tiga kali tetapi baginda tetap juga meminta kepastian dari aku sebanyak tiga kali dengan pertanyaan betulkah dia juga seorang Islam. Baginda seterusnya bersabda: Aku bimbang Allah meletakkan lelaki tersebut ke dalam Neraka ekoran dari aku memberikan pembahagian kepadanya kerana ingin memujuk. Sedangkan masih ada orang lain yang lebih mengasihiku.
90 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak merasa ragu dari Nabi Ibrahim a.s, ketika dia berkata di dalam al-Quran Yang bermaksud: Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati? Allah berfirman: Adakah engkau tidak percaya kepada kekuasaanKu? Nabi Ibrahim menjawab: Aku tetap percaya dan yakin tetapi agar hatiku tenteram. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Semoga Allah memberikan rahmat kepada Nabi Lut. Dia benar-benar telah berlindung kepada suatu kuasa yang kuat yaitu Allah s.w.t. Andaikata aku tinggal di penjara selama tempoh Nabi Yusuf berada di dalamnya nescaya aku akan memenuhi keinginan mereka yang meminta.
91 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap Nabi diberi tanda sebagai bukti kenabian mereka, tanda-tanda yang ditunjukkan itu boleh menarik perhatian umat masing-masing supaya beriman dengan mereka. Sedangkan yang diberikan kepadaku hanyalah wahyu yang diturunkan oleh Allah. Oleh itu aku berharap, akulah yang paling ramai pengikut berbanding dengan mereka pada Hari Kiamat.
92 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada tiga orang manusia yang diberi pahala dua kali: Pertama ialah seorang lelaki Ahli Kitab yang beriman kepada nabinya dan sempat hidup pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, lalu beriman kepadanya, mengikuti dan membenarkannya, nescaya dia mendapat dua pahala. Kedua ialah seorang hamba yang menunaikan kewajipannya terhadap Allah s.w.t dan kewajipannya terhadap tuannya, nescaya dia juga mendapat dua pahala. Ketiga ialah seseorang yang mempunyai hamba perempuan, dia memberinya makan dengan baik, mendidiknya dengan baik, lalu memerdekakannya serta mengahwininya, maka dia juga mendapat dua pahala.
93 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah! Sesungguhnya telah hampir masanya Nabi Isa bin Mariam turun kepada kamu untuk menjadi hakim secara adil. Dia akan mematahkan salib, membunuh babi serta tidak menerima cukai dan harta akan melimpah, sehinggalah tidak ada seorang pun yang ingin menerimanya.
94 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah matahari terbit dari arah barat. Seandainya seluruh manusia beriman kepada Allah s.w.t ketika matahari terbit dari arah barat, maka pada waktu itu Yang bermaksud: Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelumnya atau tidak berusaha mengerjakan kebaikan terhadap imannya.
95 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Suatu Hari Nabi s.a.w bersabda: Tahukah kamu ke mana matahari ini pergi? Para Sahabat menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Perjalanan matahari ini berakhir di suatu tempat yang telah ditetapkan di bawah Arasy, lalu merebahkan diri untuk bersujud. Ia tetap berada dalam keadaan tersebut, sehinggalah diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan kembalilah ke tempat mana kamu datang. Matahari kemudiannya kembali sehinggalah ia terbit dan beredar sebagaimana biasa. Matahari terus beredar lagi sehingga sampai di suatu tempat yang ditetapkan di bawah Arasy lalu merebahkan lagi dirinya untuk bersujud. Ia juga tetap berada dalam keadaan demikian sehinggalah diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan kembalilah ke tempat mana kamu datang. Matahari kembali lagi sehinggalah ia terbit dan beredar sebagaimana biasa tanpa diketahui oleh manusia dan berakhir pada tempat yang telah ditetapkan di bawah Arasy, lalu bersujud dan tetap dalam keadaan demikian, sehinggalah akhirnya diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan terbitlah dari sebelah barat. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Tahukah kamu bilakah ianya akan berlaku? Ianya akan berlaku ketika mana Yang bermaksud: Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelumnya atau tidak berusaha mengerjakan kebaikan terhadap imannya.
96 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Diceritakan bahawa: Permulaan wahyu Rasulullah s.a.w telah berlaku dalam bentuk mimpi yang benar dalam tidur baginda. Baginda mendapati mimpi tersebut sebagaimana munculnya keheningan fajar subuh yang menyebabkan baginda suka menyepi diri. Baginda biasanya menyepi di gua Hira'. Di sana baginda menghabiskan beberapa malam untuk beribadat dengan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t sebelum kembali ke rumah. Untuk tujuan tersebut baginda membawa sedikit bekalan. Setelah beberapa hari berada di sana baginda pulang kepada Khadijah, mengambil bekalan untuk beberapa malam. Keadaan ini terus berlarutan, sehinggalah baginda didatangi wahyu ketika baginda berada di gua Hira'. Wahyu tersebut disampaikan oleh Malaikat Jibril a.s dengan berkata: Bacalah wahai Muhammad! Baginda bersabda: Aku tidak pandai membaca. Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat kemudiannya memegang aku lalu memelukku erat-erat sehinggalah aku kembali pulih dari ketakutan. Kemudian Malaikat melepasku dengan berkata: Bacalah wahai Muhammad! Baginda sekali lagi bersabda: Aku tidak pandai membaca. Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat kemudiannya memegang aku buat kali kedua lalu memelukku erat-erat sehinggalah aku kembali pulih dari ketakutan. Malaikat seterusnya melepasku dengan berkata: Bacalah wahai Muhammad! Baginda bersabda: Aku tidak pandai membaca. Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat kemudiannya memegang aku buat kali ketiga serta memelukku erat-erat sehinggalah aku kembali pulih dari ketakutan. Kemudian Malaikat melepaskan aku dan membaca firman Allah Yang bermaksud: Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku, bacalah dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah yang mengajar manusia melalui pen dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui. Setelah itu baginda pulang dalam keadaan ketakutan ke pangkuan Saidatina Khadijah, baginda berkata: Selimutlah aku! Selimutlah aku. Lalu Saidatina Khadijah menyelimutkan baginda hingga hilang rasa gementar dari diri baginda. Baginda kemudiannya bersabda kepada Khadijah: Wahai Khadijah! Apakah yang telah berlaku kepadaku? Baginda pun menceritakan seluruh peristiwa yang berlaku. Baginda bersabda lagi: Aku benar-benar bimbang pada diriku. Khadijah terus menghibur baginda dengan berkata: Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, engkau telah menyambung tali persaudaraan, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran. Khadijah beredar seketika dan kembali semula menemui baginda dengan membawa bersama Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah. Dia pernah menjadi Nasrani pada zaman Jahiliah. Dia suka menulis dengan tulisan Arab dan cukup banyak menulis kitab Injil dalam tulisan Arab. Ketika itu dia telah tua dan buta. Khadijah berkata kepadanya: Pak Cik! (Pak Cik adalah panggilan yang biasa digunakan oleh bangsa Arab bagi sepupu dan sebagainya kerana menghormati mereka atas dasar lebih tua) Dengarlah cerita anak saudaramu ini. (Panggilan anak saudara juga adalah sama permasalahannya dengan panggilan Pak Cik bagi bangsa Arab cuma sebaliknya) Waraqah bin Naufal berkata: Wahai anak saudaraku! Apakah yang telah berlaku? Rasulullah s.a.w menceritakan semua peristiwa yang baginda telah alami. Mendengar peristiwa itu, Waraqah berkata: Ini adalah undang-undang yang suatu ketika dahulu pernah diturunkan kepada Nabi Musa a.s. Alangkah baik sekiranya aku masih muda di saat-saat engkau dibangkitkan menjadi Nabi. Juga alangkah baik kiranya aku masih hidup di saat-saat engkau diusir oleh kaummu. Lalu Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa: Apakah mereka akan mengusirku? Waraqah menjawab: Memanglah, setiap Nabi yang bangkit membawa tugas sepertimu, pasti akan dimusuhi. Seandainya aku masih hidup di zamanmu, nescaya aku akan tetap membelamu.
97 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a katanya: Rasulullah s.a.w menceritakan tentang masa terputusnya wahyu. Baginda bersabda: Ketika aku berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar suara dari langit. Aku mendongakkan kepalaku, ternyata Malaikat yang pernah mendatangiku di gua Hira' sedang duduk di atas kerusi terapung-apung di antara langit dan bumi. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku mula gementar kerana ketakutanku kepadanya. Lalu aku pulang dan berkata: Selimutkanlah aku! Selimutkanlah aku! Setelah aku diselimutkan, ketika itulah Allah s.w.t menurunkan ayat Yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan, amaran kepada umat manusia dan ingatlah serta ucapkanlah kebesaran Tuhanmu. Pakaianmu hendaklah engkau bersihkan dan segala kejahatan, hendaklah engkau jauhi yaitu penyembahan berhala. Setelah itu wahyu diturunkan berterusan.
98 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Yaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari kaldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah. Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan. Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan dengan kedudukan yang sangat tinggi. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah menganggkat ke tempat yang tinggi darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya. Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan sembahyang lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Sembahyang lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencoba Bani Israel dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu sembahyang dari baginda. Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu sembahyang dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu sembahyang fardu sama dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia mengerjakannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepadaNya.
99 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah didatangi oleh Jibril a.s ketika baginda sedang bermain dengan kanak-kanak. Lalu Jibril a.s memegang dan merebahkan baginda, kemudian Jibril a.s membelah dada serta mengeluarkan hati baginda. Dari hati tersebut dikeluarkan segumpal darah, lalu Jibril a.s berkata: Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat dalam dirimu. Setelah itu Jibril membasuh hati tersebut dengan menggunakan air Zamzam di dalam sebuah bekas yang diperbuat dari emas, kemudian meletakkanya kembali ke dalam dada baginda serta menjahitnya sebagaimana asal. Dua orang kanak-kanak segera menemui ibunya yaitu ibu susuan Rasulullah s.a.w dan mereka berkata: Muhammad telah dibunuh. Seterusnya mereka mengusung baginda, ketika itu rupa baginda telah berubah. Anas berkata: Aku benar-benar pernah melihat kesan jahitan tersebut di dada baginda.
100 Diriwayatkan dari Malik bin Sokso'ah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku berada di tepi Baitullah dalam keadaan separuh tidur, tiba-tiba aku mendengar percakapan salah seorang dari tiga lelaki yaitu yang berada di tengah-tengah. Lalu mereka menghampiri aku dan membawa aku ke suatu tempat. Kemudian mereka membawa sebuah bekas dari emas yang berisi air Zamzam. Setelah itu dadaku dibedah hinggalah ke sini dan ke sini. Qatadah berkata, aku telah bertanya kepada orang yang bersamaku: Apakah yang baginda maksudkan? Beliau menjawab: Hingga ke bawah perut baginda. Baginda terus bersabda lagi: Hatiku telah dikeluarkan dan dibersihkan dengan air Zamzam, kemudian mereka meletakkannya kembali di tampat asal. Setelah itu diisi pula dengan iman dan hikmah, lalu dibawa pula kepadaku seekor binatang tunggangan berwarna putih yang dikenali sebagai Buraq, ia lebih besar dari kaldai dan lebih kecil dari baghal. Ia mengatur langkahnya sejauh mata memandang, sementara itu aku dibawa di atas belakangnya. Kemudian kami pun memulakan perjalanan hingga sampai ke langit dunia, setelah itu Jibril a.s meminta agar dibukakan pintunya, lalu ditanya: Siapa? Jawabnya: Jibril. Kemudian ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Lalu Jibril menjawab: Muhammad s.a.w. Lalu ditanya lagi: Adakah dia orang yang telah diutuskan? Jawabnya: Ya. Sejurus kemudian malaikat yang menjaga pintu tersebut membuka pintu sambil berkata: Selamat datang, sesungguhnya tetamu utama telah tiba. Lalu kami mengunjungi Nabi Adam a.s. Hadits ini menceritakan kisah yang berlaku pada ketika itu. Seterusnya diceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w bertemu dengan Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s di langit kedua, manakala di langit ketiga pula baginda berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s. Seterusnya di langit keempat bertemu pula dengan Nabi Idris a.s. Setelah sampai di langit kelima baginda bertemu pula dengan Nabi Harun a.s. Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di langit keenam, lalu aku menemui Nabi Musa a.s dan memberi salam kepadanya. Beliau segera menjawab: Selamat datang wahai saudara dan nabiku yang soleh. Semasa aku meningalkannya, beliau terus menangis. Lalu beliau ditanya: Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab: Wahai Tuhanku! Engkau telah mengutus pemuda ini kemudian dari ku, tetapi umatnya paling ramai memasuki Surga berbading dengan umatku. Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di langit ketujuh, lalu aku mengunjungi Nabi Ibrahim a.s. Hadits ini menjelaskan bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa baginda melihat empat batang sungai yang keluar dari pangkalnya yaitu dua batang sungai yang jelas kelihatan dan dua batang sungai yang samar-samar. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Wahai Jibril! Sungai-sungai apakah ini? Jibril menjawab: Dua batang sungai yang samar-samar itu merupakan sungai Surga, manakala yang jelas kelihatan adalah sungai Nil dan Furat. Seterusnya aku dibawa naik ke Baitul Makmur, lalu aku bertanya: Wahai Jibril, apakah ini? Lalu Jibril menjawab: Ini adalah Baitul Makmur, setiap hari tujuh puluh ribu Malaikat akan memasukinya. Setelah mereka keluar, mereka tidak akan memasukinya lagi kerana itu merupakan kali yang terakhir mereka memasukinya. Kemudian dibawa pula kepadaku dua bekas yang satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu. Keduanya dihulurkan kepadaku lalu aku memilih susu. Maka dikatakan kepadaku: Kamu membuat pilihan yang tepat! Allah menghendakimu dan umatmu dalam keadaan fitrah yaitu kebaikan dan keutamaan. Kemudian difardukan pula kepadaku sembahyang lima puluh waktu setiap hari kemudian diceritakan kisah seterusnya hingga ke akhir Hadits.
101 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan tentang perjalanan Israknya. Baginda bersabda: Nabi Musa a.s berkulit sawa matang dan tinggi seperti seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Manakala Nabi Isa a.s pula berbadan gempal, tingginya sederhana. Selain dari itu baginda juga menceritakan tentang Malik penjaga Neraka Jahanam dan Dajjal.
102 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w berjalan melalui sebuah Lembah al-Azraq. Baginda bertanya: Lembah apakah ini? Para Sahabat menjawab: Inilah Lembah al-Azraq Rasulullah s.a.w bersabda: Aku seakan-akan memandang kepada Nabi Musa a.s yang sedang menuruni sebuah bukit sambil memohon dari Allah dengan suara yang keras melalui talbiyah. Kemudian ketika sampai di Bukit Harsya baginda pun bertanya: Bukit apa ini? Para Sahabat menjawab: Bukit Harsya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Seolah-olah aku melihat Yunus bin Matta a.s berada di atas seekor unta gemuk berwarna merah yang dilengkapkan dengan kain bulu dan tali kekang sementara beliau sentiasa bertalbiah.
103 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Semasa aku dibawa berjalan dalam peristiwa Israk, aku telah bertemu dengan Musa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, maka ternyata beliau seorang lelaki yang tinggi kurus dan berambut ikal, seolah-olah beliau seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Selain dari itu aku juga telah berjumpa dengan Nabi Isa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, ternyata beliau berwajah dan berperawakan sederhana, berkulit merah, seakan-akan baru keluar dari bilik mandi. Kemudian aku bertemu pula dengan Nabi Ibrahim a.s dan baginda menyatakan kepada kami bahawa bagindalah keturunannya yang paling mirip dengannya. Lalu dibawa kepadaku dua bekas, salah satunya berisi susu dan satu lagi berisi arak. Dikatakan kepadaku: Ambillah mana-mana satu yang engkau suka, lalu aku mengambil bekas yang berisi susu dan meminumnya. Kemudian dikatakan kepadaku: Engkau sememangnya telah diberi petunjuk dengan fitrah atau engkau menepati fitrah, seandainya engkau mengambil arak, nescaya sesatlah umatmu.
104 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Pada suatu malam aku bermimpi berhampiran Kaabah, aku melihat seorang lelaki berkulit sawa matang, sebagaimana engkau pernah melihat seorang lelaki tampan berkulit sawa matang, dia berambut ikal sebagaimana engkau pernah melihat seorang lelaki tampan berambut ikal. Dia menyikat rambutnya yang masih basah. Dia bersandar kepada dua orang atau kepada bahu dua orang sambil melakukan Tawaf di Baitullah. Lalu aku bertanya: Siapakah lelaki ini? Ada yang menjawab: Dia adalah al-Masih bin Mariam. Kemudian aku melihat pula seorang lelaki berambut kerinting, mata kanannya buta seperti buah anggur yang masak ranum yaitu matanya terkeluar. Lalu aku bertanya: Siapa pula lelaki ini? Ada yang menjawab: Dia adalah al-Masih Dajjal.
105 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika orang-orang Quraisy mendustakanku, aku berdiri di dalam Hijir. Kemudian Allah memperlihatkan kepadaku Baitulmuqaddis. Lalu aku mula menceritakan kepada mereka tentang tanda-tanda kebesaran Allah. Ketika itu aku memandang ke arah Baitulmuqaddis.
106 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku benar-benar pasti diriku berada di dalam Hijir, pada ketika itu orang-orang Quraisy sibuk bertanya tentang perjalananku dalam peristiwa Israk itu. Mereka bertanya aku berbagai perkara mengenai Baitulmuqaddis yang kurang jelas pada ingatanku. Aku amat dukacita kerana aku belum pernah mengalaminya sebelum ini. Lalu Allah memperlihatkan kepadaku dari jauh sehingga aku mampu melihatnya. Walau bagaimana sekalipun bentuk pertanyaan yang diajukan kepadaku, aku tetap dapat menceritakan kepada mereka dengan jelas. Aku benar-benar pasti bahawa diriku berada dalam sekumpulan para nabi, aku melihat Nabi Musa a.s sedang berdiri mengerjakan sembahyang, sememangnya dia seorang lelaki berbadan tinggi, kurus serta berambut kerinting, seakan-akan seorang lelaki dari Kaum Syanu'ah. Aku juga melihat Nabi Isa bin Mariam a.s yang sedang berdiri mengerjakan sembahyang, manakala orang yang paling mirip dengannya ialah Urwah bin Mas'ud As-Saqafi. Selain dari itu aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s yang sedang berdiri mengerjakan sembahyang. Manakala Orang yang amat menyerupainya adalah Sahabat kamu semua, maksudnya: Diri baginda sendiri. Ketika masuk waktu sembahyang, aku mengimami mereka, setelah selesai dari sembahyang ada suara memanggilku: Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga Neraka, ucapkanlah salam kepadanya! Lalu aku menoleh kepadanya, ternyata dia lebih dahulu mengucapkan salam kepadaku.
107 Hadits Ibnu Mas'ud r.a: Diriwayatkan dari Asy-Syaibani r.a katanya: Aku bertanya Zir bin Hubaisyin tentang firman Alah s.w.t: Yang bermaksud: Sehingga menjadilah jarak di antaranya dengan Nabi Muhammad sekadar dua hujung busaran panah atau lebih dekat lagi. Ruzain bin Hubaisyin berkata: Ibnu Mas'ud menceritakan kepadaku: Bahawa Nabi s.a.w telah melihat Jibril a.s mempunyai enam ratus sayap.
108 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Masruq r.a katanya: Ketika aku duduk bersandar berhampiran dengan Aisyah, Aisyah berkata: Wahai Abu Aisyah yaitu Masruq! Ada tiga perkara, sesiapa yang memperkatakan salah satu darinya bererti dia telah melakukan pembohongan yang amat besar terhadap Allah s.w.t. Aku bertanya: Apakah tiga perkara itu? Aisyah menjawab: Pertama: Sesiapa yang mendakwa bahawa Muhammad s.a.w melihat Tuhannya bermakna besarlah pembohongannya terhadap Allah s.w.t. Aku yang duduk bersandar dari tadi mula duduk dengan baik lalu aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Dengarlah kata-kataku ini terlebih dahulu, bukankah Allah s.w.t telah berfirman Yang bermaksud: Dan Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan kerana demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata. Firman Allah lagi Yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah melihat malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal sekali lagi. Kemudian Aisyah berkata: Akulah orang yang pertama bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini dari kalangan umat ini. Baginda telah menjawab dengan bersabda: Aku tidak pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya kecuali dua kali sahaja yaitu semasa dia turun dari langit dalam keadaan yang terlalu besar sehingga memenuhi di antara lagit dan bumi. Kemudian Aisyah berkata lagi: Adakah kamu tidak pernah mendengar firman Allah Yang bermaksud: Dia tidak dapat dilihat oleh penglihatan mata, sedangkan Dia dapat melihat dan mengetahui hakikat segala penglihatan mata dan Dialah Yang Maha Bersifat Lemah Lembut dalam melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya. Atau adakah engkau tidak pernah mendengar firman Allah Yang bermaksud: Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu dengan diberi ilham atau mimpi atau dari sebalik dinding dengan mendengar suara sahaja atau dengan mengutuskan utusan Malaikat lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi KeadaanNya, lagi Maha Bijaksana. Kemudian Aisyah berkata lagi: Barangsiapa yang mendakwa bahawa Rasulullah s.a.w telah menyembunyikan sesuatu dari kitab Allah, maka ketahuilah sesungguhnya dia adalah pendustaan yang paling besar terhadap Allah, sebagaimana firman Allah Yang bermaksud: Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya dengan menyampaikan semuanya, maka bermakna engkau tidak menyampaikan perutusanNya. Kemudian Aisyah berkata lagi: Barangsiapa yang mendakwa bahawa baginda menceritakan perkara yang berlaku pada besok harinya, maka ketahuilah dia merupakan suatu pendustaan yang besar terhadap Allah, sebagaimana firmanNya Yang bermaksud: Katakanlah lagi, tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.
109 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w menerangkan kepada kami lima perkara dengan bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t itu tidak pernah tidur dan mustahil Dia akan tidur. Dia berkuasa menurunkan timbangan amal dan mengangkatnya. kemudian akan diangkat kepadaNya yaitu dilaporkan segala amalan pada waktu malam sebelum bermula amalan pada waktu siang dan begitu juga amalan pada waktu siang akan diangkat kepadaNya sebelum bermula amalan pada waktu malam. HijabNya adalah Nur. Menurut riwayat Abu Bakar: Api. Andaikata Dia menyingkapkannya, sudah tentu keagungan zatNya akan membakar makhluk yang dipandang olehNya. Ertinya: Seluruh makhluk akan terbakar kerana pandangan Allah meliputi seluruh makhluk.
110 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Terdapat dua buah Surga yang diperbuat dari perak begitu juga isi kandungannya dan dua buah Surga yang di perbuat dari emas begitu juga isi kandungannya. Kemampuan ahli Surga untuk memandang Tuhan mereka hanyalah dihalangi oleh Hijab Keagungan pada zatNya di Surga Adni.
111 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya orang ramai telah bertanya Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kami dapat melihat Tuhan kami pada Hari Kiamat? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Adakah memudharatkan yaitu berbahaya jikalau kamu melihat bulan pada malam purnama? Mereka pun menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Baginda bertanya lagi kepada mereka: Adakah berbahaya jikalau kamu melihat matahari yang tidak dilindungi awan? Mereka menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Kemudian baginda bersabda: Begitulah juga kamu akan melihatNya, Allah s.w.t akan menghimpunkan seluruh manusia pada Hari Kiamat dan berkata kepada mereka bermaksud: Barangsiapa yang menyembah sesuatu benda, maka ikutilah benda tersebut. Bagi orang yang menyembah matahari, mereka akan mengikut matahari tersebut. Bagi orang yang menyembah bulan maka mereka akan mengikuti bulan tersebut. Manakala orang yang menyembah toghut, maka mereka akan mengikuti taghutnya itu. Jadi tinggal lagi umat ini yaitu umat yang percaya kepada Allah termasuklah orang-orang munafik yang tetap dengan kemunafikan mereka. Lalu Allah mendatangi mereka dengan bukan gambaranNya yang sebenar di mana gambaran tersebut mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhanmu. Mereka berkata: Kami berlindung dengan Allah dari engkau yaitu gambaran tersebut, beginilah pendirian kami sehingga Tuhan kami benar-benar datang kepada kami kerana kami mengenaliNya. Lalu Allah mendatangi mereka dengan gambaranNya yang sebenar sebagaimana yang mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhan kamu. Mereka pun menjawab: Engkaulah Tuhanku. Mereka pun mengikutNya. Kemudian Allah merentangkan kepada mereka suatu titian yang merentangi Neraka. Maka aku bersama umatku adalah orang pertama yang menyeberanginya. pada hari itu tiada seorangpun yang dapat berbicara kecuali para Rasul. Para Rasul berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah, selamatkanlah. Di dalam Neraka terdapat sejenis besi berkait seperti duri Saadan yaitu nama tumbuhan yang berduri besar, adakah kamu pernah melihat duri Saadan? Mereka pun menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya ia seperti duri Saadan yang tidak diketahui sebesar manakah bentuknya kecuali Allah. Ianya menggait manusia bersama amalan mereka. Tinggallah orang-orang mukmin bersama amalannya yang berjaya melintasi Neraka. Setelah Allah menetapkan hukuman di antara para hamba dan hendak mengeluarkan mereka dengan rahmatNya maka Dia akan memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan mereka dari Neraka tersebut. Manakala Orang yang tidak menyekutukanNya dan Dia menghendakinya maka mereka dikeluarkan dari sana dengan rahmatNya, begitu juga bagi orang yang berkata sesungguhnya para Malaikat mengenali mereka semasa dalam Neraka melalui kesan sujud. Api Neraka akan memakan seluruh anggota anak Adam kecuali kesan sujud. Allah telah mengharamkan api Neraka dari memakan kesan tersebut. Kemudian mereka dikeluarkan dari Neraka dalam keadaan hangus, lalu disiram dengan air kehidupan, maka pulihlah mereka sebagaimana tumbuhnya benih dalam kawasan banjir yaitu lumpur. Setelah Allah selesai dari mengadili hambaNya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke Neraka. Dia adalah ahli Surga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari Neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon dari Allah sepuas-puasnya. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dariMu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari Neraka. Apabila dia berpaling mengadap Surga dia terus terpegun, lalu dia memohon dari Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Surga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagunganMu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Surga. Setelah dia berdiri di ambang pintu Surga, terbukalah pintu Surga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Surga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhlukMu yang paling malang. Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Surga. Setelah dia memasuki Surga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka.
112 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Bahawa kaum muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w telah bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kami dapat melihat Tuhan kami nanti pada Hari Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Adakah kamu merasa sukar untuk melihat matahari pada siang hari yang cerah, yang tidak ada awan? Adakah kamu merasa sukar untuk melihat bulan pada malam purnama yang cerah tanpa ada awan? Kaum muslimin menjawab: Tidak, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak akan mengalami kesukaran dalam melihat Allah Taala pada Hari Kiamat sebagaimana kamu tidak mengalami kesukaran untuk melihat salah satu dari matahari dan bulan. Apabila berlaku Hari Kiamat, para penyeru yaitu para Malaikat mengumumkan: Setiap umat hendaklah mengikuti apa yang mereka sembah sewaktu di dunia. Maka tidak akan kekal seorangpun dari mereka yang menyembah selain dari Allah, yaitu berhala-berhala. Mereka akan dihumbankan ke dalam Neraka sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya yaitu semasa di dunia menyembah Allah, orang-orang yang baik, orang-orang jahat dan saki-baki Ahli Kitab. Maka orang-orang Yahudi. dipanggil dan ditanya Kepada mereka: Apakah yang kamu sembah sewaktu di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Uzair Ibnullah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta. Allah tidak pernah menjadikan walau seorangpun sebagai teman yaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apa yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus, wahai Tuhanku! Berilah kami minum. Lalu diisyaratkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka pun diiring beramai-ramai ke Neraka, Neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumbankan ke dalam Neraka. Kemudian dipanggil pula orang-orang Nasrani lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu sembah semasa di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah al-Masih anak Allah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta! Allah tidak pernah menjadikan walau seorang pun sebagai teman yaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apakah yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus wahai Tuhanku, berilah kami minum. Lalu ditunjukkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka diiring ke Neraka Jahanam. Neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumbankan ke dalam Neraka, sehinggalah yang tingal hanyalah orang-orang yang dahulunya menyembah Allah Taala, orang-orang baik dan orang-orang jahat. Maka Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam datang kepada mereka dalam bentuk yang lebih rendah dari bentuk yang mereka ketahui lalu berfirman: Apakah yang kamu tunggu? Setiap umat akan mengikuti apa yang dahulunya mereka sembah. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Di dunia, kami memisahan diri dari orang-orang yang menyusahkan kami yaitu untuk membantu penghidupan di dunia dan kami tidak mahu berkawan dengan mereka yaitu kerana mereka menyimpang dari jalan yang digariskan oleh agama. Allah berfirman lagi kepada mereka: Akulah Tuhan kamu! Mereka berkata: Kami mohon perlindungan dari Allah kepada kamu, kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun untuk kali kedua atau ketiga sehingga sebahagian mereka hampir-hampir berubah yaitu kembali kepada kebenaran. Maka Allah berfirman: Apakah di antara kamu dan Allah terdapat tanda-tanda yang membuatkan kamu dapat mengenaliNya? Mereka menjawab: Ya! Lalu disingkapkan keadaan yang menakutkan itu dan setiap orang yang hendak bersujud kepada Allah dengan keinginan mereka sendiri sudah pasti akan mendapat keizinan Allah sedangkan orang yang akan bersujud kerana takut atau untuk memperlihatkannya, maka Allah akan menyatukan belakangnya sehingga tidak boleh bersujud. Setiap kali hendak bersujud, dia hanya dapat membongkokkan pada tengkuknya. Kemudian apabila mereka mengangkat kepala, Allah telah pun berupa sebagaimana gambaran yang mereka lihat pertama kali tadi. Maka Allah pun berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka menyahut: Engkau Tuhan Kami! Kemudian dibentangkan sebuah jambatan di atas Neraka Jahannam dan yang dibenarkan ketika itu hanyalah syafaat dari Rasul-rasul di mana mereka mengucapkan: Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah. Kemudian ada yang bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah jambatan itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Ianya merupakan lumpur yang licin. Padanya juga terdapat besi berkait dan besi berduri. Di Najd terdapat tumbuhan berduri yang disebut Sakdan. Maka seperti itulah besi-besi berkait tersebut. Kepantasan orang-orang mukmin melintasi jambatan tersebut ada seperti kerlipan mata, seperti kilat, seperti angin, seperti burung dan seperti kuda atau unta yang berlari kencang. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan: Selamat dan tidak mengalami apa-apa rintangan, selamat tetapi terpaksa menempuh banyak rintangan dan terkoyak serta yang terus terjerumus ke dalam Neraka Jahanam. Pada saat orang-orang mukmin telah bebas dari azab Neraka, maka demi zat yang menguasai diriku yaitu diri Rasulullah nescaya tidak ada orang yang begitu mengambil berat dalam mencari kebenaran, melebihi orang-orang mukmin yang mencari kebenaran dari Allah demi kepentingan saudara-saudara mereka yang masih berada di Neraka. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya dulu mereka berpuasa bersama kami, menunaikan sembahyang dan mengerjakan Haji. Lalu Allah berfirman kepada mereka: Keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal kerana wajah-wajah mereka diharamkan ke atas api Neraka. Maka ramai yang dapat dikeluarkan dari Neraka. Ada yang sudah terbakar hingga separuh betis dan lututnya. Orang-orang mukmin itu berkata: Wahai Tuhan kami, tidakkah ada lagi yang tertinggal di dalam Neraka setelah Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, siapa saja yang kamu temukan di hatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat satu dinar, maka keluarkanlah. Jadi mereka dapat mengeluarkan ramai manusia. Lalu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Kami tidak tahu apakah masih ada di Neraka seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan dihatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat setengah dinar, maka keluarkanlah. Mereka dapat mengeluarkan ramai lagi manusia. Setelah itu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu, apakah di sana masih ada seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan di dalam hatinya terdapat kebaikan meskipun hanya seberat zarah, maka keluarkanlah. Bertambah ramai lagi yang dapat dikeluarkan. Kemudian mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu adakah di sana masih ada pemilik kebaikan. Sesungguhnya Abu Said al-Khudri berkata: Jika kamu tidak mempercayaiku mengenai Hadits ini, maka bacalah firman Allah ayat 40 surah An-Nisa' Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya serta memberikan dari sisiNya pahala yang besar. Allah s.w.t berfirman: Para Malaikat telah meminta syafaat, para nabi telah meminta syafaat dan orang-orang mukmin juga telah meminta syafaat. Yang tinggal hanyalah Zat Yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang. Lalu Allah merangkum dari Neraka dan mengeluarkan sekumpulan orang yang sama sekali tidak pernah melakukan kebaikan. Mereka telah menyedari. Kemudian mereka dilempar ke sebuah sungai di pintu Surga, yang disebut Sungai Kehidupan. Seterusnya mereka keluar seperti tumbuhan kecil yang keluar selepas dari banjir. Bukankah kamu sering melihat tumbuhan kecil di celah-celah batu atau pohon, bahagian yang terkena sinaran matahari akan berwarna sedikit kekuningan dan hijau, sedangkan yang berada di bawah tempat teduh akan menjadi putih? Para Sahabat mencelah: Seakan-akan engkau pernah menggembala di gurun. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Lalu mereka keluar bagaikan mutiara. Di leher mereka ada kalong, sehingga para ahli Surga dapat mengenali mereka: Mereka adalah orang-orang yang dibebaskan oleh Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam Surga, tanpa amalan yang mereka kerjakan dan juga tanpa kebaikan yang mereka lakukan. Kemudian Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Surga, apa-apa yang kamu lihat, ianya adalah untuk kamu. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Engkau telah berikan kepada kami pemberian yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun di antara orang-orang di seluruh alam. Allah berfirman: Di sisiKu ada pemberian untuk kamu yang lebih baik dari pemberian ini. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, apa lagi yang lebih baik dari pemberian ini? Allah berfirman: RedhaKu, lalu Aku tidak memurkai kamu selepas ini buat selama-lamanya.
113 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku benar-benar tahu ahli Neraka yang terakhir keluar dari sana dan ahli Surga yang terakhir masuk ke Surga yaitu seseorang yang keluar dari Neraka secara merangkak lalu Allah Taala berfirman kepadanya: Pergilah, masuklah ke dalam Surga, maka dia pun mendatangi Surga, tetapi terlintas di fikirannya bahawa Surga itu telah pun dipenuhi. Oleh itu dia kembali dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah temui Surga itu namun ianya telah penuh. Allah Taala berfirman: Pergilah, masuklah ke dalam Surga, maka dia pun mendatangi Surga, tetapi terlintas di fikirannya bahawa Surga itu telah dipenuhi lalu kembali semula dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah temui Surga itu tetapi ianya telah penuh. Allah berfirman: Pergilah, masuklah ke dalam Surga kerana sesungguhnya ianya untukmu seumpama dunia dan sepuluh kali gandanya atau sesungguhnya ianya bagimu sepuluh kali ganda dunia. Lelaki itu berkata: Adakah Engkau mengejekku atau mempermain-mainkan aku, kerana Engkau adalah Maharaja? Maka Abdullah bin Masud berkata: Aku benar-benar melihat Rasulullah s.a.w tertawa sehingga ternampak gigi geraham baginda dan dikatakan: Itulah Ahli Surga yang paling rendah kedudukannya.
114 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Beliau pernah ditanya tentang kebangkitan di akhirat. Maka beliau berkata: Kita dibangkitkan pada Hari Kiamat begini dan begini. Lihatlah! Ertinya: kedatangan manusia itu mengikut darjat masing-masing. Lalu dipanggil umat-umat dengan berhalanya dan apa yang mereka sembah suatu ketika dahulu, secara berturutan. Setelah itu, Tuhan datang kepada kita lalu berfirman: Siapakah yang kamu tunggu? Maka mereka pun menjawab: Kami menunggu Tuhan kami. Allah berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka akan berkata: Sehingga kami melihatMu dulu. Terserlah pada mereka Tuhan tertawa. Lalu Dia membawa mereka dan mereka pun mengikutiNya. Setiap seorang di antara mereka samada munafik atau mukmin akan diberi nur yaitu cahaya. Kemudian mereka mengikuti cahaya tersebut melalui jambatan Neraka Jahanam, terdapat besi-besi pengait dan berduri yang boleh meragut sesiapa saja yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian nur yaitu cahaya orang-orang munafik padam, sedangkan orang-orang mukmin selamat. Selamatlah rombongan pertama yang terpancar pada wajah mereka bagaikan bulan purnama seramai tujuh puluh ribu orang tanpa dihisab. Kemudian orang-orang berikutnya seperti terangnya bintang-bintang di langit, demikianlah seterusnya. Kemudian syafaat diizinkan. Mereka pun meminta syafaat, sehingga mereka dapat mengeluarkan dari Neraka sesiapa yang melafazkan: dan di hatinya terdapat kebaikan seberat biji gandum. Mereka akan ditempatkan di halaman Surga lalu Ahli Surga akan memercikkan mereka dengan air sehinggalah daging mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu tumbuhan selepas banjir dan hilanglah hangusnya. Kemudian dia yaitu orang terakhir meminta, sehingga diberikan kepadanya dunia dengan sepuluh kali ganda.
115 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah akan mengumpulkan manusia pada Hari Kiamat. Pada ketika itu mereka memandang penting masalah syafaat. Ibnu Ubaid berkata: Mereka diberi ilham untuk bertanyakan hal itu. Mereka berkata: Kalaulah kita dapat memohon syafaat kepada Tuhan, agar Dia mengizinkan kita berehat dari keadaan kita ini. Oleh itu Mereka pergi kepada Nabi Adam a.s, lalu berkata: Wahai Adam! Engkau adalah bapa kepada semua makhluk yaitu manusia. Allah telah menciptakanmu dengan tanganNya dan meniupkan roh ke dalam badanmu serta telah memerintahkan para malaikat supaya sujud kepadamu. Syafaatilah kami di hadapan Tuhanmu, agar mengizinkan kami berehat dari keadaan begini. Adam menjawab: Aku tidak boleh berbuat demikian sambil menyebut kesalahan yang pernah dilakukannya yang membuatkan beliau merasa malu kepada Tuhan kerana kesalahan tersebut sebaliknya beliau menyuruh kami menemui Nabi Nuh, Rasul pertama yang diutuskan oleh Allah. Lantas mereka pergi menemui Nabi Nuh a.s, namun beliau berkata: Aku tidak boleh berbuat demikian sambil menyebut kesalahan yang pernah dilakukannya yang membuatkan beliau merasa malu kepada Tuhan kerana kesalahan tersebut sebaliknya menyuruh kami menemui Nabi Ibrahim a.s yang telah dianggap sebagai kekasih Allah. Mereka pun pergi menemui Nabi Ibrahim a.s. Beliau juga berkata: Aku tidak boleh berbuat demikian sambil menyebut kesalahan yang pernah dilakukannya yang membuatkan beliau merasa malu kepada Tuhan kerana kesalahan tersebut tetapi beliau menyuruh kami menemui Nabi Musa a.s yang pernah diajak bicara oleh Allah dan diberi Kitab Taurat. Mereka pun pergi menemui Nabi Musa a.s. Beliau juga berkata: Aku tidak boleh berbuat demikian sambil menyebut kesalahan yang pernah dilakukannya yang membuatkan beliau merasa malu kepada Tuhan kerana kesalahan tersebut tetapi beliau menyuruh kami menemui Nabi Isa a.s Rohullah dan KalimahNya. Mereka pun pergi menemui Nabi Isa a.s Rohulllah dan KalimatNya. Beliau juga berkata: Aku tidak boleh berbuat demikian, tetapi pergilah kamu semua kepada Muhammad s.a.w, hamba Allah yang telah diampuni dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian. Rasulullah s.a.w meneruskan sabda baginda: Mereka datang kepadaku, lalu aku meminta izin kepada Tuhan. Aku pun diberi izin. Ketika aku melihatNya, aku jatuh dalam keadaan bersujud. Dia memanggil-manggilku, kemudian difirmankan kepadaku: Angkatlah kepalamu wahai Muhammad! Katakanlah sesuatu, engkau akan didengar. Pohonlah, engkau akan diberi. Syafaatilah, aku akan terima syafaat yang kau pinta. Aku mengangkat kepalaku dan memuji Tuhan dengan pujian yang telah diajarkan oleh Allah kepadaku. Kemudian aku memberi syafaat. Allah memberi batas-batas kepadaku. Lalu aku mengeluarkan lagi orang-orang dari Neraka dan memasukkan mereka ke dalam Surga. Kemudian aku kembali jatuh bersujud. Maka Dia memanggilku sebagaimana Dia kehendaki kemudian difirmankan kepada baginda: Angkatlah kepalamu wahai Muhammad! Katakanlah, engkau akan didengar. Pohonlah, engkau akan diberi. Syafaatilah, aku akan terima Syafaat yang kau pinta. Perawi Hadits berkata: Aku tidak pasti samada pada kali yang ketiga atau kali yang keempat baginda bersabda: Wahai Tuhanku! Yang masih ada di dalam Neraka hanyalah orang-orang yang ditahan oleh al-Quran yaitu orang yang memang seharusnya kekal di dalam Neraka.
116 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w dibawakan dengan seketul daging, lalu diberikan daging paha tersebut kepada baginda yang sememangnya baginda sangat sukai. Baginda menggigitnya sekali lalu bersabda: Aku adalah pemimpin manusia pada Hari Kiamat. Tahukah kamu apa sebabnya? Pada Hari Kiamat, Allah mengumpulkan orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian pada satu kawasan yang luas. Ada penyeru yang memperdengarkan kepada mereka dan ada penglihatan yang mengawasi setiap orang dari mereka. Jarak matahari begitu dekat sehingga manusia pada ketika itu berada pada kemuncak kesusahan dan kepayahan yang amat dahsyat, mereka tidak berkuasa untuk menanggong keadaan tersebut. Sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Tidakkah kamu tahu apa yang sedang kamu alami. Tidakkah kamu rasai kepayahan yang telah menimpa kamu? Tidakkah kamu mempunyai pandangan sesiapa yang dapat memintakan syafaat kepada Tuhan kamu? Maka setengah dari mereka mengesyorkan agar menemui Nabi Adam a.s. Maka mereka menemui Nabi Adam a.s lalu berkata: Wahai Adam! Engkau adalah bapa manusia. Allah telah menciptakanmu dengan tanganNya dan meniupkan roh ke dalam dirimu. Dia juga memerintahkan para Malaikat supaya sujud kepadamu. Mintakankah syafaat untuk kami kepada Tuhanmu. Tidakkah engkau melihat apa yang kami alami? Tidakkah engkau melihat kepayahan yang menimpa kami? Nabi Adam a.s berkata: Sesungguhnya pada hari ini Tuhanku sangat marah, kemarahan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan tidak akan terjadi selepas ini. Dulu, aku ditegah mendekati sebatang pokok, tetapi aku menderhakaiNya. Diriku, diriku pergilah kepada orang lain. Pergilah kepada Nabi Nuh a.s. Maka mereka pun pergi menemui Nabi Nuh a.s lalu berkata: Wahai Nuh! Engkau adalah Rasul pertama di atas bumi dan Allah menyebutmu hamba yang banyak bersyukur. Mintakanlah syafaat untuk kami kepada Tuhanmu. Tidakkah engkau melihat apa yang sedang kami alami? Tidakkah engkau melihat apa yang telah menimpa kami? Beliau berkata kepada mereka: Pada hari ini, Tuhanku sangat marah, kemarahan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan tidak akan terjadi selepas ini. Dulu aku berdoa dengan doa yang mencelakakan kaumku. Diriku, diriku. Pergilah kamu kepada Nabi Ibrahim a.s. Mereka pun pergi menemui Nabi Ibrahim a.s lalu berkata: Engkau adalah Nabi dan kekasih Allah di antara penduduk bumi. Mintakanlah syafaat untuk kami kepada Tuhanmu. Tidakkah engkau melihat apa yang sedang kami alami? Tidakkah engkau melihat apa yang telah menimpa kami? Nabi Ibrahim a.s berkata: Sesungguhnya pada hari ini Tuhanku sangat marah, kemarahan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan tidak akan terjadi selepas ini. Beliau menyebut pembohongan-pembohongannya. Diriku, diriku. Pergilah kamu kepada orang lain. Pergilah kamu kepada Nabi Musa a.s. Maka mereka pun pergi menemui Nabi Musa a.s lalu berkata: Wahai Musa! Engkau adalah Utusan Allah. Allah telah mengutamakanmu dengan risalahNya dan KalamNya, melebihi manusia lain. Mintakanlah untuk kami syafaat kepada Tuhanmu. Tidakkah engkau melihat apa yang sedang kami alami? Tidakkah engkau melihat apa yang telah menimpa kami? Nabi Musa a.s berkata: Sesungguhnya pada hari ini Tuhanku sangat marah, kemarahan yang belum pernah terjadi dan tidak akan terjadi selepas ini. Dulu aku membunuh orang padahal aku tidak diperintahkan untuk membunuhnya. Diriku, diriku. Pergilah kamu kepada Nabi Isa a.s. Maka mereka pun pergi menemui Nabi Isa a.s lalu berkata: Wahai Isa! Engkau adalah utusan Allah. Engkau telah berbicara kepada manusia semasa engkau masih dalam buaian. Engkau adalah kalimahNya yang Dia sampaikan kepada Mariam dan roh dariNya. Mintakanlah untuk kami syafaat kepada Tuhanmu. Tidakkah engkau melihat apa yang sedang kami alami? Tidakkah engkau melihat apa yang telah menimpa kami? Nabi Isa a.s, berkata: Sesungguhnya pada hari ini Tuhanku sangat marah, kemarahan yang tidak pernah terjadi sebelum ini dan tidak akan terjadi selepas ini. Beliau tidak menyebutkan dosanya. Diriku, diriku. Pergilah kepada orang lain. Pergilah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maka mereka telah mendatangiku dan berkata: Wahai Muhammad! Engkau adalah Utusan Allah dan penutup para nabi. Allah telah mengampunimu, dosa yang terdahulu dan yang terkemudian. Syafaatilah kami di hadapan Tuhanmu. Tidakkah engkau melihat apa yang sedang kami alami? Tidakkah engkau melihat apa yang telah menimpa kami? Akupun berangkat. Sesampainya di bawah Arasy, aku merebahkan diri bersujud kepada Tuhanku. Kemudian Allah membukakan kepadaku dan memberiku ilham, berupa puji-pujian bagiNya dan sanjungan kepadaNya, sesuatu yang tidak pernah dibukakan kepada seorangpun sebelumku. Kemudian difirmankan: Wahai Muhammad angkatlah kepalamu. Mintalah, engkau pasti diberi. Berikanlah syafaat, syafaatmu diterima. Aku mengangkat kepala sambil berkata: Wahai Tuhanku. Umatku, umatku. Maka Allah berfirman: Wahai Muhammad. Masukkanlah umat-umatmu yang tidak harus dihisab ke dalam Surga melalui pintu sebelah kanan di antara pintu-pintu Surga. Mereka juga boleh masuk bersama orang lain yaitu ahli Surga yang bukan termasuk golongan di atas dari pintu-pintu lain. Demi Zat yang menguasai jiwa Muhammad Sesungguhnya jarak antara dua pintu Surga itu, sama dengan jarak antara Mekah dan Hajar sebuah Kota di Bahrain atau sama dengan jarak antara Mekah dan Busyra dekat Damsyik.
117 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Taala akan mengumpulkan manusia. Orang-orang mukmin berdiri, sehingga Surga didekatkan kepada mereka. Lalu mereka datang kepada Nabi Adam a.s, dan berkata: Wahai Bapa kami, pohonlah agar dibukakan Surga untuk kami. Beliau menjawab: Apa yang membuatkan kamu semua keluar dari Surga hanyalah kerana kesalahan bapa kamu Adam! Aku bukanlah orang yang layak untuk kamu semua minta pertolongan. Pergilah kepada anakku Ibrahim a.s, Khalilullah yaitu kekasih Allah. Ibrahim a.s, berkata: Aku bukanlah orang yang layak untuk kamu semua minta pertolongan. Aku menjadi kekasih hanyalah dari belakang. Pergilah kepada Musa a.s, yang pernah diajak berbicara oleh Allah. Mereka pergi menemui Nabi Musa a.s. Beliau berkata: Aku bukanlah orang yang layak untuk kamu semua meminta pertolongan. Pergilah kepada Nabi Isa a.s, Kalimatullah yaitu kalam Allah dan RohNya. Nabi Isa a.s juga berkata: Aku bukanlah orang yang layak untuk kamu semua meminta pertolongan. Mereka pun pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w. Baginda berdiri dan mendapat izin. Baginda menyampaikan amanat dan belas Kasihan semasa berdiri di sebelah menyebelah jambatan, di kanan dan kiri. Maka golongan pertama menyeberanginya bagaikan kilat. Perawi Hadits berkata: Demi ayah dan ibuku. Apakah yang dimaksudkan seperti kilat? Rasulullah s.a.w bersabda: Bukankah kamu pernah melihat kilat? Bagaimana kilat itu datang dan kembali dalam sekelip mata? Seterusnya seperti pergerakan angin. Kemudian seperti burung terbang dan seorang lelaki yang berlari pantas. Amalan mereka sajalah yang mampu membawa mereka samada cepat mahupun lambat. Sementara itu Nabi kamu berdiri di atas jambatan, seraya berkata: Wahai Tuhanku. Selamatkanlah, selamatkanlah. Sehinggalah amalan-amalan hamba semakin lemah, sehinggakan ada orang yang tidak mampu untuk berjalan, hanya mampu dengan merangkak. Di kedua-dua belah jambatan terdapat besi pengait yang digantungkan menunggu arahan untuk mengheret siapa saja yang memang diperintahkan untuk dikait. Oleh itu ada pula yang carik-carik pakaiannya tetapi selamat dan ada pula yang terus dihumbankan ke dalam Neraka. Demi diri Abu Hurairah di bawah kekuasaanNya, Neraka Jahanam dalamnya sama dengan perjalanan tujuh puluh kali pertukaran musim.
118 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap Nabi mempunyai doa yang mudah dimakbulkan. Aku ingin menyimpan doaku tersebut, untuk memberi syafaat kepada umatku pada Hari Kiamat nanti.
119 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Setiap Nabi mempunyai doa-doa yang didoakan untuk umatnya, sesungguhnya aku menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada Hari Kiamat.
120 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ketika turunnya ayat al-Quran surah As-Syura, ayat 214 Yang bermaksud: Berilah peringatan berbentuk ancaman kepada kaum kerabatmu yang terdekat. Rasulullah s.a.w telah menyeru kaum Quraisy lalu mereka semua berkumpul. Rasulullah s.a.w telah berbicara secara umum dan secara khusus. Baginda bersabda lagi: Wahai Bani Ka'ab bin Luaiy. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Murrah bin Ka'ab. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Syams. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Manaf. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Hasyim. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Muttalib. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Fatimah. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Sesungguhnya aku tidak boleh menolak sebarang siksaan Allah kepada kamu, maka janganlah merasa selamat dari azab Allah dengan sebab mempunyai hubungan kerabat denganku melainkan kamu menjalinkan hubungan silaturahim yaitu Islam. Tentu aku akan menguatkan hubungan itu dengan hubungan yang kuat yaitu ihsan.
121 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Tatakala turunnya ayat 214 surah As-Syura Yang bermaksud: Berilah peringatan berbentuk ancaman kepada kaum kerabatmu yang terdekat yaitu kaum kerabatmu yang benar-benar ikhlas. Rasulullah s.a.w keluar dan menaiki Bukit Sofa lalu berteriak seolah-olah memanggil: Ya Sobahah. Orang ramai tertanya-tanya siapakah yang berteriak. Mereka menjawab: Muhammad. Maka mereka pun mula berkumpul ke arah baginda. Baginda pun bersabda: Wahai Bani Anu! Bani Anu! Bani Anu! Wahai Bani Abdul Manaf! Wahai Bani Abdul Muttalib! Maka mereka semua pun menghampiri baginda. Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah pendapat kamu sekiranya aku khabarkan kepada kamu bahawa sepasukan tentera berkuda akan keluar melalui kaki bukit ini untuk menyerang kamu. Adakah kamu akan mempercayaiku? Mereka menjawab: Kami tidak pernah mendapati kamu berdusta. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Sesungguhnya aku membawa berita ancaman kepadamu tentang azab yang pedih. Ibnu Abbas berkata: Abu Lahab mencelah: Celaka kamu. Adakah kamu minta kami berkumpul hanya untuk mendengar perkara ini yaitu memberitahu berita ancaman azab. Lantas Abu Lahab bangun dan beredar. Maka turunlah surah: dan sesungguhnya Abu Lahab telah dicela dan dicelakakan oleh Allah.
122 Diriwayatkan dari al-Abbas bin Abdul Muttalib r.a katanya: Sesungguhnya beliau berkata: Wahai Rasulullah! Adakah engkau dapat memberikan sesuatu manfaat kepada Abu Talib? Sesungguhnya dia membelamu yaitu menolong, menjaga, memenuhi segala keperluan dan marah kepada musuhmu demi keselamatanmu. Rasulullah s.a.w menjawab dengan sabdanya: Ya, dia berada di Neraka yang paling cetek yaitu kurang panas. Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di Neraka yang paling bawah yaitu paling panas.
123 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendengar orang bercakap tentang bapa saudaranya yaitu Abu Talib. Maka Rasulullah s.a.w bersabda Semoga syafaatku dapat menolongnya pada Hari Kiamat. Dia diletakkan di dalam Neraka yang paling cetek yaitu kurang panas, apabila diletakkan kakinya nescaya mendidih otaknya.
124 Diriwayatkan dari An-Nu'man bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang paling ringan azabnya pada Hari Kiamat ialah seorang lelaki yang diletakkan pada tapak kakinya dua biji batu dari Neraka, ianya akan menyebabkan otaknya mendidih yaitu lelaki yang tidak pernah kena tanah semasa berjalan.
125 Diriwayatkan dari Amru bin al-As r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda secara terang: Sesungguhnya keluarga ayahku yaitu Si Polan, tidaklah orang yang paling aku kasihi serta menjadikan mereka sebagai sahabatku. Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi ialah Allah dan orang-orang mukmin yang soleh.
126 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Nabi s.a.w bersabda: Sebahagian dari umatku yaitu seramai tujuh puluh ribu orang akan dimasukkan ke Surga tanpa dihisab. lalu seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah supaya aku tergolong dari kalangan mereka. Baginda pun berdoa: Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam golongan mereka itu. Kemudian bangun pula seorang dari golongan Ansar lagi lalu berkata: Wahai Rasulullah doakanlah kepada Allah supaya aku tergolong dari kalangan mereka. Baginda bersabda: Ukkasyah telah mendahului kamu.
127 Hadits Sahl bin Saad r.a: Diriwayatkan dari Abu Hazim dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tujuh-puluh ribu orang atau tujuh ratus ribu. Abu Hazim tidak tahu dengan tepat orang yang akan memasuki Surga dari umat Nabi Muhammad s.a.w. Sahl bin Saad menceritakan lagi bahawa mereka masuk ke Surga dalam keadaan berpegangan antara satu sama lain. Orang yang pertama tidak akan masuk sehingga orang yang terakhir dari mereka memasukinya. Wajah mereka diibaratkan seperti bulan purnama.
128 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku telah diperlihatkan oleh Allah beberapa golongan umat manusia. Maka aku telah melihat seorang Nabi bersamanya satu kumpulan manusia yaitu tidak lebih dari sepuluh orang. Seorang Nabi bersamanya seorang lelaki dan dua orang lelaki dan seorang Nabi tanpa seorang pun bersamanya. Tiba-tiba diperlihatkan kepada aku satu kumpulan yang ramai. Aku menyangka mereka adalah dari umatku. Tetapi dikatakan kepadaku mereka adalah Nabi Musa a.s dan kaumnya. Lihatlah ke ufuk, lalu aku pun melihatnya, ternyata terdapat satu kumpulan yang ramai. Dikatakan lagi kepadaku: Lihatlah ke ufuk yang lain. Ternyata di sana juga terdapat satu kumpulan yang ramai. Dikatakan kepadaku: Ini adalah umatmu dan bersama mereka ada tujuh puluh ribu orang yang akan memasuki Surga tanpa dihisab dan diazab. Kemudian Rasulullah s.a.w bangkit lalu masuk ke dalam rumahnya. Orang ramai telah berbincang mengenai mereka yang akan dimasukkan ke dalam Surga tanpa dihisab dan diazab. kemudian setengah dari mereka berkata: Mungkin mereka adalah orang-orang yang selalu bersama Rasulullah s.a.w. Ada pula yang mengatakan: Mungkin mereka adalah orang-orang yang dilahirkan dalam Islam dan tidak pernah melakukan perbuatan syirik terhadap Allah. Mereka mengemukakan pendapat masing-masing. Ketika itu Rasulullah s.a.w keluar menemui mereka lalu Baginda bertanya dengan bersabda: Apa yang telah kamu bincangkan? Mereka pun menerangkan keadaan tersebut. Maka Rasulullah s.a.w terus bersabda: Mereka adalah orang-orang yang tidak menggunakan jampi mentera, tidak meminta supaya dibuat jampi mentera, tidak meramalkan perkara-perkara buruk dan hanya kepada Allah mereka bertawakal. Ukkasyah bin Mihsan berdiri lalu berkata: Berdoalah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu termasuk dari kalangan mereka. Kemudian berdiri seorang lelaki yang lain lalu berkata: Berdoalah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Ukkasyah telah mendahului kamu supaya digolongkan dari kalangan mereka yang memasuki Surga tanpa dihisab.
129 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada kami: Tidakkah kamu suka menjadi satu perempat ahli Surga. Kata Abdullah: Kami pun bertakbir. Baginda bersabda lagi: Tidakkah kamu suka sekiranya menjadi satu pertiga ahli Surga. Kata Abdullah: Kami pun bertakbir. Kemudian Baginda bersabda: Sesungguhnya aku berharap semoga kamu menjadi separuh dari ahli Surga. Aku akan memberitahu perkara itu kepada kamu yaitu tentang keadaan orang-orang Islam yang berada di tengah-tengah orang Kafir, adalah seperti sehelai bulu putih pada lembu hitam atau seperti sehelai bulu hitam pada lembu putih.
130 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Wahai Adam! Lalu baginda menyahut: Aku bersedia menerima perintahMu dan kebaikan ada di tanganMu. Allah berfirman: Keluarkan orang yang dikirimkan ke Neraka. Adam bertanya: Berapa orang yang dikirim ke Neraka itu? Allah berfirman: Dari setiap seribu orang, dikeluarkan sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang. Rasulullah s.a.w bersabda: Semua itu terjadi ketika kanak-kanak beruban, Yang bermaksud: Wanita yang hamil akan gugur kandungan dan manusia berada di dalam keadaan mabuk, sedangkan sebenarnya mereka tidak mabuk tetapi siksa Allah yang amat dahsyat. Sabda Rasulullah s.a.w tersebut merungsingkan para Sahabat. Maka mereka bertanya: Wahai Rasulullah. Siapakah di antara kami lelaki itu yaitu seorang di antara seribu? Rasulullah s.a.w bersabda: Bergembiralah kamu kerana di antara seribu itu ialah Yakjuj dan Makjuj, sedangkan dari kamu hanya seorang. Kemudian Baginda bersabda: Demi zat yang menguasai diriku, sesungguhnya aku mengharapkan kamu menjadi satu perempat dari Ahli Surga. Maka kami yaitu para Sahabat memuji Allah dan bertakbir. Baginda bersabda lagi: Demi zat yang menguasai diriku, sesungguhnya aku mengharapkan kamu akan menjadi satu pertiga dari ahli Surga. Kami memuji Allah dan bertakbir. Kemudian baginda bersabda: Demi zat yang menguasai diriku, sesungguhnya aku mengharapkan kamu menjadi sebahagian dari Ahli Surga. Perumpamaan kamu di tengah-tengah umat lain, bagaikan sehelai bulu putih pada lembu hitam atau seperti tanda di betis Kaldai.

BERSUCI
131 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tidak akan diterima sembahyang seseorang yang berhadas sehinggalah dia berwuduk.
132 Hadits Saidina Othman bin Affan r.a: Diriwayatkan dari Humran r.a katanya: Saidina Othman bin Affan r.a telah meminta air untuk berwuduk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri, sama seperti membasuh kaki kanannya. Kemudian Saidina Othman r.a berkata: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar baginda s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengambil wuduk seperti cara aku berwuduk kemudian dia menunaikan sembahyang dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan sembahyang, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
133 Diriwayatkan dari Saidina Othman r.a katanya: Sesungguhnya beliau telah mengajar cara berwuduk di Maqaid yaitu di kedai-kedai yang berhampiran dengan rumahnya. Beliau bertanya: Mahukah kamu jika aku tunjukkan bagaimana cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk? Beliau kemudian berwuduk tiga-tiga kali.
134 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid bin Aa'sim al-Ansari r.a katanya: Beliau telah ditanya: Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah s.a.w berwuduk. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk menceduk air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau menceduk air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau menceduk lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau menceduk lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk.
135 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Apabila seseorang dari kamu menggunakan batu untuk menyucikan najis yaitu beristinjak hendaklah dia menyucikannya secara bilangan ganjil dan apabila dia berwuduk hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian dia menghembuskan air itu keluar.
136 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila seseorang dari kamu bangkit dari tidur, maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar sebanyak tiga kali kerana sesungguhnya syaitan tidur dalam rongga hidungnya yaitu ketika dia tidur.
137 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru r.a katanya: Suatu hari, kami pulang bersama Rasulullah s.a.w dari Mekah menuju ke Madinah. Di pertengahan jalan, apabila kami tiba di suatu tempat yang mempunyai air kami dapati sekelompok manusia dalam keadaan tergesa-gesa mengambil wuduk kerana waktu asar hampir luput. Apabila kami menghampiri mereka, kami dapati tumit-tumit mereka kering tidak dibasahi air. Maka Rasulullah s.a.w telah bersabda: Celakalah tumit-tumit yang tidak basah itu dengan ancaman api Neraka. Sempurnakanlah wuduk kamu dengan baik.
138 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah melihat seorang lelaki tidak membasuh kedua tumitnya ketika mengambil wuduk. Maka baginda pun bersabda: Celakalah yaitu mendapat azab Neraka Wail bagi tumit-tumit yang tidak basah sewaktu berwuduk dengan siksaan api Neraka.
139 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu merupakan orang yang bercahaya muka, tangan dan kakinya pada Hari Kiamat kerana kamu telah menyempurnakan wuduk dengan baik. Maka sesiapa di antara kamu yang mampu melebihkan had basuhan pada muka, tangan dan kakinya hendaklah dia berbuat demikian.
140 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah pergi ke kawasan perkuburan lalu bersabda: Aku sangat gembira sekiranya kita dapat melihat saudara-saudara kita. Para Sahabat bertanya: Tidakkah kami semua saudara-saudara kamu wahai Rasulullah? Baginda menjawab dengan bersabda: Kamu semua adalah sahabatku, saudara-saudara kita ialah mereka yang belum wujud lagi. Sahabat bertanya lagi: Bagaimana kamu dapat mengenali mereka yang belum lagi wujud dari kalangan umatmu wahai Rasulullah? Baginda menjawab dengan bersabda: Apakah pendapat kamu sekiranya seorang lelaki mempunyai seekor kuda yang berbulu putih di dahi serta di kakinya dan kuda itu berada di tengah-tengah sekelompok kuda yang hitam legam. Adakah dia akan mengenali kudanya itu? Para Sahabat menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda lagi: Maka mereka datang dalam keadaan muka dan kaki mereka bercahaya kerana kesan wuduk. Aku mendahului mereka ke telaga. Ingatlah! Ada golongan lelaki yang dihalang dari datang ke telagaku seolah-olah menghalau unta-unta sesat. Aku memanggil mereka: Kemarilah kamu semua. Maka diberitahu bahawasanya mereka telah menukar ajaranmu selepas kamu wafat. Maka aku bersabda: Pergilah jauh-jauh dari sini.
141 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Sekiranya arahan aku tidak akan menyusahkan orang mukmin pada Hadits Zuhair ke atas umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka bersugi yaitu mencuci gigi setiap kali hendak mendirikan sembahyang.
142 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Aku telah masuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Ketika itu hujung sugi masih berada di hujung lidah yaitu mulut baginda.
143 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk menunaikan sembahyang tahajjud, baginda menggosok gigi dengan sugi.
144 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Fitrah ada lima atau mungkin juga diriwayatkan Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai sifat semulajadi seseorang manusia yaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting kumis.
145 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Potonglah Misai dan panjangkanlah janggut yaitu jagalah janggut.
146 Diriwayatkan dari Abu Ayyub al-Ansari r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Apabila kamu ingin membuang air besar, kamu janganlah menghadap kiblat. Begitu juga janganlah kamu membelakanginya sewaktu kencing atau membuang air besar. Sebaliknya menghadaplah ke timur atau ke barat.
147 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Seseorang berkata: Apabila kamu duduk untuk membuang air besar, pastikan kamu tidak menghadap ke arah kiblat dan tidak menghadap ke arah Baitulmuqaddis. Abdullah berkata: Aku pernah naik ke atas bumbung rumah dan terlihat Rasulullah s.a.w duduk di atas dua biji batu dengan menghadap ke Baitulmuqaddis untuk membuang air besar.
148 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah ada di antara kamu yang memegang kemaluannya dengan tangan kanan semasa kencing dan beristinjak dengan menggunakan tangan kanan serta janganlah bernafas di dalam gelas semasa meneguk air.
149 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w menggunakan tangan kanan semasa bersuci, menyikat rambut dan memakai kasut.
150 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Suatu ketika Rasulullah s.a.w masuk ke sebuah kebun. Baginda diekori oleh seorang kanak-kanak yang membawa bekas air bersamanya. Dia adalah seorang Sahabat yang termuda di kalangan kami. Bekas air tersebut diletakkan berhampiran dengan pokok bidara. Setelah Rasulullah s.a.w selesai membuang air besar, baginda pun keluar menemui kami setelah beristinjak dengan menggunakan air tersebut.
151 Hadits Jarir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan dari Hammam r.a katanya: Pernah berlaku pada suatu ketika Jarir kencing kemudian berwuduk dengan menyapu sepasang khufnya. Seterusnya Jarir ditegur: Adakah kamu melakukannya begitu? Beliau menjawab: Ya, aku pernah melihat Rasulullah s.a.w kencing, kemudian berwuduk dengan menyapu sepasang khuf baginda.
152 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Aku berjalan bersama Nabi s.a.w. Bila kami sampai di suatu tempat pembuangan sampah orang ramai, baginda kencing sambil berdiri manakala aku pula beredar agak jauh dari situ. Setelah itu baginda bersabda: Kemarilah. Beliau pun menghampiri baginda. Baginda lalu berwuduk dengan menyapu atas sepasang khuf baginda.
153 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syukbah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah keluar untuk membuang air besar dan al-Mughirah mengekorinya dengan membawa sebekas air. Air tersebut dituangkannya kepada Nabi sebaik sahaja baginda selesai membuang air besar untuk berwuduk serta baginda menyapu kedua khuf.
154 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Apabila salah seorang di antara kamu bangkit dari tidurnya, janganlah dia mencelupkan tangannya ke dalam bekas air sebelum membasuhnya terlebih dahulu sebanyak tiga kali kerana dia tidak tahu di manakah tangannya diletakkan ketika tidur.
155 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila anjing menjilat air yang berada dalam bekas salah seorang dari kamu, hendaklah dituangkan air tersebut, seterusnya basuhlah yaitu samaklah sebanyak tujuh kali.
156 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Janganlah ada di kalangan kamu kencing di air yang tenang kemudian membasuhnya dengan air tersebut.
157 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Seorang arab kampung kencing di dalam masjid menyebabkan orang ramai segera mengerumuninya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Biarkan dia, jangan kamu halanginya. Anas berkata: Sebaik sahaja orang tersebut berlalu, Nabi s.a.w meminta sebaldi air, lalu mencurah ke atasnya yaitu membasuhnya.
158 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w selalu diserahkan beberapa orang bayi supaya didoakan dengan keberkatan serta mentahnikkan mereka. Sebaik sahaja baginda diserahkan seorang bayi, bayi tersebut kencing di atas baginda. Baginda meminta sedikit air kemudian mencurahnya di atas kencing tersebut tanpa membasuhnya.
159 Diriwayatkan dari Ummu Qais binti Mihsan r.a katanya: Dia pernah mengunjungi Rasulullah s.a.w dengan membawa anak lelakinya yang belum pernah merasa makanan, kemudian meletakkannya di pangkuan baginda, lalu anak tersebut kencing. Katanya: Baginda hanya memercikkan sedikit air sahaja.
160 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Suatu pagi seorang Sahabat mencuci pakaiannya. Lalu Saidatina Aisyah r.a berkata: Sepatutnya kamu membasuh sebahagiannya sahaja. Sekiranya kamu melihat kekotorannya, basuhlah tempat kotor tersebut. Sebaliknya jika tidak kelihatan, memadailah dengan kamu memercikkan air disekitarnya sahaja. Sesungguhnya aku pernah mengikis air mani yang terdapat pada pakaian Rasulullah s.a.w seterusnya baginda menggunakan pakaian tersebut untuk mendirikan sembahyang.
161 Diriwayatkan dari Asma' r.a katanya: Seorang perempuan datang berjumpa Nabi s.a.w kemudian berkata: Pakaian salah seorang dari kalangan kami terkena darah haid. Apa yang harus dilakukannya? Baginda bersabda: Kikiskan darah itu terlebih dahulu, gosokkannya dengan air, kemudian bersihkannya. Setelah itu bolehlah menggunanya untuk mendirikan sembahyang.
162 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w melalui dua buah kubur, baginda bersabda: Ingatlah, sesungguhnya dua mayat ini sedang disiksa, tetapi bukan kerana melakukan dosa besar. Seorangnya disiksa kerana dulunya dia suka membuat fitnah dan seorang lagi disiksa kerana tidak membersihkan dirinya dari air kencingnya. Kemudian baginda meminta pelepah kurma lalu dibelahnya menjadi dua. Setelah itu beliau menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua sambil bersabda: Semoga pelepah ini boleh meringankan siksanya, selagi ianya belum kering.

HAED
163 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan salah seorang di antara kami yang sedang haid supaya memakai pakaian, sebagai pengalas untuk menggaulinya.
164 Diriwayatkan dari Maimunah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasa menggauli isteri-isteri baginda secara berlapik ketika mereka sedang haid.
165 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Ketika aku sedang berbaring bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut, tiba-tiba aku haid, lantas aku keluar secara perlahan-lahan untuk mengambil pakaian khas semasa haid. Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku: Apakah kamu sedang haid? Aku menjawab: Ya. Baginda memanggilku lalu aku berbaring lagi bersama baginda dalam satu selimut. Ummu Salamah berkata: Dia dan Rasulullah s.a.w mandi hadas dengan menggunakan sebekas air.
166 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Apabila Nabi s.a.w beriktikaf, baginda mendekatkan kepala baginda kepadaku, lalu aku menyikat rambut baginda. Baginda tidak memasuki rumah kecuali jika ada hajat-hajat yang bersangkutan dengan orang ramai.
167 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya berbaring di pangkuanku, sedangkan aku masih dalam keadaan haid, kemudian baginda membaca al-Quran.
168 Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a katanya: Aku adalah lelaki yang sering keluar mazi, tetapi aku malu untuk bertanya Nabi s.a.w kerana puteri baginda ada bersama. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad supaya bertanya baginda, lalu baginda bersabda: Dia mestilah membasuh kemaluannya dan bolehlah berwuduk.
169 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Pada suatu malam Nabi s.a.w bangkit dari tidur lalu membuang air besar. Setelah itu baginda membasuh muka dan kedua tangan, seterusnya tidur kembali.
170 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w ingin tidur, sedangkan baginda masih dalam keadaan berjunub, baginda berwuduk sebagaimana yang dilakukan ketika ingin mengerjakan sembahyang sebelum tidur.
171 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Saidina Umar pernah bertanya Nabi s.a.w katanya: Wahai Rasulullah! Bolehkah salah seorang di antara kami tidur, sedangkan dia masih dalam keadaan berjunub? Baginda menjawab: Boleh, setelah dia berwuduk.
172 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersetubuh dengan isteri-isteri baginda dengan sekali mandi hadas sahaja.
173 Hadits Ummu Sulaim r.a: Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Ummu Sulaim pernah bertanya Nabi s.a.w tentang mimpi yang berlaku kepada seorang perempuan sebagaimana mimpi seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila perempuan tersebut bermimpi keluar mani, dia wajiblah mandi hadas. Ummu Sulaim berkata: Aku malu untuk bertanya perkara tersebut yang berlaku pada diriku. Ummu Salamah berkata: Adakah perkara ini berlaku kepada perempuan? Nabi s.a.w bersabda: Ya, lalu Ummu Salamah mencelah: Bagaimana dia ingin memastikannya. Baginda bersabda: Ketahuilah bahawa mani lelaki itu kasar dan berwarna putih, manakala mani perempuan itu halus dan berwarna kuning. Mana-mana mani yang menyerupai mani lelaki atau perempuan, sudah pasti mani tersebut adalah darinya.
174 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Ketika Ummu Sulaim mengunjungi Nabi s.a.w, dia berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Allah tidak malu terhadap kebenaran. Apakah orang perempuan wajib mandi apabila dia bermimpi? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya, apabila dia melihat mani. Ummu Salamah mencelah: Adakah orang perempuan juga bermimpi? Baginda bersabda: Rugilah kamu! Kalau tidak bagaimana dia akan memastikan bahawa mani keluar.
175 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w mandi hadas, baginda memulakannya secara membasuh kedua tangan. Baginda menuangkan air dengan menggunakan tangan kanan ke tangan kiri, kemudian membasuh kemaluan dan berwuduk sebagaimana yang biasa dilakukan ketika ingin mendirikan sembahyang. Kemudian baginda menyiram rambut sambil memasukkan jari ke pangkal rambut sehinggalah rata. Sebaik sahaja selesai baginda membasuh kepala sebanyak tiga kali, seterusnya baginda membasuh seluruh tubuh dan akhirnya membasuh kedua kaki.
176 Diriwayatkan dari Maimunah r.a katanya: Aku pernah membawa air kepada Rasulullah s.a.w untuk mandi hadas. Baginda memulakannya dengan membasuh dua tapak tangan sebanyak dua atau tiga kali. Kemudian baginda memasukkan tangan ke dalam bekas berisi air, lalu mecedokkan air tersebut ke atas kemaluan serta membasuhnya dengan tangan kiri. Setelah itu baginda menggosokkan tangan kiri ke tanah dengan kuat, lalu berwuduk sebagaimana yang biasa dilakukan untuk mendirikan sembahyang. Kemudian baginda menuangkan air yang dicedok dengan dua telapak tangan ke kepala sebanyak tiga kali. Seterusnya baginda membasuh seluruh tubuh, lalu beralih dari tempat tersebut dan membasuh kedua kaki, kemudian aku mengambilkan sapu tangan untuk baginda, tetapi baginda menolaknya.
177 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Dia ditanya oleh saudaranya tentang mandi hadas yang dilakukan oleh Nabi s.a.w, lantas Saidatina Aisyah meminta bekas yang boleh memuatkan satu gantang air, lalu dia mandi dengan meletakkan tabir di antara kami dan dia. Saidatina Aisyah menuangkan air ke atas kepalanya sebanyak tiga kali sambil berkata: Isteri-isteri Nabi s.a.w biasanya menuang air ke kepala mereka sehingga betul-betul basah.
178 Hadits Maimunah r.a isteri Nabi s.a.w: Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Maimunah pernah mandi bersama-sama Nabi s.a.w dari satu bekas air.
179 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w mandi dengan menggunakan air lebihan dari bekas yang digunakan oleh Maimunah.
180 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Aku mandi hadas bersama-sama Rasulullah s.a.w yaitu menggunakan air dari satu bekas.
181 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mandi dengan lima cupak air dan berwuduk dengan satu cupak air.
182 Diriwayatkan dari Jubair bin Mut'im r.a katanya: Para Sahabat belajar menggunakan air untuk mandi dari Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka berkata: Aku menuangkan air ke kepalaku begini, begini. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku meyiram kepalaku dengan air yang diceduk dengan menggunakan tapak tangan sebanyak tiga kali.
183 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rombongan Thaqif datang bertanya Rasulullah s.a.w, mereka berkata: Daerah kami adalah daerah yang sejuk, bagaimana cara kami mandi? Baginda bersabda: Kalau aku, aku hanya menyiram air sebanyak tiga kali ke kepalaku.
184 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Ubaid bin Umair r.a katanya: Aisyah pernah mendengar Abdullah bin Amru memerintahkan orang-orang perempuan agar membuka jalinan atau ikatan rambut masing-masing apabila mereka mandi. Lalu Saidatina Aisyah berkata: Pelik sungguh Ibnu Amru. Kenapa dia menyuruh orang-orang perempuan agar menguraikan rambut ketika mandi? Mengapa tidak menyuruh mereka agar mencukur rambut saja? Aku pernah mandi bersama-sama Rasulullah s.a.w menggunakan air dari bekas yang sama. Aku tidak menyiram kepalaku lebih dari tiga kali siram.
185 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Seorang perempuan bertanya Nabi s.a.w: Bagaimanakah cara orang perempuan mandi dari haidnya? Perawi Hadits berkata: Kemudian Aisyah menyebutkan bahawa baginda mengajarkan cara mandi kepada perempuan tersebut. Di antara sabda baginda: Kemudian kamu ambil kapas yang disapu misk yaitu bauan kasturi, lalu kamu bersucilah dengannya. Perempuan itu berkata: Bagaimana cara bersuci dengannya? Baginda bersabda: Maha suci Allah! Kamu bersucilah dengannya dan baginda pun bersembunyi. Sufian bin Uyainah memberi isyarat kepada kami dengan meletakkan tangan pada wajahnya. Perawi Hadits melanjutkan ceritanya: Aisyah berkata: Aku menarik perempuan itu kerana aku sudah tahu apa yang dikehendaki oleh Nabi s.a.w. Lalu aku berkata kepada perempuan tersebut: Sapulah tempat keluar darah haidmu dengan kapas itu.
186 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Fatimah binti Abu Hubaisy telah datang menemui Nabi s.a.w lalu bertanya: Wahai Rasululah! Aku adalah perempuan yang berdarah Istihadhah yaitu darah penyakit maka aku tidak suci. Adakah aku mesti meninggalkan sembahyang? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Darah tersebut ialah darah penyakit bukannya haid, apabila kamu didatangi haid maka kamu hendaklah meninggalkan sembahyang. Apabila darah haid berhenti dari keluar, maka kamu hendaklah mandi dan mendirikan sembahyang.
187 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ummu Habibah binti Jahsyin telah meminta fatwa dari Rasulullah s.a.w kemudian berkata: Aku ini perempuan yang berdarah istihadhah yaitu darah penyakit. Maka Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Sesungguhnya itu adalah darah penyakit, maka hendaklah kamu mandi kemudian sembahyang malah kamu hendaklah mandi pada setiap waktu sembahyang.
188 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Muaz r.a katanya: Seorang perempuan bertanya Saidatina Aisyah r.a: Adakah salah seorang di antara kami harus mengqadha sembahyang semasa didatangi haid? Aisyah berkata: Adakah kamu dari golongan Haruriyyah? Suatu ketika dulu ada di antara kami yang didatangi haid pada masa Rasulullah s.a.w tetapi kami tidak diperintahkan mengqadha sembahyang.
189 Diriwayatkan dari Ummu Hani' binti Abu Talib r.a katanya: Aku pergi menemui Rasulullah s.a.w pada tahun pembukaan Kota Mekah dan aku mendapati baginda sedang mandi manakala Fatimah puteri baginda pula menutupi baginda dengan sehelai pakaian.
190 Diriwayatkan dari Maimunah r.a katanya: Aku menyediakan air untuk Nabi s.a.w dan menutupi baginda, kemudian baginda mandi.
191 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Suatu ketika dahulu, orang-orang Bani Israel mandi telanjang. Mereka saling melihat aurat di antara satu sama lain. Manakala Nabi Musa a.s pula mandi bersendirian. Mereka berkata: Demi Allah, yang menyebabkan Musa tidak mahu mandi bersama dengan kita ialah kerana penyakit buah zakar besar. Kemudian pada suatu ketika Nabi Musa mandi, Nabi Musa a.s meletakkan pakaiannya di atas sebuah batu. Tiba-tiba batu tadi bergolek dengan membawa pakaiannya. Musa berlari mengejarnya sambil berteriak: Hai batu! Tinggalkan pakaianku! Hai batu! Tinggalkan pakaianku! Sehinggalah orang-orang Bani Israel dapat melihat aurat Nabi Musa. Kemudian mereka berkata: Demi Allah ternyata Musa tiada sedikit pun keaiban yaitu penyakit. Setelah itu batu tersebut berhenti lalu Musa mengambil pakaiannya kemudian memukul batu tadi. Abu Hurairah berkata: Demi Allah terdapat pada batu tadi kesan pukulan Nabi Musa, tujuh atau enam kali pukulan.
192 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika Kaabah dibina, Nabi s.a.w bersama Abbas pergi untuk mengangkat batu. Maka Abbas berkata kepada Nabi s.a.w: Angkatkan kainmu ke bahumu untuk alas batu. Maka baginda melakukannya, lalu baginda jatuh tersungkur seterusnya baginda mendongak ke langit, kemudian berdiri sambil berkata: Kainku, kainku. Kemudian Baginda memakai kain tersebut.
193 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah melalui sebuah rumah seorang Sahabat dari Ansar. Kemudian baginda menyuruh seseorang untuk memanggilnya. Lalu sahabat tadi keluar dalam keadaan kepalanya masih basah. Baginda bersabda: Barangkali kami yang membuatkan kamu tergesa-gesa. Sahabat itu menjawab: Benar, wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Apabila engkau tergesa-gesa atau kamu tidak mengeluarkan mani semasa mengauli isteri maka kamu tidak perlu mandi. Kamu hanya perlu berwuduk.
194 Diriwayatkan dari Ubai bin Ka'ab r.a katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang seseorang lelaki yang mengauli isterinya tetapi tidak sampai mengeluarkan mani. Baginda bersabda: Basuhlah kesan-kesan isterinya yang melekat padanya kemudian berwuduk dan bolehlah mendirikan sembahyang.
195 Hadits Saidina Othman bin Affan r.a: Diriwayatkan dari Khalid bin Zaid al-Juhani katanya: Beliau pernah bertanya Osman bin Affan tentang hukum seseorang lelaki yang mengauli isterinya tetapi tidak sampai mengeluarkan mani? Saidina Othman menjawab: Hendaklah dia berwuduk sebagaimana dia berwuduk untuk mendirikan sembahyang dan membasuh kemaluannya. Saidina Othman berkata lagi: Aku pernah mendengar hal ini dari Rasulullah s.a.w.
196 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Apabila seorang lelaki duduk di antara empat dahan milik perempuan, kemudian membebaninya yaitu menyetubuhinya maka dia wajib mandi.
197 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah makan paha kambing, kemudian menunaikan sembahyang dan tidak berwuduk.
198 Diriwayatkan dari Amru bin Umayyah r.a katanya: Beliau melihat Rasulullah s.a.w menghiris daging paha kambing lalu memakannya, kemudian mendirikan sembahyang tanpa berwuduk.
199 Diriwayatkan dari Maimunah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Ketika Nabi s.a.w berada di rumahnya, baginda pernah makan paha kambing kemudian mendirikan sembahyang tanpa berwuduk.
200 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah meminum susu kemudian minta air untuk berkumur lalu bersabda: Sesungguhnya susu itu mengandungi lemak.
201 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansari r.a katanya: Seorang lelaki mengajukan pertanyaan kepada Nabi s.a.w bahawa dia seolah-olah mendapati sesuatu ketika di dalam sembahyangnya. Baginda bersabda: Dia tidak perlu membatalkan sembahyangnya sehinggalah dia terdengar suara atau tercium bau.
202 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Hamba milik Maimunah r.a pernah disedekahkan dengan seekor kambing, kemudian kambing tersebut mati. Tidak berapa lama kemudian Rasulullah s.a.w melalui tempat tersebut lalu bersabda: Mengapa kamu tidak mengambil kulit bangkai tersebut dan menyamaknya agar kamu boleh memanfaatkannya? Mereka berkata: Ianya sudah menjadi bangkai. Baginda bersabda: Sesungguhnya ia diharamkan hanyalah memakannya.
203 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Kami pernah keluar bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan baginda. Apabila kami tiba di Baida' atau di Zatul Jaisy, rantai leherku terputus lalu Rasulullah s.a.w mencarinya. Orang ramai juga turut mencarinya bersama Rasulullah s.a.w sedangkan mereka tidak mempunyai air sedikit pun. Kemudian orang ramai datang menemui Saidina Abu Bakar r.a lalu berkata: Tidakkah kamu melihat apa yang telah dilakukan oleh Aisyah? Beliau telah menyebabkan Rasulullah s.a.w dan orang ramai mencari tali lehernya sedangkan mereka tidak mempunyai air sedikit pun. Kemudian Abu Bakar mendatangiku dan ketika itu Rasulullah s.a.w sedang tidur dengan meletakkan kepala baginda di atas pahaku. Beliau berkata: Kamu telah menyekat Rasulullah s.a.w dan orang ramai sedangkan kamu dan mereka semuanya tidak mempunyai air sedikit pun. Aisyah berkata: Abu bakar mencelaku dengan kata-kata: hinggalah dia mencelaku dengan tangannya. Aku tidak dapat bergerak kerana Rasulullah s.a.w berada di atas pahaku. Rasulullah s.a.w tidur hingga keesokan harinya tanpa ada air sedikit pun. Kemudian Allah menurunkan ayat tayamum. Lalu mereka pun bertayamum. Sehubungan dengan itu, Usaid bin Hudhair, salah seorang pemimpin berkata: Ini bukanlah keberkatan yang pertama kali bagi kamu, wahai keluarga Abu Bakar! Lalu Aisyah pun berkata: Kemudian kami mencari unta yang aku naiki maka kami menemui kalung itu di bawahnya.
204 Hadits Ammar r.a: Diriwayatkan dari Syaqik r.a katanya: Aku duduk bersama Abdullah dan Abu Musa al-Asy'ari. Kemudian Abu Musa berkata kepada Abdullah: Wahai ayah Abdul Rahman, sekiranya seorang lelaki yang berjunub dan dia tidak menemui air selama sebulan, bagaimanakah hendak dilakukan dengan sembahyangnya? Maka Abdullah berkata: Dia tidak bolah bertayamum, sekalipun dia tidak mendapati air selama sebulan. Abu Musa berkata: Bagaimana dengan ayat di dalam surah al-Maidah: Yang bermaksud: Lalu kamu tidak mendapat air untuk berwuduk dan mandi maka hendaklah kamu bertayamum dengan debu tanah yang bersih. Abdullah berkata: Andaikata mereka diberi keringanan dengan ayat tersebut, nescaya apabila mereka merasakan air itu dingin mereka akan bertayamum dengan tanah. Maka Abu Musa berkata kepada Abdullah: Tidakkah kamu telah mendengar kata-kata Ammar: Rasulullah s.a.w telah mengutuskan aku untuk suatu keperluan kemudian aku berjunub dan aku tidak menemui air, maka aku mengulingkan badan ke tanah sebagaimana binatang yang mengulingkan badannya. Kemudian aku menemui Nabi s.a.w lalu menceritakan perkara tersebut kepada Nabi s.a.w Baginda bersabda: Sesungguhnya sudah memadai bagi kamu dengan kamu menepukkan tangan kamu begini, kemudian baginda menepukkan tangan baginda ke tanah dengan satu tepukan, kemudian baginda menyapu tangan kiri baginda pada tangan kanan dan belakang kedua tapak tangan dan juga wajah baginda.
205 Hadits Abu al-Juhaim bin al-Haris bin As-Simmah al-Ansari r.a: Diriwayatkan dari Umair hamba Ibnu Abbas r.a katanya: Aku menemui Rasulullah s.a.w yang datang dari arah telaga Jamal, baginda lalu berselisih dengan seorang lelaki dan lelaki tersebut mengucapkan salam kepada baginda tetapi Rasulullah s.a.w tidak menjawabnya hinggalah baginda sampai di dinding, lalu baginda mengusap wajahnya dan kedua tangan baginda, barulah baginda menjawab salam tersebut.
206 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Beliau bertemu dengan Nabi s.a.w di salah satu jalan di Madinah, sedangkan beliau dalam keadaan berjunub. Maka dia menyelinap yaitu mengelakkan diri dari bertemu Rasulullah s.a.w dan pergi untuk mandi sehingga Rasulullah s.a.w mencari-carinya. Ketika beliau datang kembali, baginda pun bertanya: Ke mana kamu pergi wahai Abu Hurairah! Beliau menjawab: Wahai Rasulullah! Engkau ingin menemuiku sedangkan aku dalam keadaan berjunub. Aku merasa tidak selesa duduk bersama kamu sebelum aku mandi. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Maha Suci Allah! Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis.
207 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w apabila ingin memasuki tandas dan juga Hadits yang diriwayatkan dari Hashim bahawa Rasulullah s.a.w apabila memasuki tandas baginda mengucapkan doa: yang bermaksud: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari syaitan lelaki dan syaitan perempuan.
208 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika sembahyang diiqamatkan, Rasulullah s.a.w bercakap perlahan-lahan dengan seorang lelaki. Baginda tidak segera mendirikan sembahyang kerana bercakap dengan lelaki tersebut menyebabkan orang ramai tertidur.

SHOLAT
209 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Ketika orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkatakan tentang waktu sembahyang. Tiada seorang pun yang menyeru kepadanya. Semasa mereka berbincang tentang perkara tersebut, sebahagian dari mereka berkata: Bunyikanlah loceng sebagaimana loceng orang Nasrani. Manakala sebahagian lagi berkata: Bunyikanlah trompet seperti trompet orang Yahudi. Kemudian Umar berkata: Mengapa kamu tidak menyuruh seseorang agar menyerukan sembahyang? Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal! Bangunlah dan serukan untuk sembahyang.
210 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Bilal telah diperintahkan agar menggenapkan azan dan mengganjilkan iqamat.
211 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w mempunyai dua orang tukang azan yaitu Bilal dan Ibnu Ummi Maktum yang buta.
212 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar azan maka ucaplah sebagaimana yang disebut oleh tukang azan.
213 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Apabila syaitan mendengar azan, dia akan lari bertempiaran sehingga tidak mendengarnya lagi. Setelah azan selesai, dia kembali lagi untuk menghasut. Begitu juga apabila mendengar iqamat. Dia akan lari sehingga tidak mendegarnya lagi dan sebaik sahaja iqamat selesai, dia kembali sekali lagi untuk menghasut.
214 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku lihat Rasulullah s.a.w apabila memulakan sembahyang, baginda mengangkat kedua tangan hingga ke paras bahu. Begitu juga sebelum rukuk dan bangkit dari rukuk. Baginda tidak mengangkatnya di antara dua sujud.
215 Hadits Malik bin Huwairis r.a: Diriwayatkan dari Abu Qilabah r.a katanya: Dia pernah melihat Malik bin Huwairis sembahyang. Beliau memulakannya dengan bertakbir serta mengangkat kedua tangannya. Apabila dia ingin rukuk, dia mengangkat kedua tangannya. Begitu juga apabila dia bangkit dari rukuk, dia mengangkat kedua tangannya. Setelah selesai dia menceritakan bahawa itulah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
216 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Beliau sembahyang bersama para Sahabat. Beliau bertakbir setiap kali turun dan bangkit semasa sembahyang. Sebaik sahaja selesai, beliau terus berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku melakukannya adalah berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
217 Hadits Imran bin Husain r.a: Diriwayatkan dari Mutarrif bin Abdullah r.a katanya: Aku dan Imran bin Husain pernah sembahyang dengan berimamkan Ali bin Abu Talib. Apabila ingin sujud beliau mengucapkan takbir dan begitu juga bila bangkit dari sujud. Setelah selesai rakaat yang kedua, beliau bangkit serta bertakbir. Sebaik sahaja selesai sembahyang kami pun bersurai. Lalu Mutarrif berkata: Imran memegang tanganku sambil berkata: Sembahyang yang kita kerjakan tadi adalah sama sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ataupun katanya: Saidina Ali coba mengingatkan aku bahawa ini adalah cara sembahyang yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
218 Diriwayatkan dari Ubadah bin As-Somit r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tidak sah sembahyang orang yang tidak membaca surah al-Fatihah.
219 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada sembahyang melainkan dengan bacaan.
220 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w memasuki masjid, seorang lelaki juga memasukinya lalu mendirikan sembahyang. Setelah selesai, dia datang memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab salamnya lalu bersabda: Sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Lelaki tersebut kembali mendirikan sembahyang sebagaimana yang telah dilakukannya kemudian kembali menemui Rasulullah s.a.w dengan memberi salam kepada baginda. Lantas baginda menjawab salam lalu bersabda: Sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Perkara ini berlaku sebanyak tiga kali sehingga akhirnya lelaki tersebut berkata: Oleh kerana engkau dibangkitkan untuk menyatakan kebenaran, bagaimanakah sebenarnya sembahyang dilakukan? Ajarkanlah padaku. Lalu baginda bersabda: Apabila kamu ingin mengerjakan sembahyang, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuklah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah berdiri. Setelah itu sujudlah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah untuk berada dalam keadaan duduk antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan sehingga selesai sembahyang.
221 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Aku pernah sembahyang bersama Rasulullah s.a.w, Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab dan Othman bin Affan. Semasa sembahyang aku tidak pernah pun mendengar salah seorang dari mereka membaca:.
222 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w bersama-sama kami, tiba-tiba baginda tersengguk-sengguk seperti mengantuk, kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Kami bertanya: Apakah yang melucukan kamu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Baru seketika aku diturunkan satu surah, lalu baginda membaca: Yang bermaksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya. Kemudian baginda bertanya: Kamu tahukah, apa yang dimaksudkan dengan al-Kausar? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Ia adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku, ianya mempunyai berbagai kebaikan. Ianya juga berbentuk sebuah kolam yang dikunjungi oleh umatku pada Hari Kiamat nanti yaitu untuk mengambil airnya. Disediakan bekas sebanyak bintang di langit. Kemudian salah seorang dari umatku ditarik dari kumpulan mereka. Lantas aku berkata: Wahai Tuhanku, dia adalah salah seorang umatku. Lalu Allah berfirman: Kamu tidak mengetahui apakah yang telah dilakukannya selepas kewafatanmu.
223 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Semasa aku sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w kami membaca: Kemudian pada suatu hari Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami: Sesungguhnya Allah s.w.t adalah Yang Selamat Sejahtera. Jadi, apabila salah seorang di antara kamu duduk ketika sembahyang, hendaklah dia membaca Apabila dia membacanya, nescaya keselamatan itu turut sama dikurniakan kepada semua hamba Allah yang soleh samada di langit ataupun di bumi. kemudian bolehlah dia membaca doa yang dikehendaki.
224 Hadits Ka'ab bin Ujrah r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Abu Laila r.a katanya: Ka'ab bin Ujrah pernah menemuiku dan berkata: Bolehkah aku berikan kepada kamu suatu hadiah? Tiba-tiba Rasulullah s.a.w sampai dan terus berjumpa kami. Lalu kami berkata: Kami telah mengetahui cara untuk mengucapkan salam kepadamu, tetapi bagaimana pula cara untuk kami ucapkan selawat? Baginda bersabda: Kamu bacalah.
225 Diriwayatkan dari Abu Humaid As-Saidi r.a katanya: Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Baginda bersabda: Bacalah.
226 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila imam membaca kamu hendaklah membaca kerana sesungguhnya sesiapa yang membaca doa menyamai sebagaimana yang dibaca oleh para Malaikat, nescaya Allah s.w.t mengampunkan dosanya yang telah lalu.
227 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Imam mengucapkan amin, kamu hendaklah mengucapkan amin kerana sesungguhnya sesiapa yang mengucapkannya sebagaimana yang diucapkan oleh para Malaikat, nescaya akan diampunkan oleh Allah s.w.t segala dosa yang telah lalu.
228 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w pernah terjatuh dari kuda yang menyebabkan kecederaan di bahagian kanan tubuh baginda. Kami cepat-cepat mendapatkan baginda lalu membawa pulang. Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang, baginda sembahyang bersama kami dalam keadaan duduk. Ini menyebabkan kami juga mengikuti baginda dengan bersembahyang dalam keadaan duduk. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia sujud, sujudlah. Juga apabila dia bangun, bangunlah. Akhirnya apabila dia membaca bacalah dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah dalam keadaan duduk.
229 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengadu sakit lalu para Sahabat mendapatkan baginda seterusnya membawa pulang. Baginda mendirikan sembahyang dalam keadaan duduk sebaliknya para Sahabat mengikutinya dalam keadaan berdiri. Baginda kemudiannya mengisyaratkan agar para Sahabat duduk. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia bangkit dari rukuk, bangkitlah dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, maka sembahyanglah juga dalam keadaan duduk.
230 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia membaca bacalah dan apabila dia sujud, sujudlah. Apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah juga dalam keadaan duduk.
231 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Ubaidillah bin Utbah r.a katanya: Aku bertanya Saidatina Aisyah r.a dengan berkata: Bagaimana dengan penyakit yang dihidapi oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Nabi s.a.w sakit sehingga tidak dapat berjalan. Baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum dan mereka sedang menunggumu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya, lalu baginda berwuduk. Setelah selesai baginda coba berdiri. Tapi malang baginda terjatuh dan pengsan. Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya lalu baginda berwuduk. Setelah itu baginda coba berdiri, tetapi pengsan lagi. Sebaik sahaja pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya dan baginda berwuduk lagi. Setelah itu baginda coba berdiri, tetapi pengsan lagi. Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Sementara itu orang ramai masih berkumpul di masjid menunggu Rasulullah s.a.w untuk mendirikan sembahyang Isyak yang sudah terlewat. Akhirnya baginda mengutuskan seseorang menemui Abu Bakar agar beliau mengimami sembahyang. Setelah utusan tersebut berjumpa Saidina Abu Bakar r.a dia terus berkata: Rasulullah s.a.w memerintahkan kamu agar mengimami sembahyang orang ramai. Saidina Abu Bakar r.a berkata: Aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menggantikan tempat tersebut. Lalu meminta Saidina Umar r.a dengan katanya: Wahai Umar! Imamkanlah sembahyang orang ramai. Ubaidillah berkata: Saidina Umar menjawab: Kamu lebih layak berbanding dengan aku. Akhirnya Saidina Abu Bakar mengimami sembahyang mereka sehingga beberapa hari. Kemudian apabila Rasulullah s.a.w beransur pulih, baginda keluar dengan dibantu oleh dua orang Sahabat, salah seorangnya ialah al-Abbas untuk sembahyang Zuhur. Sementara itu Abu Bakar sedang sembahyang mengimami orang ramai. Apabila melihat Rasulullah s.a.w Abu Bakar coba bergerak untuk berundur ke belakang lalu Nabi s.a.w memberi isyarat kepadanya supaya tidak berbuat demikian. Kemudian baginda bersabda kepada dua orang yang membantunya: Bawakan aku ke tepi Abu Bakar. Mereka berdua membawanya sehinggalah baginda duduk di tepi Abu Bakar. Abu Bakar tetap sembahyang dalam keadaan berdiri. Orang ramai tetap berimamkan Abu Bakar r.a manakala Nabi s.a.w mengikutinya dalam keadaan duduk.
232 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Abu Bakar mengimami sembahyang orang ramai ketika Rasulullah s.a.w dalam kesakitan yang menyebabkan kewafatan baginda. Pada hari Isnin, ketika para sahabat sedang mendirikan sembahyang, Rasulullah s.a.w membuka tirai dan berdiri memandang kami. Wajah baginda putih berseri umpama kertas, lalu baginda tersenyum lebar hingga tertawa. Anas berkata: Kami yang sedang sembahyang menjadi tercegang kehairanan dan cukup senang hati kerana Rasulullah s.a.w keluar. Abu Bakar tanpa membuang masa terus berundur menghampiri saf kerana menyangka Rasulullah s.a.w keluar untuk sembahyang. Lalu baginda mengisyaratkan kepada mereka supaya menyempurnakan sembahyang. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kemudiannya kembali memasuki bilik dan menjatuhkan tirai. Anas berkata: Hari tersebutlah, berlakunya kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.
233 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w sakit dan semakin lama bertambah tenat. Baginda bersabda: Suruhlah Abu Bakar r.a agar sembahyang bersama orang ramai. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar itu merasakan tidak layak kalau menduduki di tempatmu. Beliau tidak akan mampu sembahyang dengan orang ramai. Baginda bersabda lagi: Suruhlah Abu Bakar supaya sembahyang bersama orang ramai, kamu adalah seperti teman Nabi Yusuf di dalam menyusun kata-kata. Abu Musa berkata: Kemudian Abu Bakar sembahyang bersama-sama mereka selama Rasulullah s.a.w masih hidup.
234 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad As-Saidi r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w mengunjungi Bani Amru bin Auf untuk mendamaikan pertikaian di antara mereka, maka tiba waktu sembahyang. Seorang tukang azan datang kepada Abu Bakar lalu berkata: Inginkah kamu mengimami sembahyang bersama orang ramai? Aku akan mengiqamatkannya. Abu Bakar menjawab: Ya. Kemudian Abu Bakar mendirikan sembahyang. Sewaktu orang ramai sedang sembahyang, Rasulullah s.a.w datang. Baginda menyelinap masuk ke saf pertama. Setelah melihat keadaan itu, orang ramai menepuk tangan, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Apabila orang yang menepuk tangan bertambah ramai, beliau menoleh dan melihat Rasulullah s.a.w. Baginda mengisyaratkan kepada Abu Bakar agar tetap berada di tempatnya. Abu Bakar mengangkat kedua tangannya memuji Allah s.w.t sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w lalu Abu Bakar berundur ke belakang sehingga menyamai dengan saf pertama dan Nabi s.a.w pula maju ke hadapan lalu meneruskan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, baginda bersabda: Wahai Abu Bakar! Apakah yang mencegahmu untuk tetap berada di tempatmu ketika aku menyuruhmu? Abu Bakar menjawab: Tidak layak bagi anak Abu Quhafah sembahyang di hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda bersabda lagi: Mengapa kamu semua menepuk tangan? Barangsiapa yang mengalami sesuatu ketika sembahyangnya maka hendaklah dia bertasbih kerana apabila seseorang bertasbih dia akan menoleh. Menepuk tangan hanyalah untuk wanita.
235 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membaca tasbih adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk wanita.
236 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w sembahyang mengimami kami. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Wahai Si Polan! Mengapa kamu tidak mengelokkan sembahyangmu? Bukankah seseorang yang sembahyang itu akan memerhatikan bagaimana dia sembahyang kerana sesungguhnya dia sembahyang untuk dirinya sendiri. Demi Allah sesungguhnya aku dapat melihat ke belakangku sebagaimana aku melihat di hadapanku.
237 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tunaikanlah rukuk dan sujud. Demi Allah, sesungguhnya aku dapat melihat kamu yang berada di belakangku dan boleh jadi baginda bersabda: Yang berada di belakang punggungku apabila kamu rukuk atau sujud.
238 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: Adakah orang-orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam tidak takut kepalanya akan diganti oleh Allah dengan kepala kaldai.
239 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan sembahyang.
240 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sempurnakanlah saf-saf. Sesungguhnya aku dapat melihat kamu yang berada di belakangku.
241 Hadits Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Rapikanlah saf semasa sembahyang kerana merapikan saf itu sebahagian dari keelokan sembahyang.
242 Diriwayatkan dari Nu'man bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu ingin meluruskan saf-safmu atau Allah akan menggantikan wajahmu.
243 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seandainya manusia mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan cara mengundi di antara mereka, sudah tentu mereka mahu mengundi. Seandainya mereka mengetahui kelebihan takbir yaitu menyegerakan sembahyang, sudah pasti mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya dan seandainya mereka mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam sembahyang Isyak dan sembahyang Subuh, sudah tentu mereka akan mendatanginya meskipun secara merangkak.
244 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Seandainya kamu mengetahui atau mereka mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam saf yang di hadapan, nescaya kamu atau mereka akan mengadakan undian.
245 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Aku melihat orang lelaki yang sembahyang di belakang Nabi s.a.w mengikatkan kain mereka pada leher kerana kain mereka terlalu sempit. Kemudian seseorang berkata: Wahai para wanita! Janganlah kamu mengangkat kepala kamu sebelum kaum lelaki itu bangun.
246 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila isteri salah seorang dari kamu meminta izin untuk pergi ke masjid, maka janganlah menegahnya.
247 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Kalau sekiranya Rasulullah s.a.w melihat apa yang dilakukan oleh kaum wanita sekarang, nescaya baginda melarang mereka pergi ke masjid, seperti dilarang kepada wanita Bani Israel. Yahya berkata: Aku bertanya kepada Amrah, adakah wanita Bani Israel itu dilarang pergi ke masjid? Maka beliau menjawab: Ya!.
248 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a: Tentang firman Allah: Yang bermaksud: Dan janganlah kamu meninggikan suaramu dalam sembahyang dan jangan pula memperlahankannya. Katanya: Ayat ini diturunkan ketika Rasulullah s.a.w sedang bersembunyi di Mekah. Oleh itu apabila baginda sembahyang bersama para Sahabat, baginda meninggikan suaranya semasa membaca al-Quran. Apabila orang-orang musyrik mendengarnya, mereka memaki al-Quran, Zat yang menurunkannya dan orang yang membacanya. Maka Allah s.w.t berfirman kepada NabiNya s.a.w: Yang bermaksud: Janganlah kamu meninggikan suaramu di dalam sembahyangmu. Sehingga orang-orang musyrik mendengar bacaanmu. Yang bermaksud: Dan jangan pula memperlahankannya. Sehingga sahabatmu tidak mendengarnya. Perdengarkanlah al-Quran kepada mereka, tetapi jangan terlalu tinggi, sebaliknya carilah cara yang sederhana di antara keduanya. Jadi baginda membaca sederhana antara tinggi dan perlahan.
249 Diriwayatkan dari Aisyah r.a: Tentang firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Dan janganlah kamu meninggikan suaramu di dalam sembahyangmu dan jangan pula kamu memperlahankannya. Beliau berkata: Ayat ini ditujukan pada doa.
250 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a: Tentang firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk membaca al-Quran. Beliau berkata: Dulu apabila Malaikat Jibril turun menyampaikan wahyu, maka Nabi s.a.w menggerakkan lidah dan bibir baginda untuk membaca wahyu tadi sehingga susah menggerakkannya. Keadaan baginda sedemikian dapat dilihat. Maka Allah berfirman: Yang bermaksud: Janganlah kamu menggerakkan lidahmu untuk membacanya dan ingin cepat menguasainya. Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya dan membacanya. Kamilah yang perlu mengumpulkannya di dadamu dan membacanya, lalu kamu membacanya. Yang bermaksud: Apabila Kami selesai membacanya, maka ikutilah bacaan itu. Kami menurunkannya, maka dengarkanlah baik-baik. FirmanNya Yang bermaksud: Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya. Kami menjelaskannya melalui lidahmu. Apabila Malaikat Jibril mendatangi baginda, baginda diam dan apabila Malaikat tadi yaitu Jibril telah pergi, barulah baginda membacanya sebagaimana telah dijanjikan oleh Allah kepada baginda.
251 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w belum pernah membaca al-Quran dan mengajar agama kepada jin dan belum pernah pula melihat mereka. Kisahnya, baginda berangkat bersama dengan rombongan para Sahabat menuju ke pasar Ukaz Pada ketika itu, tipu muslihat antara syaitan dan berita dari langit dihalangi dan mereka dilempari dengan panah api. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka, lalu berkata: Antara kami dan berita dari langit ditipu daya dan kami dilempari dengan panah api. Kaum mereka berpendapat: Keadaan itu adalah kerana ada sesuatu yang luar biasa berlaku. Pergilah ke bumi di sebelah timur dan barat. Telitilah apa yang menghalangi antara kita dan berita dari langit. Mereka pun pergi ke bumi di sebelah timur dan barat. Sekumpulan jin dari mereka menuju ke arah Tihamah yaitu mengikuti Nabi s.a.w. Baginda berada di bawah pokok tamar dalam perjalanan ke pasar Ukaz. Pada saat itu, baginda sedang sembahyang Subuh bersama para Sahabat. Ketika mereka mendengar al-Quran, mereka memerhatikannya, lalu berkata: Inilah yang menghalangi antara kita dengan berita dari langit. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka lalu berkata: Wahai kaumku. Yang bermaksud: Sesungguhnya aku telah mendengar bacaan yang mengkagumkan, yang boleh menunjukkan kita kepada kebenaran, maka aku beriman kepadanya dan tidak akan menyekutukan Tuhanku dengan siapa pun. Maka Allah s.w.t menurunkan kepada nabiNya Muhammad s.a.w ayat Yang bermaksud: Katakanlah, telah diwahyukan kepadaku, bahawasanya sekumpulan jin telah mendengar bacaan al-Quran.
252 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w berjemaah bersama kami pada sembahyang Zuhur dan Asar, baginda membaca surah al-Fatihah dan dua surah pada dua rakaat yang pertama. Kadang-kadang baginda menyaringkan bacaan ayatnya kepada kami. Baginda memanjangkan rakaat pertama dan memendekkan rakaat kedua ketika sembahyang Zuhur demikian juga ketika sembahyang Subuh.
253 Hadits Saad bin Abu Waqqas r.a: Diriwayatkan dari Jabir bin Samurah r.a katanya: Penduduk Kufah mengadu tentang Saad kepada Umar bin al-Khattab sambil mencela sembahyangnya. Lalu Umar mengutus seseorang supaya memanggilnya. Lantas Saad pun datang bagi memenuhi panggilan tersebut. Setelah itu Umar menceritakan kepadanya mengenai celaan penduduk Kufah terhadapnya yaitu mengenai sembahyangnya. Saad berkata: Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang bersama mereka sebagaimana sembahyang Rasulullah s.a.w malah aku tidak menguranginya. Aku memanjangkan dua rakaat yang pertama dan mempercepatkan dua rakaat yang terakhir. Setelah mendengar kata-kata itu, Umar berkata: Jadi begitukah yang telah berlaku wahai Abu Ishak!.
254 Diriwayatkan dari Abu Barzah r.a katanya: Rasulullah s.a.w membaca ayat-ayat al-Quran semasa sembahyang Subuh sebanyak enam puluh hingga seratus ayat.
255 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Bahawa Ummu al-Fadli binti al-Haris mendengar baginda membaca Yang bermaksud: Demi makhluk-makhluk yang dihantarkan berturut-turut menjalankan tugas. Lalu Ummu al-Fadli berkata: Wahai anakku, bacaanmu pada surah ini mengingatkan aku tentang itulah surah terakhir yang aku dengar dibaca oleh Rasulullah s.a.w ketika sembahyang Maghrib.
256 Diriwayatkan dari Jubair bin Mut'im r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w membaca surah Ath-Thur ketika sembahyang Maghrib.
257 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Dari Nabi s.a.w bahawa dalam suatu perjalanan, ketika baginda mengerjakan sembahyang Isyak, baginda membaca di dalam salah satu dari dua rakaatnya Surah At-Tin.
258 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Biasanya Muaz sembahyang bersama Nabi s.a.w kemudian beliau pulang mengimami kaumnya. Pada suatu malam, beliau sembahyang Isyak bersama Nabi s.a.w kemudian pulang mengimami kaumnya. Beliau mulai dengan membaca surah al-Baqarah. Maka ada seorang lelaki yang membatalkan sembahyangnya dengan memberi salam terlebih dahulu, kemudian mengerjakan sembahyang bersendirian lalu beredar. Orang ramai berkata kepadanya: Wahai Si Polan! Adakah kamu sudah menjadi munafik? Dia menjawab: Tidak! Demi Allah sesungguhnya aku akan mengadap Rasulullah s.a.w dan memberitahu akan hal ini. Orang tersebut mengadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami adalah seorang pemilik unta, penyiram tanaman dan kami berkerja pada siang hari. Sesungguhnya Muaz telah mendirikan sembahyang Isyak bersama kamu lalu pulang dan mendirikan sembahyang dimulai dengan membaca surah al-Baqarah. Rasulullah s.a.w menemui Muaz lalu bersabda: Wahai Muaz! Adakah kamu memesongkan sembahyang dengan membaca itu dan ini. Sufian berkata: Aku berkata kepada Amru sesungguhnya Abu Az-Zubair menceritakan kepadaku dari Jabir bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Bacalah surah Asy-Syams, Ad-Dhuha dan al-A'laa. Maka Amru berkata: Memang seperti itu.
259 Diriwayatkan dari Abu Mas'ud al-Ansari r.a katanya: Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Aku akan datang lewat semasa sembahyang Subuh nanti disebabkan oleh Si Polan yang memanjangkan sembahyangnya. Aku belum pernah melihat Nabi s.a.w marah ketika memberi nasihat melebihi kemarahan baginda pada hari itu. Baginda bersabda: Wahai umatku sekalian! Sesungguhnya ada di antara kamu yang menjauhkan orang dari agama. Maka sesiapa di antara kamu menjadi imam, hendaklah dia mempercepatkan sembahyangnya kerana di belakangnya terdapat orang-orang tua, orang-orang yang lemah dan orang-orang yang mempunyai keperluan lain.
260 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Apabila salah seorang dari kamu menjadi imam, hendak dia mempercepatkan sembahyangnya kerana di belakangnya terdapat anak-anak kecil, orang-orang tua, orang-orang yang lemah dan orang sakit. Maka apabila mereka mendirikan sembahyang bersendirian, boleh sembahyang sesuka hatinya.
261 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w mempercepatkan sembahyang sehingga menyempurnakannya.
262 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendengar tangisan anak kecil bersama ibunya ketika baginda sedang sembahyang, lalu baginda pun membaca surah yang sedikit ayatnya atau surah yang pendek.
263 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Azib r.a katanya: Aku mengamati sembahyangku bersama Muhammad s.a.w. Maka aku mendapati baginda berdiri, rukuk, bangkit sesudah rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lagi serta baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama.
264 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya aku tidak akan mempercepatkan sembahyang jika aku mengimami kamu sebagaimana aku melihat Rasulullah s.a.w mengimami kami. Thabit yaitu salah seorang perawi berkata: Anas melakukan sesuatu yang tidak pernah aku melihat kamu semua melakukannya. Apabila beliau mengangkat kepala dari rukuk, maka beliau berdiri tegak sehingga ada yang berkata dia telah lupa dan jika beliau mengangkat kepala dari sujud, maka dia diam sehingga ada yang berkata dia telah lupa.
265 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Sesungguhnya mereka yaitu para Sahabat Sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w. Maka apabila baginda mengangkat kepala dari rukuk, aku tidak melihat seorang pun yang masih membongkokkan badannya sehinggalah ketika Rasulullah s.a.w meletakkan dahi ke tempat sujud maka orang-orang yang berada di belakang baginda pun turut sujud.
266 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika rukuk dan sujud, baginda biasanya memperbanyakkan bacaan: Baginda melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam al-Quran.
267 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w telah diperintahkan agar melakukan sujud dengan menggunakan tujuh anggota badan serta dilarang melapik dahi dengan rambutnya dan pakaiannya.
268 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Luruskanlah badan ketika bersujud dan janganlah salah seorang dari kamu mendamparkan kedua lengannya yaitu merapatkan siku ke tanah seperti anjing mendamparkan kaki hadapannya.
269 Diriwayatkan dari Abdullah bin Malik bin Buhainah r.a katanya: Sesungguhnya ketika Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang, baginda merenggangkan kedua tangannya sehingga ternampak putih di ketiak baginda.
270 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w keluar untuk sembahyang pada Hari Raya, baginda memerintahkan supaya membawa lembing yang berhujung besi untuk dipacakkan di hadapan, kemudian baginda mendirikan sembahyang mengadap ke arah lembing tadi. Begitu juga para makmum di belakang baginda. Oleh kerana itulah, pada hari ini, pihak penguasa turut melakukan sedemikian.
271 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w melintangkan Unta baginda di hadapan lalu sembahyang dengan menghadap ke arah unta tersebut.
272 Diriwayatkan dari Abu Juhaifah r.a katanya: Aku mengadap Nabi s.a.w di Mekah, sewaktu baginda berada di Abtah, di dalam suatu khemah bulat berwarna merah yang diperbuat dari belulang. Katanya lagi: Kemudian Bilal keluar dengan membawa air wuduk untuk baginda. Maka ada mereka yang mendapat air tadi dan ada pula yang hanya dipercikkan oleh orang lain. Katanya lagi: Kemudian Nabi s.a.w keluar dengan memakai pakaian merah, seolah-olah aku dapat melihat betis baginda yang putih. Beliau berkata lagi: Setelah itu baginda berwuduk lalu Bilal mengumandangkan azan. Aku memerhatikan mukanya bergerak ke kanan dan ke kiri ketika membaca kemudian dipacakkan sebatang tongkat untuk baginda lalu baginda pun maju kehadapan dan bersembahyang Zuhur dua rakaat. Kemudian seekor kaldai dan seekor anjing melintas di hadapan baginda tetapi baginda tidak menghalangnya. Seterusnya baginda mengerjakan sembahyang Asar dua rakaat dan baginda sentiasa mengerjakan sembahyang dua rakaat sehinggalah baginda sampai ke Madinah.
273 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah datang dengan menaiki kaldai betina ketika aku hampir baligh. Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang sembahyang bersama orang ramai di Mina. Aku melintasi di hadapan saf lalu turun dan membiarkan kaldaiku merumput. Kemudian aku masuk ke dalam saf dan tiada seorang pun yang mencela perbuatanku tadi.
274 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila seseorang dari kamu sedang sembahyang, janganlah membiarkan seorang pun yang melintasi di hadapannya. Sekiranya ada orang yang melintas maka hendaklah dia menghalang semampunya. Sekiranya halangan tersebut tidak dihiraukan maka hendaklah dia membunuhnya kerana sesungguhnya orang tersebut adalah syaitan.
275 Diriwayatkan dari Abu Juhaim r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya orang yang melintasi di hadapan orang sembahyang itu tahu betapa besar dosanya nescaya lebih baik dia berhenti selama 40 dari melintas di hadapan orang sembahyang. Abu An-Nadri berkata: Aku tidak pasti adakah baginda mengatakan 40 hari, 40 bulan atau tahun.
276 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad As-Saidi r.a katanya: Jarak antara tempat sembahyang Rasulullah s.a.w dan dinding hanyalah cukup untuk kambing melintas.
277 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Beliau memilih tempat untuk meletak mashaf yaitu al-Quran, lalu sembahyang di situ. Beliau menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w juga memilih tempat tersebut. Manakala jarak antara mimbar dan kiblat hanyalah cukup untuk laluan seekor kambing sahaja.
278 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah mengerjakan sembahyang pada suatu malam manakala aku pula pada ketika itu melintang di antara baginda dan kiblat seperti melintangnya jenazah.
279 Diriwayatkan dari Maimunah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengerjakan sembahyang, manakala aku pula berada di hadapan baginda dan aku dalam keadaan haid. Kadang-kadang pakaian baginda mengenai aku apabila baginda sujud.
280 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w tentang sembahyang dengan memakai sehelai pakaian. Maka baginda bersabda: Adakah kamu semua memiliki dua helai pakaian?.
281 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang dari kamu mengerjakan sembahyang dengan hanya memakai sehelai pakaian dan tidak ada sedikit pun pakaian yang menutupi kedua-dua bahunya.
282 Diriwayatkan dari Umar bin Abu Salamah r.a katanya: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang di rumah Ummu Salamah secara berselimut yaitu membalut tubuh baginda dengan sehelai pakaian dan meletakkan kedua hujung kain tersebut di atas bahu baginda.
283 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang secara membalut tubuh baginda dengan sehelai pakaian.

SHOLAT DAN TEMPAT-TEMPAT SHOLAT
284 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Masjid manakah yang pertama diasaskan atas muka bumi ini? Rasulullah menjawab: Masjidil Haram. Aku bertanya lagi: Setelah itu, masjid mana pula? Baginda menjawab: Masjidil Aqsa. Seterusnya aku bertanya: Berapa lamakah beza waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Empat puluh tahun. Walau pun begitu, di mana saja kamu berada apabila tiba waktu sembahyang, dirikanlah sembahyang kerana di situ juga merupakan masjid.
285 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Semua Nabi sebelumku hanya diutuskan khusus kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada manusia yang berkulit merah dan hitam yaitu seluruh manusia. Dihalalkan untukku harta rampasan perang, sedangkan ianya tidak pernah dihalalkan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Disediakan untukku bumi yang subur lagi suci sebagai tempat untuk sujud yaitu sembahyang. Maka sesiapa pun apabila tiba waktu sembahyang walau dimana saja dia berada hendaklah dia mengerjakan sembahyang. Aku juga diberikan pertolongan secara dapat menakutkan musuh dari jarak perjalanan selama satu bulan. Aku juga diberikan hak untuk memberi syafaat.
286 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Aku diberikan enam kelebihan berbanding Nabi-nabi lain; Aku diberi kata-kata yang ringkas tetapi mengandungi erti yang banyak yaitu al-Quran dan Hadits. Aku diberi pertolongan dengan cara dapat menakutkan musuh, dihalalkan bagiku harta rampasan perang dan dijadikan kepadaku bumi yang suci sebagai tempat sujud. Aku juga diutuskan kepada seluruh makhluk dan aku adalah sebagai penutup bagi seluruh para Nabi yaitu Nabi yang terakhir diutuskan.
287 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, baginda singgah di kawasan yang agak tinggi di Kota Madinah yaitu sebuah tempat yang bernama Bani Amru bin Auf. Baginda tinggal bersama mereka selama empat belas malam. Kemudian baginda menyuruh supaya memanggil pemimpin Bani Najjar. Lalu mereka pun datang membawa pedang masing-masing. Beliau berkata lagi: Aku seolah-olah melihat Rasulullah s.a.w di atas untanya, manakala Abu Bakar berada di belakang baginda, sementara pemimpin Bani Najjar mengelilingi baginda. Baginda membiarkan saja unta baginda itu membawanya hinggalah baginda tiba di halaman rumah milik Abu Ayyub. Beliau berkata lagi: Rasulullah s.a.w sembahyang walau di mana saja bila tiba waktu sembahyang, baginda sembahyang di dalam kawasan pemeliharaan kambing. Kemudian baginda memerintahkan supaya didirikan sebuah masjid. Beliau berkata lagi: Lalu baginda menyuruh memanggil pemimpin Bani Najjar itu, mereka pun datang. Lalu baginda bersabda: Wahai Bani Najjar! Nyatakan harga kebunmu ini kepadaku. Lalu mereka menjawab: Tidak! Demi Allah, kami tidak mahukan harganya kecuali kepada Allah. Lalu Anas berkata: Mengikut pengetahuanku, dalam kebun itu terdapat pokok kurma, kubur orang-orang Musyrikin dan runtuhan bangunan. Lantas Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya memotong pokok kurma, membongkar kubur orang-orang Musyrikin dan meratakan runtuhan bangunan. Beliau berkata lagi: Lalu mereka menjadikan pohon kurma tersebut sebagai arah kiblat dan sebuah batu besar sebagai bahu pintu gerbang. Beliau berkata lagi: Mereka melakukan pekerjaan berat itu sambil mengalunkan syair dan Rasulullah s.a.w ada bersama mereka. Mereka bersyair: Bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya tiada kebaikan yang terlebih baik melainkan kebaikan akhirat. Bantulah orang-orang Ansar dan orang-orang Muhajirin.
288 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Aa'zib r.a katanya: Aku telah sembahyang bersama Nabi s.a.w menghadap ke Baitulmuqaddis selama enam belas bulan sehinggalah diturunkan ayat yang terdapat dalam surah al-Baqarah: Yang bermaksud: Dan di mana saja kamu berada, maka palingkanlah mukamu ke arahnya. Ayat tersebut diturunkan selepas Nabi s.a.w menunaikan sembahyang. Setelah itu seorang lelaki dari satu kaum berjalan-jalan dan secara kebetulan dia mendapati beberapa orang dari kaum Ansar masih lagi sembahyang dengan menghadap ke arah Baitulmuqaddis. Lalu dia menceritakan tentang ayat tersebut, lantas mereka memalingkan muka mereka ke arah Kaabah.
289 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Ketika orang ramai sedang menunaikan sembahyang Subuh di Quba', tiba-tiba datang seorang lelaki kepada mereka lalu memberitahu bahawa ayat yang memerintahkan supaya mereka menghadap ke arah Kaabah telah di turunkan kepada Rasulullah s.a.w malam tadi, maka hadapkanlah ke arahnya. Sedangkan pada masa itu mereka semua sedang menghadap ke arah Syam. Lantas mereka semua berpaling menghadap ke arah Kaabah.
290 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menyebut tentang sebuah gereja yang pernah kami lihat di Habsyah yaitu Ethiopia yang penuh dengan gambar-gambar kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya mereka yaitu penduduk Ethiopia mempunyai kebiasaan apabila ada salah seorang lelaki yang soleh dari kalangan mereka meninggal dunia, maka mereka akan mendirikan sebuah masjid di atas kuburnya dan mereka juga membuat beberapa gambar. Mereka adalah sejahat-jahat makhluk di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak.
291 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w diserang sakit yang menyebabkan baginda tidak boleh bangun. Baginda pernah bersabda: Allah telah mengutuk orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur Nabi-nabi mereka sebagai masjid yaitu tempat sembahyang. Aisyah berkata: Jika tidak kerana sabda Nabi tersebut pasti maqam Rasulullah juga dijadikan masjid kerana mereka tidak takut untuk menjadikan maqam Nabi sebagai masjid.
292 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah telah memusuhi orang-orang Yahudi yang telah menjadikan kubur Nabi-nabi mereka sebagai masjid.
293 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w ditimpa sesuatu kesusahan, akan terpamirlah kegelisahan pada raut wajah baginda. Begitu juga apabila segala kegelisahan itu telah hilang, akan terpancarlah ketenangan pada raut wajah baginda. Baginda bersabda: Allah melaknati orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur Nabi-nabi mereka sebagai masjid. Lalu baginda memberi peringatan dari melakukan perbuatan seumpama itu.
294 Hadits Othman bin Affan r.a katanya: Beliau pernah berkata semasa menyelesaikan permasalahan yang timbul dikalangan orang ramai ketika Masjid Rasulullah s.a.w dibina: Kamu telah berlebih-lebihan. Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang membangunkan sebuah masjid kerana Allah Taala (Bukair berkata: Kalau tidak silap aku beliau berkata: Untuk mencari keredaan Allah) maka Allah akan membangunkan sebuah rumah untuknya di dalam Surga.
295 Hadits Saad bin Abi Waqqas r.a: Diriwayatkan dari Mus'ab bin Saad r.a katanya: Aku pernah sembahyang di sisi ayahku. Aku rapatkan tangan antara kedua lututku. Lalu ayahku berkata kepadaku: Letakkan kedua telapak tanganmu pada lututmu. Kemudian aku melakukan hal itu sekali lagi. Lalu ayah memukul tanganku sambil mengatakan: Sesungguhnya kita dilarang dari melakukan ini yaitu meletakkan tangan di antara dua lutut dan kita diperintahkan supaya meletakkan tangan di atas lutut.
296 Diriwayatkan dari Abdullah Ibnu Mas'ud r.a katanya: Kami mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w, pada waktu itu baginda sedang sembahyang. Baginda menjawab salam kami. Ketika kami kembali dari rumah Najasyi, kami sekali lagi mengucapkan salam kepada baginda. Tetapi kali ini baginda tidak menjawabnya yaitu selepas diturunkan ayat yang melarang dari bercakap semasa sembahyang. Lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bukankah kami pernah mengucapkan salam kepadamu ketika kamu sedang sembahyang dan kamu menjawab salam kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam sembahyang terdapat kesibukannya tersendiri.
297 Diriwayatkan dari Zaid bin Arqam r.a katanya: Kami pernah bercakap-cakap di dalam sembahyang. Seseorang itu boleh bercakap-cakap dengan temannya yang berada di sisi semasa sembahyang. Akhirnya diturunkan ayat Yang bermaksud: Dirikanlah sembahyang kerana Allah dengan khusyuk. Jadi kami diperintahkan supaya diam dan tidak lagi bercakap-cakap semasa sembahyang.
298 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah mengutusku kerana sesuatu hajat. Kemudian aku kembali mendapatkan baginda, ketika itu baginda sedang berjalan (Mengikut riwayat Qutaibah: Baginda sedang sembahyang), lalu aku mengucapkan salam kepada baginda, namun baginda hanya memberikan isyarat kepadaku. Apabila baginda selesai dari menunaikan sembahyang, baginda memanggilku lalu bersabda: Ketika kamu mengucapkan salam tadi, aku sedang sembahyang. Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sembahyang dengan menghadap ke arah timur.
299 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Ifrit dari kalangan jin telah datang untuk menggodaku semalam agar aku lalai ketika sembahyang. Tetapi Allah telah melindungi aku darinya sehingga aku dapat menangkapnya yaitu menjerat lehernya. Aku mempunyai keinginan untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga ke waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Kemudian aku menyebutkan kata-kata saudaraku Nabi Sulaiman a.s: Tuhanku! Ampunilah aku, berikanlah kepadaku suatu kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh seorang pun selepasku. Maka akhirnya Allah melepasnya secara menolak Ifrit tersebut dalam keadaan rugi, hina dan lemah.
300 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah sembahyang sambil menggendong. Menurut keterangan Abu al-As bin Rabi', ketika Rasulullah berdiri, Umamah puteri Zainab binti Rasululah s.a.w yang bapanya bernama Abi al-As bin ar-Rabi' digendong oleh baginda dan ketika baginda sujud, Umamah akan diturunkannya.
301 Hadits Sahl bin Saad r.a: Diriwayatkan dari Abdul Aziz bin Abu Hazim r.a katanya: Beberapa orang telah datang menemui Sahl bin Saad. Mereka bertelingkah mengenai mimbar dari jenis kayu apakah ianya diperbuat. Sahl berkata: Demi Allah! Saya tidak tahu kayu dari jenis apakah mimbar tersebut diperbuat dan siapakah yang membuatnya. Tetapi aku pernah melihat Rasulullah s.a.w pada hari pertama baginda duduk di atas mimbar tersebut. Aku berkata kepadanya: Wahai Ibnu Abbas ceritakanlah kepada kami. Ibnu Abbas berkata: Rasulullah s.a.w telah mengutus kami kepada isteri Abu Hazim. Sesungguhnya beliaulah yang akan menamakannya suatu hari nanti, panggil tukang kayumu supaya dia membuatkan untukku satu mimbar yang akan aku gunakan untuk berkhutbah di hadapan orang ramai. Maka dibuat satu mimbar yang mempunyai tiga anak tangga. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya mimbar tersebut diletakkan pada tempatnya, mimbar tersebut diperbuat dari kayu Cemara hutan. Sesungguhnya aku melihat Rasulullah s.a.w berdiri di atasnya dan bertakbir, lalu orang ramai pun bertakbir selepas baginda bertakbir, baginda masih berada di atas mimbar, kemudian baginda bangun dari rukuk dan turun dari mimbar sambil berundur ke belakang sehinggalah baginda sujud di kaki mimbar, kemudian baginda kembali semula ke atas mimbar hinggalah selesai sembahyang. Setelah itu baginda menghadap ke arah orang ramai sambil berkata: Wahai umatku! Aku melakukan begini supaya kamu mengikuti aku dan kamu dapat mempelajari bagaimana cara aku sembahyang.
302 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya baginda s.a.w melarang seseorang yang sembahyang sambil meletakkan tangan di pinggang.
303 Diriwayatkan dari Mu'aiqib r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w telah menyebut mengenai masalah menyapu di dalam masjid yaitu menyapu pasir halus. Baginda bersabda: Sekiranya kamu memang terpaksa melakukannya, maka lakukanlah sekali sahaja.
304 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melihat air liur di dinding yang menghadap ke arah kiblat lalu baginda menyapunya. Kemudian baginda berpaling kepada para Sahabat dan bersabda: Semasa kamu sembahyang, kamu janganlah meludah ke depan kerana sesungguhnya Allah sedang menghadap ke arah kamu semasa kamu sembahyang.
305 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melihat hingus di arah kiblat masjid, lalu baginda menyapunya dengan batu kecil. Kemudian baginda melarang seseorang dari meludah ke kanan atau ke depan, tetapi bolehlah meludah ke kiri atau ke bawah telapak kaki kirinya.
306 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melihat air liur, hingus atau kahak di dinding kiblat lalu baginda menyapunya.
307 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Semasa salah seorang dari kamu sembahyang, sesungguhnya dia sedang memohon pertolongan dari Tuhannya. Janganlah dia meludah ke depan atau ke kanannya. Tetapi hendaklah dia meludah ke bawah telapak kaki kirinya.
308 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membuang hingus di dalam masjid adalah satu dosa dan kifaratnya ialah dengan menimbusnya.
309 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Said bin Yazid al-Azdiy r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik: Adakah Rasulullah s.a.w pernah sembahyang dengan memakai kasut? Anas menjawab: Ya!.
310 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah mendirikan sembahyang dengan memakai pakaian yang bercorak. Kemudian baginda bersabda: Aku merasa terganggu kerana corak yang ada pada baju ini. Bawalah baju ini kepada Abu Jahmin dan ambilkan untukku baju lain.
311 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Apabila makanan telah siap dihidangkan dan sembahyang hendak didirikan, maka hendaklah kamu makan terlebih dahulu.
312 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila makanan dihidangkan kepada kamu sedangkan sembahyang hendak didirikan, maka hendaklah kamu makan terlebih dahulu. Janganlah kamu terburu-buru hinggalah kamu selesai makan.
313 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda ketika dalam peperangan Khaibar: Sesiapa yang memakan dari pohon ini yaitu bawang putih maka janganlah dia memasuki masjid.
314 Hadits Anas r.a: Diriwayatkan dari Abdul Aziz Alias Ibnu Shuhaib r.a katanya: Anas pernah ditanya mengenai bawang putih. Anas menjawab: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang memakan pohon ini maka janganlah dia mendekati kami dan jangan sembahyang bersama kami.
315 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang makan bawang merah dan bawang muda. Oleh kerana terpaksa memakannya lalu kami memakan. Kemudian baginda bersabda: Sesiapa yang makan dari pohon yang tidak sedap ini yaitu berbau busuk maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana para Malaikat juga akan terhidu bau busuk sebagaimana manusia.
316 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Aku tidak pernah bertanya Rasulullah s.a.w dalam satu-satu masalah sebagaimana aku tanyakan tentang masalah Kalalah yaitu seorang yang mati tanpa meninggalkan ayah atau anak, suatu masalah yang selalu aku pertanyakan Rasulullah s.a.w sehinggakan ada orang yang menunjukkan tangannya ke dadaku seraya berkata: Wahai Umar! Adakah masih belum memadai bagi kamu dengan turunnya ayat As-Saif yaitu musim kemarau yang terletak di akhir Surah An-Nisa'. Sesungguhnya aku sekiranya dikurniakan umur panjang akan menghukumkan perkara ini dengan hukuman yang sama samada orang itu membaca al-Quran atau tidak. Kemudian beliau berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku meminta Engkau menjadi saksi kepada para pemimpin di segenap pelusuk negeri. Sesungguhnya aku mengutuskan mereka adalah supaya mereka berlaku adil terhadap manusia, mengajarkan manusia ilmu agama, sunnah Nabi mereka, membahagikan sesama mereka harta hasil rampasan perang dengan jujur dan menyelesaikan segala permasalahan yang mereka anggap sulit. Kamu semua makan dari dua pohon yang aku rasa adalah pohon yang busuk yaitu bawang merah dan bawang putih. Aku telah menyaksikan Rasulullah s.a.w apabila mendapati bau kedua pohon itu dari seseorang dalam masjid, maka beliau akan menyuruh orang tersebut supaya keluar ke Baqi'. Sesiapa yang ingin memakannya maka hendaklah dia memasaknya terlebih dahulu.
317 Diriwayatkan dari Abdullah bin Buhainah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah sembahyang dua rakaat bersama kami. Kemudian baginda berdiri dan tidak duduk Tahiyyat. Sahabat-sahabat juga ikut berdiri bersama baginda. Setelah sembahyang hampir selesai, kami menunggu salam baginda namun baginda bertakbir lagi lalu sujud sebanyak dua kali. Baginda duduk seketika sebelum memberi salam. Setelah itu barulah baginda memberi salam.
318 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w sedang sembahyang dan menurut kata Ibrahim: Baginda menambah atau mengurang rakaat sembahyangnya, maka setelah selesai memberi salam, baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah ada sesuatu yang telah terjadi pada sembahyang tadi? Rasulullah s.a.w bertanya kembali: Perkara apakah itu? Lalu dijawab: Sesungguhnya kamu telah mengerjakan sembahyang begini dan begini. Beliau berkata: Seketika itu juga Rasulullah s.a.w melipatkan kedua kakinya dan mengadap kiblat, lalu baginda sujud sebanyak dua kali, lantas baginda memberi salam. Kemudian beliau berpaling ke arah kami seraya bersabda: Seandainya terjadi sesuatu semasa dalam sembahyang, maka aku ingin menerangkannya kepada kamu. Tetapi aku juga manusia biasa yang boleh jadi terlupa sama seperti kamu. Apabila aku terlupa, peringatkanlah kepadaku. Apabila kamu merasa ragu-ragu ketika sembahyang, hendaklah kamu berusaha mencari yang sepatutnya dan menyempurnakannya jika kurang, selepas itu hendaklah kamu melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali.
319 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah sembahyang bersama kami di suatu petang, samada sembahyang Asar atau sembahyang Zuhur. Pada rakaat yang kedua baginda memberi salam. Kemudian baginda bersandar dibatang tamar yang berada pada arah Kiblat. Di antara Sahabat yang menjadi makmum termasuklah Abu Bakar dan Umar, namun keduanya tidak berani berkata-kata. Sementara sahabat-sahabat lain terpegun kerana sembahyang dilakukan terlalu singkat. Lalu seorang Sahabat bernama Zul Yadain berdiri seraya berkata: Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang disingkatkan yaitu diqasar atau anda terlupa? Rasulullah s.a.w memandang ke kanan dan kiri lalu baginda bertanya: Adakah benar apa yang diucapkan oleh Zul Yadain tadi? Sahabat-sahabat menjawab: Benar! Anda hanya sembahyang dua rakaat sahaja. Seketika itu juga Rasulullah s.a.w menyambung sembahyang dua rakaat lagi dan baginda memberi salam. Setelah itu baginda bertakbir kemudian sujud, kemudian bertakbir lalu bangkit dari sujud, kemudian baginda bertakbir lagi lalu sujud buat kali kedua, kemudian bertakbir dan bangkit dari sujud.
320 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w membaca al-Quran, setelah baginda membaca surah yang ada ayat sajdah yaitu ayat yang disunatkan sujud, baginda pun sujud dan kami juga ikut sujud bersama Rasulullah s.a.w sehinggakan sebahagian dari kami tiada tempat untuk sujud.
321 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a: Dari Nabi s.a.w sesungguhnya baginda telah membaca surah An-Najm, lalu baginda sujud begitu juga orang yang ada bersama baginda kecuali seorang tua mengambil segenggam batu kerikil atau pasir lalu disapukan ke dahinya seraya berkata: Ini pun sudah memadai bagiku.
322 Hadits Zaid bin Thabit r.a: Diriwayatkan dari Ata' bin Yasar r.a katanya: Sesungguhnya beliau telah bertanya Zaid bin Thabit tentang masalah membaca bersama imam. Zaid menjawab: Tidak ada sedikit pun bacaan bersama imam, bahkan Zaid menyakinkan bahawa dia pernah membaca di hadapan Rasulullah s.a.w namun baginda tidak sujud.
323 Hadits Abu Hurairah r.a: Diriwayatkan dari Abu Salamah bin Abdul Rahman r.a katanya: Abu Hurairah pernah membaca di hadapan para Sahabat yang lain, lalu Abu Hurairah sujud. Selepas mereka semua bersurai, Abu Hurairah memberitahu kepada para Sahabat yang lain bahawa Rasulullah s.a.w juga telah sujud ketika membaca ayat tersebut.
324 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Kami mengetahui sembahyang Rasulullah s.a.w diakhiri dengan takbir.
325 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Dua orang perempuan tua dari kaum Yahudi Madinah telah datang menemuiku. Kedua perempuan itu berkata: Sesungguhnya ahli kubur akan di azab dalam kubur mereka. Lalu Aisyah berkata: Kamu berdua ini penipu dan aku tidak mahu membenarkan kata-kata mereka itu, maka kedua-dua perempuan itu meninggalkan aku. Setelah itu Rasulullah s.a.w datang lalu aku berkata kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dua orang perempuan tua dari kaum Yahudi Madinah telah datang menemuiku dan mereka mengatakan bahawa ahli kubur akan di azab di dalam kubur mereka. Lalu Rasulullah bersabda: Memang benar kedua-dua orang perempuan Yahudi itu akan di azab, hanya binatang sahaja yang dapat mendengar azab itu. Aisyah berkata lagi: Aku selalu mendengar Rasulullah s.a.w memohon perlindungan dari azab kubur ketika baginda sembahyang.
326 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w sentiasa memohon perlindungan dari fitnah Dajjal ketika dalam sembahyangnya.
327 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila seseorang dari kamu berada dalam keadaan tasyahhud, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara dengan berdoa: yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari siksaan Neraka Jahannam, dari siksa Kubur, dari fitnah semasa hidup dan selepas mati serta dari kejahatan fitnah Dajjal.
328 Diriwayatkan dari Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Nabi s.a.w sering berdoa ketika sembahyangnya dengan berkata: yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari siksa kubur dan aku memohon perlindungan kepadaMu dari fitnah Dajjal. Aku juga memohon perlindungan kepadaMu dari fitnah semasa hidup dan selepas mati. Ya Allah! Aku memohon perlindungan kepadaMu dari segala dosa dan hutang. Aisyah berkata lagi: Seseorang telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seseorang yang sudah terkena beban hutang, apabila dia berkata-kata dia akan berdusta dan apabila berjanji dia akan mengingkari.
329 Hadits al-Mughirah bin Syu'bah r.a: Diriwayatkan dari Warrad bekas hamba al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Al-Mughirah bin Syu'bah telah menulis surat kepada Muawiah, bahawa Rasulullah s.a.w setiap kali selesai dari sembahyang dan memberi salam, baginda berdzikir dengan berkata: yang bermaksud: Tiada Tuhan melainkan Allah yang satu dan tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kekuasaan, hanya bagiNya segala pujian. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah! Tidak ada siapa yang boleh menghalangi apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberi apa yang Engkau tegah dan tiada siapa yang berkuasa memberikan manfaat selain dariMu.
330 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya orang-orang miskin dari golongan muhajirin telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Orang-orang kaya mendapat kedudukan yang tinggi dan nikmat-nikmat yang kekal. Rasulullah bertanya: Apa itu? Mereka menjawab: Mereka bersembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sementara kami tidak mampu memerdekakannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang pun yang lebih baik dari kamu melainkan mereka yang melakukan amalan sebagaimana yang kamu lakukan itu. Mereka menjawab: Tentu saja, wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu bertasbih bertakbir dan bertahmid setiap kali setelah selesai dari sembahyang sebanyak tiga puluh tiga kali.
331 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w diam seketika selepas bertakbir semasa sembahyang sebelum membaca al-Fatihah, aku bertanya: Wahai Rasulullah! Engkau yang lebih aku sayangi dari ayah dan ibuku aku melihat kamu diam di antara takbir dan bacaan al-Fatihah, apakah yang anda baca? Baginda menjawab dengan bersabda: Aku membaca doa: yang bermaksud: Ya Allah! Jauhkanlah aku dari dosa-dosaku sebagaimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah! Bersihkan daku dari dosa-dosaku sebagaimana bersihnya baju putih dari kotoran. Ya Allah! Sucikanlah aku dari dosa-dosaku dengan salji air dan angina.
332 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila sembahyang telah dimulai, maka janganlah kamu mendatanginya dengan tergesa-gesa, tetapi hendaklah kamu mendatanginya dalam keadaan tenang. Sembahyanglah sekadar yang kamu sempat dan sempurnakanlah rakaat sembahyang yang belum ditunaikan.
333 Diriwayatkan dari Abi Qatadah r.a katanya: Ketika kami menunaikan sembahyang bersama Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba terdengar satu suara yang kuat. Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang terjadi kepada kamu? Para Sahabat menjawab: Kami tadi tergesa-gesa untuk sembahyang. Rasulullah s.a.w bersabda: Jangan lagi kamu lakukan begitu apabila kamu datang untuk sembahyang, tetapi hendaklah kamu mendatanginya dengan tenang. Sembahyanglah sekadar yang kamu sempat dan sempurnakanlah rakaat sembahyang yang masih belum ditunaikan.
334 Diriwayatkan dari Abi Qatadah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila diiqamatkan sembahyang maka janganlah kamu berdiri sebelum kamu melihatku.
335 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Diiqamatkan sembahyang, kami terus berdiri dan mengadakan barisan yaitu saf sebelum Rasulullah s.a.w keluar kepada kami. Tidak lama kemudian datanglah Rasulullah s.a.w sehinggakan baginda berhenti di tempat sembahyangnya. Sebelum mengangkat takbir baginda mengingatkan sesuatu sambil beredar. Baginda bersabda kepada kami: Berdirilah di tempatmu. Sementara itu kami masih berdiri menanti baginda sehinggalah baginda keluar kepada kami. Baginda telah membersihkan kepala baginda dengan air lalu bertakbir dan mendirikan sembahyang bersama kami.
336 Diriwayatkan dari Jabir bin Samurah r.a katanya: Apabila matahari telah tenggelam, Bilal segera mengumandangkan azan dan Bilal tidak akan mengiqamatkan sembahyang sebelum Rasulullah s.a.w keluar. Apabila melihat Rasulullah s.a.w keluar, lantas beliau mengiqamatkan sembahyang.
337 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang sempat sembahyang satu rakaat bersama imam, maka bererti dia sudah mendapat ganjaran pahala sembahyang tersebut (pahala sembahyang berjemaah).
338 Diriwayatkan dari Abi Mas'ud r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Jibril telah turun sembahyang dengan mengimami aku. Lalu aku sembahyang bersamanya. Kemudian aku sembahyang bersamanya. Kemudian aku sembahyang bersamanya. Kemudian aku sembahyang bersamanya. Kemudian aku sembahyang bersamanya. Baginda menghitung dengan jari baginda semuanya sebanyak lima kali sembahyang.
339 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersembahyang Asar sedangkan matahari yang menampakkan cahayanya ke bilikku masih belum hilang cahayanya.
340 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila hari tersangat panas, maka tangguhkanlah sembahyang kerana sesungguhnya kepanasan yang bersangatan itu termasuk dari bahang api Neraka Jahanam.
341 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Seorang tukang azan Rasulullah s.a.w mengumandangkan azan sembahyang Zuhur. Rasulullah s.a.w bersabda: Tunggulah sehingga cuaca redup, tunggulah sehingga cuaca redup. Mungkin juga katanya: Tunggu sebentar, tunggu sebentar. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya panas yang membara itu adalah bahang dari Api Neraka Jahanam. Apabila hari sangat panas maka tangguhkanlah sembahyang.
342 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Satu ketika Neraka mengadu kepada Tuhannya. Neraka berkata: Wahai Tuhanku! Sebahagian dariku memakan sebahagian yang lain. Lalu Allah merestui Neraka dengan memberikannya dua nafas. Nafas pada musim dingin dan nafas pada musim panas, nafas tersebut lebih panas dari kepanasan yang biasa kamu dapati dan lebih sejuk dari kesejukan yang biasa kamu dapati.
343 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Kami bersembahyang bersama Rasulullah s.a.w pada hari yang bersangatan panas. Sehingga tiada seorang pun dari kami yang dapat sujud ke bumi kerana terlalu panas lalu dia meletakkan bajunya ke tanah dan sujud di atasnya.
344 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah melakukan sembahyang Asar sedangkan cahaya matahari yang memancar masih belum berubah warnanya dan masih belum berubah kepanasannya. Orang yang pergi ke Daerah al-Awali yaitu selepas sembahyang dan dia sampai di Daerah al-Awali ketika matahari masih lagi tinggi.
345 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Abu Umamah r.a katanya: Sesungguhnya beliau datang menemui Anas bin Malik di rumahnya yang terletak di Basrah, ketika itu Anas baru saja selesai menunaikan sembahyang Zuhur. Rumahnya terletak berdekatan dengan masjid, sewaktu kami menemuinya dia terus bertanya: Adakah kamu sudah sembahyang Asar? Kami menjawab: Sesungguhnya kami baru saja selesai dari sembahyang Zuhur. Tetapi Anas berkata: Sembahyanglah Asar. Maka kami pun melakukan sembahyang. Setelah kami selesai menunaikan sembahyang, Anas berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Itulah sembahyang orang munafik. Dia duduk menunggu yaitu memerhati matahari sehingga sampai antara dua Tanduk Syaitan yaitu telah menguning sinarnya maka barulah dia bergegas menunaikan sembahyang empat rakaat dengan cepat dan tidak banyak berdzikir mengigati Allah.
346 Diriwayatkan dari Rafi' bin Khadij r.a katanya: Kami telah menunaikan sembahyang Asar bersama Rasulullah s.a.w. Kemudian binatang korban disembelih lalu dibahagikan menjadi dua belas bahagian, seterusnya dimasak. Kami memakan daging yang segar, sebelum terbenamnya matahari.
347 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlambat melakukan sembahyang Asar seolah-olah keluarga dan hartanya akan dihilangkan darinya.
348 Diriwayatkan dari Ali r.a katanya: Semasa peperangan Ahzab Rasulullah s.a.w bersabda: Semoga Allah memenuhkan kubur dan rumah-rumah mereka dengan api, sebagaimana mereka telah menahan kami dan menyibukkan kami dari mendirikan sembahyang Asar sehingga terbenam matahari.
349 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya Umar bin al-Khattab r.a telah mencaci kaum kafir Quraisy semasa peperangan Khandak. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Demi Allah, aku hampir tidak dapat melakukan sembahyang Asar sehinggalah matahari hampir terbenam. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah aku juga belum sembahyang Asar. Maka kami pun turun ke Buthan lalu Rasulullah s.a.w berwuduk dan kami pun turut berwuduk. Rasulullah s.a.w lantas bersembahyang Asar setelah matahari terbenam. Kemudian baginda pun mendirikan sembahyang Maghrib.
350 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Para Malaikat datang berduyung-duyung kepada kamu pada waktu malam dan siang. Mereka berhimpun semasa sembahyang Subuh dan sembahyang Asar. Kemudian naiklah orang yang bersama kamu. Lalu Tuhan bertanya kepada mereka walaupun Dia lebih mengetahui terhadap segala urusan mereka dengan pertanyaan: Bagaimanakah keadaan hamba-hambaKu ketika kamu meninggalkannya? Mereka menjawab: Kami meninggalkan mereka ketika mereka sedang bersembahyang dan ketika kami mendatangi mereka, mereka juga sedang bersembahyang.
351 Diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah r.a katanya: Ketika kami duduk di samping Rasulullah s.a.w, tiba-tiba baginda memandang kepada bulan purnama pada malam peperangan Badar, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kamu akan dapat melihat Tuhanmu sebagaimana kamu melihat bulan purnama ini, tiada halangan semasa kamu melihatNya yaitu akan dapat melihat Allah dengan jelas sekiranya kamu mampu, maka janganlah kamu lalai dari melakukan sembahyang sebelum terbit Matahari dan sebelum terbenam Matahari, yaitu sembahyang Asar dan sembahyang Subuh. Kemudian Jarir membaca firman Allah Yang bermaksud: Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit dan terbenam matahari.
352 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa menunaikan dua sembahyang yang menyejukkan yaitu Subuh dan Asar, maka dia akan masuk Surga.
353 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melakukan sembahyang Maghrib ketika matahari sudah terbenam dan tidak kelihatan.
354 Diriwayatkan dari Rafi' bin Khadij r.a katanya: Kami pernah sembahyang Maghrib bersama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba seorang dari kami meninggalkan tempat sembahyang dan sesungguhnya dia masih dapat melihat tempat letak anak panahnya.
355 Diriwayatkan dari Aisyah isteri Rasulullah s.a.w katanya: Pada suatu malam, pernah Rasulullah s.a.w menangguhkan sembahyang Isyak sehingga keadaan benar-benar sudah gelap. Namun Rasulullah s.a.w masih belum keluar, sehingga Umar bin al-Khattab berkata: Orang-orang perempuan dan kanak-kanak sudah tertidur. Sebentar kemudian Rasulullah s.a.w keluar lalu bersabda kepada para Sahabat yang berada di masjid: Tidak ada seorang pun di antara penghuni bumi ini yang menunggunya selain dari kamu. Perkara ini terjadi sebelum Islam tersebar dikalangan manusia.
356 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Pada suatu malam kami menunggu Rasulullah s.a.w untuk menunaikan sembahyang Isyak pada akhir malam. Baginda keluar kepada kami ketika satu pertiga malam atau lebih. Kami tidak tahu apakah perkara yang menyibukkan baginda, samada urusan dengan keluarga atau dengan urusan lain. Semasa keluar baginda bersabda: Sesungguhnya kamu sedang menunggu satu sembahyang yang tidak pernah ditunggu oleh orang-orang yang tidak seagama denganmu. Sekiranya perkara ini tidak membebankan umatku nescaya aku akan mengajak mereka bersembahyang pada saat-saat seperti ini. Kemudian baginda menyuruh tukang azan supaya iqamat, lalu diiqamatkan dan baginda pun mendirikan sembahyang.
357 Hadits Anas r.a: Diriwayatkan dari Thabit katanya: Sesungguhnya para Sahabat bertanya Anas tentang cincin yang dipakai oleh Rasulullah s.a.w. Anas menjawab: Pada suatu malam Rasulullah s.a.w menangguhkan sembahyang Isyak hingga sampai ke separuh malam atau hampir berakhir separuh malam. Kemudian baginda datang dan bersabda: Sesungguhnya semua orang sudah sembahyang dan mereka pun tidur, sedangkan kamu masih bersembahyang, apakah yang membuatkan kamu masih bersembahyang. Anas berkata: Aku seolah-olah melihat cincin baginda yang diperbuat dari perak itu putih berkilau ketika baginda mengangkat jari kelingking kirinya.
358 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Aku dan beberapa orang sahabatku yang datang serombongan denganku turun di perlembahan Buthan, manakala Rasulullah s.a.w berada di Madinah. Beberapa orang Sahabat menggantikan tempat Rasulullah s.a.w ketika sembahyang Isyak pada setiap malam. Abu Musa berkata: Kebetulan aku dan beberapa orang sahabatku mendapati Rasulullah s.a.w disibukkan oleh urusannya. Jadi baginda terpaksa menangguhkan sembahyang sehingga ke separuh malam. Kemudian Rasulullah s.a.w keluar dan baginda sembahyang bersama mereka. Setelah selesai sembahyang, baginda bersabda kepada orang-orang yang hadir di hadapan baginda: Bertenanglah kamu, Aku akan memberitahu kamu suatu berita gembira yaitu di antara nikmat Allah yang diberikan kepada kamu. Sesungguhnya tiada seorang manusia pun yang melakukan sembahyang pada waktu sebegini selain dari kamu semua. Mungkun juga baginda bersabda: Tiada seorang pun yang bersembahyang pada waktu begini selain dari kamu. Kami tidak pasti yang mana satu dari dua ayat tersebut yang telah disabdakan oleh Rasulullah. Abu Musa berkata: Kami semua pulang dengan perasaan gembira selepas mendengar apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.
359 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Pada suatu malam, Nabi s.a.w menangguhkan sembahyang Isyak, katanya lagi: Sehinggakan orang ramai tertidur, kemudian bangkit, kemudian tertidur dan bangkit kembali. Seterusnya Umar bin al-Khattab datang sambil berkata: Sembahyang, lalu Ata' berkata: Ibnu Abbas bercerita lagi: Lalu Nabi s.a.w keluar, pada waktu itu aku seolah-olah melihat Nabi s.a.w seperti membasahkan kepalanya dengan meletakkan tangannya pada bahagian kepalanya, lalu baginda bersabda: Sekiranya hal ini tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka supaya melakukan sembahyang Isyak pada waktu sekarang ini. Beliau berkata lagi: Ata' menerangkan tentang cara Rasulullah meletakkan tangannya di kepala sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Abbas kepadanya. Maka Ata' meletakkan sesuatu di antara celah-celah jarinya, kemudian meletakkan telapak tangannya di atas ubun-ubun kepala, beliau membasahkan kepalanya dan menyapu tangannya di atas kepala sehinggakan ibu jari tangan beliau menyentuh hujung telinga dan bahagian tepi muka seterusnya menyapu pelipis yaitu dibahagian antara mata dan telinga serta menyapu bahagian janggut, tidak lebih dan tidak kurang sedikit pun melainkan beginilah caranya.
360 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya wanita-wanita mukmin telah menunaikan sembahyang Subuh bersama Nabi s.a.w. Kemudian mereka kembali dengan menyelimutkan kepala mereka dengan pakaian bulu tanpa ada seorang pun yang mengenali mereka.
361 Hadits Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan dari Muhammad bin Amir bin al-Hasan bin Ali r.a katanya: Sewaktu al-Hajjaj tiba di Madinah, kami bertanya Jabir bin Abdullah. Dia menjawab: Rasulullah s.a.w menunaikan sembahyang Zuhur pada tengah hari yang sangat panas, menunaikan sembahyang Asar ketika matahari kelihatan bersinar terang, menunaikan sembahyang Maghrib ketika matahari terbenam dan menunaikan sembahyang Isyak, kadang-kadang baginda menyegerakannya dan kadang-kadang baginda melewatkannya. Apabila baginda melihat para Sahabat sudah ramai berkumpul maka baginda akan menyegerakannya. Apabila baginda melihat para Sahabat lambat berkumpul maka baginda akan melewatkan sembahyang Isyak. Manakala mengenai sembahyang Subuh biasanya baginda akan menunaikan semasa hari masih gelap lagi.
362 Diriwayatkan dari Abu Barzah r.a katanya: Beliau telah ditanya mengenai sembahyang Rasulullah s.a.w. Beliau menjawab: Rasulullah s.a.w tidak menghiraukan tentang lewat mendirikan sembahyang, beliau berkata: Apa yang aku maksudkan ialah sembahyang Isyak. Baginda melewatkannya hingga sampai ke separuh malam, tetapi baginda tidak suka tidur sebelum melakukan sembahyang Isyak terlebih dahulu dan baginda tidak suka bercakap-cakap selepasnya. Syukbah berkata: Kemudian aku menemui Abu Barzah, lalu aku bertanya kepadanya. Abu Barzah menjawab: Baginda mendirikan sembahyang Zuhur ketika gelincir matahari, baginda mendirikan sembahyang Asar ketika seseorang memulakan perjalanannya ke perbatasan Kota Madinah dan matahari masih bersinar terang. Beliau berkata lagi: Mengenai sembahyang Maghrib aku tidak pasti ketika manakah Abu Barzah telah menyatakannya. Selepas itu aku menemuinya kembali lalu aku bertanya kepadanya. Abu Barzah menjawab: Baginda melakukan sembahyang Subuh ketika orang lelaki dari kalangan mereka dapat mengenali Sahabat yang berada di samping mereka. Baginda biasanya membaca ketika mendirikan sembahyang Subuh sebanyak enam puluh ayat hingga ke seratus ayat.
363 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sembahyang berjemaah itu lebih baik dari mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh lima kali ganda.
364 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sembahyang berjemaah itu lebih baik dari mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat yaitu ganjaran.
365 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak melihat beberapa orang sahabatnya dalam beberapa waktu sembahyang jemaah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku mengambil berat untuk menyuruh seseorang supaya menunaikan sembahyang secara berjemaah bersama orang ramai. Kemudian aku pergi kepada beberapa orang yang tidak menunaikan sembahyang secara berjemaah. Lalu baginda menyuruh supaya membakar rumah mereka dengan seikat kayu. Sekiranya salah seorang dari mereka mengetahui bahawa dia akan mendapat segumpal daging yang gempal, pasti dia akan menunaikan sembahyang itu yaitu sembahyang Isyak.
366 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah telah mengundang Rasulullah s.a.w untuk memikmati suatu makanan yang telah disediakan untuk baginda. Lalu Rasulullah s.a.w memakannya. Kemudian baginda bersabda: Berdirilah kamu aku akan bersembahyang bersama kamu. Anas bin Malik berkata: Dihamparkan kepada kami sebidang tikar yang telah hitam kerana telah lama digunakan, lantas aku merenjiskan air ke atasnya kemudian Rasulullah bangun, manakala aku berdiri dalam satu saf bersama anak yatim dibelakang Nabi s.a.w sementara orang tua berdiri dibelakang kami. Kami sembahyang bersama Rasulullah s.a.w dua rakaat kemudian baginda beredar.
367 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w ialah orang yang paling baik budi pekertinya. Terkadang baginda ingin mendirikan sembahyang ketika berada di rumahku. Baginda menyuruh aku menghamparkan hamparan yang didudukinya. Kemudian disapu dan direnjiskan dengan sedikit air. Selepas itu Rasulullah mengimami kami dan kami berdiri dibelakangnya, lalu kami mendirikan sembahyang bersama-sama. Alas yang dihampar di tempat sembahyang itu hanyalah diperbuat dari pelepah kurma.
368 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Pada suatu hari Nabi s.a.w datang menemuiku. Pada waktu itu aku sedang bersama dengan ibuku dan Ummu Haram emak sudaraku. Baginda bersabda: Berdirilah! Aku akan mendirikan sembahyang bersama kamu semua. Sedangkan pada waktu itu bukanlah waktu sembahyang. Baginda mendirikan sembahyang bersama kami lalu seorang lelaki bertanya kepada Thabit: Di mana Anas berada pada waktu itu? Thabit menjawab: Anas berada di sebelah kanan Rasulullah. Kemudian baginda berdoa untuk kami seisi keluarga supaya kami beroleh segala kebaikan dunia dan akhirat. Ibuku berkata: Wahai Rasulullah! Tolong doakan khadammu itu kepada Allah. Baginda pun mendoakan segala kebajikan untukku. Pada akhir doa tersebut baginda berdoa yang bermaksud: Ya Allah! Perbanyakkanlah hartanya dan perbanyakkanlah anak-anaknya serta berikanlah keberkatan kepadanya.
369 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang paling besar pahalanya ketika menunaikan sembahyang ialah orang paling jauh perjalanannya yaitu langkahnya menuju ke Masjid. Seseorang yang menunggu untuk menunaikan sembahyang sehinggalah dia menunaikannya bersama imam, lebih besar pahalanya dari orang yang menunaikan sembahyang kemudian dia terus tidur.
370 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apa pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu dan dia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali. Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya? Para Sahabat menjawab: Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran pada badannya. Lalu baginda bersabda: Begitulah perumpamaannya dengan sembahyang lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka.
371 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi atau pada waktu petang Allah akan menyediakan untuknya satu tempat tinggal di Surga apabila dia pergi samada pada waktu pagi atau petang.
372 Diriwayatkan dari Malik bin al-Huwairis r.a katanya: Kami datang menemui Rasulullah s.a.w, pada waktu itu kami masih sama-sama muda dan usia kami tidak banyak perbezaanya. Kami tinggal bersama baginda selama dua puluh malam. Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemurah dan lembut sekali. Baginda menyangkakan bahawa aku sedang berselisih paham dengan keluargaku sehingga baginda bertanya kepadaku keadaan keluarga yang aku tinggalkan. Maka aku menceritakan kepada baginda mengenai keluargaku. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah kepada keluargamu dan tinggallah bersama mereka. Ajarlah mereka dan perintahkanlah mereka apabila tiba waktu sembahyang. Hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan dan hendaklah orang yang paling tua dari kalangan kamu menjadi imam.
373 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Setelah selesai membaca surah dalam sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bertakbir dan mengangkat kepalanya lalu berkata: yang bermaksud: Semoga Allah mendengar orang yang memujiNya. Ya Allah! Tuhan kami, hanya bagiMu segala puji. Dalam keadaan masih berdiri baginda berdoa: yang bermaksud: Ya Allah! Selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisyam dan Ayyasy bin Abu Rabi'ah serta orang-orang mukmin yang lemah. Ya Allah! Timpakanlah siksaMu ke atas Bani Mudhar Timpakan siksaan itu atas mereka sebagaimana yang pernah Yusuf menderita kesengsaraan. Ya Allah! Kutuklah Bani Lihyan, Bani Ri'lan, Bani Zakwan dan Bani Usaiyah. Mereka juga mendustai Allah dan RasulNya. Kemudian aku dengar bahawa beliau meninggalkan perkara itu sewaktu turun firman Allah Yang bermaksud: Tidak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.
374 Hadits Abu Hurairah r.a: Diriwayatkan dari Abu Salamah bin Abdul Rahman katanya: Dia pernah mendengar Abu Hurairah berkata: Demi Allah! Aku adalah orang yang paling tahu berkenaan dengan sembahyang Rasulullah s.a.w. Abu Hurairah biasanya membaca qunut semasa sembahyang Zuhur, sembahyang Isyak yang dilakukan pada akhir malam dan ketika sembahyang Subuh beliau juga berdoa untuk orang-orang mukmin dan mengutuk orang-orang kafir.
375 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mendoakan kecelakaan kepada orang-orang yang telah membunuh para Sahabat di Telaga Ma'unah selama tiga puluh pagi. Baginda juga mendoakan supaya ditimpa kecelakaan kepada Bani Ri'lin, Bani Zakwan, Bani Lihyan dan Bani Usaiyah serta orang yang mendustai Allah dan RasulNya.
376 Diriwayatkan dari Abi Qatadah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami: Sesungguhnya kamu berjalan petang dan malam, Insya Allah kamu akan menemui air pada keesokkan hari. Tanpa berlengah-lengah, mereka terus berangkat dan tidak menghiraukan antara satu sama lain. Abu Qatadah berkata lagi: Ketika aku mendapati Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan hingga larut malam, aku terus mengekori baginda. Abu Qatadah berkata: Tiba-tiba Rasulullah s.a.w rasa mengantuk sehinggalah tubuh baginda kelihatan tidak seimbang di atas tunggangan. Aku segera mendekati baginda untuk membantunya supaya tidak terjatuh tanpa menyedarkan baginda, aku berjaya mengimbangkan tubuh baginda di atas tunggangannya. Kemudian baginda meneruskan perjalanan sehingga hampir fajar, aku membantunya tanpa menyedarkannya sehinggalah tubuh baginda seimbang. Abu Qatadah berkata lagi: Baginda meneruskan perjalanan sehingga berakhirnya waktu sahur, aku melihat tubuh baginda benar-benar tidak seimbang melebihi dari kali pertama dan kedua sehingga baginda hampir terjatuh. Lantas aku mendekati baginda dan membantu baginda dengan mengangkat kepalanya. Baginda bertanya: Siapa ini? Aku menjawab: Abu Qatadah. Baginda bertanya lagi: Sejak bila kamu menjagaku seperti ini? Aku menjawab: Aku menjaga baginda sejak malam tadi. Baginda bersabda: Semoga Allah menjaga kamu kerana kamu telah menjaga NabiNya. Kemudian baginda bertanya: Adakah kita ini tidak dilihat oleh rombongan kita? Baginda bertanya lagi: Adakah engkau melihat seseorang di sekitar kita ini? Aku menjawab: Ini seorang penunggang dan ini juga seorang penunggang. Sehinggalah berkumpul tujuh orang penunggang termasuk Rasulullah dan Abu Qatadah. Abu Qatadah berkata lagi: Kemudian Rasulullah s.a.w menyimpang dari jalan lalu baginda merebahkan kepalanya seraya bersabda: Kejutkan aku nanti kalau sudah tiba waktu sembahyang. Ternyata orang yang pertama terjaga ialah Rasulullah s.a.w dan pada waktu itu sinar matahari telah menyinari belakang baginda. Abu Qatadah berkata lagi: Kami pun bangkit dengan cemas. Kemudian Rasulullah bersabda: Berangkatlah! Lalu kami semua mengikut perintah baginda dan meneruskan perjalanan kami sehinggalah matahari naik tinggi. Kemudian baginda turun dari tunggangan dan meminta bekas berisi air yang kebetulannya ada padaku namun isinya tinggal sedikit sahaja. Abu Qatadah berkata lagi: Lalu baginda berwuduk dengan menggunakan air tersebut dengan cara yang tak pernah baginda lakukan dan bekas itu masih lagi berisi air. Rasulullah s.a.w berkata kepada Abu Qatadah: Jagalah bejanamu ini kerana akan terjadi suatu peristiwa kelak. Kemudian Bilal mengumandangkan azan, lalu Rasulullah s.a.w sembahyang dua rakaat, selepas itu Rasulullah s.a.w menunaikan sembahyang Subuh sebagaimana yang baginda lakukan sehari-hari. Abu Qatadah berkata lagi: Setelah itu meneruskan perjalanan dengan menunggangi tunggangan masing-masing. Sambil berjalan kami berbisik sesama kami: Apakah kafarat yaitu denda yang harus kita bayar kerana perbuatan kita melengah-lengahkan sembahyang? Tetapi bisikan kami didengari oleh Rasulullah. Lalu baginda bersabda: Bukankah aku ini adalah contoh bagi kamu? Lalu baginda menmyambung bicaranya: Sesungguhnya tertidur itu bukanlah perkara yang mengabaikan. Perkara yang mengabaikan ialah orang yang tidak mengerjakan sembahyang sehingga masuk waktu sembahyang yang lain. Sesiapa yang tertidur maka hendaklah dia sembahyang ketika dia terbangun. Pada masa yang akan datang hendaklah dia mengerjakan sembahyang ketika masuk waktunya. Kemudian baginda bertanya: Kamu lihat apakah yang telah dilakukan oleh orang ramai? Ada yang menjawab: Pagi-pagi lagi mereka sudah kehilangan Nabi mereka, lalu Abu Bakar dan Umar berkata: Rasulullah s.a.w berada di hadapan kamu bukannya di belakang kamu. Orang ramai berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berada dikalangan kamu. Kalau mereka itu percaya kepada kata-kata Abu Bakar dan Umar nescaya mereka itu berada didalam kebenaran. Kami sampai ke tempat rombongan yang telah berjalan terdahulu ketika hari telah tinggi dan panas terik. Mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w bahawa mereka hampir mati kehausan. Rasulullah bersabda: Tidak! Kamu tidak akan mati kehausan. Kemudian Rasulullah meminta bekas yang masih mempunyai air baki dari wuduk baginda tadi, lalu Rasulullah s.a.w menuangkan air manakala Abu Qatadah membahagikan air tersebut kepada angota rombongan. Setelah mereka melihat air yang dituangkan maka mereka berebut-rebut untuk mendapatkan air tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda: Minumlah dengan cara tertib dan sopan, janganlah berebut-rebut kerana kamu semua akan dapat minum sehingga hilang dahaga. Mereka mendengar perintah tersebut lalu Rasulullah s.a.w menuangkan air dan aku juga membahagikannya sehingga tiada seorang pun yang ketinggalan dari mendapat air tersebut melainkan aku dan Rasulullah s.a.w. Abu Qatadah berkata lagi: Kemudian Rasulullah s.a.w menuangkan air dan berkata kepadaku: Minumlah! Lalu aku berkata: Aku tidak akan minum selagi kamu tidak meminumnya wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang memberi minum ialah orang terakhir yang akan meminumnya. Abu Qatadah berkata: Setelah aku minum barulah Rasulullah s.a.w meminumnya. Abu Qatadah berkata lagi: Maka dengan sisa wuduk tadi anggota rombongan semuanya menjadi segar dan telah puas minum. Abu Qatadah berkata: Abdullah bin Rabah telah berkata: Aku akan menceritakan peristiwa ini di Masjid Jamie'. Imran bin Husain telah berkata: Lihatlah wahai pemuda! Bagaimana perkara ini telah berlaku, aku ialah salah seorang dari penunggang pada malam tersebut. Abu Qatadah berkata: Aku telah mengatakan bahawa kamu lebih tahu tentang Hadits ini. Lalu Imran pun berkata: Dari mana kamu mengetahuinya. Aku mengatakannya dari orang-orang Ansar. Imran berkata lagi: Ceritakanlah, kamu lebih mengetahui tentang cerita kamu, lalu aku menceritakan kepada orang ramai. Maka Imran pun berkata: Sesungguhnya aku telah menyaksikan apa yang berlaku pada malam tersebut dan aku telah merasakan satu penjagaan yang tidak dapat dirasakan oleh orang lain.
377 Diriwayatkan dari Imran bin Husain r.a katanya: Aku pernah bersama Nabi s.a.w dalam suatu perjalanan sehinggalah lewat malam. Setelah hampir waktu Subuh, kami berhenti lalu tertidur sehingga matahari terbit. Imran berkata lagi: Orang yang mula-mula terjaga dari kalangan kami ialah Abu Bakar, kami tidak mahu membangkitkan Rasulullah s.a.w dari tidurnya kecuali baginda sendiri yang bangkit. Kemudian Umar bangkit lalu berdiri di sisi Rasulullah s.a.w seraya bertakbir dengan suara yang lantang menyebabkan Rasulullah s.a.w tersedar. Ketika baginda bangkit, matahari telah terbit lantas baginda berkata: Berangkatlah! Lalu kami pun meneruskan perjalanan sehingga matahari tinggi, Rasulullah s.a.w turun dari tunggangan dan sembahyang Subuh bersama kami kecuali seorang lelaki yang memencilkan diri. Setelah selesai dari sembahyang Rasulullah s.a.w bertanya kepada lelaki tersebut: Wahai Si Polan! Apakah yang menegah engkau dari sembahyang bersama kami. Beliau menjawab: Wahai Nabi Allah! Saya dalam keadaan berjunub. Maka Rasulullah memerintahkannya supaya bertayamum, lalu lelaki tersebut bertayamum dengan tanah dan bersembahyang. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan aku bersama beberapa orang agar berjalan dengan cepat mendahului rombongan untuk mencari air kerana kami telah kehausan. Ketika kami berjalan kami telah berjumpa dengan seorang perempuan di atas unta dengan menjuntaikan kakinya dan duduk di antara dua buah qirbah yaitu bekas yang dibuat dari kulit untuk mengisi air. Lalu kami bertanya kepadanya: Di mana kami boleh mendapatkan air? Perempuan tersebut menjawab: Air susah dicari, air susah dicari, tidak ada air untuk kamu. Kami bertanya: Berapa jauhkah perkampungan kamu dengan tempat air? Perempuan itu menjawab: Perjalanan sehari semalam. Kami berkata: Pergilah engkau menemui Rasulullah s.a.w. Perempuan itu berkata: Apa itu Rasulullah? Oleh kerana susah untuk menjelaskan kepadanya maka kami berjalan bersama-samanya mengadap Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah bertanya kepadanya dan dia menjawab sebagaimana jawapan yang telah diberikan kepada kami tadi, perempuan tersebut menerangkan bahawa dia adalah ibu kepada dua orang anak yatim. Rasulullah memerintahkan supaya unta perempuan tersebut diperdudukkan kemudian Rasulullah s.a.w meludah ke dalam kedua-dua qirbah tersebut. Selepas itu baginda membangunkan unta perempuan tersebut dan kami semua meminumnya. Padahal kami semuanya berjumlah empat puluh orang yang semuanya dalam kehausan sehinggalah kami merasa segar. Kami mengisi segala bekas yang ada bersama kami, bahkan ada di kalangan kami yang mandi, cuma kami tidak memberi unta minum. Namun begitu kedua-dua qirbah itu masih penuh, bahkan airnya makin bertambah. Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kumpulkan segala sisa-sisa bekalan kami seperti roti dan kurma. Lalu kami mengumpulkan semua itu ke dalam bekas, diikat dan diserahkan kepada perempuan tersebut seraya baginda bersabda: Pulanglah dan bawakan makanan ini kepada anak-anak kamu. Ketahuilah bahawa aku tidak mengurangi sedikit pun dari air kamu. Ketika perempuan itu pulang ke rumahnya dia telah menceritakan peristiwa tersebut kepada keluarganya: Aku telah menemui seorang ahli sihir yang mahir atau seorang Nabi sebagaimana yang didakwa olehnya. Akhirnya Allah berkenan memberi petunjuk kepada beberapa keluarga dengan berkat jasa bakti perempuan tersebut. Mereka dan juga perempuan itu sama-sama memeluk agama Islam.
378 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang terlupa sembahyang maka hendaklah dia segera menunaikannya apabila mengingatinya. Tidak ada kifarat bagi sembahyang yang terlupa melainkan hanya itu, yaitu segera menunaikannya apabila mengingatinya.

SHOLAT ORANG MUSAFIR
379 Diriwayatkan dari Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Pada peringkat awal, sembahyang diwajibkan secara dua rakaat dua rakaat samada waktu tidak musafir ataupun semasa musafir. Kemudian dikekalkan sembahyang semasa musafir (yaitu dua rakaat) dan ditambah rakaat bagi sembahyang yang bukan dalam keadaan musafir.
380 Hadits Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Hafsin bin Asim r.a katanya: Ibnu Umar pernah menceritakan kepada kami dengan katanya: Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya aku menemani Rasulullah s.a.w semasa dalam musafir. Baginda mendirikan sembahyang tidak lebih dari dua rakaat sehinggalah datangnya ketetapan dari Allah. Aku juga pernah mengiringi Abu Bakar dan beliau mendirikan sembahyang tidak lebih dari dua rakaat sehingga datangnya ketetapan dari Allah. Begitu juga aku pernah mengiringi Umar beliau juga tidak pernah sembahyang lebih dari dua rakaat sehingga datangnya ketetapan dari Allah. Kemudian aku mengiringi Othman dan beliau sembahyang tidak lebih dari dua rakaat sehinggalah datangnya ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah telah berfirman Yang bermaksud: Sesungguhnya dalam diri Rasulullah bagi kamu ada satu tauladan yang baik.
381 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah mendirikan sembahyang Zuhur di Madinah sebanyak empat rakaat dan baginda mendirikan sembahyang Asar di Zul Hulaifah sebanyak dua rakaat.
382 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Aku keluar bersama Rasulullah s.a.w dari Madinah ke Mekah. Baginda menunaikan sembahyang dua rakaat, dua rakaat, sehinggalah kami kembali. Aku bertanya: Berapa lama kamu akan tinggal di Mekah? Baginda menjawab: Sepuluh hari.
383 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a: Dari Rasulullah s.a.w sesungguhnya baginda mendirikan sembahyang semasa musafir di Mina dan tempat-tempat lain sebanyak dua rakaat.
384 Hadits Abdullah bin Mas'ud r.a: Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Yazid r.a katanya: Saidina Othman pernah sembahyang di Mina bersama kami sebanyak empat rakaat. Lalu diceritakan kepada Abdullah bin Mas'ud lantas dia menyebut: kemudian beliau berkata: Aku sembahyang bersama Rasulullah s.a.w di Mina hanya dua rakaat. Aku sembahyang bersama Abu Bakar As-Siddiq di Mina sebanyak dua rakaat dan aku sembahyang bersama Umar bin al-Khattab di Mina juga sebanyak dua rakaat. Moga-moga bahagian aku dari empat rakaat ialah dua rakaat yang telah diterima oleh Allah.
385 Diriwayatkan dari Harisah bin Wahab r.a katanya: Aku pernah sembahyang bersama Rasulullah s.a.w di Mina sebanyak dua rakaat dan orang ramai juga melakukannya sebanyak dua rakaat.
386 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w menyuruh tukang azan mengucapkan: Sembahyanglah dirumahmu masing-masing (pada akhir azan) jika hujan turun dan malam terlalu sejuk.
387 Diriwayatakan dari Abdullah bin Abbas r.a katanya: Beliau telah berkata kepada tukang azan ketika hari hujan lebat: Setelah kamu berkata: Maka janganlah kamu ucapkan: yang bermaksud: Marilah sembahyang. Sebaliknya ucapkanlah: yang bermaksud: Sembahyanglah di rumah kamu. Beliau berkata: Orang ramai seakan-akan mengingkari perbuatan tersebut. Lalu Abdullah bin Abbas berkata: Adakah kamu semua hairan dengan perbuatan ini sesungguhnya orang yang lebih mulia dariku (Rasulullah) telah mengajarkan perbuatan ini. Sesungguhnya sembahyang berjemaah itu wajib tetapi aku tidak mahu kamu keluar rumah dan kamu berjalan di atas tanah yang licin dan berlumpur.
388 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang sunat tanpa mengira ke arah mana unta baginda berjalan.
389 Diriwayatkan dari Amir bin Rabi'ah r.a katanya: Sesungguhnya beliau melihat Rasulullah s.a.w melakukan sembahyang sunat semasa dalam perjalanan (musafir) di atas kenderaan (unta) baginda dengan menghadap ke arah tujuannya.
390 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Anas bin Sirin r.a katanya: Aku bertemu dengan Anas bin Malik ketika beliau pulang dari Syam. Aku bertemu dengannya di Ain At-Tamr dan aku melihat beliau sembahyang di atas kaldai sedangkan mukanya menghadap ke arah ini, yaitu sebelah kiri kiblat. Aku berkata kepadanya: Aku melihat kamu sembahyang dengan tidak menghadap ke arah kiblat? Dia menjawab: Seandainya aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w melakukan perkara ini, pasti akupun tidak akan melakukannya.
391 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w tergesa-gesa semasa musafir, baginda menghimpunkan sembahyang Maghrib dan Isyak.
392 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w musafir sebelum matahari condong ke barat, baginda menangguhkan sembahyang Zuhur ke waktu Asar. Kemudian baginda turun (berhenti) dan menghimpunkan kedua sembahyang tersebut. Akan tetapi sekiranya matahari telah condong ke arah barat sebelum baginda berangkat, maka baginda mendirikan sembahyang Zuhur terlebih dahulu kemudian barulah baginda berangkat.
393 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah melakukan sembahyang Zuhur dan sembahyang Asar secara jamak. Begitu juga sembahyang Maghrib dan sembahyang Isyak secara jamak, sedangkan baginda bukan dalam keadaan perang atau musafir.
394 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Janganlah seorang dari kamu memberi peluang kepada syaitan untuk menggoda kamu yaitu dengan beranggapan bahawa sembahyang tidak dikira sah apabila tidak meninggalkan sembahyang dari arah kanannya. Aku sering melihat Rasulullah s.a.w beredar meninggalkan sembahyangnya dari arah kirinya.
395 Diriwayatkan dari Abdullah bin Malik bin Buhainah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menuju ke arah seseorang yang sedang melakukan sembahyang, padahal sembahyang Subuh sudah diiqamatkan. Baginda berkata sesuatu kepada lelaki tersebut dan kami tidak mengetahui apa yang sedang dikatakan. Ketika kami ingin pulang, aku menahan lelaki tersebut dan bertanya: Apakah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu? Lelaki tersebut menjawab bahawa Rasulullah telah berkata kepadaku: Dibimbangi salah seorang dari kamu melakukan sembahyang Subuh sebanyak empat rakaat.
396 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang dari kamu masuk ke masjid, maka hendaklah dia melakukan rukuk (sembahyang) sebanyak dua rakaat sebelum dia duduk.
397 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Nabi berhutang denganku. Lalu baginda membayarnya lebih dari hutang baginda itu. Seterusnya aku memasuki masjid, lalu baginda berkata kepadaku: Sembahyanglah dua rakaat!.
398 Diriwayatkan dari Ka'ab bin Malik r.a katanya: Kebiasaannya Rasulullah s.a.w kembali dari musafir pada waktu siang hari yaitu pada waktu Dhuha. Apabila kembali, baginda terus menuju ke masjid dan selepas melakukan sembahyang dua rakaat baginda pun duduk.
399 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w melakukan sembahyang sunat Dhuha. Sesungguhnya aku melakukan sembahyang Dhuha walaupun Rasulullah s.a.w meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya baginda suka melakukannya, ini adalah kerana baginda bimbang jika baginda selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka.
400 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada ku dengan tiga perkara, berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melakukan sembahyang Dhuha dua rakaat dan melakukan sembahyang sunat witir sebelum tidur.
401 Hadits Hafsah r.a: Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Hafsah Ummul Mukminin menceritakan kepadanya bahawa: Ketika tukang azan selesai dari melaungkan azan untuk sembahyang Subuh, baginda akan mendirikan sembahyang sunat dua rakaat dengan ringkas sebelum mendirikan sembahyang Subuh.
402 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menunaikan sembahyang sunat fajar dua rakaat sebaik saja baginda mendengar suara azan dan baginda meringkaskannya.
403 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Aku sembahyang bersama Rasulullah s.a.w dua sujud (dua rakaat) sebelum Zuhur dan dua sujud (dua rakaat) selepasnya. Dua sujud (dua rakaat) selepas Maghrib dan dua sujud (dua rakaat) selepas Isyak. Dua sujud (dua rakaat) selepas Jumaat. Adapun sembahyang Maghrib, Isyak dan Jumaat, aku sembahyang bersama Nabi s.a.w di rumah baginda.
404 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w membaca satu ayat pun semasa sembahyang malam dalam keadaan duduk sehinggalah pada malam tersebut baginda bertakbir, baginda membaca dalam keadaan duduk. Apabila masih ada lagi tiga puluh ayat atau empat puluh ayat dari surah tersebut barulah baginda berdiri dan membacanya sambil berdiri lalu baginda rukuk.
405 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Syaqiq katanya: Aku bertanya Aisyah: Adakah nabi s.a.w pernah sembahyang dalam keadaan duduk? Aisyah menjawab: Ya! Baginda sembahyang sambil duduk ketika usia baginda telah lanjut.
406 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melakukan sembahyang malam sebanyak sebelas rakaat, salah satu darinya sembahyang Witir. Apabila baginda selesai sembahyang baginda berbaring di atas lambung kanan sehinggalah baginda mendengar suara tukang azan, lalu baginda mendirikan sembahyang dua rakaat dengan ringkas.
407 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Abu Salamah bin Abdul Rahman katanya: Sesungguhnya dia bertanya kepada Aisyah: Bagaimanakah sembahyang Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan? Aisyah menjawab: Rasulullah s.a.w tidak menambah bilangan rakaat sembahyangnya lebih dari sebelas rakaat samada pada bulan Ramadan ataupun pada bulan-bulan lain. Baginda mendirikan sembahyang sebanyak empat rakaat dan janganlah kamu bertanya mengenai kesempurnaannya serta tempoh masanya. Kemudian baginda mendirikan sembahyang sebanyak empat rakaat lagi. Janganlah kamu bertanya mengenai kesempurnaannya dan tempoh masanya, seterusnya baginda mendirikan lagi sembahyangnya sebanyak tiga rakaat. Aisyah menceritakan bahawa dia telah bertanya Rasulullah: Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur sebelum kamu melakukan sembahyang Witir? Baginda menjawab dengan bersabda: Wahai Aisyah, sesungguhnya kedua mataku tidur tetapi hatiku tetap sedar.
408 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Abu Ishak r.a katanya: Aku pernah bertanya al-Aswad bin Yazid r.a tentang apa yang diceritakan oleh Aisyah r.a kepadanya mengenai sembahyang Rasulullah s.a.w. Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w tidur pada awal malam dan baginda bangkit pada akhir malam. Kemudian sekiranya baginda mempunyai kemahuan terhadap isterinya, baginda menunaikan hajat baginda itu, kemudian baginda tidur. Apabila terdengar azan yang pertama (Aisyah berkata): baginda akan bangkit tergesa-gesa. (Demi Allah! Aisyah tidak mengatakan: Baginda bangkit) lalu mengambil air dan membasuh tubuh baginda. (Begitu juga demi Allah! Aisyah tidak mengatakan bahawa: Rasulullah mandi dan aku tahu apa yang dimaksudkan oleh Aisyah), sekiranya baginda tidak dalam keadaan junub baginda hanya akan mengambil wuduk untuk sembahyang kemudian baginda sembahyang dua rakaat.
409 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Masruq katanya: Aku bertanya kepada Aisyah mengenai amalan Rasulullah s.a.w. Aisyah menjawab: Baginda suka berdiam diri. Aku bertanya lagi: Bilakah masanya baginda sembahyang? Aisyah menjawab: Apabila mendengar suara ayam jantan berkokok baginda bangkit dan mendirikan sembahyang.
410 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Pada kebiasaannya aku mendapati Rasulullah s.a.w tidur di rumahku atau di sisiku ketika menjelangnya waktu Subuh.
411 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang sunat fajar dua rakaat dan sekiranya aku terjaga baginda akan bercakap denganku, sekiranya aku tidak terjaga maka baginda akan berbaring.
412 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya mendirikan sembahyang malam. Apabila baginda melakukan sembahyang witir baginda akan bersabda: Bangunlah! Lakukanlah sembahyang witir, wahai Aisyah!.
413 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Witir pada setiap malam dan baginda akan menyelesaikannya apabila tiba waktu sahur (waktu hampir subuh).
414 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Zurarah r.a katanya: Saad bin Hisyam bin Amir ingin berperang di jalan Allah. Ketika datang ke Madinah beliau menemui beberapa orang dari penduduk Madinah, lalu mereka menahan niat tersebut dan memberitahunya bahawa enam orang yang lengkap dengan peralatan perang seperti pedang dan kuda juga mempunyai niat yang sama pada zaman Nabi s.a.w, tetapi Rasulullah s.a.w telah menahan mereka dengan pertanyaan: Bukankah aku ini merupakan contoh tauladan bagi kamu? Apabila Nabi berkata demikian lalu beliau merujuk isterinya yang telah diceraikan sebelum ini. Aku bersaksi bahawa aku telah merujuk isteriku. Kemudian aku menemui Ibnu Abbas lalu aku bertanya kepadanya mengenai sembahyang witir Rasulullah s.a.w. Ibnu Abbas menjawab: Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu orang di atas muka bumi ini yang paling tahu berkenaan dengan witir Rasulullah s.a.w. Saad bertanya: Siapa? Beliau menjawab: Aisyah pergilah kamu menemuinya dan tanyalah kepadanya kemudian kamu datang kepadaku dan beritahulah apakah jawapannya nanti. Lalu aku bercadang untuk menemui Aisyah, dalam pada itu aku pergi menemui Hakim bin Aflah, lalu aku meminta supaya beliau bertanya Aisyah mengenai perkara tersebut. Beliau berkata: Aku bukanlah orang yang rapat dengannya kerana aku melarangnya dari memperkatakan tentang kedua-dua pihak tersebut (yaitu semasa pertelingkahan antara Aisyah dengan Ali) dan aku enggan menyokong mana-mana pihak kecuali setelah beberapa lama. Beliau berkata: Setelah aku meyakinkannya, beliau bersetuju untuk pergi bersamaku. Lalu kami berdua pergi mendapatkan Aisyah dan kami meminta izin untuk menemuinya, kemudian beliau mengizinkan kami menemuinya, lalu kami masuk menemuinya seraya Aisyah bertanya: Adakah kamu ini seorang hakim? Hakim memperkenalkan dirinya seraya menjawab: Benar! Aisyah bertanya lagi: Siapakah yang bersama kamu? Hakim menjawab: Saad bin Hisham! Aisyah bertanya lagi: Siapa Hisham? Hakim menjawab: Ibnu Amir! Lalu Aisyah mendoakan agar aku dirahmati Allah dengan kata-kata: Kebaikan (yaitu kebaikan untukku). Qatadah berkata: Sesungguhnya aku cedera semasa peperangan Uhud, lalu aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Ceritakanlah kepadaku mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. Aisyah menjawab: Bukankah kamu membaca al-Quran? Aku menjawab: Benar! Aisyah berkata lagi: Sesungguhnya akhlak Rasulullah s.a.w ialah al-Quran. Qatadah berkata: Fahamlah aku apakah yang perlu aku lakukan dan aku tidak akan bertanya sesiapa pun mengenai sesuatu sehingga aku mati. Kemudian aku ingin tahu mengenai sesuatu, lalu aku bertanya: Ceritakanlah kepada aku mengenai sembahyang malam Rasulullah s.a.w. Aisyah berkata: Bukankah kamu pernah membaca ayat al-Quran: yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Aku berkata: Benar! Aku pernah membacanya. Aisyah berkata lagi: Sesungguhnya Allah s.w.t (Yang Maha Mulia lagi Maha Agung) telah mewajibkan sembahyang malam pada awal surah tersebut. Maka Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya telah mendirikannya selama setahun. Allah tidak menurunkan penutup bagi ayat tersebut dan menahannya selama dua belas bulan dilangit sehinggalah diturunkan beberapa ayat pada penghujung surah tersebut sebagai satu keringanan, maka jadilah sembahyang malam itu sebagai satu perkara yang sunat selepas ianya diwajibkan. Aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Terangkan kepadaku mengenai sembahyang witir Rasulullah s.a.w. Aisyah menjawab: Kami menyediakan kayu sugi dan air untuk wuduk baginda. Allah akan membangkitkan baginda pada bila-bila masa yang baginda kehendaki, apabila baginda bangun, baginda bersugi dan mengambil wuduk dan baginda sembahyang sembilan rakaat tanpa duduk melainkan pada rakaat yang kelapan, baginda berdzikir, bertahmid (memuji) dan berdoa kepada Allah, kemudian baginda bangkit tanpa memberi salam. Seterusnya baginda berdiri, lalu meneruskan rakaat yang kesembilan, kemudian baginda duduk lagi seraya berdzikir, bertahmid, berdoa kepada Allah, lalu memberi salam, salam yang dapat didengari oleh kami semua. Selepas itu baginda sembahyang dua rakaat selepas memberi salam dalam keadaan duduk. Semua rakaat sembahyang Rasulullah s.a.w berjumlah sebelas rakaat. Wahai anakku! Ketika umur Rasulullah s.a.w meningkat tua dan semakin berisi, baginda hanya melakukan sunat witir sebanyak tujuh rakaat sahaja, disamping baginda melakukan dua rakaat sebagaimana dua rakaat yang baginda lakukan dahulu, jadi semuanya berjumlah sembilan rakaat. Wahai anakku! Sesungguhnya Nabi s.a.w apabila sembahyang baginda suka sembahyang berterusan. Apabila baginda tertidur atau tidak sedar pada waktu malam baginda akan melakukannya pada waktu siang sebanyak dua belas rakaat. Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w membaca al-Quran seluruhnya dalam satu malam dan aku juga tidak pernah melihat Nabi s.a.w melakukan sembahyang hingga ke waktu Subuh atau berpuasa selama sebulan berturut-turut selain dari bulan Ramadhan. Saad berkata: Setelah aku mendengar jawapan dari Aisyah tersebut, aku lantas menemui Ibnu Abbas dan menceritakan kembali kepadanya. Ibnu Abbas berkata: Benarlah Aisyah. Seandainya aku berada berhampiran dengannya atau boleh menemuinya, nescaya aku sendiri akan menemuinya sehingga aku dapat bercakap secara langsung dengannya. Saad berkata: Aku menyebut: Sekiranya aku tahu bahawa kamu tidak dapat menemuinya nescaya aku tidak akan menceritakan Hadits tersebut.
415 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w mengenai sembahyang malam baginda. Nabi s.a.w menjawab: Sembahyang malam itu dua rakaat dua rakaat. Apabila salah seseorang dari kamu bimbang akan masuk waktu Subuh, maka hendaklah dia sembahyang satu rakaat saja sebagai witir kepada sembahyang yang telah dilakukannya.
416 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesiapa yang sembahyang malam, maka hendaklah dia mengakhiri sembahyang itu dengan sembahyang Witir. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkan begitu.
418 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang melakukan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
419 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Pada suatu malam Rasulullah s.a.w sembahyang di masjid. Ada beberapa orang yang turut sembahyang bersama baginda, kemudian datang satu Qabilah juga turut sembahyang bersama baginda. Bilangan orang yang sembahyang bersama baginda menjadi semakin bertambah. Pada malam ketiga atau keempat selepas itu orang ramai berkumpul menunggu baginda tetapi Rasulullah s.a.w tidak keluar (sembahyang) bersama mereka. Apabila tiba waktu pagi baginda bersabda: Sesungguhnya aku melihat apa yang telah kamu lakukan, maka apa yang menegah aku dari keluar ialah aku bimbang sekiranya perkara ini difardukan ke atas kamu. Baginda bersabda: Peristiwa itu berlaku pada pada bulan Ramadan.
420 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Suatu malam aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah. Pada malam tersebut Nabi s.a.w bangun lalu menunaikan hajatnya (hadas). Kemudian baginda membasuh muka dan kedua tangannya lalu baginda tidur, kemudian baginda bangkit lagi. Setelah itu baginda menuju ke Kirbah (yaitu bekas yang digunakan untuk menyimpan air diperbuat dari kulit) lalu membuka penutupnya. Kemudian baginda mengambil wuduk, wuduk di antara dua wuduk (wuduk pertama dengan wuduk kedua). Kemudian baginda berdiri lalu sembahyang, aku pun bangkit perlahan-lahan supaya baginda tidak melihatku, lantas aku mengambil wuduk lalu aku sembahyang di sebelah kiri baginda, baginda menarik tanganku supaya aku berpindah ke sebelah kanannya. Rasulullah s.a.w menyempurnakan sembahyang malam sebanyak tiga belas rakaat. Kemudian baginda berbaring, lalu tidur sehingga berdengkur. Kemudian datanglah Bilal lalu melaungkan azan. Lalu baginda bangkit dan terus mendirikan sembahyang tanpa berwuduk terlebih dahulu. Baginda membaca di dalam doanya: yang bermaksud: Tuhanku! Jadikanlah dalam hatiku suatu cahaya, dalam pandanganku suatu cahaya, dalam pendengaranku suatu cahaya, dari arah kananku suatu cahaya, dari arah kiriku suatu cahaya, di atasku suatu cahaya, di bawahku suatu cahaya, di depanku suatu cahaya, di belakangku suatu cahaya dan limpahkanlah kepadaku dengan cahaya.
421 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Aku bersama Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan sehinggalah kami berhenti di suatu jalan yang menghubungkan dengan suatu tempat yang ada air. Rasulullah s.a.w bertanya: Tidakkah kamu ingin mendapatkan air, wahai Jabir? Aku menjawab: Sudah tentu! Beliau berkata lagi: Kemudian Rasulullah s.a.w turun dan aku mengambil air. Jabir berkata: Rasulullah pergi menunaikan hajatnya dan aku menyediakan air untuk baginda berwuduk. Setelah selesai menunaikan hajat baginda kembali kepadaku lalu berwuduk dan bangkit seterusnya sembahyang dengan menggunakan sehelai pakaian yang diikat antara dua punca kain tersebut. Aku berdiri dibelakang baginda, lalu baginda memegang telingaku dan menarikku ke arah kanan baginda.
422 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang, baginda akan berdoa: Yang bermaksud: Segala puji bagiMu. Engkau adalah cahaya langit dan bumi. Segala puji bagiMu. Engkaulah yang mengatur segala urusan makhluk di langit dan di bumi. Segala puji hanyalah bagiMu. Engkau adalah Tuhan di langit dan bumi serta semua yang terkandung di antara keduanya. Engkau adalah benar. JanjiMu adalah benar. FirmanMu adalah benar. Peristiwa perjumpaan denganMu (Hari Akhirat) adalah benar. Surga adalah benar. Neraka adalah benar. Hari Kiamat adalah benar. Ya Allah! Hanya kepadaMu aku berserah. KepadaMu jugalah aku beriman. KepadaMu jugalah aku bertawakkal. KepangkuanMu jugalah aku kembali. KepadaMu jugalah aku mengadu. KepadaMu jugalah aku mengambil keputusan. Maka ampunilah daku, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, yang aku lakukan secara diam-diam ataupun terang-terangan. Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau.
423 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku pernah sembahyang bersama Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w memanjangkan sembahyang sehinggalah aku menyangka yang bukan-bukan. Abdullah ditanya: Apakah yang engkau fikirkan? Beliau menjawab: Aku fikirkan untuk duduk dan meninggalkan baginda sembahyang sendirian.
424 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Diceritakan kepada Rasulullah s.a.w mengenai seorang yang tidur pada waktu malam hingga pagi. Baginda bersabda: Itulah orang yang kedua belah telinganya telah dikencing oleh syaitan atau sabda baginda: Sebelah telinganya sahaja.
425 Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w telah mendatangi Ali dan Fatimah pada suatu malam. Baginda bertanya: Adakah kamu tidak sembahyang? Ali segera menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berada di bawah kuasa Allah. Jika Allah berkehendak supaya kami bangun, tentu Dia akan membangunkan kami. Mendengar jawapan Ali itu, Rasulullah s.a.w terus beredar. Kemudian Ali mendengar baginda menepuk pahanya seraya bersabda dengan firman Allah: Yang bermaksud: Dan sememangnya manusia itu adalah makhluk yang banyak membantah.
426 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu itu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila dia berwuduk maka akan terbukalah ikatan yang kedua. Apabila dia sembahyang maka akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasakan suatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak dia akan merasa malas dan kekusutan hati.
427 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Dirikanlah sembahyang (sembahyang sunat) kamu di rumah kamu dan janganlah kamu jadikan rumahmu itu seperti kuburan.
428 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Perumpamaan rumah yang disebutkan nama Allah di dalamnya dengan rumah yang tidak disebutkan padanya nama Allah ialah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.
429 Diriwayatkan dari Zaid bin Thabit r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengalas sesuatu tempat dengan alas atau tikar. Lalu baginda sembahyang di situ. Beliau berkata: Perbuatan baginda itu diperhatikan oleh beberapa orang Sahabat, lalu mereka datang untuk melakukan sembahyang di tempat baginda itu. Beliau berkata lagi: Pada malam berikutnya mereka datang dengan lebih ramai lagi lalu Rasulullah meninggalkan mereka. Beliau berkata lagi: Rasulullah s.a.w tidak mahu keluar menemui mereka, lalu mereka meninggikan suara, bahkan ada yang melontar pintu rumah baginda dengan batu-batu kecil. Akhirnya dengan murka Rasulullah s.a.w keluar menemui mereka seraya bersabda: Sentiasalah kamu melakukannya dan biarlah Allah mewajibkan ke atas kamu. Sembahyanglah di rumah kamu, sesungguhnya sebaik-baik sembahyang seseorang itu ialah sembahyang yang dilakukan di rumahnya kecuali sembahyang fardu.
430 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk ke masjid dan baginda mendapati ada seutas tali yang direntangkan di antara dua tiang, lalu baginda bertanya: Tali apakah ini? Para Sahabat menjawab: Tali itu digunakan oleh Zainab untuk sembahyang, apabila dia merasa malas atau keletihan dia akan berpegang pada tali tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Lepaskan ikatan tali tersebut, seseorang dari kamu hendaklah bersembahyang dengan kekekuatan yang ada pada dirinya, apabila dia malas atau letih maka hendaklah dia duduk.
431 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Apabila salah seorang dari kamu mengantuk semasa sembahyang maka hendaklah dia duduk sehingga hilang perasaan mengantuk tersebut. Sesungguhnya apabila seseorang dari kamu sembahyang dalam keadaan mengantuk, ketika dia memohon keampunan mungkin akan terjadi dia mencaci dirinya sendiri.
432 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Pada suatu malam Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki membaca al-Quran, lalu baginda bersabda: Semoga Allah merahmatinya kerana sesungguhnya beliau telah mengigatkan aku ayat-ayat yang hampir aku lupa dari surah ini dan surah ini.
433 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perumpamaan orang yang menghafal al-Quran itu seperti unta yang terikat. Apabila dia menjaganya, maka unta itu akan tetap ada di tempatnya dan apabila dia melepaskannya maka unta tersebut akan lari.
434 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sangat buruk sekali apabila seseorang dari kamu mengatakan aku lupa ayat ini, ayat ini, tetapi sebenarnya dia dilupakan. Sentiasalah membaca al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih mudah hilang dari dada manusia berbanding dengan unta yang tercabut tali ikatan dari sendi kakinya (Bangsa Arab biasanya mengikat sendi unta semasa unta duduk supaya unta tersebut tidak lari).
435 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a: Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Sentiasalah membaca al-Quran ini. Demi diri dan jiwa Muhammad yang berada di tanganNya. Sesungguhnya al-Quran itu sangat mudah hilang dari ingatan berbanding dengan unta yang tercabut tali ikatan dari sendi kakinya (Bangsa Arab biasanya mengikat sendi unta semasa unta duduk supaya unta tersebut tidak lari).
436 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Satu perkara yang diizinkan oleh Allah kepada Nabi s.a.w ialah membaca al-Quran secara berlagu.
437 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abu Musa, katanya: Sekiranya engkau melihat aku, sedangkan aku mendengar bacaan kamu kelmarin, sesungguhnya engkau telah diberikan salah satu seruling dari seruling keluarga Nabi Daud.
438 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mughaffal al-Muzani r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah membaca surah al-Fath semasa dalam perjalanan di atas kenderaan (unta) baginda pada tahun pembukaan kota Mekah, baginda mengulang-ulang bacaannya.
439 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Aazib r.a katanya: Seorang lelaki sedang membaca surah al-Kahfi dan bersamanya seekor kuda yang terikat dengan tali yang panjang, tiba-tiba kepulan awan datang menutupi kuda dan berputar di sekitar kudanya, keadaan ini membuatkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi beliau datang menemui Nabi s.a.w dan memberitahu hal tersebut kepada baginda, lalu baginda bersabda: Itulah ketenangan yang diturunkan kerana al-Quran.
440 Diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy'ari r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran ialah seperti perumpamaan buah utrujah yaitu buah yang berbau harum dan rasanya enak. Manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah kurma, tidak ada baunya akan tetapi rasanya manis. Adapun perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran ialah seperti buah Raihanah yaitu buah yang berbau harum tetapi rasanya pahit. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah hanzhalah (peria) yaitu buah yang tidak ada bau sama sekali dan ditambah pula oleh rasanya yang pahit.
441 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang yang pandai membaca al-Quran itu akan bersama para Rasul yang mulia. Adapun orang yang lemah dan terlekat-lekat ketika membaca al-Quran dan dia memang berkeinginan untuk membaca al-Quran, maka dia berhak mendapat dua pahala.
442 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Ubai: Sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku supaya membacakan (al-Quran) kepadamu. Ubai bertanya: Allah menyebutkan aku padamu? Rasulullah s.a.w menjawab: Benar! Allah menyebut-nyebutkan namamu kepadaku. Anas berkata: Seketika itu juga Ubai menangis.
443 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadaku: Bacakan al-Quran kepadaku. Aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah aku harus membacakan al-Quran kepada kamu, sedangkan al-Quran itu diturunkan kepada kamu! Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku suka mendengarnya dari orang lain. Lantas aku membaca surah An-Nisa' sehinggalah aku sampai pada ayat: Yang bermaksud: Dan kami datangkan kamu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka (umatmu). Kemudian aku mengangkatkan kepalaku atau secara tiba-tiba seseorang berada di sampingku, ketika itu aku mengangkatkan kepala dan aku melihat baginda mengalirkan air matanya.
444 Diriwayatkan dari Abdullah Ibnu Mas'ud r.a katanya: Ketika aku berada di Himis beberapa orang penduduk berkata kepadaku: Bacakan al-Quran kepada kami. Lalu aku membaca Surah Yusuf di hadapan mereka. Abdullah berkata lagi: Lalu salah seorang dari kaum itu berkata: Demi Allah! Bukan demikian ianya diturunkan. Aku mengatakan kepada mereka: Celaka kamu! Demi Allah, Sesungguhnya aku pernah membaca sebegitu di hadapan Rasulullah s.a.w. Baginda berkata kepadaku: Kamu bagus!.
445 Diriwayatkan dari Abu Mas'ud al-Badri r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah, memadai kepada seseorang yang membacanya pada malam hari sebagai pelindung dirinya.
446 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengutus seorang lelaki untuk ikut bergabung dengan pasukan yang sedang berperang. Ketika sembahyang dia membaca al-Quran dan mengakhiri bacaannya dengan yaitu surah al-Ikhlas. Ketika pasukan tentera dalam perjalanan pulang, perkara itu diberitahu kepada Rasulullah s.a.w. Baginda terus bersabda: Tanyakan saja kepadanya, mengapa dia lakukan itu? Lalu mereka bertanya kepada lelaki tersebut dan dia menjawab: Sesungguhnya ia adalah sifat Allah Yang Maha Pemurah. Aku sangat suka sekali membacanya. Setelah mendengar jawapan itu Rasulullah s.a.w bersabda: Beritahulah kepadanya bahawa Allah juga menyukainya.
447 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak boleh berhasad dengki kecuali pada dua perkara yaitu terhadap seseorang yang dianugerahkan al-Quran dan dia membacanya sepanjang siang dan malam. Juga terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan lalu dia membelanjakannya dengan baik pada waktu malam dan juga pada waktu siang.
448 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak boleh iri hati kecuali terhadap dua perkara yaitu terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan tapi dia memanfaatkannya untuk urusan kebenaran (kebaikan). Juga seseorang yang diberikan ilmu pengetahuan oleh Allah lalu dia memanfaatkannya (dengan kebenaran) serta mengajarkannya kepada orang lain.
449 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Aku mendengar Hisyam bin Hakim bin Hizam membaca surah al-Furqan tidak sama dengan bacaanku yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepadaku. Hampir-hampir aku mencela beliau ketika masih dalam pembacaannya. Namun aku masih dapat menahan kemarahanku ketika itu. Setelah selesai aku mendekati Hisyam lalu ku pegang kain serbannya. Kemudian aku mengajaknya menghadap Rasulullah s.a.w. Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya tadi aku mendengar orang ini membaca surat al-Furqan tidak sebagaimana yang kamu bacakan kepadaku. Rasulullah s.a.w bersabda: Suruhlah dia membacanya sekali lagi. Hisyam pun memenuhi permintaan Rasulullah s.a.w tersebut. Dia membaca sebagaimana sebelumnya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Memang demikianlah surah itu diturunkan. Kemudian baginda menyuruhku pula: Bacalah! Aku pun membacanya. Baginda pun bersabda: Demikianlah surah itu diturunkan. Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dengan tujuh huruf (kaedah bacaan) maka kamu bacalah yang mudah bagi kamu.
450 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Jibril a.s pernah membacakan kepadaku dengan satu huruf. Aku minta supaya dia mengulangi bacaannya itu, selalu juga aku minta supaya dia menambahnya dan permintaanku itu dipenuhi hinggalah berakhir dengan tujuh huruf.
451 Hadits Abdullah bin Mas'ud r.a: Diriwayatkan dari Abu Wail r.a katanya: Seorang lelaki bernama Nahik bin Sinan datang berjumpa Abdullah dan bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman! Bagaimanakah cara kamu membaca huruf ini? Huruf Alif atau Ya' di dalam ayat: atau Abdullah menjawab: Adakah semua isi kandungan al-Quran kamu anggap tidak seperti itu? Lelaki tersebut menjawab: Sesungguhnya aku mampu membaca secara berasingan di dalam satu rakaat. Abdullah berkata: Secepat itu sebagaimana kamu membaca syair? Sesungguhnya ada beberapa kaum yang membaca al-Quran hanya sekadar membacanya sahaja. Tetapi sebenarnya jika mereka ingin meresapkan ke dalam hati, nescaya keadaan itu adalah lebih baik. Sesungguhnya sembahyang yang paling utama adalah rukuk dan sujud dan aku telah diberitahu mengenai beberapa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w yang mana baginda telah menyambung dua surah dalam setiap satu rakaat. Sebentar kemudian Abdullah berdiri dan Alqamah pula masuk seketika dan keluar kembali sambil berkata: Aku telah dikhabarkan mengenainya.
452 Hadits Abdullah bin Mas'ud r.a: Abu Ishak r.a telah menceritakan kepada kami dengan berkata: Aku telah melihat seorang lelaki menemui al-Aswad bin Yazid, dia sedang mengajar al-Quran di dalam masjid dan bertanyakannya: Bagaimanakah kamu membaca ayat ini? Adakah dengan huruf Dal ataupun Zal? Dia menjawab: Dengan Dal! Kerana aku mendengar Abdullah bin Mas'ud berkata bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w membacanya yaitu dengan Dal.
453 Hadits Abu Darda' r.a: Diriwayatkan dari Alqamah r.a katanya: Kami tiba di Syam dan Abu Darda' r.a menemui kami lantas bertanya: Adakah ada di kalangan kamu yang membaca (al-Quran) seperti bacaan Abdullah r.a? Aku menjawab: Ya! Ada, aku sendiri. Kemudian dia bertanya lagi, bagaimanakah kamu mendengar Abdullah membaca ayat Abu Darda' berkata: Aku dengar Rasulullah s.a.w membaca: dan Abu Darda' berkata lagi: Demi Allah! Begitulah yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w. Tetapi mereka menginginkan kalau aku membaca: namun aku tidak pedulikan mereka.
454 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menegah dari sembahyang selepas Subuh hinggalah terbit matahari dan juga selepas Asar hinggalah terbenam matahari.
455 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak ada sembahyang selepas sembahyang Asar hinggalah terbenam matahari dan tidak ada sembahyang selepas sembahyang Subuh sehinggalah terbit matahari.
456 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu menuntut untuk menunaikan sembahyang ketika matahari terbit dan juga ketika matahari terbenam.
457 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila matahari telah mula kelihatan, maka tangguhkan sembahyang hingga ia bersinar terang. Begitu juga apabila matahari sudah mulai terbenam, maka tangguhkan dulu sembahyang hinggalah ia benar-benar terbenam.
458 Hadits dari Ummu Salamah r.a: Diriwayatkan dari Kuraib r.a katanya: Sesungguhnya Abdullah bin Abbas, Abdul Rahman bin Azhar dan Miswar bin Makhramah, menyuruhku untuk menemui Aisyah isteri Nabi s.a.w. Mereka berkata: Sampaikan salam kami semua kepadanya. Juga tanyakan kepadanya mengenai sembahyang dua rakaat selepas sembahyang Asar. Katakan juga kepadanya, bahawa kami telah mendengar khabar yang dia juga melakukan dua rakaat sesudah Asar. Sedangkan setahu kami, Rasulullah s.a.w melarang kami melakukannya. Kata Ibnu Abbas: Waktu itu aku yang sedang bersama Umar bin al-Khattab segera meninggalkan tempat tersebut. Kemudian Kuraib bercerita: Tanpa membuang masa aku terus menemui Aisyah dan menyampaikan apa yang mereka katakan padaku. Aisyah menjawab: Tanyalah Ummu Salamah. Aku terus pulang menemui orang-orang yang menyuruhku tadi dan aku beritahu tentang jawapan Aisyah. Setelah itu mereka menyuruhku berjumpa Ummu Salamah supaya bertanyakan soalan sebagaimana yang dikemukakan kepada Aisyah. Ummu Salamah menjawab: Dia memang pernah mendengar Rasulullah s.a.w melarangnya. Namun begitu dia juga pernah melihat baginda melakukannya. Dimana setelah baginda selesai menunaikan sembahyang Asar, baginda masuk ke dalam rumah. Pada waktu itu Ummu Salamah bersama seorang wanita Bani Haram dan seorang wanita golongan Ansar. Baginda terus menunaikan sembahyang dua rakaat tersebut. Ummu Salamah kemudiannya menyuruh seorang hamba perempuan supaya berdiri di samping baginda dan bertanya tentang sembahyang dua rakaat yang baginda lakukan kerana baginda pernah melarangnya. Sebelum itu Ummu Salamah telah berpesan kepada hamba perempuan tersebut agar menggunakan isyarat tangan. Hamba perempuan itu pun melaksanakan suruhan Ummu Salamah dan ternyata Nabi s.a.w memberikan isyarat tangan supaya menjauhkan diri dari baginda. Apabila jariah itu mulai beredar, baginda lalu bersabda: Wahai puteri Abu Umayyah! Kamu tentu akan bertanyakan mengenai dua rakaat selepas Asar yang baru aku lakukan. Ketahuilah, wahai Puteri Abu Umayyah! Sebenarnya tadi beberapa orang dari suku Abdul Qais datang kepadaku membuat urusan pengislaman kaumnya, sehingga membuatkan aku terlambat melakukan dua rakaat selepas sembahyang Zuhur. Manakala yang sebentar tadi itu adalah dua rakaat yang belum sempat aku lakukannya.
459 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Abu Salamah katanya: Aku pernah bertanya Saidatina Aisyah r.a mengenai dua rakaat sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sesudah Asar. Aisyah r.a menjawab: Itu sebenarnya adalah dua rakaat sebelum asar yang tidak sempat baginda lakukan kerana sibuk oleh suatu urusan ataupun kerana terlupa, lalu baginda lakukannya setelah sembahyang Asar. Kemudian hal itu baginda tetapkannya kerana memang itulah kebiasaan baginda s.a.w.
460 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Kami pernah sembahyang pada masa Rasulullah s.a.w dua rakaat selepas matahari terbenam sebelum sembahyang Maghrib. Aku bertanya: Adakah Rasulullah s.a.w juga pernah sembahyang? Anas bin Malik menjawab: Rasulullah melihat kami sembahyang tetapi baginda tidak melarang dan juga tidak menyuruh kami.
461 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Kami berada di Madinah. Ketika tukang azan mula mengumandangkan azan untuk sembahyang Maghrib, ramai orang yang tergesa-gesa untuk menunaikan sembahyang dua rakaat. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang agak asing masuk ke dalam masjid dan terus menunaikan sembahyang Maghrib kerana menyangka orang ramai telah pun sembahyang, disebabkan ramainya bilangan orang yang sedang sembahyang (sunat).
462 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mughaffal al-Muzani r.a katanya: Rasululalh s.a.w telah bersabda: Di antara Azan dan Iqamat terdapat sembahyang. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga baginda menambah kepada mereka yang ingin.
463 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah sembahyang Khauf dengan cara satu rakaat bersama salah satu dari dua kelompok, sementara satu kelompok lagi sedang menghadapi musuh. Kemudiannya mereka beredar dan mengambil tempat kelompok yang menghadapi musuh. Mereka pula beredar untuk sembahyang bersama Nabi s.a.w satu rakaat. Rasulullah s.a.w kemudiannya memberi salam dan mereka pula menyelesaikan baki rakaat.
464 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Aku pernah bersama Rasulullah s.a.w turut melakukan sembahyang Khauf. Kami membentuk dua saf. Satu saf berada di belakang Rasulullah s.a.w manakala pihak musuh berada di antara kami dan kiblat. Ketika Nabi s.a.w mengangkat takbir kami semua ikut mengangkat takbir. Kemudian baginda rukuk dan kami semua pun ikut rukuk. Kemudian baginda mengangkat kepala dari rukuk kami pun turut melakukan hal yang sama. Kemudian baginda turun untuk sujud bersama saf pertama. Sementara itu saf yang di belakang tetap berdiri berhadapan dengan musuh. Ketika Nabi s.a.w selesai sujud bersama saf pertama. Saf yang di belakang pula turun untuk melakukan sujud dan kemudian berdiri. Kemudian saf yang belakang itu maju ke hadapan dan saf pertama bergerak ke belakang. Kemudian Nabi s.a.w rukuk dan kami semua ikut serta rukuk bersama baginda. Kemudian Nabi berdiri tegak dan kami pun mengikuti baginda. Sementara barisan yang tadi berada di belakang ikut sujud bersama baginda, manakala barisan yang satu lagi tetap berdiri menghadapi musuh. Apabila Nabi s.a.w selesai sujud bersama saf yang berada di belakang baginda, maka barisan yang di belakang pula turun sujud. Setelah mereka selesai sujud, Nabi s.a.w memberi salam dan kami semua ikut serta memberi salam. Kata Jabir: Seperti yang biasa dilakukan oleh pasukan pengawal terhadap pemimpin mereka.
465 Diriwayatkan dari Sahl bin Abu Hasmah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah sembahyang Khauf bersama Sahabat. Baginda membentuk dua saf, kemudian sembahyang satu rakaat dengan saf yang pertama. Setelah baginda berdiri untuk rakaat yang kedua saf yang di belakang bergerak ke depan dan saf yang pertama pula bergerak ke belakang. Baginda sembahyang dengan mereka untuk rakaat kedua. Setelah itu baginda duduk (sebelum salam) baginda menunggu saf yang satu lagi menyempurnakan sembahyang dan seterusnya baginda memberi salam.
466 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Kami pernah bersama Rasulullah s.a.w dalam pertempuran Zaatu Ar-Rika' sehinggalah kami tiba berhampiran sepohon pokok yang cukup rendang. Kami mempersilakan kepada baginda untuk beristirehat di bawahnya. Tiba-tiba datang seorang lelaki dari kaum Musyrikin. Pada waktu itu pedang Rasulullah s.a.w digantungkan di atas pokok. Lelaki itu kemudiannya mengambil pedang Nabi s.a.w dan menghunusnya. Dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Tidakkah kamu takut kepadaku? Baginda menjawab: Tidak! Lelaki itu bertanya lagi: Siapakah yang akan melindungi kamu dari aku? Baginda menjawab: Allah yang akan melindungi aku darimu. Pada waktu itu juga Sahabat Rasulullah s.a.w mengugut lelaki berkenaan sehingga akhirnya lelaki itu menyarungkan kembali pedang dan meletakkan ke tempat asalnya. Setelah itu terdengar azan berkumandang. Lalu baginda mendirikan sembahyang dua rakaat dengan satu saf kemudian mereka mundur. Baginda menyempurnakan sembahyang dua rakaat lagi bersama saf yang satu lagi. Jadi Rasulullah s.a.w melakukan sembahyang empat rakaat, sementara Sahabat hanya dua rakaat.

SHOLAT JUM'AT
467 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Barangsiapa di kalangan kamu hendak menunaikan sembahyang Jumaat, maka dia dikehendaki mandi.
468 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memerintahkan supaya mandi.
469 Diriwayatkan dari Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila seseorang dari kamu hendak menghadiri sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia mandi.
470 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Mandi pada hari Jumaat itu adalah wajib atas setiap orang yang sudah baligh.
471 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Kaum muslimin berduyun-duyun datang menghadiri sembahyang Jumaat dari rumah-rumah mereka di sekitar Madinah. Mereka datang memakai bau-bauan dan celak sehingga keluarlah bau harum dari tubuh mereka. Lalu beberapa orang di antara mereka datang kepada Rasulullah s.a.w yang sedang berada dekatku. Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Alangkah eloknya kalau kamu mandi untuk meneruskan hari kamu ini!.
472 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku telah menuturkan sabda Nabi s.a.w mengenai masalah mandi pada hari Jumaat.
473 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Dari Nabi s.a.w katanya: Baginda s.a.w telah bersabda: Hak untuk Allah yang harus dipenuhi oleh setiap muslim, bahawa dia hendaklah membersihkan diri yaitu mandi pada setiap tujuh hari serta membasuh kepala dan tubuhnya.
474 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa mandi pada hari Jumaat seperti mandi hadas besar, kemudian berangkat ke masjid, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor unta dan sesiapa berangkat pada kesempatan kedua, maka dia seolah-olah telah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa berangkat pada kesempatan ketiga, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing kibas. Sesiapa berangkat pada kesempatan keempat, seolah-olah telah menyembelih seekor ayam dan sesiapa berangkat pada kesempatan kelima, seakan-akan dia memberikan sedekah sebiji telur. Apabila imam yaitu khatib telah keluar, Malaikat-malaikat pun hadir mendengar dzikir. Ertinya: mereka tidak lagi mencatatkan sesiapa yang datang ke masjid.
475 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila engkau berkata kepada temanmu, diamlah! pada hari Jumaat. Padahal imam sedang berkhutbah, maka kamu benar-benar telah melakukan satu perkara yang sia-sia yaitu lalai.
476 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu dari Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.
477 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Kita adalah orang-orang yang terakhir dan kita jugalah orang-orang yang mendahului umat manusia pada Hari Kiamat. Setiap umat dikurniakan Kitab sebelum kita. Kemudian kita pula diberi kitab sesudah mereka. Oleh itu, inilah hari yang ditentukan oleh Allah untuk kita. Allah memberi petunjuk kepada kita pada hari tersebut. Umat-umat lain akan mengikuti kita pada hari itu, kaum Yahudi esok dan kaum Nasrani lusa.
478 Diriwayatkan dari Sahl r.a katanya: Kami tidak pernah tidur atau makan pada waktu siang kecuali sesudah melakukan sembahyang Jumaat.
479 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Biasanya kami berkumpul mendirikan sembahyang Jumaat bersama Rasulullah s.a.w ketika matahari telah tergelincir ke arah barat, kemudian pulang dengan mencari tempat yang teduh.
480 Diriwayatkan dari lbnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w selalu berkhutbah pada hari Jumaat dengan berdiri, kemudian baginda duduk lalu berdiri lagi sebagaimana dilakukan sekarang ini.
481 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Nabi s.a.w sedang berkhutbah dengan berdiri pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu kafilah dari Syam, maka orang ramai berkejaran keluar menuju ke arah kafilah tersebut sehingga yang tinggal di dalam masjid hanya dua belas orang lelaki, maka turunlah ayat Yang bermaksud: Apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka meninggalkannya untuk menuju kepadanya dan meninggalkan kamu yang sedang berdiri berkhutbah.
482 Hadits Ya'la bin Ummaiyyah r.a: Diriwayatkan dari Safuan bin Ya'la dari ayahnya katanya: Aku telah mendengar Nabi s.a.w membaca ayat al-Quran di atas mimbar Yang bermaksud: Dan mereka menyeru: Wahai Malik!.
483 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatulmasjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah s.a.w bersabda: Bangun dan sembahyanglah!.
484 Hadits Abu Hurairah r.a: Diriwayatkan dari Nabi s.a.w katanya: Ketika sembahyang Subuh pada hari Jumaat biasanya baginda membaca dan.
485 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya apabila selesai mengerjakan sembahyang Jumaat, beliau terus pulang dan mengerjakan sembahyang dua rakaat di rumah kemudian dia berkata: Dulu Rasulullah s.a.w juga berbuat begitu.

SHOLAT DUA HARI RAYA
486 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku berkesempatan mengikuti sembahyang Hari Raya Puasa (Aidilfitri) bersama Nabi Allah s.a.w, Abu Bakar, Umar dan Othman. Mereka semua mendirikan sembahyang Hari Raya sebelum khutbah. Setelah itu barulah berkhutbah. Kemudian dia menyambung lagi dengan katanya: Nabi Allah s.a.w turun dan aku melihat ke arah baginda sehingga aku melihat baginda memberi isyarat kepada kaum lelaki supaya duduk dan kemudian datang dan berjalan di kalangan mereka menuju ke tempat para wanita dan Bilal ada bersama baginda. Lalu baginda membaca: hingga selesai. Setelah itu baginda bertanya: Adakah kamu juga berjanji setia demikian? Seorang wanita menjawab di antara kelompok wanita itu dengan jawapan yang tegas: Benar, wahai Nabi Allah! Ketika itu wanita tersebut belum lagi dikenali. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Bersedekahlah kamu! Bilal r.a mula menghamparkan pakaiannya sambil berkata: Ayuhlah demi bapa dan ibuku sebagai tebusan kamu! Mereka segera meletak gelang-gelang dan cincin-cincin ke dalam pakaian Bilal.
487 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w berdiri mendirikan sembahyang pada Hari Raya Fitrah. Baginda memulakannya dengan sembahyang sebelum berkhutbah. Sesudah itu barulah baginda mulai berkhutbah kepada orang ramai. Apabila selesai Nabi s.a.w turun dan menghampiri kaum wanita. Baginda memberi peringatan kepada mereka, sambil bertumpang pada tangan Bilal. Bilal membentangkan pakaiannya dan para wanita mulai memberi sedekah.
488 Hadits Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a: Diriwayatkan dari Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' dari Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya Korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun.
489 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w, Abu Bakar dan Umar r.a kesemuanya mendirikan sembahyang dua Hari Raya sebelum khutbah.
490 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w selalu keluar pada Hari Raya Haji (Aidiladha) dan Hari Raya Puasa (Aidilfitri). Baginda memulai dengan sembahyang. Setelah selesai sembahyang dan memberi salam, baginda berdiri menghadap orang ramai yang masih duduk di tempat sembahyang mereka masing-masing. Jika baginda mempunyai hajat yang ingin disampaikan, baginda tuturkannya kepada orang-ramai ataupun ada keperluan lain, maka baginda akan membuat perintah kepada kaum muslimin. Baginda pernah bersabda dalam salah satu khutbahnya pada Hari Raya: Bersedekahlah kamu! Bersedekahlah! Bersedekahlah! Kebanyakkan yang memberi sedekah adalah kaum wanita. Kemudian baginda beredar.
491 Diriwayatkan dari Ummu Atiyyah r.a katanya: Kami telah diperintahkan oleh Nabi s.a.w supaya keluar pada Hari Raya. Begitu juga kanak-kanak perempuan yang telah baligh, gadis-gadis pingitan dan diperintahkan juga wanita-wanita yang sedang haid supaya keluar pada Hari Raya serta diperintahkan agar mengasingkan mereka dari tempat sembahyang kaum muslimin.
492 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Aku telah diziarahi oleh Abu Bakar r.a di rumahku. Ketika itu di sampingku ada dua orang jariah yaitu gadis dari golongan Ansar, sedang mendendangkan syair golongan Ansar pada Hari Bu'as yaitu hari tercetusnya peperangan antara golongan Aus dan Khazraj. Aisyah berkata: Sebenarnya mereka berdua bukanlah penyanyi. Abu Bakar r.a berkata: Patutkah ada nyanyian syaitan di rumah Rasulullah s.a.w dan pada Hari Raya pula? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai Hari Raya dan ini adalah Hari Raya kami.
493 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ketika penduduk Habsyah sedang bermain-main dengan tombak-tombak mereka di hadapan Rasulullah s.a.w tiba-tiba masuklah Umar bin al-Khattab. Lalu dia mengambil batu-batu kecil untuk melontar mereka. Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Biarkan mereka, wahai Umar!.

SHOLAT ISTISQO
494 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid al-Mazini r.a katanya Rasulullah s.a.w telah keluar menuju ke tempat sembahyang untuk mengerjakan sembahyang Istisqa' (sembahyang minta hujan) dan baginda memakai selendang secara terbalik ketika menghadap kiblat.
495 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Aku melihat Rasulullah s.a.w mengangkat kedua tangan baginda semasa berdoa sehingga ternampak keputihan di bawah ketiak baginda.
496 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki masuk ke masjid pada hari Jumaat dari satu pintu yang menuju ke arah Darul Qadha (rumah Umar bin al-Khattab). Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang berdiri sambil berkhutbah. Orang itu menghadap Rasulullah s.a.w sambil berdiri, kemudian berkata: Wahai Rasulullah! Segala harta benda telah musnah dan jalan-jalan menjadi terputus (yaitu mereka tidak lagi dapat menggunakan unta kerana bimbang unta mereka mati malah boleh mengurangkan binatang ternakan mereka disebabkan cuaca pada ketika itu), oleh itu berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan menurunkan hujan kepada kita. Rasulullah s.a.w lalu mengangkat kedua tangan dan berdoa yang bermaksud: Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Kata Anas: Tidak, demi Allah! Kami tidak lihatpun di langit ada mega atau gumpalan awan. Di antara kami dengan gunung tidak ada satu pun rumah atau perkampungan (yang menghalangi pandangan kami untuk melihat tanda-tanda akan turunnya hujan). Tiba-tiba muncul mega bagaikan perisai di sebalik gunung. Ketika berada di tengah-tengah langit, mega itu mulai melebar kemudian menurunkan hujan. Tidak, demi Allah! Kami tidak melihat matahari sedikit pun. Pada hari Jumaat berikutnya masuk pula seorang lelaki dari pintu yang sama, ketika itu Rasulullah s.a.w sedang berdiri sambil berkhutbah. Orang itu menghadap baginda sambil berdiri, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Banyak harta benda yang binasa dan jalan-jalan telah terputus. (Kali ini kerana terlampau banyak hujan). Oleh itu berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan menahan hujan dari kami. Rasulullah s.a.w pun mengangkat kedua tangan lantas baginda berdoa: yang bermaksud: Wahai Tuhanku! Turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah musnahkan kami. Ya Allah! Engkau turunkanlah ia di atas gunung-gunung dan bukit-bukau, di lembah-lembah dan tempat tumbuhnya pokok-pokok. Hujan pun reda dan kami dapat keluar, berjalan di bawah sinar matahari.
497 Diriwayatkan dari Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Biasanya apabila hari berangin atau mendung, wajah Rasulullah s.a.w kelihatan gelisah. Bila hujan mulai turun, wajah baginda menjadi berseri dan hilanglah kegelisahan baginda. Aisyah bertanyakan hal itu kepada baginda. Baginda menjawab: Aku bimbang angin atau mendung itu menjadi azab untuk menyiksa umatku. Jika baginda melihat hujan, baginda akan berkata: Itu adalah rahmat.
498 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Aku telah dimenangkan oleh angin ribut barat dan kaum Aad telah dihancurkan dengan angin ribut timur.

SHOLAT GERHANA
499 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Matahari telah gerhana pada masa Rasulullah s.a.w lalu baginda berdiri melakukan sembahyang dan berdiri dalam waktu yang panjang. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk itu. Selepas itu baginda mengangkat kepala lalu berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah lama sebagaimana berdiri yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk pula sekali lagi dalam masa yang panjang, tetapi tidaklah sepanjang rukuk yang pertama. Setelah itu baginda sujud. Kemudian baginda bangkit dan berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk cukup lama tetapi kurang dari yang pertama tadi. Seterusnya baginda mengangkat kepala lalu berdiri lama tetapi kurang tempohnya dari berdiri yang pertama. Kemudian rukuk pula cukup lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Setelah itu baginda sujud dan selepas selesai sembahyang baginda pun beredar dan matahari mulai kelihatan. Baginda mula berkhutbah di hadapan kaum muslimin. Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya. Kemudiannya baginda bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan itu termasuk tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana disebabkan hidup atau matinya seseorang. Oleh itu seandainya kamu melihat kedua-duanya gerhana, maka bertakbir dan berdoalah kepada Allah, dirikanlah sembahyang dan bersedekahlah wahai umat Muhammad! Tidak seorang pun yang paling prihatin selain dari Allah apabila hambanya samada lelaki ataupun perempuan melakukan zina. Wahai umat Muhammad! Demi Allah seandainya kamu tahu apa yang telah aku ketahui, tentu kamu lebih banyak menangis dan kurang ketawa. lngatlah, bukankah aku telah menyampaikan?.
500 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Bahawa Nabi s.a.w telah mendirikan sembahyang sebanyak empat rakaat, dalam dua rakaat dan empat sujud.
501 Diriwayatkan dari Asma' r.a katanya: Matahari gerhana pada masa Rasulullah s.a.w. Aku datang menemui Aisyah yang ketika itu sedang bersembahyang. Aku bertanya: Kenapa orang ramai melakukan sembahyang? Aisyah memberi isyarat dengan kepalanya ke arah langit. Aku bertanya lagi: Tanda kebesaran Allah? Dia menjawab: Benar! Rasulullah s.a.w berdiri cukup lama sekali, hingga aku terasa hampir pengsan. Lalu aku mencapai qirbah (satu bekas air) yang ada di sampingku dan aku menuangnya ke kepalaku atau ke wajahku. Apabila Rasulullah s.a.w selesai, matahari telahpun muncul kembali. Kemudian Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kaum muslimin. Baginda memuji Allah dan menyanjungiNya. Lalu bersabda: Apa sahaja yang belum pernah aku lihat, pasti benar-benar aku dapat melihatnya di maqamku ini, biarpun ke Surga dan Neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku, bahawa kamu akan menerima cobaan di dalam kubur yang hampir-hampir menyerupai fitnah al-Masih Ad-Dajjal. Aku tidak tahu apakah ia sebenarnya. Asma' lalu berkata: Kamu akan didatangi seseorang dan ditanyakan apakah yang kamu tahu mengenai lelaki ini? Adapun orang yang beriman atau orang yang yakin akan menjawab: Aku tidak tahu siapakah dia. Asma' berkata: Katakanlah dia itu Muhammad. Dialah utusan Allah yang membawa bukti-bukti dan petunjuk kepada kami. Lalu kami penuhi dan taati (sebanyak tiga kali). Kemudian dikatakan kepadanya: Benar! Kami memang tahu bahawa engkau beriman kepadanya. Tidurlah baik-baik! Sedangkan orang yang munafik atau ragu-ragu akan menjawab: Aku tidak tahu. Asma' berkata: Aku tidak tahu, cuma aku mendengar orang ramai berkata sesuatu, maka aku turut mengatakannya.
502 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya Setelah diseru: ketika matahari gerhana pada masa Rasulullah s.a.w lalu baginda mendirikan sembahyang dua kali rukuk dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat. Setelah itu matahari kembali muncul.
503 Diriwayatkan dari Abu Mas'ud al-Ansari r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya (ketika berlaku gerhana) digunakan oleh Allah untuk menakutkan (memberi amaran) kepada para hambaNya dan keduanya tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang di antara manusia. Oleh itu apabila kamu melihatnya maka dirikanlah sembahyang dan berdoalah kepada Allah hinggalah Allah meneranginya semula kepada kamu.
504 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah s.a.w. Baginda bangkit dengan terkejut, bimbang kalau-kalau hari itu adalah Hari Kiamat. Kemudian beliau datang ke masjid lalu mendirikan sembahyang. Baginda berdiri, rukuk dan sujud dalam tempoh yang lama. Aku tidak pernah melihat sama sekali baginda bersembahyang begitu. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya inilah ayat-ayat (tanda-tanda) yang diutuskan oleh Allah dan berlakunya bukanlah kerana kematian seseorang atau juga dihidupkan seseorang tetapi Allah mengutusnya untuk menakutkan (memberi amaran) kepada hamba-hambaNya. Oleh itu apabila kamu melihatnya maka bersegeralah mengingatiNya, berdoa kepadaNya dan memohon keampunan dariNya.
505 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda-tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang.
506 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Matahari telah gerhana pada masa Rasulullah s.a.w di hari kematian Ibrahim yaitu anak lelaki baginda. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkannya. Oleh itu apabila kamu melihatnya berdoalah kepada Allah dan dirikanlah sembahyang hinggalah gerhana itu hilang.

JENAZAH
507 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Kami sedang berada di sisi Rasulullah s.a.w ketika salah seorang dari puteri baginda menyuruh seseorang untuk memanggil baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri (cucu) baginda itu berada dalam keadaan nazak. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada orang suruhan tersebut: Kembalilah kepadanya dan katakan bahawa yang diambil oleh Allah adalah milikNya dan apa yang diberi oleh Allah juga milikNya. Segala sesuatu di sisiNya akan berakhir, mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah. Orang suruhan itu kemudiannya kembali mengadap Rasulullah s.a.w dan berkata: Dia berjanji akan menunaikan pesanan itu. Kemudian Nabi s.a.w berdiri diikuti oleh Saad bin Ubadah dan Muaz bin Jabal r.a. Akupun (Usamah bin Zaid) turut berangkat bersama-sama mereka. Lalu diangkatkan kepada Rasulullah s.a.w dan diserahkan anak (dari puteri baginda) yang nafasnya masih bergerak-gerak (tersekat-sekat), seolah-olah dia berada di dalam satu qirbah (bekas air) yang lusuh. Kedua-dua mata Rasulullah s.a.w mulai berlinangan. Saad bertanya: Apa ertinya ini wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w lalu bersabda: lni adalah rahmat (belas-kasihan) yang diletakkan oleh Allah di hati hamba-hambaNya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hambaNya yang mempunyai rasa belas-kasihan.
508 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Saad bin Ubadah r.a telah mengalami sakit tenat dan diadukan mengenai keadaannya, lalu baginda s.a.w pergi menziarahinya bersama Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas dan Abdullah bin Mas'ud r.a. Ketika baginda masuk menemuinya, didapati dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah dia telah meninggal dunia? Orang ramai yang hadir di situ menjawab: Belum lagi, wahai Rasulullah. Kemudiannya Rasulullah s.a.w mulai menangis. Ketika orang ramai melihat tangisan Rasulullah s.a.w mereka pun ikut menangis. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tidakkah kamu mendengar bahawa Allah tidak menyiksa hanyalah kerana air mata dan Allah tidak juga menyiksa disebabkan hati yang dukacita tetapi Dia menyiksa adalah kerana ini (baginda menunjuk ke lidah baginda) ataupun Dia mengasihi.
509 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sabar adalah pada goncangan (timpaan) yang pertama.
510 Diriwayatkan dari Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya mayat itu akan tersiksa kerana tangisan ahli keluarga terhadapnya.
511 Hadits Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Abu Mulaikah r.a katanya: Aku sedang berada di sisi lbnu Umar, sementara itu kami menunggu jenazah Ummi Aban binti Othman. Di sampingnya juga ada Amru bin Othman. Kemudian datanglah lbnu Abbas yang dipimpin oleh seseorang. Ibnu Abbas ditunjukkan ke tempat lbnu Umar oleh pembawanya tadi. Dia datang dan duduk di sebelahku dan aku berada di tengah-tengah antara kedua-duanya. Tiba-tiba terdengar suara dari rumah. Lalu lbnu Umar berkata seolah-olah menghalang Amru untuk berdiri: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya mayat itu akan tersiksa kerana tangisan ahli keluarganya. Dia berkata lagi: Suruhlah Abdullah menghantar seorang utusan. lbnu Abbas pula bercerita: Kami beriringan dengan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab, hinggalah kami sampai di Baida', tiba-tiba didapati seseorang berteduh di bawah sebatang pokok. Amirul Mukminin berkata kepadaku: Pergilah lihat siapakah orang itu! Akupun pergi dan aku dapati orang itu adalah Suhaib. Aku kembali kepada Umar dan berkata: Engkau menyuruhku untuk mengetahui siapakah orang itu. Ternyata dia adalah Suhaib. Umar berkata: Suruhlah dia mengikut kita! Aku berkata: Walaupun dia bersama keluarganya? Umar berkata lagi: Walaupun dia bersama keluarganya dan boleh jadi Ayyub berkata: Suruhlah dia mengikut kita! Apabila kami tiba, tidak lama kemudiannya Amirul Mukminin terkena musibah. Lalu Suhaib datang sambil meratap: Wahai saudaraku! Wahai temanku! Umar r.a berkata: Tidakkah kamu tahu atau tidakkah kamu pernah dengar (Ayyub berkata ataupun seseorang berkata: Tidakkah kamu tahu atau tidakkah kamu pernah dengar) bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya mayat akan tersiksa disebabkan oleh sebahagian dari tangisan ahli keluarganya. Ibnu Umar berkata: Abdullah telah menghantar seorang utusan (perempuan) manakala Umar pula bercakap-cakap dengan orang ramai. Kemudian aku (Ibnu Abbas) bangun dan pergi berjumpa Aisyah. Aku ceritakan kepadanya apa yang dikatakan oleh Ibnu Umar. Lalu dia berkata: Tidak, demi Allah! Rasulullah s.a.w sama sekali tidak pernah berkata: Sesungguhnya mayat akan tersiksa disebabkan tangisan seseorang tetapi baginda bersabda: Sesungguhnya orang kafir ditambah siksaannya oleh Allah disebabkan tangisan ahli keluarganya. Sesungguhnya, Allah adalah Yang bermaksud: Allah adalah Zat yang menjadikan tawa dan tangis serta seseorang yang berdosa tidak akan memikul beban dosa orang lain.
512 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang diratapi ke atasnya, maka dia akan disiksa disebabkan ratapan ke atasnya pada hari Kiamat kelak.
513 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ketika datang berita kepada Rasulullah s.a.w mengenai gugurnya lbnu Harithah, Jaafar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah r.a Rasulullah s.a.w duduk dan kelihatan bersedih hati. Aisyah melihat dari celah pintu. Lalu datanglah seseorang menceritakan perihal isteri Jaafar dan memberitahu mengenai ratapan mereka. Lalu Rasulullah s.a.w menyuruh orang tersebut pergi melarang mereka. Kemudian orang itu pergi dan kembali semula serta memberitahu bahawa: Mereka tidak menghiraukan aku! Rasulullah s.a.w menyuruhnya untuk kali kedua supaya pergi melarang isteri Jaafar tersebut. Kemudiannya orang itu pergi dan kembali sekali lagi serta memberitahu: Demi Allah! Kami tidak berjaya memujuk mereka, wahai Rasulullah! Aisyah berkata: Kalau tidak salah aku, Rasulullah s.a.w bersabda: Pergilah dan sumbatlah tanah ke mulut mereka supaya mereka berhenti dari meratap! Aisyah berkata: Semoga Allah menutup mulut kamu dengan tanah. Demi Allah! Engkau tidak melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w dan engkau tidak ingin meninggalkan Rasulullah s.a.w bebas dari kesusahan.
514 Diriwayatkan dari Ummu Atiyyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menerima janji dari kami pada waktu bai'ah yaitu ikrar setia, agar kami tidak meratapi mayat. Tidak ada wanita yang turut berbai'ah kecuali hanyalah lima orang yaitu Ummu Sulaim, Ummul Ala', anak perempuan Abu Sabrah yaitu isteri Mu'az atau puteri Abu Sabrah isteri kepada Mu'az.
515 Diriwayatkan dari Ummu Atiyyah r.a katanya: Kami kaum wanita telah dilarang mengiringi jenazah tetapi bukanlah bererti kami dilarang keras dari mengiringi jenazah.
516 Diriwayatkan dari Ummu Atiyyah r.a katanya: Nabi s.a.w masuk ke tempat kami dan kami ketika itu sedang memandikan anak perempuan baginda. Beliau kemudian bersabda: Mandikanlah dia sebanyak tiga kali, lima kali atau lebih banyak lagi bila kamu merasakannya perlu, begitu juga mandikanlah dia dengan air dan daun bidara. Akhirilah basuhan tersebut dengan menggunakan air kapur barus atau sedikit kapur barus. Setelah selesai, beritahukanlah kepadaku. Apabila kami selesai, kami memberitahu baginda, lalu baginda menghulurkan kain baginda kepada kami sambil bersabda: Pakaikanlah kain ini kepadanya!.
517 Diriwayatkan dari Khabbab bin al-Arat r.a katanya: Kami berhijrah bersama Rasulullah s.a.w di jalan Allah demi mengharapkan keredaan Allah, maka sudah sewajarnya kami diganjarkan dengan pahala oleh Allah. Di antara kami ada orang yang tidak sempat menikmati nikmat ganjaranNya di dunia, antaranya Mus'ab bin Umair. Dia terbunuh pada perang Uhud. Tidak ditemukan satu benda pun untuk mengafan mayatnya kecuali sehelai selimut. Apabila kami tutupkan selimut itu pada kepalanya, maka kedua kakinya keluar (tidak tertutup) dan ketika selimut itu kami tutupkan pada kedua kakinya, kepalanya pula kelihatan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tutupkanlah selimut itu di kepalanya, manakala kedua kakinya tutuplah dengan izkhir yaitu sejenis rumput yang berbau wangi. Namun di antara kami ada juga orang-orang yang sempat mengecapi hasilnya yaitu berkesempatan merasakan ganjaranNya di dunia.
518 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w dikafan dengan tiga lapis kain tenun putih yang diperbuat dari kapas tanpa ada baju ataupun serban. Adapun mengenai Hullah yaitu selimut Yaman, maka orang ramai keliru mengenainya. Memang Hullah itu dibeli dan disediakan untuk mengafan baginda, tetapi selimut itu tidak digunakan dan ditinggalkan. Baginda dikafan dengan tiga lapis kain tenun putih dan selimut itu diambil oleh Abdullah bin Abu Bakar. Abdullah berkata: Aku akan menyimpannya untuk mengafan diriku nanti. Kemudiannya dia berkata: Andaikata Allah meredai ianya adalah untuk NabiNya, tentu Allah akan mengafan baginda dengan selimut itu. Kemudiannya dia menjual selimut itu dan menyedekahkan hasil penjualannya.
519 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah, Ummul Mukminin r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w wafat seluruh tubuh baginda dilitupi dengan kain Hibarah yaitu sejenis kain buatan Yaman.
520 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Nabi s.a.w bersabda: Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu).
521 Diriwaytkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menghadiri jenazah sehinggah jenazah itu disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung.
522 Diriwayatkan dari Thauban r.a, bekas hamba Rasulullah s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang melakukan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud.
523 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika satu jenazah diiringi, orang ramai memuji jenazah tersebut sebagai orang baik yaitu semasa hidupnya, maka Nabi s.a.w pun bersabda mengenainya: Wajib, wajib, wajib. Lalu datang pula iringan jenazah yang kedua, orang ramai mengutuk mengenai jenazah tersebut sebagai orang yang jahat semasa hidupnya. Nabi s.a.w pun bersabda: Wajib, wajib, wajib. Umar berkata: Menjadi penebusmu, ayah dan ibuku! Ketika jenazah pertama diiringi, orang ramai memujinya sebagai orang baik, lalu kamu berkata: Wajib, wajib, wajib. Kemudian ketika jenazah kedua diiringi, orang ramai mengutuknya sebagai orang yang jahat, kamu juga berkata: Wajib, wajib, wajib. Apa ertinya? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka diwajibkan kepadanya Surga. Sedangkan orang yang kamu katakan sebagai orang yang jahat, maka diwajibkan kepadanya Neraka. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi.
524 Diriwayatkan dari Abu Qatadah bin Rib'ie r.a katanya: Satu usungan jenazah melintasi Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Yang beristirehat dan yang diistirehatkan adalah darinya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah erti yang beristirehat dan yang diistirehatkan adalah darinya itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang beriman itu beristirehat dari kepenatan dunia. Sedangkan hamba yang buruk kelakuannya, dapat merehatkan para hamba, negara, pokok-pokok dan haiwan yaitu semua merasa tenteram dari kejahatannya.
525 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w mengumumkan kepada orang-ramai mengenai kemangkatan Raja Najasyi, kemudian baginda keluar menuju ke tempat sembahyang bersama kaum muslimin dan mendirikan sembahyang jenazah dengan bertakbir sebanyak empat kali.
526 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang ke atas jenazah Ashamah An-Najasyi, Baginda bertakbir sebanyak empat kali.
527 Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang jenazah di atas kubur, selepas jenazah itu dikebumikan. Baginda mengangkat takbir sebanyak empat kali.
528 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa ada seorang perempuan berkulit hitam atau seorang pemuda yang selalu membersih masjid. Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w merasai ketiadaannya yaitu tidak menemuinya. Lalu baginda bertanya mengenainya. Para Sahabat menjawab: Dia telah meninggal dunia. Rasulullah s.a.w menegur: Kenapa kamu tidak memberitahuku? Para Sahabat menjawab: Kami menganggap ianya adalah urusan kecil sahaja. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Tunjukkanlah kuburnya kepadaku. Maka mereka menunjukkannya kepada baginda. Baginda mendirikan sembahyang di atas kuburnya dan setelah itu bersabda: Sesungguhnya kubur itu penuh dengan kegelapan bagi penghuninya dan Allah s.w.t meneranginya dengan sebab sembahyangku ke atas mereka.
529 Diriwayatkan dari Amir bin Rabi'ah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila kamu melihat jenazah diusung, maka berdirilah kerananya sehinggalah jenazah tersebut diusung jauh dari kamu atau sehingga jenazah tersebut diletakkan di dalam kubur.
530 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu sekalian mengiringi jenazah, maka janganlah kamu duduk sebelum jenazah itu dikebumikan.
531 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ada jenazah diusung berhampiran kami, lalu Rasulullah s.a.w berdiri kerananya. Kamipun turut berdiri bersama-sama baginda. Kemudian kami berkata: Wahai Rasulullah! Itu jenazah seorang perempuan Yahudi. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kematian itu adalah satu hal yang menggentarkan. Oleh itu apabila kamu melihat jenazah maka berdirilah!.
532 Hadits Qais bin Saad r.a: Diriwayatkan dari Ibnu Abu Laila r.a katanya: Bahawa Qais bin Saad dan Sahl bin Hunaif r.a sedang berada di Qadisiyah. Tiba-tiba jenazah diusung berhampiran mereka, maka mereka pun berdiri. Lalu dikatakan kapada mereka berdua: Jenazah itu adalah dari penduduk tempatan yaitu orang kafir. Mereka berdua berkata: Pernah suatu ketika, Rasulullah s.a.w didatangi jenazah. Lalu Baginda berdiri. Ketika diberitahu kepada baginda bahawa: Itu adalah jenazah orang Yahudi. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Bukankah dia juga manusia?.
533 Diriwayatkan dari Samurah bin Jundub r.a katanya: Aku sembahyang di belakang (berimamkan) Nabi s.a.w dan baginda mendirikan sembahyang ke atas jenazah Ummu Ka'ab r.a yang meninggal dunia dalam keadaan nifas. Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang ke atas jenazahnya secara berdiri di tengah-tengahnya.

ZAKAT
534 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a: Nabi s.a.w bersabda: Hasil bumi yang kurang dari lima wasaq yaitu gantang, tidak diwajibkan zakat. Unta yang kurang dari lima ekor, tidak diwajibkan zakat. Perak yang kurang dari lima uqiah (satu uqiah adalah sama dengan 40 dirham perak), tidak diwajibkan zakat.
535 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tidak dikenakan zakat kepada orang Islam, dari hamba dan kudanya.
536 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengutus Umar r.a untuk memungut zakat. Nabi diberitahu bahawa: Ibnu Jamil, Khalid bin al-Walid dan al-Abbas bapa saudara Nabi s.a.w enggan mengeluarkan zakat. Mendengar peristiwa itu Rasulullah s.a.w bersabda: Penolakan Ibnu Jamil tidak lain hanyalah megingkari terhadap nikmat. Dulu dia melarat, lalu Allah menjadikannya kaya. Adapun Khalid, maka kamulah yang bertindak secara kasar terhadapnya. Dia telah menyimpan baju besi dan peralatan perangnya demi perjuangan di jalan Allah. (Para pemungut zakat meminta kepada Khalid agar mengeluarkan zakat dari peralatan perangnya kerana mereka menyangka, peralatan itu barang dagangan yang harus dikeluarkan zakatnya). Khalid berkata: Aku tidak wajib mengeluarkan zakat kepada kamu. Itulah sebabnya mereka melaporkan kepada Rasulullah s.a.w bahawa dia enggan mengeluarkan zakat. Sedangkan al-Abbas, maka zakatnya adalah menjadi tanggungjawabku untuk menyelesaikannya, begitu juga zakat seumpamanya. Kemudian baginda bersabda: Wahai Umar! Tidakkah engkau merasa bahawa seorang bapa saudara itu sama seperti ayahnya?.
537 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah pada setiap bulan Ramadan kepada umat Islam, yaitu sebanyak satu shaa' yaitu satu gantang kurma atau satu shaa' (gantang) gandum. Kewajipan itu dikenakan kepada keseluruhan orang-orang Islam, merdeka ataupun hamba, lelaki ataupun wanita.
538 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Kami biasanya mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu gantang makanan, satu gantang gandum, satu gantang kurma, satu gantang keju atau satu gantang zabib yaitu anggur kering.
539 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan agar zakat fitrah ditunaikan sebelum orang ramai keluar untuk mendirikan sembahyang Hari Raya.
540 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Setiap pemilik emas atau perak yang tidak mengeluarkan zakat akan dipakaikan dengan kepingan-kepingan api pada Hari Kiamat, lalu dia dibakar di bahagian rusuk, dahi dan belakangnya dengan kepingan tersebut dalam Neraka Jahanam. Setiap kali kepingan itu menjadi sejuk, ia akan dipanaskan kembali. Setiap hari menyamai lima puluh ribu tahun ukuran sekarang. Keadaan ini berterusan sehingalah umat manusia diputuskan ke manakah akan ditempatkan, samada ke Surga atau ke Neraka. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan unta yang tidak dikeluarkan zakatnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Begitu juga pemilik unta yang enggan menunaikan zakatnya. Zakat unta ialah susunya ketika diperah. Pada hari Kiamat, pemilik unta-unta tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama untanya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurangan walaupun seekor dari unta-untanya tersebut. Unta-unta peliharaannya akan memijak-mijak dan menggigit pemiliknya. Tatkala unta yang pertama selesai dari menyiksanya, maka unta yang lain pula datang kepadanya. Keadaan ini terjadi dalam satu hari yang mana ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah umat manusia selesai diputuskan ke mana akan ditempatkan, samada ke Surga atau ke Neraka. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lembu dan kambing? Rasulullah s.a.w bersabda: Demikianlah juga pemilik lembu dan kambing yang enggan menunaikan zakatnya. Pada Hari Kiamat pemilik lembu dan kambing tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama lembu dan kambingnya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurangan walaupun seekor lembu dan kambingnya tersebut. Lembu-lembu dan kambing-kambing itu tidak ada yang bertanduk bengkok, tidak ada yang tidak bertanduk atau tidak ada yang bertanduk pecah. Semua lembu-lembu dan kambing tersebut menanduk orang itu yaitu pemiliknya yang enggan membayar zakatnya tadi dengan tanduknya dan memijak-mijak dengan tapak kakinya. Apabila lembu atau kambing yang pertama selesai dari menyiksanya, maka datang pula yang lain kepadanya. Keadaan ini terus-menerus terjadi dalam satu hari yang ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah diselesaikan urusan umat manusia. Lalu dibentangkan jalan kepada umat manusia ke manakah mereka akan ditempatkan, samada ke Surga atau ke Neraka. Ditanyakan lagi: Wahai Rasulullah! Kuda itu ada tiga jenis: Sebagai beban bagi seseorang, sebagai pendinding bagi seseorang dan juga sebagai ganjaran bagi seseorang. Adapun kuda yang menjadi beban bagi seseorang pemiliknya yaitu kuda yang diikat untuk tujuan pameran, bermegah-megah dan memusuhi pendokong Islam. Kuda itu merupakan beban yaitu dosa bagi pemiliknya. Kuda yang menjadi pendinding bagi seseorang pula ialah kuda yang diikat oleh pemiliknya untuk keperluan perjuangan di jalan Allah, kemudian pemilik itu tidak melupakan hak Allah yang terdapat pada punggung dan leher kuda tersebut. Kuda itu merupakan pendinding yaitu penghalang pemiliknya dari api Neraka. Sedangkan kuda yang menjadi ganjaran bagi pemiliknya ialah kuda yang diikat yaitu dipelihara untuk perjuangan di jalan Allah, untuk pendokong Islam, pada tanah yang subur atau taman. Apapun yang dimakan oleh kuda itu dari tanah subur atau taman tersebut, pasti dicatat untuk pemiliknya kebaikan yaitu ganjaran sebanyak yang telah dimakan olah kuda itu dan dicatatkan juga kebaikan untuk pemiliknya sebanyak kotoran dan air kencingnya. Bila tali kekang terputus dan kuda itu meliar yaitu memberontak, ia lari sekali atau dua kali, maka Allah juga akan mencatatkan untuk pemiliknya kebaikan sebanyak langkah-langkah dan kotoran-kotorannya. Jika pemilik kuda itu membawa kudanya pada sebatang sungai, kemudian kuda itu minum dari air sungai tersebut, padahal sebenarnya dia tidak berniat memberi minum kudanya itu, maka Allah mencatatkan untuknya kebaikan sebanyak yang telah diminum oleh kudanya. Baginda ditanya lagi: Wahai Rasulullah! Bagaimana pula dengan kaldai? Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai kaldai, tidak ada sesuatu pun yaitu Wahyu diturunkan kepadaku, kecuali ayat al-Fazzah al-Jami'ah: Yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kebaikan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan mendapat balasannya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya juga.
541 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Aku menghampiri Nabi s.a.w yang sedang duduk di bawah bayangan Kaabah. Apabila melihat aku, baginda bersabda: Demi Tuhan Kaabah. Mereka tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi. Lalu aku menghampiri baginda dan duduk di sampingnya, aku tidak duduk lama di situ lalu aku bangkit sambil bertanya: Wahai Rasulullah! Demi ayah dan ibuku sebagai tebusanmu! Siapakah mereka itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Mereka adalah orang-orang yang paling banyak mempunyai harta kecuali orang yang berbuat begini, begini dan begini yaitu baginda memberi isyarat ke depan, ke belakang, ke kanan dan juga ke kiri. Orang yang ingin berbuat demikian adalah sangat sedikit bilangannya. Setiap pemilik unta, lembu atau kambing yang enggan mengeluarkan zakat. Pada Hari Kiamat, binatang-binatang tersebut akan datang dalam keadaan lebih besar dan lebih gemuk dari asalnya. Kesemuanya akan menanduk pemiliknya dengan tanduk-tanduk dan memijak dengan menggunakan kuku-kukunya. Setelah selesai binatang yang pertama akan diganti pula dengan yang lain dan yang pertama tadi datang kembali kepadanya, sehinggalah seluruh manusia ditentukan tempat masing-masing.
542 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Seandainya aku memiliki emas sebesar bukit Uhud dan didatangkan kepadaku lagi gunung yang ketiga, disamping itu aku memiliki satu dinar, maka yang membuatkan aku suka hanyalah satu dinar yang dapat aku gunakan untuk membayar hutang.
543 Hadits Abu Zar r.a: Diriwayatkan dari al-Ahnaf bin Qais r.a katanya: Pada suatu ketika, aku pergi ke Madinah. Ketika tiba di satu halaqah yaitu lingkungan yang terdapat beberapa orang Quraisy, tiba-tiba datang seorang lelaki yang pakaian kasar, berbadan kasar dan berwajah buruk lalu berhenti berhampiran mereka. Dia berkata: Beritahukanlah kepada orang-orang yang melonggokkan harta kerana tidak mahu membelanjakannya di jalan Allah bahawa batu berbara yang dipanaskan di dalam Neraka Jahanam akan diletakkan pada dada mereka hingga terkeluar tulang dada dari hujung kedua bahunya kemudian diletak pula pada hujung kedua bahunya hingga terkeluar tulang bahu dari dadanya. Batu berbara itu tidak pernah berhenti bergerak. al-Ahnaf berkata: Orang ramai menundukkan kepala masing-masing. Aku tidak dapati seorang pun di antara mereka yang menyahutinya lalu orang itu berlalu. Aku mengekorinya hinggalah dia berhenti di tempat satu rombongan. Lalu aku berkata kepadanya: Aku tidak melihat pada mereka kecuali rasa tidak suka terhadap apa yang engkau katakan kepada mereka. Orang itu berkata: Mereka tidak mengetahui atau memikirkan apa pun. Dulu orang yang kucintai, Abu al-Qasim yaitu Rasulullah s.a.w memanggilku lalu aku pun menyahut panggilan baginda. Baginda s.a.w bertanya kepadaku: Adakah engkau melihat bukit Uhud? Aku melihat ke arah matahari dan aku menyangka baginda akan mengutusku untuk suatu keperluan. Aku pun menjawab: Aku melihatnya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku tidak akan merasa tenang sekalipun aku mempunyai emas sebesarnya yang dapat aku belanjakan kesemuanya kecuali tinggal tiga dinar. Kemudian orang-orang itu mengumpulkan harta dunia dan mereka itu tidak mengetahui atau memikirkan apa pun. al-Ahnaf bertanya: Kenapa dengan engkau dan saudara-saudaramu dari Quraisy? Kenapa engkau tidak berjumpa mereka dan memintanya dari mereka? Orang itu berkata: Tidak, demi Tuhanmu! Aku tidak akan meminta keperluan dunia dari mereka dan juga meminta keputusan dari mereka mengenai urusan agama sehinggalah aku menemui Allah dan RasulNya.
544 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda dengan menyampaikan firman Allah s.w.t: Wahai anak Adam! Berbelanjalah kamu, pasti Aku akan membelanjakanmu dan Rasulullah s.a.w menyambung: Anugerah Allah itu melimpah-ruah lagi cepat. Ibnu Numair r.a berkata: Penuh melimpah-ruah dan tidak mengurangi dariNya sedikitpun samada malam ataupun siang.
545 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Seorang lelaki dari Bani Uzrah memerdekakan hambanya dengan menggantungkan kepada kematiannya. Hal itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bertanya: Adakah engkau mempunyai harta lain? Orang itu menjawab: Tidak ada! Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah yang ingin membelinya dariku? Lalu Nu'aim bin Abdullah al-Adawi membelinya dengan harga lapan ratus dirham. Kemudian Rasulullah s.a.w membawa hasil jualan hamba tersebut dan menyerahkannya kepada pemiliknya tadi. Kemudian baginda bersabda: Mulailah dengan dirimu dan bersedekahlah kepada dirimu. Jika ada baki, maka berikanlah kepada kaum kerabatmu dan jika ada lagi yang lebih setelah kerabatmu, maka begini dan begini. Jabir menjelaskan: Orang di depanmu, di sebelah kananmu dan di sebelah kirimu.
546 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Dulu, Abu Talhah r.a adalah salah seorang dari kaum Ansar yang paling banyak hartanya di Madinah. Harta yang paling disayanginya ialah kebun Bairaha yang menghala tepat ke masjid. Rasulullah s.a.w selalu masuk ke kebun itu untuk minum air yang enak terdapat di situ. Anas berkata lagi: Ketika turun ayat Yang bermaksud: Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Kemudian Abu Talhah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Allah telah berfirman dalam kitabNya: Yang bermaksud: Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Sedangkan harta yang paling kucintai adalah kebun Bairaha, lalu kebun itu aku sedekahkan kerana Allah. Aku mengharapkan kebaikan dan bekalannya yaitu pahalanya di akhirat di sisi Allah. Dari itu, wahai Rasulullah! Manfaatkanlah kebun itu semahumu. Rasulullah s.a.w pun bersabda: Eloklah! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan! Aku telah mendengar apa yang engkau katakan mengenai kebun itu dan pendapatku, seeloknya kebun itu engkau berikan kepada kaum kerabatmu. Abu Talhah pun membahagikan kebun itu dan memberikan kepada kaum kerabat dan anak-anak saudaranya.
547 Diriwayatkan dari Maimunah binti al-Haris r.a katanya: Sesungguhnya aku telah memerdekakan seorang hamba pada zaman Rasulullah s.a.w. Ketika hal itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Seandainya hamba itu engkau berikan kepada ibu-ibu saudaramu, tentu lebih besar lagi pahala untukmu.
548 Diriwayatkan dari Zainab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Bersedekahlah kamu wahai kaum wanita meskipun dari perhiasan kamu. Setelah aku kembali kepada Abdullah r.a aku berkata: Engkau adalah seorang lelaki yang tidak mempunyai banyak harta, sedangkan Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kami supaya bersedekah. Oleh itu pergilah berjumpa baginda dan tanyakanlah sekiranya benar begitu yaitu adakah memadai aku bersedekah kepadamu. Sekiranya tidak, aku akan memberikannya pula kepada orang lain. Zainab berkata: Abdullah berkata kepadaku: Engkau sahajalah yang pergi menemui baginda! Zainab berkata: Lalu aku pun berangkat. Ternyata di hadapan pintu rumah Rasulullah s.a.w sudah ada seorang wanita dari golongan Ansar yang sama tujuannya denganku. Zainab berkata lagi: Rupanya pada waktu itu Rasulullah s.a.w merasa segan. Zainab berkata: Lantas Bilal keluar menemui kami. Kami pun berkata kepadanya: Temuilah Rasulullah s.a.w dan sampaikan kepada baginda bahawa ada dua orang wanita di hadapan pintu yang ingin bertanya: Adakah memadai sedekah mereka berdua diberikan kepada suami mereka dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam tanggungan mereka? Tetapi janganlah beritahu siapa kami. Zainab berkata: Lalu Bilal masuk menemui Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bertanya kepada Bilal: Siapakah mereka berdua? Dia menjawab: Seorang wanita dari golongan Ansar dan Zainab. Rasulullah s.a.w bertanya: Zainab yang mana satu? Bilal menjawab: Isteri Abdullah. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Mereka berdua mendapatkan dua ganjaran yaitu ganjaran kerana kaum kerabat dan ganjaran sedekah.
549 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Wahai Rasulullah! Adakah aku akan mendapat pahala bila aku memberi nafkah kepada anak Abu Salamah, sedangkan aku tidak mahu membiarkan mereka begini dan begini yaitu ke sana sini mencari rezeki, walaupun begitu mereka adalah anak-anakku. Rasulullah s.a.w bersabda: Benar, engkau akan mendapat pahala atas apa yang engkau nafkahkan kepada mereka.
550 Diriwayatkan dari Abu Mas'ud al-Badri r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang muslim itu apabila memberikan nafkah kepada keluarganya dan dia mengharapkan pahala darinya, maka nafkahnya itu dikira sebagai sedekah.
551 Diriwayatkan dari Asma' r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Ibuku datang kepadaku dalam keadaan ingin menyambung hubungan silaturrahim, inginkan kesenangan dan kemewahan yang ada kepadaku serta meminta dariku. Bolehkah aku menyambungkan hubungan dengannya? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Boleh.
552 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Benar!.
553 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Pada setiap orang muslim terdapat sedekah. Baginda ditanya: Apa pendapat kamu jika seseorang itu tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan? Rasulullah s.a.w bersabda: Dia berusaha mengunakan kedua tangannya, sehingga dia dapat memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah. Baginda ditanya lagi: Apa pendapat kamu jika dia tidak mampu? Rasulullah s.a.w bersabda: Dia mampu membantu orang yang memerlukan pertolongan. Baginda ditanya lagi: Apa pendapat kamu jika dia juga tidak mampu? Rasulullah s.a.w bersabda: Dia mampu melakukan kebaikan. Baginda ditanya lagi: Apa pendapat kamu jika dia tidak mampu melakukannya juga? Rasulullah s.a.w bersabda: Dia menahan diri dari melakukan keburukan, maka itu juga dikira sebagai sedekah.
554 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Pada setiap hari terdapat sedekah di setiap sendi manusia ketika matahari terbit. Seterusnya baginda bersabda: Berlaku adil di antara dua orang manusia adalah sedekah, membantu seseorang naik ke atas binatang tunggangannya atau mengangkatkan barang-barangnya ke atas belakang binatang tunggangannya juga adalah sedekah. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju sembahyang adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalan adalah sedekah.
555 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hari ketika umat manusia memasuki waktu pagi, pasti ada dua Malaikat turun. Satu di antara keduanya akan mengucapkan: Ya Allah, kurniakanlah ganti kepada orang yang berbelanja yaitu menggunakan harta untuk beribadat, untuk kepentingan keluarga, tetamu, bersedekah dan sebagainya. Sedangkan Malaikat yang satu lagi akan mengucapkan: Ya Allah, berikanlah kerusakan yaitu kerugian kepada orang yang tidak mahu berbelanja.
556 Diriwayatkan dari Harithah bin Wahab r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bersedekahlah kamu sekalian kerana sudah semakin hampir waktunya seorang lelaki berjalan membawa barang yang ingin disedekahkannya. Lalu orang yang ingin diberikan sedekah berkata: Seandainya engkau membawa sedekahmu kepadaku kelmarin, tentu aku menerimanya. Adapun sekarang ini aku tidak lagi memerlukannya. Sehingga akhirnya lelaki itu tidak juga bertemu orang yang ingin menerima sedekahnya.
557 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, bahawa baginda s.a.w telah bersabda: Umat manusia akan didatangi suatu zaman di mana seorang lelaki berjalan ke sana sini membawa sedekah emas tetapi tidak ada seorang pun yang ingin menerimanya. Dapat dilihat juga seorang lelaki yang diikuti oleh empat puluh orang wanita yang berlindung di bawahnya kerana bilangan kaum lelaki berkurangan dan bilangan kaum wanita bertambah.
558 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hari Kiamat tidak akan berlaku sebelum harta menjadi banyak serta melimpah-ruah sehingga ada seseorang yang mengeluarkan zakat hartanya tetapi tidak bertemu seorangpun yang ingin menerimanya dan sehinggalah Tanah Arab kembali menjadi padang-padang gembala dan sungai-sungai.
559 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sedekah seseorang itu tidak dikira kecuali dari hasil atau harta yang baik. Allah tidak menerima sedekah kecuali dari hasil yang baik dan sudah pasti Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih) akan menerima hasil sedekah itu dari kananNya walaupun sedekah itu hanya berupa sebiji kurma. Lalu sedekah tersebut dijaga di sisi Allah Yang Maha Pengasih sehingga menjadi lebih besar dari gunung sebagaimana seseorang di antara kamu membesarkan anak kuda atau anak untanya.
560 Diriwayatkan dari Adiy bin Hatim r.a katanya: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu yang mampu membuat pendinding yaitu penghalang dari azab Neraka walaupun hanya dengan sebelah buah kurma maka lakukanlah.
561 Diriwayatkan dari Abu Mas'ud r.a katanya: Kami diperintahkan supaya bersedekah. Ibnu Mas'ud berkata: Lalu kami mengambil upah mengangkut barangan dan kami bersedekah dari upah pekerjaan tersebut. Abu Aqil bersedekah dengan setengah shaa' (gantang). Ibnu Mas'ud berkata: Ada pula yang membawa sedekah lebih banyak dari beliau. Lantas orang-orang munafik berkata: Sesungguhnya Allah tidak memerlukan hasil sedekah ini. Orang yang melakukannya itu hanyalah bermaksud untuk menunjuk-nunjuk. Kemudian turunlah ayat: Yang bermaksud: Orang-orang munafik yaitu orang-orang yang mencela orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan mencela orang-orang yang tidak memperolehi harta benda untuk disedekahkan kecuali sekadar kemampuannya.
562 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasululullah s.a.w bersabda: Ingatlah! Seseorang yang memberi pinjam unta kepada seorang penghuni rumah dan unta tersebut mampu mengeluarkan susunya pada pagi dan petang. Sesungguhnya pahala pinjaman unta itu adalah terlalu besar.
563 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Dari Nabi s.a.w, katanya: Baginda telah melarang dan membuat beberapa tegahan. Baginda bersabda: Sesiapa yang memberi pinjam unta yaitu untuk diambil susu dan dimanfaatkannya bagi tempoh masa tertentu, maka unta itu memasuki waktu pagi dengan membawa pahala sedekah dan memasuki waktu petang dengan membawa pahala sedekah, yaitu hasil susunya pada pagi dan petang.
564 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Dari Nabi s.a.w, katanya: Baginda bersabda: Perumpamaan orang yang pemurah dan orang yang bersedekah seperti seorang lelaki yang memakai dua helai jubah atau dua helai baju besi bermula dari dadanya sehingga ke atas. Apabila orang yang berbelanja (Dalam riwayat yang lain mengatakan: Apabila orang yang bersedekah) ingin memberi sedekah, maka baju itu longgar buatnya dan apabila orang bakhil ingin bersedekah, maka baju itu menjadi rimas dan panas sehingga menutupi jari-jarinya serta menghapus jejaknya. Abu Hurairah berkata: Orang yang bakhil ingin melonggarkan pakaiannya tetapi dia tidak mampu melonggarkannya.
565 Hadits Abu Hurairah r.a: Diriwayatkan dari Nabi s.a.w katanya: Seorang lelaki berkata: Aku akan memberikan sedekah pada malam ini. Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan meletakkannya di tangan seorang perempuan yang berzina yaitu pelacur. Keesokannya orang ramai mula memperkatakan mengenai perempuan tersebut yang telah diberikan sedekah pada malam tadi. Lelaki itu berkata: Wahai Tuhanku! Hanya buatMu segala puji-pujian! Sedekahku telah aku berikan kepada wanita yang berzina. Aku akan bersedekah lagi, lalu dia keluar membawa sedekahnya dan meletakkannya di tangan orang kaya. Keesokan harinya orang ramai mula memperkatakan mengenai seorang kaya yang telah diberikan sedekah. Lelaki itu berkata: Wahai Tuhanku! Hanya buatMu segala puji-pujian. Sedekahku telah aku berikan kepada seorang yang kaya. Aku akan bersedekah lagi, lantas dia keluar dengan membawa sedekah dan meletakkannya di tangan seorang pencuri. Esoknya orang ramai mulai bercakap-cakap mengenai seorang pencuri telah diberikan sedekah. Dia berkata: Wahai Tuhanku! Hanya buatMu segala puji-pujian! Sedekahku telah aku berikan kepada seorang perempuan zina, pada orang kaya dan pada pencuri. Lalu dia didatangi seseorang dan dikatakan kepadanya: Sedekahmu benar-benar telah diterima. Boleh jadi perempuan zina itu berhenti dari berzina kerana sedekahmu. Orang kaya itu pula dapat mengambil pengajaran dan mahu membelanjakan sebahagian dari harta yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya dan mungkin juga pencuri itu akan berhenti dari mencuri kerana sedekahmu itu.
566 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Bendahari Islam yang amanah dan melaksanakan (atau kemungkinan juga baginda bersabda: Menunaikan) apa yang diperintahkan. Dia memberikannya secara sempurna dan berganda serta dalam keadaan senang hati, dia menyerahkan kepada orang yang diperintahkan supaya memberikannya. Maka dia juga dikira sebagai salah seorang yang bersedekah.
567 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang isteri membelanjakan dari makanan yang terdapat di rumahnya tanpa melakukan kerusakan, maka dia akan mendapat ganjaran dari apa yang telah dibelanjakannya dan suaminya juga beroleh pahala dari apa yang telah diusahakan. Begitu juga Bendahari yang amanah, mendapat pahala samalah seperti mereka tanpa mengurangi sedikitpun pahala dari suami isteri tersebut.
568 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seorang wanita tidak boleh berpuasa ketika suaminya ada bersama kecuali dengan izin suaminya. Dia juga tidak boleh mengizinkan orang lain masuk ke rumahnya ketika suaminya ada bersama kecuali mendapat keizinan suaminya dan apapun yang dia belanjakan dari hasil kerja suaminya tanpa perintah atau izin suaminya itu, maka separuh dari pahalanya adalah untuk suaminya.
569 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang membelanjakan sepasang kuda, unta atau sebagainya untuk digunakan dalam perjuangan di jalan Allah, maka namanya diseru dari dalam Surga: Wahai hamba Allah! Pintu ini adalah lebih baik. Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli sembahyang (orang yang sempurna sembahyangnya) maka dia diseru dari Bab Solat (pintu sembahyang). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Jihad (orang yang berjuang di jalan Allah) maka dia diseru dari Bab Jihad (pintu jihad). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Sadaqah (orang yang suka bersedekah) maka dia diseru dari Bab Sadaqah (pintu sedekah) dan sesiapa yang tergolong dari golongan orang yang suka berpuasa maka dia akan diseru dari Bab Ar-Rayyan (pintu Ar-Rayyan). Abu Bakar As-Siddiq bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah setiap orang semestinya akan diseru dari pintu-pintu tersebut. Adakah tidak mungkin seseorang itu diseru dari kesemua pintu? Rasulullah s.a.w bersabda: Benar! Aku berharap bahawa engkau termasuk di antara orang yang namanya diseru dari semua pintu.
570 Diriwayatkan dari Asma' binti Abu Bakar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadaku: Berinfaqlah yaitu berbelanjalah atau bersedekahlah dan jangan mengungkit-ungkitnya kerana Allah akan menghitung nikmatNya ke atas kamu.
571 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Wahai wanita-wanita Islam! Janganlah kamu memperlekeh-lekehkan pemberian jiran tetangga walaupun hanya berupa kuku kambing.
572 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naunganNya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid yaitu sangat mencintainya dan selalu melakukan sembahyang berjemaah, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah yaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia berkata: Aku takut kepada Allah!, seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya.
573 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau bersedekah ketika engkau masih sihat dan harta tersebut masih disayangi, engkau bimbang menjadi fakir dan bercita-cita untuk menjadi kaya. Jangan kamu tangguhkannya hingga roh sampai di halkum. Dalam keadaan tersebut barulah engkau berkata: Berikannya kepada Si Polan ini dan Si Polan itu. Sememangnya itu adalah hak Si Polan.
574 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w sedang berdiri di atas mimbar. Baginda memperkatakan mengenai sedekah dan menjaga diri dari meminta-minta. Baginda bersabda: Tangan yang berada di atas itu lebih baik dari tangan yang berada di bawah. Tangan yang berada di atas adalah yang memberi manakala yang berada di bawah adalah tangan yang meminta.
575 Diriwayatkan dari Hakim bin Hizam r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sedekah yang paling utama atau sedekah yang paling baik ialah sedekah dari orang kaya dan tangan yang berada di atas itu lebih baik dari tangan yang berada di bawah serta mulakanlah dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu.
576 Diriwayatkan dari Muawiyah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Aku hanyalah bendahari. Sesiapa yang aku berikannya dalam keadaan senang hati maka dia akan diberkati dalam pemberian itu dan sesiapa yang aku berikannya kerana dia meminta maka dia bagaikan orang yang makan tetapi tidak pernah kenyang.
577 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang yang miskin itu bukanlah orang yang berjalan ke sana sini meminta-minta kepada manusia, kemudian diberikan dengan sesuap dua makanan dan sebiji dua buah kurma. Para Sahabat bertanya: Kalau begitu siapakah orang miskin yang sebenarnya wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang tidak mendapati kesenangan yang mencukupi buatnya tetapi mereka tidak tahu kerana kesabaran dia menyembunyikan keadaannya dan tidak meminta-minta kepada orang lain, dia akan diberikan sedekah tanpa dia meminta dari orang lain.
578 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: Peminta sedekah tidak akan berhenti dari meminta-minta sehinggalah bertemu dengan Allah dan pada saat itu tidak ada sepotong daging pun di wajahnya.
579 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Jika sekiranya salah seorang di antara kamu berangkat pada waktu pagi untuk mencari kayu lalu dia memikulnya di atas belakangnya. Kemudian dia bersedekah dengannya dan tidak mengharapkan pemberian dari orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya dari meminta-minta dari orang lain. Tanpa mengira samada orang itu memberi kepadanya ataupun tidak kerana tangan yang berada di atas itu lebih mulia dari tangan yang berada di bawah dan mulailah dengan memberi nafkah atau mendidik orang yang berada di bawah tanggunganmu terlebih dahulu.
580 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w memberikan sesuatu kepada aku, lalu aku berkata: Berikanlah kepada orang yang lebih memerlukannya berbanding dengan diriku. Pada kali yang berikutnya baginda memberikan wang kepada aku. Aku berkata: Berikanlah kepada orang yang lebih memerlukannya berbanding dengan diri aku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ambillah! Apa jua pun harta yang didatangkan kepadamu sedangkan kamu tidak merasa tamak dan tidak meminta-minta. Oleh itu ambillah sekiranya kamu tidak merasa begitu dan janganlah engkau biarkan nafsumu mengikutinya.
581 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Hati orang tua menjadi muda kerana mencintai dua perkara: Mencintai hidup dan harta.
582 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Anak Adam menjadi semakin tua, tetapi ada dua perkara darinya yang akan menjadikannya semakin muda yaitu: Tamak kepada harta dan tamak kepada umur.
583 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat.
584 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya anak Adam memiliki satu lembah yang penuh dengan harta, pasti dia masih ingin memiliki yang sepertinya lagi. Sedangkan yang memenuhi diri anak Adam itu hanyalah tanah (kubur) dan Allah mengampunkan atau menerima taubat orang yang ingin bertaubat.
585 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Kekayaan itu bukanlah kerana mempunyai banyak harta tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan jiwa.
586 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w berdiri sambil berkhutbah kepada orang ramai. Baginda bersabda: Tidak! Demi Allah! Aku tidak bimbang ke atas kamu sekalian wahai manusia kecuali mengenai keindahan dunia yang dikeluarkan oleh Allah untuk kamu sekalian. Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah kebaikan akan mendatangkan keburukan? Rasulullah s.a.w diam sejenak kemudian bersabda: Apa yang engkau tanyakan tadi? Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya: Wahai Rasululllah! Adakah kebaikan akan mendatangkan keburukan? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesungguhnya kebaikan yang sebenar-benarnya sahaja hanya akan mendatangkan kebaikan. Adakah sesuatu yang engkau dapat dari keindahan dunia boleh dikatakan ianya kebaikan? Setiap apa yang tumbuh pada musim bunga itu akan membunuh kerana kekenyangan atau hampir membunuh kecuali ternakan yang memakan daun-daun. Ternakan itu makan hingga kedua perutnya penuh kemudian menghadap ke arah matahari untuk membuang kotoran najis atau kencing seterusnya kembali makan semula. Sesiapa yang mengambil harta sesuai mengikut haknya, maka dia diberkati dengan harta itu dan sesiapa yang mengambil harta tidak mengikut haknya, maka dia seperti orang yang makan tapi tidak pernah kenyang.
587 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Orang ramai dari golongan Ansar meminta-minta dari Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memberi permintaan mereka. Kemudian mereka meminta lagi. Baginda memberi lagi permintaan mereka, sehinggalah habis apa yang ada pada baginda. Baginda bersabda: Apa pun kebaikan yang ada padaku, maka aku tidak akan menyembunyikannya dari kamu sekalian. Sesiapa yang menjaga kehormatan diri, maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya. Sesiapa yang berpada yaitu berpuas hati dengan apa yang ada maka Allah mencukupkannya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menganugerahkannya kesabaran. Seseorang itu tidak dikurniakan sesuatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas selain dari sabar.
588 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah berdoa: yang bermaksud: Ya Allah, semoga Engkau kurniakan rezeki kepada keluarga Muhammad s.a.w bekalan keperluan seharian.
589 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Aku pernah berjalan bersama Rasulullah s.a.w. Baginda memakai selendang Najran yang kasar hujungnya. Tiba-tiba seorang Arab desa mendapatkan baginda lalu menarik selendang baginda dengan kuat. Ketika aku memandang ke bahagian leher Rasulullah s.a.w, ternyata hujung selendang itu memberi kesan padanya akibat kuatnya tarikan tersebut. Orang itu kemudian berkata: Wahai Muhammad! Berikanlah kepada aku sebahagian dari harta Allah yang ada padamu. Rasulullah s.a.w berpaling kepadanya lalu tertawa dan memberikan sesuatu kepadanya.
590 Diriwayatkan dari al-Miswar bin Makhramah r.a katanya: Rasulullah s.a.w membahagi-bahagikan pakaian yang dipakai sebelah luar pakaian, tetapi tidak memberikan apa-apa pun kepada Makhramah. Lalu Makhramah berkata kepadaku: Wahai anakku! Marilah berangkat bersamaku menemui Rasulullah s.a.w. Lalu aku berangkat bersamanya. Dia berkata: Masuklah dan panggilkan baginda supaya berjumpa aku. Lantas aku memanggil Rasulullah s.a.w. Ketika keluar, baginda membawa selonggok pakaian sambil bersabda: Aku memang menyimpan ini untukmu. Dia memandang baginda dan baginda bersabda lagi: Mudah-mudahan Makhramah redha dengan pakain ini.
591 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya orang ramai dari golongan Ansar telah bercakap-cakap mengenai Peperangan Hunain sewaktu Allah menganugerahkan harta-harta dari kabilah Hawazin kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy. Melihatkan keadaan itu, mereka pun berkata: Semoga Allah mengampuni Rasulullah. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy dan meninggalkan kami yaitu tidak memberi apa-apa kepada kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Anas bin Malik berkata: Kata-kata tersebut disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memerintahkan agar memanggil golongan Ansar. Baginda menempatkan mereka dalam sebuah khemah dari kulit. Setelah mereka semua berkumpul, Rasulullah s.a.w datang kemudian bertanya: Adakah percakapan yang sampai kepadaku datang dari kamu sekalian? Orang yang bijak di kalangan golongan Ansar menjawab: Orang-orang tua di antara kami tidak mengatakan apa-apa wahai Rasulullah. Pemuda-pemuda dari kalangan kami yang mengatakan: Semoga Allah mengampuni RasulNya. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada orang Quraisy dan meninggalkan kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku memberikan kepada orang-orang yang baru saja meninggalkan kekufuran untuk memujuk hati mereka agar tetap dengan Islam. Tidakkah kamu sekalian redha jika mereka beredar dengan membawa harta, sedangkan kamu kembali ke tempat kamu bersama Rasulullah? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang yaitu Rasulullah pasti lebih baik timbangannya dari apa yang mereka bawa yaitu harta. Orang-orang Ansar itu berkata: Tentu sekali kami redha wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kamu sekalian akan menempuhi keadaan yang kamu semua tidak menyukainya. Oleh itu bersabarlah sehingga kamu bertemu Allah dan RasulNya. Sesungguhnya aku akan berada di sebuah telaga menunggu kamu sekalian pada Hari Kiamat. Mereka berkata: Kami akan bersabar.
592 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah membahagikan harta rampasan perang setelah memenangi Peperangan Hunain kepada orang-orang yang ingin dijinakkan hatinya yaitu baru saja memeluk Islam agar tetap dengan keislamannya. Kemudian baginda mendengar khabar golongan Ansar juga ingin mendapatkan apa yang diperolehi oleh orang-orang lain. Maka Rasulullah s.a.w berdiri dan menyampaikan khutbah kepada mereka. Setelah memuji-muji Allah, baginda bersabda: Wahai golongan Ansar! Tidakkah aku bertemu kamu sekalian dalam keadaan sesat, lalu Allah pandukan kamu dengan perantaraan aku? Tidakkah aku menemui kamu sekalian dalam keadaan miskin, lalu Allah menjadikan kamu kaya dengan perantaraan aku? Tidakkah aku menemui kamu sekalian dalam keadaan berpecah-belah, lalu Allah menyatukan kamu dengan perantaraan aku? Mereka berkata: Allah dan RasulNya lebih berhak mengungkit-ungkit. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengapa kamu tidak menjawab pertanyaanku. Mereka berkata: Allah dan RasulNya lebih berhak mengungkit-ungkit pemberian. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh berkata begitu dan begini sedangkan perkara sebenarnya adalah begini dan begini. Seterusnya baginda menyebut beberapa perkara. Amru yaitu perawi Hadits menganggap perkara-perkara tersebut tidak perlu di hafaz. Selanjutnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidakkah kamu sekalian redha jika orang lain beredar dengan membawa kambing-kambing dan unta, sedangkan kamu beredar dengan membawa Rasulullah ke tempat kamu? Golongan Ansar itu seperti pakaian dalam manakala orang lain seperti pakaian luar (Ertinya orang Ansarlah yang paling dekat di hati Nabi s.a.w). Kalau tidak kerana Hijrah, tentu aku adalah salah seorang di antara gologan Ansar. Seandainya orang ramai melalui lembah dan celah-celah, tentu aku akan melalui lembah dan celah-celah golongan Ansar. Kamu pasti akan didatangi satu keadaan yang tidak disukai selepas aku wafat. Oleh itu bersabarlah hingga kamu bertemu denganku di sebuah telaga pada hari Kiamat.
593 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Pada hari berlakunya peperangan Hunain, Rasulullah s.a.w telah mengutamakan beberapa orang Sahabat semasa pembahagian. Baginda memberikan seratus ekor unta kepada al-Aqra' bin Haabis. Begitu juga kepada Uyainah dan beberapa orang bangsawan Arab. Rasulullah s.a.w mengutamakan mereka dalam pembahagian. Lalu seorang lelaki berkata: Demi Allah! Sesungguhnya ini adalah pembahagian yang sama sekali tidak adil dan tidak dimaksudkan untuk mencari keredaan Allah. Aku berkata: Demi Allah! Aku akan menyampaikannya kepada Rasulullah s.a.w. Aku pun datang memberitahu Rasulullah s.a.w mengenai kata-kata lelaki tersebut. Setelah mendengarnya wajah baginda berubah dan kemudiannya baginda bersabda: Siapa lagi yang mampu berbuat adil, jika Allah dan RasulNya tidak berlaku adil? Kemudian baginda bersabda lagi: Semoga Allah memberikan rahmat kepada Nabi Musa. Dia telah disakiti oleh kaumnya lebih banyak dari ini tetapi dia tetap bersabar. Aku berkata: Aku tidak akan menyampaikan apa-apa pun percakapan kepada baginda lagi selepas peristiwa tersebut.
594 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w di Ja'ranah setelah kembali dari Peperangan Hunain. Pada pakaian Bilal terdapat perak dan Rasulullah s.a.w mengambil darinya untuk dibahagikan kepada orang ramai. Lelaki yang datang itu berkata: Wahai Muhammad! Kamu hendaklah berlaku adil. Rasulullah s.a.w bersabda: Celakalah kamu! Siapa lagi yang lebih berlaku adil? Jika aku tidak adil. Pasti kamu yang rugi, jika aku tidak berlaku adil. Umar bin al-Khattab r.a berkata: Biarkan aku membunuh si munafik ini, wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Aku berlindung dengan Allah dari kata-kata manusia bahawa aku membunuh sahabatku sendiri. Sesungguhnya orang ini dan teman-temannya membaca al-Quran tetapi tidak melampaui kerongkong mereka yaitu tidak mengambil faedah dari apa yang mereka baca bahkan mereka hanya sekadar membacanya sahaja. Mereka menyudahi bacaan al-Quran sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan.
595 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Ali yang menjadi utusan di Yaman, mengirimkan emas yang belum diproses kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda membahagikannya kepada empat atau beberapa orang yaitu al-Aqra' bin Haabis, Uyainah bin Badr al-Fazari, Alqamah bin Ulasah al-Amiri, kemudian kepada seorang dari Bani Kilab yaitu Zaid al-Khair At-Tha'ie, juga kepada seorang dari Bani Nabhan. Orang-orang Quraisy marah dan berkata: Engkau memberikannya kepada pemimpin-pemimpin Najd, tetapi meninggalkan kami yaitu tidak memberikannya kepada kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Aku lakukannya untuk memujuk hati mereka. Setelah itu datang seorang lelaki yang berjanggut tebal dan menonjol rahangnya. Manakala kedua matanya cengkung dan dahinya pula menonjol keluar. Kepalanya juga botak yaitu kesan cukur. Dia berkata: Takutilah Allah, wahai Muhammad! Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa lagi yang lebih taat kepada Allah kiranya aku menderhakaiNya? Tidakkah Dia mempercayaiku atas penduduk bumi, sedangkan engkau tidak mempercayaiku? Lalu lelaki itu beredar. Seorang di antara orang ramai meminta izin untuk membunuh lelaki tersebut. Ada yang mengatakan bahawa lelaki tersebut adalah Khalid bin al-Walid, tetapi Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di antara kaumku ini, ada orang-orang yang membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka yaitu tidak mengambil faedah dari apa yang mereka baca bahkan mereka hanya sekadar membacanya sahaja. Mereka mampu membunuh orang Islam dan membiarkan penyembah berhala hidup. Mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Jika sekiranya aku menemui mereka, pasti aku bunuh mereka seperti terbunuhnya kaum Aad.
596 Diriwayatkan dari Ali r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Pada akhir zaman akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akalnya. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka adalah manusia yang terbaik. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya, membunuh mereka ada pahalanya di sisi Allah pada Hari Kiamat.
597 Hadits Sahl bin Hunaif r.a: Diriwayatkan dari Yusair bin Amr katanya: Aku bertanya kepada Sahl bin Hunaif: Adakah engkau pernah mendengar Nabi s.a.w menceritakan tentang Khawarij? Sahl menjawab: Aku mendengarnya sambil menunjuk dengan tangannya ke arah timur. Suatu golongan membaca al-Quran dengan lidah mereka, tetapi tidak sampai ke otak mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan.
598 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Suatu ketika Hasan bin Ali r.a telah mengambil sebiji kurma dari kurma yang disedekah lalu memasukkannya ke dalam mulut. Tetapi Rasulullah s.a.w melarang dengan sabda baginda: Hoi! Hoi! Buang itu! Tidakkah engkau tahu kita tidak boleh makan sedekah?.
599 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Pada suatu hari aku kembali kepada keluargaku dan mendapati sebiji kurma telah terjatuh di atas perbaringanku. Aku mengambilnya untuk dimakan tetapi kerana bimbang kurma itu kurma sedekah, aku pun membuangnya.
600 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w telah menemui sebiji kurma lalu bersabda: Seandainya kurma itu bukan dari kurma sedekah, tentu aku telah memakannya.
601 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Barirah telah menghadiahkan daging yang disedekahkan kepadanya, kepada Rasulullah s.a.w. Baginda pun bersabda: Daging itu merupakan sedekah baginya tetapi bagi kami ianya merupakan hadiah.
602 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Nabi s.a.w telah dibawakan daging lembu dan dikatakan kepadanya: Ini adalah daging yang telah disedekahkan kepada Barirah. Rasulullah s.a.w bersabda: Baginya daging itu merupakan sedekah tetapi bagi kami ianya merupakan hadiah.
603 Diriwayatkan dari Ummu Atiyyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengirimkan kepadaku seekor kambing yang telah disedekahkan. Aku telah mengirimkan sebahagian darinya kepada Saidatina Aisyah r.a. Ketika Rasulullah s.a.w datang menemui Saidatina Aisyah r.a baginda bersabda: Adakah kamu mempunyai sesuatu untuk dimakan? Beliau menjawab: Tidak kecuali Nusaibah yaitu Ummu Atiyyah telah kirimkan kepada kita sebahagian kambing yang engkau telah kirimkan kepadanya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kambing itu telah mencapai tempatnya yaitu hukum sedekah bertukar menjadi hadiah.
604 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w apabila diberi makanan, baginda akan bertanya terlebih duhulu mengenainya. Jika dikatakan hadiah, baginda akan memakannya dan jika dikatakan sedekah baginda tidak akan memakannya.
605 Diriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa r.a katanya: Rasulullah s.a.w apabila didatangi oleh orang yang membawa sedekah, baginda mengucapkan kalimah: yang bermaksud: Ya Allah! Rahmatilah mereka. Ketika ayahku Abu Aufa datang membawa sedekah baginda mengucapkan kalimah: yang bermaksud: Ya Allah! Rahmatilah keluarga Abu Aufa.

PUASA
606 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Surga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.
607 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah menyebut tentang bulan Ramadan dengan sabdanya: Janganlah kamu berpuasa sebelum kamu melihat anak bulan Ramadan dan janganlah kamu berbuka sebelum kamu melihat anak bulan Syawal. Sekiranya ia dilitupi awan, hendaklah kamu menghitungnya.
608 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu melihat anak bulan Ramadan, hendaklah kamu berpuasa. Apabila kamu melihat anak bulan Syawal, hendaklah kamu berbuka. Jika ianya dilitupi terhadap kamu, berpuasalah selama tiga puluh hari.
609 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa.
610 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersumpah tidak akan menemui sebahagian isteri-isteri baginda selama sebulan. Namun apabila berlalu dua puluh sembilan hari, baginda telah menemui mereka. Kemudian baginda diingatkan: Wahai Rasulullah! Engkau telah bersumpah tidak akan menemui kami selama sebulan. Baginda pun menjawab: Dalam sebulan itu ada yang mempunyai dua puluh sembilan hari.
611 Diriwayatkan dari Abu Bakrah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Dua bulan yang terdapat Hari Raya, tidak mengurangkan jumlahnya. Yaitu bulan Ramadan dan Zulhijah.
612 Diriwayatkan dari Adiy bin Hatim r.a katanya: Ketika turunnya ayat: Yang bermaksud: Sehingga nyata bagimu benang yang putih yaitu cahaya siang dari benang yang hitam yaitu kegelapan malam atau fajar. Adiy bin Hatim berkata kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Aku telah meletakkan dua tali igal, satu berwarna putih dan satu lagi berwarna hitam, sama-sama di bawah bantalku supaya aku dapat mengenali antara waktu malam dan waktu siang dengan mudah. Rasulullah s.a.w bersabda: Bantalmu itu sangat lebar. Sesungguhnya maksud benang putih dan benang hitam itu adalah waktu menjelang pagi dan waktu menjelang malam yaitu gelapnya malam.
613 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Ketika turunnya ayat: Yang bermaksud: Sehingga nyata bagimu benang yang putih dari benang yang hitam. Beliau berkata: Seorang lelaki telah mengambil seutas benang yang berwarna putih dan seutas lagi berwarna hitam. Lalu beliau terus makan sehingga kedua benang tersebut kelihatan jelas olehnya. Sehingga Allah menurunkan ayat yang berikutnya: Yang bermaksud: Yaitu fajar. Sebagai keterangan bagi ayat sebelumnya.
614 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila Bilal memperdengarkan azan pada malam hari, makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan yang akan diperdengarkan oleh Ibnu Ummi Maktum.
615 Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu jadikan laungan azan Bilal atau seruan Bilal sebagai pencegah seseorang di antara kamu dari makan sahur kerana laungan azan atau seruan azan Bilal pada malam hari adalah untuk memberi peringatan kepada seseorang dari kamu yang kebetulan masih mengerjakan sembahyang malam atau untuk membangunkan kamu dari tidur. Sabda baginda lagi: Janganlah kamu hiraukan ucapan seseorang tentang fajar itu adalah begini, begini sambil baginda membetulkan tangannya kemudian mengangkatnya ke atas dengan mengatakan bahawa fajar ialah begini sambil merenggangkan di antara dua jari baginda.
616 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya.
617 Hadits Zaid bin Thabit r.a katanya: Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat.
618 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa.
619 Diriwayatkan dari Saidina Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila datangnya malam, berlalulah siang dan tenggelamlah matahari. Orang yang berpuasa pun bolehlah berbuka.
620 Diriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa r.a katanya: Kami pernah musafir bersama Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan. Ketika matahari sudah mulai terbenam, baginda memerintahkan kepada seseorang dengan sabdanya: Wahai Si Polan! Turun dan siapkanlah hidangan. Si Polan itu berkata: Wahai Rasulullah s.a.w! Hari masih siang. Baginda mengulangi lagi sabdanya: Turun dan siapkanlah hidangan. Si Polan itu pun turun menyiapkan hidangan serta membawanya kepada baginda. Baginda menikmati hidangan tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda sambil memberi isyarat dengan kedua tangannya: Apabila matahari sudah mulai terbenam di arah sana dan malam pun telah datang dari arah sana, bolehlah berbuka bagi orang yang berpuasa.
621 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Para Sahabat bertanya: Bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Nabi s.a.w menjawab: Aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Allah.
622 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Kemudian seorang lelaki dari kalangan orang Islam telah bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah di antara kamu yang boleh menyamai aku? Sesungguhnya di malam hari aku diberi makan dan minum olah Tuhanku. Apabila mereka tetap enggan dari mengakhiri menyambung puasa (tidak mahu berbuka), Rasulullah s.a.w sengaja membiarkannya satu atau dua hari. Namun pada hari ketiga mereka melihat anak bulan. Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sekiranya anak bulan itu terlewat datang, tentu aku akan terus menyambung puasa kamu. Baginda seakan-akan memberi peringatan kepada mereka kerana keengganan mereka berhenti dari menyambung puasa.
623 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengerjakan sembahyang di bulan Ramadan. Sebentar kemudian aku datang lalu ikut berdiri di samping baginda. Kemudian datang lagi orang lain dan ikut berdiri di sampingku begitulah seterusnya sehingga jumlahnya menjadi satu kumpulan. Apabila Nabi s.a.w menyedari kami berada di belakang, baginda mempercepatkan sembahyang kemudian bergegas masuk ke rumah untuk meneruskan sembahyang. Baginda tidak lagi sembahyang bersama kami. Keesokan harinya kami bertanyakan hal itu kepada baginda: Adakah semalam engkau sengaja memberikan pelajaran kepada kami? Baginda menjawab: Betul, itulah sebab yang mendorongku melakukannya. Anas r.a berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w menyambung puasa. Hal itu terjadi di akhir bulan Ramadan. Beberapa orang Sahabat juga turut menyambung puasa. Rasulullah s.a.w kemudiannya bersabda: Mengapa pula mereka mengikutku menyambung puasa, sedangkan mereka tidak seperti aku. Demi Allah! Seandainya bulan ini ditambah untukku, tentu aku akan terus berpuasa sehingga mereka yang memberati diri mereka itu berhenti dari memberati diri mereka.
624 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang para Sahabat dari menyambung puasa semata-mata kerana didorong oleh perasaan kasihan belas terhadap mereka. Kemudian mereka bertanya: Bukankah kamu sendiri menyambung puasa, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesungguhnya aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Tuhanku.
625 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w mencium salah seorang isteri baginda sewaktu sedang berpuasa lalu baginda tersenyum.
626 Diriwayatkan dari Umar bin Abu Salamah r.a katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Bolehkah orang yang sedang berpuasa mencium isterinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tanyakan kepada wanita ini sambil menunjuk ke arah Ummu Salamah yang kemudian memberitahu kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w pernah melakukannya. Lalu Umar bin Abu Salamah berkata: Wahai Rasulullah! Bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu dan yang akan datang? Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah aku adalah orang yang paling bertakwa dan paling merasa takut kepada Allah dari kamu.
627 Diriwayatkan dari Aisyah dan Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata:: Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa.
628 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Binasalah aku wahai Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang telah membinasakanmu? Lelaki itu menjawab: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang hari di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w bertanya: Mampukah kamu memerdekakan seorang hamba? Lelaki itu menjawab: Tidak. Rasulullah s.a.w bertanya: Mampukah kamu berpuasa selama dua bulan berturut-turut? Lelaki itu menjawab: Tidak. Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Mampukah kamu memberi makan kepada enam puluh orang fakir miskin? Lelaki itu menjawab: Tidak. Kemudian duduk. Rasulullah s.a.w kemudiannya memberikan kepadanya suatu bekas yang berisi kurma lalu bersabda: Sedekahkanlah ini. Lelaki tadi berkata: Tentunya kepada orang yang paling miskin di antara kami. Tiada lagi di kalangan kami di Madinah ini yang lebih memerlukan dari keluarga kami. Mendengar ucapan lelaki itu Rasulullah s.a.w tersenyum sehingga kelihatan sebahagian giginya. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah dan berilah kepada keluargamu sendiri.
629 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Celakalah aku. Rasulullah s.a.w bertanya dengan sabdanya: Kenapa? Lelaki tadi menjawab: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang hari di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w berkata: Bersedekahlah, bersedekahlah. Lelaki tadi berkata: Aku tidak memiliki apa-apa. Rasulullah s.a.w lalu menyuruhnya duduk. Kemudian baginda memberikan kepadanya dua bekas yang berisi makanan lalu memerintahkan agar menyedekahkannya.
630 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah keluar pada tahun pembukaan Kota Mekah di bulan Ramadan. Baginda berpuasa hinggalah tiba di Daerah al-Kadid, baginda pun berbuka. Para Sahabat Rasulullah s.a.w mengambil hukum dengan mengikuti kejadian demi kejadian berdasarkan perintah baginda.
631 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w musafir, baginda melihat seorang lelaki sedang dikerumuni oleh orang ramai sehingga dia hampir-hampir tidak dikenali. Rasulullah s.a.w kemudian bertanya: Mengapa dengannya? Para Sahabat menjawab: Dia adalah seorang yang berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah termasuk dari suatu kebaikan berpuasa di dalam perjalanan yaitu musafir.
632 Hadits Anas r.a: Diriwayatkan dari Humaid r.a katanya: Anas r.a pernah ditanya tentang berpuasa sewaktu musafir di bulan Ramadan. Katanya: Kami pernah musafir bersama Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka dan sebaliknya orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa.
633 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan. Di antara kami ada yang tetap berpuasa dan ada pula yang berbuka. Kami berhenti di suatu tempat ketika hari sedang panas terik. Di kalangan kami, orang yang paling banyak mendapat naungan ialah orang yang berpakaian lengkap. Sementara orang yang tidak berpakaian lengkap, melindungi kepala mereka dari panas cahaya matahari dengan meletakkan tangan di atas kepala. Ketika itu orang yang berpuasa berada dalam keadaan sangat letih tidak seperti orang yang berbuka, keadaan mereka tetap segar. Kemudian mereka mendirikan peneduh dan memberi minum binatang tunggangan mereka. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Jelaslah orang yang berbuka hari ini, pergi dengan membawa bersama pahalanya.
634 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Hamzah bin Amru al-Aslami pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai masalah berpuasa dalam perjalanan yaitu musafir. Baginda bersabda: Sekiranya kamu ingin berpuasa teruskanlah dan jika kamu ingin berbuka, berbukalah.
635 Diriwayatkan dari Abu Darda' r.a katanya: Kami pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan dalam cuaca yang panas terik sehingga ada sebahagian dari kami yang terpaksa meletakkan tangan di atas kepala untuk berlindung dari panas matahari. Di kalangan kami tiada yang berpuasa melainkan Rasulullah s.a.w dan Abdullah bin Rawahah.
636 Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhil binti al-Haris r.a katanya: Beberapa orang yang berada berhampirannya pada hari Arafah berbincang mengenai puasa Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka berkata baginda berpuasa. Sebahagian lain pula berkata tidak lalu aku mengirimkan segelas susu kepada baginda yang pada ketika itu kebetulan sedang berada di atas unta di Arafah lantas bginda meminumnya.
637 Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhli r.a katanya: Ramai dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah s.a.w lalu aku membawa kepada baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu baginda berada di Arafah lantas baginda meminumnya.
638 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Kaum Quraisy di zaman jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah s.a.w juga berpuasa pada hari itu. Setelah berhijrah ke Madinah, baginda tetap berpuasa dan memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari itu. Setelah difardukan puasa bulan Ramadan, baginda bersabda: Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari itu berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan meninggalnya.
639 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Orang-orang jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam sebelum diwajibkan berpuasa bulan Ramadan juga berpuasa pada hari tersebut. Setelah puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Asyura itu adalah hari-hari Allah. Sesiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan berbuka.
640 Hadits Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: al-Asy'as bin Qais datang menemui Abdullah ketika beliau sedang makan. Abdullah berkata: Wahai Abu Muhammad marilah kita makan bersama. Dia menjawab: Bukankah hari ini adalah hari Asyura? Beliau kemudian bertanya: Kamu tahu apakah hari Asyura itu? Dia menjawab: Apakah ia? Beliau menjelaskan: Ianya merupakan hari di mana Rasulullah s.a.w berpuasa sebelum puasa bulan Ramadan diwajibkan. Setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan, ia ditinggalkan.
641 Hadits Muawiah bin Abu Sufian r.a: Diriwayatkan dari Humaid bin Abdul Rahman katanya: Dia pernah mendengar Muawiah bin Abu Sufian r.a menyampaikan khutbah di Madinah pada hari Asyura ketika beliau berkunjung ke kota tersebut, katanya: Di manakah ulama-ulama kamu wahai sekalian penduduk Madinah? Ketahuilah aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda mengenai hari ini, yaitu hari Asyura: Pada hari Asyura ini Allah tidak mewajibkan berpuasa kepada kamu. Tetapi aku sendiri berpuasa pada hari ini. Sesiapa di antara kamu yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa ingin berbuka, berbukalah.
642 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak dari kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut.
643 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan menjadikannya sebagai Hari Raya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah kamu pada hari Asyura tersebut.
644 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Ibnu Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehari pada hari Asyura kerana mencari kelebihan yaitu fadhilat yang tidak ada pada hari-hari yang lain selain dari hari ini. Aku juga tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan ini, yaitu bulan Ramadan.
645 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengutuskan seorang lelaki dari Kaum Aslam pada hari Asyura supaya melaungkan kepada orang ramai tentang sesiapa yang tidak berpuasa, hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang telah terlanjur makan, hendaklah dia menyempurnakan hari tersebut dengan berpuasa sehingga menjelang malam.
646 Diriwayatkan dari Ar-Rubaiyyi' binti Muawwiz bin Afra' r.a katanya: Pada hari Asyura, Rasulullah s.a.w telah mengirimkan surat ke perkampungan-perkampungan Ansar di sekitar Madinah yang berbunyi: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka yaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya yaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat dari bulu biri-biri. Jika ada di antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan tersebut sehingga tiba waktu berbuka.
647 Diriwayatkan dari Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya: Dua hari ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w dari berpuasa. Hari kamu berbuka dari puasa kamu yaitu puasa Ramadan dan satu lagi pada hari kamu makan setelah menunaikan ibadat Haji.
648 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu, yaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka dari bulan Ramadan (Aidilfitri).
649 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Seorang lelaki datang menemui Ibnu Umar lalu berkata: Aku telah bernazar untuk berpuasa satu hari yang kebetulan bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Aidilfitri. Ibnu Umar r.a berkata: Allah telah memerintahkan agar menunaikan janji dan Rasulullah s.a.w melarang berpuasa pada hari ini.
650 Hadits Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan dari Muhammad bin Abbad r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah r.a ketika beliau sedang melakukan tawaf di Baitullah: Adakah Rasulullah s.a.w melarang dari berpuasa pada hari Jumaat sahaja? Beliau menjawab: Ya, demi Tuhan Baitullah ini.
651 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa jika hanya pada hari Jumaat sahaja melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.
652 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Ketika turun ayat: Yang bermaksud: Dan diwajibkan bagi orang yang tidak terdaya melakukannya yaitu berpuasa supaya membayar fidyah (memberi makan kepada orang miskin). Menyebabkan ada seseorang yang ingin berbuka dan membayar fidyah. Sehingga turunlah ayat berikutnya yang menasakhkannya.
653 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Aku mempunyai puasa ganti bulan Ramadan tetapi aku tidak berkuasa menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban disebabkan kesibukan dari Rasulullah s.a.w atau kesibukan dengan Rasulullah s.a.w.
654 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti, maka diwajibkan ke atas walinya supaya berpuasa sebagai gantinya.
655 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Ibuku telah meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti selama sebulan. Baginda bertanya kepada wanita itu dengan sabdanya: Bagaimana pendapatmu jika ibumu itu masih mempunyai hutang, adakah kamu akan membayarnya? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dibayar.
656 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang dari kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.
658 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.
659 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah.
660 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w tidak pernah berpuasa satu bulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Baginda akan berpuasa jika ingin berpuasa, sehingga seseorang pernah berkata: Demi Allah, baginda tidak berbuka. Baginda juga pernah tidak berpuasa begitu lama sehingga seseorang pernah berkata: Demi Allah, baginda seperti tidak pernah berpuasa yaitu hanya berpuasa sekali sekala sahaja.
661 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w selalu berpuasa sehingga ada yang mengatakan baginda seakan-akan berpuasa terus-menerus dan pernah juga baginda tidak berpuasa sehingga ada yang mengatakan baginda jarang sekali berpuasa.
662 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah diberitahu bahawa aku pernah berkata: Aku akan beribadat di waktu malam dan akan berpuasa pada siang hari sepanjang hidupku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkaukah yang telah berkata demikian? Aku berkata kepada baginda: Akulah yang telah berkata demikian wahai Rasulullah s.a.w! Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau tidak akan berkuasa melakukannya. Baginda menambah: Berpuasa dan berbukalah. Tidur dan beribadatlah di waktu malam. Berpuasalah tiga hari dalam sebulan kerana satu kebajikan itu akan dibalas dengan sepuluh kebajikan yang menyamai berpuasa setahun. Lalu aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: Aku mampu melakukan lebih dari itu. Baginda bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah dua hari. Aku berkata kepada baginda: Aku mampu berbuat lebih dari itu. Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah cara puasa Nabi Daud a.s dan puasa yang sederhana. Aku berkata lagi: Aku masih mampu berbuat lebih dari itu. Baginda bersabda: Tiada yang lebih baik dari itu. Abdullah bin Amru r.a berkata: Tentu saja aku terima berpuasa tiga hari sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w yang aku lebih cintai dari isteri dan hartaku.
663 Diriwayatkan dari Imran bin Hussain r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda kepadaku atau kepada seorang lelaki: Adakah kamu berpuasa pada pertengahan bulan Syaaban? Aku menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Kalau begitu, berpuasalah selama dua hari.
664 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Terdapat beberapa orang dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w telah bermimpi melihat Lailatulqadar pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengikut Pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh hari yang terakhir tersebut.
665 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah beriktikaf yaitu berada di dalam masjid selama sepuluh hari pada pertengahan bulan Ramadan. Selepas berlalu malam yang kedua puluh dan memasuki hari atau malam yang kedua puluh satu baginda pulang ke rumahnya. Para Sahabat yang beriktikaf bersama-sama baginda juga turut pulang. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda di bulan Ramadan yang sama dan waktu yang sama di mana baginda pulang ke rumah, setelah menyuruh atau mengajak mereka supaya selalu tabah terhadap kehendak Allah dengan sabdanya: Aku telah beriktikaf selama sepuluh hari dan kemudian aku lanjutkan selama sepuluh hari yang berikutnya. Oleh itu sesiapa yang ingin melanjutkan iktikaf bersamaku, tetaplah berada di tempat iktikafnya. Aku telah bermimpi melihat Lailatulqadar tetapi aku terlupa waktunya. Carilah ia dalam sepuluh hari ganjil yang terakhir. Pada waktu itulah aku melihat aku sedang sujud pada air dan tanah. Abu Said al-Khudri r.a berkata: Kami dibasahi hujan pada malam hari yang kedua puluh satu. Masjid telah basah, begitu juga dengan tempat sembahyang Rasulullah s.a.w. Aku melihat ke arah baginda setelah selesai mengerjakan sembahyang subuh. Wajah baginda basah terkena lumpur dan air.
666 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan.

IKTIKAF
667 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Biasanya Nabi s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadan.
668 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan.
669 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Apabila tiba sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, Rasulullah s.a.w menghidupkan ibadat malam. Baginda membangkitkan isteri baginda. Baginda amat bersungguh-sungguh dan bersemangat sekali dalam menghidupkan malam tersebut.
670 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain.

HAJI
671 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Bagaimana cara pakaian orang yang ingin berihram? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Janganlah kamu memakai baju, kain serban, seluar, penutup kepala dan sarung kaki yaitu khuf kecuali untuk orang yang tidak memiliki selipar, diharuskan dengan syarat khuf tersebut dipotong hingga bawah buku lali. Jangan memakai pakaian yang dicelup dengan Za'faran yaitu sejenis pewarna warna kuning dan Wars yaitu sejenis pewarna warna merah.
672 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seluar diharuskan kepada orang yang tidak memiliki kain dan sarung kaki yaitu khuf diharuskan kepada orang yang tidak memiliki selipar. Kesemuanya itu adalah dimaksudkan bagi orang yang berihram.
673 Diriwayatkan dari Ya'la bin Umaiyyah r.a katanya: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berada di Ja'ranah dengan memakai jubah yang disapu minyak wangi atau dikatakan terdapat kesan kuning minyak wangi. Lalu dia bertanya: Apakah yang engkau ingin perintahkan kepadaku berhubung dengan ibadat Umrah? Pertanyaan itu tidak diperhatikan kerana waktu itu kebetulan baginda sedang menerima wahyu dan ditabiri dengan kain. Ya'la berkata: Betapa gembiranya aku kerana dapat menyaksi Rasulullah s.a.w sedang menerima wahyu. Umar berkata: Jadi kamu suka dapat menyaksikan Rasulullah s.a.w sedang menerima wahyu?. Ketika itu Umar mengangkat hujung kain yang menutupi Rasulullah s.a.w, ternyata Rasulullah s.a.w seperti orang yang sedang tidur berdengkur. Seketika kemudian baginda terjaga lalu bertanya: Di mana orang yang bertanya tentang Umrah tadi? Bersihkan dirimu dari kesan kuning minyak wangi yang kamu pakai itu dan bukalah jubahmu. Lakukanlah Umrah kamu sebagaimana kamu menunaikan fardu Haji.
674 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menetapkan miqat bagi penduduk Madinah di Zul Hulaifah, bagi penduduk Syam di Juhfah, bagi penduduk Najd di Qarnul Manazil dan bagi penduduk Yaman di Yalamlam. Miqat-miqat tersebut adalah untuk penduduk negeri itu serta bagi mereka yang melaluinya untuk menunaikan Haji dan Umrah. Adapun selain dari mereka yang tersebut, miqatnya adalah mengikut arah kedatangan mereka, sehingga penduduk Mekah pun miqatnya memadai dari Mekah.
675 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Penduduk Madinah miqatnya di Zul Hulaifah, penduduk Syam miqatnya di Juhfah, penduduk Najd di Qarn. Abdullah bin Umar r.a seterusnya berkata: Aku pernah diberitahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Miqat penduduk Yaman ialah di daerah Yalamlam.
676 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Lafaz Talbiah Rasulullah s.a.w ialah:.
677 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: al-Baida' adalah tempat yang kamu menyangka bahawa Rasulullah s.a.w pernah memulakan Ihramnya, sebenarnya Rasulullah s.a.w tidak memulakan Ihramnya kecuali dari masjid yaitu Zul Hulaifah.
678 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Aku pernah memakai wangi-wangian pada tubuh Rasulullah s.a.w ketika baginda ingin memakai Ihram untuk berihram dan ketika bertahallul sebelum baginda Tawaf di Baitullah.
679 Diriwayatkan dari As-So'bu bin Jassamah al-Laisi r.a katanya: Aku telah menghadiahkan seekor kaldai liar kepada Rasulullah s.a.w sewaktu di daerah Abwa' atau di Waddan. Namun baginda mengembalikan semula kaldai itu kepadaku. Ketika Rasulullah s.a.w melihat perubahan wajahku, baginda bersabda: Kami tidak akan menolak pemberianmu ini sekiranya kami bukan dalam keadaan berihram.
680 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: As-So'bu bin Jassamah telah menghadiahkan seekor kaldai liar kepada Nabi s.a.w sewaktu baginda sedang berihram. Baginda mengembalikan semula kepadanya, lalu bersabda: Jika kami bukan berada dalam keadaan berihram, sudah tentu kami telah menerimanya darimu.
681 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Kami pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w ke daerah al-Qahah. Dikalangan kami ada yang memakai Ihram dan ada juga yang tidak memakainya. Tiba-tiba aku dan salah seorang Sahabat melihat seekor kaldai liar. Aku memasang pelana kudaku dan mengambil lembingku. Kemudian aku menunggang kuda tetapi penyebat kudaku terjatuh. Aku meminta Sahabat-sahabat yang berihram agar mengambil penyebat kuda tersebut. Namun tiada seorangpun yang mahu membantuku. Aku terpaksa turun dari kuda untuk mengambilnya sendiri dan naik semula. Aku terlihat bahagian belakang kaldai tadi di sebalik sebuah bukit kecil. Aku terus menikamnya. Setelah aku sembelih, aku bawa kepada Sahabat-sahabatku. Sebahagian dari mereka menyuruhku makan, sebagian lagi melarangku. Ketika itu kami dapati Nabi s.a.w berada di hadapan kami. Aku menghampiri baginda lalu bertanyakannya. Baginda bersabda: Kaldai itu halal. Makanlah!.
682 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a, isteri Nabi s.a.w katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Ada empat jenis binatang jahat yang boleh dibunuh di tanah halal ataupun di Tanah Haram, yaitu burung helang, burung gagak, tikus dan anjing liar.
683 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak berdosa bagi orang yang membunuh lima jenis binatang walaupun di Tanah Haram dan mereka pula dalam keadaan berihram. Binatang-binatang tersebut ialah tikus, kala jengking, burung gagak, burung helang dan anjing liar.
684 Diriwayatkan dari Kaab bin Ujrah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menemuiku pada tahun peristiwa Hudaibiah. Ketika itu aku sedang menyalakan api. al-Qawaririy berkata: Di bawah bekas memasak milikku. Abu ar-Rabie' pula berkata: Di bawah periukku dan kutu terdapat di wajahku. Baginda bertanya kepadaku: Adakah kutu di kepalamu itu menyakitkanmu? Aku jawab: Ya! Baginda bersabda: Cukurlah dan berpuasalah tiga hari, berilah makan enam orang miskin atau korbankanlah seekor kambing.
685 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w pernah berbekam ketika baginda sedang berihram.
686 Diriwayatkan dari Ibnu Buhainah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah berbekam di bahagian tengah kepala ketika baginda berada di sebuah tempat untuk menuju ke Kota Mekah, baginda dalam keadaan berihram.
687 Hadits Abu Ayyub al-Ansari r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Hunain r.a katanya: Abdullah bin Abbas telah mengutuskan aku supaya berjumpa Abu Ayyub al-Ansari r.a. Aku dapati dia sedang mandi di antara dua bukit dengan bertabirkan pakaian. Aku mengucapkan salam kepadanya. Dia bertanya: Siapa itu? Aku menjawab: Aku! Abdullah bin Hunain. Ibnu Abbas bin Abbas menyuruh aku bertanya kepadamu, bagaimanakah Rasulullah s.a.w membasuh kepala ketika dalam keadaan Ihram? Abu Ayyub meletakkan tangan atas pakaiannya yaitu tabir tadi, lalu merendahkannya hingga kepalanya kelihatan. Dia berkata kepada seseorang yang menuangkan air: Siramlah! Lalu disiram kepalanya dan dia menggosok kepalanya dengan kedua belah tangannya ke arah hadapan dan belakang, kemudian berkata: Beginilah aku melihat Rasulullah s.a.w melakukannya.
688 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, seorang lelaki telah terjatuh dari untanya sehingga patah lehernya lalu meninggal dunia. Kemudian Nabi s.a.w bersabda: Mandikanlah dia dengan air dan daun bidara serta kafankanlah dia dengan kedua pakaiannya dan jangan kamu tutupi kepalanya kerana sesungguhnya Allah akan menghidupkannya kembali pada Hari Kiamat dalam keadaan bertalbiah.
689 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menemui Dhuba'ah binti Az-Zubair lalu bertanya kepadanya: Adakah kamu ingin pergi menunaikan ibadat Haji? Dia menjawab: Sayang sekali, aku selalu sakit. Rasulullah s.a.w bersabda: Pergilah tunaikan ibadat Haji dan buatlah syarat dengan berkata: yang bermaksud: Tuhanku! Keadaanku adalah bergantung kepadaMu, aku akan bertahallul jika aku mengalami sesuatu halangan nanti. Pada ketika itu dia di bawah jagaan Miqdad.
690 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Kami pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Haji Wida', kami berniat Umrah. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membawa haiwan sembelihan, sebaiknya dia berihram Haji dan Umrah serta janganlah dia bertahallul terlebih dahulu supaya dia dapat bertahallul dari keduanya serentak. Sebaik saja tiba di Mekah aku datang haid sebelum Tawaf di Baitullah yaitu Kaabah dan sebelum Saie antara Safa dan Marwah. Kemudian aku mengadu kepada Rasulullah s.a.w mengenai keadaan tersebut. Baginda bersabda: Lepaskanlah jalinan rambutmu dan sikatlah, lakukanlah Ihram Haji dan tinggalkanlah Ihram Umrah. Lalu aku mengerjakannya. Selesai sahaja aku menunaikan Haji, Rasulullah s.a.w menyuruh aku dan Abdul Rahman bin Abu Bakar pergi ke Tan'im, lalu aku berihram Umrah. Baginda bersabda: Inilah tempat Umrahmu. Kemudian bagi orang yang berihram Umrah harus Tawaf di Baitullah yaitu Kaabah, bersaie antara Safa dan Marwah lalu bertahallul. Kemudian mereka melakukan Tawaf lagi untuk ibadat Hajinya setelah kembali dari Mina. Bagi orang yang menghimpunkan Haji dan Umrah memadailah hanya dengan sekali Tawaf.
691 Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkannya supaya mengiringi Saidatina Aisyah r.a pergi ke Tan'im untuk mengerjakan Umrah.
692 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Aku pernah bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk berihram Haji Ifrad, sedangkan Saidatina Aisyah r.a berihram Umrah. Sebaik sahaja tiba di Daerah Sarif, Saidatina Aisyah datang haid. Setelah kami tiba di Mekah, kami melakukan Tawaf di Kaabah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh orang yang tidak membawa haiwan sembelihan supaya bertahallul. Jabir berkata: Kami bertanya: Apakah yang dihalalkan? Rasulullah s.a.w menjawab: Semuanya sudah dihalalkan. Lalu kami tidur bersama-sama isteri kami, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berjahit. Setelah sempat bermalam di Arafah selama empat hari, kami berihram kembali pada hari Tarawiah yaitu hari kelapan Zulhijah. Selepas itu Rasulullah s.a.w menemui Saidatina Aisyah r.a yang kebetulan sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapakah dengan dirimu ini? Saidatina Aisyah menjawab: Aku berhaid sedangkan mereka semua sudah bertahallul. Aku belum lagi bertahallul dan Tawaf di Baitullah. Mereka sedang mengerjakan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda: Ini adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah terhadap setiap anak perempuan Adam. Mandi dan kerjakanlah Haji. Lalu Saidatina Aisyah melakukannya dan berwukuf. Setelah suci dari haid, dia melakukan Tawaf di Baitullah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya: Bukankah kamu telah bertahallul dari Haji dan Umrahmu sekaligus? Lalu Saidatina Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah s.a.w aku dapati diriku belum melakukan Tawaf di Baitullah sehinggalah aku selesai melakukan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdul Rahman: Wahai Abdul Rahman! Temankanlah dia untuk mengerjakan Umrah secara berihram di Tan'im. Lantas mereka pergi pada malam Hasbah yaitu malam jemaah Haji keluar dari Mekah selepas hari Tasyrik.
693 Hadits Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan dari Ata' katanya: Aku pernah mendengar Jabir bin Abdullah r.a berkata ketika aku bersama beberapa orang: Kami para Sahabat Muhammad s.a.w pernah hanya berihram Haji sahaja. Ata' berkata: Jabir berkata lagi: Pada pagi empat Zulhijah, Nabi s.a.w datang lalu memerintahkan kepada kami agar segera bertahallul. Ata' berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Bertahallul dan tidurilah isteri kamu. Ata' berkata lagi: Bukanlah bererti Rasulullah s.a.w menyuruh mereka supaya meniduri isteri-isteri mereka, cuma hukumnya diharuskan kepada mereka. Ketika kesempatan kami hanya tinggal lima hari sebelum berangkat menuju ke Arafah, Rasulullah s.a.w menggalakkan kepada kami supaya meniduri isteri-isteri kami terlebih dahulu. Setelah itu barulah kami berangkat ke Arafah sekalipun kami masih belum puas bersama dengan isteri-isteri kami. Ata' berkata: Jabir meriwayatkan Hadits ini penuh dengan gaya sehingga seolah-olah kami mendengar Hadits ini kerana terpukau oleh gaya tangannya. Lalu Nabi s.a.w berdiri di hadapan kami dan bersabda: Kamu tentu telah tahu bahawa akulah orang yang paling takut kepada Allah, orang yang paling benar dan sekaligus orang yang paling bertolak ansur dari kamu semua. Kalaulah tidak kerana aku terlanjur membawa Dam untuk disembelih, tentu aku telah bertahallul seperti kamu. Sekiranya aku tidak terlanjur membawa Dam tentu tidak terjadi begini dan sekiranya aku tahu urusanku akan terjadi begini tentu aku tidak membawa Dam untuk di sembelih, oleh itu bertahallullah. Lantas kami pun bertahallul dengan rasa penuh ketaatan. Ata' berkata: Jabir telah berkata: Setelah Saidina Ali k.w menyelesaikan ibadat Haji, dia datang dan bertanya Jabir: Kenapa kamu bertahallul? Jabir menjawab: Kerana Nabi s.a.w juga bertahallul. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada Saidina Ali k.w: Sembelihlah Dam dan tetaplah dalam keadaan berihram. Ata' berkata: Saidina Ali k.w terus menyerahkan Dam kepada Rasulullah s.a.w. Suraqah bin Malik bin Ju'syum berkata: Wahai Rasulullah! Adakah ia hanya untuk tahun ini sahaja ataupun untuk selama-lamanya? Rasulullah s.a.w menjawab: Untuk selama-lamanya.
694 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Kaum Quraisy dan kaum-kaum yang seagama dengan mereka biasanya berwuquf di Muzdalifah. Mereka menamakannya sebagai al-Hums. Sementara itu seluruh orang Arab berwuquf di padang Arafah. Apabila Islam datang Allah s.w.t memerintahkan kepada NabiNya Muhammad s.a.w menuju ke Arafah dan berwuquf di sana. Kemudian baginda beredar dari situ, sesuai dengan firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai yaitu Arafah.
695 Diriwayatkan dari Jubair bin Mut'im r.a katanya: Aku pernah kehilangan unta, lalu aku pergi mencarinya pada hari Arafah. Ketika itulah aku melihat Rasulullah s.a.w bersama orang ramai sedang wuquf di Arafah. Aku berkata: Demi Allah! Sesungguhnya ini adalah termasuk al-Hums. Apakah keadaannya di sini sehingga orang-orang Quraisy yang terdahulu menamakannya al-Hums?.
696 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Aku pernah menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang beristirehat di Batha'. Baginda bertanya kepadaku: Bukankah kamu sedang mengerjakan ibadat Haji? Aku menjawab: Benar! Baginda bertanya: Bagaimana kamu berniat Ihram dan bertalbiah? Aku menjawab: Aku penuhi panggilan Allah dengan bertalbiah dan berihram sebagaimana Nabi s.a.w berihram dan bertalbiah. Baginda bersabda: Kalau demikian kamu telah melakukan yang terbaik. Sekarang lakukanlah Tawaf di Baitullah, Saie antara Safa dan Marwah serta bertahallullah. Kemudian aku pun Tawaf di Baitullah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Setelah itu aku pergi menemui seorang wanita dari Bani Qais untuk membantu mencarikan kutu di kepalaku. Kemudian aku berihram Haji. Aku memang pernah memberi fatwa kepada orang ramai tentang hal ini sehinggalah pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab. Suatu hari ada seorang lelaki datang menemuiku dan berkata: Wahai Abu Musa atau wahai Abdullah bin Qais, untuk sementara tahanlah dahulu setengah fatwamu itu. Engkau tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab tentang masalah Haji. Lalu aku duduk memberitahu kepada mereka yang pernah aku berikan fatwa supaya jangan tergesa-gesa mengamalkan fatwaku kerana Amirul Mukminin akan memberikan fatwanya kepada kamu. Ikutilah fatwanya. Kemudian Saidina Umar r.a datang lalu aku memberitahunya mengenai masalah itu. Beliau berkata: Jika kita berpegang teguh pada Kitab Allah, Kitab Allah menyuruh kita menyempurnakannya tetapi jika kira berpegang teguh pada sunnah Rasulullah s.a.w, sesungguhnya Rasulullah s.a.w sendiri tidak melakukan tahallul sehinggalah binatang sembelihan telah berada di tempat penyembelihannya.
697 Hadits Saidina Umar r.a: Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Dia pernah memberikan fatwa mengenai masalah mut'ah. Lalu seorang lelaki berkata kepadanya: Hati-hatilah dalam fatwamu itu kerana kamu tidak mengetahui apa yang akan difatwakan oleh Amirul Mukminin nanti tentang masalah Haji. Kemudian lelaki tersebut menemui Amirul Mukminin dan bertanya mengenai masalah tersebut. Saidinaa Umar r.a berkata: Aku tahu bahawa Nabi s.a.w serta para Sahabat pernah melakukan perkara itu tetapi aku benci orang yang mengadakan majlis perkahwinan di daerah Arak kerana mereka berangkat menunaikan Haji dalam keadaan kepala mereka masih basah.
698 Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a katanya: Saidina Othman r.a melarang dari mengerjakan Haji Tamattu' manakala Saidina Ali k.w mengesyorkannya. Suatu hari Saidina Othman menemui Saidina Ali k.w dan berbincang mengenai masalah tersebut. Kemudian Saidina Ali k.w berkata: Kamu telah mengetahui bahawa kita telah mengerjakan Haji Tamattu' ketika bersama Rasulullah s.a.w. Dia menjawab: Benar! Tetapi ketika itu kita dalam keadaan ketakutan.
699 Hadits Imran bin Husain r.a: Diriwayatkan dari Mutrif katanya: Imran bin Husain berkata kepadaku: Pada hari ini aku akan menceritakan sebuah Hadits kepadamu dan semoga Allah akan memberi manfaat kepadamu selepas ini. Ketahuilah Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan beberapa orang ahli keluarganya supaya melakukan Umrah dalam masa sepuluh hari. Tidak ada ayat yang turun sebagai menasakh yaitu mengganti hukum tentang perkara itu (harus mengerjakan Haji secara Tamattu'). Baginda tidak pernah menegahnya sehingga baginda wafat. Setelah itu masing-masing menggunakan ijtihad sendiri yaitu ulama.
700 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengerjakan Haji Tamattu' pada tahun Haji Wida' secara mengerjakan Umrah dan Haji dengan satu Ihram. Kemudian baginda membayar Dam yaitu menyembelih binatang yang dibawa bersamanya dari Zul Hulaifah. Baginda memulakan dengan Ihram Umrah kemudian Ihram Haji. Para Sahabat juga turut sama mengerjakan Haji secara Tamattu' dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka membayar Dam dan sebahagiannya tidak. Ketika Rasulullah s.a.w tiba di Mekah baginda telah bersabda: Sesiapa di antara kamu yang telah membayar Dam, mereka belum lagi dihalalkan apa yang telah diharamkan sehinggalah mereka selesai mengerjakan Haji. Bagi sesiapa yang belum membayar Dam hendaklah melakukan Tawaf di Baitullah, bersaie antara Safa dan Marwah serta bercukur ataupun menggunting rambut dan bertahallul. Kemudian hendaklah beriham Haji dan membayar Dam. Bagi sesiapa yang tidak mampu membayar Dam hendaklah berpuasa tiga hari ketika masih berada di Tanah Suci dan tujuh hari setelah kembali ke tanahair. Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf Qudum setibanya di Mekah, dimulai dengan mengucup Hajarul Aswad kemudian berlari-lari anak sebanyak tiga pusingan dari tujuh pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Sebaik sahaja selesai mengerjakan Tawaf di Baitullah, baginda kemudiannya mendirikan sembahyang dua rakaat di makam Ibrahim. Selepas salam baginda menuju ke bukit Safa lalu bersaie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Baginda belum lagi menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan hinggalah selesai Haji dan menyembelih Dam pada hari Nahr (10 Zulhijjah) yaitu pada Hari Raya Korban. Kemudian baginda kembali ke Mekah untuk mengerjakan Tawaf Wida' di Kaabah, setelah mereka dihalalkan melakukan apa yang telah diharamkan sebelumnya. Orang yang membawa atau menyembelih Dam juga melakukan sebagaimana apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
701 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w mengerjakan Haji Tamattu' dengan berihram Haji dan Umrah secara serentak. Para Sahabat juga melakukan sebagaimana yang baginda lakukan.
702 Diriwayatkan dari Saidatina Hafsah isteri Nabi s.a.w katanya: Wahai Rasulullah s.a.w! Mengapakah mereka telah bertahallul sedangkan engkau belum bertahallul dari Umrah? Baginda menjawab: Aku telah terlanjur menjalin rambutku dan aku telah meletak tanda pada binatang bahawa aku akan jadikannya sebagai Dam. Jadi aku tidak akan bertahallul melainkan setelah menyembelihnya.
703 Hadits Abdullah bin Umar r.a: Diriwayatkan dari Nafi' r.a katanya: Abdullah bin Umar r.a pernah keluar sewaktu berlaku fitnah (musibah) untuk mengerjakan Umrah. Dia berkata: Jika aku terhalang dari sampai ke Baitullah, aku akan melakukan seperti yang pernah aku lakukan bersama Rasulullah s.a.w. Lalu dia berihram Umrah dan berjalan hingga sampai ke Baida', dia berpaling kepada teman-temannya dan berkata: Aku bersaksi bahawa aku telah berniat Haji bersama Umrah secara serentak. Kemudian dia meneruskan perjalanan. Setelah tiba di Baitullah dia terus melakukan Tawaf sebanyak tujuh pusingan dan bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, tidak lebih dari itu. Apabila merasakannya telah selesai, dia menyembelih Dam.
704 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Aku pernah mendengar Nabi s.a.w berniat Ihram Haji dengan Umrah secara serentak.
705 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w tiba di Masjidil Haram, baginda terus melakukan Tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat di belakang makam Ibrahim serta bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Rasulullah s.a.w adalah contoh tauladan yang baik untuk kamu.
706 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w apabila tiba di Mekah ialah berwuduk kemudian melakukan Tawaf di Baitullah.
707 Hadits Asma' r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bekas hamba Asma' puteri Saidina Abu Bakar r.a katanya: Aku pernah mendengar dari Asma' ketika melalui daerah al-Hajun. Asma' berkata: Semoga Allah selalu melimpahkan selawat dan sejahtera kepada RasulNya s.a.w. Kami pernah berhenti bersama baginda di sini. Ketika itu kami membawa beberapa buah beg yang berisikan sedikit bekalan dan sedikit barang-barang lain. Kemudian aku bersama dengan saudaraku Saidatina Aisyah r.a, Az-Zubair dan beberapa orang lagi berihram Umrah. Setelah selesai melakukan Tawaf di Baitullah, kami pun bertahallul. Kemudian pada malamnya kami pun berihram Haji.
708 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w berihram Umrah manakala para Sahabat berihram Haji. Nabi s.a.w tidak bertahallul begitu juga dengan Sahabat-sahabat yang membawa binatang korban sedangkan Sahabat-sahabat yang lain bertahallul. Oleh kerana Talhah bin Ubaidullah adalah termasuk dari kalangan Sahabat yang membawa binatang korban maka dia juga tidak bertahallul.
709 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Mereka yaitu orang-orang Jahiliah berpendapat, melakukan Umrah pada bulan Haji merupakan dosa yang paling besar di atas muka bumi ini. Mereka menjadikan bulan Muharram sebagai bulan Safar. Mereka berkata: Apabila kepenatan telah hilang, kesan tapak kaki sudah hilang dan bulan Safar telah berlalu, orang-orang yang berumrah pun bolehlah bertahallul. Pada pagi empat Zulhijah Nabi s.a.w dan para Sahabatnya datang dalam keadaan berihram Haji lalu baginda memerintahkan mereka supaya bertukar kepada Ihram Umrah. Namun mereka keberatan dan berkata: Wahai Rasulullah! Apa yang telah dihalalkan? Baginda menjawab: Semua perkara telah dihalalkan.
710 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Zuhur di daerah Zul Hulaifah. Kemudian baginda meminta supaya diambilkan unta untuk baginda. Lalu baginda membuat tanda pada untanya yaitu pada bonggol sebelah kanan, membersihkan darah, meletakkan tanda (kalung pada lehernya) dengan sepasang selipar lalu baginda menaiki untanya. Setelah tiba di daerah al-Baida' baginda pun berihram Haji.
711 Hadits Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan dari Abu Hasan al-A'raj r.a katanya: Seorang lelaki dari Bani al-Hujaim bertanya kepada Ibnu Abbas: Bagaimanakah dengan fatwa yang telah tersebar di kalangan orang ramai bahawa orang yang telah selesai mengerjakan Tawaf di Baitullah boleh bertahallul? Beliau menjawab: Itu adalah sunnah Nabi kamu, sekiranya kamu suka.
712 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Muawiah pernah berkata kepadanya: Tahukah kamu, aku pernah menggunting rambut Rasulullah s.a.w dengan anak panah ketika berada di Marwah? Aku berkata kepadanya: Tidak dan aku tahu bahawa ini adalah hujah (alasan) dari dirimu sendiri!.
713 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Setelah Saidina Ali k.w kembali dari Yaman, Nabi s.a.w bertanya kepadanya: Bagaimana kamu berniat Haji dan bertalbiah? Saidina Ali k.w menjawab: Aku berniat Haji dan bertalbiah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda: Kalaulah aku tidak membawa binatang korban tentu aku telah bertahallul.
714 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w menggabungkan dua bacaan talbiah sekaligus yaitu: Maksudnya: Tuhanku! Aku penuhi panggilanMu untuk menunaikan ibadat Umrah serta ibadat Haji. Tuhanku! Aku penuhi panggilanMu untuk memenuhi ibadat Umrah dan ibadat Haji.
715 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengerjakan ibadat Umrah sebanyak empat kali. Semuanya dikerjakan pada bulan Zulkaedah kecuali ibadat Umrah yang dikerjakan bersama ibadat Haji. Ibadat Umrah tersebut ialah ibadat Umrah secara berihram dari Hudaibiah atau ibadat Umrah yang dikerjakan pada zaman peristiwa Hudaibiah pada bulan Zulkaedah, ibadat Umrah tahun berikutnya yang dikerjakan pada bulan Zulkaedah, ibadat Umrah secara berihram di daerah Ja'ranah sewaktu baginda membahagi harta rampasan perang di Hunain juga pada bulan Zulkaedah dan ibadat Umrah yang dikerjakan bersama ibadat Haji.
716 Hadits Zaid bin Arqam r.a: Diriwayatkan dari Abu Ishak katanya: Aku pernah bertanya Zaid bin Arqam: Berapa kalikah kamu pernah ikut berperang bersama dengan Rasulullah s.a.w? Zaid menjawab: Tujuh belas kali. Zaid bin Arqam menceritakan kepadaku: Rasulullah s.a.w pernah berperang sebanyak sembilan belas kali dan baginda mengerjakan ibadat Haji hanya sekali selepas berhijrah yaitu Haji Wida'.
717 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Urwah bin Az-Zubair katanya: Aku dan Ibnu Umar pernah bersandar di bilik Saidatina Aisyah r.a. Kami mendengar dia sedang bersugi. Lalu aku bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman! Pernahkah Rasulullah s.a.w mengerjakan Umrah pada bulan Rejab? Dia menjawab: Ya! Pernah. Kemudian aku bertanya kepada Saidatina Aisyah r.a: Wahai ibu orang-orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu Abdul Rahman? Dia berkata: Apakah yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi s.a.w pernah mengerjakan Umrah pada bulan Rejab. Tambah beliau lagi: Semoga Allah mengampuni Abu Abdul Rahman. Demi usiaku, baginda tidak pernah mengerjakan Umrah pada bulan Rejab kerana setiap kali Rasulullah s.a.w mengerjakan Umrah, aku selalu mengikuti baginda. Urwah bin Az-Zubair berkata: Ketika itu Ibnu Umar hanya mendengar. Tidak berkata: Ya ataupun tidak. Beliau hanya diam.
718 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada seorang wanita dari kaum Ansar tetapi aku terlupa nama wanita tersebut sebagaimana yang diberitahu oleh Ibnu Abbas. Baginda bersabda: Apakah yang menghalang kamu dari mengerjakan ibadat Haji bersamaku? Wanita itu menjawab: Sebenarnya tidak ada halangan bagi kami, cuma kami hanya mempunyai dua ekor unta. Suami dan anakku telah pergi mengerjakan Haji dengan seekor unta. Tinggallah kepada kami seekor unta untuk mengangkat air. Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan pergilah mengerjakan Umrah kerana mengerjakan Umrah pada bulan tersebut pahalanya sama dengan mengerjakan Haji.
719 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya keluar melalui jalan Asy-Syajarah yaitu Masjid Zul Hulaifah dan masuk melalui jalan al-Mu'arras. Baginda memasuki Kota Mekah melalui Dataran Tinggi dan keluar melalui Dataran Rendah.
720 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Nabi s.a.w Apabila datang ke kota Mekah, baginda masuk melalui Dataran Tinggi dan keluar melalui Dataran Rendah.
721 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bermalam di daerah Zu Tuwa sehingga pagi kemudian baginda terus memasuki Kota Mekah.
722 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w menghadap ke arah dua batang jalan menuju ke bukit yang terletak di antara baginda dan sebuah bukit yang panjang mengelilingi Kaabah. Baginda membina sebuah masjid di sebelah kiri masjid yang telah sedia ada di atas sebuah bukit kecil. Musalla Rasulullah s.a.w berada lebih rendah berbanding dengan masjid tersebut yang telah sedia ada di atas bukit Sauda'. Jarak di antara bukit kecil tersebut dengan musalla Rasulullah s.a.w adalah sepuluh hasta atau seumpamanya. Kemudian baginda menunaikan sembahyang secara menghadap ke arah dua batang jalan menuju ke bukit panjang tersebut yang berada di antara kamu dan Kaabah.
723 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf di Baitullah, pertama sekali baginda berlari-lari anak sebanyak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Baginda bersaie secara berlari-lari anak di lembah (di antara dua lampu hijau) di antara Safa dan Marwah.
724 Hadits Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan dari Abu At-Tufail r.a katanya: Aku bertanya kepada Ibnu Abbas: Apakah pendapatmu mengenai berlari-lari anak ketika Tawaf di Baitullah sebanyak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Adakah ianya sunat? Sesungguhnya kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat. Ibnu Abbas r.a menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apakah maksud ucapanmu mereka benar dan juga bohong? Dia menjawab: Ketika Rasulullah s.a.w datang ke Mekah, orang-orang Musyrikin mengatakan Nabi Muhammad s.a.w dan Sahabat-sahabatnya tidak mampu untuk melakukan Tawaf di Baitullah kerana kurus. Mereka berhasad dengki terhadap baginda. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para Sahabatnya untuk berlari-lari anak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Aku bertanya lagi: Ceritakan kepadaku tentang Saie di antara Safa dan Marwah dengan menaiki kenderaan. Adakah ia sunat kerana kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat? Beliau menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apa pula maksud ucapanmu mereka benar dan mereka juga bohong itu? Beliau menjawab: Rasulullah s.a.w dikelilingi oleh orang ramai dan mereka berkata: Ini Muhammad! Ini Muhammad! Sehinggalah keluar wanita-wanita remaja dari rumah mereka. Tetapi Rasulullah s.a.w hanya diam saja. Setelah orang yang mengelilingi baginda semakin ramai baginda pun menaiki kenderaannya dan meneruskan Saie dengan lebih selesa.
725 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w mengusap benda yang ada di Kaabah melainkan rukun Yamani dan batu Hitam (Hajarul Aswad).
726 Hadits Saidina Umar bin al-Khattab r.a: Saidina Umar bin al-Khattab r.a pernah mengucup Hajarul Aswad. Kemudian dia berkata: Demi Allah! Aku tahu kamu hanyalah seketul batu. Sekiranya aku tidak melihat sendiri Rasulullah s.a.w mengucupmu, pasti aku tidak akan mengucupmu.
727 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melakukan Tawaf dengan menunggang unta semasa Haji Wida'. Baginda juga mengucup rukun dengan isyarat menggunakan tongkat yang berkepala bengkok.
728 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Aku telah mengadu persoalan yang aku hadapi kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Lakukanlah Tawaf di belakang mereka secara menunggang binatang. Lalu aku melakukan Tawaf manakala Rasulullah s.a.w sembahyang di tepi Kaabah sambil membaca surah At-Tur.
729 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Urwah r.a katanya: Aku berkata kepada Saidatina Aisyah r.a: Aku fikir, jika seseorang tidak bersaie antara Safa dan Marwah tidak mengapa. Dia bertanya: Kenapa? Aku menjawab: Kerana Allah s.w.t telah berfirman: Yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar-syiar Allah. Sehingga ke akhir ayat. Beliau berkata: Allah tidak menganggap sempurna Haji atau Umrah seseorang yang tidak bersaie antara Safa dan Marwah. Kalaulah benar seperti katamu itu, pasti tidak dikira satu kesalahan jika tidak bersaie di antara kedua tempat tersebut. Tahukah kamu perkara itu? Sesungguhnya pada zaman jahiliah golongan Ansar memuji dua berhala yang berada di tepi laut yang bernama Isaf dan Naailah. Kemudian mereka datang lalu bersaie antara Safa dan Marwah seterusnya mereka mencukur rambut. Setelah kedatangan Islam, mereka enggan bersaie di kedua tempat tersebut sebagaimana kebiasaan mereka lakukan pada masa jahiliah. Lalu Allah s.w.t menurunkan firmanNya: Yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar-syiar Allah. Sehingga akhir ayat. Tambah beliau lagi: Bersaielah kamu di antara keduanya.
730 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Golongan Ansar enggan bersaie di antara Safa dan Marwah sehinggalah turun ayat: Yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar-syiar Allah. Maka sesiapa yang mengerjakan Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, hendaklah bersaie di antara keduanya.
731 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Aku mengekori Rasulullah s.a.w bermula dari Arafah. Ketika sampai di suatu lereng bukit berhampiran dengan Muzdalifah, baginda berhenti lalu membuang air kecil. Kemudian aku tuangkan air untuk baginda berwuduk. Baginda berwuduk dengan ringkas. Aku bertanya: Kamu ingin sembahyangkah wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Di hadapan nanti, kemudian baginda menaiki tunggangannya. Sebaik sahaja tiba di Muzdalifah baginda sembahyang. Keesokan paginya, giliran al-Fadhli pula mengekori Rasulullah s.a.w ke Jam'an.
732 Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w berterusan membaca talbiah sehingga baginda melontar di Jamrah.
733 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Muhammad bin Abu Bakar As-Saqafi katanya: Dia bertanya kepada Anas bin Malik sewaktu mereka berdua dalam perjalanan dari Mina ke Arafah: Apakah yang kamu lakukan ketika bersama Rasulullah s.a.w di hari seperti ini? Beliau menjawab: Di antara kami ada yang bertalbiah dan ada yang bertakbir. Baginda tidak melarang kami.
734 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bertolak dari Arafah dan Usamah mengekori baginda. Usamah berkata: Rasulullah s.a.w terus berjalan sehingga sampai di Jam'an.
735 Hadits Usamah bin Zaid r.a: Diriwayatkan dari Urwah bin Az-Zubair r.a katanya: Aku pernah melihat Usamah bin Zaid r.a ditanya atau mungkin juga katanya: Aku pernah bertanya Usamah bin Zaid yang pernah diikuti oleh Rasulullah s.a.w dari Arafah: Bagaimana cara Rasulullah s.a.w berjalan sewaktu pulang dari Arafah? Beliau menjawab: Baginda berjalan secara sederhana, tetapi bila tiba di kawasan lapang baginda berjalan secara cepat.
736 Diriwayatkan dari Abu Ayyub r.a katanya: Dia pernah sembahyang Maghrib dan Isyak secara jamak di Muzdalifah ketika mengerjakan Haji Wida' bersama Rasulullah s.a.w.
737 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w sembahyang Maghrib dan Isyak secara jamak di Muzdalifah.
738 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w sembahyang melainkan pada waktunya kecuali sembahyang Maghrib dan Isyak di Jam'an begitu juga sembahyang Subuh pada hari tersebut bukan pada waktunya.
739 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Saudah meminta izin dari Rasulullah s.a.w pada suatu malam di Muzdalifah untuk bertolak terlebih dahulu sebelum baginda dan rombongan orang ramai bertolak. Dia adalah seorang wanita yang gemuk. al-Qasim mengatakan sangat gemuk. Rasulullah s.a.w pun mengizinkannya. Lalu dia bertolak lebih dahulu sebelum baginda. Sementara itu kami menunggu hingga pagi, barulah kami bertolak bersama baginda. Aku tidak akan meminta izin dari Rasulullah s.a.w sebagaimana yang dilakukan oleh Saudah tersebut kerana aku lebih suka bertolak bersama izin baginda.
740 Hadits Asma' r.a: Diriwayatkan dari Abdullah seorang lelaki suruhan Asma' berkata: Asma' ketika berada di rumahnya di Muzdalifah pernah bertanya kepadaku: Adakah bulan telah tenggelam? Aku menjawab: Belum. Lalu dia mendirikan sembahyang. Beberapa detik kemudian dia bertanya aku lagi: Wahai anakku! Adakah bulan telah tenggelam? Aku menjawab: Sudah. Lalu dia berkata: Kalau begitu siapkan unta untukku. Seterusnya kami sama-sama berangkat sehingga dia melontar di Jamrah dan mendirikan sembahyang di kediamannya. Oleh kerana kehairanan melihatnya lantas aku bertanya: Puan! Kita berangkat tadi masih pagi dan belum terbit matahari. Asma' menjawab: Tidak wahai anakku. Sesungguhnya Nabi s.a.w merestui hal itu bagi kaum wanita.
741 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah diutuskan oleh Rasulullah s.a.w bersama-sama dengan kelengkapan musafir atau mungkin juga diriwayatkan bersama perempuan dan kanak-kanak bermula dari Jam'an pada waktu malam.
742 Hadits Abdullah bin Umar r.a: Diriwayatkan dari Salim bin Abdullah katanya: Abdullah bin Umar diminta supaya berangkat terlebih dahulu menemani rombongan yang lemah dari keluarga baginda. Mereka berhenti di Masy'aril Haram di Muzdalifah pada waktu malam. Mereka berdzikir kepada Allah kemudian mereka bertolak lagi sebelum imam sempat berhenti dan sebelum imam bertolak. Di antara mereka ada yang terus menuju ke Mina untuk menunaikan sembahyang subuh dan ada pula bertolak selepas itu. Apabila semua telah sampai, mereka mula melontar di Jamrah. Ibnu Umar berkata: Rasulullah s.a.w memang telah memberi kelonggaran kepada mereka.
743 Hadits Abdullah bin Mas ud r.a: Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Yazid r.a katanya: Abdullah bin Mas'ud r.a melontar di Jamrah Aqabah dari perlembahan wadi. Aku berkata: Wahai Abu Abdul Rahman! Orang ramai melontarnya dari atas. Abdullah bin Mas'ud menjawab: Demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, di situlah tempat diturunkan surah al-Baqarah.
744 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mencukur rambut dan diikuti oleh beberapa orang Sahabat baginda. Ada juga Sahabat yang hanya memotongnya sahaja. Abdullah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah merahmati orang yang mencukur rambutnya sekali atau dua kali seterusnya baginda menyambung sabdanya: Dan orang yang memotong rambut.
745 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ya Allah! Berikanlah keampunan kepada orang yang mencukur rambut. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pula dengan orang yang hanya memotongnya? Baginda bersabda: Ya Allah! Berilah keampunan kepada orang yang mencukur rambut. Mereka bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan orang yang hanya memotongnya? Baginda bersabda: Ya Allah! Berikanlah keampunan kepada orang yang mencukur rambut. Mereka bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan orang yang hanya memotongnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Dan kepada orang yang memotongnya.
746 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mencukur rambut baginda ketika mengerjakan Haji Wida'.
747 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w tiba di Mina lalu menuju ke Jamrah dan melontar. Kemudian baginda kembali ke kediamannya di Mina lantas menyembelih korban. Baginda bersabda kepada tukang cukur: Cukurlah! Sambil menunjukkan bahagian sebelah kanan kepala baginda, kemudian sebelah kiri. Setelah itu rambut baginda diberikan kepada para Sahabat.
748 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah berdiri di Mina untuk menjawab pertanyaan orang ramai ketika mengerjakan Haji Wida'. Seorang lelaki datang lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah bercukur secara tak sengaja sedangkan aku belum menyembelih korban. Baginda bersabda: Sembelihlah korban, itu tidak mengapa. Kemudian datang seorang lelaki lain lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah menyembelih korban secara tidak sengaja sedangkan aku belum melontar. Baginda bersabda: Melontarlah, itu tidak mengapa. Abdullah bin Amru bin al-As berkata: Setiap kali Rasulullah s.a.w ditanya tentang sesuatu yang telah terlanjur dilakukan (tidak sengaja), baginda hanya bersabda: Lakukanlah! Itu tidak mengapa.
749 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w pernah ditanya mengenai masalah sembelihan korban, bercukur, melontar, mendahulukan dan melewatkan. Baginda menjawab: Tidak mengapa.
750 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Abdul Aziz bin Rufai' r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Anas bin Malik: Ceritakan kepadaku tentang sesuatu yang kamu ketahui dari Rasulullah s.a.w. Di manakah baginda menunaikan sembahyang Zuhur pada hari Tarwiah yaitu hari kelapan Zulhijah? Dia menjawab: Di Mina. Aku bertanya lagi: Di manakah baginda menunaikan sembahyang Asar pada hari Nafar? Dia menjawab: Di al-Abtah. Kemudian dia berkata: Lakukanlah sebagaimana yang telah dilakukan oleh pemimpinmu.
751 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w, Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a pernah berhenti seketika di daerah al-Abtah.
752 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Berhenti seketika di daerah al-Abtah bukanlah sunat tetapi Rasulullah s.a.w pernah melakukannya kerana daerah itu adalah suatu tempat yang memudahkan baginda untuk berangkat pulang.
753 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Tahsib bukanlah bermaksud apa-apa, tetapi ia merupakan suatu tempat persinggahan di mana Rasulullah s.a.w pernah berhenti seketika di situ.
754 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Insya Allah, esok kita akan berhenti di lembah Bani Kinanah, di mana mereka pernah bersumpah dengan orang kafir.
755 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: al-Abbas bin Abdul Mutalib pernah meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk bermalam di Mekah pada malam hari Mina kerana kepentingannya mencari air, maka baginda pun mengizinkannya.
756 Diriwayatkan dari Saidina Ali k.w katanya: Rasulullah s.a.w pernah menyuruhku untuk menguruskan unta baginda, kemudian menyedekahkan daging, kulit dan perhiasannya tanpa diberikan kepada penyembelih. Lalu baginda bersabda: Kami akan memberikannya sendiri.
757 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Kami pernah menyembelih binatang korban bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Hudaibiah dengan seekor unta kepada tujuh bahagian dan lembu juga kepada tujuh bahagian.
758 Hadits Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Ziad bin Az-Zubair katanya: Ibnu Umar pernah menghampiri seorang lelaki yang sedang menyembelih untanya yang berada dalam keadaan duduk berlutut. Dia berkata: Bangunkanlah ia, biarkan ia supaya berada dalam keadaan berdiri dan terikat (kaki bahagian hadapan dan bahagian kiri). Itulah sunnah Nabi kamu.
759 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengirimkan binatang korban dari Madinah dan akulah yang memintal kalung-kalung binatang korbannya. Baginda tidak menjauhi apa pun yang sepatutnya dijauhi oleh orang yang sedang berihram.
760 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah melihat seorang lelaki membawa seekor unta lalu baginda bersabda: Tunggangilah ia. Lelaki tadi menjawab: Wahai Rasulullah! Ia adalah seekor unta yang akan dikorbankan. Baginda bersabda: Naikilah! Kalau tidak rugilah kamu. Dalam sabda yang kedua atau ketiga.
761 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bertemu dengan seorang lelaki yang sedang membawa seekor unta kemudian baginda bersabda: Tunggangilah ia. Lelaki tadi menjawab: Ia adalah unta yang akan dikorbankan. Baginda bersabda: Tunggangilah ia! Baginda mengulangi sampai dua atau tiga kali.
762 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Dulu manusia pernah beredar ke setiap arah selepas melakukan ibadat Haji lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah sekali-kali kamu berlalu pergi sehingga mengakhirinya di Baitullah yaitu melakukan Tawaf Wida' terlebih dahulu.
763 Hadits Bilal r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w memasuki Kaabah bersama Usamah, Bilal dan Othman bin Talhah al-Hajabi, kemudian baginda menutupnya dan terus berada di dalamnya. Ibnu Umar r.a berkata: Aku bertanya kepada Bilal ketika beliau keluar: Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Baginda menempatkan diri dengan menjadikan di sebelah kiri baginda dua batang tiang, di sebelah kanan satu batang tiang dan tiga batang tiang di belakang baginda. Baitullah pada masa itu terdapat enam batang tiang. Kemudian baginda mendirikan sembahyang.
764 Hadits Usamah bin Zaid r.a: Diriwayatkan dari Ibnu Juraij katanya: Aku pernah bertanya kepada Ata': Adakah kamu pernah mendengar Ibnu Abbas r.a berkata: Kamu hanya diperintahkan untuk melakukan Tawaf, bukan diperintah untuk memasuki ke dalamnya. Ata' berkata: Beliau tidak melarang dari memasukinya. Tapi aku mendengar beliau berkata: Usamah bin Zaid r.a pernah menceritakan padaku: Nabi s.a.w ketika masuk Baitullah baginda berdoa di setiap sudutnya dan baginda tidak melakukan sembahyang sehinggalah keluar. Setelah keluar, baginda sembahyang dua rakaat di hadapan Baitullah. Baginda bersabda: Ini adalah kiblat. Kemudian aku bertanya kepada Usamah: Pada setiap penjuru atau pada satu sudut sahaja? Beliau menjawab: Pada setiap sudut Baitullah adalah kiblat.
765 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah masuk ke Kaabah. Di dalamnya terdapat enam batang tiang. Baginda berdiri berhampiran salah satu tiang lalu berdoa. Baginda tidak menunaikan sembahyang.
766 Hadits Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan dari Ismail bin Abu Khalid katanya: Aku pernah bertanya kepada Abdullah bin Abu Aufa r.a yang pernah mengiringi Rasulullah s.a.w: Adakah Nabi s.a.w pernah masuk ke dalam Baitullah ketika menunaikan Umrah? Beliau menjawab: Tidak!.
767 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadanya: Jika tidak kerana kaummu (yaitu orang Quraisy), baru sahaja meninggalkan kekufuran (memeluk Islam) sudah tentu aku meruntuhkan Kaabah dan aku membinanya semula di atas asas Nabi Ibrahim a.s kerana orang-orang Quraisy telah mengurangkan binaannya semasa membina semula Baitullah. Aku akan binakan sebuah pintu di sebelah belakangnya.
768 Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a katanya: al-Fadhli bin Abbas pernah mengikuti Rasulullah s.a.w. Seorang wanita dari daerah Khath'am menemui baginda untuk meminta fatwa. al-Fadhli memandang wanita itu dan kebetulan wanita itu juga memandangnya. Melihat keadaan itu Rasulullah s.a.w memalingkan wajah al-Fadhli ke arah lain. Wanita itu berkata: Wahai Rasulullah! Allah telah mewajibkan ke atas hamba-hambanya mengerjakan ibadat Haji. Aku dapati ayahku telah lanjut usia, tidak mampu bertahan di atas kenderaan. Adakah boleh aku menunaikan ibadat Haji sebagai gantinya? Baginda menjawab: Ya! Peristiwa ini terjadi ketika baginda mengerjakan Haji Wida'.
769 Diriwayatkan dari al-Fadhli r.a katanya: Seorang wanita dari daerah Khath'am pernah bertanya: Wahai Rasulullah! Ayahku telah lanjut usia dan telah diwajibkan ke atasnya untuk menunaikan Haji, sedangkan dia tidak mampu bertahan di atas belakang untanya. Nabi s.a.w bersabda: Kamu tunaikanlah Haji sebagai gantinya.
770 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah kepada kami: Wahai manusia! Allah s.w.t telah mewajibkan kepada kamu mengerjakan Haji, tunaikanlah Haji. Seorang lelaki bertanya: Adakah setiap tahun, wahai Rasulullah? Baginda hanya diam sahaja hingga lelaki tadi mengulangi pertanyaannya tiga kali. Rasulullah s.a.w pun menjawab: Jika aku katakan Ya, tentu ianya wajib dilakukan setiap tahun dan kamu tidak mungkin mampu melakukannya. Baginda bersabda lagi: Tinggalkanlah sesuatu yang aku tidak galakkan kepada kamu. Kemusnahan umat yang terdahulu dari kamu ialah kerana mereka banyak bertanya dan tidak ada persefahaman dengan Nabi mereka. Jadi, apabila aku perintahkan sesuatu kepada kamu, lakukanlah sedaya kamu dan apabila aku melarang dari melakukan sesuatu, tinggalkanlah!.
771 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah seseorang wanita musafir selama tiga hari melainkan bersama mahram.
772 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga buah masjid. Masjidku ini (Masjid Nabi), Masjidil Haram dan Masjidilaqsa. Aku juga pernah mendengar baginda bersabda: Janganlah seseorang wanita musafir selama dua hari melainkan bersama mahram atau suaminya.
773 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Haram bagi wanita muslim musafir dalam suatu perjalanan melainkan bersama-samanya seorang lelaki mahramnya.
774 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat musafir, di mana perjalanannya melebihi dari tiga hari melainkan bersama ayah, anak lelaki, suami, saudara lelaki atau siapa sahaja mahramnya yang lain.
775 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Jangan sekali-kali seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita melainkan bersama mahramnya dan janganlah seorang wanita musafir melainkan bersama mahramnya. Seorang lelaki berdiri lalu berkata: Wahai Rasulullah! Isteriku telah keluar untuk mengerjakan ibadat Haji sedangkan aku wajib mengikuti beberapa peperangan. Baginda bersabda: Berangkatlah kamu untuk mengerjakan Haji bersama isterimu.
776 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w pulang dari ketenteraan, peperangan kecil-kecilan, mengerjakan Haji atau dari mengerjakan Umrah, baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali dan berdoa apabila baginda tiba di lembah-lembah atau lereng-lereng bukit dengan doa: Yang bermaksud: Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala puji. Dia Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Kami pulang, bertaubat, mengabdi, bersujud dan kami memuji kepada Tuhan kami. Allah telah menepati janjiNya, menolong hambaNya dan mengalahkan dengan sendiri pasukan-pasukan yang bersekutu.
777 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Aku pernah pulang bersama Rasullah s.a.w, Abu Talhah dan Sofiah yang memboceng di belakang unta baginda. Ketika kami berhampiran dengan jalan menuju ke Madinah, baginda berdoa: yang bermaksud: Kami pulang, bertaubat, mengabdikan diri serta memuji Tuhan. Baginda berterusan membaca doa tersebut hinggalah tiba di Madinah.
778 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berhenti seketika di Batha' yang berada di Daerah Zul Hulaifah untuk mendirikan sembahyang di situ.
779 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah didatangi oleh Malaikat ketika sedang berhenti rehat di Daerah Zul Hulaifah. Kemudian dikatakan kepada baginda: Sesungguhnya engkau berada di Batha' yang penuh dengan keberkatan.
780 Hadits Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah disuruh oleh Abu Bakar As-Siddiq yang ketika itu beliau dilantik oleh Rasulullah s.a.w menjadi pemimpin menangani masalah Haji yaitu Amirul Haji sebelum berlakunya Haji Wida' dan untuk menyampaikan pengumuman kepada seluruh manusia pada Hari Nahr (Hari Raya Korban): Bermula dari tahun ini orang-orang Musyrik tidak dibolehkan lagi melakukan kegiatan Haji dan Tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang.
781 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ibadat Umrah hingga ibadat Umrah berikutnya adalah kifarat dosa di antara keduanya. Manakala ibadah Haji yang Mabrur yaitu Haji yang diterima, tiada ganjarannya selain dari Surga.
782 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang berkunjung ke Baitullah dan tidak bercakap dengan percakapan yang keji serta tidak berbuat fasik, maka dia akan kembali seperti ketika dia dilahirkan oleh ibunya.
783 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid bin Harithah r.a katanya Sesungguhnya dia pernah bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah kamu akan singgah di kediaman kamu di Mekah? Rasulullah s.a.w menjawab: Adakah Aqil meninggalkan beberapa buah rumah untuk kita?.
784 Diriwayatkan dari al-Ala' bin al-Hadrami r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Orang Muhajirin, hanya dibenarkan tinggal di Mekah, selama tiga hari setelah selesai mengerjakan Haji atau Umrah.
785 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada lagi yang dinamakan hijrah dari Mekah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu dipanggil oleh pemerintah untuk berperang, maka berangkatlah. Diketika yang lain, ketika pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan Kota Mekah sewaktu Dia menciptakan langit dan bumi. Pengharaman itu berterusan sehingga hari Kiamat kelak. Sebelumku, tiada siapa pun yang dibolehkan berperang di negeri ini. Aku sendiri pun tidak dibolehkan melakukan perkara yang sama kecuali satu ketika. Kota ini telah diharamkan oleh Allah hingga hari Kiamat nanti. Pokok-pokok tidak boleh ditebang, binatang buruan tidak boleh dibunuh yaitu diburu, barang yang ditemui di Kota ini tidak boleh diambil kecuali orang yang ingin mengumumkan, rumput-rumput tidak boleh dicabut atau dipotong. al-Abbas r.a bertanya: Adakah rumput lalang terkecuali wahai Rasulullah kerana ia sangat berguna kepada manusia? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya! Kecuali rumput lalang.
786 Diriwayatkan dari Abu Syuraih al-Adawi r.a katanya: Sesungguhnya dia pernah berkata kepada Amru bin Said, yang telah mengutus beberapa orang utusan ke Mekah: Izinkan aku wahai Amir! Untuk menceritakan kepada kamu satu ucapan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah. Aku mendengar sendiri sabda baginda dengan kedua telinga aku, dengan hati yang khusyuk dan dengan kedua pasang mata aku terus menatap baginda. Setelah memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Sesungguhnya Allahlah yang mengharamkan Mekah, bukan manusia yang mengharamkannya. Maka diharamkan bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat menumpahkan darah di Kota Mekah atau memotong pokok-pokok di dalamnya. Jika ada seseorang yang mempersoalkan keringanan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w dalam hal ini, katakan saja kepada mereka; sesungguhnya Allah memang mengizinkan kepada RasulNya tetapi tidak mengizinkannya kepada kamu. Sebenarnya aku sendiri pun hanya diizinkan seketika sahaja di waktu siang hari kemudian kembali diharamkan. Pengharaman yang berlaku hari ini adalah sebagaimana sebelumnya. Jadi, hendaklah orang yang hadir yaitu menyaksikan, menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir.
787 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ketika Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung berkenan membuka Kota Mekah untuk Rasulullah s.a.w, baginda berdiri di hadapan manusia. Setelah memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Sesungguhnya Allah telah berkenan melindungi Kota Mekah dari serangan tentera bergajah dan mengizinkan kepada rasulNya dan orang Mukmin menguasai Kota tersebut. Sesungguhnya dalam Kota Mekah tidak dihalalkan kepada sesiapapun sebelum atau sesudahku. Aku sendiri pun hanya dihalalkan seketika sahaja pada waktu siang hari. Binatang buruan dalam Kota itu juga tidak boleh dibunuh. Begitu juga pokok-pokok tidak boleh ditebang, barang yang ditemui juga tidak boleh diambil, kecuali orang yang ingin mengumumkan. Sesiapa yang dibunuh, maka wali atau keluarganya boleh membuat dua pilihan, samada mahu menuntut diat atau bunuh balas. Abu Abbas r.a bertanya: Adakah izkhir (sejenis tumbuhan berbau harum) terkecuali wahai Rasulullah? Kerana itu izkhir (sejenis tumbuhan berbau harum) boleh digunakan untuk keperluan kubur dan rumah kita. Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Kecuali rumput lalang. Tiba-tiba seorang lelaki dari penduduk Yaman bernama Abu Syah berdiri dan berkata: Tulislah untukku wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Tuliskanlah untuk Abu Syah.
788 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w telah memasuki Kota Mekah ketika pembukaan Kota tersebut dengan memakai sejenis topi besi. Ketika baginda membuka topi besi itu, datang seorang lelaki dan berkata: Ibnu Khatal bergantung di tirai Kaabah. Nabi s.a.w memerintahkan kepada para Sahabat: Bunuhlah dia. Malik menjawab: Baiklah.
789 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid bin A'sim r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Nabi Ibrahim a.s telah memuliakan yaitu mengharamkan Kota Mekah dan mendoakan keberkatan terhadap penduduknya. Maka sesungguhnya aku pun memuliakan yaitu mengharamkan Kota Madinah sebagaimana Nabi Ibrahim a.s telah memuliakan yaitu mengharamkan Kota Mekah. Dan sesungguhnya aku juga telah mendoakan keberkatan makanan di Kota Madinah, sebagaimana yang pernah didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s kepada penduduk Mekah.
790 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari 'Asim r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik r.a: Adakah benar Rasulullah s.a.w telah memuliakan yaitu mengharamkan Kota Madinah? Anas r.a menjawab: Ya! Antara dua gunung ini. Kemudian Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepadaku dengan nada mengancam: Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat atau fidyah yaitu penebus dosa darinya pada hari Kiamat kelak.
791 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah berdoa: yang bermaksud: Ya Allah. Limpahkanlah keberkatan berganda terhadap Kota Madinah sebagaimana yang Engkau telah kurniakan terhadap Kota Mekah.
792 Hadits Ali bin Abu Talib r.a: Diriwayatkan dari Yazid bin Syarik bin Tariq r.a katanya: Saidina Ali bin Abu Talib r.a telah berkhutbah kepada kami: Sesiapa yang menganggap bahawa di sisi kita ada sesuatu yang kita baca selain dari kitab Allah dan Sahifah ini yaitu Sahifah yang digantung pada sarung pedangnya, bererti dia telah berdusta. Dalam Sahifah ini terkandung masalah mengenai gigi, yang diberikan sebagai diat, juga beberapa masalah mengenai tindakan jenayah. Juga terdapat sabda Nabi s.a.w: Kota Madinah adalah tanah haram, sempadannya bermula dari gunung 'Aair hingga gunung Thaur. Sesiapa yang melakukan suatu dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia pada Hari Kiamat kelak. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya. Jaminan muslimin itu adalah suatu yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Sesiapa yang mendakwa bahawa dia bukan keturunan ayahnya atau mendakwa pada selain dari tuannya, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya pada Hari Kiamat kelak. Hadits Abu Bakar r.a dan Zuhair r.a hanya terhenti pada lafaz: Yang diusahakan oleh orang yang paling rendah dikalangan mereka. Mereka berdua tidak menyebut lafaz selepasnya, yaitu lafaz tergantung pada sarung pedangnya.
793 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Kota Madinah adalah Tanah Haram. Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Pada Hari Kiamat kelak, Allah tidak akan menerima taubat dan fidyahnya.
794 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ketika kami tiba di Kota Madinah, Kota tersebut dilanda wabak penyakit yang amat serius, sehingga Abu Bakar r.a dan Bilal r.a mengadukan hal itu. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w menerima pengaduan dari para Sahabat, baginda berdoa: yang bermaksud: Ya Allah, jadikanlah kami semua agar tetap menyintai Kota Madinah, sebagaimana yang Engkau anugerahkan perasaan cinta kepada Kota Mekah, bahkan lebih dari itu. Limpahkanlah kemakmuran pada Kota ini dan berkatilah kepada kami makanan yang terdapat di dalamnya, samada yang disukat dengan sukatan gantang ataupun cupak. Jauhilah penyakit dari Kota Madinah ke daerah Juhfah.
795 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Pada setiap lubang yaitu Pintu masuk ke Kota Madinah terdapat Malaikat yaitu Penjaga. Penyakit taun dan juga Dajjal tidak dapat masuk.
796 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Akan tiba suatu masa di mana seorang lelaki akan mengajak sepupu dan saudara maranya: Marilah bersenang lenang! Marilah bersenang lenang! Padahal Kota Madinah adalah lebih baik bagi mereka sekiranya mereka mengetahui. Demi jiwaku berada dalam genggamanNya. Setiap orang dari mereka yang meninggalkan Kota Madinah kerana tidak suka, maka Allah akan menggantikan orang yang lebih baik darinya. Ketahuilah, sesungguhnya Kota Madinah umpama cerobong dapur yang mengeluarkan asap yaitu kotoran. Hari Kiamat tidak akan berlaku sebelum Kota Madinah mengeluarkan segala keburukan (orang kafir dan munafik) sebagaimana cerobong dapur yang mengeluarkan asap yaitu kotoran.
797 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki kampung telah berbai'at kepada Rasulullah s.a.w. Suatu hari dia diserang penyakit yang amat serius di Kota Madinah. Lalu dia menemui Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Muhammad! Batalkan sahaja pembai'atanku. Namun Rasulullah s.a.w menolak. Kemudian dia datang lagi kepada baginda dan berkata: Batalkan pembai'atanku namun Rasulullah s.a.w tetap menolak. Untuk kali ketiganya dia menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Batalkan sahaja pembai'tanku. Tetapi Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Kota Madinah umpama cerobong dapur. Ia menyingkir kekotoran (kefasikan dan maksiat) dan menghasilkan bau wangi semerbak.
798 Diriwayatkan dari Zaid bin Thabit r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya Kota Madinah itu baik yaitu aman kerana ia akan mengeluarkan keburukan (kefasikan dan maksiat), seperti api mengeluarkan kotoran tembaga.
799 Diriwayatkan dari Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang bermaksud jahat terhadap penduduk Madinah, maka Allah akan memusnahkannya seperti garam yang larut dalam air.
800 Diriwayatkan dari Sufian bin Abu Zuhair r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Semasa Kota Syam dibuka, ramai yang meninggalkan Kota Madinah bersama keluarga mereka menuju ke Kota tersebut, padahal kalau mereka tahu, Kota Madinah adalah lebih baik bagi mereka. Kemudian Yaman pula dibuka, maka ramailah yang keluar dari Kota Madinah bersama keluarga mereka menuju ke Kota tersebut. Sedangkan Kota Madinah adalah lebih baik untuk mereka. Ketika Iraq dibuka, ramai juga yang keluar dari Kota Madinah bersama keluarga mereka menuju ke Kota itu, sedangkan Kota Madinah adalah yang terbaik untuk mereka sekiranya mereka benar-benar mengetahui.
801 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menyebut-nyebut tentang Kota Madinah: Seandainya Kota ini ditinggalkan oleh penduduknya, keadaannya tetap utuh yaitu baik, walaupun ia hanya dihuni oleh al-Awafi, yaitu binatang-binatang buas dan burung.
802 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid al-Mazini r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tempat yang berada di antara rumahku dan mimbarku adalah di antara taman-taman Surga.
803 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tempat yang berada di antara rumahku dan mimbarku adalah di antara taman-taman Surga. Mimbarku berada berhampiran dengan telagaku.
804 Diriwayatkan dari Abu Humaid r.a katanya: Kami pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Tabuk. Setelah kami melalui Wadi al-Qura, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku mesti cepat. Sesiapa di antara kamu yang ingin bersamaku, hendaklah dia bersegera dan sesiapa yang tidak ingin bersamaku, dia boleh tetap di sini. Maka kami pun berangkat bersama baginda. Ketika kami hampir tiba di Kota Madinah, Rasulullah s.a.w bersabda: Ini adalah Kota Tobah dan ini pula adalah Bukit Uhud, yaitu bukit yang menyintai kami yaitu orang-orang mukmin dan kami juga menyintainya.
805 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Bukit Uhud adalah bukit yang menyintai kita yaitu orang-orang mukmin dan kita juga memang menyintainya.
806 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Sembahyang satu waktu di masjidku adalah lebih utama dari mengerjakan sembahyang sebanyak seribu kali di masjid lain kecuali Masjidil Haram.
807 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali menuju ke tiga buah masjid yaitu masjidku ini yaitu masjid Nabi, Masjidil Haram di Mekah dan Masjidil Aqsa.
808 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berkunjung ke Quba' dengan menunggang binatang tunggangan dan juga berjalan kaki.

NIKAH
809 Hadits Abdullah bin Mas'ud r.a: Diriwayatkan dari Alqamah r.a katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Othman r.a yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Othman r.a bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r.a menjawab: Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada kami: Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan yaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal yaitu benteng nafsu.
810 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya beberapa orang Sahabat r.a bertanya kepada isteri-isteri Nabi s.a.w mengenai amalan yang dilakukan oleh baginda secara diam-diam. Maka ada di antara mereka yang memberitahu bahawa dia tidak akan berkahwin. Ada juga yang memberitahu bahawa dia tidak makan daging dan ada pula yang memberitahu bahawa dia tidak pernah tidur di atas hamparan. Mendengar hal itu semua, Nabi s.a.w memuji kepada Allah dan bersabda: Apa kena dengan kaum itu, mereka berbicara itu dan ini, sesungguhnya aku mendirikan sembahyang dan aku juga tidur, aku berpuasa, berbuka dan aku juga berkahwin. Maka sesiapa yang tidak suka sunnahku, dia bukanlah golonganku yaitu umatku.
811 Diriwayatkan dari Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang Othman bin Maz'un untuk membujang. Seandainya baginda merestuinya, pasti kami akan membujang.
812 Diriwayatkan dari Abdullah r.a katanya: Kami telah keluar berperang bersama Rasulullah s.a.w tanpa membawa isteri. Kami bertanya Rasulullah bolehkah kami mengembiri (kasi) kemaluan kami. Rasulullah segera menahan kami dari melakukannya. Baginda membenarkan kami mengahwini orang perempuan bermaskahwinkan sehelai baju untuk tempoh waktu yang tertentu, kemudian Abdullah membaca firman Allah: Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman jangan sekali-kali kamu mengharamkan benda baik yang telah Allah halalkan untuk kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampau batas.
813 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Tukang azan Rasulullah s.a.w telah menemui kami dan berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengizinkan kamu menikmati mut'ah yaitu mengahwini perempuan secara mut'ah yaitu mengahwini mereka untuk suatu tempoh tertentu.
814 Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib k.w katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w melarang yaitu umat Islam berkahwin secara mut'ah pada hari peperangan Khaibar. Rasulullah s.a.w juga melarang dari memakan daging kaldai peliharaan pada hari tersebut.
815 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak boleh dihimpunkan yaitu dimadukan antara seorang perempuan dengan emak saudaranya sebelah ayahnya ataupun sebelah ibunya.
816 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Bahawa Nabi s.a.w telah mengahwini Maimunah sedangkan ketika itu baginda berada dalam keadaan berihram.
817 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Jangan ada di antara kamu yang menjual atas jualan orang lain dan juga jangan ada di antara kamu yang meminang terhadap pinangan orang lain.
818 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melarang orang bandar menjual kepada orang desa yaitu seperti orang badwi, mereka menjual secara menipu yaitu supaya nilai barang menjadi tinggi atau seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya, juga seseorang itu menjual atas jualan saudaranya. Jangan sekali-kali seorang perempuan berusaha melakukan sesuatu supaya saudara perempuannya diceraikan oleh suaminya supaya dia dapat menggantikan tempat saudaranya itu atau merusakkan kehidupan suami isteri.
819 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menegah dari melaksanakan perkahwinan tanpa maskahwin yaitu seorang lelaki mengahwinkan anaknya dengan seorang lelaki lain supaya lelaki tersebut mengahwinkan pula anak perempuannya dengan dia dan perkahwinan itu tiada maskahwin.
820 Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Syarat yang paling berhak kamu sempurnakan ialah perkara yang menyebabkan faraj yaitu kemaluan wanita menjadi halal untuk kamu.
821 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Jangan mengahwinkan seorang perempuan janda sehinggalah diminta persetujuan serta mengadakan perbincangan dan jangan mengahwinkan seorang gadis sehinggalah diminta persetujuannya. Para Sahabat bertanya: Bagaimana hendak mengetahui persetujuan seorang gadis. Baginda menjawab: Dia diam.
822 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang seorang jariah yang akan dikahwinkan oleh keluarganya adakah perlu meminta keizinan serta persetujuan atau tidak perlu? Lalu Rasulullah s.a.w memberitahu kepada Aisyah: Ya! Hendaklah diminta persetujuannya. Saidatina Aisyah menyambung lagi: Aku memberitahu lagi kepada Baginda bahawa jariah itu seorang pemalu. Rasulullah s.a.w memberitahu persetujuannya sekarang ialah diam.
823 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengahwini aku semasa aku berumur enam tahun dan tinggal bersamaku semasa aku gadis berusia sembilan tahun. Aisyah menyambung lagi: Kami telah berhijrah ke Madinah dan aku demam panas selama sebulan sehinggalah rambut aku mencecah hingga paras bahu. Ketika itu ibu kandungku Ummu Rumaan datang berjumpa aku yang sedang berada atas buaian bermain bersama teman-temanku lalu dia memanggilku dan aku segera berjumpa dengannya yaitu dalam keadaan aku tidak mengetahui apa yang hendak dia lakukan terhadapku. Ibuku memegang tanganku yaitu membawa aku untuk masuk ke dalam rumah sehinggalah dia memberhentikan aku di pintu dan aku melepaskan lelahku sehingga keadaanku menjadi tenang. Selepas itu ibuku membawa aku masuk ke dalam rumah. Aku dapati ramai wanita Ansar, mereka menyambut kami dengan mesra serta mendoakan untuk pengantin supaya diberi kesenangan dan keberkatan. Ibuku menyerahkan aku kepada mereka lalu mereka membasuh kepalaku dan menghiaskan diriku secantik mungkin. Rasulullah s.a.w tidak mendatangiku secara tiba-tiba tetapi mereka yaitu perempuan-perempuan Ansar menyerahku kepada baginda ketika waktu Dhuha.
824 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk meyerahkan diriku kepadamu. Lalu Rasulullah s.a.w memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhati dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya. Apabila perempuan itu mendapati Rasulullah s.a.w diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang Sahabat dan berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya kahwinkanlah aku dengannya. Rasulullah s.a.w segera bertanya: Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan maskahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Baginda bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan maskahwin. Lantas Sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan maskahwin. Maka Rasulullah s.a.w berkata lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi. Lalu Sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata: Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini yaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya (Sahl berkata: Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan) maka aku berikannya kepada perempuan tersebut. Rasulullah s.a.w berkata: Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai. Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Rasulullah s.a.w memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila Sahabat tersebut sampai, Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang engkau miliki dari al-Quran? Sahabat tersebut menjawab: Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya, Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Adakah engkau membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Rasulullah berkata: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah al-Quran yang engkau hafaz.
825 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah yaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Rasulullah mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.
826 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Aku telah menghadiri majlis kenduri sempena perkahwinan Zainab. Rasulullah s.a.w telah menghidang kepada orang ramai, roti dan daging. Rasulullah s.a.w menyuruh aku menjemput mereka, apabila mereka selesai makan. Rasulullah s.a.w bangun lalu beredar dan aku mengekori baginda. Ketika itu aku dapati masih ada dua orang lelaki sedang asyik berbual dan masih belum keluar. Ketika Rasulullah s.a.w mula masuk berjumpa dengan isteri-isterinya, baginda mengucapkan salam kepada setiap seorang dari mereka: Assalamualaikum! Apa khabar kamu semua? Mereka menjawab: Baik! Wahai Rasulullah dan bertanya: Bagaimana isterimu? Rasulullah s.a.w menjawab: Baik! Setelah selesai, baginda kembali bersamaku. Ketika sampai di pintu didapati dua lelaki itu masih lagi asyik berbual. Apabila keduanya melihat Rasulullah s.a.w pulang, kedua-duanya bangkit dan keluar dari rumah Rasulullah s.a.w. Aku tidak pasti mengapa mereka keluar. Adakah aku telah menyuruh mereka supaya keluar atau wahyu diturunkan kepada Rasulullah s.a.w menyuruh mereka keluar. Ketika baginda meletakkan kaki di ambang pintu setelah pulang bersamaku, baginda melabuhkan tirai antaraku dengan baginda dan ketika itu turunlah firman Allah: Hingga ke akhir ayat, yang bermaksud: Jangan kamu memasuki rumah Nabi kecuali setelah mendapat keizinannya.
827 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila seseorang dari kamu dijemput ke majlis kenduri maka hendaklah kamu menghadirinya.
828 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Makanan yang buruk ialah makanan di majlis kenduri yang mana jemputannya ialah orang-orang kaya sahaja dan orang-orang miskin tidak dijemput. Orang yang tidak memenuhi jemputan sesungguhnya dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan RasulNya.
829 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Isteri Rifaah telah datang menemui Nabi s.a.w seraya berkata: Aku pernah menjadi isteri kepada Rifaah tetapi dia telah mencerai aku sebanyak tiga kali kemudian aku telah berkahwin dengan Abdul Rahman bin Az-Zubair. Tetapi apa yang aku rasai bersamanya seperti bulu-bulu kain yaitu tidak bahagia bersamanya. Rasulullah tersenyum dan berkata: Adakah kamu ingin kembali semula bersama Rifaah, tetapi kamu tidak boleh bersamanya sehinggalah kamu merasai kenikmatan berjimak dengannya dan dia merasai kelazatan jimak bersama kamu. Aisyah menyambung lagi: Ketika itu Abu Bakar bersama baginda dan Khalid berada di pintu menunggu keizinan untuk masuk, lalu Khalid memanggil Abu Bakar dan bertanya: Wahai Abu Bakar! Adakah kamu dengar apa yang dia nyatakan kepada Rasulullah s.a.w?.
830 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sekiranya seseorang itu ingin bersetubuh dengan isterinya hendaklah dia membaca Yang bermaksud: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku! Jauhilah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang Engkau kurniakan kepada kami. Sekiranya perhubungan kelamin itu ditakdirkan mendapat seorang anak. Anak itu tidak akan diganggu oleh syaitan untuk selamanya.
831 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Orang-orang Yahudi telah mendakwa apabila seseorang lelaki bersetubuh dengan isterinya melalui farajnya dari arah belakang akan menyebabkan anak yang dilahirkan akan menjadi juling. Lalu turunlah ayat: Yang bermaksud: Perempuan-perempuan yaitu isteri kamu merupakan tempat kamu bercucuk tanam, buatlah apa yang kamu suka mengikut selera terhadap ladang kamu itu.
832 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila seorang isteri tidur dengan keadaan lari dari katil suaminya yaitu tidak mahu disetubuhi, para Malaikat melaknatinya sehingga dia bangkit dari tidurnya di waktu pagi.
833 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Kami pernah berperang bersama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Bani Mustaliq dan kami berjaya menawan beberapa orang perempuan Arab yang sangat cantik. Sebenarnya kami ingin bersetubuh dengan mereka tetapi kami bimbang mereka hamil, jadi kami melakukan A'zal dalam persetubuhan itu. Kami lakukan itu di saat Rasulullah s.a.w masih ada. Kami takut untuk bertanya masalah itu kepada baginda s.a.w. Tetapi akhirnya kami bertanya juga masalah itu kepada baginda. Baginda bersabda: Tidak perlu kamu lakukan itu kerana segala sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah pasti akan wujud. Perkara sebegitu akan berlaku hingga Hari Kiamat.
834 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Kami melakukan A'zal ketika mana Al-Quran diturunkan.

PERSUSUAN
835 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada di sisi Aisyah r.a tiba-tiba dia mendengar suara seorang lelaki meminta izin di rumah Hafsah r.a. Aisyah berkata: Aku memberitahu kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Di sana ada seorang lelaki sedang meminta izin di rumah anda. Rasulullah s.a.w hanya menjawab: Aku tahu Si Polan ialah bapa saudara sepersusuan Hafsah r.a. Aisyah lantas bertanya: Wahai Rasulullah! Seandainya bapa sepersusuanku masih hidup, tentunya dia boleh menemuiku bukan? Rasulullah s.a.w menjawab: Benar! Kerana sesungguhnya persusuan itu mengharamkan seperti juga haram kerana keturunan.
836 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Aflah, saudara Abul Qu'ais, yaitu bapa saudara sepersusuannya, datang meminta keizinan untuk menemuinya setelah diturunkan ayat Hijab. Aisyah r.a berkata: Aku tidak mengizinkannya. Ketika Rasulullah s.a.w datang, aku memberitahu apa yang telah aku lakukan. Ternyata baginda menyuruhku supaya mengizinkannya menemuiku.
837 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w hendak dijodohkan dengan puteri Hamzah. Akan tetapi baginda bersabda: Sesungguhnya dia tidak halal bagiku. Dia adalah puteri saudara lelaki sepersusuanku sendiri. Pengharaman disebabkan sepersusuan itu sama seperti pengharaman kerana keturunan keluarga.
838 Diriwayatkan dari Ummu Habibah binti Abu Sufian r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w menemuiku, aku bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Adakah anda berminat terhadap saudara perempuanku, yaitu puteri Abu Sufian? Rasulullah s.a.w bertanya dengan bersabda: Maksudmu apa yang harus aku lakukan? Aku menjawab: Berkahwin dengannya. Rasulullah s.a.w bertanya: Benarkah kamu inginkan begitu? Aku menjawab: Saya tidak akan membenarkan anda tanpa bermadu dan saya ingin orang yang menjadi madu saya dalam soal kebajikan ialah saudara saya tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda: Tetapi sayangnya saudara perempuanmu itu tidak halal bagiku. Aku berkata kepada baginda: Aku diberitahu bahawa anda akan melamar Durrah binti Abu Salamah? Baginda bertanya kembali: Puteri Ummu Salamah? Aku menjawab: Ya! Baginda bersabda: Andainya Durrah bukan anak tiri yang dalam peliharaanku, dia tetap tidak halal untukku kerana dia adalah anak saudara sepersusuanku. Aku dan Abu Salamah disusukan oleh Suwaibah. Maka janganlah kamu menawarkan anak-anak dan saudara perempuanmu.
839 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sahlah binti Suhail datang berjumpa Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Aku lihat ada kelainan pada wajah Abu Huzaifah r.a setiap kali Salim menemuiku. Lalu Nabi s.a.w bersabda: Kalau begitu, susuilah sahaja Salim. Sahlah bertanya: Bagaimana aku akan menyusuinya, sedangkan dia telah besar? Rasulullah s.a.w tersenyum, lalu baginda bersabda: Aku tahu, memang Salim sudah besar. Amru menambahkan dalam Haditsnya: Beliau telah menyertai peperangan Badar. Manakala menurut riwayat Ibnu Umar Rasulullah s.a.w ketawa.
840 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Masruq r.a katanya: Aisyah berkata: Suatu hari Rasulullah s.a.w datang menemuiku, sedangkan ketika itu ada seorang lelaki sedang duduk di sisiku. Tentu saja dia merasa serba salah. Rasulullah s.a.w kelihatan tidak senang hati terhadap aku. Aku menjelaskan: Wahai Rasulullah! Ini adalah saudara sepersusuanku. Baginda lalu bersabda: Coba kamu lihat dulu saudara-saudara perempuan sepersusuanmu! Sesungguhnya persusuan yang dianggap sah dan dibenarkan ialah anak yang disusu masih kecil dan susu yang diberikan dapat membantu menghilangkan dahaga dan lapar.
841 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Berlaku perselisihan antara Saad bin Abi Waqqas dengan Abdul bin Zam'ah mengenai seorang anak. Saad Berkata: Wahai Rasulullah! Ini adalah anak saudaraku, Utbah bin Abi Waqqas. Jadi dia adalah anak saudaraku menurut pengakuan saudaraku itu, ini puteranya. Lihat wajah anak ini mirip dengannya. Abdul bin Zam'ah menyangkal dan mengatakan: Ini adalah saudaraku, wahai Rasulullah. Dia dilahirkan atas tempat tidur ayahku dengan hamba perempuannya. Rasulullah s.a.w memperhatikan anak itu sejenak dan memang anak itu mirip kepada Utbah, kemudian baginda bersabda: Dia adalah untukmu wahai Abdul. Anak adalah berdasarkan kepada tempat tidur dan orang yang berzina hanya mendapat kecelakaan. Pakailah hijab darinya, wahai Saudah binti Zam'ah.
842 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Anak adalah berdasarkan kepada tempat tidur, dan bagi orang yang berzina itu akan mendapat kecelakaan.
843 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah menemuiku pada suatu hari dengan wajah yang berseri-seri. Baginda bersabda: Tidakkah kamu lihat tadi Mujazziz memandang kepada Zaid bin Harisah dan Usamah bin Zaid lalu berkata: Sesungguhnya kamu berdua amat mirip.
844 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sunat bagi orang yang mengahwini seorang gadis supaya tinggal bersama isterinya selama tujuh hari dan apabila dia mengahwini seorang janda, maka dia harus tinggal bersamanya selama tiga hari.
845 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Wanita yang paling aku senangi adalah Saudah bin Zam'ah dan aku ingin jika dapat menjadi seperti dia. Dia adalah seorang wanita yang tajam fikirannya. Setelah Saudah tua gilirannya dari Rasulullah s.a.w diserahkan kepada Aisyah. Saudah berkata: Wahai Rasulullah! Aku berikan giliranku sehari kepada Aisyah. Jadi Rasulullah s.a.w membahagikan giliran kepada Aisyah dua hari, sehari gilirannya sendiri dan sehari lagi giliran pemberian Saudah.
846 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sebenarnya aku merasa cemburu kepada wanita-wanita yang menyerahkan diri mereka untuk dijadikan isteri oleh Rasulullah s.a.w. Kataku: Wanita datang sendiri menawarkan diri masing-masing? Setelah turunnya ayat al-Quran: Yang bermaksud: Terserah kepadamu wahai Muhammad untuk memilih atau menolak wanita-wanita yang telah menyerahkan diri kepadamu. Maka aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: Demi Allah! Aku tahu bahawa Allah selalu menyegerakan segala keinginanmu.
847 Hadits Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan dari Ata' r.a katanya: Aku pernah menghadiri jenazah Maimunah isteri Nabi s.a.w bersama Ibnu Abbas di daerah Sarif. Ibnu Abbas berkata: Ini adalah jenazah isteri Nabi s.a.w. Apabila kamu mengangkat kerandanya, maka janganlah kamu menggoncang-goncangkannya. Iringilah jenazah itu dengan berhati-hati. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memiliki sembilan orang isteri. Baginda selalu bergilir yang lapan kecuali satu.
848 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Kahwinilah perempuan itu kerana empat perkara: Kerana harta benda, keturunan, kecantikan, dan agama. Tetapi utamakanlah wanita yang taat kepada agama, pasti kamu akan bahagia.
849 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk. Jika kamu coba untuk meluruskannya, ia akan patah. Tetapi kalau kamu biarkan sahaja, maka kamu akan dapat menikmatinya dengan tetap dalam keadaan bengkok.
850 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seandainya tidak ada Hawa, nescaya selama-lamanya wanita tidak akan mengkhianati suaminya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar