Minggu, 06 Desember 2009

Hadits 851-1744

CERAI
851 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya dia telah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Perkara itu terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka masalah itu ditanya oleh Umar bin al-Khattab kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda bersabda: Perintahkan supaya dia merujuk kembali kepada isterinya. Kemudian biarkanlah sampai isterinya suci, kemudian haid lagi, kemudian suci sekali lagi. Setelah itu terpulanglah kepadanya samada mahu terus kekal ataupun mencerainya, tetapi itu semua sebelum terjadi persetubuhan. Itulah tempoh edah yang diperintahkan oleh Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung untuk wanita yang diceraikan.
852 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya dia pernah mengatakan mengenai masalah orang yang mengharamkan isterinya, itu merupakan suatu sumpah yang harus dia membayar kifaratnya. Selanjutnya Ibnu Abbas berkata, Allah telah berfirman: Yang bermaksud: Sesungguhnya untuk kamu dalam diri Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan yang baik.
853 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w berada di rumah Zainab binti Jahsyin, baginda meminum susu, maka aku dan Hafsah bersepakat, sesiapa di antara kami berdua yang akan ditemui oleh Nabi s.a.w nanti, dia mesti mengatakan kepada Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya aku mencium bau getah pokok urfuth dari kamu. Adakah kamu baru saja memakannya? Kemudian baginda menemui salah seorang dari kami, langsung saja pertanyaan tersebut diajukan kepada baginda. Tetapi baginda menjawab: Bahkan aku baru sahaja minum madu di rumah Zainab binti Jahsyin, aku bersumpah tidak mengulanginya lagi. Lalu Allah menurunkan firmanNya: sehingga ayat Yang bermaksud: Mengapa kamu mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah kepada kamu. Hingga kepada firmanNya yang bermaksud: Jika kamu berdua bertaubat, kepada Aisyah dan Hafsah. Adapun sebab turun firman Allah yang berbunyi: Yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya yaitu Hafshah mengenai satu peristiwa ialah kerana sabda baginda: Bahkan aku minum madu.
854 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w disuruh untuk memberikan pilihan kepada isteri-isterinya, baginda mulai dengan aku. Baginda bersabda: Aku akan menyampaikan sesuatu kepadamu dan aku harap kamu tidak terburu-buru mengambil suatu keputusan sebelum kamu pertimbangkan dengan kedua orang tuamu. Kata Aisyah r.a aku sudah tahu bahawa kedua orang tuaku sama sekali tidak menghendaki berpisah dengan baginda apatah lagi menyuruhku. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia berfirman: Yang bermaksud: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Jika kamu sekalian inginkan kehidupan dunia dan segala perhiasannya, maka marilah akan kuberikan kepadamu mut'ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik dan jika kamu sekalian inginkan keredaan Allah dan RasulNya serta kesenangan di negeri Akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar. Aku berkata: Jadi tentang soal inikah aku disuruh untuk meminta pertimbangan dari dua orang tuaku? Sesungguhnya aku menghendaki Allah dan RasulNya serta kesenangan di negeri Akhirat. Ternyata isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang lain juga mengikuti apa yang aku lakukan itu.
855 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Selepas diturunkan firman Allah: Yang bermaksud: Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka yaitu isteri-isterimu dan engkau boleh mendampingi sesiapa yang engkau kehendaki. Setiap kali tiba waktu Rasulullah s.a.w untuk bersama dengan isteri-isteri baginda yang lain. Baginda selalu meminta izin terlebih dahulu dariku. Suatu hari Mu'azah bertanya kepadaku: Apakah yang kamu katakan jika Rasulullah s.a.w meminta izin darimu? Aku menjawab: Jika Rasulullah s.a.w meminta izin dariku pasti aku tidak akan membiarkan seorang pun melebihi aku.
856 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah memberikan pilihan kepada kami dan kami tidak menganggap itu sebagai talak.
857 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w menjauhi isteri-isteri baginda, aku masuk ke dalam masjid. Aku melihat orang ramai menghentak-hentakkan kaki ke tanah sambil berkata: Rasulullah s.a.w telah menceraikan isteri-isterinya. Itu terjadi sebelum isteri-isteri Nabi diperintah supaya memakai hijab. Umar berkata: Aku yakin ada kejadian penting pada hari itu. Aku terus menemui Aisyah r.a dan bertanya: Wahai puteri Abu Bakar! Apakah perbuatan yang telah kamu lakukan sehingga menyakiti Rasulullah s.a.w? Aisyah r.a menjawab: Apa urusanmu denganku, wahai putera al-Khattab? Kamu nasihatilah sahaja puterimu sendiri. Aku segera menemui Hafsah r.a dan aku berkata kepadanya: Wahai Hafsah! Apakah perbuatan yang telah kamu lakukan sehingga menyakiti Rasulullah s.a.w? Demi Allah, aku tahu bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak menyukaimu. Seandainya tidak ada aku, pasti Rasulullah s.a.w telah menceraikan kamu. Mendengar ucapan itu lalu Hafshah menangis tersedu-sedu. Aku bertanyakan kepadanya: Di mana Rasulullah s.a.w berada? Dia menjawab: Di tempat pengasingannya. Aku terus menuju ke sana. Di situ aku bertemu dengan Rabah pelayan Rasulullah s.a.w yang sedang duduk berhampiran dengan pintu sambil melunjurkan kedua kakinya pada sekeping papan. Untuk menemui Rasulullah s.a.w mesti melalui tangga. Dari jauh aku memanggil Rabah: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah s.a.w. Rabah memandang ke arah kamar Rasulullah s.a.w lalu beralih pula memandang aku tanpa berkata apa-apa. Aku mendekatinya dan berkata: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah s.a.w. Sekali lagi Rabah hanya diam sambil matanya memandang ke arah kamar Rasulullah s.a.w kemudian beralih memandangku tanpa berkata apa-apa. Kemudian dengan suara yang agak kuat aku berkata kepadanya: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah. Katakan kepada Rasulullah, bahawa kedatanganku adalah untuk membicarakan tentang Hafshah. Demi Allah! Jika baginda memerintahkan aku supaya memukul tengkuknya akan aku laksanakan perintah baginda itu. Akhirnya Rabah memberikan isyarat kepadaku supaya menaiki tangga. Aku segera masuk menemui Rasulullah s.a.w aku melihat baginda sedang berbaring di atas sebidang tikar. Lalu aku duduk berhampiran dengan baginda. Aku lihat baginda menurunkan kain yang satu-satunya digunanya oleh baginda. Ketika itu aku melihat kesan tikar pada pinggang baginda. Kemudian aku layangkan pandanganku ke sekitar kamar. Tidak banyak barang yang ada di situ kecuali hanya segantang biji gandum terletak di sudut kamar, sebidang kulit yaitu belulang binatang yang belum sempurna disamak dan beberapa barang lain yang tidak berharga sehinggalah aku menitiskan air mata. Melihat keadaan itu Rasulullah bertanya: Kenapa kamu menangis, wahai putera al-Khattab? Dengan suara tersedu-sedu aku menjawab: Wahai Nabi Allah! Bagaimana aku tidak menangis melihat keadaan kamu yang sangat menyedihkan ini dan tikar yang memberi kesan padamu? Jauh sekali dengan apa yang dinikmati oleh Kaisar dan Raja-raja di sana, sedangkan kamu wahai Rasulullah s.a.w hanya memiliki ini. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai putera al-Khattab! Mahukah kamu sekiranya akhirat menjadi bahagian kita dan dunia menjadi bahagian mereka? Aku menjawab: Sudah tentu aku mahu. Setelah melihat wajah Rasulullah s.a.w sudah mulai kelihatan berseri-seri tidak seperti waktu pertama kali aku masuk, aku memberanikan diri untuk bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah yang memberatkan kamu tentang wanita-wanita yaitu isteri-isteri? Jika kamu ceraikan isteri-isteri kamu sekalipun maka Allah serta seluruh MalaikatNya, Jibril, Mikail, aku, Abu Bakar dan seluruh orang mukmin akan tetap bersama kamu. Aku berharap mudah-mudahan perkataanku itu dibenarkan oleh Allah. Kemudian turunlah ayat takhyir yang menyuruh untuk memilih: Yang bermaksud: Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik dari kamu. Jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah pelindungnya dan begitu pula Jibril dan orang-orang mukmin yang baik serta selain dari itu Malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Pada saat itu Aisyah binti Abu Bakar dan Hafshah memang bersepakat untuk mempengaruhi isteri Nabi s.a.w yang lain. Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! Adakah kamu akan menceraikan mereka? Baginda menjawab: Tidak! Kemudian aku jelaskan kepada baginda, bahawa sewaktu aku sedang berada di masjid, aku melihat orang ramai masih lagi menghentakkan kaki ke tanah sambil berkata: Rasulullah s.a.w telah menceraikan isteri-isterinya. Kemudian aku berkata kepada baginda: Adakah perlu aku memberitahu mereka bahawa sebenarnya kamu tidak menceraikan isteri-isteri kamu? Baginda bersabda: Baiklah, jika kamu mahu. Lalu aku berbicara dengan baginda tentang berbagai perkara, akhirnya aku lihat baginda benar-benar reda dari kemarahannya. Bahkan baginda sudah mampu tersenyum dan tertawa. Kemudian kami sama-sama turun dari kamar melalui tangga. Aku berhati-hati semasa menuruni tangga itu, tidak seperti Rasulullah yang kelihatan seperti berjalan di atas tanah dan tangannya tidak berpengang pada apa-apapun. Sebaik saja sampai di bawah. Aku berkata kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungghnya kamu berada di dalam kamar itu selama dua puluh sembilan hari. Baginda bersabda: Sesungguhnya satu bulan itu memang ada dua puluh sembilan hari. Aku terus menuju ke masjid dan berdiri di pintunya dan dengan suara yang kuat aku melaungkan: Rasulullah s.a.w tidak menceraikan isteri-isteri baginda. Kemudian turunlah ayat: Yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, lalu mereka menyiarkannya dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul serta pemimpin dikalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya akan dapat mengetahuinya dari mereka yaitu Rasul dan Ulul Amri. Aku adalah termasuk orang-orang yang ingin mengetahui. Maka Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung menurunkan ayat takhyir.
858 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Yahya bin Said bin al-As mengahwini puteri Abdul Rahman bin al-Hakam. Tetapi Yahya kemudian menceraikannya dan mengusirnya. Tindakan itu dicela oleh Urwah. Tetapi keluarga Yahya membela diri dengan berkata: Sesungguhnya Fatimah r.a juga keluar dari rumahnya. Urwah berkata: Aku terus menemui Aisyah r.a dan aku memberitahu perkara itu kepadanya. Aisyah r.a berkata: Tiada keuntungan bagi Fatimah binti Qais dalam menuturkan Hadits ini.
859 Diriwayatkan dari Subai'ah r.a katanya: Umar bin Abdullah telah mengutus surat kepada Abdullah bin Utbah menceritakan bahawa Subai'ah memberitahu: Sesungguhnya Subai'ah adalah isteri Saad bin Khaulah dari Bani Amir bin Lu'ay. Dia salah seorang yang turut serta dalam peperangan Badar. Suaminya meninggal ketika Haji wida', pada saat itu dia sedang hamil. Setelah kematian suaminya, tidak berapa lama kemudian dia melahirkan. Ketika dia sudah merasa sihat dan suci dari nifas, dia berdandan dan menemui Umar bin al-Khattab. Kebetulan pada waktu itu seorang lelaki dari Bani Abdul Dar bernama Abu Sanabil bin Ba'kak berada di sana. Lelaki itu berkata kepada Subai'ah: Aku lihat kamu sudah berdandan, barangkali kamu ingin berkahwin lagi? Demi Allah! Sesungguhnya kamu tidak boleh berkahwin sehingga kamu menjalani tempoh idahmu selama empat bulan sepuluh hari. Subai'ah berkata: Ketika mendengar ucapan lelaki itu, aku segera mengumpulkan pakaianku dan aku menemui Rasulullah s.a.w untuk menanyakan masalah tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w memberikan fatwa kepadaku dengan sabdanya: Bahawa tempoh idahku sudah berakhir dengan kelahiran anak. Baginda menyuruhku supaya berkahwin lagi jika aku mahu.
860 Hadits Ummu Salamah r.a. Diriwayatkan dari Abu Salamah r.a katanya: Ummu Salamah telah berkata: Suwaibah al-Aslamiyah telah mengalami nifas beberapa malam setelah kematian suaminya. Ketika perkara itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda mengesyorkan supaya dia berkahwin lagi.
861 Hadits Ummu Habibah r.a isteri Nabi s.a.w: Diriwayatkan dari Zainab binti Abu Salamah r.a katanya: Aku menemui Ummu Habibah isteri Nabi s.a.w ketika dia kematian ayahnya Abu Sufian. Ummu Habibah minta diambilkan sebuah wadah yang berisikan campuran minyak wangi, kemudian disapukan pada rambut dan pipi seorang jariah di samping dia juga menggunakannya. Kemudian dia berkata: Demi Allah! Sebenarnya aku tidak memerlukan wangi-wangian ini kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di atas mimbar: Haram bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, berkabung atas kematian lebih dari tiga hari kecuali seorang isteri yang kematian suaminya. Dia mesti berkabung selama empat bulan sepuluh hari.
862 Hadits Zainab binti Jahsyin r.a: Diriwayatkan dari Zainab binti Abu Salamah katanya: Aku telah masuk menemui Zainab binti Jahsyin sewaktu dia kematian saudara lelaki kandungnya. Dia meminta diambilkan untuknya wangi-wangian lalu dia menyapunya sambil berkata: Demi Allah! Sebenarnya aku tidak perlu memakai wangi-wangian ini. Tapi aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di atas mimbar: Haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat berkabung di atas satu kematian lebih dari tiga hari kecuali terhadap kematian suaminya, maka dia diharuskan berkabung selama empat bulan sepuluh hari.
863 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Seorang perempuan datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: Wahai Rasulullah! Puteriku baru saja kematian suaminya. Kedua matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis, jadi adakah aku dibolehkan mencelaknya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak! Sebanyak dua atau tiga kali. Lalu baginda bersabda: Dia harus berkabung selama empat bulan sepuluh hari dan kamu tidak perlu mengikut kebiasaan wanita jahiliah yang suka memanjangkan tempoh idah dan juga membuang kotoran binatang pada awal tahun.
864 Diriwayatkan dari Ummu Attiyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak halal bagi seorang wanita berkabung di atas suatu kematian lebih dari tiga hari kecuali terhadap kematian suaminya sendiri, maka dia diharuskan berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Dalam tempoh itu dia tidak boleh memakai pakaian yang berwarna-warni kecuali pakaian yang sederhana. Dia juga tidak dibenarkan memakai celak dan juga mengenakan wangi-wangian kecuali sedikit sahaja yang disapu untuk menghilangkan kesan darah haid.

LI'AN
865 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad As-Sa'idi r.a katanya: Uwaimir al-Ajlani telah datang menemui Aasim bin Adiy al-Ansari dan berkata kepadanya: Wahai Aasim! Apa pendapatmu sekiranya ada seorang lelaki mendapati isterinya sedang bersama lelaki lain. Adakah dia boleh membunuhnya kerana pihak berkuasa pasti akan membunuhnya juga nanti atau apakah yang patut dilakukan? Tanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w, wahai Aasim! Lalu Aasim menanyakan perkara itu kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w rupa-rupanya tidak suka dengan pertanyaan seperti itu menyebabkan Aasim tidak mendapatkan apa-apa jawapan dari Rasulullah s.a.w. Ketika Aasim kembali kepada keluarganya, Uwaimir datang dan bertanya: Wahai Aasim! Apakah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w kepadamu? Aasim menjawab kepada Uwaimir: Aku tidak bernasib baik kerana Rasulullah s.a.w tidak senang dengan pertanyaan yang kamu kemukakan itu. Dengan nada kesal Uwaimir berkata: Demi Allah! Aku tidak akan berdiam diri setakat ini sahaja. Aku akan menanyakannya sendiri kepada baginda. Maka Uwaimir pergi menemui Rasulullah s.a.w yang pada waktu itu sedang berada di tengah-tengah orang ramai. Dia lantas mengajukan pertanyaan: Wahai Rasulullah! Apakah pendapat kamu jika ada seorang lelaki mendapati isterinya bersama lelaki lain. Adakah dia boleh membunuh lelaki tersebut atau apakah yang harus dia lakukan? Dengan tenang Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai masalah yang berkaitan dengan kamu dan isterimu itu, Allah telah menurunkan ayat. Pergi dan bawa isterimu kemari. Kata Sahl: Maka terjadilah li'an di antara kedua suami isteri di hadapan Rasulullah s.a.w dan beberapa orang lain termasuk aku. Setelah reda keadaan itu, Uwaimir berkata: Aku telah mendustainya, wahai Rasulullah, walaupun aku terus menpertahankan hujjahku. Akhirnya, Uwaimir menceraikan isterinya dengan talak tiga, sebelum Rasulullah s.a.w memerintahkannya.
866 Hadits dari Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan oleh Said bin Jubair r.a katanya: Aku pernah ditanya mengenai kes dua orang yang dili'an pada masa Mus'ab. Adakah keduanya harus dipisahkan? Oleh kerana tidak dapat menjawabnya, aku pergi ke kediaman Ibnu Umar di Mekah. Setelah sampai, aku meminta izin dari pelayan supaya membenarkan aku masuk menemui Ibnu Umar. Pelayan itu memberitahu kepadaku bahawa dia sedang tidur. Rupa-rupanya, Ibnu Umar mendengar suaraku lalu bertanya: Siapakah itu? Ibnu Jubairkah? Aku menjawab: Benar! Dia berkata: Masuklah! Demi Allah, pasti ada sesuatu hajat penting sehingga kamu datang menemui aku di waktu begini. Aku pun masuk dan mendapati dia berbaring di atas kain pelana dan bersandar pada sebuah bantal yang berisi sabut kurma. Aku memulakan kata-kata: Wahai Abu Abdul Rahman! Adakah harus dipisahkan suami isteri yang bersumpah li'an? Ibnu Umar menjawab: Maha Suci Allah. Memang begitulah dan sesungguhnya orang pertama yang pernah menanyakan hal itu adalah Si Polan bin Polan, dia bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apa pendapat kamu jika salah seorang dari kami mendapati isterinya melakukan suatu perbuatan keji dan menjijikkan. Apa yang patut dilakukan? Jika suami itu membicarakannya, bermakna dia telah bertanggungjawab di atas suatu perkara yang sungguh besar. Begitu juga kiranya dia mendiamkan diri. Apabila ditanya begitu, Nabi s.a.w hanya diam saja dan tidak menjawabnya. Setelah beberapa ketika, Si Polan bin Polan itu datang lagi kepada Rasulullah dan berkata: Sebenarnya perkara yang saya ajukan kepada anda ini, berlaku ke atas diri saya. Maka Allah s.w.t menurunkan FirmanNya yang terdapat dalam surah An-Nur: Bermaksud: Orang-orang yang menuduh isterinya berzina tanpa bersaksi. Maka mereka dituntut supaya bersumpah empat kali berturut-turut bahawa dia benar-benar mengetahui mengenainya. Baginda membacakan Firman Allah tersebut dengan lengkap serta menasihati dan mengingatkan bahawa sesungguhnya siksa dunia itu tidaklah setanding dengan siksaan di akhirat. Namun Si Polan bin Polan itu tetap berkeras: Tidak! Demi Allah yang mengutuskanmu, aku tidak berdusta mengenai isteriku. Akhirnya Rasulullah s.a.w memanggil isteri Polan bin Polan tersebut. Baginda juga menasihatkan wanita itu dan mengingatkan bahawa siksaan di dunia ini tidak seberapa berbanding dengan siksa di akhirat. Namun sebagaimana suaminya juga, wanita itu tetap dengan pendiriannya dan berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu! Sesungguhnya dialah yang berdusta. Rasulullah s.a.w memulai dengan pihak suami. Lalu dia pun bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang benar, sedangkan pada sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Kemudian baginda meneruskan pula sebelah pihak isteri. Dia juga berani bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta dan sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar. Kemudian setelah itu Rasulullah s.a.w memisahkan antara keduanya.
867 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Satu peristiwa li'an telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu Aasim bin Adiy memberikan sedikit ulasan kemudian beredar dari situ. Suatu hari, seorang lelaki dari kaumnya datang mengadu kepadanya bahawa dia mendapati isterinya bersama dengan lelaki lain. Maka Aasim pun berkata: Kejadian seperti ini hendaklah kamu hadapkan kepada Rasulullah s.a.w dan Aasim memberitahu bahawa lelaki yang menuduh itu berkulit kuning, bertubuh kurus dan berambut lurus. Sedangkan lelaki yang dituduh bersama isterinya berbetis padat dan bertubuh gemuk. Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu buktikan saja nanti. Ternyata wanita itu melahirkan anak yang mirip dengan ciri-ciri lelaki yang dituduh. Maka Rasulullah s.a.w meli'an di antara keduanya. Seseorang bertanya kepada Ibnu Abbas: Adakah dia wanita yang disebut-sebut oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya: Seandainya aku boleh menghukum rejam kepada seseorang tanpa bukti, nescaya aku menghukum rejam ke atas wanita ini? Ibnu Abbas berkata: Bukan! Kalau dia adalah wanita yang memang terang-terang berniat buruk terhadap Islam.
868 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syukbah r.a katanya: Saad bin Ubadah telah berkata: Seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi, akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu darinya, malahan Allah lebih lagi cemburunya dariku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain dari Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain dari orang yang mahu mendengar peringatan. Oleh sebab itulah, Allah mengutus para Rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain dari orang yang selalu memujiNya. Oleh sebab itu juga, Allah telah menjanjikan Surga.
869 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Seorang lelaki dari Bani Fazarah datang menemui Nabi s.a.w dan berkata: Bahawa isteriku telah melahirkan seorang anak yang kulitnya sangat hitam. Nabi s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai unta? Lelaki itu menjawab: Ada. Nabi s.a.w bertanya: Apa warnanya? Lelaki tadi menjawab: Merah. Nabi s.a.w bertanya: Apakah ada yang berwarna kelabu? Lelaki tadi menjawab: Ada. Memang ada sedikit warna kelabu. Nabi s.a.w bertanya: Dari mana datangnya asal warna kelabu itu? Laki-laki tadi menjawab: Mungkin juga darinya. Nabi s.a.w pun bersabda: Begitu juga dengan anakmu.

MEMERDEKAKAN HAMBA
870 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mampu memerdekakan bahagiannya dalam hamba sahaya yang dikongsi, dia hendaklah membayar kerugian saham kongsinya dengan harga yang cukup supaya hamba itu dapat dimerdekakan dengan sepenuhnya. Jika dia tidak mampu untuk membayar harga sepenuhnya maka hamba itu hanya merdeka dari tuannya yang pertama yaitu separuh merdeka.
871 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah memperkatakan mengenai seorang hamba yang dimiliki oleh dua orang tuannya, lalu seorang di antara mereka hendak memerdekakan hamba tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia mesti membayar kerugian kepada kongsinya itu.
872 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Dia becadang untuk membeli hamba perempuan untuk dimerdekakan. Pemilik hamba perempuan itu berkata: Kami akan menjualnya dengan syarat yaitu hak pewarisan kerana memerdekakan untuk kami. Aisyah mengadu mengenainya kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda: Dia tidak dapat menghalangimu untuk mendapatkan hak walak (nasab hamba yang dimerdekakan serta harta yang diwarisi) kerana dia hanyalah untuk orang yang memerdekakan.
873 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah melarang memperniagakan hak walak atau memberikannya kepada orang lain.
874 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, katanya: Baginda telah bersabda: Sesiapa yang memerdekakan seorang hamba mukmin, maka Allah akan membebaskan setiap anggota tubuhnya dari Api Neraka sebagaimana setiap anggota hamba tadi dibebaskan dari belenggu pengabdian.

JUAL BELI
875 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melarang dua cara jual beli: Mulamasah yaitu pembeli hanya menyentuh barang jualan tanpa diteliti dan Munabazah yaitu pembeli melontar sesuatu kepada barang jualan tanpa diteliti.
876 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang kita melakukan dua cara jual beli dan dua jenis pakaian. Baginda melarang jual beli Mulamasah dan Munabazah.
877 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Dari Nabi s.a.w bahawa baginda telah melarang jual beli Habalul-habalah yaitu janin dalam kandungan.
878 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah besabda: Janganlah seseorang muslim menawar barang yang sedang ditawar oleh orang lain.
879 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang dari menjual-beli cara najshi yaitu pura-pura membayar dengan harga yang lebih mahal supaya pembeli lain tertipu.
880 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang menahan barang dagangan sebelum tiba di pasaran. Ini adalah lafaz dari Ibnu Numair. Sedangkan menurut perawi yang lain, sesungguhnya Nabi s.a.w melarang pembelian barang dagangan sebelum dipasarkan.
881 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Dari Nabi s.a.w bahawa baginda melarang menahan pembelian barang-barang dagangan.
882 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang orang tengah mengambil kesempatan dengan membeli barang dagangan untuk dijualkan kepada orang kampong.
883 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Kami dilarang menjual barang dagangan kepada orang tengah untuk dijualkan kepada orang kampung, sekalipun orang itu saudara atau ayahnya.
884 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa membeli kambing yang dibiarkan dengan tidak diperah susunya hendaklah membawanya kembali dan memerah susunya. Sekiranya beliau redha dengan keadaan air susunya maka ambillah kambing itu, sekiranya dia tidak redha, dia boleh mengembalikannya dengan disertai segantang buah kurma.
885 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang mempunyai makanan maka janganlah menjualnya sehingga beliau menerimanya dengan sempurna.
886 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang mempunyai makanan maka janganlah menjualnya sehingga dia menerimanya dengan sempurna.
887 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Penjual dan pembeli, masing-masing mempunyai hak khiar yaitu kesempatan berfikir selagi mereka belum berpisah melainkan jual beli khiar.
888 Diriwayatkan dari Hakim bin Hizam r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Penjual dan pembeli diberi kesempatan berfikir selagi mereka belum berpisah. Sekiranya mereka jujur serta membuat penjelasan mengenai barang yang dijual belikan, mereka akan mendapat berkat dalam jual beli mereka. Sekiranya mereka menipu dan merahsiakan mengenai apa-apa yang harus diterangkan tentang barang yang dijual belikan akan terhapus keberkatannya.
889 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Ada seorang lelaki memberitahu Rasulullah s.a.w bahawa dia ditipu dalam jual belinya. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang akan berjual beli dengan kamu katakan kepadanya: Tiada penipuan! Semenjak itu, apabila berjual beli, beliau akan berkata: Tiada penipuan!.
890 Diriwayatkan dari lbnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang dari menjual buah-buahan sehinggalah betul-betul masak. Larangan itu ditujukan kepada penjual dan pembeli.
891 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melarang kami dari menjual buah-buahan sebelum buah tersebut masak.
892 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang menjual buah kurma yang belum masak, sehingga ia boleh dimakan atau boleh ditimbang. Aku bertanya: Apakah ertinya boleh ditimbang itu? Seorang lelaki yang berada di sisinya menjawab: Sehingga boleh dikira.
893 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu membeli buah-buahan sehingga betul-betul masak yaitu boleh dimakan.
894 Diriwayatkan dari Zaid bin Thabit r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberi keringanan kepada pemilik kurma basah untuk menjualnya dengan kiraan kurma kering.
895 Diriwayatkan dari Sahl bin Abi Hathamah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang penjualan kurma dibayar dengan kurma, baginda bersabda: Itu adalah riba, yaitu Muzabanah, jual beli yang tidak jelas. Baginda hanya memberi keringanan dalam penjualan secara Ariyyah yaitu satu atau dua pokok kurma diambil oleh satu keluarga dengan kiraan kurma kering dan mereka makan buah yang separuh masak.
896 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w memberi keringanan dalam jual beli Araaya dengan cara ditaksir jika kurang dari lima wasaq atau dalam lima wasaq. Yaitu lebih kurang 60 cupak.
897 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang muzabanah. Muzabanah ialah menjual kurma basah dibayar dengan kurma kering secara timbangan dan menjual anggur segar dibayar dengan anggur kering secara timbangan.
898 Diriwayatkan dari lbnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang menjual pokok kurma yang sudah dikahwinkan, maka buahnya untuk penjual kecuali jika telah disyaratkan oleh pembeli.
899 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang penyewaan tanah.
900 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melarang dari muzabanah yaitu jual-beli buah sebelum masak dan muhaqalah yaitu sewa kebun atau ladang dengan buahnya.
901 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Kami pernah berpendapat bahawa menyewa tanah dengan hasilnya itu tidak mengapa sehinggalah pada tahun yang pertama. Rafi' telah terkejut dan mengaku bahawa Nabi s.a.w melarang dari melakukannya.
902 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya jika seseorang memberikan tanah kepada saudaranya, maka itu adalah lebih baik dari beliau memungut hasil yang tertentu sebagai imbalan di atas penyewaan tanah tersebut.

MUSAQOT
903 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah memberi pekerjaan kepada penduduk Khaibar dengan upah separuh dari hasil yang dikerjakan seperti buah-buahan atau tanaman.
904 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang muslim yang menanam pokok atau tanaman lalu tanaman itu dimakan oleh burung, manusia atau binatang ternakan maka semuanya itu adalah dikira sebagai sedekah.
905 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Bahawa Nabi s.a.w melarang dari penjualan kurma yang belum masak (boleh dipetik). Kami bertanya kepada Anas: Apakah warnanya? Beliau menjawab: Merah atau kuning. Bagaimana pendapatmu jika Allah memusnahkan kurma tadi, apakah kamu menganggap halal harta saudaramu itu?.
906 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendengar orang bertengkar di pintu dengan suara yang tinggi. Tiba-tiba salah seorang dari mereka meminta kepada yang seorang lagi agar memaafkan sebahagian dari hutangnya dan bersikap lemah lembut. Tetapi beliau menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan memaafkan kamu. Lalu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Siapakah yang sungguh-sungguh bersumpah demi Allah tidak akan berbuat kebaikan? Orang itu berkata: Saya, wahai Rasulullah! Tetapi sekarang dia boleh memilih mana yang dia suka (antara melepaskan sebahagian dari hutang atau bersikap lemah lembut).
907 Diriwayatkan dari Kaab bin Malik r.a katanya: Bahawa pada masa Rasulullah s.a.w, ayahnya pernah menagih hutang kepada Ibnu Abi Hadrad di masjid dengan suara mereka yang tinggi sehingga Rasulullah s.a.w yang berada di rumah mendengarnya. Maka baginda keluar menuju ke arah mereka dan menyingkapkan tirai bilik lalu memanggil Kaab bin Malik: Wahai Kaab! Kaab menjawab: Saya, wahai Rasulullah! Kemudian baginda mengisyaratkan supaya Kaab memaafkan sebahagian dari hutangnya. Kaab berkata: Baiklah, wahai Rasulullah! Baginda bersabda kepada Ibnu Abu Hadrad: Bangunlah dan bayarlah.
908 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendapati hartanya ada pada seorang lelaki dalam keadaan masih teguh, sedangkan lelaki tadi telah bankrup atau pada seseorang yang telah bankrup, maka dia lebih berhak ke atas harta tersebut dari orang lain.
909 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Para Malaikat akan bertemu dengan roh seorang lelaki dari umat sebelum kamu. Mereka bertanya: Adakah kamu pernah melakukan suatu kebaikan? Roh lelaki itu menjawab: Tidak! Mereka berkata lagi: Coba fikir dahulu. Roh lelaki itu berkata: Dahulu, aku pernah memberi hutang kepada seseorang, lalu aku menyuruh pembantu aku supaya memberi penangguhan (tempoh) kepada orang yang dalam kesukaran dan memaafkan orang yang mendapatkan kelapangan (jika ada sedikit kekurangan dalam pembayaran hutangnya). Allah s.w.t berfirman (kepada para Malaikat): Maafkanlah beliau.
910 Diriwayatkan dari Abi Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada seorang lelaki dari umat sebelum kamu, diperhitungkan amalannya, maka tidak ada satu pun kebaikan melainkan beliau banyak memberi hutang kepada orang ramai kerana beliau adalah seorang yang kaya. Beliau menyuruh para pembantunya agar memberi kemudahan terhadap orang yang dalam kesukaran. Maka Allah s.w.t berfirman: Kami lebih berhak berbuat begitu dari beliau. Berilah kemudahan kepada beliau.
911 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Suatu ketika dahulu ada seorang lelaki yang pernah memberi hutang kepada orang ramai. Beliau berkata kepada pembantunya: Apabila kamu menagih hutang dari orang yang dalam kesulitan, berilah kelonggaran kepadanya, semoga Allah memberi kemudahan pula kepada kita. Kemudian beliau menemui Allah, maka Allah memberi kemudahan kepadanya.
912 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Penangguhan membayar hutang oleh orang kaya adalah perbuatan zalim. Apabila salah seorang dari kamu diikut oleh orang kaya maka hendaklah mengikutinya.
913 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Lebihan air tidak boleh dihalang kerana ia akan mencegah tumbuhnya rumput ternakan.
914 Diriwayatkan dari Abi Mas'ud al-Ansari r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang (memanfaatkan) hasil penjualan anjing, hasil pelacuran dan mengupah tukang tilik.
915 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya membunuh anjing.
916 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing selain dari anjing untuk menjaga ternakan dan anjing untuk berburu, maka setiap hari pahala amalannya dikurangkan sebanyak dua qirat (kinayah yaitu ibarat bagi ganjaran pahala yang sangat besar).
917 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing selain dari untuk berburu atau menjaga ternakan dan ladang, maka setiap hari pahala amalannya akan berkurangan sebanyak dua qirat.
918 Diriwayatkan dari Sufian bin Abu Zuhair r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternakan, maka setiap hari pahala amalannya akan berkurangan sebanyak satu qirat.
919 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Humaid r.a katanya: Anas bin Malik r.a pernah ditanya tentang hasil berbekam, maka beliau berkata: Rasulullah s.a.w pernah berbekam dan yang membekam baginda adalah Abu Taibah. Baginda memerintahkan agar Abu Taibah diberi dua gantang makanan dan memberitahu kepada keluarganya, bahawa mereka membebaskan pajaknya. Kemudian baginda bersabda: Sebaik-baik perubatan yang kamu gunakan untuk berubat adalah berbekam atau berbekam adalah ubat yang paling baik bagimu.
920 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ketika ayat terakhir dari surat al-Baqarah tentang riba diturunkan, Rasulullah s.a.w keluar ke masjid lalu mengharamkan perdagangan arak.
921 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika pembukaan Kota Mekah, beliau mendengar Rasulullah s.a.w yang ketika itu berada di Mekah bersabda: Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan berhala. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dangan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu, untuk dilumur di kulit supaya berminyak dan untuk menyalakan lampu? Baginda menjawab: Tidak boleh. lanya tetap haram. Lalu baginda meneruskan kata-kata: Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah s.w.t ketika mengharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka beralasan lalu menjualnya dan memakan hasil penjualan tersebut.
922 Diriwayatkan dari Umar r.a dari Ibnu Abbas katanya: Umar terdengar bahawa Samurah menjual arak, maka beliau berkata: Semoga Allah membinasakan Samurah. Adakah dia tidak tahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Semoga Allah melaknati orang Yahudi. Ketika diharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka beralasan lalu menjualnya.
923 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Semoga Allah membinasakan orang Yahudi. Ketika Allah mengharamkan lemak bangkai ke atas mereka, mereka menjualnya lalu memakan hasil penjualan tersebut.
924 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu menjual emas dengan emas (mata wang) kecuali sama jumlahnya serta janganlah melebihkan sebahagiannya. Kemudian janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali sama jumlahnya serta jangan melebihkan sebahagiannya dan janganlah menjualnya dengan cara sebahagian secara tunai dan sebahagian lagi ditangguhkan.
925 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Perak ditukar dengan emas adalah riba kecuali diserah dan diterima pada waktu yang sama. Gandum ditukar dengan gandum adalah riba kecuali diserah dan diterima pada waktu tersebut. Kurma ditukar dengan kurma juga adalah riba kecuali diserah dan diterima pada waktu yang sama.
926 Hadits al-Bara' bin Azib r.a: Diriwayatkan dari Abu Minhal katanya: Syarik pernah menjual perak dan pembayarannya ditangguhkan sehingga musim haji. Dia datang kepadaku dan memberitahu perkara itu. Maka aku berkata: Itu suatu perkara yang tidak baik. Beliau menjawab: Tapi aku telah menjualnya di pasar dan tiada seorangpun yang menegahku. Maka aku (Abu Minhal) pergi menemui al-Bara' bin Azib dan bertanya masalah itu. Dia berkata: Nabi s.a.w datang ke Madinah dan kami kebiasaannya melakukan jual beli seperti itu, maka baginda bersabda: Apa sahaja yang terus diserah dan diterima, adalah tidak mengapa. Tetapi yang bertempoh adalah riba. Pergilah berjumpa Zaid bin Arqam, perniagaannya lebih maju dari perniagaanku. Aku terus menemuinya dan menanyakan masalah itu. Beliau menjawab sebagaimana yang dikatakan oleh al-Bara'.
927 Diriwayatkan dari Abu Bakrah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melarang dari penukaran perak dengan perak, emas dengan emas, kecuali sama jumlahnya. Baginda menyuruh kami agar membeli perak (dibayar) dengan emas menurut kehendak kami dan membeli emas (dibayar) dengan perak menurut kehendak kami. Seorang lelaki bertanya kepada baginda: Terus diserah dan diterima? Abu Bakrah berkata: Demikianlah yang aku dengar.
928 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah memberi pekerjaan kepada saudaranya Bani Adiy al-Ansari untuk memungut hasil Khaibar. Maka mereka datang dengan membawa kurma janib (kurma yang paling baik mutunya). Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah semua kurma Khaibar seperti ini? Orang itu menjawab: Tidak! Demi Allah, wahai Rasulullah! Aku membelinya satu gantang dengan dua gantang kurma campuran (sebagai bayarannya) Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah begitu, akan tetapi tukarlah dengan jumlah yang sama atau juallah yang ini (kurma yang kurang mutunya) dan belilah kurma yang baik dengan hasil penjualan kurma yang kurang mutunya tadi, kemudian timbangannya mestilah sama.
929 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Bilal pernah mengadap baginda dengan membawa kurma Barni. Rasulullah s.a.w bertanya: Dari manakah kurma ini? Bilal menjawab: Kurma milik aku yang kurang bermutu, maka aku menjualnya dua gantang dengan satu gantang (yang bermutu) untuk juadah Nabi s.a.w. Apabila mendengarnya, Rasulullah s.a.w bersabda: Ah, itu adalah riba. Jangan buat seperti itu. Jika kamu ingin membeli kurma yang baik, juallah kurmamu dan belilah kurma yang baik dengan hasil penjualanmu tadi.
930 Hadits Abu Said Al-Khudri r.a: Diriwayatkan dari Abu Nadhrah r.a katanya: Aku pernah bertanya Ibnu Abbas tentang tukar menukar barang yang sejenis. Beliau bertanya semula: Adakah saling menerima? Aku menjawab: Ya! Maka beliau berkata: Itu tidak mengapa. Aku memberitahu Abu Said, kataku: Aku pernah bertanya kepada Ibnu Abbas tentang tukar menukar barang yang sejenis. Beliau bertanya semula: Apakah terus diserah terima? Aku menjawab: Ya! Beliau berkata: Kalau begitu, tidak mengapa. Abu Said berkata: Benarkah dia berkata begitu? Aku akan menulis surat kepadanya supaya dia tidak lagi memberi fatwa begitu kepada kamu. Demi Allah beberapa orang pemuda pernah mengadap Rasulullah s.a.w dengan membawa kurma tetapi baginda tidak mengenali kurma tersebut. Baginda bersabda: Kurma ini kelihatan bukan hasil dari tanah kita. Pemuda tadi berkata: Inilah yang berlaku pada kurma kita, hasilnya tidak begitu baik atau mungkin juga pemuda tersebut berkata: Pada tahun ini tamar kita tidak begitu baik. Oleh itu saya menukarnya dengan kurma ini secara melebihkannya sedikit. Baginda bersabda: Kamu telah melebihkannya, bererti kamu telah melakukan riba. Jangan sekali-kali kamu lakukan perkara sebegini. Apabila ada sesuatu yang meragukan tentang kurmamu maka juallah kurmamu itu kemudian belilah kurma yang kamu inginkan.
931 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Dinar ditukar dengan dinar, dirham ditukar dengan dirham secara jumlah yang sama. Sesiapa yang berlebihan, maka itu adalah riba. Dikata kepada Abu Said al-Khudri: Sesungguhnya Ibnu Abbas tidak berpendapat sedemikian. Katanya: lagi: Aku pernah bertemu dengan Ibnu Abbas, lalu aku berkata: Adakah apa yang kamu katakan itu, kamu mendengarnya dari Rasulullah s.a.w atau kamu temuinya di dalam kitab Allah? Dia menjawab: Aku bukan mendengarnya dari Rasulullah s.a.w atau aku temui di dalam kitab Allah, tetapi Usamah bin Zaid yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: Riba itu terdapat dalam penangguhan pembayarannya.
932 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya riba itu terdapat dalam penangguhan bayarannya.
933 Diriwayatkan dari Nukman bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, sambil Nukman memegang kedua belah telinganya: Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu, sesiapa menjaga diri dari perkara syubhat, dia telah bebas (dari kecaman) untuk agamanya dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhat, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram, seperti penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, maka kemungkinan besar binatangnya akan memasuki kawasan tersebut. Ingatlah! Sesungguhnya setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah yang terlarang milik Allah adalah apa saja yang diharamkanNya. Ingatlah! Sesungguhnya didalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rusak, maka rusaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati.
934 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ada seorang lelaki yang mempunyai hak pada Rasulullah s.a.w bercakap kasar dengan baginda, sehingga para Sahabat Nabi s.a.w merasa susah hati. Maka Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya pemilik hak itu boleh berkata apa saja. Baginda bersabda: Belikanlah seekor unta lalu berikanlah kepadanya. Lalu mereka berkata: Kami tidak mendapatkan apa-apa kecuali unta yang lebih baik dari pada untanya. Baginda bersabda lagi: Belilah dan berikanlah kepadanya kerana sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu atau orang yang terbaik di antara kamu adalah orang yang paling baik ketika membayar hutang.
935 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah membeli makanan dari seorang Yahudi dengan cara menangguhkan pembayarannya lalu Baginda menyerahkan baju besi sebagai gadaiannya.
936 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w datang ke Madinah, di mana penduduknya sentiasa menempah buah-buahan yang akan diserahkan dalam jangka waktu satu atau dua tahun. Maka Baginda bersabda: Sesiapa yang menempah buah kurma maka hendaklah menempah dalam sukatan yang jelas atau timbangan yang jelas dan sampai pada tempoh waktu yang jelas.
937 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sumpah itu penyebab larisnya barang dagangan, tetapi menghapuskan keberkatanya dalam keuntungan.
938 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang yang berkongsi dengan rakannya dalam memiliki tempat tinggal atau kebun kurma, dia tidak berhak menjualnya sebelum memberitahu rakan kongsinya terlebih dahulu. Jika rakannya itu ingin, maka dia akan membelinya sendiri dan sekiranya dia tidak suka, maka dia akan membiarkannya untuk dijual.
939 Diriwayakan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Janganlah salah seorang dari kamu menahan jirannya yang ingin mendirikan papan pada pagarnya.
940 Diriwayatkan dari Said bin Zaid bin Amr bin Nufail r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa mengambil sejengkal tanah secara paksa (rampas) Allah akan mengalungkan di lehernya pada Hari Kiamat nanti dengan setebal tujuh lapis bumi.
941 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang mengambil tanah lebih kurang sejengkal dengan cara zalim, maka akan dikalungkan dilehernya setebal tujuh lapis bumi.
942 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Apabila kamu berselisih mengenai jalan maka lebarnya telah ditetapkan seluas tujuh hasta.

FAROID
943 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Orang Islam tidak boleh mewarisi harta orang kafir dan orang kafir tidak boleh mewarisi harta orang Islam.
944 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Berikanlah harta pusaka itu kepada orang yang berhak menerimanya. Sekiranya masih ada bakinya, berikanlah kepada lelaki yang paling dekat nasabnya dengan si mati.
945 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika aku sakit Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar telah datang menziarahiku secara berjalan kaki. Kemudian aku pengsan. Lalu Baginda berwuduk dan menuang air wuduknya ke atasku lantas aku tersedar. Kemudian aku berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk aku menguruskan harta aku? Baginda tidak menjawab apa-apa sehinggalah diturunkan ayat mirath: Yang bermaksud: Mereka meminta fatwa kepadamu tentang kalalah.
946 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Ayat al-Quran yang terakhir sekali diturunkan ialah ayat: Yang bermaksud: Mereka meminta fatwa kepadamu tentang ayat kalalah.
947 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Bahawasanya pernah ada jenazah seorang lelaki yang mempunyai hutang dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w, maka baginda bertanya: Apakah dia ada meninggalkan sesuatu untuk membayar hutangnya? Sekiranya baginda diberitahu bahawa orang tersebut ada meninggalkan sesuatu untuk membayar hutangnya, maka baginda akan mendirikan sembahyang ke atas jenazahnya sekiranya dia tidak meninggalkan sesuatu baginda bersada: Sembahyangkanlah ke atas temanmu itu. Setelah Allah memberikan kemudahan kepada baginda dalam menaklukkan negeri, baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap orang-orang mukmin dari pada diri mereka sendiri. Oleh itu sesiapa yang mati meninggalkan hutang maka akulah yang akan membayarnya dan sesiapa yang mati meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya.

PEMBERIAN
948 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Aku telah sedekahkan kuda yang baik kepada orang yang menunggangnya dalam peperangan fi sabilillah kemudian orang itu mempersia-siakannya sehingga aku menyangka bahawa dia akan menjualnya dengan harga yang murah. Maka hal itu aku tanyakan kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Janganlah membelinya dan jangan pula kamu ambil semula sedekahmu itu kerana orang yang menarik balik sedekahnya itu seperti seekor anjing yang menjilat muntahannya.
949 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Umar bin al-Khattab pernah mengeluarkan sedekah seekor kuda yang baik kepada orang yang berperang fi sabilillah kemudian dia mendapati kuda itu ingin dijual lantas dia berhasrat untuk membelinya. Maka dia bertanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda: janganlah kamu membelinya dan jangan pula kamu mengambil balik sedekahmu itu.
950 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Perumpamaan orang yang mengambil balik sedekahnya itu seperti seekor anjing yang muntah kemudian ia kembali kepada muntahannya lalu memakannya.
951 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda: Orang yang mengambil balik pemberiannya itu seperti orang yang menelan kembali muntahannya.
952 Diriwayatkan dari Nu'man bin Basyir r.a katanya: Beliau telah diajak oleh ayahnya datang mengadap Rasulullah s.a.w lalu ayahnya berkata: Saya telah memberikan seorang hamba kepada anak saya ini, Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kesemua anakmu itu kamu berikan seperti anak ini? Ayahku menjawab: Tidak! Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ambil kembali hamba budak itu.
953 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa sahaja dari kalangan lelaki yang diberi saraan hidup untuknya dan keturunannya maka pemberian tadi menjadi miliknya, tidak harus dikembalikan kepada orang yang memberi karena dia telah memberikan suatu pemberian yang berkaitan dengan hukum pusaka.
954 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Baginda s.a.w bersabda: Saraan hidup itu diharuskan.

WASIAT
955 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak berhak ke atas seseorang Islam menyimpan sesuatu barang yang hendak diwasiatkannya selama dua malam kecuali wasiatnya itu telah dituliskanya.
956 Diriwayatkan dari Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Pada waktu Haji Wida' Rasulullah s.a.w menziarahiku ketika aku sedang sakit tenat. Waktu itu aku berkata: Wahai Rasulullah! Lihatlah keadaan aku yang berada dalam keadaan tenat ini sebagaimana yang kamu lihat, sedangkan aku ini seorang hartawan dan hanya seorang anak perempuan sajalah yang akan mewarisi harta saya. Adakah saya boleh mengeluarkan sedekah dua pertiga dari harta saya? Baginda menjawab: Tidak! Aku bertanya lagi: Bagaimana kalau sebahagiannya? Baginda menjawab: Tidak! Tetapi satu pertiga dan satu pertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik dari kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta kepada orang lain. Tidakkah Kamu menafkahkan suatu nafkah dengan tujuan untuk mendapat keredaan Allah, sehinggalah kamu mendapat pahala dari nafkahmu itu, sekalipun sesuap makanan yang kamu masukkan ke mulut isterimu. Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah saya akan dikekalkan (masih tetap hidup) sesudah sahabat-sahabat saya (meninggal dunia)? Baginda bersabda: Sesungguhnya kamu tidak akan dikekalkan lalu kamu mengerjakan suatu amal dengan tujuan untuk mendapatkan keredaan Allah sehinggalah dengan amal itu darjatmu akan bertambah. Barangkali kamu akan dikekalkan sehingga umat Islam mendapat manfaat dari sesuatu kaum dan kaum yang lain yaitu orang-orang kafir menderita kerugian keranamu. Wahai Allah! Sempurnakanlah hijrah sahabat-sahabatku dan janganlah kamu kembalikan mereka ke belakang (kepada kekufuran) tetapi yang sial adalah Saad bin Khaulah. Beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w mengasihi orang yang telah diwafatkan di Mekah.
957 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Walaupun manusia mahu mengurangkan satu pertiga menjadi satu perempat kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Satu pertiga dan satu pertiga itu banyak.
958 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang mengadap Nabi s.a.w untuk minta tunjuk ajar tentang cara pengelolaannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Belum pernah saya memperolehi harta yang lebih baik dari ini. Apakah cadangan kamu mengenai perkara ini? Baginda bersabda: Jika kamu suka, jaga tanah itu dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar mengeluarkan sedekah hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar mengeluar sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya.
959 Diriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa r.a dari Talhah bin Musrif katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abi Aufa r.a. Adakah Rasulullah s.a.w berwasiat? Dia menjawab: Tidak! Aku bertanya lagi: Mengapakah wasiat difardukan ke atas orang-orang Islam atau Mengapa orang-orang Islam diperintahkan supaya berwasiat? Dia menjawab: Baginda mewasiatkan Kitab Allah.
960 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w tidak meningalkan dinar, dirham, kambing ataupun unta dan tidak pula berwasiat.
961 Hadits Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan dari Said bin Jubair katanya: Ibnu Abbas bertanya: Hari ini hari Khamis! Apa yang telah berlaku pada hari Khamis! Kemudian dia menangis sehingga air matanya membasahi batu-batu kecil. Lalu aku bertanya: Wahai Ibnu Abbas! Kenapa dengan hari Khamis? Dia menjawab: Pada hari itu sakit Rasulullah s.a.w bertambah parah kemudian baginda bersabda: Kemarilah! Aku akan tuliskan untukmu suatu catatan yang membuatkan kamu tidak akan tersesat selepasku. Lalu para Sahabat bertengkar, padahal tidak seharusnya mereka bertengkar di hadapan Nabi. Mereka bertanya: Kenapa dengan baginda? Adakah baginda bermimpi? Tanyalah kepada baginda. Nabi s.a.w bersabda: Biarkanlah aku. Apa yang kualami sekarang ini lebih baik (dari pada mendengar pertengkaranmu). Aku mewasiatkan tiga perkara yaitu usirlah orang-orang Musyrikin dari Semenanjung Tanah Arab, berikanlah kepada para tetamu sesuatu yang sama dengan apa yang pernah aku berikan kepada mereka. Kemudian baginda diam tidak menyebutkan yang ketiga atau mungkin baginda menyebutnya tetapi aku terlupa.

NAZAR
962 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Saad bin Ubadah meminta fatwa dari Rasulullah s.a.w tentang nazar yang pernah dinazarkan oleh ibunya, tetapi dia wafat sebelum sempat melaksanakannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Maka laksanakanlah untuknya.
963 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w melarang kami dari bernazar, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya nazar itu tidak dapat menolak sesuatupun tetapi dengan nazar itulah (sesuatu) dikeluarkan dari orang yang bakhil.
964 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu bernazar kerana nazar itu tidak dapat menolak sedikitpun takdir, ia hanyalah untuk mengeluarkan sesuatu dari orang yang bakhil.
965 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Bahawasanya Nabi s.a.w melihat seorang tua yang dipapah oleh kedua orang anaknya. Maka Baginda bertanya: Mengapa dia? Orang ramai menjawab, dia bernazar untuk berjalan. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Allah tidak mahu orang ini menyiksakan dirinya sendiri. Kemudian Baginda menyuruhnya supaya menaiki kenderaan.
966 Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir r.a katanya: Saudara perempuanku telah bernazar ingin berjalan ke Baitullah tanpa memakai alas kaki. Maka dia menyuruhku agar aku meminta fatwa dari Rasulullah s.a.w untuknya, maka akupun meminta fatwa untuknya, lalu Baginda bersabda: Hendaklah dia berjalan dan berkenderaan.

AL-AIMAN (SUMPAH)
967 Diriwayatkan dari Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Agung lagi Maha Mulia melarang kamu bersumpah dengan nama bapa-bapa kamu.
968 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa di antara kamu yang bersumpah dan dalam sumpahnya dia terlanjur berkata dengan al-Laati maka hendaklah dia segera mengucap dan sesiapa mengatakan kepada temannya kemarilah kamu untuk berjudi denganku maka hendaklah dia bersedekah.
969 Diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy'ari r.a katanya: Ketika aku bersama dengan sekelompok golongan al-Asy'ari pergi kepada Nabi s.a.w meminta unta untuk mengangkut barang-barang yang kami bawa. Baginda bersabda: Demi Allah, aku tidak dapat memberi kepada kamu, aku tidak memiliki apa-apa untuk diberi kepada kamu semua. Kemudian setelah diam beberapa ketika, dia telah diberi unta oleh seseorang kemudian memerintahkan kepada kami untuk menggunakan tiga ekor unta tersebut yang kesemuanya berwarna putih. Ketika kami berangkat, aku berkata atau (setengah dari kalangan kami berkata): Allah tidak akan memberi keberkatan kepada kita. Dahulu ketika kita datang kepada Rasulullah s.a.w untuk meminta kenderaan (unta) baginda terlanjur bersumpah tidak akan memberikan kepada kita. Tetapi sekarang baginda memenuhi permintaan kita. Kemudian mereka datang menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan hal itu kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Bukan aku yang telah memberi kepada kamu semua, tetapi Allah yang telah memberi kepada kamu. Demi Allah, aku berani menyatakan bahawa sekiranya aku telah terlanjur bersumpah lalu aku tahu ada perkara yang lebih baik dari sumpahku itu, maka aku akan membayar denda (kifarat) akibat dari sumpahku tadi dan aku akan mengerjakan perkara yang lebih baik itu.
970 Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Samurah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu memohon untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika pimpinan diberikan kepada kamu bukan kerana permohonan, maka kamu akan memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin tanpa menghadapi banyak masalah. Jika kamu telah terlanjur bersumpah, kemudian kamu melihat ada sesuatu yang lebih baik dari sumpahmu itu, maka hendaklah kamu membayar denda yaitu kifarat dari sumpahmu tadi dan hendaklah kamu mengerjakan sesuatu yang lebih baik itu.
971 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Sulaiman a.s memiliki seramai enam puluh orang isteri. Suatu ketika dia pernah berkata, malam ini aku pasti akan menggauli semua isteriku, sehingga kesemua dari mereka akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda (tentera berkuda) untuk berjihad di jalan Allah. Ternyata mereka semua tidak mengandung kecuali seorang sahaja itupun hanya melahirkan anak yang cacat. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya Nabi Sulaiman a.s mengecualikan (berkata Insya Allah) maka setiap dari mereka akan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda untuk berjihad di jalan Allah.
972 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Demi Allah! Salah seorang di antara kamu yang biasa bersumpah di hadapan isterinya (keluarganya) maka dia akan lebih berdosa di sisi Allah dari dia membayar denda (kifarat) yang telah diwajibkan oleh Allah kerana melanggar sumpahnya.
973 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Saidina Umar bin al-Khattab pernah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku pernah bernazar pada zaman jahiliah untuk beriktikaf satu malam di Masjidil Haram. Kemudian Baginda bersabda: Tunaikanlah nazarmu itu.
974 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Abu al-Qasim s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang menuduh hamba miliknya melakukan zina maka pada Hari Kiamat kelak dia akan dikenakan hukuman kecuali tuduhannya itu adalah benar.
975 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Pernah terjadi kata-kata kasar antara aku dan saudaraku di mana ibunya bukan berbangsa Arab (hamba) aku telah menghinanya dari pihak ibunya. Maka dia mengadukan halku kepada Nabi s.a.w. Kemudian aku menemui Nabi s.a.w lalu baginda bersabda: Wahai Abu Zar! Sesungguhnya akhlakmu masih seperti orang-orang jahiliah. Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Bukankah seseorang yang mencaci orang lain itu sama dengan mencaci ayah dan ibunya sendiri. Baginda bersabda lagi: Wahai Abu Zar! Sesungguhnya akhlakmu itu masih seperti orang-orang jahiliah, mereka itu adalah saudara-saudaramu sendiri, mereka dijadikan oleh Allah berada di bawah kekuasaanmu. Maka berilah kepada mereka makanan seperti yang kamu makan. Berilah kepada mereka pakaian seperti yang kamu pakai dan janganlah kamu memaksa mereka melakukan kerja yang mereka tidak mampu melakukannya. Sekiranya terpaksa dilakukan maka hendaklah kamu turut membantunya.
976 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila khadam (pelayan) salah seorang di antara kamu telah selesai memasak kemudian menghidangkannya, sesungguh dia adalah orang yang telah menangani panas serta asap hidangan itu. Oleh itu kamu hendaklah mempelawanya menikmati masakan itu bersama-sama. Jika makanan itu sedikit maka hendaklah kamu memberikannya kepada pelayan itu satu atau dua suapan.
977 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang hamba yang setia kepada tuannya dan menjalankan ibadat kepada Allah dengan baik, maka baginya pahala dua kali ganda.
978 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Bagi seorang hamba yang setia akan mendapat dua pahala.
979 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Alangkah bahagianya seorang hamba yang ketika menjelang kematiannya dia selalu memperbaiki ibadatnya kepada Allah dan selalu setia kepada tuannya. Alangkah bahagianya dia!.

QOSAMAH, PENCEROBOHAN, QISHOS DAN DIYAT
980 Diriwayatkan dari Rafi' bin Khadij dan Sahl bin Abu Hathmah r.a kedua-duanya berkata: Abdullah bin Sahl bin Zaid dan Muhayyisah bin Mas'ud bin Zaid telah keluar untuk berperang di medan Khaibar lalu kedua-duanya berpisah. Kemudian Muhayyisah mendapati Abdullah bin Sahl terbunuh. Setelah menanam jenazahnya, Muhayyisah dengan ditemani oleh kedua orang adiknya yang bernama Huwayyisah bin Mas'ud dan Abdul Rahman bin Sahl datang mengadap Rasulullah s.a.w. Abdul Rahman bin Sahl yang merupakan saudara paling kecil, ingin berbicara mendahului kedua orang abangnya. Tetapi Rasulullah s.a.w memperingatkannya: Yang tua sahaja. Abdul Rahman terdiam buat seketika. Akhirnya Muhayyisah dan Huwayyisah lah yang bercerita dan diikuti oleh Abdul Rahman. Mereka menceritakan kepada Rasulullah s.a.w mengenai peristiwa terbunuhnya Abdullah bin Sahl. Rasulullah s.a.w bertanya kepada mereka: Apakah kamu mahu bersumpah sebanyak lima puluh kali untuk memastikan tuduhan ke atas Sahabat kamu? Mereka menjawab, bagaimana kami harus bersumpah sedangkan kami tidak menyaksikan peristiwanya itu. Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu golongan Yahudi akan terbebas dari tuntutan kamu kerana mereka akan bersumpah sebanyak lima puluh kali. Mereka merasa keberatan: Bagaimana kami mahu menerima sumpah orang-orang kafir? Maka apabila Rasulullah s.a.w melihat keadaan tersebut lalu Baginda s.a.w membayar diyatnya.
981 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya beberapa orang dari daerah Urainah datang ke Madinah untuk menemui Rasulullah s.a.w mereka telah mengidap sakit perut yang agak serius. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Sekiranya kamu mahu, keluarlah dan carilah unta sedekah, maka kamu minumlah susu dan air kencingnya. Lalu mereka meminumnya, dan ternyata mereka menjadi sihat. Kemudian mereka pergi kepada sekumpulan pengembala lalu mereka membunuh pengembala yang tidak berdosa itu dan mereka telah menjadi murtad (keluar dari Islam.) Mereka juga telah melarikan unta milik Rasulullah s.a.w, kemudian peristiwa itu diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memerintahkan kepada para Sahabat agar menangkap mereka. Setelah ditangkap lalu mereka dihadapkan kepada baginda s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun memotong tangan dan kaki serta mencungkil mata mereka. Kemudian baginda membiarkan mereka berada di al-Harrah (sebuah daerah di Madinah yang terkenal penuh dengan batu hitam) sehingga mereka meninggal dunia.
982 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a: Sesungguhnya seorang Yahudi telah memukul seorang hamba perempuan untuk merampas perhiasan yang dipakainya. Orang Yahudi itu memukulnya dengan seketul batu. Dalam keadaan yang sangat lemah hamba perempuan tersebut dibawa mengadap Rasulullah s.a.w, baginda bertanya kepadanya: Apakah si anu yang memukulmu? Hamba perempuan itu mengisyaratkan dengan kepalanya: Tidak! Baginda bertanya lagi kepadanya: Sekali lagi dia mengisyaratkan dengan kepalanya bahawa bukan si anu itu yang memukulnya. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi buat kali ketiga lalu dia menjawab: Ya! Dengan isyarat kepalanya. Kemudian Rasulullah s.a.w memukul orang Yahudi tersebut dengan dua ketul batu.
983 Diriwayatkan dari Imran bin Hussain r.a katanya: Ya'la bin Munyat atau lbnu Umayyah telah bertengkar dengan seorang lelaki, salah seorang darinya telah menggigit yang lainnya. Lalu yang digigit itu menarik tangannya dari mulut orang yang menggigit itu, sehingga tercabut gigi hadapan orang yang menggigit tadi, yaitu Ibnu Muthanna. Lalu kedua-duanya mengadukan hal itu kepada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Apakah salah seorang dari kamu menggigit seperti binatang jantan yang menggigit? Jika itu yang terjadi, maka tidak ada diyat keatasnya.
984 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya saudara perempuan Rubai' yaitu Ummu Harithah telah melukai seseorang, lalu keluarganya mengadukan hal itu kepada Nabi s.a.w, maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Laksanakanlah hukuman qisas, laksanakanlah hukuman qisas, Ummu Rubai' berkata: Wahai Rasulullah, apakah perlu dijatuhkan hukuman qisas terhadap orang itu? Demi Allah, janganlah dikenakan hukuman qisas ke atasnya. Nabi s.a.w bersabda: Maha Suci Allah, wahai Ummu Rubai' hukuman qisas adalah ketetapan dari Allah. Ummu Rubai' berkata: Demi Allah jangan, jangan kenakan hukuman qisas keatasnya buat selama-lamanya. Hal itu terus berlalu hinggalah mereka menerima bayaran diyat. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah itu terdapat orang yang bersumpah ke atas Allah, dan dia akan berlaku jujur kepadaNya..
985 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak dihalalkan darah seorang muslim yang telah bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan bersaksi bahawa aku adalah utusan Allah kecuali salah satu di antara tiga perkara ini: Yaitu seorang janda yang berzina, seseorang yang membunuh orang lain dan orang yang meninggalkan agamanya yaitu orang yang memisahkan dirinya dari jemaah.
986 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap kali ada pembunuhan secara zalim, maka putera Nabi Adam yang pertama itu akan mendapat bahagian darahnya, (mendapat dosa) kerana dialah orang yang pertama melakukan pembunuhan.
987 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perkara yang pertama sekali akan diadili dari kalangan manusia pada Hari Kiamat kelak ialah perkara yang berkaitan dengan darah.
988 Diriwayatkan dari Abu Bakrah r.a: Dari Nabi s.a.w sesungguhnya baginda telah bersabda: Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, yaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban. Kemudian Baginda bertanya: Bulan apakah itu? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain. Baginda bertanya: Bukankah ia bulan Zulhijah? Kami menjawab: Benar. Baginda bertanya lagi: Negeri apakah itu? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama yang lain. Baginda bersabda: Bukankah ia negeri Baldah? kami menjawab: Benar. Baginda bertanya: Hari apa kah itu? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda diam saja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain. Baginda s.a.w bersabda lagi: Tidakkah itu hari an-Nahr? (hari perayaan) Kami menjawab: Benar, wahai Rasulullah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya darahmu, harta bendamu (Kata Muhammad Aku menyangka baginda bersabda pula) dan kehormatanmu adalah haram ke atas dirimu, seperti haramnya harimu yang sekarang ini, di negerimu ini dan di bulanmu ini. Kamu akan bertemu dengan tuhanmu. Dia akan bertanya kepadamu mengenai semua amalan kamu. Maka selepasku nanti janganlah kamu kembali kepada kekufuran atau kesesatan, di mana kamu akan berkelahi antara satu sama lain. Ingat, hendaklah orang yang hadir pada saat ini mesti menyampaikan kepada orang yang tidak ada pada waktu ini. Boleh jadi sebahagian dari mereka yang mendengar dari mulut orang kedua lebih dapat menjaga dari orang yang mendengarnya secara langsung. Kemudian baginda bersabda: Ingat, bukankah aku telah menyampaikannya?.
989 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya ada dua orang wanita dari Bani Huzail salah seorang darinya memukul yang lain, sehingga menyebabkan janinnya keguguran. Maka Nabi s.a.w memutuskan kepada wanita yang telah memukulnya itu untuk membayar diyat yang berupa seorang hamba lelaki atau perempuan.
990 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Seorang wanita telah memukul madunya yang berada dalam keadaan hamil dengan menggunakan tongkat, sehinggalah dia meninggal dunia. Salah seorang darinya berasal dari kaum Lihyan. Maka Rasulullah s.a.w menjatuhkan hukuman diyat wanita yang menjadi korban pembunuhan itu kepada asabahnya yaitu pewaris pembunuh tersebut. Manakala untuk janin yang berada dalam perutnya harus ditebus dengan seorang hamba samada lelaki ataupun perempuan. Kemudian salah seorang waris lelaki yang membunuh itu berkata: Apakah aku harus membayar diyat anak yang belum dapat makan dan minum dan belum menjerit? Itu jelas merupakan kecelakaan yang tidak boleh ditanggung. Mendengar itu Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Apakah seperti itu sajak orang-orang Arab?? Baginda bersabda lagi: Diwajibkan ke atas mereka itu membayar diyat.
991 Diriwayatkan dari Al-Mughirah bin Syu'bah dan Muhammad bin Maslamah r.a kedua-duanya berkata: Saidina Umar bin al-Khattab telah meminta pendapat (bermesyuarat) dari orang-orang Islam mengenai janin seorang wanita. Al-Mughirah bin Syu'bah mengatakan: Aku pernah melihat Nabi s.a.w memutuskan masalah ini dengan tebusan seorang hamba perempuan ataupun lelaki. Lalu Saidina Umar r.a berkata kepada al-Mughirah: Datangkan kepadaku orang yang turut menyaksikan bersamamu itu. Al-Mughirah berkata: Akhirnya datanglah Muhammad bin Maslamah sebagai saksinya itu.

HUDUD
992 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w memotong tangan seseorang yang mencuri harta sebanyak satu perempat dinar ke atas.
993 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda tidak akan memotong tangan seseorang yang mencuri kurang dari harga sebuah perisai dan sebuah perisai kulit, sedangkan kedua-duanya berharga.
994 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah memotong tangan seorang yang mencuri sebuah perisai yang bernilai sebanyak tiga Dirham.
995 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah melaknati seorang pencuri yang mencuri telur maka dipotong tangannya, kemudian dia mencuri tali lalu dipotong tangannya.
996 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya kaum Quraisy merasa bingung dengan masalah seorang wanita dari kabilah Makhzumiah yang telah mencuri. Mereka berkata: Siapakah yang akan memberitahu masalah ini kepada Rasulullh s.a.w? Dengan serentak mereka menjawab: Kami rasa hanya Usamah sahaja yang berani memberitahunya, kerana dia adalah kekasih Rasulullah s.a.w. Maka Usamah pun pergilah untuk memberitahu kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Jadi maksud kamu semua ialah untuk memohon syafaat terhadap salah satu dari hukum Allah? Kemudian Baginda berdiri dan berkhutbah: Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum dari kamu ialah, apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya sahaja. Tetapi apabila mereka dapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Saidatina Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.
997 Diriwayatkan dari Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya: Sesungguhnya Allah telah mengutus Muhammad s.a.w dengan kebenaran dan telah menurunkan kepada baginda kitab al-Quran. Di antara yang diturunkan kepada baginda ialah ayat yang menyentuh tentang hukuman rejam. Kami selalu membaca, menjaga dan memikirkan ayat tersebut. Rasulullah s.a.w telah melaksanakan hukuman rejam tersebut dan selepas baginda, kami pun melaksanakan juga hukuman itu. Pada akhir zaman aku merasa takut, akan ada orang yang akan mengatakan: Kami tidak menemukan hukuman rejam dalam kitab Allah yaitu al-Quran sehingga mereka akan menjadi sesat kerana mereka meninggalkan salah satu kewajiban yang telah diturunkan oleh Allah. Sesungguhnya hukuman rejam yang terdapat dalam kitab Allah itu mesti dilaksanakan ke atas penzina yang pernah berkahwin samada lelaki ataupun perempuan apabila terdapatnya bukti yang nyata, samada dia telah hamil ataupun dengan pengakuan darinya sendiri.
998 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Seorang lelaki dari kalangan orang Islam datang kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berada di masjid. Lelaki itu memanggil baginda s.a.w, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah melakukan zina, Rasulullah s.a.w berpaling darinya dan menghadapkan wajahnya ke arah lain. Lelaki itu berkata lagi kepada baginda, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah melakukan zina, sekali lagi Rasulullah s.a.w berpaling darinya. Perkara itu berlaku sebanyak empat kali. Apabila dia mengaku ke atas dirinya sampai empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w memanggilnya dan bersabda: Adakah kamu gila? Lelaki itu menjawab: Tidak, Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Apakah kamu sudah berkahwin atau berumahtangga? Lelaki itu menjawab: Ya. Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabatnya: Bawalah dia pergi dan laksanakanlah hukuman rejam ke atas dirinya.
999 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bertanya kepada Maiz bin Malik. Apakah benar berita yang sampai kepadaku mengenai dirimu itu? Beliau bertanya pula kepada Rasulullah s.a.w, berita apakah itu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Aku mendengar bahawa kamu telah melakukan zina dengan seorang hamba perempuan si anu. Maiz bin Malik menjawab: Memang benar. Bahkan dia sendiri mengaku sampai empat kali, bahawa dia memang melakukan zina. Akhirnya Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dilaksanakan hukuman rejam ke atasnya.
1000 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a dan Zaid bin Khalid al-Juhani r.a kedua-duanya berkata: Sesungguhnya seorang lelaki dari kabilah al-A'rab datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Aku datang kepadamu supaya kamu memutuskan hukuman ke atasku berpandukan kitab Allah. Kemudian berkata pula seorang yang lain (yang menjadi lawannya) dia itu lebih banyak ilmu darinya. Baiklah, hukumlah antara kami berdasarkan Kitab Allah, wahai Rasulullah! Sekarang izinkanlah aku untuk menjelaskannya kepadamu. Rasulullah s.a.w bersabda: Katakanlah. Dia pun bercerita: Sesungguhnya anakku telah menjadi pelayan orang ini, Suatu hari anakku telah melakukan zina dengan isterinya. Aku mendapat khabar bahawa anakku itu mesti dihukum rejam. Aku akan menebusnya dengan seratus ekor kambing dan seorang hamba perempuan. Ketika hal itu aku bertanyakan kepada salah seorang yang alim, aku diberitahu bahwa anakku itu hanya dikenakan hukuman sebanyak seratus kali rotan dan diasingkan selama setahun dan isteri orang inilah yang mesti dihukum rejam. Mendengar penjelasan itu, Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya aku akan memutuskan hukuman ke atas kamu berpandukan kitab Allah (al-Quran). Seratus ekor kambing dan hamba perempuan tadi harus dikembalikan dan anakmu mesti dihukum rotan sebanyak seratus kali sebatan serta diasingkan selama setahun. Sekarang pergilah kepada isteri orang ini, wahai Unais! Jika dia mengaku, maka jatuhkanlah hukuman rejam ke atasnya. Maka Unais pun datang menemui wanita tersebut dan ternyata dia mengakui atas perbuatannya itu. Maka sesuai dengan perintah dari Rasulullah s.a.w maka wanita itupun dijatuhkan hukuman rejam.
1001 Diriwayatkan dari Abdullah bin Omar r.a katanya: Sesungguhnya pernah suatu ketika dua orang Yahudi lelaki dan perempuan yang berzina dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w berangkat menemui orang-orang Yahudi lalu bertanya: Apakah hukuman ke atas orang yang melakukan zina sebagaimana yang terkandung di dalam kitab Taurat? Mereka menjawab: Kami akan mencontengkan muka mereka dengan warna hitam, dan menaikkannya di atas kenderaan dalam keadaan beririgan, kemudian kami membawa mereka mengelilingi jalan. Selanjutnya baginda berkata: Datangkanlah kitab Taurat itu sekiranya kamu berlaku jujur. Kemudian mereka mengambil kitab Taurat dan membacanya. Ketika bacaan mereka sampai pada ayat rejam, tiba-tiba dia meletakkan tangannya di atas ayat tersebut dan dia hanya membaca ayat yang sebelum dan selepasnya. Abdullah bin Salam yang turut bersama Rasulullah s.a.w pada waktu itu berkata kepada beliau: Perintahkanlah dia supaya mengangkat tangannya. Pemuda tadi lalu mengangkat tangannya. Dan ternyata ayat yang ditutupinya itu ialah ayat rejam. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan agar kedua orang yang berzina tadi dihukum rejam. Lalu hukuman itupun dilaksanakan. Abdullah bin Omar berkata lagi: Aku adalah termasuk dari mereka yang ikut merejam mereka. Dan aku melihat lelaki tersebut berusaha mengelak dari rejaman batu itu.
1002 Hadits Abdullah bin Abi Aufa r.a: Diriwayatkan dari Syaibani r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Abdullah bin Abi Aufaa: Adakah Rasulullah s.a.w pernah melakukan hukuman rejam? Dia menjawab: Ya. Aku bertanyakan hal itu samada selepas turunnya surah an-Nur atau sebelumnya? Dia menjawab: Aku tidak mengetahuinya.
1003 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang hamba perempuan milik salah seorang di antara kamu melakukan perbuatan zina dan telah terbukti, maka hukumlah dia dengan merotannya dan janganlah kamu memakinya. Jika dia mengulanginya lagi perbuatan zina itu, maka rotanlah dia dan janganlah kamu memakinya. Dan jika dia mengulanginya lagi buat kali ketiganya dan terbukti, maka jualah dia walaupun dengan harga sehelai rambut.
1004 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesugguhnya seorang lelaki yang meminum arak telah dihadapkan kepada Nabi s.a.w kemudian baginda telah memukulnya dengan dua pelepah kurma sebanyak empat puluh kali.
1005 Diriwayatkan dari Abu Burdah al-Ansari r.a katanya: Beliau telah mendengar Rasulullah s.a. w. bersabda: Seseorang tidak akan didenda lebih dari sepuluh kali sebatan kecuali hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah.
1006 Diriwayatkan dari Ubadah bin as-Somit r.a katanya: Ketika aku bersama dengan Rasulullah s.a.w dalam satu majlis. Baginda bersabda: Seharusnya kamu membuat pengakuan kepadaku bahawa kamu tidak akan menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain juga kamu tidak akan melakukan zina, mencuri dan tidak akan membunuh orang yang telah diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak. Barangsiapa di antara kamu yang mematuhinya maka akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Barangsiapa yang terlanjur melakukannya maka dia akan mendapat hukuman yang merupakan kaffarat baginya. Sesiapa yang terlanjur melakukannya tetapi Allah telah menutupinya, maka itu adalah urusan Allah. Jika Allah mahu memberi keampunan kepadanya sudah pasti Allah akan mengampuninya. Tetapi jika Allah mahu menyiksanya, maka sudah pasti Allah akan menyiksanya.
1007 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang yang terluka disebabkan binatang maka tidak ada tuntutan gantirugi dan orang yang tercedera atau mati kerana terjatuh ke dalam perigi juga tidak ada tuntutan gantiruginya juga orang yang terluka atau mati kerana bahan-bahan galian juga tidak ada tuntutan gantirugi. Manakala dikenakan zakat pada harta rikaz itu sebanyak satu perlima.

AQDLIYAH (KEPUTUSAN PENGADILAN)
1008 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: Sekiranya manusia diberi peluang untuk membuat tuntutan mereka, nescaya mereka akan membuat tuntutan darah dan harta. (Kerana itu, penuntut mesti mendatangkan saksi). Tetapi, sumpah itu diwajikan ke atas orang yang terdakwa.
1009 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu berkelahi di hadapanku. Boleh jadi sebahagian dari kamu lebih pandai mengemukakan alasannya dari yang lain, maka aku akan memutuskan mengikut apa yang telah aku dengari. Oleh sebab itu, sesiapa yang telah aku berikan sebahagian dari hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya. Kerana sesungguhnya apa yang aku berikan kepadanya itu, tidak lain hanyalah sepotong api Neraka.
1010 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Hindun binti Utbah isteri Abu Sufian datang menemui Rasulullah s.a.w Ialu berkata: Wahai Rasulullah! Abu Sufian adalah seorang yang bakhil, dia tidak memberikan nafkah yang cukup untuk aku dan anak-anakku, kecuali harta yang telah aku ambil tanpa pengetahuannya. Apakah dalam hal ini aku akan menanggung dosa? Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Ambillah hartanya itu dengan cara yang baik, yaitu sekadar mencukupi untuk dirimu dan anak-anakmu.
1011 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, tidak mahu memberi miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, yaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.
1012 Diriwayatkan dari Amru bin al-As r.a katanya: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang hakim memutuskan sesuatu perkara dengan berijtihad, kemudian ijtihadnya itu benar, maka dia akan mendapat dua pahala. Sekiranya hakim itu memutuskan sesuatu perkara dengan berijtihad, tetapi ijtihadnya itu tidak benar, maka dia akan memperolehi satu pahala.
1013 Diriwayatkan dari Abi Bakrah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu memutuskan hukuman di antara dua orang dalam keadaan marah.
1014 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan agama yang tidak terdapat dalam agama maka dengan sendirinya ia akan tertolak.
1015 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika dua orang wanita sedang bersama dengan anak mereka masing-masing, tiba-tiba datang seekor serigala lalu membawa anak salah seorang di antara mereka. Seorang di antara mereka berkata kepada yang seorang lagi, bahawa yang dibawa oleh serigala itu adalah anakmu. Yang seorang lagi mengatakan tidak, anakmulah yang telah dibawa itu. Lalu mereka berdua meminta pengadilan dari Nabi Daud a.s, maka Nabi Daud telah memutuskan ke atas yang lebih tua, kemudian kedua-duanya pergi mengadap Nabi Sulaiman bin Daud a.s lalu menceritakan perkara yang telah berlaku, maka Nabi Sulaiman pun berkata, Ambilkan pisau, aku akan membahagikan anak ini untuk kamu berdua. Kemudian berkata yang lebih muda, kamu tidak akan dirahmati oleh Allah, dia adalah anaknya, maka hukuman pun dijituhkan ke atas yang lebih muda itu.
1016 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang lelaki telah membeli tanah dari seorang lelaki lain. Tiba-tiba orang yang membeli tanah itu telah mememui di dalam tanahnya bekas yang mengandungi emas. Orang yang membeli tanah itu berkata kepada orang yang menjual tanah itu, ambilah emasmu ini dariku, kerana aku hanya membeli tanah sahaja dan aku tidak membeli emas darimu. Orang yang menjual tanah itu berkata, yang aku jualkan kepadamu adalah tanah dan semua barang yang terdapat di dalamnya. Lalu mereka berdua meminta pengadilan dari seorang lelaki, maka lelaki yang diminta menjadi hakim itu bertanya, adakah kamu berdua mempunyai anak? Lalu salah seorang dari keduanya menjawab, Ya, aku mempunyai seorang hamba laki-laki. Kemudian yang seorang lagi berkata: Aku mempunyai seorang hamba perempuan. Maka orang yang diminta memberi pengadilan itu berkata, kahwinkanlah mereka berdua, kemudian belanjakanlah untuk kepentingan diri mereka berdua dari emas tersebut dan bersedekahlah kamu berdua.

LUQOTAH
1017 Diriwayatkan dari Zaid bin Khalid al-Juhani r.a katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi s.a.w untuk bertanya tentang barang yang ditemuinya. Rasulullah s.a.w bersabda: Umumkanlah kepada orang ramai mengenai bentuk dan talinya (bekasnya), kemudian umumkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya datang tuannya, maka serahkanlah kepadanya, sekiranya tiada yang datang, maka terserahlah kepadamu. Orang itu bertanya lagi, bagaimana kalau barang temuan itu berupa kambing? Rasuluallah s.a.w bersabda: Untukmu atau untuk saudaramu atau untuk serigala (bererti boleh diambil). Lelaki itu bertanya lagi, bagaimana pula jika yang ditemui itu seekor unta? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Apa pedulimu terhadapnya? Ia (unta itu) sudah membawa bekas air dan kasutnya sendiri (kuat menahan dahaga beberapa hari dan kuat berjalan). Ia mampu pergi ke tempat-tempat air dan memakan pokok-pokok kayu sehinggalah ia ditemui oleh tuannya.
1018 Diriwayatkan dari Ubai bin Ka'ab r.a katanya: Aku telah menemui beg yang mengandungi wang sebanyak seratus dinar, pada zaman Rasulullah s.a.w. Aku datang membawa beg itu kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Umumkanlah selama setahun, aku pun mengumumkannya, tetapi aku tidak menemukan orang yang mengakuinya. Aku datang lagi mengadap Rasulullah s.a.w baginda bersabda lagi, umumkanlah selama setahun, aku mengumumkannya tetapi aku tidak menemui orang yang mengakuinya. Sekali lagi aku datang mengadap Rasulullah s.a.w. Baginda tetap bersabda, umumkanlah selama setahun, aku mengumumkannya, tetapi aku tidak menemui orang yang mengakuinya, maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Ingatlah jumlahnya dan bekasnya, Jika datang pemiliknya berikanlah kepadanya, sekiranya tidak ada awak boleh memanfaatkannya. Aku pun memanfaatkannya. Perawi Hadits berkata, aku menemuinya di Mekah selepas itu. Dia berkata aku tidak pasti apakah dia mengatakan tiga tahun ataupun satu tahun.
1019 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah seseorang dari kamu memerah susu binatang ternakan orang lain tanpa izin tuannya. Adakah seseorang di antara kamu suka apabila dibawa datang minumannya maka kamu memecahkan bekas minuman itu, lalu isinya dipindahkan, sesungguhnya hanya labu susu ternakan merekalah yang menyimpan makanan untuk mereka, oleh itu janganlah seseorang kamu memerah susu ternakan orang lain tanpa izin tuannya.
1020 Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir r.a katanya: Wahai Rasulullah! Engkau mengutuskan kami, lalu kami pergi kepada suatu kaum, tetapi mereka tidak melayani kami, apa pendapat mu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda kepada kami: Sekiranya kamu pergi kepada suatu kaum, lalu mereka melayan kamu sebagaimana yang sepatutnya dilakukan terhadap tetamu, maka terimalah. Sekiranya mereka tidak melakukannya, maka kamu berhak menuntut dari mereka hak tetamu yang diwajibkan ke atas mereka.
1021 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Kami telah mengalami kesusahan sehinggalah kami berfikir untuk menyembelih sebahagian dari binatang tunggangan kami. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan kami supaya mengumpulkan segala bekalan kami. Kami membukanya di atas hamparan kulit, maka terkumpulah kesemua bekalan di atas hamparan itu. Aku coba membuat anggaran berapa banyakkah bekalan yang telah terkumpul itu. Dari pengiraanku bekalan yang terkumpul itu sebanyak satu kandang kambing, sedangkan kami hanya seramai satu ribu empat ratus orang. Kemudian kami makan sehinggalah kami kenyang semuanya dan kami masih dapat mengisi kembali bekas-bekas kami. Kemudian Nabi s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai air untuk berwuduk? Kemudian datang seorang lelaki membawa bekasnya yang berisi sedikit air. Maka Rasulullah s.a.w menuangkan air itu ke dalam satu mangkuk. Kemudian kami seramai satu ribu empat ratus orang dapat berwuduk semuanya dengan sempurna dan dapat menuangkan air dengan deras. Kemudian datang pula lapan orang lelaki lalu bertanya, apakah ada sesuatu untuk berwuduk? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Air untuk berwuduk telah habis.

JIHAD DAN STRATEGINYA
1022 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menyerang Bani Mustalik. Sedangkan mereka tidak bersedia untuk menghadapi serangan dari Rasulullah s.a.w, di mana ternakan mereka sedang meminum air di sebuah mata air. Baginda telah membunuh tentera-tentera mereka dan menawan tawanan mereka. Pada hari itu Juwairiyah telah tercedera dan Abdullah bin Umar adalah salah seorang dari tentera Islam dalam peperangan tersebut.
1023 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w memerintahkan seorang Sahabat untuk melaksanakan salah satu perintahnya, dengan bersabda: Sampaikanlah khabar gembira dan jangan menakut-nakutkan. Permudahkanlah dan jangan memayahkan.
1024 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Permudahkan dan jangan memayahkan, tenangkan dan jangan menakut-nakutkan.
1025 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ketika Allah mengumpulkan orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian pada Hari Kiamat kelak, maka setiap orang yang melakukan pengkhianatan akan diberikan tanda sebuah bendera yang bertulis: Ini adalah bukti tanda pengkhiatannya kepada Polan bin Polan.
1026 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap pengkhianat akan diberikan sebuah bendera sebagai tanda pada Hari Kiamat kelak yang bertulis: Ini adalah tanda pengkhianatannya terhadap Si Polan.
1027 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Setiap orang yang berkhianat akan diberikan sebuah bendera sebagai tanda pada Hari Kiamat nanti.
1028 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Peperangan itu adalah tipu daya.
1029 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Peperangan itu adalah tipu daya.
1030 Hadits Abdullah bin Abi Aufa r.a: Diriwayatkan dari Abu an-Nadhri tentang surat seorang lelaki yang berasal dari Aslam dari kalangan para Sahabat Nabi s.a.w. Lelaki tersebut bergelah Abdullah bin Abi Aufa. Kemudian dia mengutuskan surat kepada Umar bin Ubaidillah ketika dia berangkat pergi kepada kaum Harurriyah (salah satu golongan Khawarij) yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w ketika bertemu dengan musuh, baginda akan menunggu sehingga matahari condong ke arah barat. Kemudian baginda bangkit lalu bersabda: Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu mengharapkan untuk bertemu dengan musuh dan pohonlah kesejahteraan kepada Allah. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bersabarlah dan ketahuilah kamu, sesungguhnya Surga itu berada di bawah libasan pedang kamu. Selanjutnya Nabi s.a.w bangkit dan berdoa: Ya Allah! Engkaulah Yang menurukan kitab dan Yang menggerakkan awan dan Yang mengalahkan pasukan yang bersekutu, hancurkanlah mereka dan berikanlah kemenangan kepada kami.
1031 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a: Sesungguhnya pernah terdapat seorang wanita terbunuh dalam satu peperangan yang diikuti oleh Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w melarang dari membunuh wanita dan kanak-kanak.
1032 Diriwayatkan dari As-Sa'bi bin Jathamah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang perempuan dan kanak-kanak kaum Musyrikin yang diserang pada malam hari dan ternyata serangan itu terkena isteri dan anak-anak mereka, lalu baginda menjawab dengan bersabda: Dalam keadaan seperti itu isteri dan anak-anak mereka termasuk dari kalangan mereka.
1033 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah membakar dan menebang pokok tamar milik Bani Nadhir yang berada di Buwairah. Di dalam Hadits Qutaibah dan Ibnu Rumh ada tambahan: Kemudian Allah s.w.t menurunkan ayat: Bermaksud: Apa saja yang kamu tebang dari pohon milik orang-orang kafir atau yang kamu biarkan ia tumbuh berdiri di atas pokoknya, maka semua itu adalah dengan izin Allah kerana Dia mahu memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.
1034 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang Nabi pernah berperang dan dia berkata kepada kaumnya: Tidak dibenarkan mengikutiku seorang lelaki mempunyai isteri yang hendak disetubuhinya, juga seorang lelaki yang sudah mendirikan sebuah bangunan namun dia belum menaikkan bumbungnya. Demikian pula dengan seorang lelaki yang telah membeli seekor kambing atau seekor unta hamil, sehingga dia menunggu kelahiran anak ternakannya tersebut. Maka beliau pergi berperang. Apabila tiba di sebuah kampung pada waktu Asar, beliau berkata kepada matahari: Wahai matahari! Kamu diperintahkan dan aku pun juga diperintahkan. Lalu beliau berdoa: Ya Allah! Tahanlah matahari itu sebentar untukku. Maka matahari pun berhenti kerana diperintahkan oleh Allah. Lalu beliau berkata: Himpunlah oleh kamu segala harta rampasan. Setelah mengumpulkan harta hasil rampasan perang tersebut, tiba-tiba ada percikan api dari atas langit yang kelihatannya akan membakar harta tersebut, namun mendadak api itu berhenti dan tidak mahu membakarnya. Lalu Nabi a.s berkata: Di antara kamu ada yang telah menyorokkan harta rampasan perang ini. Maka hendaklah setiap orang dari semua kabilah segera berbai'at kepadaku. Maka mereka pun beramai-ramai datang membai'ah kepada Rasul dengan menjabat tangan beliau. Kemudian beliau kembali bersabda: Di antara kamu pasti ada yang telah menyoroknya. Hendaklah setiap kabilah dari kamu berbai'at kepadaku. Mereka pun berebut-rebut datang berbai'at kepada Nabi a.s, sehingga dua atau tiga orang menjabat tangan beliau secara sekaligus. Beliau berkata lagi: Diantara kamu pasti ada yang menyoroknya, kamu telah berkhianat. Kemudian mereka memberikan kepada beliau seketul emas sebesar kepala lembu lalu diletakkannya pada timbunan harta rampasan tersebut yang sudah berada di atas tanah. Tidak lama kemudian datanglah percikan api itu lalu memakannya. Baginda bersabda: Harta rampasan perang itu sama sekali tidak dihalalkan kepada seorang pun sebelum kita. Hal itu disebabkan kerana Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Luhur mengetahui kelemahan serta kekurangan kita. Maka Allahlah yang akan mengelokkan diri kita.
1035 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah menghantar satu pasukan tentera ke sebuah daerah bernama Najd, aku adalah salah seorang di antara mereka, di mana mereka telah berjaya mendapatkan harta rampasan perang yang banyak seperti unta. Mereka semua mendapat bahagian sebanyak sebelas atau dua belas ekor unta dan ditambahkan kepada mereka seekor unta lagi.
1036 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah membahagikan harta rampasan perang kepada kami. Baginda juga telah mengasingkan satu perlima dari bahagian kami untuk dibahagikan kepada orang-orang yang lebih tua.
1037 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Aku pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Hunain. Dalam pertempuran itu, pasukan Islam terpaksa berundur pada awalnya dan pada masa itu aku sempat melihat ada seorang dari pasukan kafir berjaya menangkap seorang tentera muslimin sehingga tentera muslimin itu tidak berdaya lagi dan dia hendak dibunuh oleh tentera kafir tersebut. Ketika itulah aku segera datang dari arah belakangnya. Maka dengan tidak berlengah-lengah aku menikam bahu tentera kafir tersebut, kemudian aku dapati tentera kafir itu hampir mati, lalu kemudiannya beliau mati. Selepas itu aku segera mengikut Umar bin al-Khattab. Setelah bertemu dengannya aku ditanya: Ada apa dengan orang tadi. Aku menjawab: Biarkan saja. Dia sudah menjadi urusan Allah. Kemudian kami semua pulang, kami mendapati Rasulullah s.a.w sedang duduk. Selanjutnya baginda bersabda: Sesiapa yang berjaya membunuh musuh dan dia mempunyai bukti, maka dia berhak ke atas harta orang yang dibunuhnya itu. Setelah mendengar keterangan tersebut, aku lantas berdiri dan bertanya: Siapa yang bersedia menjadi saksi kepadaku? Kemudian aku duduk. Selepas itu aku mengulangi lagi soalan yang sama, kemudian aku duduk. Kemudian aku bertanya lagi buat kali yang ketiganya, ketika aku hampir-hampir putus asa, tiba-tiba saja Rasulullah s.a.w mendekatiku dan bertanya: Apa kena denganmu ini wahai Abu Qatadah? Lalu aku menceritakan kepada baginda perkara yang telah berlaku, yaitu aku telah membunuh seorang tentera kafir. Tanpa diduga tiba-tiba ada seorang Sahabat yang berdiri dan mengatakan: Apa yang diceritakan oleh Abu Qatadah itu adalah benar wahai Rasulullah. Sekarang harta milik tentera kafir yang dibunuh oleh Abu Qatadah itu berada padaku. Oleh itu berikanlah harta ini kepada yang berhak. Apabila mendengar ucapan sahabat tersebut, Abu Bakar as-Siddiq lalu berkata: Demi Allah, Rasulullah s.a.w tidak mungkin akan menyia-nyiakan salah seorang tentera pasukannya yang telah berperang membela Allah dan utusanNya. Baginda pasti akan memberikannya kepada orang yang berhak. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: Benarlah apa yang telah dikatakan oleh Abu Bakar tersebut. Berikanlah harta itu kepada Abu Qatadah. Kemudian Abu Bakar pun menyerahkannya kepadaku. Dari harta itulah aku dapat membeli baju besi dan sebidang tanah yang terletak di daerah Bani Salimah. Itulah harta yang pertama aku dapati selama aku memeluk Islam.
1038 Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Auf r.a katanya: Ketika aku berdiri di tengah-tengah barisan semasa peperangan Badar aku menoleh ke kanan dan ke kiriku, tiba-tiba aku terpandang dua orang pemuda Ansar yang masih remaja. Aku benar-benar berhasrat untuk bersama dengan mereka berdua. Salah seorang dari mereka mengisyaratkan kepadaku dan bertanya kepadaku: Wahai Pakcik! Apakah pakcik kenal Abu Jahal? Aku menjawab: Ya! Aku mengenalinya, kenapakah kamu menghajatinya wahai anak saudaraku? Lalu dia berkata: Aku pernah diberitahu bahwa Abu Jahal pernah mencaci maki Rasulullah s.a.w. Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaanNya, sekiranya aku melihat Abu Jahal maka aku akan berlawan dengannya satu lawan satu sehingga terbukti siapa yang akan mati terlebih dahulu. Aku begitu kagum dengan tekad dan semangat anak muda tersebut. Kemudian pemuda yang seorang lagi pun berkata demikian juga kepadaku. Tidak berapa lama kemudian aku melihat Abu Jahal muncul dari kejauhan dan mundar-mandir di antara orang ramai. Aku katakan kepada kedua orang pemuda itu: Bukankah sekarang kalian sudah melihat Abu Jahal. Itulah dia lawan yang kamu berdua tanyakan tadi. Lalu mereka mendekati Abu Jahal dan tanpa menunggu lebih lama lagi mereka menghunuskan pedang ke arah Abu Jahal sehingga dia meninggal dunia pada waktu itu juga. Kemudian mereka berdua menemui Rasulullah s.a.w dan memberitahu kepada baginda. Rasulullah s.a.w lalu bertanya kepada mereka: Sebenarnya siapakah di antara kamu berdua yang telah membunuhnya? Kemudian mereka berdua masing-masing mengaku sebagai pembunuhnya. Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Apakah pedang kamu sempat ditepisnya? Mereka memjawab: Tidak! Selanjutnya Rasulullah s.a.w memeriksa pedang mereka. Setelah puas lalu baginda bersabda: Kalian berdua telah membunuhnya. Akhirnya Rasulullah s.a.w memutuskan bahawa harta orang yang terbunuh tersebut adalah untuk Mu'az bin Amru bin al-Jamuh. Dua orang pemuda tersebut bernama Mu'az bin Amru bin al-Jamuh dan Mu'az bin Afra'.
1039 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Aku pernah mengikuti Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan di daerah Hawazin. Ketika kami makan pagi bersama dengan Rasulullah s.a.w tiba-tiba muncul seorang lelaki yang menunggang seekor unta berwarna merah. Setelah mendudukkan dan mengikat untanya lalu lelaki tersebut ikut makan bersama-sama kami sambil matanya memandang ke sana kemari. Setelah selesai makan sebahagian dari kami ada yang berehat kerana keletihan setelah beberapa lama berada di atas tunganggan dan ada yang berjalan kaki. Tiba-tiba saja lelaki tadi keluar menuju ke arah untanya. Maka dia membuka ikatannya lalu dia menunggangnya dan memecutnya dengan pantas. Lalu dia diikuti oleh seorang lelaki lain yang menunggang unta berwarna kelabu. Salamah berkata: Dengan rasa ragu-ragu aku terus mengikutinya dengan menaiki unta dari belakang. Aku mengejar lelaki asing tadi dan akhirnya aku berjaya mendapatkannya, setelah itu dia berlutut di hadapanku, aku terus menghunuskan pedangku kepadanya dan aku memenggal kepala lelaki tersebut, lalu dia meninggal dunia pada masa itu juga. Kemudian aku membawa untanya yang masih ada pelana dan senjatanya. Rasulullah s.a.w dan beberapa orang Sahabat yang mengawal baginda menyambutku. Baginda kemudian bertanya: Siapa yang telah membunuh lelaki ini? Mereka menjawab: Ibnu al-Akwa'. Baginda bersabda: Dia berhak mendapatkan segala harta orang yang dibunuhnya itu.
1040 Diriwayatkan dari Umar r.a katanya: Harta benda Bani Nadhir adalah termasuk dari pemberian Allah kepada RasulNya, yaitu hasil rampasan orang-orang Islam yang didapati tanpa berperang. Harta rampasan tersebut adalah khusus kepada Nabi s.a.w untuk menafkahkan isteri-isterinya (keluarga baginda) selama satu tahun. Selebihnya dibelanjakan untuk membeli kelengkapan perang dan senjata untuk digunakan pada jalan Allah.
1041 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w wafat, isteri-isteri Rasulullah s.a.w mengutus Osman bin Affan menemui Abu Bakar untuk bertanyakan bahagian mereka dalam warisan peninggalan Nabi s.a.w. Lalu Aisyah berkata kepada mereka: Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Peninggalanku tidak boleh diwarisi, ia adalah sedekah.
1042 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Harta warisanku tidak boleh dibahagikan walaupun sebanyak satu dinar. Harta yang aku tinggalkan itu, adalah untuk nafkah (belanja) isteri-isteriku dan untuk mengupah para pekerjaku, selebihnya itu adalah merupakan sedekah.
1043 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah membahagikan hasil rampasan perang untuk pasukan berkuda sebanyak dua bahagian dan untuk pasukan berjalan kaki sebanyak satu bahagian.
1044 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengirim satu pasukan berkuda ke daerah Najd. Mereka pulang dengan membawa seorang tawanan lelaki dari Bani Hanifah bernama Sumamah bin Usal, pemimpin penduduk Yamamah. Lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Satu hari Rasulullah s.a.w keluar menemui tawanan tersebut. Baginda bertanya: Bagaimana keadaanmu, wahai Sumamah? Tawanan itu menjawab: Baik-baik saja wahai Muhammad. Jika kamu mahu membunuh aku maka bunuhlah, memang sepatutnya ke atasmu untuk melakukannya. Jika kamu memberikan suatu nikmat (tinggalkan dengan tidak membunuh aku) maka aku ucapkan berbanyak terima kasih. Jika kamu meminta harta maka aku akan berikan berapa banyak yang kamu mahu. Rasulullah s.a.w lalu meninggalkan tawanan tersebut. Keesokkan harinya baginda menemui tawanan itu kembali, lalu baginda bertanya: Bagaimana keadaanmu wahai Sumamah? Tawanan itu menjawab: Aku tidak mahu berbicara denganmu. Jika kamu mahu memberikan satu nikmat maka berikan kepada orang yang mahu berterima kasih. Jika kamu mahu membunuh aku bunuhlah, aku adalah orang yang memang berhak untuk dibunuh. Jika kamu menghendaki harta maka mintalah berapa banyak yang kamu mahu maka aku akan berikan apa yang kamu mahu. Lalu Rasulullah s.a.w meninggalkannya. Esoknya, Rasulullah s.a.w bersabda: Bagaimana keadaanmu wahai Sumamah. Sumamah berkata: Jika kamu memberikan satu nikmat maka aku akan ucapkan terima kasih, sekiranya kamu mahu membunuh maka bunuhlah, sekiranya kamu mahukan harta, aku akan berikan kepada kamu berapa banyak yang kamu mahukan. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda kepada para Sahabat: Lepaskan Sumamah. Lalu Sumamah berangkat menuju ke kawasan kebun tamar. Setelah mandi lalu dia memasuki masjid dan mengucapkan kalimah: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba serta utusanNya. Wahai Muhammad! Di muka bumi ini tidak ada wajah yang paling aku benci dari wajahmu sebelum ini. Tetapi sekarang wajahmulah yang paling aku suka di antara wajah-wajah yang pernah aku temui. Sebelum ini tidak ada agama yang paling aku benci dari agamamu dan sekarang hanya agamamu lah yang paling aku sukai di antara agama-agama yang pernah aku temui. Dahulu negerimulah yang paling aku benci, tetapi sekarang negerimulah yang paling aku cintai di antara negeri-negeri yang pernah aku kenal. Sesungguhnya pasukan berkudamu selalu mengawasiku sedangkan aku ingin melakukan umrah. Beagaimana ini? Rasulullah s.a.w lalu menyampaikan berita gembira kepada Sumamah bahawa dia boleh melakukan umrah. Ketika sampai di Kota Mekah seorang bertanya kepadanya: Kamu sudah keluar dari agamamu? Sumamah menjawab: Tidak. Tetapi aku sudah memeluk Islam dan tunduk kepada Rasulullah s.a.w. Demi Allah, tidak akan ada sebiji gandum pun dari Yamamah yang akan sampai kepada kamu sebelum mendapat keizinan Rasulullah s.a.w.
1045 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ketika kami sedang berada di dalam masjid, tiba-tiba Rasulullah s.a.w datang kepada kami. Lalu baginda bersabda: Mari kita berangkat menemui orang-orang Yahudi. Maka kami bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w berangkat sehingga kamipun sampai kepada mereka. Maka Rasulullah s.a.w pun berseru: Wahai orang-orang Yahudi masuklah Islam nanti kamu akan mendapat keamanan. Orang-orang Yahudi menjawab: Itu sudah kamu sampaikan wahai Abu al-Qasim. Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Pengakuan itulah yang aku inginkan. Masuklah Islam nanti kamu akan aman. Sekali lagi orang-orang Yahudi menjawab: Itu sudah kamu sampaikan wahai Abu al-Qasim. Buat kali yang ketiganya Rasulullah s.a.w menyeru kepada mereka: Masuklah Islam nanti kamu akan aman. Ketahuilah, sesungguhnya bumi itu hanyalah milik Allah dan RasulNya. Sesungguhnya aku ingin mengusir kamu dari bumi ini. Sesiapa di antara kamu mendapatkan sedikit harta hendaklah dia menjualnya. Kalau tidak, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya bumi ini hanya milik Allah dan RasulNya.
1046 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya kaum Yahudi Bani Nadir dan Bani Quraizah telah memusuhi Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w telah mengusir Bani Nadir dan membiarkan Bani Quraizah. Selepas itu Bani Quraizah telah berani memerangi Rasulullah s.a.w secara terbuka. Maka orang-orang Islam telah membunuh tokoh-tokoh (pembesar-pembesar) mereka. Manakala wanita-wanita serta anak-anak dan harta benda mereka dibahagi-bahagikan kepada orang-orang muslimin kecuali mereka yang menyerah diri kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda pun melindungi mereka. Rasulullah s.a.w juga mengusir orang-orang Yahudi Madinah seluruhnya yaitu Bani Qainuqa' mereka adalah satu kaum serta Yahudi Bani Harithah dan setiap orang Yahudi yang berada di Madinah.
1047 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Orang-orang Quraizah telah mengarahkan supaya Saad bin Muaz memutuskan hukuman. Lalu Rasulullah s.a.w menghantar utusan kepada Saad supaya datang mengadap baginda. Maka Saad pun menemui Rasulullah s.a.w dengan menunggang seekor kaldai. Ketika beliau tiba di pintu masjid, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kaum Ansar: Berdirilah kamu untuk menghormati pemimpin kamu atau orang yang terbaik di antara kamu. Kemudian Nabi s.a.w bersabda kepada Saad: Sesungguhnya mereka semua menyerahkan supaya kamu memutuskan hukuman ke atas mereka. Saad berkata: Kamu bunuhlah orang yang memusuhi kamu serta menawan anak cucu mereka. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Jalankanlah hukuman berdasarkan hukum Allah Yang Maha Kuasa. Ibnu al-Musanna tidak menyebut kalimat Yang Maha Kuasa.
1048 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Semasa peperangan Khandak Saad telah mengalami kecederaan kerana dipanah oleh tentera Quraisy yang bernama Ibnu al-Ariqah. Panahan tersebut terkena pada urat nadinya. Oleh itu Rasulullah s.a.w mendirikan sebuah khemah yang berhampiran dengan masjid untuk memudahkan baginda menziarahinya. Setelah pulang dari Khandak, Rasulullah s.a.w meletakkan senjatanya. Setelah selesai mandi baginda didatangi oleh Jibril yang turut membersihkan kepalanya dari debu. Jibril berkata: Kamu sudah meletakkan senjata? Demi Allah, kita tidak boleh meletakkan senjata. Keluarlah kepada mereka. Rasulullah s.a.w bertanya: Ke mana? Jibril memberikan isyarat ke arah Bani Quraizah. Rasulullah s.a.w lalu memerangi mereka. Kemudian mereka menyerah untuk dihukum oleh Rasulullah s.a.w, tetapi baginda menyerahkan supaya hukuman tersebut diputusankan oleh Saad. Lalu Saad berkata: Sesungguhnya aku memutuskan supaya membunuh mereka yang turut berperang dan menawan anak-anak cucu juga wanita-wanita mereka dan mengagihkan harta benda mereka..
1049 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Pada suatu hari setelah selesai dari peperangan Ahzab, Rasulullah s.a.w telah menyeru semasa berada bersama kami: Janganlah seseorang di antara kamu menunaikan sembahyang Zuhur kecuali di kawasan Bani Quraizah. Manakala mereka yang merasa terlewat waktu sembahyangnya. Mereka segera melaksanakannya, sekalipun mereka belum tiba di kawasan Bani Quraizah. Tetapi setengah yang lainnya sama-sama berkata: Kami tidak akan menunaikan sembahyang sebelum kami diperintah oleh Rasulullah s.a.w sekalipun kami terlewat dari waktunya. Maka ternyata Rasulullah s.a.w tidak mencerca keduanya.
1050 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika orang-orang Muhajirin datang dari Mekah ke Madinah mereka tidak memiliki apa-apa pun. Manakala orang-orang Ansar pula memiliki tanah dan kebun-kebun yang luas. Orang-orang Ansar telah membahagikan tanah-tanah atau kebun-kebun tersebut kepada saudara-saudaranya itu dan mereka akan memperolehi separuh hasilnya pada setiap tahun. Mereka juga menyediakan pekerjaan dan membiayainya. Ibu Anas bin Malik atau yang biasa dipanggil dengan Ummu Sulaim dan Ummu Abdullah bin Abi Talhah adalah saudara seibu Anas. Ummu Anas bin Malik pernah memberikan pokok kurmanya kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w memberikan pokok kurma tersebut kepada Ummu Aiman khadam perempuannya, yaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu Syihab telah berkata: Aku pernah mendapat cerita dari Anas bin Malik, sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika selesai dari peperangan Khaibar terus pulang ke Madinah, baginda melihat orang-orang Muhajirin mengembalikan semula pemberian-pemberian yang pernah mereka terima dari saudaranya kaum Ansar. Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, baginda telah mengembalikan kepada ibuku pokok kurma yang pernah diberikan oleh Ummu Aiman kepada tuannya.
1051 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mughaffal r.a katanya: Pada hari peperangan Khaibar aku telah menemui sebuah bekas yang diperbuat dari kulit yang mengandungi lemak. Aku terus mengambilnya dan berkata di dalam hati bahawa aku tidak akan memberikan temuanku ini kepada sesiapa pun. Aku berpaling kepada Rasulullah s.a.w sedangkan pada ketika itu baginda sedang memandangku sambil tersenyum.
1052 Diriwayatkan dari Abu Sufian r.a katanya: Setelah aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dalam tempoh yang agak lama, pada waktu itu aku berada di Syam maka telah sampai sepucuk surat dari Rasulullah s.a.w yang ditujukan kepada Raja Hiraqal Pembesar Empayar Rom. Dahyat al-Kalbi telah membawa surat tersebut dan menyampaikannya kepada pembesar Busra. Maka pembesar Busra telah membawa surat tersebut kepada Raja Hiraqal. Lalu Raja Hiraqal bertanya: Adakah di sini terdapat seorang lelaki dari kaum orang yang mendakwa sebagai Nabi ini? Orang-orang yang ditanya menjawab: Ya! Ada. Aku pun dipanggil bersama beberapa orang Quraisy yang lainnya, maka kami pun terus masuk mengadap Raja Hiraqal. Setelah dipersilakan duduk di hadapannya, Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaan: Adakah di antara kamu ini orang yang paling dekat nasab keturunan dengan seorang yang mengaku sebagai Nabi ini? Abu Sufian menjawab: Aku! Kemudian beliau menyuruh aku duduk lebih dekat di hadapannya. Sementara itu Sahabat-sahabatku yang lain dipersilakan duduk di belakangku. Kemudian Raja Hiraqal mempersilakan juru bicaranya (penterjemahnya) dan berkata: Katakan kepada mereka yang berada di hadapanku ini, bahawa aku bertanya mengenai seorang lelaki yang telah mengaku sebagai nabi. Jika beliau berdusta kepadaku, maka dustailah berliau. Berkata Abu Sufian Demi Allah, sekiranya aku tidak bimbang pendustaanku akan diceritakan oleh Sahabat-sahabatku di negeriku nanti, nescaya aku memilih berdusta. Melalui juru bicaranya Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaannya: Bagaimanakah nasab (keturunannya) di kalangan kamu? Aku menjawab: Di kalangan kami beliau mempunyai nasab (keturunan) yang cukup mulia. Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah terdapat di antara nenek moyangnya yang pernah menjadi raja? Aku menjawab: Tidak ada! Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah kamu pernah mencurigainya berdusta sebelum beliau mengatakan apa yang sudah dikatakannya? Aku menjawab: Tidak! Beliau (Raja Hiraqal) meneruskan pertanyaan: Siapakah yang menjadi pengikutnya? Adakah mereka terdiri dari kalangan orang yang mulia atau dari kalangan orang yang lemah? Aku menjawab: Para pengikutnya adalah terdiri dari kalangan orang yang lemah. Beliau terus bertanya: Adakah pengikutnya semakin berkurangan atau bertambah? Aku menjawab: Tidak! Bahkan semakin bertambah. Beliau bertanya lagi: Adakah terdapat salah seorang dari pengikutnya yang keluar atau murtad dari agamanya kerana tidak suka kepadanya? Aku menjawab: Tidak pernah! Beliau bertanya lagi: Bagaimana dengan peperangan? Aku menjawab: Peperangan yang terjadi antara kami dengannya seimbang, adakalanya kami mendapat kemenangan dan adakalanya kami menerima kekalahan. Beliau bertanya: Adakah beliau pernah khianat? Aku menjawab: Tidak! Selama hidupku aku tidak pernah melihat beliau berbuat seperti itu. Beliau bertanya lagi: Adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya? Aku menjawab: Tidak pernah! Kemudian Raja Hiraqal memerintahkan juru bicaranya supaya menyatakan (isi hatinya) bahawa: Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai nasab (keturunannya), kamu menjawab sesungguhnya (Muhammad) adalah seorang yang mempunyai nasab (keturunan) yang baik dan memang begitulah keadaan para rasul apabila diutus di kalangan kaumnya. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah nenek moyangnya (Muhammad) ada yang pernah menjadi raja, kamu menjawab tidak ada sama sekali. Jadi itulah yang membuatkan aku kagum kerana dengan kedudukannya atau kebesarannya sekarang bukan merupakan warisan dari nenek moyangnya. Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai para pengikutnya, kamu menjawab bahawa para pengikutnya terdiri dari orang-orang yang lemah dan mereka itulah pengikut para rasul. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah kamu pernah menuduhnya berdusta tentang apa yang diucapkan, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah berdusta samada sesama manusia apalagi kepada Allah. Maka bagiku memang itulah sifat seorang rasul. Aku tanyakan kepadamu adakah salah seorang dari pengikutnya ada yang keluar dari agamanya (murtad), maka kamu menjawab tidak pernah ada dan begitulah keimanan beliau apabila terpancar di sudut hati dan berseri-seri. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah para pengikutnya berkurangan atau bertambah, maka kamu menjawab pengikutnya semakin bertambah dan demikian itulah keimanan yang sempurna. Aku bertanya kepadamu adakah kamu pernah memeranginya, maka kamu menjawab pernah, di mana kadangkala kamu menang dan kadangkalanya kamu tewas. Demikian itulah para rasul harus dicoba terlebih dahulu sebelum mereka menerima ganjaran yang baik. Aku bertanya kepadamu adakah beliau pernah khianat, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah khianat. Jadi begitulah sifat para rasul. Aku bertanya kepadamu adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya, kamu menjawab tidak pernah seorang pun sebelumnya yang mengucapkannya. Kalau begitu beliau (Muhammad) benar-benar orang yang sangat istimewa. Melalui juru bicaranya lagi, Raja Hiraqal bertanya kepadaku: Apakah yang telah diperintahkan oleh beliau (Muhammad)? Aku menjawab: Beliau memerintahkah kami supaya mendirikan sembahyang, membayar zakat, menghubungkan silaturrahim dan mencegah dari perkara-perkara yang diharamkan. Kemudian Raja Hiraqal berkata: Sekiranya apa yang kamu katakan ini benar, maka beliau (Muhammad) memang benar-benar seorang nabi. Aku tahu sesungguhnya beliau adalah seorang yang sungguh luar biasa dan aku sama sekali tidak menyangka bahawa seorang Nabi telah muncul dari kalangan kamu. Oleh itu, secara jujur aku katakan bahawa aku benar-benar ingin berjumpa dengannya. Seandainya aku berada di sisinya, nescaya aku akan membasuh kedua telapak kakinya dan akan meletakkan kekuasaannya di atas kedua telapak kakiku. Setelah itu raja Hiraqal meminta supaya diambilkan surat yang telah dikirimkan oleh Rasulullah s.a.w lalu membacanya: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Dari Muhammad utusan Allah ditujukan kepada Hiraqal pembesar Empayar Rom. Salam sejahtera buat mereka yang sentiasa mengikuti kebenaran. Sesungguhnya aku menyerumu untuk memeluk Islam. Masuklah Islam semoga kamu akan tenteram. Masuklah Islam nescaya Allah akan menganugerahkan kepadamu dua pahala sekaligus. Jika kamu menolak dari ajakan yang mulia ini, maka kamu akan menanggung dosa yang teramat besar. Bermaksud: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, yaitu kita tidak akan sembah melainkan Allah dan kita tidak akan menyengutukanNya dengan sesuatupun dan tidak pula sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Jika mereka berpaling (tidak mahu menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri kepada Islam (Allah). Setelah selesai membaca surat tersebut terdengar suara teriakan yang nyaring. Kami diarahkan supaya keluar. Maka ketika itulah aku berkata kepada Sahabat-sahabatku: Inilah bukti bagi Ibnu Abu Kabsyah yang selalu ditakuti kemunculannya oleh raja orang-orang Rom Bani Asfar. Raja Hiraqal berkata: Aku yakin bahawa seruan dan ajakan Rasulullah s.a.w pada suatu masa nanti pasti akan muncul sehingga Allah berkenan memasukkan aku ke dalam Islam.
1053 Hadits al-Bara' r.a katanya: Seorang lelaki berkata kepada al-Bara': Wahai Abu Umarah! Adakah kamu melarikan diri ketika berlakunya peperangan Hunain? al-Bara' menjawab: Tidak! Rasulullah s.a.w sama sekali tidak berpaling atau berundur. Namun pada saat itu muncul beberapa orang Sahabatnya yang muda-muda dan begitu bersemangat. Di antara mereka ada yang membawa senjata yang banyak dan ada pula yang tidak membawa senjata sama sekali. Secara mendadak mereka terus memanah ke arah orang-orang Hawazin dan Bani Nadhir. Panahan mereka telah menepati sasaran. Maka begitulah mereka melindungi Rasulullah s.a.w yang berada di atas baghalnya (kudanya) yang berwarna putih. Sementara itu Abu sufian bin al-Harith bin Abdul Mutalib dengan setia membawa baginda. Selepas itu baginda memohon pertolongan dari Allah seraya mengucap: Yang bermaksud: Akulah Nabi yang tidak pernah berdusta, Aku adalah putera Abdul Muthalib. Kemudian baginda menyusun barisan tenteranya.
1054 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengepung penduduk Taif tetapi tidak mendapat apa-apa hasil dari pengepungannya tersebut. Seterusnya baginda bersabda: Insya Allah kita akan kembali ke Madinah. Para Sahabat membantah: Mengapa kita harus kembali? Kita belum dapat menaklukinya. Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Pergilah kamu berperang. Mereka pun mencobanya sehingga mereka mendapat kecederaan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Besok kita akan kembali. Para Sahabat hairan dengan sabda baginda. Sementara itu Rasulullah s.a.w hanya tersenyum.
1055 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w memasuki Mekah terdapat sebanyak tiga ratus enam puluh buah berhala di persekitaran Kaabah. Lalu Nabi s.a.w meruntuhkannya dengan menggunakan tongkat yang berada di tangannya seraya bersabda: Bermaksud: Telah datang kebenaran dan musnahlah kebatilan kerana sesungguhnya kebatilan itu, adalah sesuatu yang pasti musnah. Bermaksud: Kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan bermula dan tidak akan berulang. Ibnu Abu Umar menambah: Peristiwa itu terjadi pada masa pembukaan Kota Mekah.
1056 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Azib r.a katanya: Ali bin Abu Talib merupakan orang yang menulis isi naskhah perdamaian antara Nabi s.a.w dengan orang-orang Musyrikin pada hari perjanjian Hudaibiah, Ali menulis: Inilah yang dijanjikan oleh Muhammad utusan Allah. Orang-orang musyrik membantah: Jangan kamu tuliskan kalimah utusan Allah. Kalau kami sudah merasa yakin bahawa beliau (baginda) adalah utusan Allah, maka kami tidak perlu memusuhi beliau. Ali menjawab: Tidak. Baginda bersabda kepada Ali: Hapuslah kalimat itu. Ali menjawab: Tidak! Aku tidak mahu menghapuskannya. Maka Nabi s.a.w terpaksa menghapusnya sendiri. Salah satu syarat yang diajukan oleh orang-orang Quraisy di dalam perjanjian tersebut ialah: Nabi s.a.w dan para Sahabat hanya boleh memasuki dan tinggal di Kota Mekah selama tiga hari dan tidak dibenarkan membawa senjata kecuali bersarung. Aku bertanya kepada Abu Ishak Apakah yang dimaksudkan dengan bersarung? Lalu beliau menjawab: Senjata yang berbalut.
1057 Hadits Sahl bin Hunaif r.a: Diriwayatkan dari Abu Wail r.a katanya: Pada hari perjanjian Siffin Sahl bin Hunaif berdiri lantas berkata: Wahai manusia! Perhatikanlah dirimu sendiri. Sesungguhnya kita telah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Hudaibiah. Seandainya kita berpendapat untuk memilih peperangan, nescaya itulah yang akan kita lakukan. Ini pernah terjadi ketika Rasulullah berdamai dengan kaum Musyrikin. Lalu datang Umar bin al-Khattab. Beliau terus menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: Wahai Rasulullah! Bukankah kita ini berada di pihak yang benar dan orang-orang Musyrikin itu berada di pihak yang salah? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Umar bertanya: Tidakkah kita akan dimasukkan ke dalam Surga sekiranya kita terbunuh manakala mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka sekiranya mereka terbunuh? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar! Umar bertanya lagi: Kalau begitu apa yang boleh kita berikan kepada agama kita? Sebaiknya kita tarik semula janji perdamaian tersebut. Kita perangi saja mereka dan biarlah Allah yang menentukan nasib kita dan nasib mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Wahai putera al-Khattab. Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah. Percayalah, Allah tidak mensia-siakan aku untuk selamanya Umar tidak berpuas hati dengan jawapan Rasulullah s.a.w maka dengan rasa tidak sabar dan kecewa, Umar menemui Abu Bakar dan berkata: Wahai Abu Bakar! Bukankah kita ini berada di pihak yang benar dan mereka itu berada di pihak yang salah? Abu Bakar menjawab: Memang benar. Umar bertanya lagi: Bukankah kalau kita memeranginya maka jaminan kepada kita adalah Surga dan kalau mereka memerangi kita balasannya adalah Neraka? Abu Bakar menjawab: Memang benar. Umar bertanya lagi: Kalau begitu apa yang harus kita lakukan untuk agama kita? Sebaiknya kita tarik semula perjanjian damai itu dan kita memerangi mereka dan biarlah Allah yang akan menentukan nasib kita dan nasib mereka. Maka jawapan yang diberikan oleh Abu bakar sama saja dengan jawapan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai putera al-Khattab! Sesungguhnya baginda adalah utusan Allah. Percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan baginda buat selama-lamanya. Seterusnya al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w dengan kemenangan lalu baginda memerintahkan supaya menyampaikan berita yang mengembirakan itu kepada Umar untuk dibacanya. Betapa senangnya hati Umar apabila membaca berita yang sangat mengembirakan itu. Lalu Umar beredar dengan hati yang riang.
1058 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika diturunkan ayat: sehingga ayat Yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata supaya Allah memberi keampunan kepadamu sehingga ayat yang bermaksud: Dan yang demikian itu adalah kemenangan yang besar di sisi Allah. Hal itu memang ada kaitannya dengan perjanjian Hudaibiah. Mereka memang merasa sedih dan terharu, kemudian mereka menyembelih binatang korban di Hudaibiah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya ada satu ayat yang diturunkan kepadaku, ayat tersebut amat aku sukai lebih dari seluruh isi dunia.
1059 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Sesungguhnya beliau telah ditanya mengenai luka yang dialami oleh Rasulullah s.a.w dalam peperangan Uhud dan katanya: Muka Rasulullah s.a.w terluka, gigi hadapan baginda patah dan baginda terluka di bahagian kepala. Maka Fatimah puteri Rasulullah s.a.w yang membersihkan darah. Sementara itu Ali bin Abu Talib menuangkan darah tersebut ke dalam sebuah bekas. Ketika Fatimah membasuhnya dengan air, ternyata darah semakin banyak keluar, lalu beliau mengambil sebidang tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu. Kemudian Fatimah meletakkan abu tersebut pada luka baginda sehingga darah tidak lagi keluar.
1060 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya aku seakan-akan melihat Rasulullah s.a.w sedang menceritakan sebuah hikayat tentang salah seorang Nabi yang dizalimi oleh kaumnya sendiri. Baginda menyapu darah pada mukanya dan berdoa: Wahai tuhanku, berilah keampunan kepada kaumku, sesungguhnya mereka memang tidak mengetahui.
1061 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah sangat murka kepada suatu kaum yang berani melakukan perkara ini kepada utusanNya sambil baginda menunjuk kepada giginya. Kemudian baginda bersabda: Allah sangat memurkai sesorang yang dibunuh oleh Rasulullah s.a.w pada jalan Allah.
1062 Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a katanya: Suatu ketika Rasulullah s.a.w sedang sembahyang berhampiran dengan Kaabah. Sementara itu Abu Jahal dan para Sahabatnya duduk di persekitarannya kerana sehari sebelumnya mereka beramai-ramai menyembelih seekor unta, lalu Abu Jahal berkata: Siapakah di antara kamu yang berani mengambil ari-ari unta dari Bani Polan dan meletakkannya ke atas kedua bahu Muhammad apabila dia (baginda) sedang sujud. Seorang dari mereka tiba-tiba berdiri dan mengambil ari-ari lalu meletakkannya ke atas bahu baginda. Mereka semua ketawa sehingga riuh rendah. Sementara itu aku hanya mampu berdiri dan melihat gelagat tersebut. Seandainya aku mempunyai kekuatan, nescaya aku akan buangkan benda itu dari belakang Rasulullah s.a.w semasa baginda sedang sujud yang amat lama. Baginda tidak mengangkat kepalanya sehingga salah seorang melaporkan perkara tersebut kepada Fatimah yang waktu itu sudah menjadi seorang gadis. Tidak lama kemudian datanglah Fatimah lalu membuang ari-ari tersebut dari tubuh Rasulullah s.a.w, kemudian Fatimah memalingkan mukanya ke arah orang-orang kafir Quraisy tersebut seraya mencaci-maki mereka. Setelah Nabi s.a.w selesai dari sembahyangnya, baginda mengangkat suaranya ke arah orang-orang kafir sambil berdoa ke atas mereka. Apabila baginda berdoa dan memohon baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian baginda berdoa: Ya Allah! aku serahkan kepada Engkau segala urusan orang-orang Quraisy ini dengan berdoa sebanyak tiga kali. Ketika mereka mendengar suara Nabi s.a.w itulah mereka serta merta berhenti dari ketawa. Mereka benar-benar takut dengan doa baginda. Kemudian Nabi s.a.w berdoa lagi: Ya Allah! aku serahkan kepada Engkau Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, Walid bin Uqbah, Umaiyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abu Mu'ait kemudian yang ketujuh aku lupa namanya. Demi Zat yang mengutuskan Muhammad s.a.w dengan membawa kebenaran, sesungguhnya aku melihat orang-orang yang baginda sebut itu terbunuh sewaktu peperangan Badar kemudian mereka diheret ke dalam telaga Badar.
1063 Diriwayatkan dari Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Sesungguhnya beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Adakah anda (baginda) pernah mengalami suatu hari yang lebih berat dari hari peperangan Uhud? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya! Waktu itu aku bertemu dengan kaummu (Quraisy), tetapi yang paling berat lagi ialah ketika aku berada pada hari Aqabah. Aku menyeru Ibnu Abdul Yalil bin Abdul Kulal untuk mengikuti aku (agama Islam). Namun beliau enggan memenuhi ajakan tersebut. Aku seterusnya pergi meninggalkan tempat itu tanpa tahu arah mana yang harus aku tuju. Aku tidak tahu ke mana langkahku, tetepi yang jelasnya aku telah sampai di daerah Qarnu Tha'alib. Aku mengangkat kepalaku ke langit, maka pada saat itulah aku melihat sekumpul awan telah menaungiku. Setelah aku perhatikan dengan lebih cermat, ternyata di dalam awan tersebut ada Jibril yang memanggil-manggilku dengan berkata: Sesungguhnya Allah telah mendengar ucapan kaummu dan jawapan mereka terhadapmu. Allah telah mengutuskan Malaikat penunggu gunung untukmu dan kamu hanya menyuruhnya untuk melakukan apa yang kamu inginkan terhadap mereka. Tidak lama kemudian datanglah Malaikat penunggu gunung yang memanggil-manggilku. Setelah memberi salam kepadaku, dia berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya Allah sudah mendengar jawapan kaummu kepadamu. Aku adalah malaikat penunggu gunung. Aku telah diutuskan oleh tuhanmu untuk melaksanakan apakah yang kamu perintahkan kepadaku atau apa yang kamu inginkan? Jika kamu inginkan supaya mereka dihimpit oleh kedua gunung di Mekah itu pun, nescaya dengan segera aku akan laksanakannya. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Malaikat penunggu gunung tersebut: Tidak! Sebaliknya aku mengharapkan agar Allah mengeluarkan keturunan mereka supaya beribadat kepada Allah dan tidak akan menyengutukannya dengan sesuatu pun.
1064 Diriwayatkan dari Jundub bin Sufian r.a katanya: Jari Rasulullah s.a.w pernah terluka dan mengeluarkan darah dalam satu peperangan. Baginda bersabda kepada jarinya: Yang bermaksud: Kamu hanyalah sebatang jari yang berdarah. Namun apa yang kamu alami pada jalan Allah akan diperhitungkan.
1065 Diriwayatkan dari Jundub r.a katanya: Pernah suatu ketika Jibril terlewat turun menemui Rasulullah s.a.w, lalu berkatalah orang-orang musyrik: Sesungguhnya Muhammad telah ditinggalkan. Maka Allah s.w.t berfirman: Demi waktu (Duha) dan demi malam apabila telah sunyi, tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula benci kepadamu.
1066 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Sesungguhnya pada suatu hari Nabi s.a.w menaiki seekor kaldai yang berpelana dan di bawahnya ada kain selimut yang agak lusuh buatan Fadakiah. Sementara itu Usamah mengikuti dari belakang baginda untuk menjenguk Saad bin Ubadah di kalangan Bani al-Haris bin al-Khazraj. Peristiwa itu terjadi sebelum peperangan Badar. Semasa dalam perjalanan tersebut baginda telah pergi ke suatu majlis yang bercampur di antara kaum muslimin dengan orang-orang Musyrikin yang menyembah berhala dan orang-orang Yahudi. Di dalam majlis tersebut terdapat orang yang bernama Abdullah bin Ubai dan Abdullah bin Rawahah. Ketika majlis tersebut ditutupi oleh debu-debu yang berterbangan dari tapak kaki binatang, Abdullah bin Ubai menutup hidungnya dengan kain serban agar tidak dimasuki oleh debu-debu tersebut. Oleh kerana tidak tertahan dengan debu itu, Abdullah bin Ubai berkata: Jangan taburkan debu padaku. (Setelah beliau terlebih dahulu berada di samping mereka), Nabi s.a.w kemudiannya berhenti dan turun dari kaldainya, kemudian baginda menyeru mereka kepada Allah dengan membacakan beberapa potong ayat al-Quran. Setelah mendengarnya, Abdullah bin Ubai berkata: Wahai seseorang! Aku kira lebih baik kamu duduk di rumah saja sekiranya apa yang kamu katakan itu benar, maka janganlah kamu menyakiti kami di majlis kami sendiri. Pulanglah kamu ke rumahmu. Barangsiapa di antara kami yang datang kepadamu, maka ceritakanlah kepadanya. Seterusnya Abdullah bin Rawahah berkata: Sertailah majlis kami, sesungguhnya kami lebih menyukainya. Oleh itu orang-orang Islam sendiri, orang-orang musyrik dan juga orang-orang Yahudi yang hadir di dalam majlis tersebut semuanya mencaci maki Nabi s.a.w seolah-olah mereka mahu menerkam baginda. Namun begitu Nabi s.a.w tetap tenang dengan sikap dan karenah mereka. Sementara itu baginda tanpa banyak bicara terus menaiki kaldainya ke tempat Saad bin Ubadah, lalu Nabi s.a.w bersabda: Wahai Saad! Apakah kamu tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Abu Hubad beliau menyuruh Abdullah bin Ubai berkata begini dan begini? Saad bin Ubadah coba menghiburkan baginda dengan berkata: Maafkanlah beliau wahai Rasulullah! Maafkanlah beliau. Demi Allah, tuhan engkau (baginda) telah memberikan apa yang memang hendak Dia berikan kepada engkau (baginda). Sesungguhnya penduduk Madinah ini sudah ramai yang bergabung dan menaikkan engkau (baginda). Kalau sekiranya Allah menarik semula perkara itu dengan kebenaran yang telah Dia berikan kepada engkau, itu bererti ada yang masih belum sempurna. Nabi s.a.w dapat memahami ucapan Saad tersebut dan akhirnya baginda memaafkan perbuatan Abdullah bin Ubai.
1067 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Seorang sahabat berkata kepada Nabi s.a.w: Bagaimana kalau anda menemui terus Abdullah bin Ubai? Tanpa memberi sebarang jawapan, baginda terus berangkat menemui Abdullah bin Ubai dengan menaiki seekor kaldai dan diikuti oleh kaum muslimin. Kemudian mereka tiba di suatu kawasan tanah gersang, Rasulullah s.a.w terus menemui Abdullah, lalu Abdullah berkata kepada baginda: Jauhkan dirimu dariku, demi Allah sesungguhnya bau busuk kaldaimu menyakiti aku. Setelah mendengar kata-kata Abdullah tersebut seorang Sahabat dari kaum Ansar berkata: Demi Allah, sesungguhnya kaldai Rasulullah s.a.w lebih harum baunya jika dibandingkan dengan dirimu. Lalu seorang lagi dari kalangan Sahabat turut memarahi Abdullah, setelah itu seorang Sahabat Abdullah tidak berdiam diri, dia turut memarahi baginda. Sehingga terjadilah suatu pergaduhan (perang mulut) di antara kedua belah pihak. Bahkan masing-masing dari kedua belah pihak saling memukul antara satu sama lain, ada yang menggunakan pelepah tamar, menggunakan tangan dan ada juga yang menggunakan selipar. Kemudian turunlah firman Allah yang membicarakan tentang mereka Bermaksud: Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya.
1068 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika berlakunya peperangan Badar Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah yang berani menghalang perbuatan Abu Jahal terhadap kita? Maka Ibnu Mas'ud terus pergi mencarinya, setelah itu dia mendapati Abu Jahal telah dibunuh oleh kedua putera Afra' sehingga jatuh tersungkur ke tanah (tetapi masih hidup). Lalu Ibnu Mas'ud mendekati Abu Jahal dan memegang janggutnya sambil berkata: Adakah kamu Abu Jahal? Apakah orang lain yang lebih tinggi kedudukannya membunuhmu atau kaum kamu sendiri? Menurut Abu Mijlaz, ketika itu Abu Jahal berkata: Siapa lagi kalau bukan dua orang anak petani itu yang membunuhku.
1069 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bertanya kepada para Sahabatnya: Siapakah yang bersedia untuk membunuh Ka'ab bin Al Asyraf? Kerana dia telah menghina Allah dan RasulNya. Maka Muhammad bin Maslamah menjawab: Wahai Rasulullah! Adakah kamu setuju jika aku membunuhnya? Baginda menjawab: Ya! Kemudian beliau (Muhammad bin Maslamah) berkata: Izinkanlah aku terlebih dahulu untuk memberitahu sesuatu kepada mu. Baginda pun menjawab: Katakanlah! Maka beliaupun mendekati baginda dan membincangkan sesuatu. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Ka'ab pernah berhasrat mengeluarkan sedekah, akan tetapi dia menyusahkan kami. Setelah mendengar kata-kata baginda beliau begitu marah sekali. Lalu beliau berjanji akan membalas perbuatannya itu. Kebetulan pada masa itu beliau begitu akrab dengan Ka'ab. Satu hari beliau menemui Ka'ab dan berkata: Aku ingin kamu memberikan kepadaku suatu bentuk pinjaman. Lalu Ka'ab bertanya: Jadi apa yang akan kamu gadaikan kepadaku? Beliau menjawab: Apa yang kamu inginkan? Ka'ab menjawab: Aku ingin kamu gadaikan kepadaku perempuan-perempuan mu itu. Kemudian beliau menjawab: Kamu adalah bangsawan Arab, jadi adakah patut aku menggadaikan perempuan-perempuanku kepada kamu? Lalu Ka'ab berkata kepada beliau: Kalau begitu, kamu gadaikanlah anak-anakmu kepadaku. Maka beliau berkata: Aku tidak mungkin menggadaikannya kepadamu, sekiranya aku menggadaikannya kepadamu kami pula akan dicela kerana seolah-olah menggadai dua wasak (satu wasak bersamaan dengan enam puluh gantang) tamar sahaja. Oleh itu aku gadaikan senjataku kepadamu. Lalu Ka'ab berkata: Baiklah aku setuju. Lalu beliau berjanji kepada Ka'ab bahawa beliau akan datang menemuinya dengan ditemani oleh al-Haris, Abu Abas bin Jabir dan Abbad bin Bisyri. Setelah itu mereka berempat pergi menemui Ka'ab pada waktu malam, lalu Ka'ab turun menemui mereka. Mengikut kata Sufian, pada pendapat lain mengikut kata Amru bahawa isteri Ka'ab telah berkata kepada suminya itu: Sesungguhnya aku seperti mendengar suara orang yang ingin menumpahkan darah. Setelah mendengar kata-kata isterinya itu, lalu Ka'ab berkata: Tidak! Mereka hanyalah Muhammad bin Maslamah bersama saudara susuannya dan ditemani Abu Nailah. Sebagai memuliakan tetamu, aku harus menemani mereka walaupun pada waktu malam begini. Ketika Ka'ab masih di rumahnya itulah Muhammad menggunakan kesempatan tersebut untuk mengatur rancagan seterusnya. Sejurus kemudian Ka'ab pun keluar, setelah dia ditanya oleh mereka: Aku seperti mencium bau harum pada dirimu. Ka'ab menjawab: Memang! Kerana isteriku seorang perempuan Arab yang suka bersolek. Setelah itu Muhammad bin Maslamah berkata kepada Ka'ab: Izinkan aku mencium bau harum pada dirimu. Kaab berkata: Silakan! Maka beliaupun menciumnya, kemudian beliau meminta untuk menciumnya sekali lagi dengan berkata: Kalau boleh aku ingin menciumnya sekali lagi. Lalu dia menghulurkan kepalanya kepada beliau, ketika itulah beliau mengarahkan kawan-kawannya agar membunuh Ka'ab, maka merekapun membunuhnya.
1070 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar sekumpulan demi sekumpulan pada waktu malam, kemudian salah seorang dari kalangan pejuang bertanya kepada Amir bin al-Akwa' yang terkenal sebagai seorang penyair: Bolehkah kamu perdengarkan kepada kami alunan syairmu? Lalu Amir memenuhi permintaan itu dengan mengalunkan beberapa rangkap syairnya: bermaksud: Ya Allah! Sekiranya Engkau tiada nescaya kami tidak akan mendapat petunjuk. Tidak mungkin kami akan bersedekah dan bersembahyang. Sebagai balasan untuk Engkau, maafkanlah apa yang telah kami usahakan. Mantapkanlah langkah kami ketika bertemu musuh. Dan kurniakanlah kepada kami suatu ketenangan. Bila semboyang berkumandang kami segera maju. Oleh itu bantulah kami dalam peperangan. Setelah mendengar alunan syair tersebut, Rasulullah s.a.w terus bertanya: Siapakah orang yang mengalunkan syair tadi? Lalu para Sahabat sama-sama menjawab: Amir! Baginda pun mejawab: Mudah-mudahan Allah merahmatinya. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Dia akan mati syahid bila engkau memberi kesempatan kepadanya. Lalu kami semua menyerbu Khaibar dan mengepung penduduknya sehingga kami benar-benar kehausan. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Allah akan menundukkan Khaibar di tangan kamu semua. Pada waktu petangnya ketika Khaibar telah berjaya ditakluki, mereka telah menyalakan api yang besar, lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah tujuan mereka menyalakan api ini? Para Sahabat menjawab: Untuk membakar daging. Baginda bertanya lagi: Daging apa? Lalu para Sahabat menjawab: Daging kaldai-kaldai peliharaan. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Buang dan pecahkannya (tempat atau bekas yang digunakan). Kemudian seorang Sahabat bertanya: Bagaimana kalau bekas tersebut dibersihkan? Maka baginda pun menjawab: Atau begitu pun boleh juga. Ketika tentera muslimin telah berbaris dan bersedia untuk bertempur, Amir menghunus pedangnya tetapi tidak menepati sasaran, lalu dipegangnya betis seorang Yahudi untuk dibunuh, tetapi hujung pedangnya terbalik dan mencederakan lututnya (Amir) sendiri dan beliau telah gugur syahid. Mengikut riwayat, semasa perjalanan pulang Salamah berkata: Dia (saudara Amir bin al-Akwa') memegang tangan ku erat-erat, dia amat sedih dengan kehilangan saudaranya. Semasa Rasulullah s.a.w melihatku, baginda hanya terdiam sahaja, kemudian baginda bertanya: Apa hal? Aku menjawab: Ambilah ayah dan ibuku sebagai balasan sekiranya kata-kata ku ini salah, orang ramai menganggap Amir telah melakukan perbuatan yang sia-sia. Lalu baginda bertanya: Siapa yang berkata begitu? Akupun menjawab: Polan, Polan dan Usaid bin Hudair al-Ansari. Lalu baginda menjawab: Kata-kata orang tersebut adalah tidak benar, sesungguhnya dia mendapat dua ganjaran (sambil mengisyaratkannya dengan dua jari) yaitu sebagai seorang yang mentaati Allah dan juga sebagai seorang pejuang. Jarang sekali orang Arab yang bertempur mendapat ganjaran sepertinya.
1071 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Semasa berlaku peperangan Ahzab Rasulullah s.a.w turut sama mengangkut pasir atau tanah bersama-sama kami. Kemudian kami melihat perut baginda telah berlumuran debu dan baginda berkata: Bermaksud: Ya Allah! Sekiranya Engkau tiada nescaya kami tidak akan mendapat petunjuk. Tidak mungkin kami akan bersedekah dan bersembahyang. Turunkanlah kepada kami suatu ketenangan. Sesungguhnya dari kalangan mereka masih ada yang enggan bersama kami. Mengikut setengah riwayat beginda menyebut: Bermaksud: Sesungguhnya satu kaum enggan bersama kami. Apabila mereka ingin menimbulkan fitnah mereka enggan bersama kami. Baginda mengungkapkan kata-katanya dengan suara yang lantang.
1072 Diriwayatkan dari Sahl bin Sa'ad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mendatangi kami ketika kami sedang menggali parit dan memunggah pasir dengan memikulnya, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ya Allah! Tidak ada kehidupan yang kekal sama sekali kecuali kehidupan di Akhirat, oleh itu ampunilah orang-orang Muhajirin dan Ansar.
1073 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Yang bermaksud: Ya Allah! Tidak ada kehidupan yang kekal sama sekali kecuali kehidupan di Akhirat. Maka ampunkanlah orang-orang Ansar dan Muhajirin.
1074 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Sebelum azan Subuh dilaungkan aku telah keluar dari rumahku, manakala unta Rasulullah s.a.w yang sedang bunting masih dipelihara di Zi Qardi. Di pertengahan jalan aku telah bertemu dengan seorang budak yang bernama Abdul Rahman bin Auf, dia telah menceritakan kepada ku bahawa unta Rasulullah s.a.w yang sedang bunting itu telah diperah susunya (diambil orang). Maka aku berkata: Siapa yang melakukannya. Lalu dia menjawab: Bani Ghatafan. Menurut katanya (Salamah) lagi: Aku telah berteriak sebanyak tiga kali mudah-mudahan suaraku didengar oleh seluruh penduduk Madinah. Kemudian aku berkejar untuk mendapatkan mereka akhirnya aku mendapati mereka berada di daerah Zi Qardi berhenti untuk mengambil air, lalu aku memanah mereka sambil berkata kepada diriku sendiri: Bermaksud: Aku adalah putera al-Akwa' Dan hari ini adalah hari celaka. Setelah itu aku berkata kepada mereka dengan kata-kataku tadi dan akhirnya aku berjaya merampas kembali unta tersebut dari mereka dan juga tiga puluh bekas air. Setelah itu datanglah Nabi s.a.w bersama orang ramai, maka akupun berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berjaya menghalang mereka dari mendapatkan air. Sememangnya mereka sedang kehausan, jadi sekarang terserahlah kepada engkau. Setelah itu baginda pun berkata: Wahai Ibnu al-Akwa'! Walaupun kamu telah berjaya mengatasi musuh, tetapi berlembutlah terhadap mereka. Menurut katanya lagi: Aku telah dipelawa oleh Rasulullah s.a.w menunggang untanya sehingga kami tiba di Madinah.
1075 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah berperang bersama Ummu Sulaim dan beberapa orang perempuan Ansar. Mereka ditugaskan memberi minum dan mengubati tentera yang tercedera.
1076 Diriwayatkan dari Buraidah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menyertai peperangan sebanyak sembilan belas kali dan baginda turut bertempur sebanyak lapan kali.
1077 Diriwayatkan dari Salamah r.a katanya: Aku pernah menyertai peperangan bersama Rasulullah s.a.w sebanyak tujuh kali dan aku memimpin peperangan sebanyak sembilan kali. Aku juga pernah menyertai pasukan Abu Bakar dan Usamah bin Zaid.
1078 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Kami telah keluar berperang bersama Rasulullah s.a.w, bilangan kami adalah seramai enam orang. Ketika itu kami hanya membawa seekor unta dan menunggangnya secara bergilir-gilir, kadang-kadang tapak kaki kami termasuk kaki ku sendiri terluka akibat perjalanan tanpa memakai alas kaki sehingga kuku kakiku tercabut. Lalu kami membalutnya dengan cebisan kain. Setelah itu peperangan tersebut telah dinamakan dengan peperangan Zatu ar-Riqa', kerana sepanjang peperangan tersebut kami berperang dalam keadaan kaki yang berbalut dengan cebisan kain.

IMAROH (KEPEMIMINAN)
1079 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia telah mengikut kaum Quraisy samada berbentuk kebaikan atau keburukan, keislaman mereka adalah mengikut keislaman kaum Quraisy dan begitu juga dengan kekufuran mereka adalah mengikut kekufuran kaum tersebut.
1080 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Masalah ini masih berterusan di kalangan kaum Quraisy, manusia telah menjadi dua golongan yaitu golongan kafir dan Islam.
1081 Diriwayatkan dari Jabir bin Samurah r.a katanya: Aku bersama ayahku telah masuk mengadap Nabi s.a.w, lalu aku mendengar baginda bersabda: Sesungguhnya permasalahan ini tidak akan selesai dan akan berterusan sehingga ke zaman dua belas orang Khalifah. Menurut katanya lagi, kemudian baginda berbisik-bisik denganku, lalu aku bertanya ayahku: Apakah yang telah diberitahu oleh baginda. Katanya: Baginda telah bersabda bahawa kedua belas orang khalifah tersebut adalah berasal dari kaum Quraisy.
1082 Hadits Umar r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Umar telah ditanya: Mengapa anda tidak memohon jawatan Khalifah? Ayahku menjawab: Sekiranya aku meminta untuk menjadi khalifah nescaya orang yang lebih baik dari aku yaitu Abu Bakar telah melakukannya. Tapi jika aku membiarkan urusan pemerintahan ini kepada mu nescaya orang yang lebih baik dari aku yaitu Rasulullah s.a.w telah meninggalkan urusan pemerintahannya kepadamu. Menurut Abdullah lagi: Aku telah mengetahui bahawa Umar tidak meminta untuk menjadi khalifah ketika beliau menyebut nama Rasulullah s.a.w.
1083 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Aku menemui Nabi s.a.w bersama dengan dua orang lelaki dari keluarga bapa saudaraku. Salah seorang warisku itu berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah aku jawatan untuk mengurus (memimpin) sebahagian dari perkara yang diberikan oleh Allah kepada mu. Begitu juga waris ku seorang lagi mengajukan permohonan yang sama, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku tidak akan memberikan pekerjaan ini kepada orang yang memintanya, apatah lagi kepada orang yang tamak padanya.
1084 Hadits Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Nabi s.a.w katanya: Baginda telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.
1085 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berada bersama kami, baginda menceritakan tentang orang yang suka menipu dan khianat dengan begitu serius. Kemudian baginda bersabda: Pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor unta yang sedang melenguh di atas tengkoknya dan berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untukmu, semuanya telah aku sampaikan kepadamu. Pada Hari Kiamat nanti, aku juga akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor kuda yang sedang meringik di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Seterusnya pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor kambing yang sedang mengembek di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Begitu juga pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seorang manusia yang sedang menjerit di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Pada Hari Kiamat nanti, aku juga akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan membawa secebis pakaian yang compang-camping di atas tengkoknya dan dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Begitu juga pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul sejumlah harta terdiri dari emas dan perak di atas tengkoknya dan berkata: Wahai Rasulullah! Tologlah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya telah aku sampaikan kepadamu.
1086 Diriwayatkan dari Abu Humaid as-Saaidi r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah memberi tugas kepada seorang lelaki dari Kaum al-Asad yang dikenali sebagai Ibnu Lutbiyah. Mengikut Amru dan Ibnu Abu Umar adalah untuk urusan sedekah. Setelah kembali dari menjalankan tugasnya, lelaki tersebut berkata kepada Rasulullah s.a.w: Ini untuk baginda dan ini pula untukku kerana sememangnya ia akan dihadiahkan kepadaku. Setelah mendengar kata-kata tersebut, lalu Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar. Setelah mengucapkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Adakah patut seorang petugas yang aku kirim untuk menguruskan suatu tugas berani berkata: Ini untuk anda dan ini pula untukku kerana sememangnya ia akan dihadiahkan kepdaku? Bukankah dia duduk di rumah bapa atau ibunya (tanpa memegang sebarang jawatan) dan perhatikan adakah dia akan dihadiahkan sesuatu atau tidak. Demi Zat Muhammad yang berada di dalam kekuasaan Allah, jika salah seorang di antara kamu yang memperolehi sesuatu dari hasil sedekah, maka pada Hari Kiamat kelak dia akan datang dengan memikul seekor unta yang sedang melenguh atau seekor lembu atau seekor kambing yang mengembek di atas tengkoknya. Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya tinggi-tinggi sehingga ternampak kedua ketiaknya yang putih dan bersabda: Ya Allah! Bukankah aku telah sampaikannya sebanyak dua kali.
1087 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Telah turun ayat Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Rasul serta pemimpin dari kalangan kamu. Ayat tersebut ditujukan kepada Abdullah bin Huzafah bin Qais bin Adi as-Sahmi yang telah diutuskan oleh Nabi dalam satu peperangan yang tidak sertai oleh baginda.
1088 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhakai pemerintah maka dia telah menderhakai aku.
1089 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya.
1090 Diriwayatkan dari Saidina Ali k.w katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah mengutus satu pasukan tentera dan baginda telah melantik seorang lelaki sebagai pemimpin tentera itu. Lelaki tersebut telah menghidupkan api dan berkata: Kamu semua masuk ke dalam api itu. Maka sebahagian dari tentera ingin memasuki ke dalam api tersebut dan sebahagian dari tentera yang lain berkata: Kami telah melarikan diri darinya. Perkara itu dilaporkan kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda kepada orang-orang yang ingin memasuki api tersebut: Sekiranya kamu memasukinya nescaya kamu akan terus berada di dalamnya sehingga Hari Kiamat dan Nabi berkata kepada pihak satu lagi dengan kata-kata yang baik serta bersabda: Jangan mentaati perintah untuk melakukan maksiat kepada Allah tetapi taatilah dalam perkara kebaikan.
1091 Hadits Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang imam (pemimpin) itu merupakan pelindung. Dia bersama pengikutnya memerangi orang kafir dan orang zalim serta memberi perlindungan kepada orang-orang Islam. Sekiranya dia menyuruh supaya bertaqwa kepada Allah dan berlaku adil maka dia akan mendapat pahala, akan tetapi sekiranya dia menyuruh selain dari yang demikian itu, pasti dia akan menerima akibatnya.
1092 Hadits Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Segala urusan pengikut Bani Israel akan diatur oleh para Nabi. Apabila seseorang Nabi itu meninggal dunia, dia akan digantikan oleh seorang Nabi yang lain. Tetapi sesungguhnya tidak akan ada Nabi selepasku. Pada suatu ketika nanti akan muncul Kalifah. Para Sahabat bertanya: Apakah yang anda perintahkan kepada kami? Nabi s.a.w menjawab: Patuhilah perlantikan khalifah yang pertama, kemudian yang seterusnya. Penuhilah hak-hak mereka, sesungguhnya Allah akan menanyakan tentang apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
1093 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sepeninggalanku nanti akan muncul pemimpin-pemimpin yang kamu tidak sukai. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah yang anda akan perintahkan sekiranya perkara itu terjadi kepada kami? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Penuhilah kewajiban yang telah diberikan kepada kamu dan pohonlah hak kamu kepada Allah.
1094 Diriwayatkan dari Usaid bin Hudhair r.a katanya: Seorang lelaki dari kaum Ansar telah mengadap Rasulullah s.a.w secara bersendirian lalu dia berkata: Kenapa engkau tidak menugaskan aku sebagaimana engkau telah tugaskan Si Polan? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Sesungguhnya kamu akan bertemu pemimpin yang mementingkan diri sendiri serta bongkak sepeninggalanku nanti, maka hendaklah kamu bersabar sehingga kamu menemui aku di perigi (dalam Surga).
1095 Diriwayatkan dari Huzaifah bin al-Yaman r.a katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Yaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggalah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.
1096 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendapati pemimpinnya melakukan perkara yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bersabar sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jemaah satu jengkal, maka matinya adalah dikira mati dalam keadaan jahiliah.
1097 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Ketika peperangan Hudaibiah bilangan kami seramai satu ribu empat ratus orang, kami telah membuat perjanjian taat setia dengan Rasulullah s.a.w. Umar telah mengambil tangannya (berjanji) di bawah sepohon pokok yang bernama Samurah. Jabir berkata lagi: Kami tidak berjanji setia dengan Rasulullah untuk mati tetapi untuk tidak lari dari medan pertempuran.
1098 Hadits Musayyab bin Hazni r.a: Diriwayatkan dari Said bin al-Musayyab katanya: Ayahku merupakan salah seorang di antara orang yang berjanji setia dengan Rasulullah s.a.w di bawah sepohon pokok. Beliau menyambung lagi, tahun berikutnya kami telah pergi menunaikan haji, tetapi kami sudah tidak mengenali tempat perjanjian tersebut, sekiranya pokok itu ada nescaya kamu akan mengenalinya.
1099 Hadits Salamah r.a. Diriwayatkan dari Yazid bin Abu Ubaid katanya: Aku telah bertanya Salamah: Untuk apakah kamu berikrar setia bersama Rasulullah s.a.w pada hari perjanjian Hudaibiah? Salamah menjawab: Untuk mati.
1100 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid r.a katanya: Seorang telah datang kepadanya dan berkata: Itulah dia Ibnu Hanzalah yang telah berjanji setia dengan manusia. Abdullah bin Zaid bertanya: Untuk apa? Orang itu menjawab: Untuk mati. Abdullah bin Zaib berkata: Aku tidak akan berjanji setia untuk mati dengan sesiapa pun selepas dari Rasulullah s.a.w.
1101 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Beliau telah datang menemui al-Hajjaj, lalu beliau ditanya: Wahai Ibnu al-Akwa'! Kenapa kamu pulang semula? Adakah kamu masih ingin tinggal di negerimu? Salamah menjawab: Tidak! Tetapi Rasulullah s.a.w yang mengizinkan aku pulang ke kampong.
1102 Diriwayatkan dari Mujasyik bin Mas'ud as-Sulami r.a katanya: Aku berjumpa Nabi s.a.w untuk berikrar setia dengan baginda untuk sama-sama berhijrah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Hijrah telah berlalu, tetapi ikrar setia yang masih boleh dilakukan ialah terhadap Islam, jihad dan melakukan kebaikan.
1103 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Pada hari pembukaan yaitu pembukaan Kota Mekah Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada Hijrah selepas pembukaan Kota Mekah. Yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu diminta untuk keluar berjihad, maka lakukanlah.
1104 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w ditanya tentang Hijrah. Beliau menjawab dengan bersabda: Tidak ada Hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu diminta berjihad, maka lakukanlah.
1105 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Seorang arab yang berasal dari pedalaman bertanya Rasulullah s.a.w mengenai Hijrah. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Mengapa kamu bertanya demikian, sesungguhnya Hijrah itu sangat berat. Adakah kamu mempunyai unta? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Adakah kamu akan menjadikannya sebagai sedekah? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Lakukanlah di belakang kampung. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan amalanmu.
1106 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi katanya: Apabila wanita-wanita mukmin berhijrah kepada Rasulullah s.a.w mereka akan dijanjikan oleh Allah sebagaimana firmanNya: Yang bermaksud: Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepada kamu untuk memberikan pengakuan taat setia bahawa mereka tidak akan mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun dan mereka tidak akan mencuri serta tidak akan berzina. Sehinggalah ke akhir ayat. Saidatina Aisyah berkata: Sesiapa yang berikrar setia dengan wanita-wanita beriman tersebut sudah pasti dia akan berikrar setia mengikut tuntutan syarak. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai berikrar setia, baginda bersabda kepada mereka: Beredarlah kerana aku telah berikrar setia kepada kalian semua. Demi Allah, semasa Rasulullah s.a.w berikrar setia, baginda tidak menyentuh sama sekali tangan wanita-wanita tersebut. Baginda hanya melakukan ikrar setia dengan ucapan sahaja. Saidatina Aisyah r.a berkata: Demi Allah, Rasulullah s.a.w tidak sekali-kali menuntut keperluannya semasa ikrar terhadap wanita-wanita tersebut melainkan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Baginda juga tidak sekali-kali bersalaman dengan wanita-wanita tersebut sebaliknya baginda bersabda kepada mereka: Aku telah berikrar setia kepada kamu dengan ucapan.
1107 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Kami telah berikrar setia kepada Rasulullah s.a.w untuk tunduk dan taat. Beliau bersabda kepadaku: Yaitu sekadar yang kamu mampu.
1108 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Aku pernah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w untuk sama-sama berperang dalam peperangan Uhud. Pada saat itu aku baru berumur empat belas tahun, namun baginda tidak memperkenankan aku. Aku kemukakan lagi cadangan tersebut untuk sama-sama bertempur dalam peperangan Khandaq, lalu baginda memperkenankan. Pada saat itu aku sudah berumur lima belas tahun.
1109 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang seseorang bermusafir ke negeri musuh dengan membawa al-Quran.
1110 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berlumba kuda dengan para Sahabatnya. Pada suatu ketika baginda menunggang kuda yang telah dilengkapkan dengan pelana bermula dari daerah Hafya' dan berakhir di lembah Wada' manakala suatu ketika yang lain pula baginda menunggang kuda yang tidak dilengkapi dengan pelana, bermula dari lembah Wada' dan berakhir di masjid Bani Zuraik.
1111 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Pada ubun-ubun kuda itu terdapat kebaikan sehingga ke Hari Kiamat.
1112 Diriwayatkan dari Urwah al-Bariqi r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Pada ubun-ubun kuda itu terdapat kebaikan sehingga ke Hari Kiamat, yaitu pahala dan ghanimah (harta rampasan).
1113 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Keberkatan itu terdapat pada ubun-ubun kuda.
1114 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah akan memberi jaminan kepada orang-orang yang keluar (berjuang) di jalanNya. Sesungguhnya orang yang keluar untuk berjihad hanya kerana iman dan ikhlas kepada Allah, maka Allahlah yang akan memberi jaminan untuk memasukkannya ke dalam Surga atau akan mengembalikannya semula ke rumah, beliau juga keluar dengan memperolehi pahala atau harta rampasan. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya. Pada setiap bahagian tubuh yang terluka di jalan Allah akan diperlihatkan olehNya pada Hari Kiamat. Ketika beliau terluka warna darah dan baunya adalah seperti minyak kasturi. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya, jika peperangan itu memang tidak berat bagi kaum muslimin, tentunya aku tidak akan meninggalkan pasukan yang turut berperang pada jalan Allah tetapi aku sendiri tidak mampu memberikan kenderaan kepada mereka dan keadaan mereka sendiri juga seperti diriku yang tidak mampu. Mereka sendiri sebenarnya masih merasa keberatan dan tidak dapat berangkat bersamaku. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya. Sesungguhnya aku lebih suka seandainya aku berperang di jalan Allah lalu terbunuh, lalu aku dihidupkan kemudian berperang lagi dan terbunuh, kemudian aku dihidupkan dan berperang lagi dan akhirnya terbunuh lagi.
1115 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Setiap jiwa yang mati akan beroleh kebajikan di sisi Allah. Dia (jiwa tersebut) amat menyenangi seandainya beliau dapat kembali semula ke dunia, sekalipun beliau tidak mendapat apa-apa bahagian terhadap dunia dan isinya kecuali sebagai orang yang mati syahid. Sesungguhnya beliau berharap dapat kembali semula ke dunia lalu terbunuh, lantaran mengingatkan kelebihan mati syahid yang beliau lihat.
1116 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah ditanya: Apakah yang dapat dibandingkan dengan jihad pada jalan Allah? Nabi s.a.w menjawab: Kamu tidak akan sanggup melakukannya. Pertanyaan tersebut diulang sehingga dua atau tiga kali. Tetapi baginda masih menjawab: Kamu tidak akan sanggup melakukannya. Pada kali yang ketiganya baginda bersabda: Perumpamaan orang yang berjihad pada jalan Allah samalah seperti seorang yang selalu berpuasa dan selalu melakukan ibadat malam serta taat kepada ayat-ayat Allah. Beliau tidak merasa letih dari puasa dan sembahyangnya sehinggalah orang yang berjihad pada jalan Allah itu kembali.
1117 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya keluar berjuang di jalan Allah sepagi atau sepetang adalah lebih baik dari dunia dan isinya.
1118 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad As-Saa'idi r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sepagi atau sepetang yang digunakan oleh seorang hamba untuk berjuang di jalan Allah adalah lebih baik dari dunia dan isinya.
1119 Diriwayatkan dari Abu Ayyub r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sepagi atau sepetang berada di jalan Allah adalah lebih baik dari apa yang telah diterbit dan diterbenamkan oleh matahari.
1120 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada Nabi s.a.w dan bertanya: Siapakah orang yang paling baik dari kalangan manusia? Nabi s.a.w menjawab: Seseorang yang berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwanya. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Nabi s.a.w menjawab: Seorang mukmin yang berada di kaki bukit dan beribadat kepada Allah serta menjauhkan manusia dari kejahatannya.
1021 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Kami telah mengalami kesusahan sehinggalah kami berfikir untuk menyembelih sebahagian dari binatang tunggangan kami. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan kami supaya mengumpulkan segala bekalan kami. Kami membukanya di atas hamparan kulit, maka terkumpulah kesemua bekalan di atas hamparan itu. Aku coba membuat anggaran berapa banyakkah bekalan yang telah terkumpul itu. Dari pengiraanku bekalan yang terkumpul itu sebanyak satu kandang kambing, sedangkan kami hanya seramai satu ribu empat ratus orang. Kemudian kami makan sehinggalah kami kenyang semuanya dan kami masih dapat mengisi kembali bekas-bekas kami. Kemudian Nabi s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai air untuk berwuduk? Kemudian datang seorang lelaki membawa bekasnya yang berisi sedikit air. Maka Rasulullah s.a.w menuangkan air itu ke dalam satu mangkuk. Kemudian kami seramai satu ribu empat ratus orang dapat berwuduk semuanya dengan sempurna dan dapat menuangkan air dengan deras. Kemudian datang pula lapan orang lelaki lalu bertanya, apakah ada sesuatu untuk berwuduk? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Air untuk berwuduk telah habis.
1022 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menyerang Bani Mustalik. Sedangkan mereka tidak bersedia untuk menghadapi serangan dari Rasulullah s.a.w, di mana ternakan mereka sedang meminum air di sebuah mata air. Baginda telah membunuh tentera-tentera mereka dan menawan tawanan mereka. Pada hari itu Juwairiyah telah tercedera dan Abdullah bin Umar adalah salah seorang dari tentera Islam dalam peperangan tersebut.
1023 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w memerintahkan seorang Sahabat untuk melaksanakan salah satu perintahnya, dengan bersabda: Sampaikanlah khabar gembira dan jangan menakut-nakutkan. Permudahkanlah dan jangan memayahkan.
1024 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Permudahkan dan jangan memayahkan, tenangkan dan jangan menakut-nakutkan.
1025 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ketika Allah mengumpulkan orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian pada Hari Kiamat kelak, maka setiap orang yang melakukan pengkhianatan akan diberikan tanda sebuah bendera yang bertulis: Ini adalah bukti tanda pengkhiatannya kepada Polan bin Polan.
1026 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap pengkhianat akan diberikan sebuah bendera sebagai tanda pada Hari Kiamat kelak yang bertulis: Ini adalah tanda pengkhianatannya terhadap Si Polan.
1027 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Setiap orang yang berkhianat akan diberikan sebuah bendera sebagai tanda pada Hari Kiamat nanti.
1028 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Peperangan itu adalah tipu daya.
1029 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Peperangan itu adalah tipu daya.
1030 Hadits Abdullah bin Abi Aufa r.a: Diriwayatkan dari Abu an-Nadhri tentang surat seorang lelaki yang berasal dari Aslam dari kalangan para Sahabat Nabi s.a.w. Lelaki tersebut bergelah Abdullah bin Abi Aufa. Kemudian dia mengutuskan surat kepada Umar bin Ubaidillah ketika dia berangkat pergi kepada kaum Harurriyah (salah satu golongan Khawarij) yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w ketika bertemu dengan musuh, baginda akan menunggu sehingga matahari condong ke arah barat. Kemudian baginda bangkit lalu bersabda: Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu mengharapkan untuk bertemu dengan musuh dan pohonlah kesejahteraan kepada Allah. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bersabarlah dan ketahuilah kamu, sesungguhnya Surga itu berada di bawah libasan pedang kamu. Selanjutnya Nabi s.a.w bangkit dan berdoa: Ya Allah! Engkaulah Yang menurukan kitab dan Yang menggerakkan awan dan Yang mengalahkan pasukan yang bersekutu, hancurkanlah mereka dan berikanlah kemenangan kepada kami.
1031 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a: Sesungguhnya pernah terdapat seorang wanita terbunuh dalam satu peperangan yang diikuti oleh Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w melarang dari membunuh wanita dan kanak-kanak.
1032 Diriwayatkan dari As-Sa'bi bin Jathamah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang perempuan dan kanak-kanak kaum Musyrikin yang diserang pada malam hari dan ternyata serangan itu terkena isteri dan anak-anak mereka, lalu baginda menjawab dengan bersabda: Dalam keadaan seperti itu isteri dan anak-anak mereka termasuk dari kalangan mereka.
1033 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah membakar dan menebang pokok tamar milik Bani Nadhir yang berada di Buwairah. Di dalam Hadits Qutaibah dan Ibnu Rumh ada tambahan: Kemudian Allah s.w.t menurunkan ayat: Bermaksud: Apa saja yang kamu tebang dari pohon milik orang-orang kafir atau yang kamu biarkan ia tumbuh berdiri di atas pokoknya, maka semua itu adalah dengan izin Allah kerana Dia mahu memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.
1034 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang Nabi pernah berperang dan dia berkata kepada kaumnya: Tidak dibenarkan mengikutiku seorang lelaki mempunyai isteri yang hendak disetubuhinya, juga seorang lelaki yang sudah mendirikan sebuah bangunan namun dia belum menaikkan bumbungnya. Demikian pula dengan seorang lelaki yang telah membeli seekor kambing atau seekor unta hamil, sehingga dia menunggu kelahiran anak ternakannya tersebut. Maka beliau pergi berperang. Apabila tiba di sebuah kampung pada waktu Asar, beliau berkata kepada matahari: Wahai matahari! Kamu diperintahkan dan aku pun juga diperintahkan. Lalu beliau berdoa: Ya Allah! Tahanlah matahari itu sebentar untukku. Maka matahari pun berhenti kerana diperintahkan oleh Allah. Lalu beliau berkata: Himpunlah oleh kamu segala harta rampasan. Setelah mengumpulkan harta hasil rampasan perang tersebut, tiba-tiba ada percikan api dari atas langit yang kelihatannya akan membakar harta tersebut, namun mendadak api itu berhenti dan tidak mahu membakarnya. Lalu Nabi a.s berkata: Di antara kamu ada yang telah menyorokkan harta rampasan perang ini. Maka hendaklah setiap orang dari semua kabilah segera berbai'at kepadaku. Maka mereka pun beramai-ramai datang membai'ah kepada Rasul dengan menjabat tangan beliau. Kemudian beliau kembali bersabda: Di antara kamu pasti ada yang telah menyoroknya. Hendaklah setiap kabilah dari kamu berbai'at kepadaku. Mereka pun berebut-rebut datang berbai'at kepada Nabi a.s, sehingga dua atau tiga orang menjabat tangan beliau secara sekaligus. Beliau berkata lagi: Diantara kamu pasti ada yang menyoroknya, kamu telah berkhianat. Kemudian mereka memberikan kepada beliau seketul emas sebesar kepala lembu lalu diletakkannya pada timbunan harta rampasan tersebut yang sudah berada di atas tanah. Tidak lama kemudian datanglah percikan api itu lalu memakannya. Baginda bersabda: Harta rampasan perang itu sama sekali tidak dihalalkan kepada seorang pun sebelum kita. Hal itu disebabkan kerana Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Luhur mengetahui kelemahan serta kekurangan kita. Maka Allahlah yang akan mengelokkan diri kita.
1035 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah menghantar satu pasukan tentera ke sebuah daerah bernama Najd, aku adalah salah seorang di antara mereka, di mana mereka telah berjaya mendapatkan harta rampasan perang yang banyak seperti unta. Mereka semua mendapat bahagian sebanyak sebelas atau dua belas ekor unta dan ditambahkan kepada mereka seekor unta lagi.
1036 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah membahagikan harta rampasan perang kepada kami. Baginda juga telah mengasingkan satu perlima dari bahagian kami untuk dibahagikan kepada orang-orang yang lebih tua.
1037 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Aku pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Hunain. Dalam pertempuran itu, pasukan Islam terpaksa berundur pada awalnya dan pada masa itu aku sempat melihat ada seorang dari pasukan kafir berjaya menangkap seorang tentera muslimin sehingga tentera muslimin itu tidak berdaya lagi dan dia hendak dibunuh oleh tentera kafir tersebut. Ketika itulah aku segera datang dari arah belakangnya. Maka dengan tidak berlengah-lengah aku menikam bahu tentera kafir tersebut, kemudian aku dapati tentera kafir itu hampir mati, lalu kemudiannya beliau mati. Selepas itu aku segera mengikut Umar bin al-Khattab. Setelah bertemu dengannya aku ditanya: Ada apa dengan orang tadi. Aku menjawab: Biarkan saja. Dia sudah menjadi urusan Allah. Kemudian kami semua pulang, kami mendapati Rasulullah s.a.w sedang duduk. Selanjutnya baginda bersabda: Sesiapa yang berjaya membunuh musuh dan dia mempunyai bukti, maka dia berhak ke atas harta orang yang dibunuhnya itu. Setelah mendengar keterangan tersebut, aku lantas berdiri dan bertanya: Siapa yang bersedia menjadi saksi kepadaku? Kemudian aku duduk. Selepas itu aku mengulangi lagi soalan yang sama, kemudian aku duduk. Kemudian aku bertanya lagi buat kali yang ketiganya, ketika aku hampir-hampir putus asa, tiba-tiba saja Rasulullah s.a.w mendekatiku dan bertanya: Apa kena denganmu ini wahai Abu Qatadah? Lalu aku menceritakan kepada baginda perkara yang telah berlaku, yaitu aku telah membunuh seorang tentera kafir. Tanpa diduga tiba-tiba ada seorang Sahabat yang berdiri dan mengatakan: Apa yang diceritakan oleh Abu Qatadah itu adalah benar wahai Rasulullah. Sekarang harta milik tentera kafir yang dibunuh oleh Abu Qatadah itu berada padaku. Oleh itu berikanlah harta ini kepada yang berhak. Apabila mendengar ucapan sahabat tersebut, Abu Bakar as-Siddiq lalu berkata: Demi Allah, Rasulullah s.a.w tidak mungkin akan menyia-nyiakan salah seorang tentera pasukannya yang telah berperang membela Allah dan utusanNya. Baginda pasti akan memberikannya kepada orang yang berhak. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: Benarlah apa yang telah dikatakan oleh Abu Bakar tersebut. Berikanlah harta itu kepada Abu Qatadah. Kemudian Abu Bakar pun menyerahkannya kepadaku. Dari harta itulah aku dapat membeli baju besi dan sebidang tanah yang terletak di daerah Bani Salimah. Itulah harta yang pertama aku dapati selama aku memeluk Islam.
1038 Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Auf r.a katanya: Ketika aku berdiri di tengah-tengah barisan semasa peperangan Badar aku menoleh ke kanan dan ke kiriku, tiba-tiba aku terpandang dua orang pemuda Ansar yang masih remaja. Aku benar-benar berhasrat untuk bersama dengan mereka berdua. Salah seorang dari mereka mengisyaratkan kepadaku dan bertanya kepadaku: Wahai Pakcik! Apakah pakcik kenal Abu Jahal? Aku menjawab: Ya! Aku mengenalinya, kenapakah kamu menghajatinya wahai anak saudaraku? Lalu dia berkata: Aku pernah diberitahu bahwa Abu Jahal pernah mencaci maki Rasulullah s.a.w. Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaanNya, sekiranya aku melihat Abu Jahal maka aku akan berlawan dengannya satu lawan satu sehingga terbukti siapa yang akan mati terlebih dahulu. Aku begitu kagum dengan tekad dan semangat anak muda tersebut. Kemudian pemuda yang seorang lagi pun berkata demikian juga kepadaku. Tidak berapa lama kemudian aku melihat Abu Jahal muncul dari kejauhan dan mundar-mandir di antara orang ramai. Aku katakan kepada kedua orang pemuda itu: Bukankah sekarang kalian sudah melihat Abu Jahal. Itulah dia lawan yang kamu berdua tanyakan tadi. Lalu mereka mendekati Abu Jahal dan tanpa menunggu lebih lama lagi mereka menghunuskan pedang ke arah Abu Jahal sehingga dia meninggal dunia pada waktu itu juga. Kemudian mereka berdua menemui Rasulullah s.a.w dan memberitahu kepada baginda. Rasulullah s.a.w lalu bertanya kepada mereka: Sebenarnya siapakah di antara kamu berdua yang telah membunuhnya? Kemudian mereka berdua masing-masing mengaku sebagai pembunuhnya. Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Apakah pedang kamu sempat ditepisnya? Mereka memjawab: Tidak! Selanjutnya Rasulullah s.a.w memeriksa pedang mereka. Setelah puas lalu baginda bersabda: Kalian berdua telah membunuhnya. Akhirnya Rasulullah s.a.w memutuskan bahawa harta orang yang terbunuh tersebut adalah untuk Mu'az bin Amru bin al-Jamuh. Dua orang pemuda tersebut bernama Mu'az bin Amru bin al-Jamuh dan Mu'az bin Afra'.
1039 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Aku pernah mengikuti Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan di daerah Hawazin. Ketika kami makan pagi bersama dengan Rasulullah s.a.w tiba-tiba muncul seorang lelaki yang menunggang seekor unta berwarna merah. Setelah mendudukkan dan mengikat untanya lalu lelaki tersebut ikut makan bersama-sama kami sambil matanya memandang ke sana kemari. Setelah selesai makan sebahagian dari kami ada yang berehat kerana keletihan setelah beberapa lama berada di atas tunganggan dan ada yang berjalan kaki. Tiba-tiba saja lelaki tadi keluar menuju ke arah untanya. Maka dia membuka ikatannya lalu dia menunggangnya dan memecutnya dengan pantas. Lalu dia diikuti oleh seorang lelaki lain yang menunggang unta berwarna kelabu. Salamah berkata: Dengan rasa ragu-ragu aku terus mengikutinya dengan menaiki unta dari belakang. Aku mengejar lelaki asing tadi dan akhirnya aku berjaya mendapatkannya, setelah itu dia berlutut di hadapanku, aku terus menghunuskan pedangku kepadanya dan aku memenggal kepala lelaki tersebut, lalu dia meninggal dunia pada masa itu juga. Kemudian aku membawa untanya yang masih ada pelana dan senjatanya. Rasulullah s.a.w dan beberapa orang Sahabat yang mengawal baginda menyambutku. Baginda kemudian bertanya: Siapa yang telah membunuh lelaki ini? Mereka menjawab: Ibnu al-Akwa'. Baginda bersabda: Dia berhak mendapatkan segala harta orang yang dibunuhnya itu.
1040 Diriwayatkan dari Umar r.a katanya: Harta benda Bani Nadhir adalah termasuk dari pemberian Allah kepada RasulNya, yaitu hasil rampasan orang-orang Islam yang didapati tanpa berperang. Harta rampasan tersebut adalah khusus kepada Nabi s.a.w untuk menafkahkan isteri-isterinya (keluarga baginda) selama satu tahun. Selebihnya dibelanjakan untuk membeli kelengkapan perang dan senjata untuk digunakan pada jalan Allah.
1041 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w wafat, isteri-isteri Rasulullah s.a.w mengutus Osman bin Affan menemui Abu Bakar untuk bertanyakan bahagian mereka dalam warisan peninggalan Nabi s.a.w. Lalu Aisyah berkata kepada mereka: Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Peninggalanku tidak boleh diwarisi, ia adalah sedekah.
1042 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Harta warisanku tidak boleh dibahagikan walaupun sebanyak satu dinar. Harta yang aku tinggalkan itu, adalah untuk nafkah (belanja) isteri-isteriku dan untuk mengupah para pekerjaku, selebihnya itu adalah merupakan sedekah.
1043 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah membahagikan hasil rampasan perang untuk pasukan berkuda sebanyak dua bahagian dan untuk pasukan berjalan kaki sebanyak satu bahagian.
1044 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengirim satu pasukan berkuda ke daerah Najd. Mereka pulang dengan membawa seorang tawanan lelaki dari Bani Hanifah bernama Sumamah bin Usal, pemimpin penduduk Yamamah. Lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Satu hari Rasulullah s.a.w keluar menemui tawanan tersebut. Baginda bertanya: Bagaimana keadaanmu, wahai Sumamah? Tawanan itu menjawab: Baik-baik saja wahai Muhammad. Jika kamu mahu membunuh aku maka bunuhlah, memang sepatutnya ke atasmu untuk melakukannya. Jika kamu memberikan suatu nikmat (tinggalkan dengan tidak membunuh aku) maka aku ucapkan berbanyak terima kasih. Jika kamu meminta harta maka aku akan berikan berapa banyak yang kamu mahu. Rasulullah s.a.w lalu meninggalkan tawanan tersebut. Keesokkan harinya baginda menemui tawanan itu kembali, lalu baginda bertanya: Bagaimana keadaanmu wahai Sumamah? Tawanan itu menjawab: Aku tidak mahu berbicara denganmu. Jika kamu mahu memberikan satu nikmat maka berikan kepada orang yang mahu berterima kasih. Jika kamu mahu membunuh aku bunuhlah, aku adalah orang yang memang berhak untuk dibunuh. Jika kamu menghendaki harta maka mintalah berapa banyak yang kamu mahu maka aku akan berikan apa yang kamu mahu. Lalu Rasulullah s.a.w meninggalkannya. Esoknya, Rasulullah s.a.w bersabda: Bagaimana keadaanmu wahai Sumamah. Sumamah berkata: Jika kamu memberikan satu nikmat maka aku akan ucapkan terima kasih, sekiranya kamu mahu membunuh maka bunuhlah, sekiranya kamu mahukan harta, aku akan berikan kepada kamu berapa banyak yang kamu mahukan. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda kepada para Sahabat: Lepaskan Sumamah. Lalu Sumamah berangkat menuju ke kawasan kebun tamar. Setelah mandi lalu dia memasuki masjid dan mengucapkan kalimah: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba serta utusanNya. Wahai Muhammad! Di muka bumi ini tidak ada wajah yang paling aku benci dari wajahmu sebelum ini. Tetapi sekarang wajahmulah yang paling aku suka di antara wajah-wajah yang pernah aku temui. Sebelum ini tidak ada agama yang paling aku benci dari agamamu dan sekarang hanya agamamu lah yang paling aku sukai di antara agama-agama yang pernah aku temui. Dahulu negerimulah yang paling aku benci, tetapi sekarang negerimulah yang paling aku cintai di antara negeri-negeri yang pernah aku kenal. Sesungguhnya pasukan berkudamu selalu mengawasiku sedangkan aku ingin melakukan umrah. Beagaimana ini? Rasulullah s.a.w lalu menyampaikan berita gembira kepada Sumamah bahawa dia boleh melakukan umrah. Ketika sampai di Kota Mekah seorang bertanya kepadanya: Kamu sudah keluar dari agamamu? Sumamah menjawab: Tidak. Tetapi aku sudah memeluk Islam dan tunduk kepada Rasulullah s.a.w. Demi Allah, tidak akan ada sebiji gandum pun dari Yamamah yang akan sampai kepada kamu sebelum mendapat keizinan Rasulullah s.a.w.
1045 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ketika kami sedang berada di dalam masjid, tiba-tiba Rasulullah s.a.w datang kepada kami. Lalu baginda bersabda: Mari kita berangkat menemui orang-orang Yahudi. Maka kami bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w berangkat sehingga kamipun sampai kepada mereka. Maka Rasulullah s.a.w pun berseru: Wahai orang-orang Yahudi masuklah Islam nanti kamu akan mendapat keamanan. Orang-orang Yahudi menjawab: Itu sudah kamu sampaikan wahai Abu al-Qasim. Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Pengakuan itulah yang aku inginkan. Masuklah Islam nanti kamu akan aman. Sekali lagi orang-orang Yahudi menjawab: Itu sudah kamu sampaikan wahai Abu al-Qasim. Buat kali yang ketiganya Rasulullah s.a.w menyeru kepada mereka: Masuklah Islam nanti kamu akan aman. Ketahuilah, sesungguhnya bumi itu hanyalah milik Allah dan RasulNya. Sesungguhnya aku ingin mengusir kamu dari bumi ini. Sesiapa di antara kamu mendapatkan sedikit harta hendaklah dia menjualnya. Kalau tidak, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya bumi ini hanya milik Allah dan RasulNya.
1046 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya kaum Yahudi Bani Nadir dan Bani Quraizah telah memusuhi Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w telah mengusir Bani Nadir dan membiarkan Bani Quraizah. Selepas itu Bani Quraizah telah berani memerangi Rasulullah s.a.w secara terbuka. Maka orang-orang Islam telah membunuh tokoh-tokoh (pembesar-pembesar) mereka. Manakala wanita-wanita serta anak-anak dan harta benda mereka dibahagi-bahagikan kepada orang-orang muslimin kecuali mereka yang menyerah diri kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda pun melindungi mereka. Rasulullah s.a.w juga mengusir orang-orang Yahudi Madinah seluruhnya yaitu Bani Qainuqa' mereka adalah satu kaum serta Yahudi Bani Harithah dan setiap orang Yahudi yang berada di Madinah.
1047 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Orang-orang Quraizah telah mengarahkan supaya Saad bin Muaz memutuskan hukuman. Lalu Rasulullah s.a.w menghantar utusan kepada Saad supaya datang mengadap baginda. Maka Saad pun menemui Rasulullah s.a.w dengan menunggang seekor kaldai. Ketika beliau tiba di pintu masjid, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kaum Ansar: Berdirilah kamu untuk menghormati pemimpin kamu atau orang yang terbaik di antara kamu. Kemudian Nabi s.a.w bersabda kepada Saad: Sesungguhnya mereka semua menyerahkan supaya kamu memutuskan hukuman ke atas mereka. Saad berkata: Kamu bunuhlah orang yang memusuhi kamu serta menawan anak cucu mereka. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Jalankanlah hukuman berdasarkan hukum Allah Yang Maha Kuasa. Ibnu al-Musanna tidak menyebut kalimat Yang Maha Kuasa.
1048 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Semasa peperangan Khandak Saad telah mengalami kecederaan kerana dipanah oleh tentera Quraisy yang bernama Ibnu al-Ariqah. Panahan tersebut terkena pada urat nadinya. Oleh itu Rasulullah s.a.w mendirikan sebuah khemah yang berhampiran dengan masjid untuk memudahkan baginda menziarahinya. Setelah pulang dari Khandak, Rasulullah s.a.w meletakkan senjatanya. Setelah selesai mandi baginda didatangi oleh Jibril yang turut membersihkan kepalanya dari debu. Jibril berkata: Kamu sudah meletakkan senjata? Demi Allah, kita tidak boleh meletakkan senjata. Keluarlah kepada mereka. Rasulullah s.a.w bertanya: Ke mana? Jibril memberikan isyarat ke arah Bani Quraizah. Rasulullah s.a.w lalu memerangi mereka. Kemudian mereka menyerah untuk dihukum oleh Rasulullah s.a.w, tetapi baginda menyerahkan supaya hukuman tersebut diputusankan oleh Saad. Lalu Saad berkata: Sesungguhnya aku memutuskan supaya membunuh mereka yang turut berperang dan menawan anak-anak cucu juga wanita-wanita mereka dan mengagihkan harta benda mereka..
1049 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Pada suatu hari setelah selesai dari peperangan Ahzab, Rasulullah s.a.w telah menyeru semasa berada bersama kami: Janganlah seseorang di antara kamu menunaikan sembahyang Zuhur kecuali di kawasan Bani Quraizah. Manakala mereka yang merasa terlewat waktu sembahyangnya. Mereka segera melaksanakannya, sekalipun mereka belum tiba di kawasan Bani Quraizah. Tetapi setengah yang lainnya sama-sama berkata: Kami tidak akan menunaikan sembahyang sebelum kami diperintah oleh Rasulullah s.a.w sekalipun kami terlewat dari waktunya. Maka ternyata Rasulullah s.a.w tidak mencerca keduanya.
1050 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika orang-orang Muhajirin datang dari Mekah ke Madinah mereka tidak memiliki apa-apa pun. Manakala orang-orang Ansar pula memiliki tanah dan kebun-kebun yang luas. Orang-orang Ansar telah membahagikan tanah-tanah atau kebun-kebun tersebut kepada saudara-saudaranya itu dan mereka akan memperolehi separuh hasilnya pada setiap tahun. Mereka juga menyediakan pekerjaan dan membiayainya. Ibu Anas bin Malik atau yang biasa dipanggil dengan Ummu Sulaim dan Ummu Abdullah bin Abi Talhah adalah saudara seibu Anas. Ummu Anas bin Malik pernah memberikan pokok kurmanya kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w memberikan pokok kurma tersebut kepada Ummu Aiman khadam perempuannya, yaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu Syihab telah berkata: Aku pernah mendapat cerita dari Anas bin Malik, sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika selesai dari peperangan Khaibar terus pulang ke Madinah, baginda melihat orang-orang Muhajirin mengembalikan semula pemberian-pemberian yang pernah mereka terima dari saudaranya kaum Ansar. Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, baginda telah mengembalikan kepada ibuku pokok kurma yang pernah diberikan oleh Ummu Aiman kepada tuannya.
1051 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mughaffal r.a katanya: Pada hari peperangan Khaibar aku telah menemui sebuah bekas yang diperbuat dari kulit yang mengandungi lemak. Aku terus mengambilnya dan berkata di dalam hati bahawa aku tidak akan memberikan temuanku ini kepada sesiapa pun. Aku berpaling kepada Rasulullah s.a.w sedangkan pada ketika itu baginda sedang memandangku sambil tersenyum.
1052 Diriwayatkan dari Abu Sufian r.a katanya: Setelah aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dalam tempoh yang agak lama, pada waktu itu aku berada di Syam maka telah sampai sepucuk surat dari Rasulullah s.a.w yang ditujukan kepada Raja Hiraqal Pembesar Empayar Rom. Dahyat al-Kalbi telah membawa surat tersebut dan menyampaikannya kepada pembesar Busra. Maka pembesar Busra telah membawa surat tersebut kepada Raja Hiraqal. Lalu Raja Hiraqal bertanya: Adakah di sini terdapat seorang lelaki dari kaum orang yang mendakwa sebagai Nabi ini? Orang-orang yang ditanya menjawab: Ya! Ada. Aku pun dipanggil bersama beberapa orang Quraisy yang lainnya, maka kami pun terus masuk mengadap Raja Hiraqal. Setelah dipersilakan duduk di hadapannya, Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaan: Adakah di antara kamu ini orang yang paling dekat nasab keturunan dengan seorang yang mengaku sebagai Nabi ini? Abu Sufian menjawab: Aku! Kemudian beliau menyuruh aku duduk lebih dekat di hadapannya. Sementara itu Sahabat-sahabatku yang lain dipersilakan duduk di belakangku. Kemudian Raja Hiraqal mempersilakan juru bicaranya (penterjemahnya) dan berkata: Katakan kepada mereka yang berada di hadapanku ini, bahawa aku bertanya mengenai seorang lelaki yang telah mengaku sebagai nabi. Jika beliau berdusta kepadaku, maka dustailah berliau. Berkata Abu Sufian Demi Allah, sekiranya aku tidak bimbang pendustaanku akan diceritakan oleh Sahabat-sahabatku di negeriku nanti, nescaya aku memilih berdusta. Melalui juru bicaranya Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaannya: Bagaimanakah nasab (keturunannya) di kalangan kamu? Aku menjawab: Di kalangan kami beliau mempunyai nasab (keturunan) yang cukup mulia. Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah terdapat di antara nenek moyangnya yang pernah menjadi raja? Aku menjawab: Tidak ada! Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah kamu pernah mencurigainya berdusta sebelum beliau mengatakan apa yang sudah dikatakannya? Aku menjawab: Tidak! Beliau (Raja Hiraqal) meneruskan pertanyaan: Siapakah yang menjadi pengikutnya? Adakah mereka terdiri dari kalangan orang yang mulia atau dari kalangan orang yang lemah? Aku menjawab: Para pengikutnya adalah terdiri dari kalangan orang yang lemah. Beliau terus bertanya: Adakah pengikutnya semakin berkurangan atau bertambah? Aku menjawab: Tidak! Bahkan semakin bertambah. Beliau bertanya lagi: Adakah terdapat salah seorang dari pengikutnya yang keluar atau murtad dari agamanya kerana tidak suka kepadanya? Aku menjawab: Tidak pernah! Beliau bertanya lagi: Bagaimana dengan peperangan? Aku menjawab: Peperangan yang terjadi antara kami dengannya seimbang, adakalanya kami mendapat kemenangan dan adakalanya kami menerima kekalahan. Beliau bertanya: Adakah beliau pernah khianat? Aku menjawab: Tidak! Selama hidupku aku tidak pernah melihat beliau berbuat seperti itu. Beliau bertanya lagi: Adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya? Aku menjawab: Tidak pernah! Kemudian Raja Hiraqal memerintahkan juru bicaranya supaya menyatakan (isi hatinya) bahawa: Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai nasab (keturunannya), kamu menjawab sesungguhnya (Muhammad) adalah seorang yang mempunyai nasab (keturunan) yang baik dan memang begitulah keadaan para rasul apabila diutus di kalangan kaumnya. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah nenek moyangnya (Muhammad) ada yang pernah menjadi raja, kamu menjawab tidak ada sama sekali. Jadi itulah yang membuatkan aku kagum kerana dengan kedudukannya atau kebesarannya sekarang bukan merupakan warisan dari nenek moyangnya. Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai para pengikutnya, kamu menjawab bahawa para pengikutnya terdiri dari orang-orang yang lemah dan mereka itulah pengikut para rasul. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah kamu pernah menuduhnya berdusta tentang apa yang diucapkan, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah berdusta samada sesama manusia apalagi kepada Allah. Maka bagiku memang itulah sifat seorang rasul. Aku tanyakan kepadamu adakah salah seorang dari pengikutnya ada yang keluar dari agamanya (murtad), maka kamu menjawab tidak pernah ada dan begitulah keimanan beliau apabila terpancar di sudut hati dan berseri-seri. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah para pengikutnya berkurangan atau bertambah, maka kamu menjawab pengikutnya semakin bertambah dan demikian itulah keimanan yang sempurna. Aku bertanya kepadamu adakah kamu pernah memeranginya, maka kamu menjawab pernah, di mana kadangkala kamu menang dan kadangkalanya kamu tewas. Demikian itulah para rasul harus dicoba terlebih dahulu sebelum mereka menerima ganjaran yang baik. Aku bertanya kepadamu adakah beliau pernah khianat, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah khianat. Jadi begitulah sifat para rasul. Aku bertanya kepadamu adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya, kamu menjawab tidak pernah seorang pun sebelumnya yang mengucapkannya. Kalau begitu beliau (Muhammad) benar-benar orang yang sangat istimewa. Melalui juru bicaranya lagi, Raja Hiraqal bertanya kepadaku: Apakah yang telah diperintahkan oleh beliau (Muhammad)? Aku menjawab: Beliau memerintahkah kami supaya mendirikan sembahyang, membayar zakat, menghubungkan silaturrahim dan mencegah dari perkara-perkara yang diharamkan. Kemudian Raja Hiraqal berkata: Sekiranya apa yang kamu katakan ini benar, maka beliau (Muhammad) memang benar-benar seorang nabi. Aku tahu sesungguhnya beliau adalah seorang yang sungguh luar biasa dan aku sama sekali tidak menyangka bahawa seorang Nabi telah muncul dari kalangan kamu. Oleh itu, secara jujur aku katakan bahawa aku benar-benar ingin berjumpa dengannya. Seandainya aku berada di sisinya, nescaya aku akan membasuh kedua telapak kakinya dan akan meletakkan kekuasaannya di atas kedua telapak kakiku. Setelah itu raja Hiraqal meminta supaya diambilkan surat yang telah dikirimkan oleh Rasulullah s.a.w lalu membacanya: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Dari Muhammad utusan Allah ditujukan kepada Hiraqal pembesar Empayar Rom. Salam sejahtera buat mereka yang sentiasa mengikuti kebenaran. Sesungguhnya aku menyerumu untuk memeluk Islam. Masuklah Islam semoga kamu akan tenteram. Masuklah Islam nescaya Allah akan menganugerahkan kepadamu dua pahala sekaligus. Jika kamu menolak dari ajakan yang mulia ini, maka kamu akan menanggung dosa yang teramat besar. Bermaksud: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, yaitu kita tidak akan sembah melainkan Allah dan kita tidak akan menyengutukanNya dengan sesuatupun dan tidak pula sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Jika mereka berpaling (tidak mahu menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri kepada Islam (Allah). Setelah selesai membaca surat tersebut terdengar suara teriakan yang nyaring. Kami diarahkan supaya keluar. Maka ketika itulah aku berkata kepada Sahabat-sahabatku: Inilah bukti bagi Ibnu Abu Kabsyah yang selalu ditakuti kemunculannya oleh raja orang-orang Rom Bani Asfar. Raja Hiraqal berkata: Aku yakin bahawa seruan dan ajakan Rasulullah s.a.w pada suatu masa nanti pasti akan muncul sehingga Allah berkenan memasukkan aku ke dalam Islam.
1053 Hadits al-Bara' r.a katanya: Seorang lelaki berkata kepada al-Bara': Wahai Abu Umarah! Adakah kamu melarikan diri ketika berlakunya peperangan Hunain? al-Bara' menjawab: Tidak! Rasulullah s.a.w sama sekali tidak berpaling atau berundur. Namun pada saat itu muncul beberapa orang Sahabatnya yang muda-muda dan begitu bersemangat. Di antara mereka ada yang membawa senjata yang banyak dan ada pula yang tidak membawa senjata sama sekali. Secara mendadak mereka terus memanah ke arah orang-orang Hawazin dan Bani Nadhir. Panahan mereka telah menepati sasaran. Maka begitulah mereka melindungi Rasulullah s.a.w yang berada di atas baghalnya (kudanya) yang berwarna putih. Sementara itu Abu sufian bin al-Harith bin Abdul Mutalib dengan setia membawa baginda. Selepas itu baginda memohon pertolongan dari Allah seraya mengucap: Yang bermaksud: Akulah Nabi yang tidak pernah berdusta, Aku adalah putera Abdul Muthalib. Kemudian baginda menyusun barisan tenteranya.
1054 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengepung penduduk Taif tetapi tidak mendapat apa-apa hasil dari pengepungannya tersebut. Seterusnya baginda bersabda: Insya Allah kita akan kembali ke Madinah. Para Sahabat membantah: Mengapa kita harus kembali? Kita belum dapat menaklukinya. Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Pergilah kamu berperang. Mereka pun mencobanya sehingga mereka mendapat kecederaan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Besok kita akan kembali. Para Sahabat hairan dengan sabda baginda. Sementara itu Rasulullah s.a.w hanya tersenyum.
1055 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w memasuki Mekah terdapat sebanyak tiga ratus enam puluh buah berhala di persekitaran Kaabah. Lalu Nabi s.a.w meruntuhkannya dengan menggunakan tongkat yang berada di tangannya seraya bersabda: Bermaksud: Telah datang kebenaran dan musnahlah kebatilan kerana sesungguhnya kebatilan itu, adalah sesuatu yang pasti musnah. Bermaksud: Kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan bermula dan tidak akan berulang. Ibnu Abu Umar menambah: Peristiwa itu terjadi pada masa pembukaan Kota Mekah.
1056 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Azib r.a katanya: Ali bin Abu Talib merupakan orang yang menulis isi naskhah perdamaian antara Nabi s.a.w dengan orang-orang Musyrikin pada hari perjanjian Hudaibiah, Ali menulis: Inilah yang dijanjikan oleh Muhammad utusan Allah. Orang-orang musyrik membantah: Jangan kamu tuliskan kalimah utusan Allah. Kalau kami sudah merasa yakin bahawa beliau (baginda) adalah utusan Allah, maka kami tidak perlu memusuhi beliau. Ali menjawab: Tidak. Baginda bersabda kepada Ali: Hapuslah kalimat itu. Ali menjawab: Tidak! Aku tidak mahu menghapuskannya. Maka Nabi s.a.w terpaksa menghapusnya sendiri. Salah satu syarat yang diajukan oleh orang-orang Quraisy di dalam perjanjian tersebut ialah: Nabi s.a.w dan para Sahabat hanya boleh memasuki dan tinggal di Kota Mekah selama tiga hari dan tidak dibenarkan membawa senjata kecuali bersarung. Aku bertanya kepada Abu Ishak Apakah yang dimaksudkan dengan bersarung? Lalu beliau menjawab: Senjata yang berbalut.
1057 Hadits Sahl bin Hunaif r.a: Diriwayatkan dari Abu Wail r.a katanya: Pada hari perjanjian Siffin Sahl bin Hunaif berdiri lantas berkata: Wahai manusia! Perhatikanlah dirimu sendiri. Sesungguhnya kita telah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Hudaibiah. Seandainya kita berpendapat untuk memilih peperangan, nescaya itulah yang akan kita lakukan. Ini pernah terjadi ketika Rasulullah berdamai dengan kaum Musyrikin. Lalu datang Umar bin al-Khattab. Beliau terus menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: Wahai Rasulullah! Bukankah kita ini berada di pihak yang benar dan orang-orang Musyrikin itu berada di pihak yang salah? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Umar bertanya: Tidakkah kita akan dimasukkan ke dalam Surga sekiranya kita terbunuh manakala mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka sekiranya mereka terbunuh? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar! Umar bertanya lagi: Kalau begitu apa yang boleh kita berikan kepada agama kita? Sebaiknya kita tarik semula janji perdamaian tersebut. Kita perangi saja mereka dan biarlah Allah yang menentukan nasib kita dan nasib mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Wahai putera al-Khattab. Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah. Percayalah, Allah tidak mensia-siakan aku untuk selamanya Umar tidak berpuas hati dengan jawapan Rasulullah s.a.w maka dengan rasa tidak sabar dan kecewa, Umar menemui Abu Bakar dan berkata: Wahai Abu Bakar! Bukankah kita ini berada di pihak yang benar dan mereka itu berada di pihak yang salah? Abu Bakar menjawab: Memang benar. Umar bertanya lagi: Bukankah kalau kita memeranginya maka jaminan kepada kita adalah Surga dan kalau mereka memerangi kita balasannya adalah Neraka? Abu Bakar menjawab: Memang benar. Umar bertanya lagi: Kalau begitu apa yang harus kita lakukan untuk agama kita? Sebaiknya kita tarik semula perjanjian damai itu dan kita memerangi mereka dan biarlah Allah yang akan menentukan nasib kita dan nasib mereka. Maka jawapan yang diberikan oleh Abu bakar sama saja dengan jawapan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai putera al-Khattab! Sesungguhnya baginda adalah utusan Allah. Percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan baginda buat selama-lamanya. Seterusnya al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w dengan kemenangan lalu baginda memerintahkan supaya menyampaikan berita yang mengembirakan itu kepada Umar untuk dibacanya. Betapa senangnya hati Umar apabila membaca berita yang sangat mengembirakan itu. Lalu Umar beredar dengan hati yang riang.
1058 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika diturunkan ayat: sehingga ayat Yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata supaya Allah memberi keampunan kepadamu sehingga ayat yang bermaksud: Dan yang demikian itu adalah kemenangan yang besar di sisi Allah. Hal itu memang ada kaitannya dengan perjanjian Hudaibiah. Mereka memang merasa sedih dan terharu, kemudian mereka menyembelih binatang korban di Hudaibiah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya ada satu ayat yang diturunkan kepadaku, ayat tersebut amat aku sukai lebih dari seluruh isi dunia.
1059 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Sesungguhnya beliau telah ditanya mengenai luka yang dialami oleh Rasulullah s.a.w dalam peperangan Uhud dan katanya: Muka Rasulullah s.a.w terluka, gigi hadapan baginda patah dan baginda terluka di bahagian kepala. Maka Fatimah puteri Rasulullah s.a.w yang membersihkan darah. Sementara itu Ali bin Abu Talib menuangkan darah tersebut ke dalam sebuah bekas. Ketika Fatimah membasuhnya dengan air, ternyata darah semakin banyak keluar, lalu beliau mengambil sebidang tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu. Kemudian Fatimah meletakkan abu tersebut pada luka baginda sehingga darah tidak lagi keluar.
1060 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya aku seakan-akan melihat Rasulullah s.a.w sedang menceritakan sebuah hikayat tentang salah seorang Nabi yang dizalimi oleh kaumnya sendiri. Baginda menyapu darah pada mukanya dan berdoa: Wahai tuhanku, berilah keampunan kepada kaumku, sesungguhnya mereka memang tidak mengetahui.
1061 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah sangat murka kepada suatu kaum yang berani melakukan perkara ini kepada utusanNya sambil baginda menunjuk kepada giginya. Kemudian baginda bersabda: Allah sangat memurkai sesorang yang dibunuh oleh Rasulullah s.a.w pada jalan Allah.
1062 Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a katanya: Suatu ketika Rasulullah s.a.w sedang sembahyang berhampiran dengan Kaabah. Sementara itu Abu Jahal dan para Sahabatnya duduk di persekitarannya kerana sehari sebelumnya mereka beramai-ramai menyembelih seekor unta, lalu Abu Jahal berkata: Siapakah di antara kamu yang berani mengambil ari-ari unta dari Bani Polan dan meletakkannya ke atas kedua bahu Muhammad apabila dia (baginda) sedang sujud. Seorang dari mereka tiba-tiba berdiri dan mengambil ari-ari lalu meletakkannya ke atas bahu baginda. Mereka semua ketawa sehingga riuh rendah. Sementara itu aku hanya mampu berdiri dan melihat gelagat tersebut. Seandainya aku mempunyai kekuatan, nescaya aku akan buangkan benda itu dari belakang Rasulullah s.a.w semasa baginda sedang sujud yang amat lama. Baginda tidak mengangkat kepalanya sehingga salah seorang melaporkan perkara tersebut kepada Fatimah yang waktu itu sudah menjadi seorang gadis. Tidak lama kemudian datanglah Fatimah lalu membuang ari-ari tersebut dari tubuh Rasulullah s.a.w, kemudian Fatimah memalingkan mukanya ke arah orang-orang kafir Quraisy tersebut seraya mencaci-maki mereka. Setelah Nabi s.a.w selesai dari sembahyangnya, baginda mengangkat suaranya ke arah orang-orang kafir sambil berdoa ke atas mereka. Apabila baginda berdoa dan memohon baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian baginda berdoa: Ya Allah! aku serahkan kepada Engkau segala urusan orang-orang Quraisy ini dengan berdoa sebanyak tiga kali. Ketika mereka mendengar suara Nabi s.a.w itulah mereka serta merta berhenti dari ketawa. Mereka benar-benar takut dengan doa baginda. Kemudian Nabi s.a.w berdoa lagi: Ya Allah! aku serahkan kepada Engkau Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, Walid bin Uqbah, Umaiyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abu Mu'ait kemudian yang ketujuh aku lupa namanya. Demi Zat yang mengutuskan Muhammad s.a.w dengan membawa kebenaran, sesungguhnya aku melihat orang-orang yang baginda sebut itu terbunuh sewaktu peperangan Badar kemudian mereka diheret ke dalam telaga Badar.
1063 Diriwayatkan dari Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Sesungguhnya beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Adakah anda (baginda) pernah mengalami suatu hari yang lebih berat dari hari peperangan Uhud? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya! Waktu itu aku bertemu dengan kaummu (Quraisy), tetapi yang paling berat lagi ialah ketika aku berada pada hari Aqabah. Aku menyeru Ibnu Abdul Yalil bin Abdul Kulal untuk mengikuti aku (agama Islam). Namun beliau enggan memenuhi ajakan tersebut. Aku seterusnya pergi meninggalkan tempat itu tanpa tahu arah mana yang harus aku tuju. Aku tidak tahu ke mana langkahku, tetepi yang jelasnya aku telah sampai di daerah Qarnu Tha'alib. Aku mengangkat kepalaku ke langit, maka pada saat itulah aku melihat sekumpul awan telah menaungiku. Setelah aku perhatikan dengan lebih cermat, ternyata di dalam awan tersebut ada Jibril yang memanggil-manggilku dengan berkata: Sesungguhnya Allah telah mendengar ucapan kaummu dan jawapan mereka terhadapmu. Allah telah mengutuskan Malaikat penunggu gunung untukmu dan kamu hanya menyuruhnya untuk melakukan apa yang kamu inginkan terhadap mereka. Tidak lama kemudian datanglah Malaikat penunggu gunung yang memanggil-manggilku. Setelah memberi salam kepadaku, dia berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya Allah sudah mendengar jawapan kaummu kepadamu. Aku adalah malaikat penunggu gunung. Aku telah diutuskan oleh tuhanmu untuk melaksanakan apakah yang kamu perintahkan kepadaku atau apa yang kamu inginkan? Jika kamu inginkan supaya mereka dihimpit oleh kedua gunung di Mekah itu pun, nescaya dengan segera aku akan laksanakannya. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Malaikat penunggu gunung tersebut: Tidak! Sebaliknya aku mengharapkan agar Allah mengeluarkan keturunan mereka supaya beribadat kepada Allah dan tidak akan menyengutukannya dengan sesuatu pun.
1064 Diriwayatkan dari Jundub bin Sufian r.a katanya: Jari Rasulullah s.a.w pernah terluka dan mengeluarkan darah dalam satu peperangan. Baginda bersabda kepada jarinya: Yang bermaksud: Kamu hanyalah sebatang jari yang berdarah. Namun apa yang kamu alami pada jalan Allah akan diperhitungkan.
1065 Diriwayatkan dari Jundub r.a katanya: Pernah suatu ketika Jibril terlewat turun menemui Rasulullah s.a.w, lalu berkatalah orang-orang musyrik: Sesungguhnya Muhammad telah ditinggalkan. Maka Allah s.w.t berfirman: Demi waktu (Duha) dan demi malam apabila telah sunyi, tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula benci kepadamu.
1066 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Sesungguhnya pada suatu hari Nabi s.a.w menaiki seekor kaldai yang berpelana dan di bawahnya ada kain selimut yang agak lusuh buatan Fadakiah. Sementara itu Usamah mengikuti dari belakang baginda untuk menjenguk Saad bin Ubadah di kalangan Bani al-Haris bin al-Khazraj. Peristiwa itu terjadi sebelum peperangan Badar. Semasa dalam perjalanan tersebut baginda telah pergi ke suatu majlis yang bercampur di antara kaum muslimin dengan orang-orang Musyrikin yang menyembah berhala dan orang-orang Yahudi. Di dalam majlis tersebut terdapat orang yang bernama Abdullah bin Ubai dan Abdullah bin Rawahah. Ketika majlis tersebut ditutupi oleh debu-debu yang berterbangan dari tapak kaki binatang, Abdullah bin Ubai menutup hidungnya dengan kain serban agar tidak dimasuki oleh debu-debu tersebut. Oleh kerana tidak tertahan dengan debu itu, Abdullah bin Ubai berkata: Jangan taburkan debu padaku. (Setelah beliau terlebih dahulu berada di samping mereka), Nabi s.a.w kemudiannya berhenti dan turun dari kaldainya, kemudian baginda menyeru mereka kepada Allah dengan membacakan beberapa potong ayat al-Quran. Setelah mendengarnya, Abdullah bin Ubai berkata: Wahai seseorang! Aku kira lebih baik kamu duduk di rumah saja sekiranya apa yang kamu katakan itu benar, maka janganlah kamu menyakiti kami di majlis kami sendiri. Pulanglah kamu ke rumahmu. Barangsiapa di antara kami yang datang kepadamu, maka ceritakanlah kepadanya. Seterusnya Abdullah bin Rawahah berkata: Sertailah majlis kami, sesungguhnya kami lebih menyukainya. Oleh itu orang-orang Islam sendiri, orang-orang musyrik dan juga orang-orang Yahudi yang hadir di dalam majlis tersebut semuanya mencaci maki Nabi s.a.w seolah-olah mereka mahu menerkam baginda. Namun begitu Nabi s.a.w tetap tenang dengan sikap dan karenah mereka. Sementara itu baginda tanpa banyak bicara terus menaiki kaldainya ke tempat Saad bin Ubadah, lalu Nabi s.a.w bersabda: Wahai Saad! Apakah kamu tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Abu Hubad beliau menyuruh Abdullah bin Ubai berkata begini dan begini? Saad bin Ubadah coba menghiburkan baginda dengan berkata: Maafkanlah beliau wahai Rasulullah! Maafkanlah beliau. Demi Allah, tuhan engkau (baginda) telah memberikan apa yang memang hendak Dia berikan kepada engkau (baginda). Sesungguhnya penduduk Madinah ini sudah ramai yang bergabung dan menaikkan engkau (baginda). Kalau sekiranya Allah menarik semula perkara itu dengan kebenaran yang telah Dia berikan kepada engkau, itu bererti ada yang masih belum sempurna. Nabi s.a.w dapat memahami ucapan Saad tersebut dan akhirnya baginda memaafkan perbuatan Abdullah bin Ubai.
1067 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Seorang sahabat berkata kepada Nabi s.a.w: Bagaimana kalau anda menemui terus Abdullah bin Ubai? Tanpa memberi sebarang jawapan, baginda terus berangkat menemui Abdullah bin Ubai dengan menaiki seekor kaldai dan diikuti oleh kaum muslimin. Kemudian mereka tiba di suatu kawasan tanah gersang, Rasulullah s.a.w terus menemui Abdullah, lalu Abdullah berkata kepada baginda: Jauhkan dirimu dariku, demi Allah sesungguhnya bau busuk kaldaimu menyakiti aku. Setelah mendengar kata-kata Abdullah tersebut seorang Sahabat dari kaum Ansar berkata: Demi Allah, sesungguhnya kaldai Rasulullah s.a.w lebih harum baunya jika dibandingkan dengan dirimu. Lalu seorang lagi dari kalangan Sahabat turut memarahi Abdullah, setelah itu seorang Sahabat Abdullah tidak berdiam diri, dia turut memarahi baginda. Sehingga terjadilah suatu pergaduhan (perang mulut) di antara kedua belah pihak. Bahkan masing-masing dari kedua belah pihak saling memukul antara satu sama lain, ada yang menggunakan pelepah tamar, menggunakan tangan dan ada juga yang menggunakan selipar. Kemudian turunlah firman Allah yang membicarakan tentang mereka Bermaksud: Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya.
1068 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika berlakunya peperangan Badar Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah yang berani menghalang perbuatan Abu Jahal terhadap kita? Maka Ibnu Mas'ud terus pergi mencarinya, setelah itu dia mendapati Abu Jahal telah dibunuh oleh kedua putera Afra' sehingga jatuh tersungkur ke tanah (tetapi masih hidup). Lalu Ibnu Mas'ud mendekati Abu Jahal dan memegang janggutnya sambil berkata: Adakah kamu Abu Jahal? Apakah orang lain yang lebih tinggi kedudukannya membunuhmu atau kaum kamu sendiri? Menurut Abu Mijlaz, ketika itu Abu Jahal berkata: Siapa lagi kalau bukan dua orang anak petani itu yang membunuhku.
1069 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bertanya kepada para Sahabatnya: Siapakah yang bersedia untuk membunuh Ka'ab bin Al Asyraf? Kerana dia telah menghina Allah dan RasulNya. Maka Muhammad bin Maslamah menjawab: Wahai Rasulullah! Adakah kamu setuju jika aku membunuhnya? Baginda menjawab: Ya! Kemudian beliau (Muhammad bin Maslamah) berkata: Izinkanlah aku terlebih dahulu untuk memberitahu sesuatu kepada mu. Baginda pun menjawab: Katakanlah! Maka beliaupun mendekati baginda dan membincangkan sesuatu. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Ka'ab pernah berhasrat mengeluarkan sedekah, akan tetapi dia menyusahkan kami. Setelah mendengar kata-kata baginda beliau begitu marah sekali. Lalu beliau berjanji akan membalas perbuatannya itu. Kebetulan pada masa itu beliau begitu akrab dengan Ka'ab. Satu hari beliau menemui Ka'ab dan berkata: Aku ingin kamu memberikan kepadaku suatu bentuk pinjaman. Lalu Ka'ab bertanya: Jadi apa yang akan kamu gadaikan kepadaku? Beliau menjawab: Apa yang kamu inginkan? Ka'ab menjawab: Aku ingin kamu gadaikan kepadaku perempuan-perempuan mu itu. Kemudian beliau menjawab: Kamu adalah bangsawan Arab, jadi adakah patut aku menggadaikan perempuan-perempuanku kepada kamu? Lalu Ka'ab berkata kepada beliau: Kalau begitu, kamu gadaikanlah anak-anakmu kepadaku. Maka beliau berkata: Aku tidak mungkin menggadaikannya kepadamu, sekiranya aku menggadaikannya kepadamu kami pula akan dicela kerana seolah-olah menggadai dua wasak (satu wasak bersamaan dengan enam puluh gantang) tamar sahaja. Oleh itu aku gadaikan senjataku kepadamu. Lalu Ka'ab berkata: Baiklah aku setuju. Lalu beliau berjanji kepada Ka'ab bahawa beliau akan datang menemuinya dengan ditemani oleh al-Haris, Abu Abas bin Jabir dan Abbad bin Bisyri. Setelah itu mereka berempat pergi menemui Ka'ab pada waktu malam, lalu Ka'ab turun menemui mereka. Mengikut kata Sufian, pada pendapat lain mengikut kata Amru bahawa isteri Ka'ab telah berkata kepada suminya itu: Sesungguhnya aku seperti mendengar suara orang yang ingin menumpahkan darah. Setelah mendengar kata-kata isterinya itu, lalu Ka'ab berkata: Tidak! Mereka hanyalah Muhammad bin Maslamah bersama saudara susuannya dan ditemani Abu Nailah. Sebagai memuliakan tetamu, aku harus menemani mereka walaupun pada waktu malam begini. Ketika Ka'ab masih di rumahnya itulah Muhammad menggunakan kesempatan tersebut untuk mengatur rancagan seterusnya. Sejurus kemudian Ka'ab pun keluar, setelah dia ditanya oleh mereka: Aku seperti mencium bau harum pada dirimu. Ka'ab menjawab: Memang! Kerana isteriku seorang perempuan Arab yang suka bersolek. Setelah itu Muhammad bin Maslamah berkata kepada Ka'ab: Izinkan aku mencium bau harum pada dirimu. Kaab berkata: Silakan! Maka beliaupun menciumnya, kemudian beliau meminta untuk menciumnya sekali lagi dengan berkata: Kalau boleh aku ingin menciumnya sekali lagi. Lalu dia menghulurkan kepalanya kepada beliau, ketika itulah beliau mengarahkan kawan-kawannya agar membunuh Ka'ab, maka merekapun membunuhnya.
1070 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar sekumpulan demi sekumpulan pada waktu malam, kemudian salah seorang dari kalangan pejuang bertanya kepada Amir bin al-Akwa' yang terkenal sebagai seorang penyair: Bolehkah kamu perdengarkan kepada kami alunan syairmu? Lalu Amir memenuhi permintaan itu dengan mengalunkan beberapa rangkap syairnya: bermaksud: Ya Allah! Sekiranya Engkau tiada nescaya kami tidak akan mendapat petunjuk. Tidak mungkin kami akan bersedekah dan bersembahyang. Sebagai balasan untuk Engkau, maafkanlah apa yang telah kami usahakan. Mantapkanlah langkah kami ketika bertemu musuh. Dan kurniakanlah kepada kami suatu ketenangan. Bila semboyang berkumandang kami segera maju. Oleh itu bantulah kami dalam peperangan. Setelah mendengar alunan syair tersebut, Rasulullah s.a.w terus bertanya: Siapakah orang yang mengalunkan syair tadi? Lalu para Sahabat sama-sama menjawab: Amir! Baginda pun mejawab: Mudah-mudahan Allah merahmatinya. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Dia akan mati syahid bila engkau memberi kesempatan kepadanya. Lalu kami semua menyerbu Khaibar dan mengepung penduduknya sehingga kami benar-benar kehausan. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Allah akan menundukkan Khaibar di tangan kamu semua. Pada waktu petangnya ketika Khaibar telah berjaya ditakluki, mereka telah menyalakan api yang besar, lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah tujuan mereka menyalakan api ini? Para Sahabat menjawab: Untuk membakar daging. Baginda bertanya lagi: Daging apa? Lalu para Sahabat menjawab: Daging kaldai-kaldai peliharaan. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Buang dan pecahkannya (tempat atau bekas yang digunakan). Kemudian seorang Sahabat bertanya: Bagaimana kalau bekas tersebut dibersihkan? Maka baginda pun menjawab: Atau begitu pun boleh juga. Ketika tentera muslimin telah berbaris dan bersedia untuk bertempur, Amir menghunus pedangnya tetapi tidak menepati sasaran, lalu dipegangnya betis seorang Yahudi untuk dibunuh, tetapi hujung pedangnya terbalik dan mencederakan lututnya (Amir) sendiri dan beliau telah gugur syahid. Mengikut riwayat, semasa perjalanan pulang Salamah berkata: Dia (saudara Amir bin al-Akwa') memegang tangan ku erat-erat, dia amat sedih dengan kehilangan saudaranya. Semasa Rasulullah s.a.w melihatku, baginda hanya terdiam sahaja, kemudian baginda bertanya: Apa hal? Aku menjawab: Ambilah ayah dan ibuku sebagai balasan sekiranya kata-kata ku ini salah, orang ramai menganggap Amir telah melakukan perbuatan yang sia-sia. Lalu baginda bertanya: Siapa yang berkata begitu? Akupun menjawab: Polan, Polan dan Usaid bin Hudair al-Ansari. Lalu baginda menjawab: Kata-kata orang tersebut adalah tidak benar, sesungguhnya dia mendapat dua ganjaran (sambil mengisyaratkannya dengan dua jari) yaitu sebagai seorang yang mentaati Allah dan juga sebagai seorang pejuang. Jarang sekali orang Arab yang bertempur mendapat ganjaran sepertinya.
1071 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Semasa berlaku peperangan Ahzab Rasulullah s.a.w turut sama mengangkut pasir atau tanah bersama-sama kami. Kemudian kami melihat perut baginda telah berlumuran debu dan baginda berkata: Bermaksud: Ya Allah! Sekiranya Engkau tiada nescaya kami tidak akan mendapat petunjuk. Tidak mungkin kami akan bersedekah dan bersembahyang. Turunkanlah kepada kami suatu ketenangan. Sesungguhnya dari kalangan mereka masih ada yang enggan bersama kami. Mengikut setengah riwayat beginda menyebut: Bermaksud: Sesungguhnya satu kaum enggan bersama kami. Apabila mereka ingin menimbulkan fitnah mereka enggan bersama kami. Baginda mengungkapkan kata-katanya dengan suara yang lantang.
1072 Diriwayatkan dari Sahl bin Sa'ad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mendatangi kami ketika kami sedang menggali parit dan memunggah pasir dengan memikulnya, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ya Allah! Tidak ada kehidupan yang kekal sama sekali kecuali kehidupan di Akhirat, oleh itu ampunilah orang-orang Muhajirin dan Ansar.
1073 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Yang bermaksud: Ya Allah! Tidak ada kehidupan yang kekal sama sekali kecuali kehidupan di Akhirat. Maka ampunkanlah orang-orang Ansar dan Muhajirin.
1074 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Sebelum azan Subuh dilaungkan aku telah keluar dari rumahku, manakala unta Rasulullah s.a.w yang sedang bunting masih dipelihara di Zi Qardi. Di pertengahan jalan aku telah bertemu dengan seorang budak yang bernama Abdul Rahman bin Auf, dia telah menceritakan kepada ku bahawa unta Rasulullah s.a.w yang sedang bunting itu telah diperah susunya (diambil orang). Maka aku berkata: Siapa yang melakukannya. Lalu dia menjawab: Bani Ghatafan. Menurut katanya (Salamah) lagi: Aku telah berteriak sebanyak tiga kali mudah-mudahan suaraku didengar oleh seluruh penduduk Madinah. Kemudian aku berkejar untuk mendapatkan mereka akhirnya aku mendapati mereka berada di daerah Zi Qardi berhenti untuk mengambil air, lalu aku memanah mereka sambil berkata kepada diriku sendiri: Bermaksud: Aku adalah putera al-Akwa' Dan hari ini adalah hari celaka. Setelah itu aku berkata kepada mereka dengan kata-kataku tadi dan akhirnya aku berjaya merampas kembali unta tersebut dari mereka dan juga tiga puluh bekas air. Setelah itu datanglah Nabi s.a.w bersama orang ramai, maka akupun berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berjaya menghalang mereka dari mendapatkan air. Sememangnya mereka sedang kehausan, jadi sekarang terserahlah kepada engkau. Setelah itu baginda pun berkata: Wahai Ibnu al-Akwa'! Walaupun kamu telah berjaya mengatasi musuh, tetapi berlembutlah terhadap mereka. Menurut katanya lagi: Aku telah dipelawa oleh Rasulullah s.a.w menunggang untanya sehingga kami tiba di Madinah.
1075 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah berperang bersama Ummu Sulaim dan beberapa orang perempuan Ansar. Mereka ditugaskan memberi minum dan mengubati tentera yang tercedera.
1076 Diriwayatkan dari Buraidah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menyertai peperangan sebanyak sembilan belas kali dan baginda turut bertempur sebanyak lapan kali.
1077 Diriwayatkan dari Salamah r.a katanya: Aku pernah menyertai peperangan bersama Rasulullah s.a.w sebanyak tujuh kali dan aku memimpin peperangan sebanyak sembilan kali. Aku juga pernah menyertai pasukan Abu Bakar dan Usamah bin Zaid.
1078 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Kami telah keluar berperang bersama Rasulullah s.a.w, bilangan kami adalah seramai enam orang. Ketika itu kami hanya membawa seekor unta dan menunggangnya secara bergilir-gilir, kadang-kadang tapak kaki kami termasuk kaki ku sendiri terluka akibat perjalanan tanpa memakai alas kaki sehingga kuku kakiku tercabut. Lalu kami membalutnya dengan cebisan kain. Setelah itu peperangan tersebut telah dinamakan dengan peperangan Zatu ar-Riqa', kerana sepanjang peperangan tersebut kami berperang dalam keadaan kaki yang berbalut dengan cebisan kain.

IMARAH (KEPEMIMPINAN)
1079 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia telah mengikut kaum Quraisy samada berbentuk kebaikan atau keburukan, keislaman mereka adalah mengikut keislaman kaum Quraisy dan begitu juga dengan kekufuran mereka adalah mengikut kekufuran kaum tersebut.
1080 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Masalah ini masih berterusan di kalangan kaum Quraisy, manusia telah menjadi dua golongan yaitu golongan kafir dan Islam.
1081 Diriwayatkan dari Jabir bin Samurah r.a katanya: Aku bersama ayahku telah masuk mengadap Nabi s.a.w, lalu aku mendengar baginda bersabda: Sesungguhnya permasalahan ini tidak akan selesai dan akan berterusan sehingga ke zaman dua belas orang Khalifah. Menurut katanya lagi, kemudian baginda berbisik-bisik denganku, lalu aku bertanya ayahku: Apakah yang telah diberitahu oleh baginda. Katanya: Baginda telah bersabda bahawa kedua belas orang khalifah tersebut adalah berasal dari kaum Quraisy.
1082 Hadits Umar r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Umar telah ditanya: Mengapa anda tidak memohon jawatan Khalifah? Ayahku menjawab: Sekiranya aku meminta untuk menjadi khalifah nescaya orang yang lebih baik dari aku yaitu Abu Bakar telah melakukannya. Tapi jika aku membiarkan urusan pemerintahan ini kepada mu nescaya orang yang lebih baik dari aku yaitu Rasulullah s.a.w telah meninggalkan urusan pemerintahannya kepadamu. Menurut Abdullah lagi: Aku telah mengetahui bahawa Umar tidak meminta untuk menjadi khalifah ketika beliau menyebut nama Rasulullah s.a.w.
1083 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Aku menemui Nabi s.a.w bersama dengan dua orang lelaki dari keluarga bapa saudaraku. Salah seorang warisku itu berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah aku jawatan untuk mengurus (memimpin) sebahagian dari perkara yang diberikan oleh Allah kepada mu. Begitu juga waris ku seorang lagi mengajukan permohonan yang sama, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku tidak akan memberikan pekerjaan ini kepada orang yang memintanya, apatah lagi kepada orang yang tamak padanya.
1084 Hadits Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Nabi s.a.w katanya: Baginda telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.
1085 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berada bersama kami, baginda menceritakan tentang orang yang suka menipu dan khianat dengan begitu serius. Kemudian baginda bersabda: Pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor unta yang sedang melenguh di atas tengkoknya dan berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untukmu, semuanya telah aku sampaikan kepadamu. Pada Hari Kiamat nanti, aku juga akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor kuda yang sedang meringik di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Seterusnya pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor kambing yang sedang mengembek di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Begitu juga pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seorang manusia yang sedang menjerit di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Pada Hari Kiamat nanti, aku juga akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan membawa secebis pakaian yang compang-camping di atas tengkoknya dan dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Begitu juga pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul sejumlah harta terdiri dari emas dan perak di atas tengkoknya dan berkata: Wahai Rasulullah! Tologlah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya telah aku sampaikan kepadamu.
1086 Diriwayatkan dari Abu Humaid as-Saaidi r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah memberi tugas kepada seorang lelaki dari Kaum al-Asad yang dikenali sebagai Ibnu Lutbiyah. Mengikut Amru dan Ibnu Abu Umar adalah untuk urusan sedekah. Setelah kembali dari menjalankan tugasnya, lelaki tersebut berkata kepada Rasulullah s.a.w: Ini untuk baginda dan ini pula untukku kerana sememangnya ia akan dihadiahkan kepadaku. Setelah mendengar kata-kata tersebut, lalu Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar. Setelah mengucapkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Adakah patut seorang petugas yang aku kirim untuk menguruskan suatu tugas berani berkata: Ini untuk anda dan ini pula untukku kerana sememangnya ia akan dihadiahkan kepdaku? Bukankah dia duduk di rumah bapa atau ibunya (tanpa memegang sebarang jawatan) dan perhatikan adakah dia akan dihadiahkan sesuatu atau tidak. Demi Zat Muhammad yang berada di dalam kekuasaan Allah, jika salah seorang di antara kamu yang memperolehi sesuatu dari hasil sedekah, maka pada Hari Kiamat kelak dia akan datang dengan memikul seekor unta yang sedang melenguh atau seekor lembu atau seekor kambing yang mengembek di atas tengkoknya. Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya tinggi-tinggi sehingga ternampak kedua ketiaknya yang putih dan bersabda: Ya Allah! Bukankah aku telah sampaikannya sebanyak dua kali.
1087 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Telah turun ayat Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Rasul serta pemimpin dari kalangan kamu. Ayat tersebut ditujukan kepada Abdullah bin Huzafah bin Qais bin Adi as-Sahmi yang telah diutuskan oleh Nabi dalam satu peperangan yang tidak sertai oleh baginda.
1088 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhakai pemerintah maka dia telah menderhakai aku.
1089 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya.
1090 Diriwayatkan dari Saidina Ali k.w katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah mengutus satu pasukan tentera dan baginda telah melantik seorang lelaki sebagai pemimpin tentera itu. Lelaki tersebut telah menghidupkan api dan berkata: Kamu semua masuk ke dalam api itu. Maka sebahagian dari tentera ingin memasuki ke dalam api tersebut dan sebahagian dari tentera yang lain berkata: Kami telah melarikan diri darinya. Perkara itu dilaporkan kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda kepada orang-orang yang ingin memasuki api tersebut: Sekiranya kamu memasukinya nescaya kamu akan terus berada di dalamnya sehingga Hari Kiamat dan Nabi berkata kepada pihak satu lagi dengan kata-kata yang baik serta bersabda: Jangan mentaati perintah untuk melakukan maksiat kepada Allah tetapi taatilah dalam perkara kebaikan.
1091 Hadits Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang imam (pemimpin) itu merupakan pelindung. Dia bersama pengikutnya memerangi orang kafir dan orang zalim serta memberi perlindungan kepada orang-orang Islam. Sekiranya dia menyuruh supaya bertaqwa kepada Allah dan berlaku adil maka dia akan mendapat pahala, akan tetapi sekiranya dia menyuruh selain dari yang demikian itu, pasti dia akan menerima akibatnya.
1092 Hadits Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Segala urusan pengikut Bani Israel akan diatur oleh para Nabi. Apabila seseorang Nabi itu meninggal dunia, dia akan digantikan oleh seorang Nabi yang lain. Tetapi sesungguhnya tidak akan ada Nabi selepasku. Pada suatu ketika nanti akan muncul Kalifah. Para Sahabat bertanya: Apakah yang anda perintahkan kepada kami? Nabi s.a.w menjawab: Patuhilah perlantikan khalifah yang pertama, kemudian yang seterusnya. Penuhilah hak-hak mereka, sesungguhnya Allah akan menanyakan tentang apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
1093 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sepeninggalanku nanti akan muncul pemimpin-pemimpin yang kamu tidak sukai. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah yang anda akan perintahkan sekiranya perkara itu terjadi kepada kami? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Penuhilah kewajiban yang telah diberikan kepada kamu dan pohonlah hak kamu kepada Allah.
1094 Diriwayatkan dari Usaid bin Hudhair r.a katanya: Seorang lelaki dari kaum Ansar telah mengadap Rasulullah s.a.w secara bersendirian lalu dia berkata: Kenapa engkau tidak menugaskan aku sebagaimana engkau telah tugaskan Si Polan? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Sesungguhnya kamu akan bertemu pemimpin yang mementingkan diri sendiri serta bongkak sepeninggalanku nanti, maka hendaklah kamu bersabar sehingga kamu menemui aku di perigi (dalam Surga).
1095 Diriwayatkan dari Huzaifah bin al-Yaman r.a katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Yaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggalah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.
1096 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendapati pemimpinnya melakukan perkara yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bersabar sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jemaah satu jengkal, maka matinya adalah dikira mati dalam keadaan jahiliah.
1097 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Ketika peperangan Hudaibiah bilangan kami seramai satu ribu empat ratus orang, kami telah membuat perjanjian taat setia dengan Rasulullah s.a.w. Umar telah mengambil tangannya (berjanji) di bawah sepohon pokok yang bernama Samurah. Jabir berkata lagi: Kami tidak berjanji setia dengan Rasulullah untuk mati tetapi untuk tidak lari dari medan pertempuran.
1098 Hadits Musayyab bin Hazni r.a: Diriwayatkan dari Said bin al-Musayyab katanya: Ayahku merupakan salah seorang di antara orang yang berjanji setia dengan Rasulullah s.a.w di bawah sepohon pokok. Beliau menyambung lagi, tahun berikutnya kami telah pergi menunaikan haji, tetapi kami sudah tidak mengenali tempat perjanjian tersebut, sekiranya pokok itu ada nescaya kamu akan mengenalinya.
1099 Hadits Salamah r.a. Diriwayatkan dari Yazid bin Abu Ubaid katanya: Aku telah bertanya Salamah: Untuk apakah kamu berikrar setia bersama Rasulullah s.a.w pada hari perjanjian Hudaibiah? Salamah menjawab: Untuk mati.
1100 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid r.a katanya: Seorang telah datang kepadanya dan berkata: Itulah dia Ibnu Hanzalah yang telah berjanji setia dengan manusia. Abdullah bin Zaid bertanya: Untuk apa? Orang itu menjawab: Untuk mati. Abdullah bin Zaib berkata: Aku tidak akan berjanji setia untuk mati dengan sesiapa pun selepas dari Rasulullah s.a.w.
1101 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Beliau telah datang menemui al-Hajjaj, lalu beliau ditanya: Wahai Ibnu al-Akwa'! Kenapa kamu pulang semula? Adakah kamu masih ingin tinggal di negerimu? Salamah menjawab: Tidak! Tetapi Rasulullah s.a.w yang mengizinkan aku pulang ke kampong.
1102 Diriwayatkan dari Mujasyik bin Mas'ud as-Sulami r.a katanya: Aku berjumpa Nabi s.a.w untuk berikrar setia dengan baginda untuk sama-sama berhijrah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Hijrah telah berlalu, tetapi ikrar setia yang masih boleh dilakukan ialah terhadap Islam, jihad dan melakukan kebaikan.
1103 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Pada hari pembukaan yaitu pembukaan Kota Mekah Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada Hijrah selepas pembukaan Kota Mekah. Yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu diminta untuk keluar berjihad, maka lakukanlah.
1104 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w ditanya tentang Hijrah. Beliau menjawab dengan bersabda: Tidak ada Hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu diminta berjihad, maka lakukanlah.
1105 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Seorang arab yang berasal dari pedalaman bertanya Rasulullah s.a.w mengenai Hijrah. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Mengapa kamu bertanya demikian, sesungguhnya Hijrah itu sangat berat. Adakah kamu mempunyai unta? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Adakah kamu akan menjadikannya sebagai sedekah? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Lakukanlah di belakang kampung. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan amalanmu.
1106 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi katanya: Apabila wanita-wanita mukmin berhijrah kepada Rasulullah s.a.w mereka akan dijanjikan oleh Allah sebagaimana firmanNya: Yang bermaksud: Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepada kamu untuk memberikan pengakuan taat setia bahawa mereka tidak akan mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun dan mereka tidak akan mencuri serta tidak akan berzina. Sehinggalah ke akhir ayat. Saidatina Aisyah berkata: Sesiapa yang berikrar setia dengan wanita-wanita beriman tersebut sudah pasti dia akan berikrar setia mengikut tuntutan syarak. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai berikrar setia, baginda bersabda kepada mereka: Beredarlah kerana aku telah berikrar setia kepada kalian semua. Demi Allah, semasa Rasulullah s.a.w berikrar setia, baginda tidak menyentuh sama sekali tangan wanita-wanita tersebut. Baginda hanya melakukan ikrar setia dengan ucapan sahaja. Saidatina Aisyah r.a berkata: Demi Allah, Rasulullah s.a.w tidak sekali-kali menuntut keperluannya semasa ikrar terhadap wanita-wanita tersebut melainkan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Baginda juga tidak sekali-kali bersalaman dengan wanita-wanita tersebut sebaliknya baginda bersabda kepada mereka: Aku telah berikrar setia kepada kamu dengan ucapan.
1107 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Kami telah berikrar setia kepada Rasulullah s.a.w untuk tunduk dan taat. Beliau bersabda kepadaku: Yaitu sekadar yang kamu mampu.
1108 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Aku pernah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w untuk sama-sama berperang dalam peperangan Uhud. Pada saat itu aku baru berumur empat belas tahun, namun baginda tidak memperkenankan aku. Aku kemukakan lagi cadangan tersebut untuk sama-sama bertempur dalam peperangan Khandaq, lalu baginda memperkenankan. Pada saat itu aku sudah berumur lima belas tahun.
1109 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang seseorang bermusafir ke negeri musuh dengan membawa al-Quran.
1110 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berlumba kuda dengan para Sahabatnya. Pada suatu ketika baginda menunggang kuda yang telah dilengkapkan dengan pelana bermula dari daerah Hafya' dan berakhir di lembah Wada' manakala suatu ketika yang lain pula baginda menunggang kuda yang tidak dilengkapi dengan pelana, bermula dari lembah Wada' dan berakhir di masjid Bani Zuraik.
1111 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Pada ubun-ubun kuda itu terdapat kebaikan sehingga ke Hari Kiamat.
1112 Diriwayatkan dari Urwah al-Bariqi r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Pada ubun-ubun kuda itu terdapat kebaikan sehingga ke Hari Kiamat, yaitu pahala dan ghanimah (harta rampasan).
1113 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Keberkatan itu terdapat pada ubun-ubun kuda.
1114 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah akan memberi jaminan kepada orang-orang yang keluar (berjuang) di jalanNya. Sesungguhnya orang yang keluar untuk berjihad hanya kerana iman dan ikhlas kepada Allah, maka Allahlah yang akan memberi jaminan untuk memasukkannya ke dalam Surga atau akan mengembalikannya semula ke rumah, beliau juga keluar dengan memperolehi pahala atau harta rampasan. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya. Pada setiap bahagian tubuh yang terluka di jalan Allah akan diperlihatkan olehNya pada Hari Kiamat. Ketika beliau terluka warna darah dan baunya adalah seperti minyak kasturi. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya, jika peperangan itu memang tidak berat bagi kaum muslimin, tentunya aku tidak akan meninggalkan pasukan yang turut berperang pada jalan Allah tetapi aku sendiri tidak mampu memberikan kenderaan kepada mereka dan keadaan mereka sendiri juga seperti diriku yang tidak mampu. Mereka sendiri sebenarnya masih merasa keberatan dan tidak dapat berangkat bersamaku. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya. Sesungguhnya aku lebih suka seandainya aku berperang di jalan Allah lalu terbunuh, lalu aku dihidupkan kemudian berperang lagi dan terbunuh, kemudian aku dihidupkan dan berperang lagi dan akhirnya terbunuh lagi.
1115 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Setiap jiwa yang mati akan beroleh kebajikan di sisi Allah. Dia (jiwa tersebut) amat menyenangi seandainya beliau dapat kembali semula ke dunia, sekalipun beliau tidak mendapat apa-apa bahagian terhadap dunia dan isinya kecuali sebagai orang yang mati syahid. Sesungguhnya beliau berharap dapat kembali semula ke dunia lalu terbunuh, lantaran mengingatkan kelebihan mati syahid yang beliau lihat.
1116 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah ditanya: Apakah yang dapat dibandingkan dengan jihad pada jalan Allah? Nabi s.a.w menjawab: Kamu tidak akan sanggup melakukannya. Pertanyaan tersebut diulang sehingga dua atau tiga kali. Tetapi baginda masih menjawab: Kamu tidak akan sanggup melakukannya. Pada kali yang ketiganya baginda bersabda: Perumpamaan orang yang berjihad pada jalan Allah samalah seperti seorang yang selalu berpuasa dan selalu melakukan ibadat malam serta taat kepada ayat-ayat Allah. Beliau tidak merasa letih dari puasa dan sembahyangnya sehinggalah orang yang berjihad pada jalan Allah itu kembali.
1117 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya keluar berjuang di jalan Allah sepagi atau sepetang adalah lebih baik dari dunia dan isinya.
1118 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad As-Saa'idi r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sepagi atau sepetang yang digunakan oleh seorang hamba untuk berjuang di jalan Allah adalah lebih baik dari dunia dan isinya.
1119 Diriwayatkan dari Abu Ayyub r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sepagi atau sepetang berada di jalan Allah adalah lebih baik dari apa yang telah diterbit dan diterbenamkan oleh matahari.
1120 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada Nabi s.a.w dan bertanya: Siapakah orang yang paling baik dari kalangan manusia? Nabi s.a.w menjawab: Seseorang yang berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwanya. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Nabi s.a.w menjawab: Seorang mukmin yang berada di kaki bukit dan beribadat kepada Allah serta menjauhkan manusia dari kejahatannya.
1121 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tersenyum (reda) terhadap dua orang lelaki, salah seorang darinya membunuh yang seorang lagi namun kedua-duanya dimasukkan ke dalam Surga. Para Sahabat bertanya: Bagaimana boleh terjadi begitu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Seseorang yang ikut berperang pada jalan Allah lalu beliau mati syahid, kemudian orang yang membunuh tadi telah bertaubat dan Allah telah menerima taubatnya. Setelah memeluk Islam beliau juga turut keluar berperang pada jalan Allah, kemudian beliau juga mati syahid.
1122 Diriwayatkan dari Zaid bin Khalid al-Juhani r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membantu menyiapkan persiapan kepada orang yang berperang pada jalan Allah maka samalah halnya dengan beliau turut berperang dan sesiapa yang menjaga atau memerhatikan keluarga yang ditinggalkannya dengan baik maka bererti beliau juga telah ikut berperang.
1123 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Ketika diturunkan ayat Yang bermaksud: Tidak akan sama di antara orang mukmin yang tidak ikut berperang tanpa mengalami keuzuran dengan orang yang berjihad di jalan Allah. Rasulullah s.a.w menyuruh Zaid untuk mengambil catatan yang ditulisnya. Ibnu Ummu Maktum mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang penglihatan yang dideritainya (buta). Maka turunlah ayat berikut: Yang bermaksud: Tidak akan sama di antara orang mukmin yang duduk (tidak ikut berperang) tanpa ada keuzuran.
1124 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, sekiranya aku terbunuh di manakah aku akan di tempatkan? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Di dalam Surga. Lelaki itu kemudiannya melemparkan beberapa biji kurma yang berada di tangannya, lalu beliau terus berjuang sehingga beliau mati syahid dan di dalam Hadits Suwaid lelaki tersebut berkata kepada Rasulullah s.a.w pada Hari peperangan Uhud.
1125 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Seorang lelaki dari Bani Nabit dari golongan Ansar datang kepada Nabi s.a.w lalu mengucapkan: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya anda (baginda) adalah hamba dan utusanNya. Kemudian beliau ikut berperang sehinggalah beliau terbunuh. Nabi s.a.w bersabda: Amalan lelaki ini tidak seberapa, tetapi pahalanya sungguh besar dan banyak.
1126 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Bapa saudaraku yang bernama Anas bin An-Nadhr tidak termasuk dalam golongan mereka yang turut berperang dalam peperangan Badar bersama dengan Rasulullah s.a.w. Beliau dengan nada menyesal berkata: Pemandangan yang pertama dilihat oleh Rasulullah ialah ketiadaannya. Sekiranya Allah memperlihatkan sesuatu kepadaku selepas itu bersama dengan Rasulullah nescaya apa yang aku lakukan dilihatNya. Disebabkan dari penyesalan itulah, maka pada peperangan Uhud bapa saudaraku turut berperang bersama dengan Rasulullah s.a.w. Anas berkata: Lalu Saad bin Muaz datang untuk berjumpanya dan Anas bertanya: Wahai Abu Amru! Di mana bapa saudaramu? Aku menjawab bahawa beliau sedang mengejar bau Surga yang akan diperolehinya di Bukit Uhud ketika berperang melawan pasukan Musyrikin dan akhirnya bapa saudaraku gugur syahid. Pada tubuhnya terdapat lebih dari lapan puluh kesan luka bekas terkena senjata tombak, panah dan sebagainya. Saudara kandung perempuan bapa saudaraku yaitu ar-Rubai' binti Nadhir, beliau adalah emak saudaraku berkata: Aku tidak mengenali saudaraku ini kecuali perut-perut jarinya. Kemudian turun ayat berikut: Yang bermaksud: Di antara orang-orang mukmin itu ada orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada pula yang tertunggu-tunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya. Menurut mereka, ayat ini turun mengenai peristiwa tersebut.
1127 Diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy'ari r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki desa yaitu Arab desa datang kepada Nabi s.a.w dan bertanya: Wahai Rasulullah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejantanannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk melihat kemampuannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah? Rasulullah s.a.w menjawab: Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimat Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.
1128 Diriwayatkan dari Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka Hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya maka Hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.
1129 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menemui Ummu Haram binti Milhan. Baginda dijamu makanan. Ummu Haram adalah isteri kepada Ubadah bin As-Somit. Suatu hari Rasulullah s.a.w menemuinya (Ummu Haram) lalu menjamu baginda makan. Kemudian beliau duduk sambil menundukkan kepala. Sementara itu Rasulullah s.a.w tertidur, kemudian baginda terjaga sambil tersenyum. Beliau (Ummu Haram) bertanya: Apakah yang membuatkan engkau tersenyum, wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Beberapa orang dari umatku menawarkan diri untuk berperang di jalan Allah. Mereka menaiki kapal di tengah lautan menuju kepada raja-raja yang zalim. Ummu Haram berkata: Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah semoga Dia (Allah) menjadikan aku dari kalangan mereka. Baginda pun berdoa untuk mereka. Setelah itu baginda merebahkan kepala lalu tidur. Kemudian baginda bangkit sambil tersenyum. Ummu Haram bertanya: Apakah yang membuatkan engkau tersenyum, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Beberapa orang dari ummatku menawarkan diri untuk berperang di jalan Allah seperti yang pertama tadi. Ummu Haram berkata: Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Baginda lalu bersabda: Kamu adalah termasuk yang pertama dari mereka. Ummu Haram binti Milhan turut mengharungi lautan sewaktu pemerintahan Muawiah. Sekembali dari laut, beliau terjatuh dari tunggangan lalu meninggal dunia.
1130 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan, dia mendapati sebatang dahan berduri lalu membuangnya. Allah berterima kasih padanya dan mengampuninya. Baginda bersabda lagi: Mereka yang mati syahid itu ada lima golongan: Mereka yang mati kerana taun, mereka yang mati kerana sakit di dalam perut, mereka yang mati lemas, mereka yang mati di bawah runtuhan bangunan dan mereka yang mati kerana berjuang di jalan Allah.
1131 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Mati kerana penyakit taun merupakan syahid bagi setiap orang muslim.
1132 Diriwayatkan dari al-Mughirah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Satu kaum dari umatku akan sentiasa membela manusia sehinggalah ke Hari Kiamat mereka akan tetap bersikap begitu (memperjuangkannya).
1133 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perjalanan musafir termasuk dari kesiksaan yang menghalangi seseorang di antara kamu untuk tidur, makan dan minum. Apabila seseorang dari kamu telah menyelesaikan urusannya, hendaklah segera menemui ahli keluarganya.
1134 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w tidak pernah mendatangi keluarganya pada waktu malam, baginda biasanya mendatangi mereka pada waktu pagi atau waktu petang.

BINATANG BURUAN
1135 Diriwayatkan dari Adiy bin Hatim r.a katanya: Wahai Rasulullah, aku telah melepaskan anjing-anjing yang sudah terlatih untuk berburu, anjing-anjing tersebut membawa binatang buruan itu kepadaku. Aku telah pun membaca Bismillah (menyebut nama Allah) padanya. Baginda bersabda: Apabila kamu menyuruh anjingmu yang telah terlatih dan kamu telah pun menyebut nama Allah atasnya, maka makanlah binatang buruan itu. Aku bertanya: Sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya? Baginda menjawab: Ya, sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya jika tidak ada anjing lain yang turut bersamanya. Aku bertanya lagi kepada baginda: Bagaimana jika aku memburu binatang dengan menggunakan panah lalu terkena tidak melalui matanya. Baginda menjawab: Apabila kamu memburu dengan menggunakan panah lalu terkena melalui matanya, maka makanlah. Tetapi jika terkena dari bahagian belakangnya (bukan dengan matanya) maka janganlah kamu makan.
1136 Diriwayatkan dari Abu Sa'labah al Khusyani r.a katanya: Aku telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, kami tinggal di bumi satu kaum dari kalangan Ahli Kitab. Kami makan dengan menggunakan bekas mereka dan di situ aku berburu. Aku berburu dengan menggunakan panah, terkadang dengan menggunakan anjingku yang telah terlatih dan terkadang pula dengan menggunakan anjingku yang tidak terlatih. Ceritakanlah kepadaku apa yang halal untuk kami dari semua itu. Baginda bersabda: Apa yang kamu katakan bahwa kamu tinggal di negeri kaum Ahli Kitab lalu kamu makan dengan menggunakan bekas mereka, sekiranya kamu boleh dapati selain dari bekas mereka, janganlah kamu makan di dalam bekasnya. Kalau kamu tidak dapati selainnya, basuhlah dahulu dan makanlah di dalam bekasnya. Mengenai kamu berburu di tanah pemburuan, apa yang kamu lontar dengan panah sebutlah nama Allah kemudian makanlah dan mengenai hasil buruan yang kamu dapatkan dengan menggunakan anjingmu yang telah terlatih, sebutlah nama Allah kemudian makanlah. Adapun hasil buruan yang kamu dapatkan dengan menggunakan anjingmu yang tidak terlatih, jika kamu dapat menyembelihnya, maka makanlah.
1137 Diriwayatkan dari Abu Sa'labah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila kamu melontar anak panahmu pada binatang buruan, lalu hilang kemudian kamu menemuinya, maka makanlah selagi tidak berbau busuk.
1138 Diriwayatkan dari Abu Sa'labah r.a katanya: Nabi s.a.w melarang dari memakan setiap binatang buas yang bertaring.
1139 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menghantar kami dengan diketuai oleh Abu Ubaidah untuk menemui kafilah atau rombongan kaum Quraisy yang membawa bekalan makanan untuk kami dengan sebekas kurma dan tiada bekalan untuk kami selainnya. Abu Ubaidah hanya memberikan kepada kami sebiji kurma seorang. Aku bertanya: Bagaimana kamu semua buat? Beliau menjawab: Kami menghisapnya seperti seorang bayi kemudian meminum air, ia cukup untuk hari tersebut hingga ke malamnya. Selebihnya kami terpaksa mencari daun kayu dengan menggunakan tongkat kami. Daun tersebut kami basahi atau kami campur dengan air lalu kami memakannya, kemudian kami menuju ke tepi laut. Di pantai tersebut kami melihat seperti setompok pasir yang agak besar. Apabila kami mendekatinya kami dapati ianya seekor binatang yang dinamakan Anbar (ikan panjang dan berkepala lebar atau ikan paus). Beliau (Perawi) berkata: Abu Ubaidah mengatakan ianya sudah menjadi bangkai. Kemudian beliau berkata: Tidak, kita adalah utusan Rasulullah s.a.w yang sedang berada di jalan Allah, kerana terpaksa kamu boleh memakannya. Beliau menambah: Kami mengambil masa selama sebulan dengan jumlah kami kesemuanya tiga ratus orang sehingga kami menjadi gemuk. Beliau menambah lagi: Aku mencadangkan agar kami mencedok minyak dengan menebuk matanya menggunakan satu pembuluh besar dan kami memotong dagingnya seperti lembu atau seperti daging lembu. Abu Ubaidah telah memerintahkan tiga belas orang di antara kami untuk menebuk mata dan dia telah mengambil salah satu dari tulang rusuknya, maka merekapun melakukannya kemudian membawanya dengan unta yang paling besar yang ada pada kami dengan menanggungnya. Lalu kami membawa bekalan daging dan memasakkannya separuh masak. Manakala kami tiba di Madinah, kami menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan pengalaman tersebut kepada baginda. Baginda bersabda: Itu adalah rezeki yang diberikan oleh Allah kepadamu. Adakah kamu masih mempunyai sebahagian dagingnya untuk kami makan? Lalu kami mengirimkan daging ikan tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan baginda pun memakannya.
1140 Diriwayatkan dari Abu Sa'labah r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengharamkan daging kaldai peliharaan.
1141 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang dari memakan daging kaldai peliharaan.
1142 Hadits Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan dari Asy-Syaibani katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa r.a mengenai daging kaldai peliharaan. Beliau menjawab: Pada hari Khaibar kami telah dilanda kelaparan dan waktu itu kami bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Kami mendapatkan beberapa ekor kaldai dari luar Madinah lalu menyembelihnya. Ketika periuk-periuk kami yang berisikan binatang tersebut sudah hampir masak, tiba-tiba juru seru Rasulullah s.a.w menyeru agar kami mematikan api periuk-periuk tersebut dan jangan memakan daging kaldai itu sedikit pun. Aku bertanya: Bagaimanakah pengharamannya? Katanya: Kami telah berbincang sesama kami dan kami katakan pengharaman tersebut adalah pasti dan sebab pengharamannya adalah ia tidak boleh dibahagi lima.
1143 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku tidak tahu samada Rasulullah s.a.w melarangnya kerana binatang tersebut merupakan binatang pengangkut barang bagi manusia dan mereka tidak suka jika binatang seperti itu hilang atau mungkin juga diriwayatkan baginda mengharamkan daging kaldai pada hari Khaibar hanya bagi kaldai peliharaan.
1144 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Aku turut bersama-sama Rasulullah s.a.w ke Khaibar. Kemudian Allah perkenankan penaklukan tersebut bagi kaum muslimin. Pada petang hari penaklukan tersebut, orang-orang muslimin menyalakan api yang besar. Rasulullah s.a.w bertanya: Api apakah itu dan untuk apa mereka menyalakannya? Mereka menjawab: Untuk memasak daging. Rasulullah s.a.w bertanya: Daging apa? Mereka menjawab: Daging kaldai peliharaan. Rasulullah s.a.w bersabda: Buanglah masakan itu dan pecahkan periuknya. Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Kami akan membuang dan membersihkannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Begitu juga boleh.
1145 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w telah berjaya menakluki Khaibar kami mendapatkan beberapa ekor kaldai di luar kampung lalu kami memasaknya. Juru seru Rasulullah s.a.w menyeru: Tidakkah Allah dan RasulNya telah melarang kamu dari memakan binatang tersebut? Ianya adalah kotor dan termasuk dari perbuatan syaitan, lalu periuk-periuk berisi masakan yang telah mendidih tersebut pun diterbalikkan.
1146 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang pada hari Khaibar dari memakan daging kaldai peliharaan dan mengizinkan memakan daging kuda.
1147 Diriwayatkan dari Asma' r.a katanya: Kami telah menyembelih seekor kuda pada zaman Rasulullah s.a.w lalu kami memakannya.
1148 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w pernah ditanya mengenai dhab. Baginda menjawab dengan bersabda: Aku tidak memakannya tetapi aku tidak mengharamkannya.
1149 Hadits Khalid bin al Walid r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a katanya: Khalid bin al-Walid bersama Rasulullah s.a.w masuk ke rumah Maimunah isteri Nabi s.a.w yang juga emak saudaranya (khalid) dan Ibnu Ibbas. Di rumah Maimunah terdapat daging dhab yang dipanggang telah disediakan oleh saudaranya bernama Hufaidah binti al-Haris dari Najd. Daging itu kemudian dihulurkan kepada Rasulullah s.a.w dan jarang sekali dihulurkan makanan kepada baginda tanpa memberitahu terlebih dahulu tentangnya. Rasulullah s.a.w lalu menghulurkan tangan pada dhab tersebut. Seorang wanita yang juga bertamu di situ berkata: Beritahulah Kepada Rasulullah s.a.w apa yang kamu berikan kepada baginda itu. Mereka lalu mengatakan: Itu adalah daging dhab wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w menarik kembali tangannya. Kemudian Khalid bin al-Walid bertanya: Haramkah dhab itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Tetapi ia tidak terdapat di bumi kaumku lalu aku merasa jijik. Khalid berkata: Aku mengambil lalu memakannya, Rasulullah s.a.w melihatnya tetapi tidak melarang kami.
1150 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Emak saudaraku Ummu Hufaid telah menghadiahkan kepada Rasulullah s.a.w minyak sapi, keju dan daging dhab. Baginda memakan minyak sapi dan keju dan meninggalkan daging dhab kerana merasa jijik. Lalu hidangan yang disediakan untuk Rasulullah s.a.w telah dimakan. Sekiranya haram tentu hidangan untuk Rasulullah s.a.w itu tidak akan dimakan.
1151 Diriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa r.a katanya: Kami telah ikut berperang bersama Rasulullah s.a.w sebanyak tujuh kali dan kami pernah memakan belalang.
1152 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Ketika kami berjalan melalui Daerah az-Zahran tiba-tiba kami dikejutkan oleh seekor arnab lalu kami mengejarnya sehinggga penat. Katanya lagi: Aku telah mengejarnya sehingga dapat menangkapnya. Aku pun membawanya kepada Abu Talhah lalu beliau menyembelihnya. Beliau mengirimkan kaki dan kedua pahanya kepada Rasulullah s.a.w lalu aku pun membawanya kepada Rasulullah s.a.w dan baginda menerimanya.
1153 Hadits Abdullah bin al-Mughaffal r.a: Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah katanya: Abdullah bin al-Mughaffal melihat seorang teman lelakinya sedang melastik dengan batu lalu beliau berkata: Jangan melastik dengannya kerana Rasulullah s.a.w tidak suka atau melarang melastik. Alat tersebut tidak boleh digunakan untuk berburu binatang buruan dan tidak boleh mencedera atau membunuh musuh, tetapi ia boleh memecahkan gigi dan mencungkil mata. Kemudian beliau melihatnya masih lagi melastik lalu berkata: Aku ingin beritahu engkau bahawa Rasulullah s.a.w tidak suka atau melarang dari melastik dengannya kemudian jika aku masih melihat kamu melastik, aku tidak akan beritahumu kalimah begini dan begini.
1154 Hadits Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang dari mengurung binatang ternakan.
1155 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Suatu hari Ibnu Umar berjalan melalui sekumpulan lelaki yang sedang mengurung seekor ayam untuk mereka panah. Apabila mereka melihat Ibnu Umar, mereka berhenti dari melakukannya. Lalu Ibnu Umar bertanya: Siapa yang melakukannya? Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknati mereka yang melakukannya.
KORBAN
1156 Diriwayatkan dari Jundab bin Sufian r.a katanya: Aku pernah menyaksikan sembelihan korban sewaktu bersama Rasulullah s.a.w sebelum menunaikan sembahyang dan apabila selesai sembahyang dengan memberi salam, baginda mendapati daging korban telah disembelih sebelum selesai menunaikan sembahyang. Baginda bersabda: Sesiapa yang telah menyembelih korbannya sebelum dia menunaikan sembahyang atau kami sembahyang, dia hendaklah menyembelih yang lain sebagai gantinya. Manakala sesiapa yang belum melakukan sembelihan, dia hendaklah menyembelih dengan menyebut nama Allah.
1157 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah emak) Abu Burdah telah menyembelih korban sebelum sembahyang (Hari Raya). Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kambing itu hanya menjadi daging sahaja (tidak menjadi korban dan tidak ada pahalanya). Beliau berkata: Wahai Rasulullah, aku mempunyai anak kambing yang masih muda (berumur enam bulan hingga setahun). Rasulullah s.a.w bersabda: Sembelihlah ia, tetapi bagi selainmu tidak boleh (tidak sah). Baginda bersabda lagi: Sesiapa yang menyembelih korban sebelum sembahyang, dia menyembelih hanya untuk dirinya sendiri dan barangsiapa menyembelih sesudah sembahyang, sempurnalah ibadat korbannya dan menepati sunnah kaum muslimin.
1158 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda pada hari Nahr (Hari Raya Korban): Sesiapa yang telah menyembelih korbannya sebelum sembahyang, dia hendaklah mengulanginya. Seorang lelaki berdiri lalu berkata: Wahai Rasulullah, ini adalah hari yang memerlukan daging. Lalu dia menyebut keperluan para jirannya seolah-olah Rasulullah s.a.w mempercayainya. Lelaki tadi meneruskan: Aku mempunyai seekor anak kambing (berumur antara enam bulan hingga setahun) yang aku menyayanginya lebih dari dua ekor kambing. Bolehkah aku menyembelihnya? Lalu Rasulullah s.a.w mengizinkannya. Beliau (Anas) berkata: Aku tidak tahu apakah kelonggaran itu juga adalah untuk orang lain ataupun tidak. Dia berkata lagi: Kemudian Rasulullah s.a.w menghampiri dua ekor kibas, lalu baginda menyembelih keduanya. Orang ramai pun membahagikannya ataupun dibahagikannya.
1159 Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah memberinya kambing-kambing untuk dibagikan kepada para Sahabat sebagai korban. Lalu yang tinggal hanya seekor anak kambing. Uqbah memberitahu Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda: Kamu sembelihlah ia wahai Qutaibah bersama yang lainnya.
1160 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Nabi s.a.w telah mengorbankan dua ekor kibas berwarna putih agak kehitam-hitaman dan bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri sambil menyebut nama Allah, bertakbir dan meletakkan kaki baginda di atas belikat (berhampiran tengkuk) keduanya.
1161 Diriwayatkan dari Rafi' bin Khadij r.a katanya: Aku berkata: Wahai Rasulullah, kami akan menemui musuh esok sedangkan kami tidak mempunyai pisau. Rasulullah s.a.w bersabda: Segerakanlah atau sembelihlah dengan apa saja yang boleh menumpahkan darah dengan menyebut nama Allah, engkau boleh memakannya asalkan alat tersebut bukan gigi dan kuku. Aku akan nyatakan kepada kamu. Adapun gigi, ia adalah tulang manakala kuku pula adalah pisau orang Habsyah yaitu Ethiopia. Rafi' berkata: Kemudian kami mendapatkan rampasan perang berupa unta dan kambing. Ada seekor unta coba melarikan diri. Seseorang melepaskan panah ke arahnya dan lalu ia ditangkap. Rasulullah s.a.w bersabda: Memang unta itu ada yang liar seperti binatang liar lain. Apabila kamu mengalami keadaan demikian bertindaklah seperti tadi.
1162 Hadits Ali bin Abu Talib r.a: Diriwayatkan dari Abu Ubaid r.a katanya: Aku pernah mengikuti sembahyang Hari Raya bersama Ali bin Abu Talib. Beliau mendahulukan sembahyang sebelum khutbah dan beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menegah kami memakan daging korban kami selepas dari tiga hari.
1163 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang dari kamu tidak boleh memakan daging korbannya selepas dari tiga hari.
1164 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Abdullah bin Waqid r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang dari memakan daging korban selepas dari tiga hari. Abdullah bin Abu Bakar berkata: Aku memberitahu perkara tersebut kepada Amrah lalu dia berkata: Dia benar, aku pernah mendengar Aisyah r.a berkata: Beberapa orang wanita dari penduduk gurun berjalan perlahan-lahan menuju ke tempat penyembelihan korban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Simpanlah tiga hari. Setelah itu sedekahkanlah apa yang masih berbaki. Beberapa ketika selepas itu para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Orang ramai menyimpan danging korban dan membawa sebahagian dari lemaknya. Rasulullah s.a.w bertanya: Kenapa begitu? Mereka menjawab: Dulu engkau melarang dari memakan daging korban selepas tiga hari. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Aku melarang kamu hanyalah kerana mengingat orang-orang yang berjalan perlahan-lahan (untuk menolong orang-orang yang tidak mampu). Sekarang kamu bolehlah makan, menyimpan dan menyedekahkannya.
1165 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Nabi s.a.w menegah dari memakan daging korban selepas dari tiga hari. Kemudian selepas itu baginda bersabda pula: Makanlah kamu, berbekallah dan simpanlah.
1166 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu yang melakukan korban (sembelih) maka janganlah menyimpan sedikitpun di rumahnya selepas dari tiga hari. Pada tahun berikutnya, para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah kami harus melakukannya seperti pada tahun lepas? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak, pada tahun itu ramai dari kalangan kaum muslimin hidup dalam keadaan susah. Jadi aku mahu daging korban itu dibahagikan kepada mereka.
1167 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada lagi Fara' dan juga Atirah. Fara' ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan ibunya lebih banyak lagi melahirkan anak. Manakala Atirah pula ialah kambing yang disembelih pada sepuluh hari pertama dari bulan Rejab. Dalam sebuah riwayat yang lain Ibnu Rafi' menambah dalam riwayat beliau: Fara' ialah anak ternakan yang pertama disembelih oleh tuannya.

MINUMAN
1168 Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib r.a katanya: Aku mendapatkan seekor unta (berumur satu tahun) bersama Rasulullah s.a.w dalam rampasan perang Badar. Rasulullah s.a.w memberikan kepadaku seekor unta yang lain. Pada suatu hari aku memecut kedua-duanya melalui hadapan pintu rumah seorang lelaki dari golongan Ansar. Aku mahu memuatkan di atas keduanya dengan Izkhir (sejenis tumbuhan yang berbau harum) untuk dijual. Bersama aku juga seorang tukang emas dari Bani Qainuqa'. Wang dari hasil jualan itu akan aku gunakan untuk membuat kenduri. Pada waktu itu, Hamzah bin Abdul Muttalib sedang minum-minum di rumah tersebut. Dia ditemani oleh seorang hamba perempuan yang menyanyikan lagu untuknya. Hamba perempuan itu berkata: Bermaksud: Wahai Hamzah! Perhatikanlah unta-unta yang gemuk itu. Tiba-tiba Hamzah melompat ke arah kedua ekor untaku dengan sebilah pedang, lalu memotong kedua-dua bonggok di atas belakangnya dan membelah kedua-dua lambungnya. Kemudian dia mengambil kedua-dua hatinya. Aku menceritakan peristiwa itu kepada Ibnu Syihab: Sesungguhnya kedua bonggok untaku telah dipotong, lalu dia pergi melihatnya. Ibnu Syihab berkata: Bahawa Saidina Ali menyebut: Aku hanya menyaksikan saja peristiwa yang sangat mengerikan itu. Lalu aku mendapatkan Rasulullah s.a.w. Ketika itu dia ditemani oleh Zaid bin Harithah. Akupun menceritakan peristiwa tersebut. Lalu baginda keluar bersama dengan Zaid dan aku juga mengikutinya. Kemudian Baginda masuk menemui Hamzah dan memarahinya. Hamzah mengangkat pandangannya, kemudian berkata: Kamu ini tidak lain hanyalah hamba-hamba bapaku. Maka Rasulullah s.a.w kembali reda sehinggalah keluar meninggalkan mereka.
1169 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Aku sedang memberi minum kepada para tetamu di rumah Abu Talhah pada hari pengharaman arak. Mereka hanya meminum arak yang diperbuat dari buah kurma. Tiba-tiba terdengar satu seruan yang memberitahu. Keluar dan lihatlah! Akupun keluar, ternyata ada satu suara yang mengumumkan: Sesungguhnya arak telahpun diharamkan. Arak mengalir di jalan-jalan Madinah Abu Talhah berkata kepadaku: Keluarlah dan curahkanlah arak itu, Lalu aku mencurahkannya. Tiba-tiba ada orang berkata: Si anu telah terbunuh, si anu telah terbunuh, sedangkan perutnya dipenuhi dengan arak. Perawi Hadits berkata, aku tidak tahu apakah itu juga termasuk dari Hadits Anas. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat: yang bermaksud: Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh kerana makanan yang telah mereka makan dahulu apabila mereka telah bertaqwa serta beriman dan mengerjakan amalan soleh.
1170 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdulllah al-Ansari r.a katanya Bahawa Nabi s.a.w menegah dari mencampurkan anggur kering dan kurma atau mencampurkan antara kurma muda dan kurma masak.
1171 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu membuat minuman (tuak) dengan mencampurkan antara kurma mekar dan kurma masak. Janganlah kamu membuat minuman dengan mencampurkan antara buah zabib dan kurma. Jadikanlah minuman dari kedua-duanya secara berasingan.
1172 Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang membuat minuman dalam kulit labu dan bekas yang dicat dengan minyak tar.
1173 Hadits Saidatina Aisyah Ummul Mukminin r.a: Diriwayatkan dari al-Aswad katanya: Aku berkata kepada Saidatina Aisyah: Wahai Ummul Mukminin! Khabarkan kepadaku tentang bekas yang telah ditegah oleh Rasulullah s.a.w untuk membuat minuman (tuak). Saidatina Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w melarang kami (ahli bait) membuat minuman nabiz (tuak) dalam kulit labu dan bekas yang disapu dengan minyak tar.
1174 Hadits Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Said bin Jubair r.a katanya: Aku bersaksi ke atas Ibnu Umar dan Ibnu Abbas bahawa kedua-duanya bersaksi: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang menggunakan kulit labu, tempayan, bekas yang disapu dengan minyak tar dan kayu yang dilubangi.
1175 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w melarang membuat minuman nabiz (tuak) dalam beberapa bekas, lalu ada orang yang mengatakan: Tidak semua orang-ramai memilikinya. Lalu Rasulullah s.a.w memberi kelonggaran kepada mereka, dengan dibolehkan mengguna bekas yang tidak disapu dengan minyak tar.
1176 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang minuman yang dibuat dari madu arak. Baginda menjawab: Setiap minuman yang memabukkan adalah haram.
1177 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram. Barangsiapa yang meminum arak di dunia lalu meninggal dunia dalam keadaan dia masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka dia tidak akan dapat meminumnya di Akhirat kelak (di Surga).
1178 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Abu Usaid as-Saaidi telah mengundang Rasulullah s.a.w untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Pada hari itu isterinya sendiri, yaitu pengantin perempuan melayani para tamu. Selepas itu Sahl berkata: Tahukah kamu apa yang telah diberikan oleh isteriku kepada Rasulullah s.a.w sebagai minuman? Dia (isteriku) telah merendam beberapa biji kurma pada malamnya dalam mangkuk. Ketika Rasulullah s.a.w makan dia memberikan kurma yang direndam itu sebagai minuman baginda s.a.w.
1179 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad katanya: Ketika diceritakan kepada Rasulullah s.a.w mengenai seorang wanita Arab, Baginda lalu memerintahkan Abu Usaid supaya memanggilkannya. Lalu wanita itupun dipanggil dan wanita itu pun datang lalu tinggal di gedung Bani Saaidah. Rasulullah s.a.w pun keluar dan masuk menemuinya. Ketika itu wanita tersebut menundukkan kepalanya. Apabila Rasulullah s.a.w berbicara dengannya dia berkata: Aku berlindung dengan nama Allah dari engkau. Rasulullah s.a.w bersabda: Baiklah, sesungguhnya aku akan melindungimu dariku. Sesudah itu ada orang bertanya kepadanya, tahukah kamu siapakah dia? Wanita itu menjawab: Tidak. Maka dinyatakan kepadanya bahawa itu adalah Rasulullah s.a.w. Baginda datang untuk melamarmu. Wanita itu berkata: Kalau begitu aku benar-benar sial. Sahl berkata: Pada hari itu Rasulullah s.a.w datang dan bersama para Sahabat, kemudian duduk di balai Bani Saaidah. Kemudian Baginda bersabda: Berilah kami minuman, ditujukan kepada Sahl lalu aku mengeluarkan mangkuk ini untuk mereka dan memberi mereka minum dengan menggunakan mangkuk tersebut.
1180 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya Aku pernah memberi minum kepada Rasulullah s.a.w dengan menggunakan mangkukku ini, yang terdiri dari madu, nabiz (tuak), air dan susu.
1181 Diriwayatkan dari Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a katanya: Ketika kami keluar bersama Rasulullah s.a.w dari Mekah menuju ke Madinah, kami telah berjalan melintasi seorang penggembala kambing. Ketika itu Rasulullah s.a.w benar-benar merasa dahaga. Lalu aku memerahkan sedikit susu untuk Baginda. Aku bawa kepadanya dan Baginda pun meminumnya sehingga aku merasa puas hati.
1182 Diriwayatkan dari Abu Humaid As-Saidiy r.a katanya: Aku datang kepada Nabi s.a.w dengan membawa segelas susu yang dibuat dari Naqie' yaitu tanah yang tidak tertutup. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Mengapa engkau tidak menutupinya, walaupun hanya dengan sebatang kayu. Abu Humaid berkata: Orang ramai pernah disuruh oleh Rasulullah s.a.w supaya mengikat bekas air yang diperbuat dari kulit dan menutup pintu pada waktu malam.
1183 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, Baginda meminta minuman. Lalu seorang lelaki bertanya, wahai Rasulullah, bolehkah aku hidangkan minuman nabiz (tuak) kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya, boleh. Lelaki itu pun lalu keluar untuk mencarinya. Kemudian dia datang lagi dengan membawa satu gelas yang berisi nabiz (tuak). Rasulullah s.a.w bersabda: Mengapa engkau tidak menutupinya, walaupun hanya dengan meletakkan sebatang kayu. Dia (perawi) berkata lagi: Lalu baginda meminumnya.
1184 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tutuplah bekas kamu itu, ikatlah penutupnya (bekas minuman yang dibuat dari kulit), kuncilah pintu dan padamkanlah lampu kerana dengan demikian syaitan tidak dapat lagi menguraikan tali penutupnya dan tidak dapat membuka pintu dan tidak dapat membuka bekas. Jika seseorang di antara kamu hanya dapat melintangkan sebatang kayu di atas bekasnya dan disertakan dengan membaca Basmalah, maka dia hendaklah melakukannya sebab seekor tikus dapat membakar rumah dan ahli rumah mereka.
1185 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Dari Nabi s.a.w bersabda: Jangan kamu biarkan api (pelita) menyala di rumah-rumah kamu ketika kamu sedang tidur.
1186 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Pada satu malam sebuah rumah di Madinah yang didiami oleh penghuninya telah terbakar. Ketika keadaan mereka disampaikan kepada Nabi s.a.w, Baginda pun bersabda: Sesungguhnya api ini merupakan musuh kamu. Oleh itu, apabila kamu hendak tidur maka padamkanlah ia.
1187 Diriwayatkan dari Umar bin Abu Salamah r.a katanya: Aku pernah berada di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w. Ketika waktu makan, tanganku terhulur hendak menjangkau talam, lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Wahai anak muda! Bacalah Basmalah, makanlah dengan tangan kanan dan mulakan dengan makanan yang terdekat denganmu.
1188 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melarang kamu membalik-balikkan bekas minuman (untuk meminum dari mulut bekas minuman).
1189 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku memberi air Zam Zam kepada Rasulullah s.a.w, lalu Baginda meminumnya sambil berdiri.
1190 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya minum dengan tiga kali bernafas.
1191 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah diberikan susu yang dicampurkan dengan air. Di sebelah kanan Baginda ialah seorang A'rabi (Arab desa), manakala di sebelah kiri Baginda ialah Saidina Abu Bakar. Baginda lalu meminumnya dan kemudian memberikannya kepada A'rabi tersebut sambil bersabda: Ke sebelah kanan dan seterusnya ke kanannya lagi.
1192 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a katanya: Rasulullah s.a.w diberikan minuman. Baginda lalu meminumya. Ketika itu di sebelah kanannya ada terdapat seorang anak muda, sedangkan di sebelah kiri Baginda pula terdapat orang-orang tua. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya kepada anak muda itu: Apakah engkau mengizinkan aku memberikan giliran minum ini kepada mereka (orang-orang tua yang berada di sebelah kiri Baginda)? Anak muda itu menjawab: Tidak demi Allah! Aku tidak akan menyerahkan bahagianku terlebih dahulu darimu kepada sesiapapun. Maka Rasulullah s.a.w pun menyerahkan minuman itu ke tangan anak muda tersebut.
1193 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang di antara kamu memakan makanan, maka janganlah kamu mengelap tangannya sebelum menjilatnya (untuk membersihkan sisa makanan) atau menyuruh orang menjilatnya.
1194 Diriwayatkan dari Abu Mas'ud al-Ansari r.a katanya: Ada seorang lelaki Ansar bernama Abu Syu'aib. Dia mempunyai seorang pembantu yang menjual daging. Pada suatu hari, dia melihat Rasulullah s.a.w dalam keadaan lapar. Maka dia berkata kepada pembantunya: Sediakanlah makanan untuk lima orang. Kerana aku ingin mengundang Nabi s.a.w sebagai orang kelima dari lima orang tetamu. Pembantu tersebut melaksanakan perintahnya itu. Kemudian dia pergi menjemput Rasulullah s.a.w sebagai salah seorang dari lima orang tetamu. Tatapi ada seorang lagi yang mengikuti mereka. Ketika sampai di hadapan pintu, Rasulullah s.a.w bersabda: Orang ini mengikuti kami, jadi terserahlah kepadamu samada engkau mengizinkannya ataupun dia harus pulang. Dia (Abu Syuaib) menjawab: Tidak! Bahkan aku mengizinkannya wahai Rasulullah.
1195 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Semasa parit Khandak digali, aku melihat keadaan Rasulullah s.a.w dalam keadaan sangat lapar. Maka akupun segera kembali ke rumahku dan bertanya kepada isteriku, apakah engkau mempunyai sesuatu (makanan)? Kerana aku melihat Rasulullah s.a.w tersangat lapar. Isteriku mengeluarkan sebuah beg yang berisi satu cupak gandum, dan kami mempunyai seekor anak kambing dan beberapa ekor ayam. Aku lalu menyembelihnya, manakala isteriku menumbuk gandum. Kami sama-sama selesai, kemudian aku memotong-motong anak kambing itu dan memasukkannya ke dalam kuali. Apabila aku hendak pergi memberitahu Rasulullah s.a.w, isteriku berpesan: Jangan engkau memalukanku kepada Rasulullah s.a.w dan orang-orang yang bersamanya. Aku kemudiannya menghampiri Rasulullah s.a.w dan berbisik kepada Baginda: Wahai Rasulullah! Kami telah menyembelih anak kambing kami dan isteriku pula menumbuk satu cupak gandum yang ada pada kami. Kerana itu, kami menjemput baginda dan beberapa orang bersamamu. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w berseru: Wahai ahli Khandak! Jabir telah membuat makanan untuk kamu. Maka kamu semua dipersilakan ke rumahnya. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda kepadaku: Jangan engkau turunkan kualimu dan jangan engkau buat roti adunanmu sebelum aku datang. Aku pun datang bersama Rasulullah s.a.w mendahului orang lain. Aku menemui isteriku. Dia mendapatiku lalu berkata: Ini semua adalah kerana kamu, aku berkata bahawa aku telah lakukan semua pesananmu itu. Isteriku mengeluarkan adunan roti tersebut, Rasulullah s.a.w meludahinya dan mendoakan keberkatannya. Kemudian Baginda menuju ke kuali kami lalu meludahinya dan mendoakan keberkatannya. Setelah itu Baginda bersabda: Sekarang panggillah pembuat roti untuk membantumu dan cedoklah dari kualimu, tapi jangan engkau turunkannya. Ternyata kaum muslimin yang datang adalah seramai seribu orang. Aku bersumpah demi Allah, mereka semua dapat memakannya sehingga kenyang dan pulang semuanya. Sementara itu kuali kami masih mendidih seperti sediakala. Demikian juga dengan adunan roti masih tetap seperti asalnya. Sebagaimana kata Ad-Dahhak: Masih tetap seperti asalnya.
1196 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Abu Talhah telah berkata kepada Ummu Sulaim: Aku mendengar suara Rasulullah s.a.w begitu lemah. Tahulah aku baginda dalam keadaan lapar. Apakah engkau mempunyai sesuatu? Ummu Sulaim menjawab: Ya! Kemudiannya dia menghasilkan beberapa buku roti dari gandum dan setelah itu, mengambil kain tudungnya dan membungkus roti itu dengan separuh kain tudung, lalu disisipkan di bawah bajuku, sedangkan yang separuh lagi diselendangkan kepadaku. Selepas itu pula dia menyuruhku pergi ke tempat Rasulullah s.a.w. Akupun berangkat membawa roti yang dibungkus kain tudung itu. Aku mendapatkan Rasulullah s.a.w yang sedang duduk di dalam masjid bersama orang-ramai dan berada di sisi mereka. Rasulullah s.a.w bertanya: Abu Talhah yang mengutusmu? Aku menjawab: Ya, benar! Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Untuk makanan? Aku menjawab: Ya! Rasulullah s.a.w bersabda kepada orang-ramai yang bersama baginda: Bangunlah kamu sekalian! Rasulullah s.a.w lalu berangkat diiringi para sahabat dan aku berjalan di antara mereka untuk segera memberitahu Abu Talhah. Maka Abu Talhah berkata: Wahai Ummu Sulaim! Rasulullah s.a.w telah datang bersama orang yang ramai, padahal kita tidak mempunyai makanan yang mencukupi untuk mereka. Dia menjawab: Allah dan RasulNya lebih tahu. Lalu Abu Talhah menjemput Rasulullah s.a.w dan Rasulullah s.a.w pun masuk bersamanya. Rasulullah s.a.w bersabda: Bawakan ke sini apa yang ada di sisimu wahai Ummu Sulaim! Ummu Sulaim terus membawa roti tersebut kepada baginda kemudian memerah bekas lemaknya untuk dijadikan lauk dimakan dengan roti. Kemudian Rasulullah s.a.w mendoakan makanan itu. Setelah itu baginda bersabda: Izinkan sepuluh orang masuk! Abu Talhah memanggil sepuluh orang Sahabat. Mereka makan sehingga kenyang kemudian keluar. Rasulullah s.a.w menyambung: Biarkan sepuluh orang lagi masuk. Sepuluh orang berikutnya pun masuk dan makan sehingga kenyang lalu keluar. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda lagi: Suruhlah sepuluh orang lagi masuk. Demikian berlaku terus-menerus sehingga semua orang dapat makan hingga kenyang, padahal jumlah mereka adalah lebih kurang tujuh puluh atau lapan puluh orang.
1197 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Seorang tukang jahit telah mengundang Rasulullah s.a.w untuk menghadiri suatu jamuan makan. Anas bin Malik berkata: Aku pergi bersama Rasulullah s.a.w menghadiri jamuan makan tersebut. Dia menghampiri Rasulullah s.a.w dan menghidangkan roti dari gandum serta kuah berisi buah labu dan daging bakar. Anas berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w mencari-cari buah labu dari dalam sahfah tersebut yaitu sebuah bekas makanan yang memuatkan makanan cukup untuk lima orang.
1198 Diriwayatkan dari Abdullah bin Jaafar r.a katanya: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w memakan mentimun dengan buah kurma.
1199 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w duduk bertinggung ketika memakan buah kurma.
1200 Hadits Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Jabalah bin Suhaim r.a katanya: Ibnu az-Zubair r.a pernah memberikan kami buah kurma. Ketika itu orang-ramai sedang ditimpa kesusahan. Pada waktu kami sedang makan, tiba-tiba datanglah Ibnu Umar. Dia menegur dengan katanya: Jangan kamu mengambil dua biji kurma sekaligus. Kerana Rasulullah s.a.w telah melarang perbuatan tersebut kecuali setelah seseorang itu mendapat izin terlebih dahulu dari temannya.
1201 Diriwayatkan dari Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma di antara La Bataiha (dua tanah tidak berpasir di Madinah) pada waktu pagi, maka racun tidak akan dapat memudaratkannya sampai petang.
1202 Diriwayatkan dari Said bin Zaid bin Amru bin Nufail r.a katanya: Aku pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Cendawan adalah sejenis Manna (satu anugerah yang sangat istimewa) dan dapat mengubati mata.
1203 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Kami sedang bersama Nabi s.a.w ketika berada di Lintasan Zahran. Kami memetik buah Kabas (sepohon pokok yang kayunya biasa diambil untuk bersugi). Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ambillah yang hitam dari padanya. Kami berkata: Wahai Rasulullah, kamu seolah-olah pernah menggembala kambing. Rasulullah s.a.w bersabda: Benar! Setiap seorang Nabi pasti pernah menggembala kambing.
1204 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata: Aku sangat menderita kebuluran. Rasulullah s.a.w menghantarkannya kepada salah seorang isteri baginda, tetapi dia (isteri baginda) berkata: Demi Zat yang mengutuskanmu dengan kebenaran! Aku hanya mempunyai air. Rasulullah s.a.w menyuruh menanyakan kepada isteri baginda yang lain, tetapi mendapat jawaban yang sama. Kesemua isteri baginda memberikan jawapan yang sama: Tidak, demi Zat yang mengutuskanmu dengan kebenaran! Aku tidak mempunyai satu apapun kecuali air. Rasulullah s.a.w lalu berkata: Sesiapa yang memberi makan orang ini, Allah akan merahmatinya. Seorang lelaki dari golongan Ansar berdiri dan berkata: Aku, wahai Rasulullah. Lalu diajaknya orang itu ke rumah beliau. Lelaki itu menanyakan kepada isterinya: Adakah kamu mempunyai sesuatu (dimakan)? Jawab isterinya: Tidak ada! Kecuali makanan untuk anak-anak sahaja. Dia berkata lagi: Sibukkanlah mereka dengan sesuatu. Apabila tetamu kita masuk, padamkanlah lampu dan tunjukkanlah yang kita seolah-olah sedang menghadapi makanan. Apabila dia hendak makan, maka hampirilah lampu dan matikanlah. Merekapun duduk, sementara tetamu mereka makan. Pada keesokan harinya mereka bertemu dengan Nabi s.a.w dan baginda bersabda: Allah benar-benar bangga terhadap perbuatan kamu berdua terhadap tetamu kamu malam tadi.
1205 Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a katanya Kami dengan sejumlah seratus tiga puluh orang sedang bersama Nabi s.a.w. Nabi s.a.w bertanya: Adakah salah seorang di antara kamu mempunyai makanan? Didapati ada seorang yang mempunyai kira-kira satu gantang gandum atau seumpamanya, lalu diadunkannya. Kemudian datang seorang lelaki tinggi dan kusut rambutnya membawa kambing-kambing untuk dijual. Nabi s.a.w bertanya: Adakah ianya untuk dijual atau dihadiahkan? Lelaki itu menjawab: Tidak! Bahkan ianya untuk dijual! Maka dibeli darinya seekor kambing. Setelah disembelih, Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya diambil hatinya untuk dipanggang. Dia (Abdul Rahman bin Abu Bakar) berkata: Demi Allah! Setiap seratus tiga puluh orang itu, kesemuanya mendapat sepotong hati kambing dari Rasulullah s.a.w. Jika orang itu ada bersama, maka Rasulullah s.a.w memberikannya. Jika sebaliknya, Rasulullah s.a.w menyimpan untuknya. Makanan itu dibahagikan kepada dua talam. Kami makan dari kedua talam itu sehingga kenyang. Lebihan yang terdapat pada kedua talam tersebut dibawa ke atas unta atau mungkin juga riwayatnya begitu.
1206 Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a katanya Mereka yang disebut Ashaab As-Suffah adalah orang-orang miskin. Rasulullah s.a.w pernah bersabda suatu ketika: Sesiapa mempunyai makanan untuk dua orang, dia hendaklah mengajak orang yang ketiga dan sesiapa mempunyai makanan untuk empat orang, dia hendaklah mengajak orang kelima, keenam atau seperti diriwayatkan dalam Hadits lain. Abu Bakar r.a datang dengan tiga orang. Nabi pula pergi dengan sepuluh orang dan Abu Bakar dengan tiga orang yaitu aku, ibu dan bapaku. Tetapi aku tidak pasti adakah dia berkata: Isteriku dan khadamku berada di antara rumah kami dan rumah Abu Bakar. Abdul Rahman berkata lagi: Abu Bakar makan malam bersama Nabi s.a.w dan terus berada di sana sehinggalah waktu Isyak. Selesai sembahyang, dia kembali ke tempat Nabi s.a.w lagi, sehinggalah Rasulullah s.a.w kelihatan mengantuk. Sesudah lewat malam, barulah dia pulang. Isterinya menyusulinya dengan pertanyaan: Apa yang menghalang dirimu untuk pulang menemui tetamumu? Abu Bakar berkata: Bukankah engkau telah menjamu mereka makan malam? Isterinya menjawab: Mereka tidak mahu makan sebelum engkau pulang, padahal anak-anak sudah mempersilakan tetapi mereka tetap enggan. Akupun berundur untuk bersembunyi. Lalu terdengar Abu Bakar memanggil: Hai dungu! diikuti dengan sumpah-serapah. Kemudian dia berkata kepada para tetamunya: Silakan makan! Barangkali makanan ini sudah tidak enak lagi. Kemudian dia bersumpah: Demi Allah, aku tidak akan makan makanan ini selamanya! Abdul Rahman meneruskan ceritanya: Demi Allah, kami tidak mengambil satupun kecuali sisanya bertambah lebih banyak lagi, sehinggalah apabila kami sudah merasa kenyang, makanan itu menjadi bertambah banyak dari yang sedia ada. Abu Bakar memandangnya ternyata makanan itu tetap seperti sedia atau bahkan lebih banyak lagi. Dia berkata kepada isterinya: Wahai saudara perempuanku! Bani Firas apakah ini? Isterinya menjawab: Tidak! Demi cahaya mataku, sekarang ini makanan tersebut bertambah tiga kali ganda lebih banyak dari sedia. Lalu Abu Bakar makan dan berkata: Sumpahku tadi adalah dari syaitan. Dia makan satu suap, kemudian membawa makanan tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan membiarkannya di sana hingga pagi hari. Pada waktu itu di antara kami (kaum muslimin) dengan suatu kaum akan dilangsungkan satu perjanjian. Apabila tiba waktunya, kamipun menjadikan dua belas orang sebagai ketua saksi, masing-masing mengepalai beberapa orang. Hanya Allah yang tahu berapa orangkah sebenarnya yang diutuskan bersama mereka. Cuma yang pastinya Rasulullah s.a.w memerintah agar dipanggilkan mereka kesemuanya. Lalu kesemuanya makan dari makanan yang dibawa oleh Abu Bakar atau sebagaimana yang diriwayatkan dalam riwayat yang lain.
1207 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Makanan dua orang itu mencukupi untuk tiga orang, manakala makanan untuk tiga orang mencukupi untuk empat orang.
1208 Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a katanya: Dari Nabi s.a.w, bahawa baginda telah bersabda: Orang kafir itu makan dengan tujuh usus, sedangkan orang mukmin makan dengan satu usus.
1209 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Bahawa Nabi s.a.w yang bersabda: Orang mukmin itu makan dengan satu usus manakala orang kafir makan dengan tujuh usus.
1210 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w tidak pernah mencela makanan satu kalipun. Apabila baginda menyukai sesuatu makanan baginda memakannya dan kalau tidak menyukainya baginda meninggalkannya.

PAKAIAN DAN PERHIASAN
1211 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang yang minum dengan wadah atau bekas air yang diperbuat dari perak, sesungguhnya akan dididihkan perutnya dengan api Neraka Jahanam.
1212 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Azib r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, menunaikan sumpah dengan benar, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam. Baginda melarang kami memakai cincin atau bercincin emas, minum dengan bekas minuman dari perak, hamparan sutera, pakaian buatan Qasiy yaitu dari sutera, serta mengenakan pakaian sutera, sutera tebal dan sutera halus.
1213 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu sekalian minum dalam bekas minuman emas dan perak. Jangan memakai pakaian dari sutera kerana pakaian sutera itu untuk mereka yaitu orang-orang kafir di dunia dan untuk kamu sekalian di akhirat pada Hari Kiamat kelak.
1214 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Umar bin al-Khattab melihat pakaian bersulam dari sutera di pintu masjid, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimana kiranya engkau membeli benda ini, kemudian memakainya di hadapan orang ramai pada hari Jumaat dan ketika ada tetamu atau perutusan datang kepadamu. Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang memakai ini hanyalah orang yang tidak mempunyai keuntungan memakainya di akhirat. Beberapa waktu kemudian, Rasulullah s.a.w mendapatkan beberapa kain sutera dan baginda memberikan sebahagian darinya kepada Umar. Umar bertanya: Wahai Rasulullah! Engkau memberikan aku pakaian ini, padahal engkau telah menyatakan mengenai sutera Utharid. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memberikan ini kepadamu bukan untuk dipakai. Lalu Umar memberikannya kepada saudaranya yang masih belum memeluk Islam di Mekah.
1215 Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah dihadiahkan dengan pakaian bersulam lalu baginda mengirimkannya kepadaku. Akupun memakainya tetapi aku melihat kemurkaan di wajah baginda. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku mengirimkan pakaian itu kepadamu bukan untuk dipakai tetapi aku mengirimkannya supaya engkau jadikannya sebagai kain tudung wanita.
1216 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengirimkan sepasang jubah sutera tipis kepada Umar, lalu Umar berkata: Engkau mengirimkan pakaian ini kepadaku, padahal engkau telah memperkatakan mengenainya kelmarin. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku mengirimkannya kepadamu bukannya untuk dipakai tetapi untuk engkau memanfaatkan hasil jualannya.
1217 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang memakai pakaian sutera di dunia, maka dia tidak akan memakainya di akhirat kelak.
1218 Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah dihadiahkan dengan sejenis pakaian luar yang dibuat dari sutera. Baginda memakainya untuk menunaikan sembahynag. Apabila selesai sembahyang, baginda segera menanggalkannya dengan cepat seperti tidak menyukainya. Kemudian baginda bersabda: Pakaian ini bukan untuk orang-orang yang bertaqwa.
1219 Hadits Anas bin Malik r.a. katanya: Rasulullah s.a.w memberi kelonggaran kepada Abdul Rahman bin Auf dan Az-Zubir bin al-Awwam mengenai pakaian sutera dalam perjalanan kerana adanya kudis yang mereka deritai atau adanya penyakit pada mereka.
1220 Hadits Anas bin Malik r.a katanya: Aku bertanya kepada Anas bin Malik: Pakaian apakah yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w atau digemari oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Hibarah yaitu sejenis pakaian yang diperbuat dari kapas dan dihias.
1221 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Abu Burdah r.a katanya: Aku datang untuk menemui Saidatina Aisyah r.a lalu beliau mengeluarkan kain sarung yang kasar buatan Yaman dan baju yang dinamakan mulabbadah. Beliau berkata: Demi Allah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w wafat dalam dua helai pakaian ini.
1222 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Bantal Rasulullah s.a.w yang biasa baginda gunakan untuk bersandar adalah dibuat dari kulit yang diisi dengan sabut.
1223 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Setelah aku berkahwin, Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku: Adakah engkau memggunakan permadani? Aku bertanya kepada baginda kembali: Adakah aku mempunyai permaidani? Rasulullah s.a.w bersabda: Ingatlah, sesungguhnya kamu akan memilikinya!.
1224 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong.
1225 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku melihat seorang lelaki melabuhkan kainnya, beliau menghentakkan kakinya ke bumi. Lelaki itu ialah pembesar Bahrain. Beliau mengucapkan: Pembesar datang, pembesar datang. Sementara itu, aku mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan kainnya dengan perasaan bongkak.
1226 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan, beliau begitu bangga dengan juntaian rambutnya serta kejantanannya, tiba-tiba beliau ditenggelamkan oleh bumi, maka beliau pun terbenam di dalam bumi sehingga ke Hari Kiamat.
1227 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w bahawa baginda melarang memakai cincin emas.
1228 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w menyuruh supaya membuat cincin dari emas, baginda meletakkan permata cincinnya pada bahagian dalam telapak tangan, apabila baginda memakainya, orang ramai pun membuatnya sedemikian. Kemudian suatu ketika, baginda duduk di atas mimbar, lalu mencabut cincinnya seraya bersabda: Aku pernah memakai cincin ini dan meletakkan permatanya di bahagian dalam telapak tangan lalu baginda membuang cincin itu dan bersabda: Demi Allah, aku tidak akan memakainya lagi buat selama-lamanya! Orang ramai pun turut membuang cincin-cincin mereka.
1229 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai cincin perak. Pada cincin itu terpahat nama Muhammad Rasulullah Baginda bersabda kepada kaum muslimin: Aku membuat cincin dari perak dan padanya aku ukirkan Muhammad Rasulullah Maka tidak ada seorang pun dapat mengukir pada ukirannya.
1230 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya aku melihat di tangan Rasulullah s.a.w ada sebentuk cincin dari perak mungkin yang dimaksudkan dengan cincin emas. Pada suatu hari, orang ramai pun membuat cincin-cincin dari perak dan memakainya. Kemudian Rasulullah s.a.w membuang cincin baginda. Oleh itu orang ramai pun turut membuang cincin-cincin mereka.
1231 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang di antara kamu memakai selipar, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kanan dan apabila ingin mencabutnya, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kiri. Seboleh-bolehnya pakailah kedua-dua selipar itu sekaligus atau mencabut kedua-duanya sekaligus.
1232 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zaid r.a katanya: Sesungguhnya aku melihat Rasulullah s.a.w berbaring di dalam masjid sambil meletakkan sebelah kaki baginda pada sebelah kaki lagi.
1233 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w melarang memakai pakaian berwarna kunyit.
1234 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang Yahudi dan orang Nasrani tidak mencelup, jadi bezakanlah sesuatu dengan mereka.
1235 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing atau gambar-gambar.
1236 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Kami mempunyai kain langsir yang bergambar burung. Orang yang hendak masuk, tentu akan melihat kain langsir yang bergambar tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Gantilah kain langsir ini, kerana setiap kali aku masuk dan melihatnya aku menjadi ingat kepada dunia. Aisyah berkata: Kami mempunyai benang yang boleh kami katakan sutera, maka kami memakainya.
1237 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang-orang yang membuat atau melukis gambar-gambar akan disiksa pada Hari Kiamat. Maka akan difirmankan kepada mereka: Hidupkan apa yang telah kamu ciptakan.
1238 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia yang paling berat siksanya pada Hari Kiamat, ialah para juru gambar.
1239 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap tukang gambar akan di masukkan ke dalam Neraka. Allah akan menjadikan baginya dengan setiap gambar yang dibuatnya nafas yang menyiksanya di Neraka Jahannam.
1240 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Siapa lagi orang yang lebih zalim dari orang yang coba membuat ciptaan sama seperti makhlukku? Maka lebih baik mereka coba menciptakan zarah, menciptakan biji-bijian, atau mencipta biji gandum.
1241 Diriwayatkan dari Abu Basyir al-Ansari r.a katanya: Aku pernah mengikuti Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan, lalu Rasulullah mengirimkan seorang utusan. Abdullah bin Abu Bakar berkata: Aku kira Abu Basyir juga menyatakan: Sementara itu, orang ramai berada di tempat penginapan mereka untuk mendengar sabda baginda: Jangan biarkan pada leher unta terdapat kalung dari tali, putuskanlah tali tersebut.
1242 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Ketika Ummu Sulaim bersalin, beliau berkata kepadaku: Wahai Anas! Lihatlah anak ini, dia tidak akan mendapat sesuatupun sebelum engkau membawanya kepada Nabi s.a.w supaya baginda meletakkan pada lelangitnya dengan makanan manis dan sebagainya sebelum disusui. Oleh itu, aku terus pergi dan aku dapati Rasulullah s.a.w berada di kebun. Baginda pada ketika itu memakai pakaian bulu berwarna hitam. Baginda sedang meletakkan tanda pada unta yang diserahkan kepada baginda semasa pembukaan Kota Mekah.
1243 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang mencukur sebahagian rambut di kepala.
1244 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Hindarilah dari duduk di tepi-tepi jalan. Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Kami tidak boleh menghindarinya kerana kami duduk berbincang-bincang di sana yaitu di tepi jalan. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu ingin duduk juga, maka berikanlah pada jalan itu haknya. Para Sahabat bertanya: Apakah haknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Mencegah dari melihat sesuatu yang dilarang, menghindarkan perkara-perkara yang merugikan, menjawab salam serta membuat perkara yang baik dan mencegah perbuatan mungkar.
1245 Diriwayatkan dari Asma' binti Abu Bakar r.a katanya: Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku mempunyai seorang anak perempuan yang bakal menjadi pengantin. Beliau pernah diserang penyakit campak, sehingga rambutnya gugur. Bolehkah aku menyambungnya dengan rambut orang lain? Rasulullah s.a.w bersabda: Allah mengutuk orang yang menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya.
1246 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Seorang gadis dari kaum Ansar berkahwin. Oleh kerana sebelumnya beliau pernah menderita sakit, maka semua rambutnya gugur. Keluarganya ingin menyambung rambutnya, lalu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang hal itu. Maka Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya.
1247 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya, orang yang membuat tatu dan orang yang meminta supaya dibuatkan tatu.
1248 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Allah mengutuk pembuat tatu yaitu tanda pada badan yang dibuat dengan melarik, mencucuk dan memasukkan warna, orang-orang yang meminta supaya dibuatkan tatu, orang-orang yang menghilangkan rambut pada muka serta orang-orang yang meminta supaya dihilangkan rambut pada wajahnya, serta orang-orang yang merenggangkan gigi demi kecantikkan untuk mengubah ciptaan Allah. Perkataan Ibnu Umar itu sampai kepada seorang wanita dari Bani Asad yang bergelar Ummu Yaakub. Beliau sedang membaca al-Quran. Lalu dia datang kepada Ibnu Umar dan berkata: Apakah benar berita yang sampai kepadaku bahawa engkau mengutuk pembuat tatu, orang-orang yang meminta supaya dibuatkan tatu, orang-orang yang meminta supaya dihilangkan rambut pada muka dan orang-orang yang merenggangkan gigi demi kecantikkan untuk mengubah ciptaan Allah? Abdullah bin Umar berkata: Bagaimana aku tidak mengutuk orang-orang yang juga dikutuk oleh Rasulullah s.a.w? Sedangkan perkara itu ada disebutkan dalam Kitab Allah. Wanita itu membantah: Aku sudah membaca semua yang ada dari kulit ke kulit, tetapi aku tidak mendapatinya. Ibnu Umar berkata: Jika engkau benar-benar membacanya, pasti engkau akan menemuinya. Allah s.w.t berfirman: Yang bermaksud: Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu, maka terimalah ia dan apa yang dia larang kepada kamu, maka tinggalkanlah ia. Wanita itu berkata: Aku melihat sesuatu di antara yang engkau bicarakan ini pada isterimu sekarang. Ibnu Umar berkata: Pergilah melihatnya. Wanita itu pun masuk mendapatkan isteri Abdullah bin Umar. Namun beliau tidak melihat sesuatu pun. Maka beliau datang lagi kepada Ibnu Umar dan berkata: Aku tidak melihat sesuatu pun. Ibnu Umar berkata: Ingatlah, seandainya apa yang aku perkatakan ada pada isteriku nescaya aku tidak akan menggaulinya.
1249 Hadits Muawiyah bin Abu Sufian r.a: Diriwayatkan dari Humaidi Ibnu Abdul Rahman bin Auf katanya: Aku pernah mendengar Muawiyah bin Abu Sufian r.a berkata di atas mimbar sambil memegang jambul rambut yang kemudiannya jambul tersebut dipegang oleh pengawal. Wahai penduduk Madinah! Di mana Ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah s.a.w melarang hal semacam ini yaitu membuat jambul pada rambut, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Bani Israel mengalami kecelakaan ketika para wanita mereka menggunakan hal ini.
1250 Diriwayatkan dari Asma' r.a katanya: Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Aku mempunyai permasalahan, maka adakah aku berdosa apabila aku berpura-pura cukup dengan harta suamiku dengan apa yang tidak beliau berikan kepadaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berpura-pura puas dengan apa yang tidak diberikan kepadanya, samalah seperti orang yang memakai pakaian palsu.

ADAB
1251 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Seorang lelaki memanggil temannya di Baqie': Wahai Abu al-Qasim! Lalu Rasulullah s.a.w berpaling ke arah orang yang memanggil itu. Orang itu terburu-buru berkata: Wahai Rasulullah! Aku tidak bermaksud memanggilmu. Tetapi aku memanggil si anu. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh menggunakan nama dengan namaku, tetapi jangan menggunakan gelaran dengan gelaranku.
1252 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Salah Seorang di antara kami mempunyai anak. Beliau menamakannya dengan nama Muhammad. Orang ramai berkata kepadanya: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah s.a.w. Lalu orang tersebut membawa anaknya yang diletakkan di atas belakang untuk menemui Rasulullah s.a.w. Setelah sampai di hadapan Rasulullah s.a.w beliau berkata: Wahai Rasulullah! Anakku yang lahir ini, aku namakannya dengan nama Muhammad tetapi orang ramai berkata kepadaku: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh menamakannya dengan namaku, tetapi jangan menggelarkannya seperti dengan gelaranku kerana akulah Qasim, aku mengasingkan di antara kamu.
1253 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Abu Qasim yaitu Rasulullah s.a.w bersabda: Berikanlah nama dengan namaku, tetapi jangan memberikan gelaran dengan gelaranku.
1254 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya nama Zainab pada mulanya ialah Barrah. Ada orang mengatakan: Dia membersihkan dirinya. Lalu Rasulullah s.a.w memberinya nama Zainab.
1255 Hadits Abu Hurairah r.a: Diriwayatkan dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya nama yang paling tidak senonoh di sisi Allah, ialah mereka yang memberikan nama dengan Malikul Amlak. Ibnu Abu Syaibah menambahkan di dalam riwayatnya: Tidak ada Raja kecuali Allah s.w.t.
1256 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. Lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma.
1257 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Asma' binti Abu Bakar telah keluar sewaktu hijrah. Di mana beliau sedang sarat mengandung kepada Abdullah bin Az-Zubair. Beliau melalui Quba', ketika sampai di Quba' beliau melahirkan Abdullah. Setelah melahirkannya beliau keluar menemui Rasulullah s.a.w supaya baginda meletakkan sesuatu pada lelangit anaknya. Lalu Rasulullah s.a.w mengambil anak tersebut darinya dan baginda meletakkannya di dalam pangkuan baginda, kemudian baginda meminta buah kurma. Aisyah berkata: Kami harus mencarinya dahulu sebelum diberikan kepada baginda. Baginda meludahkannya ke dalam mulut anak tersebut, sehingga yang pertama masuk ke perutnya adalah ludahan Rasulullah s.a.w. Selanjutnya Asma' berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w. mengusap kepala anak tersebut, lalu mendoakannya dan menamakannya dengan nama Abdullah, kemudian apabila anak itu berumur tujuh atau lapan tahun, beliau datang untuk berbai'ah kepada Rasulullah s.a.w kerana ayahnya Az-Zubair yang memerintahkan beliau berbuat demikian. Rasulullah s.a.w tersenyum ketika melihat anak itu mengadapnya, kemudian beliau berbai'ah kepada baginda.
1258 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w diajukan seorang bayi, lalu baginda memberkatinya dan meletakkan sesuatu pada lelangitnya.
1259 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: al-Munzir bin Abu Usaid ketika baru dilahirkan, beliau telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda meletakkan diatas pahanya, sedangkan pada ketika itu Abu Usaid duduk, tetapi perhatian Nabi s.a.w tertumpu kepada sesuatu di hadapan baginda, lalu Abu Usaid menyuruh seseorang mengangkat anaknya dari atas paha Rasulullah s.a.w dan memindahkannya. Apabila Rasulullah s.a.w tersedar, baginda bertanya: Mana anak itu? Abu Usaid menjawab: Kami memindahkannya, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bertanya: Siapa namanya? Abu Usaid menjawab: Si anu, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak, tetapi namanya adalah al-Munzir. Jadi, pada hari itu, Rasulullah s.a.w menamakannya dengan nama al-Munzir.
1260 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya Tiada seorang pun yang bertanya tentang Dajjal kepada Rasulullah s.a.w lebih banyak dari pertanyaanku kepada baginda dalam persoalan yang sama. Maka baginda bersabda: Wahai anakku! Apakah yang membuatkan kamu bersusah payah untuk memikirkannya? Sesungguhnya dia tidak akan membahayakanmu. Aku berkata: Orang ramai beranggapan bahawa dia akan membawa air yang banyak dan gunung-gunung roti. Rasulullah s.a.w bersabda: Yang lebih dari itu, mudah saja bagi Allah.
1261 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Aku berada di dalam majlis orang-orang Ansar di Madinah. Tiba-tiba Abu Musa datang dengan ketakutan. Kami bertanya: Kenapa dengan engkau? Abu Musa menjawab: Sesungguhnya Umar menyuruhku supaya datang kepadanya. Aku pun datang, setelah berada di hadapan pintunya, aku memberi salam sebanyak tiga kali, tetapi tidak ada jawapan, lalu aku pun pulang, tetapi setelah aku berjumpa lagi dengannya beliau bertanya: Apakah yang menghalangimu datang kepadaku? Beliau menjawab: Aku telah datang kepadamu, aku memberi salam tiga kali di hadapan pintumu. Setelah tidak ada jawapan aku pun terus pulang. Berdasarkan peristiwa tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang di antara kamu minta izin tiga kali kemudian tidak mendapat jawapannya, maka hendaklah beliau pulang.
1262 Diriwayatkan dari Abu Musa al-Asyaari r.a katanya: Abu Musa telah datang menemui Umar bin al-Khattab lalu mengucapkan: Assalamualaikum, ini Abdullah bin Qais. Tetapi tidak ada jawapan, maka sekali lagi beliau mengucapkan: Assalamualaikum, ini Abu Musa, Assalamualaikum, ini al-Asy'ari. Kemudian beliau beredar untuk pulang, tiba-tiba Umar muncul dan berkata: Datanglah dahulu, datanglah dahulu. Setelah Abu Musa datang, Umar bertanya: Wahai Abu Musa! Mengapa engkau cepat sangat hendak pulang? Kami sedang melakukan suatu pekerjaan. Abu Musa berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Minta izin itu tiga kali. Jika engkau mendapat izin, maka engkau boleh masuk. Tetapi, jikalau tidak mendapat izin, maka pulanglah.
1263 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Aku datang kepada Nabi s.a.w lalu memanggil baginda. Nabi s.a.w bertanya: Siapa ini? Aku menjawab: Aku. Maka Nabi s.a.w pun keluar seraya berucap: Aku, aku.
1264 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad as-Saidi r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda gunakan untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan.
1265 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya seseorang telah mengintai pada salah satu bilik Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w menghampirinya dengan membawa anak panah bermata lebar dan aku melihat seakan-akan Rasulullah s.a.w mengugut untuk menikamnya.
1266 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesiapa yang menjenguk-jenguk ke dalam rumah sesuatu kaum tanpa mendapat izin mereka, maka di halalkan bagi mereka untuk mencungkil matanya.

SALAM
1267 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai.
1268 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lima kewajipan bagi seorang muslim terhadap saudaranya sesama muslim yaitu: Menjawab salam, mendoakan kepada orang yang bersin, menyahut undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah.
1269 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Ahli Kitab mengucapkan salam kepadamu, maka jawablah kepada mereka: Waalaikum.
1270 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya, apabila orang Yahudi mengucapkan salam kepada kamu, mereka mengucap: Assaamualaikum yaitu kematian tetap atas kamu. Maka jawablah kepada mereka: Alaika yaitu ke atas kamu.
1271 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sekumpulan orang-orang Yahudi meminta izin kepada Rasulullah s.a.w mereka mengucapkan: Assaamualaikum. Maka Aisyah menyahut: Bal Alaikumussaam walla'nah yaitu bahkan atas kamulah, moga-moga mendapat kematian dan kutukkan. Rasulullah s.a.w menegur: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah menyukai keramahan dalam segala hal. Aisyah berkata: Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan? Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah menjawab Wa'alaikum yaitu begitu pula kamu.
1272 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah datang kepada kanak-kanak, lalu baginda mengucapkan salam kepada mereka.
1273 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Saudah telah keluar selepas diwajibkan hijab yaitu kain tudung untuk memenuhi keperluannya. Beliau adalah seorang wanita yang tinggi dan gemuk. Orang ramai yang sudah mengenalinya tidak akan terkejut atau hairan melihatnya. Maka Umar bin al-Khattab melihatnya, lalu menegurnya: Wahai Saudah! Bagaimana engkau tidak membuat kami terpegun, sesungguhnya aku melihat bagaimana engkau keluar? Saudah segera pulang. Sementara itu, Rasulullah s.a.w sedang makan malam di rumahku dan baginda masih memegang tulang. Maka ketika itulah Saudah masuk dan mengadu: Wahai Rasulullah! Aku baru saja keluar, lalu Umar menegur aku begini dan begini. Kemudian diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w yaitu satu ayat dari surah al-Ahzab di mana tulang masih lagi berada di tangan baginda yang belum baginda letakkan. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya telah diizinkan bagi kamu yaitu kaum wanita untuk keluar memenuhi hajat dan keperluan kamu.
1274 Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hindarkanlah diri kamu dari masuk menemui wanita yaitu wanita yang bukan mahramnya. Seorang Sahabat Ansar bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana kalau ipar? Rasulullah s.a.w bersabda: Ipar itu ialah mati (lebih merisaukan).
1275 Diriwayatkan dari Sofiah binti Huyai r.a katanya: Pada suatu malam ketika Nabi s.a.w sedang beriktikaf aku datang menziarahi baginda. Setelah puas berbual-bual dengan baginda, akupun berdiri untuk pulang. Rasulullah s.a.w ikut berdiri untuk menghantarku. Manakala tempat tinggal Sofiah adalah di rumah Usamah bin Zaid. Tiba-tiba datang dua orang Ansar. Apabila mereka melihat Nabi s.a.w mereka mempercepatkan langkah mereka. Lalu Nabi s.a.w bersabda: Perlahankanlah langkah kamu. Sesungguhnya ini adalah Sofiah binti Huyai Maha suci Allah, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda Sesungguhnya syaitan itu berjalan pada aliran darah manusia. Sebenarnya aku risau ada tuduhan buruk atau yang tidak baik dalam hati kamu berdua.
1276 Diriwayatkan dari Abu Waqid al-Laithi r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w duduk di dalam masjid bersama kaum muslimin, tiba-tiba datang tiga orang lelaki, dua orang darinya terus menghampiri Rasulullah s.a.w lalu salah seorang dari keduanya mengadap Rasulullah s.a.w. Setelah melihat ada tempat kosong beliau terus duduk di situ. Adapun yang seorang lagi, duduk di belakangnya. Sementara itu, orang yang ketiga, terus pergi. Setelah Rasulullah s.a.w selesai, baginda bersabda: Tidakkah kamu ingin aku beritahu tentang tiga orang tadi? Salah seorang di antara mereka berlindung kepada Allah, maka Allah melindunginya. Yang keduanya malu, maka Allah pun malu kepadanya. Sedangkan orang yang ketiga menghindar, maka Allah menghindarkan darinya.
1277 Hadits Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Nabi s.a.w katanya: Jangan sekali-kali seseorang di antara kamu membuatkan orang lain berdiri dari tempat duduknya, kemudian kamu duduk di tempat tersebut.
1278 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki pondan yang berperilaku seperti wanita berada di rumah beliau, ketika itu Rasulullah s.a.w juga berada di rumah tersebut. Lelaki itu berkata kepada saudara Ummu Salamah: Wahai Abdullah bin Abu Umaiyah! Jika Allah menolong kamu menaklukki Thaif besok, maka akan kutunjukkan kepadamu anak perempuan Ghailan, nescaya beliau mengadap dengan empat lipatan perut dan kembali dengan lapan lipatan perut kerana sangat gemuk. Jadi, ketika Rasulullah s.a.w mendengar pembicaraan itu, baginda bersabda: Janganlah mereka itu masuk ke tempat kamu!.
1279 Diriwayatkan dari Asma' binti Abu Bakar r.a katanya: Az-Zubair telah mengawiniku. Beliau tidak memiliki harta atau saudara mara dan apa-apa pun di bumi ini kecuali kudanya. Oleh itu, akulah yang memberi makan kudanya, mencukupi bahan makanannya, mengurusnya, menumbukkan biji kurma bagi pengairannya, memberinya makan, meminumkan air, menjahit timbanya dan membuat adunan rotinya. Sementara itu, aku tidak boleh membuat roti dengan baik. Oleh sebab itu, para tetanggaku serta kaum wanita Ansar tolong membuatkan roti untukku, mereka adalah para wanita yang tulus. Aku biasanya memindahkan biji kurma dari tanah az-Zubair yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w dengan menjunjungnya di atas kepalaku. Tanah itu jauhnya kira-kira dua pertiga farsakh yaitu satu batu dari kota. Pada suatu hari aku datang dengan membawa biji kurma di atas kepalaku, lalu aku bertemu dengan Rasulullah s.a.w bersama beberapa orang sahabat. Baginda memanggilku, kemudian mengucapkan: Ikh, ikh yaitu ucapan untuk memberhentikan unta. Baginda bermaksud supaya aku membonceng baginda dari belakang. Asma' berkata: Aku merasa malu dan aku mengerti kecemburuan mu. Az-Zubair berkata: Demi Allah! Engkau menjunjung biji kurma di atas kepalamu adalah lebih berat dari engkau menunggang bersama baginda. Sesudah itu, Abu Bakar menghantar seorang hamba. Hal itu, membuatkan aku tidak lagi menguruskan kuda, seakan-akan membebaskanku.
1280 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila terdapat tiga orang, maka janganlah dua orang di antara mereka berbisik-bisik tanpa disertakan oleh seorang lagi.
1281 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu ada tiga orang, maka janganlah dua orang di antara kamu berbisik-bisik tanpa disertai oleh seorang lagi sehingga mereka bergabung dengan orang ramai agar tidak membuatnya sedih.
1282 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Mata yaitu pandangan mata yang menyebabkan penyakit adalah benar.
1283 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah di sihir oleh seorang Yahudi dari Bani Zuraiq yang bernama Labid bin al-A'sham sehingga Rasulullah s.a.w merasakan seolah-olah melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda. Pada suatu hari atau pada suatu malam Rasulullah s.a.w berdoa dan terus berdoa, kemudiannya bersabda: Wahai Aisyah, apakah engkau merasa bahawa Allah memberiku pertunjuk mengenai apa yang aku tanyakan kepadaNya? Dua Malaikat telah datang kepadaku. Salah satu di antara keduanya duduk di samping kepalaku, kemudian yang satu lagi duduk dekat kakiku. Malaikat yang berada di samping kepalaku berkata kepada Malaikat yang berada dekat kakiku atau sebaliknya (bercakap-cakap): Apa sakit orang ini? Yang ditanya menjawab: Tersihir. Seorang lagi bertanya: Siapakah yang menyihirnya? Yang satu lagi menjawab: Labid bin al-A'sham Salah seorang bertanya: Di manakah sihir itu ditempatkan? Yang satu lagi menjawab: Pada sikat dan rambut gugur yang berada di sikat serta pundi-pundi yang diperbuat dari kurma jantan. Salah seorang bertanya: Di manakah benda itu diletakkan? Yang satu lagi menjawab: Di dalam telaga Zu Arwan. Aisyah menyambung lagi: Lalu Rasulullah s.a.w pergi ke telaga tersebut bersama beberapa orang Sahabat baginda. Kemudian baginda bersabda: Wahai Aisyah demi Allah, seakan-akan air telaga itu berwarna inai (berwarna kuning kemerah-merahan), kemudian pokok-pokok kurma yang ada di situ bagaikan kepala-kepala syaitan. Aku (Aisyah) bertanya: Ya Rasulullah, Mengapakah engkau tidak membakar saja benda itu? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak. Mengenai diriku, Allah telah berjanji menyembuhkanku dan aku tidak suka membuatkan orang ramai menjadi resah, kerana itulah aku menyuruh menanamnya.
1284 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Seorang wanita Yahudi datang kepada Rasulullah s.a.w dengan membawa hidangan daging kambing yang diracuni. Rasulullah s.a.w pun memakan hidangan itu, lalu wanita itu dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Ketika ditanya tentang perbuatan tersebut, beliau menjawab: Aku memang bermaksud hendak membunuhmu. Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tidak akan memberikan kekuasaan kepadamu untuk melakukan hal itu. (Menurut satu riwayat, ada tambahan kalimat terhadapku.) para Sahabat bertanya: Bolehkah kami membunuh wanita ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Jangan! Anas berkata: Aku akan selalu mengenali wanita yang hendak mengkhianati Rasulullah s.a.w.
1285 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Biasanya apabila ada seorang di antara kami menderita sakit, Rasulullah s.a.w mengusapnya dengan tangan kanan baginda, kemudian baginda membaca: yang bermaksud: Hilangkanlah sakit, wahai tuhan manusia! Berilah penyembuh. Engkaulah Zat yang memberi penyembuh. Tiada penyembuh, kecuali penyembuh dariMu. Penyembuh yang tidak menyiksakan pesakit. Sementara itu, ketika Rasulullah s.a.w menderita sakit dan semakin parah, aku pegang tangan baginda untuk melakukan seperti yang biasa baginda lakukan, namun baginda menarik tangan baginda dari tanganku, kemudian membaca: yang bermaksud: Ya Allah, ampunilah aku dan jadikanlah aku bersama Ar-Rafiqul A'la. Aku bergegas untuk melihat, namun ternyata baginda telah wafat.
1286 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya apabila ada salah seorang anggota keluarga baginda yang sakit, baginda menyemburnya dengan membaca bacaan-bacaan. Sementara itu, ketika baginda menderita sakit yang menyebabkan baginda wafat, aku juga menyemburkan baginda dan mengusap baginda dengan tangan baginda sendiri, kerana tangan baginda tentu lebih banyak berkatnya dari tanganku.
1287 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w memberi izin kepada ahli bait dari golongan Ansar untuk menjampi (dengan dzikir yang dibenarkan oleh syarak) dari apa saja yang beracun.
1288 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya bila ada seseorang yang mengeluh kerana sakit atau luka, maka baginda meletakkan jari telunjuknya ke tanah lalu mengangkatnya semula seperti mana yang dicontohkan oleh Sufian kemudian membaca: Yang bermaksud: Dengan menyebut nama Allah, Debu tanah kami, dengan ludahan sebahagian kami, agar sembuhkanlah penyakit kami, dengan izin tuhan kami.
1289 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menyuruhnya supaya membaca jampi untuk mengelak dari penyakit mata.
1290 Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Jariyah yang berada di rumah Ummu Salamah isteri Nabi s.a.w. Yang dilihat oleh baginda memiliki warna wajah yang lain dari yang lain dan bersabda: Beliau terkena sakit akibat buatan orang, maka jampilah beliau.
1291 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Sesungguhnya beberapa orang dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: Apakah ada di antara kamu yang boleh menjampi? Kerana ketua atau penghulu kampung kami terkena sengat. Salah seorang dari para Sahabat menjawab: Ya, ada. Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka Sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: Aku akan menyampaikannya kepada Nabi s.a.w, beliau pun pulang menemui Nabi s.a.w dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu, Rasulullah s.a.w tersenyum dan bersabda: Tahukah engkau, bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi. Kemudian baginda bersabda lagi: Ambillah pemberian dari mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.
1292 Hadits Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya Jabir bin Abdullah menjenguk al-Mukna' yang sedang sakit kepala, kemudian berkata: Aku tidak akan pulang sebelum engkau mahu berbekam, kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di samping berbekam itu ada pengubatnya.
1293 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Demam itu berasal dari didihan Neraka Jahannam. Oleh itu, sejukkanlah demam itu dengan air.
1294 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kepanasan demam itu berasal dari didihan Neraka Jahannam. Oleh itu, sejukkanlah panas itu dengan air.
1295 Diriwayatkan dari Asma' r.a katanya: Bahawa pernah ada seorang wanita yang gelisah kerana demamnya yang teruk, beliau dibawa berjumpa Asma', lalu Asma' meminta air kemudian menyiramnya ke dalam baju wanita itu. Asma' berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sejukkanlah kepanasan demam itu dengan air. Baginda juga bersabda: Sesungguhnya panas itu adalah dari didihan Neraka Jahannam.
1296 Diriwayatkan dari Rafi' bin Khadij r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kepanasan demam itu adalah kepanasan yang berasal dari Neraka Jahannam. Oleh itu, sejukkanlah kepanasan itu dengan air.
1297 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Kami memberikan Ladud kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda sakit. Lalu baginda memberi isyarat supaya aku tidak melakukan hal itu. Maka kami beranggapan bahawa itu adalah ketidaksukaan orang yang sakit terhadap ubat. Tatakala sedar, baginda bersabda: Setiap orang dari kamu sudah pasti pernah berubat dengan Ladud, kecuali al-Abbas, kerana beliau tidak sempat menyaksikan kamu.
1298 Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya pada jintan hitam itu terdapat ubat dari segala macam penyakit, kecuali mati. Dan jintan hitam ialah Syuniz (sejenis jintan hitam).
1299 Diriwayatkan dari Aisyah isteri Nabi r.a katanya: Apabila ada keluarganya yang meninggal dunia, para wanita berkumpul. Kemudian setelah mereka beredar kecuali keluarga dan orang-orang tertentu, beliau menyuruh untuk memasak seperiuk bubur Talbinah (bubur tepung), kemudian dibuat pula Tharid (sejenis makanan yang diperbuat dari campuran roti dan daging), lalu disiram dengan bubur Talbinah tersebut, kemudian beliau berkata: Makanlah! Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bubur Talbinah itu boleh menyegarkan hati orang yang sakit dan dapat menghilangkan sebahagian dari kesedihan.
1300 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Saudaraku terasa mual-mual perutnya. Rasulullah s.a.w bersabda: Berilah beliau meminum madu! Setelah lelaki itu memberikan madu kepada saudaranya, beliau datang lagi kepada Nabi s.a.w dan menyatakan: Aku telah memberinya minum madu, tetapi perut beliau bertambah memulas. Kejadian itu berulang sehingga tiga kali. Pada kali yang keempat, Rasulullah s.a.w bersabda: Berilah beliau minum madu! Lelaki tersebut masih lagi menyatakan: Aku benar-benar telah memberinya minum madu, tetapi perut beliau bertambah memulas. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Maha benar Allah yang telah berfirman: Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalam minuman itu terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Oleh itu, mungkin ada yang tidak sesuai dengan perut saudaramu itu. Akhirnya Rasulullah s.a.w sendiri yang memberikan minum madu dan sembuhlah saudara lelaki itu.
1301 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Penyakit taun itu adalah satu tanda atau azab yang dikirimkan kepada Bani Israel atau kepada kaum yang sebelum kamu, maka apabila kamu mendengar khabarnya janganlah datang ke tempat itu dan jika taun itu berjangkit di mana kamu berada, maka janganlah kamu lari darinya.
1302 Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a katanya: Sesungguhnya Umar bin al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, yaitu Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan para pengikutnya. Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Coba panggilkan para Sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam. Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para Sahabat Rasulullah s.a.w, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para sahabat Muhajirin. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini. Lalu Umar menyeru di tengah-tengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah? Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain. Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga? Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, maka janganlah kamu mendatanginya. Sebaliknya, kalaulah wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri darinya. Mendengar kata-kata itu Umar bin al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu.
1303 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada larangan atau pantang pada bulan Safar dan tidak ada kecelakaan yang ditandai oleh suara burung malam. Kemudian seorang desa bertanya: Ya Rasulullah! Bagaimana dengan unta yang berada di padang, yang bergerak bebas bersih laksana kijang, kemudian didatangi oleh unta berkudis dan setelah bergaul, maka kesemua unta tersebut berkudis? Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah yang menjangkitkan kudis kepada unta yang pertama?.
1304 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Tidak ada istilah berjangkit dan tidak ada tanda atau firasat kesialan dan yang menghairankanku ialah kalimat yang baik, kalimat yang bagus.
1305 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kesialan itu ada pada rumah, pada wanita dan pada kuda yaitu kenderaan.
1306 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau memang kesialan itu ada, maka kesialan itu ada pada wanita, pada kuda yaitu kenderaan dan pada tempat tinggal.
1307 Hadits Aisyah r.a katanya: Aku pernah bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya beberapa orang dukun pernah menceritakan sesuatu kepada kami dan kami rasa apa yang mereka ceritakan itu benar. Rasulullah s.a.w bersabda: Kalimat yang benar itu memang sengaja diambil dengan cepat oleh jin lalu dilemparkan ke telinga walinya, tetapi di dalamnya sudah ditokok tambah dengan seratus kedustaan.
1308 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menyuruh supaya membunuh ular kerana binatang tersebut boleh membutakan pandangan mata dan mencelakakan kandungan.
1309 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular-ular berbisa dan ular-ular yang jahat kerana keduanya boleh menggugurkan kandungan dan membutakan pandangan mata.
1310 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Kami pernah bersama Nabi s.a.w di dalam sebuah gua. Di dalam gua tersebut, Allah berfirman kepada baginda: Demi Malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Kami berhasrat untuk mengambil buah kurma yang berada di depan gua tersebut, tiba-tiba keluar seekor ular. Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular itu. Kami bergegas untuk membunuhnya, namun ular tersebut sangat pantas sehingga terlepas. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: Rupanya Allah telah melindunginya dari kejahatan kamu, sebagaimana Allah telah melindungi kamu dari kejahatannya.
1311 Diriwayatkan dari Ummu Syarik r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w menyuruhnya supaya membunuh cicak. Kemudian di dalam Hadits Ibnu Abu Syaibah ianya disuruh.
1312 Hadits Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberikan nama kepada cicak Fuwaisik yaitu sangat jahat.
1313 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih?.
1314 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang wanita disiksa gara-gara seekor kucing. Beliau mengurungnya sampai mati, kerana kucing itulah beliau masuk Neraka. Beliau telah mengurungnya tetapi tidak memberinya makan dan minum bahkan beliau tidak mahu membiarkan kucing itu memakan serangga-serangga tanah.
1315 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang wanita disiksa gara-gara seekor kucing. Beliau tidak mahu memberinya makan dan tidak mahu memberinya minum. Bahkan beliau tidak mahu membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.
1316 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di jalanan dan beliau amat kehausan, tiba-tiba beliau terjumpa sebuah telaga. Beliau segera turun ke dalam telaga tersebut untuk meminum airnya. Kemudian apabila beliau keluar dari telaga tersebut, beliau melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata di dalam hatinya: Anjing ini mesti kehausan seperti aku. Oleh itu, beliau turun semula ke dalam telaga dan memasukkan air ke dalam kasutnya yang diperbuat dari kulit yaitu khuf dan menggunakan mulutnya untuk mengigit kasut tersebut supaya dapat membawa naik kasut yang berisikan air itu untuk diberikan kepada anjing tersebut. Melihat hal itu, Allah berterima kasih kepadanya, dan mengampuninya. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya perbuatan kita terhadap binatang seperti anjing tersebut boleh mendapatkan pahala? Rasulullah s.a.w menjawab: Setiap yang mempunyai roh (bernyawa) ada pahalanya.
1317 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit yaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan.

UCAPAN YANG BERADAB
1318 Hadits Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Anak Adam selalu mencaci-maki masa, padahal Akulah masa. Siang dan malam berada di tanganKu.
1319 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu memanggil: Wahai hambaku (lelaki) dan hambaku (perempuan). Kerana kamu semua adalah hamba-hamba Allah. Seluruh kaum perempuan adalah hamba-hamba Allah. Tetapi hendaklah dia memanggil: Wahai khadamku, wahai jariahku dan wahai muda-mudiku.
1320 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah sekali-kali salah seorang di antara kamu berkata: Celaka sekali aku, akan tetapi sebaiknya dia berkata: Susah sekali aku.
1321 Diriwayatkan dari Sahl bin Hunaif r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah salah seorang di antara kamu berkata: Celaka sekali aku, akan tetapi sebaiknya hendaklah dia berkata: Susah sekali aku.

SYAIR
1322 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sebaik-baik gubahan sesebuah syair yaitu puisi yang dibawa oleh orang-orang Arab ialah syair atau puisi Labid: Yang bermaksud: "Alaa kullu syaein maa kholal looha baathilun" (Tidakkah mengingati sesuatu selain dari Allah adalah batil).
1323 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidakkah lebih baik perut seseorang itu dipenuhi dengan nanah yang boleh merusakkan tubuhnya dari dipenuhi dengan syair yaitu puisi.

MIMPI
1324 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Mimpi itu ada yang datangnya dari Allah dan ada pula yang datangnya dari syaitan. Maka apabila salah seorang di antara kamu bermimpi yang tidak menyenangkan, maka hendaklah beliau meludah ke sebelah kirinya sebanyak tiga kali, kemudian dia memohon perlindungan dari Allah dari kejahatannya. Mimpi itu tidak akan membahayakannya.
1325 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w. Baginda bersabda: Apabila Kiamat semakin dekat, mimpi seorang muslim hampir tidak dusta. Mimpi salah seorang di antara kamu yang paling dekat dengan kebenaran adalah mimpi orang yang paling jujur dalam berbicara. Mimpi seorang muslim adalah satu dari empat puluh lima bahagian kenabian. Mimpi itu sendiri terbahagi kepada tiga aspek yaitu: Mimpi baik, adalah khabar gembira yang datang dari Allah. Mimpi sedih, adalah mimpi yang datang dari syaitan. Kemudian mimpi yang datang dari bisikan diri sendiri, yaitu jika salah seorang di antara kamu bermimpi yang tidak menyenangkan, maka hendaklah beliau bangun dari tidur lalu mengerjakan sembahyang dan dikehendaki jangan beliau ceritakan mimpi tersebut kepada manusia. Baginda bersabda lagi: Aku sangat menyukai seutas tali dan tidak menyukai sebuah belenggu. Tali adalah lambang keteguhan dalam beragama. Akan tetapi aku tidak tahu apakah yang terakhir ini adalah termasuk Hadits atau sekadar ucapan Ibnu Sirin sahaja.
1326 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Mimpi seorang mukmin adalah salah satu dari empat puluh enam bahagian kenabian.
1327 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupaku.
1328 Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya maka dia benar-benar melihat sesuatu yang benar.
1329 Hadits Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya diceritakan kepada beliau bahawa pada suatu hari ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya semalam aku bermimpi melihat segumpal awan yang menitiskan minyak sapi dan madu. Kemudian aku melihat orang ramai menadahkan tangan mereka pada titisan tersebut, ada di antara mereka yang mendapat banyak dan ada pula yang hanya mendapat sedikit. Lalu aku melihat seutas tali yang terikat dari langit sampai ke bumi. Di situ aku melihat engkau (baginda) memegang tali tersebut lalu engkau (baginda) naik ke atas. Kemudian ada seorang lelaki memegang tali tersebut setelah engkau (baginda) naik ke atas. Kemudian ada pula seorang lelaki lain memegang tali tersebut namun terputus, tetapi setelah disambung, lelaki itu dapat naik ke atas. Abu Bakar berkata: Wahai Rasulullah, demi bapaku dan demi Allah, izinkanlah aku untuk menjelaskan mimpi tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda: Jelaskanlah. Abu Bakar berkata: Segumpal awan tersebut bererti awan Islam. Manakala titisan yang berupa minyak sapi dan madu adalah al-Quran dari segi manis dan kehalusannya. Kemudian orang ramai yang menadahkan tangan mereka pada titisan tersebut bererti orang-orang yang banyak menghayati kandungan al-Quran dan orang-orang yang sedikit penghayatannya terhadap al-Quran. Adapun seutas tali yang terikat dari langit sampai ke bumi adalah kebenaran yang engkau (baginda) bawa. Engkau (baginda) memegang tali tersebut lantas Allah mengangkat engkau (baginda) dengan tali itu. Kemudian setelah engkau (baginda) naik, ada pula seorang lelaki yang memegang tali tersebut dan naik dengan tali itu. Kemudian ada pula seorang lelaki lain yang memegang tali tersebut, namun terputus dan setelah disambung barulah beliau naik ke atas dengan tali itu. Oleh itu, ceritakanlah kepadaku, wahai Rasulullah. Demi bapaku menurut engkau (baginda), apakah penjelasanku itu tepat atau tidak? Rasulullah s.a.w bersabda: Sebahagian yang kamu jelaskan itu ada yang tepat dan sebahagian darinya ada yang salah. Selanjutnya Abu Bakar mengatakan: Demi Allah, wahai Rasulullah, ceritakanlah kepadaku, di manakah letaknya kesalahanku? Baginda bersabda: Kamu jangan banyak bersumpah.
1330 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Aku pernah bermimpi seolah-olah berhijrah dari Kota Mekah menuju ke suatu daerah yang banyak terdapat pokok kurma. Aku yakin itu adalah daerah Yamamah atau daerah Hajar, namun ternyata ianya adalah daerah Madinah yang dahulu dipanggil Yathrib. Dalam mimpiku ini, aku seolah-olah menghayunkan sebilah pedang tiba-tiba matanya menjadi tumpul. Maka ternyata mimpi itu adalah musibah bagi orang-orang mukmin pada perang Uhud. Kemudian aku hayunkan sekali lagi dan pedang itu kembali elok seperti biasa. Maka ternyata itu adalah kemenangan yang diberikan oleh Allah dan bersatunya orang-orang mukmin. Dalam mimpi itu aku juga melihat seekor sapi (lembu betina), Allah adalah Zat yang baik. Maka ternyata itu adalah (isyarat) sekumpulan orang-orang mukmin pada perang Uhud. Namun kebaikan Allah datangnya setelah perang Uhud dan balasan pahala yang diberikan oleh Allah setelah perang Uhud adalah kemenangan pada peperangan Badar.
1331 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Pada suatu hari Musailamah al-Kazzab datang ke Madinah pada zaman Nabi s.a.w dan berkata: Jika Muhammad menyerahkan urusan kepadaku sepeninggalannya, nescaya aku mahu mengikuti jejaknya. Lalu Musailamah kembali berkumpul dengan kaumnya. Kemudian Nabi s.a.w bersama dengan Thabit bin Qais bin Syammas berangkat menemui Musailamah. Ketika itu Nabi s.a.w membawa sepotong pelepah kurma. Setelah Nabi s.a.w berada di hadapan Musailamah beserta teman-temannya, baginda bersabda: Sekalipun kamu meminta kepadaku sepotong kayu ini, tidak akan aku berikan kepadamu. Aku tidak akan menyerang kamu. Hal itu adalah urusan Allah terhadap dirimu. Jika kamu berpaling, nescaya Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya aku telah bermimpi tentang kamu dan ini adalah Thabit yang akan memberikan jawabannya kepada dirimu. Kemudian baginda beralih meninggalkan Musailamah. Ibnu Abbas berkata: Aku bertanya berkenaan sabda Nabi s.a.w bahawa aku bermimpi tentang kamu. Kemudian dijawab oleh Abu Hurairah sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi melihat sepasang gelang emas berada di tanganku. Sepasang gelang tersebut sangat menarik perhatianku. Di dalam tidur itu, aku mendapat wahyu supaya meniup sepasang gelang tersebut. Setelah aku tiup ternyata sepasang gelang tersebut terang. Maka aku tafsirkan mimpi itu bahawa akan muncul dua pembohong sepeninggalku. Salah seorang darinya ialah al-Ansi dari daerah Shan'a (Yaman) kemudian yang keduanya ialah Musailamah dari daerah Yamamah.
1332 Diriwayatkan dari Samurah bin Jundub r.a katanya: Dahulu, setiap kali Nabi s.a.w selesai mengerjakan sembahyang Subuh, baginda mengarahkan wajahnya kepada para Sahabat seraya bertanya: Apakah semalam ada salah seorang di antara kamu yang bermimpi?

KELEBIHAN
1333 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w pada suatu hari meminta air, lalu baginda diberikan sebekas air. Orang ramai diajak mengambil wuduk dengan air tersebut. Maka aku hitungkan jumlahnya yaitu orang yang mengambil wuduk, antara enam puluh hingga lapan puluh orang. Kemudian aku perhatikan air keluar dari celah-celah jari tangan baginda.
1334 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Perumpamaan Allah Azza Wa Jalla mengutusku menyampaikan petunjuk dan ilmu adalah seperti titisan hujan yang telah membasahi bumi. Manakala bumi tersebut sebahagian tanahnya ada yang subur sehingga dapat menyerap air serta menumbuhkan rerumput dan sebahagian lagi berupa tanah-tanah keras yang dapat menahan air, lalu Allah memberi manfaat kepada manusia sehingga mereka dapat meneguk air, memberi minum dan menggembala ternaknya di tempat itu. Ada juga titisan air hujan tersebut jatuh di tanah yang lain, yaitu tanah gersang yang sama sekali tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput rampai. Manakala itu semua adalah perumpamaan orang yang bijak pandai tentang agama Allah dan memanfaatkannya setelah aku diutus oleh Allah. Maka baginda tahu dan mahu mengajar apa yang diketahuinya dan juga perumpamaan orang yang keras kepala yang tidak mahu menerima petunjuk Allah yang keranaNya aku diutuskan.
1335 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku sebagai utusan Allah, adalah seperti seorang lelaki yang menemui kaumnya seraya berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah melihat dengan mata kepala kamu sendiri sekumpulan pasukan. Sesungguhnya aku adalah orang yang memberi peringatan. Carilah keselamatan, maka sebahagian dari kaumnya ada yang patuh, malam-malam mereka berangkat dengan tidak terburu-buru. Manakala sebahagian lagi mereka mendustakan, di mana sehingga pagi hari mereka masih berada di tempatnya. Pada pagi itu pula, pasukan tersebut menghancurkan mereka hingga tidak ada yang tinggal. Maka itu adalah perumpamaan orang-orang yang patuh kepadaku dan mengikuti misi yang aku bawa serta perumpamaan orang yang durhaka kepadaku dan mendustakan misi kebenaran yang aku bawa.
1336 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan umatku adalah seperti seseorang yang menyalakan api, lalu binatang-binatang melata dan nyamuk berduyun-duyun datang kepada api tersebut. Manakala aku telah berusaha memegang tali pinggang kamu, namun kamu masuk ke dalam api tersebut.
1337 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w Baginda bersabda: Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang mendirikan sesebuah bangunan. Beliau membinanya dengan baik dan rapi, tetapi ramai orang yang berkunjung dan melihat bangunan tersebut memberi komen, kami belum pernah melihat bangunan sebagus ini melainkan seketul bata ini. Maka akulah seketul bata tersebut.
1338 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Dari Nabi s.a.w Baginda bersabda: Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang membangunkan sebuah rumah. Beliau membinanya dengan baik dan sempurna, tetapi masih ada satu tempat yang belum diletakkan bata. Ramai orang yang masuk ke dalam rumah tersebut dan mereka mengkaguminya seraya berkata: Alangkah lebih baik jika kekurangan itu disempurnakan. Kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diibaratkan sebagai bata tersebut di mana kedatangan aku adalah sebagai penutup para Nabi.
1339 Hadits Jundab r.a katanya: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Aku mendahului kamu berada di Telaga (Telaga di Surga).
1340 Hadits Sahl r.a katanya: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Aku mendahului kamu berada di Telaga (Telaga di Surga). Sesiapa yang sampai di sana sudah tentu dia akan dapat meminum air itu. Sesiapa yang telah meminumnya nescaya dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Sesungguhnya akan datang kepadaku kaum-kaum yang aku kenal mereka dan mereka kenal aku. Kemudian aku dan mereka dihalangi.
1341 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Telagaku (di Surga) panjangnya sejauh jarak perjalanan selama satu bulan. Begitu juga dengan luasnya. Airnya pula seputih perak, baunya sewangi minyak kasturi dan jumlah bekas airnya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang telah meminum air telaga tersebut, nescaya dia tidak akan haus selama-lamanya.
1342 Diriwayatkan dari Asma' binti Abu Bakar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku berada di atas telaga sehingga aku dapat melihat siapakah di antara kamu yang datang kepadaku dan siapakah orang-orang di bawahku akan dihukum, lalu aku berkata: Wahai tuhanku! Mereka adalah sebahagian dariku dan termasuk umatku. Kemudian dikatakan: Tahukah engkau apa yang mereka lakukan sesudahmu? Demi Allah, mereka terus kembali kepada kekafiran sepeninggalanmu. Kata perawi: Ibnu Abu Mulaikah berdoa: Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon perlindungan kepadaMu agar tidak kembali kepada kekafiran atau tidak difitnah dari agama kami.
1343 Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pada suatu hari keluar untuk menyembahyangkan seorang tentera Uhud yang meninggal dunia. Kemudian baginda naik ke atas mimbar dan bersabda: Sesungguhnya aku akan mendahului kamu. Aku akan menjadi saksi kamu. Demi Allah, sesungguhnya sekarang ini aku sudah dapat melihat telagaku. Sesungguhnya aku telah diberi kunci gedung-gedung di bumi atau kunci-kunci bumi. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak merasa takut kamu akan kembali musyrik setelah peninggalanku, tetapi aku takut kamu akan berlumba-lumba dalam kehidupan dunia.
1344 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku akan mendahului kamu berada di Telaga. Sesungguhnya aku sempat berebut-rebut dengan beberapa kaum, namun aku dapat mengalahkan mereka, aku katakan: Wahai tuhanku, tolonglah sahabat-sahabatku, tolonglah Sahabat-sahabatku. Lantas dikatakan: Sesungguhnya kamu tidak tahu apa yang telah mereka kerjakan sepeninggalanmu.
1345 Diriwayatkan dari Harithah r.a katanya: Sesungguhnya beliau pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Luas telaga itu adalah seluas kawasan yang membentang antara daerah Shan'a dengan daerah Madinah.
1346 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di hadapan kamu terdapat sebuah telaga, luasnya adalah seluas kawasan yang membentang antara daerah Jarba' dengan daerah Azruh.
1347 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku akan mengusir orang-orang yang berada di sekitar telagaku seperti mengusir orang asing yang hendak mengambil air untuk memberi minum untanya.
1348 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Luas telagaku kira-kira seluas kawasan yang terbentang antara daerah Ailah sehingga daerah Shan'a yang berada di Yaman. Sesungguhnya di sana terdapat bekas air yang jumlahnya sebanyak bintang di langit.
1349 Hadits Saad r.a katanya: Aku pernah melihat di sebelah kanan dan kiri Rasulullah s.a.w terdapat dua orang lelaki yang berpakaian warna putih semasa peperangan Uhud, sebelum dan selepasnya aku tidak pernah melihat mereka, yaitu Malaikat Jibril dan Mikail a.s.
1350 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w adalah seorang yang paling baik, dermawan dan berani. Pernah pada suatu malam penduduk Madinah dikejutkan oleh suara yang kuat. Orang ramai kemudiannya berangkat menuju ke arah suara tersebut lalu berjumpa Rasulullah s.a.w, ketika itu baginda baru sahaja pulang dari tempat suara tersebut. Baginda telah mendahului mereka pergi ke arah suara tersebut. Pada waktu itu baginda menaiki kuda kepunyaan Abu Talhah. Di leher kuda itu, terdapat sebilah pedang. Kemudian baginda bersabda: Kamu tidak perlu takut, kamu tidak perlu takut. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kembali semula ke tempat kami sepantas kilat. Anas berkata lagi: Ketika itu kuda baginda berjalan perlahan.
1351 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w adalah Seorang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan. Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Malaikat Jibril a.s telah bertemu dengan baginda setiap tahun pada bulan Ramadan sehingga berakhir Ramadan. Rasulullah s.a.w membaca al-Quran di hadapannya. Apabila Rasulullah s.a.w bertemu dengan Malaikat Jibril, maka baginda adalah orang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan melebihi angin kencang yang diutuskan.
1352 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Aku pernah melayani Rasulullah s.a.w selama sepuluh tahun. Demi Allah, baginda sama sekali tidak pernah mengatakan kepadaku: His! Baginda tidak pernah mengatakan kepadaku kerana sesuatu yang aku lakukan: Kenapa kamu kerjakan itu? Tidakkah kamu seharusnya mengerjakan ini.
1353 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w diminta sesuatu, baginda tidak pernah menjawab: Tidak boleh.
1354 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya harta kekayaan Bahrain dapat aku miliki, nescaya aku akan berikan kepada kamu sekian, sekian, dan sekian, sambil baginda mengisyaratkan kedua belah tangannya. Namun Nabi s.a.w wafat terlebih dahulu sebelum harta kekayaan Bahrain dimilikinya.
1355 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Pada malam ini aku dikurniakan seorang anak dan aku namakannya dengan nama datuk nenekku yaitu Ibrahim. Kemudian baginda menyerahkannya kepada Ummu Saif, isteri seorang tukang besi yang bergelar Abu Saif. Pada suatu hari baginda berangkat menemui Ummu Saif untuk menyerahkan anaknya dan aku mengikuti baginda sehingga bertemu Abu Saif. Abu Saif ketika itu sedang meniup api dengan menggunakan alat khas sehingga rumahnya dipenuhi dengan asap. Aku terus berjalan dengan cepat lantas berkata: Wahai Abu Saif! Ambil putera Nabi ini. Setelah Abu Saif mengambil putera baginda, Nabi s.a.w lalu terus berdoa kemudian merangkul puteranya yang masih kecil. Pada waktu itu baginda sempat menyatakan sesuatu kepada puteranya. Anas berkata lagi: Waktu Ibrahim putera Nabi itu hampir dengan kematiannya dan sewaktu beliau berada dalam buaian Rasulullah s.a.w aku melihat kedua belah mata baginda melinangkan air mata seraya baginda bersabda: Aku melinangkan air mata dan hati ini terasa sedih, namun aku tidak akan berkata sesuatu melainkan perkataan yang disukai oleh tuhanku. Demi Allah, wahai Ibrahim, sesungguhnya aku sedih atas keadaanmu.
1356 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Pada suatu hari, beberapa Arab desa datang kepada Rasulullah s.a.w. Mereka bertanya kepada para Sahabat: Apakah kamu pernah memeluk anak-anak kecil kamu? Para Sahabat menjawab: Ya. Orang-orang kampung itu berkata: Akan tetapi, demi Allah, kami belum pernah memeluknya. Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Aku tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya Allah mencabut rahmat dari kamu.
1357 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya al-Aqrak bin Haabis pernah melihat Nabi s.a.w memeluk Hasan. al-Aqrak lalu berkata: Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun dari mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya barangsiapa yang tidak menyayangi, nescaya beliau tidak akan disayangi.
1358 Diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa tidak menyayangi sesama manusia, maka Allah tidak akan menyayanginya.
1359 Hadits Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w lebih pemalu dari seorang gadis yang berada di dalam biliknya. Sesungguhnya jika baginda tidak suka kepada sesuatu (keadaan sedemikian) dapat aku lihat pada air mukanya.
1360 Hadits Abdullah bin Amr r.a katanya: Ketika Muawiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin Amr bercerita tentang Rasulullah s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah berbuat perkara keji. Beliau juga berkata: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya.
1361 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah di dalam perjalanannya berkata kepada seorang pelayan berkulit hitam bernama Anjasyah yang sedang memandu kenderaan yang dinaiki oleh isteri-isteri Nabi. Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Wahai Anjasyah! Perlahankanlah kenderaan. Berlaku lembutlah kepada kaum wanita.
1362 Diriwayatkan dari Aisyah isteri Nabi r.a katanya: Setiap kali apabila Rasulullah s.a.w disuruh memilih di antara dua perkara, maka baginda akan mengambil yang paling ringan di antara keduanya selama mana ianya tidak berdosa. Jika yang paling ringan itu berdosa, maka baginda menjauhinya pula. Rasulullah s.a.w tidak pernah membalas kerana untuk diri sendiri melainkan jika kehormatan Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung dipermain-mainkan.
1363 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah datang ke rumah Ummu Sulaim dan ingin beristirehat yaitu tidur siang di rumahnya. Ummu Sulaim lalu meletakkan hamparan dari kulit sebagai alas tidur Nabi. Manakala di saat tidur itulah baginda mengeluarkan banyak keringat. Ummu Sulaim lalu mengumpulkan keringat tersebut kemudian mencampurnya dengan minyak wangi dan memasukkannya ke dalam botol-botol kecil. Kemudian Nabi s.a.w bertanya kepada Ummu Sulaim: Apa ini? Beliau menjawab: Keringat kamu. Aku mencampurnya dengan minyak wangiku.
1364 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah menerima wahyu pada waktu pagi di musim dingin kemudian didapati dahinya berkeringat.
1365 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Kebiasaan Ahli Kitab ialah mengurai rambutnya. Kebiasaan orang-orang musyrik ialah menyikat rambutnya menjadi dua belahan. Rasulullah s.a.w suka menyesuaikan dengan Ahli Kitab pada perkara yang tidak diperintahkan. Rasulullah s.a.w mengurai rambutnya, kemudian barulah baginda menyikatnya menjadi dua belahan.
1366 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Rasulullah s.a.w adalah seorang lelaki yang berbadan segak, berbahu lebar dan berambut panjang sehingga menjuntai ke cuping telinga. Baginda memakai pakaian yang berwarna merah. Aku tidak pernah melihat sesuatu yang indah, seindah Nabi s.a.w.
1367 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Qatadah r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Anas bin Malik, bagaimanakah keadaan rambut Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik menjawab: Rambutnya ikal, tidak keriting dan tidak lurus, kemudian terurai sehingga sampai ke bahu baginda.
1368 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Ibnu Sirin r.a katanya: Anas bin Malik pernah ditanya: Apakah Rasulullah s.a.w mewarnakan rambut yaitu ubannya? Anas bin Malik menjawab: Sesungguhnya beliau belum pernah melihat uban melainkan sedikit.
1369 Diriwayatkan dari Abu Juhaifah r.a katanya: Aku pernah melihat rambut Rasulullah s.a.w yang di sini, berwarna putih. Zuhair memberi isyarat sambil meletakkan sebahagian jari-jarinya di bawah bibir. Salah seorang bertanya kepada Zuhair: Berapakah umur kamu pada waktu itu? Zuhair menjawab: Aku pada waktu itu sudah pandai membuat anak panah dan melekatkan bulu pada panah tersebut.
1370 Diriwayatkan dari as-Saib bin Yazid r.a katanya: Emak saudaraku pernah menemui Rasulullah s.a.w bersama-samaku. Emak saudaraku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak saudaraku ini diserang sakit perut. Maka aku melihat baginda mengusap kepalaku dan mendoakan aku supaya mendapat berkat. Selepas itu baginda berwuduk lalu minum air lebihan wuduk baginda kemudian aku berdiri di belakang baginda. Aku melihat ada tanda pada tengah-tengah bahu baginda dengan terang seperti lubang pada sarang merpati.
1371 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Bentuk tubuh Rasulullah s.a.w tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Baginda tidak terlalu putih dan tidak terlalu hitam. Rambut baginda tidak terlalu Kerinting dan tidak terlalu lurus. Baginda diutuskan oleh Allah ketika berusia empat puluh tahun. Baginda tinggal di Mekah selama sepuluh tahun dan di Madinah selama sepuluh tahun. Baginda wafat ketika berusia awal enam puluhan. Sementara itu di kepala dan janggut baginda tidak terdapat lebih dari dua puluh helai rambut yang berwarna putih.
1372 Hadits Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w wafat pada usia enam puluh tiga tahun.
1373 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tinggal di Mekah selama tiga belas tahun. Baginda wafat pada usia enam puluh tiga tahun.
1374 Diriwayatkan dari Jubair bin Muth'im r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Aku adalah Muhammad. Aku adalah Ahmad. Aku adalah al-Maahi yang mana disebabkan aku kekufuran dihancurkan. Aku adalah al-Haasyir dimana ramai orang dikumpulkan selepasku. Aku adalah al-Aaqib dan al-Aaqib adalah penutup para Nabi.
1375 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah membuat sesuatu pekerjaan namun baginda kemudiannya memberikan keringanan. Ketika perkara itu didengar oleh sebahagian dari sahabat-sahabat baginda, mereka seolah-olah tidak suka dengan tindakan baginda itu dan mengatakan ianya tidak berdosa. Reaksi mereka itu sampai kepada baginda. Baginda seterusnya berdiri dan berpidato: Apa dipedulikan orang-orang itu? Mereka mendengar berita tentang diriku yang memberikan kemurahan terhadap sesuatu. Mereka tidak menyukainya dan mengatakan ianya tidak berdosa. Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling tahu dan paling bertaqwa kepada Allah dari mereka.
1376 Diriwayatkan dari Abdullah bin az-Zubair r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki Ansar berkelahi dengan Az-Zubair di samping Rasulullah s.a.w berkenaan saluran air di Harrah. Lelaki Ansar tersebut berkata: Alirkan air itu sehingga mengalir. Az-Zubair menolak permintaan mereka, lalu mereka berkelahi di samping Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda kepada Az-Zubair: Berilah aliran air, wahai Az-Zubair! Kemudian biarkan air itu mengalir pada jiran tetanggamu. Lelaki Ansar tadi marah seraya berkata: Wahai Rasulullah! Apakah kerana Zubair adalah anak saudara engkau? Nabi s.a.w dengan marah bersabda: Wahai Az-Zubair! Berilah kepadanya air, kemudian tahanlah air tersebut sehingga ianya mengalir ke kebun itu. Setelah selesai kejadian itu, Az-Zubair berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku yakin bahawa ayat ini turun membicarakan tentang perkelahian tadi. Yang bermaksud: Maka demi tuhan, mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan.
1377 Diriwayatkan dari Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya sebesar-besar dosa orang Islam terhadap orang Islam lain ialah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan kepada orang-orang Islam, kemudian diharamkan ke atas mereka disebabkan pertanyaannya.
1378 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Satu berita tentang para Sahabat sampai kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda bersabda: Telah diperlihatkan kepadaku Surga dan Neraka. Aku belum pernah melihat sesuatu yang paling baik dan paling buruk seperti yang aku lihat pada hari ini. Jika kamu mengetahui perkara-perkara yang dapat aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Anas berkata lagi: Cuaca hari ini sangat panas. Kepanasannya menyengat para Sahabat Rasulullah s.a.w sehingga mereka terpaksa menutup kepala. Jadi, semasa mereka berteriak tangis yang memilukan. Umar berdiri seraya berkata: Kami rela Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabi. Selanjutnya Anas berkata lagi: Ada seorang lelaki yang berdiri dan berkata: Siapakah bapaku? Beliau menjawab: Bapa engkau adalah si polan. Kemudian turun ayat: Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu menanyakan (kepada nabimu) perkara-perkara yang mana jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu.
1379 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w pernah ditanya tentang beberapa perkara yang tidak disukai oleh baginda. Oleh Kerana baginda didesak dengan berbagai pertanyaan, baginda menjadi marah dan bersabda kepada mereka: Bertanyalah kepadaku tentang apapun yang kamu inginkan. Seorang lelaki bertanya: Siapakah ayahku? Baginda bersabda: Ayahmu adalah Huzafah. Maka berdiri pula yang lain dan bertanya: Siapakah ayahku, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ayahmu adalah Salim Maula Syaibah. Setelah Umar melihat Rasulullah s.a.w sangat marah, beliau berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah.
1380 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Aku adalah orang yang paling berhak terhadap Putera Mariam. Para Nabi adalah saudara-saudara sebapa. Antara aku dan dia (Putera Mariam) tidak ada walau seorang Nabi.
1381 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorang bayi yang dilahirkan melainkan telah disentuh oleh syaitan. Bayi itu menangis, menjerit kerana sentuhan syaitan tersebut kecuali Putera Mariam dan Mariam.
1382 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Pada suatu hari Isa bin Mariam melihat seorang lelaki sedang mencuri. Lalu Nabi Isa bertanya kepada lelaki tersebut: Kamu mencuri? Lelaki tersebut menjawab: Tidak, Demi Zat yang tiada Tuhan melainkan Dia. Selanjutnya Nabi Isa berkata: Aku beriman kepada Allah. Aku mendustakan diriku.
1383 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Ibrahim a.s adalah seorang Nabi yang berkhatan sendiri pada usia lapan puluh tahun dengan sebilah kapak.
1384 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Ibrahim adalah seorang nabi yang sama sekali tidak pernah berdusta kecuali dalam tiga keadaan. Dua keadaan yang melibatkan Allah, yaitu ucapan Nabi Ibrahim: Yang bermaksud: Sesungguhnya aku sakit dan ucapan Nabi Ibrahim sendiri: Yang bermaksud: Sebenarnya patung besar inilah yang memukulnya. Salah satunya adalah melibatkan diri Sarah. Sesungguhnya Ibrahim bersama Sarah pernah datang di wilayah seorang Raja yang diktatur. Sarah adalah seorang wanita yang paling cantik. Nabi Ibrahim berkata kepada Sarah: Sesungguhnya jika raja yang diktatur itu tahu bahawa kamu adalah isteriku, tentu beliau akan memaksaku untuk memiliki kamu. Jika beliau bertanya kepadamu, maka katakan kepadanya bahawa kamu adalah saudara perempuanku. Sesungguhnya kamu memang saudara perempuanku dalam Islam. Sesungguhnya di wilayah ini aku tidak melihat seorang muslim pun melainkan aku dan kamu. Ketika Nabi Ibrahim memasuki Wilayah Raja diktatur tersebut ada seorang rakyatnya yang melihat Sarah. Beliau datang kepada Raja diktatur tersebut dan melaporkan: Sesungguhnya telah datang ke wilayah kamu seorang wanita yang hanya patut menjadi milik kamu. Raja tersebut mengirimkan utusan kepada Sarah dan membawanya, lalu Nabi Ibrahim a.s mengerjakan sembahyang. Ketika Sarah bertemu muka dengan Raja tersebut. Beliau tidak mampu menguasai tangannya untuk memeluk Sarah kerana tangannya tergenggam erat. Beliau berkata kepada Sarah: Berdoalah kepada Allah agar Allah melepaskan tanganku, aku tidak akan menyusahkan kamu, lalu Sarah berdoa. Raja menggenggam tangannya sendiri dengan erat, lebih erat dari yang pertama. Raja mengulangi ucapannya, maka Sarah melakukannya. Raja menggenggam tangannya sendiri dengan erat, lebih erat dari yang pertama dan kedua. Raja berkata: Berdoalah kepada Allah agar dia melepaskan tanganku. Demi Allah aku tidak akan menyusahkan kamu. Sarah menurut saja. Kali ini tangan Raja tersebut terlepas. Lalu Raja tersebut memanggil orang yang membawa Sarah dan berkata: Sesungguhnya yang kamu bawa kepadaku adalah syaitan bukan manusia. Usirkan beliau dari wilayahku dan berikanlah Siti Hajar kepadanya. Abu Hurairah meneruskan kata-katanya: Sarah kembali dengan berjalan kaki. Tatakala Nabi Ibrahim a.s melihatnya, beliau menyambutnya seraya bertanya: Bagaimana khabarmu? Sarah menjawab: Baik, sesungguhnya Allah telah mengunci tangan orang yang ingin berbuat jahat atau serong dan memberi seorang khadam (pelayan).
1385 Hadits Abu Hurairah r.a katanya: Malaikat maut pernah diutuskan kepada Nabi Musa a.s. Tatakala Malaikat tersebut datang kepadanya, Musa menamparnya sehingga matanya tercabut. Malaikat tersebut kembali kepada Tuhannya dan berkata: Engkau telah mengutuskan aku kepada orang yang tidak ingin mati. Allah kemudiannya mengembalikan matanya seraya berfirman: Kembalilah kepada Musa, katakan kepadanya supaya beliau meletakkan tangannya di punggung seekor lembu jantan. Beliau berhak mendapat umur setahun pada setiap helai bulu yang ditutupi oleh tangannya. Malaikat tersebut bertanya: Ya Tuhanku, setelah itu? Tuhan berfirman: Kemudian mati. Malaikat tersebut berkata: Sekarang, Musa memohon kepada Allah agar mendekatkannya dengan bumi suci sejauh lontaran seketul batu. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya aku berada di sana tentu aku akan memperlihatkan kepada kamu makam Musa yang berada di pinggir jalan di bawah sebuah bukit pasir merah.
1386 Hadits Abu Hurairah r.a katanya: Ketika seorang Yahudi menawarkan barang dagangannya dan telah diberi sedikit gambaran bahawa beliau belum merasa puas hati atau tidak meredainya, kalau tidak silap namanya Abdul Aziz berkata: Tidak, demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia. Seorang lelaki Ansar yang mendengar kata-katanya terus menampar mukanya dan berkata: Kamu berkata Demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia? Bukankah Rasulullah s.a.w telah berada di tengah-tengah kita? Lalu orang Yahudi tersebut pergi menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Abu al-Qasim! Sesungguhnya aku memiliki jaminan dan perjanjian, tetapi si anu telah menampar mukaku. Rasulullah s.a.w bertanya kepada lelaki Ansar tadi: Kenapa kamu menampar mukanya? Beliau menjawab: Orang Yahudi telah berkata bahawa demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia. Bukankah engkau berada di tengah-tengah kami? Rasulullah s.a.w menampakkan wajahnya yang marah dan bersabda: Janganlah kamu mengutamakan di antara para utusan Allah. Sesungguhnya sangkakala yaitu sejenis serunai akan ditiup. Apa yang berada di pelusuk langit dan di bumi akan mati, melainkan orang-orang yang dikehendaki oleh Allah. Pada tempoh yang lain pula sangkakala yaitu sejenis terompet akan ditiup lagi. Maka aku adalah orang pertama yang dibangkitkan. Apabila Nabi Musa a.s telah berpegang pada Arasy, aku tidak tahu adakah telah diperhitungkan kematian Musa a.s (dengan tiupan sangkakala) pada hari at-Thur atau beliaukah yang telah dibangkitkan sebelum aku dan aku tidak akan berkata: Sesungguhnya ada seorang lelaki yang lebih utama dari Yunus bin Matta a.s.
1387 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Dari Nabi s.a.w sabdanya: Tidak patut bagi seorang hamba berkata: Aku adalah orang yang lebih baik dari Yunus bin Matta a.s dengan mengaitkannya kepada ayahnya.
1388 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Tanyakan wahai Rasulullah siapakah orang yang paling mulia? Baginda bersabda: Mereka yang paling bertaqwa. Mereka berkata: Bukan itu yang kami tanyakan kepada engkau. Baginda bersabda: Nabi Yusuf a.s adalah seorang Nabi, anak seorang Nabi, Cucu seorang Nabi dan ayah datuknya adalah Khalilullah yaitu kekasih Allah. Mereka berkata: Bukan perkara itu yang kami tanyakan kepada engkau. Baginda bersabda: Apakah tentang nenek moyang orang-orang Arab yang kamu tanyakan kepadaku? Keunggulan mereka pada masa jahiliah adalah keunggulan mereka pada masa Islam, yaitu jika mereka berbudi pekerti yang baik.
1389 Hadits Ubai bin Kaab r.a: Diriwayatkan dari Said bin Jubair r.a katanya: Aku pernah berkata kepada Ibnu Abbas: Sesungguhnya Naufal al-Bikali menganggap bahawa Nabi Musa a.s seorang Nabi Bani Israel adalah bukan Nabi Musa a.s yang menjadi Sahabat Khaidir Ibnu Abbas berkata: Bohong musuh Allah. Aku pernah mendengar Ubai bin Kaab berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Musa a.s pernah berpidato di tengah-tengah Bani Israel lalu Nabi Musa a.s ditanya: Siapakah manusia yang lebih tahu? Beliau menjawab: Akulah orang yang lebih tahu. Allah terus menegurnya kerana beliau tidak mengembalikan pengetahuannya kepada Allah. Allah memberikan wahyu kepadanya: Sesungguhnya seorang hambaKu yang berada di pertemuan dua buah lautan adalah lebih tahu dari kamu. Selanjutnya Nabi Musa a.s bertanya: Wahai Tuhanku! Bagaimana aku dapat berjumpa dengannya? Dikatakan kepada Musa: Bawalah ikan paus dalam sebuah keranjang. Di mana saja kamu kehilangan ikan tersebut, maka di situlah dia berada. Lalu Nabi Musa a.s berangkat bersama muridnya bernama Yusya' bin Nun. Nabi Musa a.s membawa ikan tersebut di dalam sebuah keranjang. Nabi Musa a.s dan muridnya berangkat secara berjalan kaki sehingga sampai di sebuah batu karang besar yang sangat keras lalu Nabi Musa a.s dan muridnya tidur. Sementara itu, ikan yang berada di dalam keranjang tersebut bergerak dan keluar dari keranjang lalu terjun ke laut. Allah menahan ombak, sehingga menjadi seperti sebuah jambatan supaya ikan tersebut dapat melintasinya. Nabi Musa a.s dan muridnya merasa hairan, mereka meneruskan perjalanan yang masih terbaki pada siang dan malam. Murid Nabi Musa a.s terlupa untuk memberitahunya. Pada suatu pagi Nabi Musa a.s berkata kepada muridnya: Yang bermaksud: Bawalah makanan kemari, sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini. Tetapi Nabi Musa a.s tidak akan merasa letih sebelum beliau sampai ke tempat yang diperintahkan. Muridnya berkata: Yang bermaksud: Tahukah engkau ketika kita mencari tempat berlindung di sebuah batu karang tadi aku terlupa menceritakan tentang ikan itu. Syaitan telah membuatkan aku lupa untuk menceritakannya. Ikan itu telah masuk ke dalam laut dengan cara yang sangat aneh sekali. Seterusnya Nabi Musa a.s berkata: Yang bermaksud: Kalau begitu itulah tempat yang kita cari. Lalu kedua-duanya kembali ke tempat tersebut mengikuti jejak mereka yang dahulu sehinggalah mereka sampai ke tempat batu tersebut. Musa melihat seorang lelaki yang berselimut dengan sehelai pakaian dan itulah Khaidir. Nabi Musa a.s coba memberi salam kepadanya. Khaidir bertanya kepada Nabi Musa a.s: Bagaimana mungkin ada salam di bumi ini? Nabi Musa a.s berkata: Aku adalah Musa. Khaidir bertanya: Musa Bani Israel? Nabi Musa a.s menjawab: Ya. Khaidir berkata: Sesungguhnya kamu memiliki salah satu ilmu yang telah diberikan Allah kepada kamu dan aku tidak mengetahuinya. Sebaliknya aku juga memiliki salah satu ilmu Allah yang telah diberikan kepadaku dan kamu tidak mengetahuinya. Nabi Musa a.s berkata kepada Khaidir: Yang bermaksud: Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Khaidir menjawab: Sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku. Bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu kerana kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang perkara itu? Musa a.s berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun. Khaidir menjawab: Yang bermaksud: Khaidir berkata kepada Nabi Musa a.s: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu bertanya walau apapun sebelum aku sendiri yang menerangkannya kepadamu. Nabi Musa a.s berkata: Baiklah. Maka berangkatlah Khaidir dan Nabi Musa a.s secara berjalan kaki di tepi pantai. Sebuah perahu datang kepada mereka. Mereka bercakap-cakap dengan para penumpangnya agar membawanya. Setelah mereka mengenali Khaidir, mereka membawa keduanya tanpa apa-apa bayaran. Khaidir dengan sengaja mencabut sekeping papan pada perahu tersebut. Nabi Musa a.s berkata kepada Khaidir: Mereka telah membawa kita tanpa apa-apa bayaran tetapi kenapa dengan sengaja kamu lubangi perahu mereka? Yang bermaksud: Kamu menenggelamkan penumpangnya. Bukankah kamu telah membuat suatu kesalahan yang besar? Khaidir berkata: Bukankah aku telah berkata: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersamaku. Nabi Musa a.s berkata: Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku. Seterusnya mereka berdua meninggalkan perahu tersebut. Sewaktu mereka berdua sedang berjalan di tepi pantai, tiba-tiba mereka dapati seorang remaja bermain dengan beberapa orang kawannya. Khaidir memegang kepala seorang kanak-kanak kemudian membongkok lalu membunuhnya. Nabi Musa a.s berkata: Yang bermaksud: Mengapa kamu bunuh jiwa yang bersih itu? Bukankah beliau tidak membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang mungkar. Bukankah aku telah katakan kepadamu, bahawa kamu tidak akan sabar bersamaku? Ini sudah keterlaluan dari yang pertama. Khaidir berkata: Yang bermaksud: Seterusnya Nabi Musa a.s berkata: Jikalau aku bertanya lagi kepadamu tentang sesuatu, maka aku tak akan mengikutimu. Sesungguhnya kamu cukup memahami akan aku. Mereka berdua meneruskan perjalanan. Ketika mereka berdua sampai ke sebuah negeri mereka meminta supaya dijamu oleh penduduk negeri itu. Tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka. Kemudian keduanya mendapati dalam negeri itu terdapat dinding rumah yang hampir roboh. Lalu Khaidir menegakkan dinding itu. Nabi Musa a.s berkata: Jika kamu mahu, kamu boleh mengambil upah. Khaidir mengisyaratkan tangannya dan menegakkan dinding tersebut. Nabi Musa a.s berkata kepada Khidir: Orang-orang yang kita datangi tidak mahu menerima kita sebagai tetamu dan tidak mahu menjamu kita. Yang bermaksud: Jika kamu mahu, bolehlah kamu mengambil upahnya dari pekerjaanmu itu. Khaidir berkata: Inilah perpisahan kita. Aku akan memberitahumu tujuan perbuatan-perbuatanku yang membuatkan kamu tidak sabar terhadapnya. Rasulullah s.a.w bersabda: Semoga Allah merahmati Nabi Musa a.s. Aku amat suka sekiranya Nabi Musa a.s dapat bersabar sehingga beliau dapat menceritakan kepada kita tentang pengalaman mereka berdua. Rasulullah s.a.w bersabda: Tindakan Nabi Musa a.s yang pertama memang kerana terlupa. Baginda bersabda: Seekor burung pipit terbang lalu singgah di tepi perahu tersebut dan mematuk di laut. Lalu Khaidir berkata kepada Nabi Musa a.s: Ilmu kita, jika dikaitkan dengan ilmu Allah, adalah seperti patukan seekor burung pipit pada lautan.

KELEBIHAN PARA SAHABAT
1390 Diriwayatkan dari Abu Bakar As-Siddiq r.a katanya: Ketika kami berada di dalam Gua Hira' kami melihat kaki orang-orang Musyrikin berada di atas kepala kami. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya salah seorang dari mereka melihat kakinya tentu dia akan melihat kita. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Bakar! Janganlah kamu menyangka kita hanya berdua. Sesungguhnya Allah adalah yang ketiga.
1391 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w berada di atas mimbar, baginda s.a.w bersabda: Terdapat seorang hamba, di mana Allah memberi pilihan kepadanya, samada beliau ingin memilih kemewahan dunia atau diberi sesuatu yang ada di sisi Allah. Ternyata beliau memilih apa yang ada di sisi Allah. Setelah itu Abu Bakar menangis dan berkata: Aku menebus kamu dengan bapa dan ibuku. Abu Said berkata: Rasulullahlah yang dipilihnya dan Abu Bakar sendiri yang memberitahu perkara itu kepadaku. Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar. Sekiranya aku ingin mengambil seorang kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku, akan tetapi beliau merupakan saudaraku di dalam Islam. Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela besar di antara dua buah rumah untuk Abu Bakar.
1392 Diriwayatkan dari Amru bin al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengutus beliau yaitu Abu Bakar r.a untuk menghadapi tentera Zatu as-Salasil. Aku bertanya baginda, siapakah orang yang paling dicintai. Rasulullah s.a.w menjawab: Aisyah. Aku bertanya: Siapakah pula dari orang lelaki? Baginda s.a.w menjawab: Ayahnya yaitu Abu Bakar r.a. Aku bertanya lagi. Baginda s.a.w menjawab: Umar. Selepas itu Rasulullah s.a.w membilang nama beberapa orang Sahabat yang lain.
1393 Hadits Jubair bin Mut'im r.a: Diriwayatkan dari Muhammad bin Jubair bin Mut'im r.a dari ayahnya bahawa: Seorang perempuan bertanya Rasulullah s.a.w mengenai sesuatu perkara, tetapi Rasulullah s.a.w menyuruhnya datang pada lain kali. Lalu perempuan itu bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah sekiranya aku datang, tetapi kamu tiada. Ayahku berkata: Perempuan tersebut seolah-olah bermaksud jika baginda wafat. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya aku tiada maka temuilah Abu Bakar.
1394 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w berkata kepadaku semasa baginda sakit: Panggilkan Abu Bakar dan saudara lelakimu untuk ku. Aku ingin menulis sepucuk surat, kerana aku bimbang terhadap orang-orang yang menentang akan berkata: Akulah orang yang paling berhak, sedangkan Allah dan orang mukmin tidak reda melainkan Abu Bakar.
1395 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki memukul lembunya yang sedang membawa barang muatan, tiba-tiba lembu itu berpaling dan berkata: Sesungguhnya aku diciptakan bukan untuk ini, tetapi aku diciptakan untuk membajak. Semua orang terkejut dan tidak percaya bahawa lembu boleh berkata-kata. Rasulullah s.a.w berkata: Sesungguhnya aku, Abu Bakar dan Umar mempercayainya. Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang pengembala sedang mengawasi kambingnya, tiba-tiba seekor serigala menerkam ke arah kambingnya dan berjaya menangkap salah seekor dari kambingnya. Pengembala itu berusaha untuk menyelamatkan kambingnya itu tetapi tidak berjaya. Tiba-tiba serigala itu berpaling dan berkata kepadanya: Siapakah pada pagi ini yang dapat menghalang dari serangan seekor binatang buas? Sedangkan hari ini tiada penggembala selain dari aku. Semua orang terkejut dan tidak percaya. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku, Abu Bakar dan Umar mempercayainya.
1396 Hadits Ali bin Abu Talib r.a: Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika jenazah Umar bin al-Khattab diletakkan di atas katil ramai orang yang datang menziarahi, berdoa, memuji dan menyembahyangkan jenazahnya sebelum dikebumikan. Ketika itu aku juga berada di kalangan mereka. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh seorang lelaki yang memegang bahuku dari belakang. Bila aku menoleh ke arahnya ternyata dia adalah Ali bin Abu Talib. Setelah berdoa untuk jenazah Umar, dia berkata: Kamu tidak meninggalkan seorang yang sangat aku cintai melebihi darimu. Sehingga bertemu dengan Allah sekalipun tidak ada yang dapat menandingi amalanmu. Demi Allah, aku yakin bahawa sesungguhnya Allah akan menempatkan kamu bersama-sama dengan dua orang Sahabat kamu di mana aku selalu mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan Umar dan aku keluar bersama Abu Bakar dan Umar. Aku berharap semoga Allah menjadikan kamu bersama keduanya.
1397 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi melihat orang ramai memakai berbagai-bagai jenis pakaian. Ada yang berpakaian hanya separas dada dan ada yang pakaiannya kurang dari itu. Sedangkan aku melihat Umar bin al-Khattab berjalan dengan pakaian yang labuh. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana penafsiran kamu mengenai maki tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda: Itulah agama.
1398 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku sedang tidur aku bermimpi melihat sebekas susu yang dihidangkan kepadaku. Aku meminumnya sehinggalah aku dapati zatnya memasuki kuku-kuku aku, kemudian aku berikan lebihan aku itu kepada Umar bin al-Khattab. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana penafsiran kamu mengenai mimpi tersebut. Rasulullah s.a.w berkata: Itulah ilmu.
1399 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: ketika aku sedang tidur aku bermimpi melihat diriku berada di sebuah telaga yang terdapat timba. Aku mengambil air telaga itu dengan banyak. Kemudian aku melihat Ibnu Abu Quhafah memegang timba dan mengambil air dari telaga itu sebanyak satu atau dua kali dan setiap kali air diambil pasti berkurangan, semoga Allah mengampuninya. Selepas itu timba menjadi besar dan digunakan oleh Ibnu al-Khattab. Aku tidak pernah melihat manusia perkasa yang dapat melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Umar bin al-Khattab, sehingga orang ramai dapat memberi minuman tersebut kepada unta-unta mereka, kemudian mereka membawa unta-unta itu ke kandang.
1400 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku bermimpi seolah-olah aku sedang mengambil air dengan timba yang berada di sebuah telaga. Abu Bakar datang membantuku untuk mengambil air sebanyak satu atau dua kali. Setiap kali beliau mengambil air, air itu akan berkurangan, semoga Allah mengampuninya. Kemudian datang pula Umar untuk mengambil air, tiba-tiba timba menjadi besar. Aku tidak pernah melihat manusia perkasa yang dapat melakukanya seperti apa yang dilakukan oleh beliau sehingga orang ramai mencukupi bekalan air mereka, kemudian mereka membawa unta-unta mereka ke kandang.
1401 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Dari Nabi s.a.w sabdanya: Aku bermimpi masuk ke dalam Surga, aku melihat di dalamnya terdapat sebuah istana, maka aku bertanya: Untuk siapakah istana ini? Mereka yaitu Malaikat menjawab: Untuk Umar bin al-Khattab. Aku coba untuk masuk, tetapi aku teringat akan kecemburuanmu. Setelah mendengar perkara itu, Umar menangis dan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah aku harus cemburu kepadamu.
1402 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku bermimpi berada di dalam Surga, tiba-tiba aku melihat seorang perempuan mengambil wuduk di tepi sebuah istana, lalu aku bertanya: Untuk siapakah istana ini? Para Malaikat menjawab: Kepunyaan Umar bin al-Khattab. Aku teringat akan kecemburuan Umar lalu aku pun berlalu dari situ. Abu Hurairah berkata: Umar menangis di dalam majlis itu dan kami semua berada di situ bersama Rasulullah s.a.w. Kemudian Umar berkata: Demi ayahku! Apakah aku harus cemburu kepadamu wahai Rasulullah!.
1403 Diriwayatkan dari Saad r.a katanya: Umar meminta kebenaran dari Rasulullah s.a.w untuk menemui baginda s.a.w. Pada ketika itu, beberapa orang wanita Quraisy sedang berbincang dengan Rasulullah s.a.w dengan suara yang tinggi. Apabila mendengar suara Umar meminta izin wanita-wanita itu berlari menuju ke balik tabir. Rasulullah s.a.w mengizinkan Umar masuk. Rasulullah s.a.w tersenyum ketika melihat beliau. Umar berkata: Semoga Allah memanjangkan usiamu wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w berkata: Aku hairan dengan wanita-wanita yang berada di sampingku itu, apabila terdengar suaramu mereka berlari menuju ke balik tabir. Lalu Umar berkata: Wahai Rasulullah! Engkaulah orang yang paling berhak untuk di takuti. Umar berkata kepada wanita-wanita yang bersembunyi itu: Wahai wanita-wanita yang menjadi musuh diri sendiri, adakah kamu merasa takut kepadaku tetapi tidak takut kepada Rasulullah. Mereka menjawab: Benar, kerana tingkah laku dan pertuturan kamu lebih kasar dari Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat aku yang berada di dalam kekuasaanNya, tidak ada syaitan yang akan melalui jalan yang dilalui olehmu, melainkan mereka berusaha melalui jalan yang tidak dilalui olehmu.
1404 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Aku memenuhi kehendak tuhanku di dalam tiga perkara: Yaitu di Maqam Ibrahim, mengenai Hijab dan di dalam tawanan perang Badar.
1405 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Ketika Abdullah bin Ubai bin Salul meninggal dunia, datang anaknya Abdullah bin Abdullah menemui Rasulullah s.a.w, meminta pakaian Rasulullah s.a.w untuk mengkafani jenazah ayahnya. Rasulullah s.a.w memenuhi permintaan tersebut, kemudian beliau meminta Rasulullah s.a.w menyembahyangkan jenazah ayahnya. Maka Rasulullah s.a.w berdiri untuk memenuhi permintaan itu. Umar berdiri serta menarik baju Rasulullah s.a.w sambil berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kamu ingin menyembahyanginya, tidakkah Allah melarang dari berbuat begitu? Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepadaku. Allah telah berfirman: yang bermaksud: Kamu mintalah keampunan untuk mereka atau tidak minta keampunan untuk mereka, sekirannya kamu meminta keampunan untuk mereka sebanyak tujuh puluh kali, aku akan menambahnya tujuh puluh kali. Umar berkata: Abdullah itu orang munafik. Rasulullah s.a.w tetap menyembahyangi jenazah tersebut. Oleh sebab itulah Allah menurunkan ayat: Yang bermaksud: Dan janganlah kamu sembahyang jenazah ke atas orang munafik yang mati di antara mereka dan janganlah kamu berdiri di atas kuburnya.
1406 Diriwayatkan dari Abu Musa al-Asyari r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w sedang mengguris tongkatnya di atas tanah yang berair di dalam salah sebuah kebun atau taman di Madinah datang seseorang ingin menemui Rasulullah s.a.w, maka baginda s.a.w berkata: Bukakanlah pintu dan sampaikan kepadanya khabar gembira tentang Surga, aku terus pergi dan mendapati orang itu adalah Abu Bakar. Aku mempersilakan beliau masuk dan menyampaikan pesanan Rasulullah s.a.w. Kemudian datang seorang lagi meminta supaya dibukakan pintu. Rasulullah s.a.w bersabda: Bukakanlah pintu dan sampaikan khabar gembira kepadanya mengenai Surga. Aku pergi untuk membukanya dan mendapati orang itu adalah Umar lalu aku menpersilakannya masuk dan menyampaikan pesan Rasulullah s.a.w. Kemudian datang lagi seseorang meminta supaya dibukakan pintu, lalu Rasulullah s.a.w duduk dan bersabda: Bukakanlah pintu dan sampaikanlah khabar gembira tentang Surga atas musibah yang akan menimpanya. Aku pergi menemui orang itu, ternyata beliau adalah Othman bin Affan, maka aku bukakan pintu untuknya dan sampaikan pesanan Rasulullah s.a.w. Beliau berkata: Ya Allah, berilah aku kesabaran. Hanya Allahlah tempat meminta pertolongan.
1407 Diriwayatkan dari Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepada Ali: Kedudukanmu denganku seperti kedudukan Nabi Harun dengan Nabi Musa tetapi tiada Nabi selepasku.
1408 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda ketika peperangan Khaibar: Aku akan berikan bendera ini kepada seorang lelaki, dengan tangannyalah Allah akan memberi kemenangan, yang mencintai Allah dan RasulNya dan dicintai Allah dan RasulNya. Semalaman orang ramai berbicara siapakah yang akan diberi bendera oleh Rasulullah s.a.w. Keesokan harinya mereka pergi mendapatkan Rasulullah s.a.w dan berharap supaya Rasulullah s.a.w memberi bendera itu kepada mereka. Rasulullah s.a.w bertanya: Di manakah Ali? Mereka menjawab: Beliau, wahai Rasulullah, tetapi matanya sakit. Kemudian mereka pergi mendapatkan Ali dan membawanya kepada Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w meludah ke dalam matanya serta berdoa untuknya. Setelah itu mata Ali terus sembuh seperti sebelumnya, lalu Rasulullah s.a.w memberikan bendera itu kepadanya. Ali berkata: Wahai Rasulullah! Aku akan memerangi mereka sehinggalah mereka seperti kita. Rasulullah s.a.w bersabda: Lakukan dengan berhati-hati sehingga kamu sampai ke wilayah mereka, kemudian serulah mereka pada agama Islam dan beritahu mereka tentang kewajipan mereka terhadap hak Allah. Demi Allah, sekiranya seseorang lelaki diberi petunjuk oleh Allah kerana kamu, adalah lebih baik bagimu dari memiliki beberapa ekor kaldai.
1409 Diriwayatkan dari Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Di dalam peperangan Khaibar Ali berada di belakang Rasulullah s.a.w, ketika itu beliau sakit. Beliau berkata: Aku berada di belakang Rasulullah s.a.w. Setelah itu Ali keluar melintasi Rasulullah s.a.w. Pada petangnya yaitu sebelum Allah memberi kemenangan pada keesokan hari, Rasulullah s.a.w bersabda: Sungguhnya aku akan berikan bendera ini kepada seorang lelaki yang dicintai Allah dan RasulNya dan yang mencintai Allah dan RasulNya besok. Semoga Allah memberi kemenangan padanya. Ketika kami bertemu dengan Ali, kami berkata: Inilah Ali, maka Rasulullah s.a.w memberi bendera itu dan Allah memberi kemenangan kepadanya.
1410 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Semasa Rasulullah s.a.w sampai di rumah Fatimah, baginda s.a.w tidak menemui Ali di rumah tersebut. Rasulullah s.a.w bertanya: Di manakah anak bapa saudara kamu. Fatimah menjawab: Telah terjadi sesuatu antara aku dan beliau. Baginda marah padaku lalu keluar tanpa bercakap walau sepatah denganku. Rasulullah s.a.w berkata kepada seseorang: Coba kamu cari di mana Ali. Tidak lama kemudian orang itu datang dan berkata: Wahai Rasulullah! Beliau sedang tidur di masjid. Rasulullah s.a.w menemuinya dan pada waktu itu beliau sedang tidur terlentang sementara kain serbannya terjatuh ke tanah sehingga terkena debu. Lalu Rasulullah s.a.w mengangkat kain serban itu dan berkata: Bangun wahai Abu Turab! Bangun wahai Abu Turab!.
1411 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Suatu malam Rasulullah s.a.w tidak dapat tidur. Baginda s.a.w berkata: Mudah-mudahan pada malam ini terdapat seorang dari Sahabatku yang soleh sudi menjagaku. Aisyah berkata: Ketika itu kami mendengar libasan pedang. Rasulullah s.a.w berkata: Siapakah itu? Saad bin Abu Waqqas menjawab: Wahai Rasulullah! Aku datang untuk menjagamu. Aisyah berkata: Selepas itu Rasulullah s.a.w tidur dengan nyenyaknya.
1412 Diriwayatkan dari Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w tidak pernah menyebut kedua ibu bapanya kepada seseorang kecuali kepada Saad bin Malik, ketika peperangan Uhud. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Tebusanmu ialah ayah dan ibuku.
1413 Diriwayatkan dari Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menyebut kedua ibu bapanya kepadaku pada hari peperangan Uhud.
1414 Hadits Talhah dan Saad r.a: Diriwayatkan dari Abu Othman r.a katanya: Tidak ada orang lain di samping Rasulullah s.a.w pada sesetengah peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w selain dari Talhah dan Saad mengikut Hadits riwayat mereka berdua.
1415 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w meminta orang ramai supaya menyertainya di dalam peperangan Khandaq, Az-Zubair menyahut seruan tersebut. Kemudian baginda s.a.w meminta lagi. Az-Zubair sekali lagi menyahut seruan tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w meminta sekali lagi. Az-Zubair terus menyahut seruan tersebut. Sementara itu, Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap Nabi ada pembantunya dan pembantuku adalah Az-Zubair.
1416 Diriwayatkan dari Abdullah bin Az-Zubair r.a katanya: Semasa peperangan Khandaq aku dan Umar bin Abu Salamah bersama dengan beberapa orang wanita berada di Utum Hassan. Sesekali beliau menundukkan badannya supaya aku melihat dan sesekali aku pula menundukkan badanku supaya beliau melihat. Ketika itu aku melihat ayahku membawa pedangnya menunggang kuda menuju ke arah Bani Quraizah. Diriwayatkan dari Abdullah bin Urwah dari Abdullah bin Zubir katanya: Aku bertanya perkara itu kepada ayahku. Ayahku bertanya: Adakah kamu melihat aku wahai anakku. Aku menjawab: Ya. Beliau berkata: Demi Allah, ketika itu Rasulullah s.a.w menyebut kedua ibu bapanya kepadaku. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku tebuskan kamu dengan ayah dan ibuku.
1417 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Urwah bin az-Zubair r.a katanya: Saidatina Aisyah r.a memberitahu kepadaku: Demi Allah, kedua orang tuamu termasuk dalam Yang bermaksud: Orang-orang yang melaksanakan perintah Allah dan RasulNya keluar menentang musuh setelah mereka luka.
1418 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap umat itu terdapat seorang penjaga amanah dan orang yang menjaga amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.
1419 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Penduduk Najran datang mengadap Rasulullah s.a.w lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Utuskan kepada kami seorang yang boleh dipercayai. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku akan utuskan kepada kamu seseorang yang boleh dipercayai, benar-benar boleh dipercayai, benar-benar boleh dipercayai. Selepas itu orang ramai memuliakan diri mereka supaya boleh dipercayai, tetapi Rasulullah s.a.w mengutus Abu Ubaidah bin al-Jarrah.
1420 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda untuk Hassan: Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah beliau dan aku menyintai orang yang mencintainya.
1421 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Azib r.a katanya: Aku melihat Hassan bin Ali berada di dalam pelukan Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda: Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah beliau.
1422 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Kami tidak memanggil Zaid bin Harithah tetapi kami memanggilnya Zaid bin Muhammad, sehinggalah diturunkan ayat: Yang bermaksud: Panggillah mereka yaitu anak angkat dengan berlatar belakangkan bapa mereka, itulah yang lebih adil di sisi Allah.
1423 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengutuskan satu pasukan dan memerintah Usamah bin Zaid supaya memimpin satu pasukan, tetapi orang ramai menentang perintah Usamah. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu menentang perintahnya bermakna kamu menentang perintah ayahnya sebelum ini. Demi Allah, beliau mampu menjadi pemimpin kerana ayahnya merupakan seorang yang aku cintai dan beliau juga adalah seorang yang aku cintai.
1424 Diriwayatkan dari Abdullah bin Jaafar r.a katanya: Dia berkata kepada Ibnu az-Zubair r.a: Adakah kamu masih ingat semasa kita bertemu Rasulullah s.a.w. Ketika itu aku, kamu dan Ibnu Abbas bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Ibnu az-Zubair menjawab: Ya, baginda mengambil kami dan meninggalkan kamu.
1425 Diriwayatkan dari Abdullah bin Jaafar r.a katanya: Kebiasaannya Rasulullah s.a.w apabila pulang dari musafir akan disambut oleh kanak-kanak dari kalangan anggota keluarga baginda. Satu hari baginda kembali dari musafir aku mendahului menyambut baginda, lalu aku dikendong oleh baginda. Setelah itu salah seorang dari anak baginda yaitu Fatimah datang lalu membongceng di belakang baginda. Kemudian kami bertiga menunggang binatang memasuki Kota Madinah.
1426 Diriwayatkan dari Ali r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik wanita adalah Mariam binti Imran dan Sebaik-baik wanita juga adalah Khadijah binti Khuwailid.
1427 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki yang sempurna itu ramai, tetapi tiada wanita yang lebih sempurna dari Mariam binti Imran dan Asiah isteri Firaun. Sesungguhnya kelebihan Aisyah dari wanita lain adalah seperti kelebihan Tharid (roti yang dihancurkan lalu direndam dalam kuah) dari makanan lain.
1428 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Jibril datang menemui Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ini Khadijah yang membawa kepada kamu satu bekas yang terdapat di dalamnya lauk, makanan atau minuman. Apabila beliau sampai kepada kamu, sampaikan salam aku kepadanya dan salam dari tuhannya. Sampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam Surga yang dibuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan.
1429 Hadits Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan dari Ismail r.a katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa: Tidakkah Rasulullah s.a.w pernah menyampaikan berita gembira kepada Khadijah mengenai sebuah rumah di dalam Surga. Beliau menjawab: Ya, baginda menyampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam Surga yang diperbuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan.
1430 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menyampaikan berita gembira kepada Khadijah binti Khuwailid mengenai sebuah rumah di dalam Surga.
1431 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Halah binti Khuwailid saudara Khadijah meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk masuk. Tiba-tiba baginda teringat kepada Khadijah yang sentiasa meminta izin untuk masuk, baginda s.a.w merasa senang hati dengan cara begitu dan Rasulullah s.a.w bersabda: Silakan masuk wahai Halah binti Khuwailid. Aku rasa cemburu dan akupun berkata: Apakah yang membuat kamu teringat pada seorang wanita Quraisy yang begitu tua dan telah meninggal untuk selamanya. Bukankah Allah telah menggantikan kepada kamu yang lebih baik darinya?
1432 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku bermimpi melihat kamu sebanyak tiga malam. Malaikat datang kepadaku membawamu di dalam selembar kain sutera serta berkata: Inilah isterimu. Lalu aku membuka tutupan dari wajahmu, ternyata itu adalah kamu. Maka aku berkata: Sekiranya perkara itu datangnya dari Allah, pasti ia terlaksana.
1433 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Sesungguhnya aku mengetahui ketika kamu suka dan marah padaku. Maka aku bertanya: Bagaimana kamu mengetahuinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Sekiranya kamu suka padaku, kamu berkata tidak, demi tuhan Muhammad, tetapi sekiranya kamu marah, maka kamu akan berkata, tidak demi tuhan Ibrahim. Aku berkata: Benar, Wahai Rasulullah! Demi Allah, aku tidak akan melupai namamu.
1434 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ketika aku bermain dengan anak pantung di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba kawan-kawanku datang kepadaku, tetapi mereka merasa malu kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh mereka menemuiku.
1435 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya orang ramai berusaha untuk memberi hadiah kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda s.a.w berada di rumah Aisyah. Mereka berbuat demikian untuk mendapatkan keredaan Rasulullah s.a.w.
1436 Diriwayatkan dari Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Beberapa orang isteri Nabi s.a.w meminta Fatimah anak Rasulullah s.a.w supaya menemui baginda s.a.w. Ketika Fatimah meminta izin untuk masuk, Rasulullah s.a.w sedang tidur bersamaku di dalam sehelai kain. Setelah diizinkan masuk Fatimah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya isteri-isteri kamu meminta aku datang menemui kamu supaya bertanya tentang keadilan yang diberikan kepada anak Abu Kohafah. Ketika itu aku tidak berkata apa-apa. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Wahai anakku, tidakkah kamu suka apa yang aku suka? Fatimah menjawab: Ya. Rasulullah s.a.w bersabda: Maka sayangilah isteriku ini. Setelah Fatimah mendengar sabda Rasulullah s.a.w, maka beliau pun pulang dan menemui isteri-isteri Nabi s.a.w. Fatimah menceritakan kepada mereka apa yang telah beliau perkatakan dan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepadanya. Maka isteri-isteri Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu tidak pernah memenuhi keinginan kami, pergilah lagi menemui Rasulullah s.a.w dan katakan kepadanya sesungguhnya isteri-isteri kamu bertanyakan tentang keadilan yang diberikan kepada anak Abu Kohafah. Fatimah menjawab demi Allah, aku tidak akan bercakap mengenainya lagi. Aisyah berkata: Maka isteri-isteri Nabi s.a.w menghantar Zainab binti Jahshi isteri Rasulullah s.a.w. Beliau juga sepertiku, mendapat tempat di hati Rasulullah s.a.w. Aku tidak pernah menemui perempuan selain dari Zainab yang amat mengetahui tantang agama, yang amat takut kepada Allah, yang bercakap benar, suka menghubungkan silaturrahim, suka bersedekah, tekun melakukan kerja yang di yakini betul serta mendapat keredaan dari Allah. Cuma beliau cepat marah tetapi beliau cepat mengawal diri. Beliau meminta izin untuk menemui Rasulullah s.a.w dan ketika itu Rasulullah s.a.w berada bersama Aisyah di dalam satu kain, yaitu sama seperti ketika Fatimah menemui baginda. Rasulullah s.a.w mengizinkannya, lalu Zainab berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya isteri-isteri kamu meminta aku menemui kamu. Mereka bertanya tentang keadilan yang kamu berikan kepada anak Abu Kohafah, kemudian beliau mula berkata tentang diriku secara panjang lebar. Aku menunggu di sisi Rasulullah s.a.w, adakah baginda merestui untuk aku berkata-kata, aku melihat Zainab terus berkata-kata sehinggalah aku mengetahui Rasulullah s.a.w membenarkan untuk aku membela diri. Aku menghadapi Zainab dengan cara yang sama dan tidak memberi kesempatan padanya, sehinggalah aku menguasainya. Rasulullah s.a.w tersenyum dan berkata: Ya, memang benar anak Abu Bakar.
1437 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w merasa kehilanganku, baginda s.a.w berkata: Di manakah aku sekarang? Di manakah aku esok? Baginda s.a.w merasa lama menunggu giliran bersama Aisyah. Beliau r.a berkata: Ketika Allah mengambil nyawa baginda, baginda berada di dalam pangkuanku.
1438 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w hendak musafir, baginda s.a.w akan membuat undian di antara isteri-isteri baginda. Suatu hari, undi terjatuh kepada Aisyah dan Hafshah, lalu kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. Di waktu malam Rasulullah s.a.w berjalan serta bercerita dengan Aisyah. Satu ketika Hafshah berkata kepada Aisyah: Malam nanti, bolehkah aku menaiki unta kamu dan kamu menaiki untaku? Aku pun setuju, maka Aisyah menunggang unta Hafshah dan Hafshah menunggang unta Aisyah. Ketika Rasulullah s.a.w menuju ke arah unta Aisyah yang ditunggang oleh Hafshah. Rasulullah s.a.w mengucapkan salam dan berjalan bersamanya sehinggalah mereka berhenti dan Aisyah yang kehilangan baginda merasa cemburu. Ketika itulah beliau menjatuhkan kakinya di atas rumput tebal sambil berkata: Ya Tuhanku, datanglah padaku kala atau ular, sesungguhnya RasulMu telah menyakitiku dan aku tidak berkuasa untuk berkata sesuatu kepadanya.
1439 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Kelebihan Aisyah dari wanita-wanita lain, seperti kelebihan Tharid yaitu sejenis makanan Arab dari makanan-makanan lain.
1440 Diriwayat dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Sesungguhnya Jibril mengucap salam kepada kamu. Aku pun berkata: Selamat ke atasnya dan semoga dia mendapat rahmat dari Allah.
1441 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sebelas orang wanita telah bersepakat untuk menceritakan perihal suami mereka. Wanita pertama berkata: Suamiku seperti daging unta yang busuk yang berada di puncak bukit yang tinggi yang tidak dapat untuk didaki. Beliau tidak berlemak dan mudah untuk bergerak. Wanita kedua berkata: Aku tidak boleh menceritakan mengenai suamiku. Aku takut dan aku tidak boleh memberitahu mengenainya. Sekiranya aku memberitahu mengenainya, bermakna aku membuka aibnya. Wanita ketiga berkata: Suamiku telah membuat syarat, sekiranya aku bercerita, aku akan dicerai dan sekiranya aku diam, aku akan dikasihi. Wanita ke empat berkata: Suamiku seperti cuaca di Negeri Tihamah, tidak panas dan tidak sejuk (sederhana), tidak menakutkan dan tidak menjemukan. Wanita kelima berkata: Suamiku, ketika memasuki rumah seperti seekor harimau bintang (kerana banyak tidur dan malas bertanya), tetapi apabila beliau keluar seperti seekor singa. Beliau tidak akan bertanya perkara-perkara yang bukan urusannya. Wanita keenam berkata: Suamiku apabila makan, beliau akan menghabiskan makanannya. Sekiranya beliau minum, beliau akan menghabiskan minumannya. Sekiranya beliau tidur, beliau akan berselimut dan tidak memasukkan telapak tangannya kerana beliau tahu akan kesusahannya. Wanita ketujuh berkata: Suamiku adalah seorang yang lemah syahwat. Walaupun telah berubat tetapi belum juga sembuh. Di samping itu beliau mudah menjatuhkan tangannya. Wanita kelapan berkata: Suamiku berbau seperti bau Zarnab (sejenis bauan) dan sentuhannya selembut sentuhan seekor arnab. Wanita kesembilan berkata: Suamiku berkedudukan tinggi, seorang yang berjaya, dermawan dan rumahnya berhampiran dengan tempat permainan. Wanita kesepuluh berkata: Suamiku seorang pembesar dan banyak memiliki harta, sebahagian dari hartanya, beliau memiliki banyak unta. Sebahagian besar unta-untanya pula dibiarkan di halaman rumah, kerana itulah untanya yang hamil sedikit sahaja. Sekiranya unta-unta itu mendengar tiupan seruling mereka mengetahui bahawa mereka akan disembelih. Wanita kesebelas berkata: Suamiku bernama Abu Zar'in. Tahukah kamu siapakah Abu Zar'in? Beliaulah yang memberikan aku anting-anting pada sepasang telingaku. Beliaulah yang memberiku makanan-makanan berzat sehingga aku kelihatan sihat. beliau suka memuji aku, beliau mengambil aku dari keluarga susah dan menjadikan aku salah seorang anggota keluarga yang kaya. Beliau tidak pernah mencaci aku, sehinggakan aku dapat tidur dengan nyenyak sampai ke pagi dan aku dapat minum dengan tenang. Selepas itu bagaimana pula Ummu Abu Zar'in. Tahukah kamu siapa Ummu Abu Zar'in? Beliau memiliki harta simpanan dan rumahnya sangat luas. Maka bagaimana pula Ibnu Abu Zar'in. Tahukah kamu siapakah Ibnu Abu Zar'in. Tempat tidurnya seperti pelepah tamar. Beliau merasa kenyang dengan makan sebelah kaki kambing. Maka bagaimana pula Anak perempuan Abu Zar'in. Tahukah kamu siapakah anak perempuan Abu Zar'in beliau sangat mentaati kedua orang tuanya. Tubuhnya montel dan sering menasihati jirannya. Maka bagaimana pula Jariah Abu Zar'in, tahukah kamu siapakah Jariah Abu Zar'in? Beliau tidak pernah menyebarkan rahsia kami dan sangat jujur sekalipun dalam soal makanan. Beliau Tidak pernah membiarkan rumahku kotor. Setelah itu beliau berkata: Satu hari Abu Zar'in keluar dengan membawa satu bekas dari kulit yang diisi dengan susu. Beliau bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai dua orang anak. Kedua anaknya itu seperti dua ekor harimau kumbang. Mereka bermain dengan dua biji buah delima di bawah pinggang ibunya. Maka beliau mencerai aku dan mengahwini wanita itu. Setelah itu aku berkahwin dengan seorang lelaki yang baik dan kaya. Tunggangannya adalah seekor kuda terpilih. Beliau membawa aku ke kandang yang penuh dengan binatang ternakan. Kemudian dia berkata: Makanlah wahai Ummu Zar'in dan berehatlah supaya hilang penat lelah. Beliau berkata: Sekiranya aku kumpulkan pemberiannya dengan pemberian Abu Zar'in, nescaya pemberiannya tidak akan sama dengan pemberian Abu Zar'in yang paling sedikit. Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Perhubungan aku denganmu seperti Abu Zar'in dengan Ummu Zar'in.
1442 Diriwayatkan dari Miswar bin Makhramah r.a katanya: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda ketika berada di atas mimbar: Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta kebenaran dari aku untuk mengahwinkan anak perempuan mereka dengan Ali bin Abu Talib. Aku tidak membenarkannya dengan mengulanginya tiga kali, kecuali sekiranya Ali bin Abu Talib menceraikan puteriku. Ketika itu beliau bolehlah mengahwinkan anak perempuan mereka. Anak perempuanku adalah sebahagian dari diriku. Aku merasa gembira sekiranya beliau gembira dan aku merasa susah sekiranya beliau derita.
1443 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memanggil Fatimah dan bercakap dengannya secara rahsia. Tiba-tiba Fatimah menangis, baginda bercakap lagi, sejurus kemudian Fatimah tersenyum. Aisyah berkata: Lalu aku bertanya kepada Fatimah: Apa yang Rasulullah s.a.w katakan padamu menyebabkan kamu menangis dan ketawa. Fatimah berkata: Aku menangis kerana Rasulullah memberitahu aku tentang kematiannya dan aku ketawa kerana akulah orang pertama dari kalangan keluarganya yang akan menyusuli baginda.
1444 Hadits Usamah bin Zaid r.a katanya: Aku diberitahu, sesungguhnya Jibril telah datang menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berada bersama Ummu Salamah. Setelah bercakap-cakap, Nabi s.a.w berdiri dan berkata kepada Ummu Salamah: Siapakah beliau? Mungkin juga Nabi s.a.w bertanya dengan maksud yang sama. Ummu Salamah menjawab: Ini adalah Dihyah. Ummu Salamah berkata: Demi Allah aku tidak mengetahui siapakah orang itu sehinggalah aku mendengar khutbah Rasulullah s.a.w dan baginda menceritakan peristiwa kami atau mungkin juga maksudnya begitu.
1445 Diriwayatkan dari Aisyah Ummu Mukmini r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang paling cepat menyusuli aku di kalangan kamu, adalah orang yang paling panjang tangannya. Setelah mendengar sabda baginda, mereka pun mengukur tangan di antara mereka. Ternyata yang paling panjang tangannya di antara kami ialah Zainab, kerana beliau bekerja dengan tangannya sendiri dan suka bersedekah.
1446 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Nabi s.a.w tidak pernah menemui seseorang wanita pun selain dari isteri-isterinya kecuali Ummu Sulaim. Ketika Nabi s.a.w ditanya, baginda s.a.w menjawab: Aku menghormatinya, lantaran saudaranya terkorban ketika bersamaku.
1447 Diriwayat dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperlihatkan dalam Surga, aku melihat isteri Abu Talahah. Kemudian aku mendengar hentakan orang berjalan, ternyata beliau adalah Bilal.
1448 Diriwayat dari Abu Hurairah r.a katanya: Selepas sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal: Wahai Bilal ceritakan padaku tentang amalan (besar pahalanya) kamu yang kamu lakukan setelah berada dalam Islam, kerana semalam aku mendengar suara hentakan seliparmu di dalam Surga. Bilal berkata: Aku tidak pernah melakukan suatu amalan (besar pahalanya) pun dalam Islam, tetapi selagi Allah mentakdirkan aku mengerjakan sembahyang, maka aku akan berwuduk dengan sempurna samada malam ataupun siang hari.
1449 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Pada suatu hari aku tiba di Yaman bersama saudaraku. Aku tinggal di sana buat beberapa waktu. Setahuku, Ibnu Mas'ud dan ibunya adalah termasuk anggota keluarga Rasulullah s.a.w kerana mereka berdua sering bersama baginda s.a.w.
1450 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Berdasarkan bacaan siapakah kamu menyuruhku membaca? Sesungguhnya aku pernah membaca di hadapan Rasulullah s.a.w lebih dari tujuh puluh surah. Para Sahabat Rasulullah s.a.w telah mengetahui bahawa aku lebih mengetahui dari mereka tentang kitab Allah. Seandainya aku tahu ada orang lain yang lebih tahu dari aku tentu aku akan pergi menemuinya. Syaqiq berkata: Kemudian aku duduk bersama para Sahabat Muhammad s.a.w dan aku tidak mendengar walaupun seorang yang membangkang pengakuannya itu.
1451 Hadits Abdullah bin Amru r.a: Diriwayatkan dari Masruq katanya: Kami mengunjungi Abdullah bin Amru dan kami berbincang dengannya, Ibnu Numair berkata: Suatu hari ketika kami berada di sisinya, kami telah berkata tentang Abdullah bin Mas'ud. Kemudian beliau berkata: Sesungguhnya kamu bercakap mengenai lelaki yang aku sayangi, yaitu setelah aku mendengar sesuatu dari Rasulullah s.a.w. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Ambillah Quran dari empat orang; yaitu dari Ibnu Ummu Abdu yang dimulai dengannya, dari Mu'az bin Jabal, dari Ubai bin Ka'ab dan dari Salim yaitu orang suruhan Abu Huzaifah.
1452 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Empat orang yang menghimpun al-Quran di zaman Rasulullah s.a.w semuanya dari golongan Ansar yaitu Muaz bin Jabal, Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid.
1453 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda ketika jenazah Saad bin Muaz masih berada di sisi mereka: Arasy Tuhan Yang Maha Pengasih tergoncang kerananya.
1454 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Rasulullah s.a.w diberi hadiah pakaian sutera. Para Sahabat memegangnya dan mereka merasa kagum akan kehalusannya. Baginda s.a.w bersabda: Adakah kamu merasa hairan akan kehalusan pakaian sutera ini? Sesungguhnya sapu tangan Saad bin Muaz di dalam Surga lebih baik dan lebih halus dari sutera ini.
1455 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah diberi hadiah sepasang jubah yang diperbuat dari kain sutera tipis. Sedangkan baginda melarang orang ramai dari memakai sutera. Para Sahabat merasa hairan. Baginda s.a.w bersabda: Demi zat Muhammad yang berada dalam kekuasaanNya. Sesungguhnya sapu tangan Saad bin Muaz di Surga adalah lebih baik dari jubah ini.
1456 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika perang Uhud ayahku telah dibawa kepadaku dalam keadaan tertutup seluruh tubuhnya, beliau telah terkorban. Semasa aku ingin membuka pakaiannya, orang ramai melarangku. Aku mencoba sekali lagi tetapi mereka tetap melarangku. Akhirnya Rasulullah s.a.w membukanya atau baginda menyuruh orang membukanya. Tiba-tiba terdengar suara tangisan atau jeritan. Baginda s.a.w bertanya: Siapakah yang menangis? Para Sahabat menjawab: Anak perempuan Amru atau saudara perempuan Amru. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengapa kamu menangis? Sesungguhnya Malaikat masih menutupi beliau dengan sayap-sayapnya sehinggalah beliau di bawa naik ke langit.
1457 Diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya: Kami keluar dari kaum kami Ghifar. Mereka telah menghalalkan bulan haram. Aku keluar bersama saudaraku Unais serta ibuku. Kami berhenti di rumah bapa saudara kami. Beliau menghormati dan berbuat baik kepada kami, tetapi kaumnya dengki kepada kami dan mereka menghasutnya. Kaumnya berkata: Sekiranya kamu meninggalkan keluargamu, maka Unais akan menentang mereka. Bapa saudaraku datang dan menceritakan apa yang telah dikatakan kepadanya. Aku berkata: Segala kebaikan kamu dahulu telah kamu rusakkannya sendiri dan kami tidak akan menemui kamu lagi. Kami terus menuju ke tempat unta dan melihat bapa saudara kami menangis sambil menutup wajahnya dan kemudian kami berangkat sehingga sampai ke Mekah. Setelah itu Unais mendahului kami dan beliau pergi menemui pendita. Selepas itu Unais datang menemui kami lagi dengan unta kami dan seekor unta lain seperti untanya. Beliau berkata: Wahai saudaraku, aku telah sembahyang selama tiga tahun sebelum aku menemui Rasulullah s.a.w. Aku bertanya: Kamu sembahyang untuk siapa? Beliau menjawab: Untuk Allah. Aku bertanya lagi: Ke arah manakah kamu menghadap? Beliau menjawab: Aku menghadap ke arah Tuhanku, pernah aku sembahyang Isyak sehingga berakhirnya malam, aku terdampar seolah-olah aku tersembunyi, sehinggalah matahari memancariku. Unais berkata: Aku ada urusan di Mekah, oleh itu biarkan aku pergi. Maka berangkatlah Unais sehinggalah beliau sampai di Mekah. Setelah aku menunggunya agak lama, beliau kembali lagi kepadaku. Aku bertanya: Apakah yang kamu lakukan di sana? Beliau menjawab: Di Mekah aku berjumpa dengan seorang lelaki seagama denganmu yang mengaku bahawa beliau diutuskan oleh Allah. Aku bertanya: Apakah pandangan orang ramai tentangnya? Beliau menjawab: Mereka mengatakan bahawa lelaki itu adalah penyair, nujum dan ada juga yang mengatakan bahawa beliau seorang ahli sihir. Manakala saudaraku Unais merupakan seorang penyair. Unais berkata: Sesungguhnya aku pernah mendengar kata-kata nujum. Aku dapati beliau tidak seperti yang mereka tuduh dan aku belum pernah mendengar syair seperti itu. Demi Allah, beliau seorang yang benar dan merekalah yang dusta. Maka aku berkata padanya: Tolong bawa aku ke sana, aku ingin melihatnya. Setibanya aku di Mekah, aku menemui lelaki yang paling lemah di kalangan mereka dan aku bertanya padanya: Di manakah orang yang kamu katakan kepadanya sebagai Shaabi yaitu yang keluar dari agama dan memeluk agama lain? Lelaki itu terus memberi isyarat padaku, dan berkata Shaabi. Setelah itu beliau dan penduduk di situ membaling aku dengan tanah dan tulang sehinggakan aku jatuh dan pingsan. Beberapa ketika kemudian aku sedar kembali dan aku dapati tubuhku berlumuran darah, lalu aku diberi air Zamzam, dengan air itulah aku minum dan membasuh lukaku. Aku tinggal di situ selama sebulan, selama itu tiada makanan untuk aku selain dari air Zamzam, tetapi aku tidak merasa lapar malahan tubuhku bertambah sihat. Pada suatu malam purnama, aku dapati penduduk di lembah itu semuanya tidur. Tidak ada seorang pun dari penduduk Mekah yang tawaf di Kaabah. Tiba-tiba aku terlihat dua orang wanita yang dikenali dengan Isaf dan Nailah sambil melakukan tawaf, lalu aku menghampiri keduanya dan menggoda mereka dengan kata-kata yang kesat. Mereka kelihatan marah, ketika hendak meninggalkan tempat tersebut, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar pun tiba. Rasulullah s.a.w pun bertanya: Apa yang terjadi pada kamu? Mereka menjawab: Seorang yang beragama Shaabi berada di sekitar Kaabah itu. Rasulullah s.a.w bertanya: Apa yang beliau katakan pada kamu? Mereka menjawab: Beliau mengucapkan kata-kata kesat kepada kami. Selepas itu Rasulullah s.a.w dan Sahabatnya yaitu Abu Bakar mengucup Hajar Aswad dan mereka melakukan tawaf di Kaabah kemudian mereka sembahyang. Setelah baginda selesai sembahyang, aku pun menemui baginda. Abu Zar berkata: Aku mengucapkan salam kepada baginda dan baginda menjawab salamku. Setelah itu baginda s.a.w bertanya: Siapa kamu? Aku jawab: Aku dari kaum Ghifar, Semasa baginda mengusap tangan baginda s.a.w ke mukanya. Aku berkata sendirian, sebaiknya aku tidak mengaku bahawa aku dari kaum Ghifar. Aku coba untuk menghampiri baginda dan memegang tangannya tapi dihalangi oleh Sahabatnya yaitu Abu Bakar, sambil mengangkat kepalanya. Baginda bertanya: Semenjak bilakah kamu berada di sini? Aku menjawab: Semenjak sebulan yang lalu. Baginda bertanya: Siapakah yang memberikan makan kepada kamu? Aku menjawab: Tidak ada makanan bagiku melainkan air Zamzam, tetapi aku menjadi sihat dan perutku kelihatan buncit. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya air Zamzam itu penuh keberkatan dan memberikan kekuatan seperti makanan. Abu Bakar berkata: Wahai Rasulullah! izinkan aku untuk memberinya makan pada malam ini. Setelah itu aku, Rasulullah dan Abu Bakar meninggalkan tempat tersebut. Abu Bakar membuka pintu rumah, kemudian membawa segenggam anggur kering dari Taif untukku dan itulah makanan pertama semenjak aku di situ. Kemudian aku menemui Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda kepadaku: Aku tahu ada sebuah daerah yang banyak menghasilkan kurma, yaitu Yathrib. Bolehkah kamu menyampaikan berita kepada kaum kamu mengenai diriku? Mudah-mudahan Allah menolong mereka dan memberi ganjaran padamu. Setelah itu aku pergi menemui Unais. Beliau bertanya padaku: Apakah yang kamu lakukan di sana? Aku menjawab: Aku telah memeluk Islam dan aku telah membenarkannya, setelah itu Unais juga memeluk Islam. Kami kemudiannya menemui ibu kami dan mengajaknya memeluk Islam dan beliau akhirnya memeluk Islam. Begitu juga dengan kaum Ghifar, di mana sebahagian dari mereka telah memeluk Islam. Mereka diketuai oleh Aima' bin Rahadah al-Ghifari. Manakala sebahagian yang lain berkata: Sekiranya Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, kami akan memeluk Islam. Setelah baginda s.a.w sampai di Madinah, mereka pun memeluk Islam. Setelah itu datang Kabilah Aslam dan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah saudara-saudara kami, maka kami juga mesti memeluk Islam bersama mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Ghifar, Allah mengampuni mereka dan kepada Kaum Aslam Allah memberikan keselamatan kepada mereka.
1458 Diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah r.a katanya: Semenjak aku memeluk Islam, Rasulullah s.a.w tidak pernah melarangku untuk menemui baginda. Setiap kali baginda melihatku, baginda pasti tersenyum.
1459 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika Rasulullah pergi ke tandas aku meletakkan air untuk baginda berwuduk. Setelah keluar baginda s.a.w bertanya: Siapakah yang menyediakan air ini? Dalam setengah riwayat Zuhair dan dalam setengah riwayat lagi Abu Bakar. Aku menjawab: Ibnu Abbas. Baginda s.a.w berdoa: Ya Allah, pandaikanlah beliau dalam ilmu agama.
1460 Diriwayatkan dari Ibnu Umar katanya: Aku bermimpi melihat tanganku menggenggam sehelai kain sutera. Tidak ada tempat yang aku inginkan di Surga dapat aku sampai kecuali sutera tersebut terbang ke sana (ke tempat tersebut membawaku). Aku ceritakan perkara itu kepada Hafsah. Manakala Hafsah menceritakannya kepada Nabi s.a.w. Maka baginda bersabda: Aku yakin Abdullah adalah seorang lelaki yang soleh.
1461 Diriwayatkan dari Anas r.a dari Ummu Sulaim katanya: Wahai Rasulullah! Aku menjadikan Anas sebagai khadammu, tolonglah berdoa untuknya. Rasulullah s.a.w pun berdoa: Ya Allah, banyakkanlah harta dan anaknya dan berkatilah apa yang diberikan kepadanya.
1462 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w datang menemuiku semasa aku bermain-main dengan kawan-kawan. Baginda memberi salam kepada kami, kemudian baginda mengutusi aku untuk sesuatu perkara, oleh kerana itu aku terlewat pulang ke rumah. Setelah aku pulang ibuku bertanya: Kenapa kamu pulang lewat? Aku menjawab: Rasulullah s.a.w menyuruhku untuk sesuatu perkara. Ibuku bertanya: Apakah dia perkara tersebut? Aku menjawab: Itu adalah rahsia. Ibuku berkata: Jangan kamu ceritakan tentang rahsia Rasulullah s.a.w kepada sesiapa pun. Anas berkata: Demi Allah, sekiranya aku menceritakannya kepada seseorang tentu aku menceritakan rahsia tersebut padamu, wahai Thabit.
1463 Diriwayatkan dari Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Aku tidak pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda kepada seseorang pun bahawa baginda akan berada di dalam Surga kecuali kepada Abdullah bin Salam.
1464 Hadits Abdullah bin Salam r.a: Diriwayatkan dari Qais bin Ubad katanya: Ketika aku bersama orang ramai di Madinah. Di antara mereka, terdapat beberapa orang Sahabat Nabi s.a.w. Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang dari mirip wajahnya menandakan beliau seorang yang khusyuk. Beberapa orang di antara kami berkata: Lelaki ini adalah ahli Surga. Lelaki itu sembahyang dua rakaat dan memanjangkan sembahyangnya, setelah itu aku mengikuti beliau keluar dari situ dan masuk ke dalam rumahnya. Ketika di dalam rumahnya kami bercakap-cakap dan aku berkata kepadanya: Sesungguhnya orang ramai telah berkata kepadamu begini, begini. Lelaki itu berkata: Maha Suci Allah, seseorang itu tidak boleh berkata tentang sesuatu perkara yang belum diketahui. Aku akan ceritakan kepadamu tentang perkara itu. Pada masa Rasulullah s.a.w aku bermimpi berada di dalam taman yang luas yang dipenuhi dengan rumput yang hijau. Ditengah-tengah taman tersebut, terdapat tiang besi yang terpacak di bumi, di mana hujungnya menjulang tinggi ke langit, manakala di bahagian atas tiang itu terdapat tali. Ada suara berkata kepadaku: Naiklah. Aku menjawab: Aku tidak berkuasa untuk naik. Tiba-tiba datang seseorang, Ibnu Auni berkata seseorang itu adalah khadam. Khadam itu memegang pakaianku dari belakang untuk membantuku, sehingga aku berupaya naik ke atas tiang itu dan aku berpegangan pada tali. Beliau berkata padaku: Berpeganglah padanya. Aku terjaga dari tidur dan aku dapati tali itu berada dalam genggaman ku. Setelah itu aku ceritakan kepada Rasulullah s.a.w dan baginda pun bersabda: Taman itu adalah Islam, tiang itu adalah tiang Islam dan tali itu adalah tali yang kuat. Sesungguhnya kamu akan mati di dalam Islam. Dikatakan juga: Lelaki itu ialah Abdullah bin Salam r.a.
1465 Hadits Hassan bin Thabit r.a: Diriwayatkan dari Said bin Musayyib katanya: Ketika Umar berjalan di dalam masjid, Hassan sedang mengalunkan syair. Beliau berkata (Hassan): Aku bersyair di dalamnya (masjid) dan di dalamnya terdapat orang yang lebih baik darimu (Rasulullah s.a.w), kemudian beliau berpaling ke arah Abu Hurairah dan berkata: Demi Allah, adakah kamu pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Peliharalah aku. Ya Allah, kuatkanlah beliau dengan Rohulqudus. Abu Hurairah menjawab: Ya.
1466 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Azib r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda kepada Hassan bin Thabit: Perangilah mereka (berperang dengan berbalas syair), sesungguhnya Jibril ada bersamamu.
1467 Hadits Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Urwah r.a katanya: Hassan bin Thabit salah seorang yang berlebih-lebihan terhadap Aisyah maka aku pun mencacinya, lalu beliau (Aisyah) berkata: Biarkan beliau, sesungguhnya beliau adalah pembela Rasulullah s.a.w.
1468 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Hassan berkata: Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk menghadapi Abu Sufian. Baginda s.a.w bersabda: Bagaimanakah perhubungan kekeluargaan aku dengannya? Beliau berkata: Demi Zat yang memuliakan kamu, akan aku ambil kamu seperti aku mencabut rambut dalam roti. Seterusnya Hassan berkata: Yang bermaksud: Sesungguhnya keturunan keluarga Hasyim Ialah dari Bani Anak Perempuan Makhzum manakala ayah kamu adalah Abdullah. Inilah Qasidahnya.
1469 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Adakah kamu mendustai bahawa Abu Hurairah banyak meriwayatkan Hadits dari Rasulullah s.a.w? Demi Allah aku akan membuktikannya. Sesungguhnya aku seorang yang miskin, aku menjadi khadam Rasulullah s.a.w dengan hanya diberi makan sahaja. Ketika Orang-orang Muhajirin berdagang di pasar-pasar dan Orang-orang Ansar sibuk mengembangkan harta benda mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membentangkan pakaiannya beliau tidak akan lupa apa yang beliau dengar dariku. Aku terus membentang pakaianku dan baginda memberikan kesemua Hadits baginda sehingga selesai. Kemudian aku mengumpulkannya dan tidak lupa apa-apa yang aku dengar dari baginda.
1470 Hadits Saidatina Aisyah r.a: Aisyah pernah berkata kepada Urwah bin az-Zubair: Apakah kamu tidak merasa kagum terhadap Abu Hurairah r.a? Dia datang lalu duduk di sebelah bilikku lantas menceritakan Hadits dari Nabi s.a.w. Dia sengaja memperdengarkan cerita tersebut kepadaku. Saat itu aku sedang menunaikan sembahyang sunat. Dia berdiri meninggalkan tempat itu sebelum aku selesai sembahyang sunat tersebut. Seandainya aku sempat mendapatinya pada waktu itu nescaya aku akan katakan kepadanya berulang-kali: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak pernah bersabda secara tergesa-gesa seperti yang kamu lakukan.
1471 Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w menghantar aku, Zubair dan Miqdad. Baginda s.a.w bersabda: Pergilah kamu ke Raudah Khah. Di sana terdapat seorang perempuan yang menunggang Unta, bersamanya ada sepucuk surat dan kamu hendaklah mengambil surat itu darinya. Kami berangkat dengan kuda dan ketika kami bertemu dengan perempuan itu kami berkata: Berikan surat kepada kami. Perempuan itu berkata: Aku tidak membawa surat. Kami berkata: Keluarkan surat atau kami periksa pakaian kamu. Setelah itu beliau mengeluarkan surat dari sanggul rambutnya dan surat itu kami serahkan kepada Rasulullah s.a.w. Isi kandungan surat berbunyi: Dari Hatib bin Abu Balta'ah kepada Musyrikin Mekah. Beliau memberitahu kepada orang-orang Musyrikin sebahagian dari urusan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w pun bersabda: Wahai Hatib! Apakah ini? Beliau berkata: Wahai Rasulullah! Jangan menuduh aku walaupun aku ada hubungan baik dengan orang-orang Quraisy. Abu Sufian berkata: beliau sememangnya berkawan baik dengan mereka tetapi bukan dari keturunan mereka. Aku tahu bahawa orang-orang Muhajirin yang tinggal bersama kamu mempunyai keluarga yang berada di bawah pengawasan mereka yaitu Quraisy. Sesungguhnya aku lakukan itu supaya mereka melindungi keluargaku dan aku lakukan itu bukanlah kerana aku kafir atau murtad dari agamaku. Aku juga tidak reda dengan kekufuran setelah aku memeluk Islam. Nabi s.a.w bersabda: Beliau benar. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Biarkanlah aku membunuh orang munafik ini. Nabi s.a.w bersabda: Tidakkah kamu ketahui bahawa beliau dari tentera Badar? Mudah-mudahan Allah memberi keistimewaan kepada tentera Badar. Baginda bersabda: Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya aku telah memberi kemaafan kepada kamu. Oleh sebab itulah Allah menurunkan ayat: Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mangambil musuhku dan musuh kamu menjadi teman rapat.
1472 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Aku bersama Nabi s.a.w, yaitu semasa baginda berada di Ja'ranah yang terletak antara Mekah dan Madinah. Baginda ditemani oleh Bilal. Ketika itu seorang arab desa datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Muhammad! Adakah kamu laksanakan apa yang telah kamu janjikan padaku. Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Bergembiralah. Lelaki itu berkata: Kamu sudah berapa kali meminta supaya aku bergembira. Dengan nada marah Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abu Musa dan Bilal: Orang itu menolak kegembiraan, kamu berdua sahajalah yang menerimanya. Keduanya berkata: Wahai Rasulullah! Kami menerimanya. Kemudian Rasulullah s.a.w meminta bekas yang berisi air. Rasulullah s.a.w membasuh tangan dan mukanya serta meludah ke dalam bekas itu dan baginda s.a.w bersabda: Kamu berdua minumlah air ini serta membasuh muka dan tengkok kamu serta bergembiralah. Keduanya melakukan apa yang di perintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba Ummu Sulaim berkata kepada mereka dari balik tabir: Simpanlah sedikit air itu untuk ibu kamu, maka mereka pun menyimpannya untuk ibu mereka.
1473 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Setelah peperangan Hunain tamat Nabi s.a.w mengutuskan Abu Amir mengetuai tentera ke Autas. Di pertengahan jalan mereka bertembung dengan Duraid bin Sim'mah. Beliau berjaya membunuh Duraid dan Allah memberi kemenangan kepada para Sahabat. Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w telah mengutus aku dan Abu Amir, ketika itu lutut Abu Amir dipanah oleh lelaki dari Bani Jusam dan beliau merasa sakit di tempat yang terkena panah itu. Aku menghampiri beliau dan berkata: Wahai bapa saudaraku! Siapakah yang memanahmu? Abu Amir memberi isyarat kepada Abu Musa dan berkata: Orang itulah yaitu Bani Jusam, yang hendak membunuhku. Kamu lihat beliaulah orang yang memanahku. Abu Musa berkata: Aku pun menuju ke arahnya dan apabila beliau yaitu Bani Jusam melihatku, beliau berpaling dan melarikan diri dariku, tetapi aku terus mengikutinya. Aku mendekati beliau dan berkata: Adakah kamu tidak merasa malu? Bukankah kamu orang arab dan kenapakah kamu tidak berhenti? Akhirnya kami pun bertembung, berkelahi dan saling pukul-memukul. Akhirnya aku berjaya membunuhnya dengan pedangku. Setelah itu aku kembali kepada Abu Amir. Aku berkata padanya: Allah telah membunuh kawanmu itu. Beliau yaitu Abu Amir berkata: Cabutlah anak panah ini. Aku pun mencabutnya dan terkeluar air (yang dimaksudkan ialah darah). Beliau yaitu Abu Amir berkata: Wahai anak saudaraku! Pergilah kamu menemui Rasulullah s.a.w dan sampaikan salamku kepada baginda dan beritahu kepada baginda, bahawa Abu Amir meminta supaya Rasulullah s.a.w memohon ampun untuk beliau. Abu Amir memujukku supaya memimpin tentera. Tidak berapa lama beliau pun terkorban. Setelah selesai dari peperangan, aku pun pulang dan menemui Rasulullah s.a.w. Ketika itu baginda s.a.w sedang tidur di atas katil dari jalinan pelepah tamar dan di atas katil tersebut terdapt sebidang tikar. Kesan jalinan pelepah tamar itu terdapat di belakang dan rusuk Rasulullah s.a.w. Aku pun menceritakan kepada baginda s.a.w tentang kami dan juga mengenai Abu Amir dan aku sampaikan pesan beliau (Abu Amir), yaitu supaya baginda s.a.w memohon ampun kepada Allah untuk beliau. Setelah itu Rasulullah s.a.w meminta air untuk berwuduk, setelah selesai berwuduk, baginda s.a.w mengangkat kedua tangannya dan berdoa: Ya Allah, ampunkanlah Abu Amir. Ketika itulah aku melihat kedua ketiak baginda s.a.w yang berwarna putih. Kemudian baginda meneruskan doanya: Ya Allah, tinggikanlah kedudukan beliau dari makhlukmu atau dari manusia di Hari Kiamat. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Pohonkanlah keampunan untukku. Maka Rasulullah s.a.w berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa Abdullah bin Qais dan masukkanlah beliau ke dalam sebuah tempat yang mulia pada Hari Kiamat.
1474 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku mengenali suara Golongan Asy'ari membaca al-Quran ketika masuk waktu malam. Aku juga mengetahui rumah mereka berdasarkan arah datangnya suara bacaan al-Quran pada waktu malam walaupun aku tidak mengetahui rumah mereka ketika pada siang hari. Di antara mereka ialah Hakim, apabila bertemu kuda atau dikatakan juga musuh, Hakim akan berkata kepada mereka: Sesungguhnya kawan-kawanku menyuruh kamu menunggu mereka.
1475 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya orang-orang Asy'ari kehabisan makanan di dalam sesuatu peperangan atau bekalan makanan keluarga mereka di Madinah berkurangan. Mereka akan mengumpulkan apa yang masih ada pada mereka di dalam sehelai kain. Kemudian mereka membahagikannya sama rata di antara mereka, sesungguhnya aku dari kalangan mereka dan mereka dari kalangan aku.
1476 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Telah sampai kepada kami berita keberangkatan Rasulullah s.a.w dan pada ketika itu kami berada di Yaman. Aku dan dua orang saudaraku yaitu Abu Burdah dan Abu Ruhmi bersama dengan orang-orang Muhajirin berangkat menemui Rasulullah s.a.w dan aku merupakan saudara yang terkecil. Abi Musa berkata samada beberapa orang, lima puluh tiga atau lima puluh dua orang dari kaumku menaiki kapal laut. Kami menghalakan kapal kami ke arah pasukan an-Najasyi di Habsyah. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Jaafar bin Abu Talib berserta sahabatnya. Jaafar berkata: Rasulullah s.a.w mengutus dan memerintahkan supaya kami tinggal di sini, maka kamu tinggalah bersama-sama kami. Abu musa berkata: Kami tinggal bersama beliau sehinggalah kami pulang bersama-sama. Kami menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berjaya membuka Khaibar. Baginda telah membahagikan harta rampasan kepada kami atau dikatakan juga Rasulullah s.a.w memberikan kepada kami sebahagiannya dan Rasulullah s.a.w tidak memberikan harta rampasan tersebut kepada sesiapa pun kecuali kepada tentera yang menyertai pembukaan Khaibar dan kepada pasukan kami yang yang bersama dengan Jaafar serta sahabat-sahabatnya. Mereka telah membahaginya sesama mereka. Abu Musa berkata: Orang ramai berkata kepada kami yaitu pasukan laut: Kami berhijrah lebih dahulu dari kamu. Abu Musa berkata: Asma' binti Umais yaitu salah seorang yang menyertai kami menemui Hafsah isteri Nabi s.a.w. Beliau juga telah berhijrah ke Najasyi. Ketika Umar masuk untuk menemui Hafsah, Asma' ada bersamanya. Setelah melihat Asma', Umar berkata: Siapakah ini? Beliau menjawab: Asma' binti Umais. Umar berkata: Adakah ini orang Habsyah yang menyertai angkatan laut? Asma' menjawab: Benar. Umar berkata: Kami lebih dahulu berhijrah dari kamu, maka kami lebih berhak ke atas Rasulullah s.a.w. Asma' menjawab dengan marah: Wahai Umar! Sesungguhnya kamu berbohong. Aku tahu kamu bersama Rasulullah s.a.w, memberikan makan kepada orang kelaparan dan mengajar orang-orang bodoh, manakala kami yang berada jauh di Habsyah juga adalah kerana Allah dan RasulNya. Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehinggalah aku memberitahu apa yang kamu katakan kepada Rasulullah s.a.w. Kami juga disiksa dan ditakuti. Aku akan ceritakan kepada Rasulullah s.a.w akan semua itu dan meminta pendapat baginda. Demi Allah, aku tidak akan berdusta, tidak menyeleweng dan tidak menambahi tentang perkara itu. Setelah Rasulullah s.a.w datang, Asma' pun berkata: Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya Umar telah berkata begini dan begini. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada yang lebih berhak terhadapku selain dari kamu. Umar dan sahabat-sahabatnya hanyalah berhijrah satu kali sedangkan pasukan laut berhijrah sebanyak dua kali. Asma' berkata: Aku melihat Abu Musa dan pasukan laut datang untuk bertanya kepadaku mengenai Hadits tersebut. Tidak ada sesuatu yang lebih gembira dan agong di dunia ini melainkan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada mereka. Abu Burdah berkata: Asma' telah berkata: Aku telah bertemu dengan Abu Musa, beliau meminta semula Hadits ini dariku.
1477 Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ayat yang bermaksud: (Ketika dua golongan darimu ingin (lari) kerana takut, sedangkan Allah adalah penolong bagi kedua golongan itu) diturunkan tentang kami. Dua golongan yang dimaksudkan itu ialah Bani Salimah dan Bani Harithah. Kami tidak menyukai ayat ini kerana ayat yang bermaksud: (Sedangkan Allah adalah penolong bagi kedua golongan itu) masih belum diturunkan.
1478 Diriwayatkan dari Zaid bin Arqam r.a katanya: Rasulullah s.a.w berdoa: Wahai tuhanku! Ampunilah Orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan keturunan Ansar.
1479 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melihat beberapa orang kanak-kanak lelaki dan perempuan menyambut seorang pengantin. Maka Nabi s.a.w berdiri dan bersabda: Ya Allah, mereka adalah orang yang aku cintai. Ya Allah, mereka adalah orang yang aku cintai. Yaitu Kaum Ansar.
1480 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Seorang wanita Ansar menemui Rasulullah s.a.w serta Rasulullah s.a.w melayaninya dan bersabda: Demi Zat ku yang berada di dalam kekuasaanNya, Sesungguhnya kamu adalah manusia yang sangat aku cintai. Baginda s.a.w bersabda sedemikian sebanyak tiga kali.
1481 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kaum Ansar adalah golonganku dan kaum kepercayaanku. Walaupun manusia akan bertambah atau berkurang, namun mereka boleh menerima kebaikan kaum Ansar dan memaafkan kesalahan mereka.
1482 Diriwayatkan dari Abu Usaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik kabilah Ansar ialah Bani Najjar, selepas itu Bani Abdul Asyhal, selepas itu Bani al-Haris bin Khazraj, selepas itu Bani Saidah. Sementara itu, pada setiap kabilah Ansar ada kebaikan. Saad berkata: Setahu aku, Rasulullah s.a.w mengutamakan kami. Ada yang berkata: Baginda s.a.w mengutamakan kamu dari kaum lain.
1483 Hadits Anas bin Malik r.a katanya: Aku telah keluar musafir bersama Jarir bin Abdullah al-Bajali. Beliau ingin melayani aku, tetapi aku berkata kepadanya: Kamu jangan melayaniku. Maka beliau berkata: Sesungguhnya aku melihat orang Ansar melakukan sesuatu untuk Rasulullah s.a.w, semenjak itulah aku bersumpah akan melayani setiap orang Ansar yang berada bersamaku.
1484 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Aslam semoga Allah memberi keselamatan kepada mereka dan Kaum Ghifar semoga Allah memberikan keampunan kepada mereka. Bukan aku yang berkata tetapi Allah yang berfirman begitu.
1485 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Ghiffar Allah mengampuni mereka dan Kaum Aslam Allah memberikan keselamatan kepada mereka. Manakala Kaum Usayyat telah durhaka kepada Allah dan RasulNya.
1486 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum-kaum Quraisy, Ansar, Muzainah, Juhainah, Aslam, Ghiffar dan Asyja' merupakan para penolong dan penolong mereka ialah Allah dan RasulNya.
1487 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Kaum-kaum Aslam, Ghifar dan Muzainah serta sebahagian dari Kaum Juhainah atau dari Juhainah, adalah lebih baik dari Bani Tamim dan Bani Amir, begitu juga dari Kaum Asad dan Kaum Ghatafan.
1488 Diriwayatkan dari Abu Bakrah r.a katanya: al-Aqra' bin Habis telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan beliau berkata: Sesungguhnya Surraq al-Hajij yang memberi bai'ah kepada kamu adalah dari suku kaum Aslam, Ghifar dan Muzainah, kemudian termasuk juga Kaum Juhainah, cuma Muhammad yang masih ragu-ragu. Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu lihat kaum-kaum Aslam, Ghiffar dan Muzainah, manakala Juhainah itu lebih baik dari Bani Tamim, Amir, Asad dan Ghatafan, maka mereka merasa kecewa dan rugi? Beliau berkata: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat yang jiwaku berada di dalam kekuasaanNya, bahawa mereka yaitu kaum-kaum Aslam, Ghiffar dan Muzainah, adalah lebih baik dari mereka yaitu Bani Tamin, Amir, Asad dan Ghatafan.
1489 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Sedekah pertama yang membuatkan Rasulullah s.a.w dan Sahabatnya menjadi gembira ialah sedekah Kaum Tayyi' yang dibawa kepada Rasulullah s.a.w.
1490 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: At-Tufail serta sahabatnya menemui Rasulullah s.a.w dan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kaum Daus telah kufur dan menentang, maka berdoalah kepada Allah supaya mereka susah. (Dikatakan): Celakalah Daus. Rasulullah s.a.w pun berdoa: Ya Allah, berikan petunjuk kepada kaum Daus dan bawalah aku kepada mereka.
1491 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku menyukai Bani Tamim kerana tiga perkara yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w, di mana baginda s.a.w bersabda: Mereka yaitu Bani Tamim adalah umatku yang paling kuat menghadapi Dajjal. Dikatakan: Ketika sedekah-sedekah mereka sampai atau diterima, Nabi s.a.w bersabda: Ini adalah sedekah kaumku. Ketika orang-orang tawanan dari kalangan mereka berada bersama Aisyah. Rasulullah s.a.w bersabda: Merdekakanlah mereka kerana mereka adalah keturunan Nabi Ismail.
1492 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik wanita yang menunggang unta salah satunya ialah wanita Quraisy yang soleh dan yang keduanya ialah wanita Quraisy yang berbuat baik kepada anak yatim yang masih kecil dan mengurus sendiri keperluan suaminya.
1493 Hadits Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan dari Asim r.a katanya: Aku bertanya Anas: Adakah telah sampai kepada kamu sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi: Tidak ada sumpah di dalam Islam? Anas menjawab: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersumpah di antara kaum Quraisy dan golongan Ansar di rumah baginda s.a.w.
1494 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Akan tiba suatu zaman di mana segolongan manusia akan berperang dan mereka ditanya: Adakah di antara kamu orang yang pernah melihat Rasulullah? Mereka menjawab: Ya. Maka mereka diberi kemenangan, kemudian datang lagi segolongan manusia yang berperang dan mereka ditanya: Adakah di antara kamu orang yang pernah melihat Sahabat Rasulullah s.a.w? Mereka menjawab: Ya. Maka mereka di beri kemenangan. Setelah itu datang lagi segolongan manusia yang berperang, lalu ditanya kepada mereka: Adakah di antara kamu yang melihat Sahabat Rasulullah? Mereka menjawab: Ya. Maka mereka di beri kemenangan.
1495 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik umatku ialah mereka yang hidup sezaman denganku, kemudian mereka yang hidup sezaman dengan Sahabatku, selepas itu mereka yang hidup selepas mereka (sahabat r.a.) Selepas itu akan datang satu kaum di mana penyaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului penyaksiannya.
1496 Diriwayatkan dari Imran bin Husain r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksiaan tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan suka akan kemewahaan.
1497 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Suatu malam Rasulullah s.a.w bersembahyang Isyak bersama kami (di akhir hayatnya). Setelah memberi salam, baginda s.a.w berdiri dan bersabda: Tahukah kamu akan malam ini? Sesungguhnya seratus tahun akan datang tidak akan ada lagi seorang pun manusia di atas muka bumi ini. Ibnu Umar berkata: Orang ramai salah faham mengenai sabda Rasulullah s.a.w itu, mereka bercakap-cakap tentang Hadits tersebut terutamanya mengenai Kiamat seratus tahun akan datang. Sedangkan maksud Rasulullah ialah, tidak ada seorang pun manusia yang hidup sekarang ini (zaman Rasulullah) akan hidup pada seratus tahun yang akan datang, dengan kata lain kurun itu sudah berlalu.
1498 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Di antara Khalid bin al-Walid dan Abdul Rahman bin Auf telah terjadi sesuatu, lalu Khalid mencaci beliau. Mendengar hal itu, Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu mencaci Sahabatku walaupun salah seorang dari kamu membelanjakan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, dia tidak dapat menandingi salah seorang ataupun separuh dari mereka.
1499 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku berkata kepada Asma' binti Abu Bakar: Bagaimanakah kamu melihat apa yang aku lakukan terhadap musuh. Asma' menjawab: Aku melihat kamu merusakkan dunia mereka dan mereka telah merusakkan akhirat kamu. Sesungguhnya telah sampai kepada aku bahawa kamu memanggilnya dengan pangilan Zatu an-Nitaqain, demi Allah akulah Zatu an-Nitaqain. Pertamanya kerana aku menghantar makanan untuk Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar dari ternakan. Manakala yang keduanya ialah pakaian wanita yang tidak perlu kamu mengetahuinya. Apa yang Rasulullah s.a.w ceritakan kepada kami mengenai kaum Thaqif, bahawa di situ ada seorang pendusta dan seorang perusak. Pendusta tersebut kami pernah melihatnya, manakala tukang perusak itu aku rasa adalah kamu. Setelah itu beliau pun pergi dan tidak kembali lagi.
1500 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya agama itu berada di bintang, nescaya salah seorang dari lelaki Parsi atau pemuda-pemuda Parsi akan pergi ke sana untuk mendapatkannya.
1501 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Akan didapati manusia seperti seratus ekor unta, tetapi tidak terdapat seorangpun dari mereka yang dapat dibawa untuk musafir.

KEBAIKAN, HUBUNGAN KEKELUARGAAN DAN ETIKA
1502 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin? Rasulullah s.a.w bersabda: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ayahmu.
1503 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru r.a katanya Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w memohon izin kepada baginda agar diperkenankan untuk turut berperang. Nabi s.a.w bersabda: Adakah kedua orang tuamu masih hidup? Lelaki itu menjawab: Ya, masih hidup. Nabi s.a.w bersabda: Berbuat baiklah kepada mereka, maka keluarlah berperang.
1504 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Seorang yang bernama Juraij sedang mengerjakan ibadat di sebuah gereja. Lalu ibunya datang memanggilnya. Humaid berkata: Abu Rafi' pernah menerangkan kepadaku mengenai bagaimana Abu Hurairah meniru gaya ibu Juraij ketika memanggil anaknya, sebagaimana beliau mendapatkannya dari Rasulullah s.a.w yaitu dengan meletakkan tangannya di bahagian kepala antara dahi dan telinga serta mengangkat kepalanya: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Ketika itu perempuan tersebut mendapati anaknya memulakan sembahyang. Dengan keraguan Juraij berkata kepada diri sendiri: Ya Tuhan, ibuku atau sembahyangku. Tetapi Juraij telah memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Tidak berapa lama selepas itu, perempuan tersebut pergi untuk yang kedua kalinya. Beliau memanggil: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Juraij bertanya lagi kepada diri sendiri: Ya tuhan, ibuku atau sembahyangku. Tetapi beliau masih lagi memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Oleh kerana terlalu kecewa akhirnya perempuan itu berkata: Ya tuhan, sesungguhnya Juraij adalah anakku. Aku sudah memanggilnya berulang kali, namun ternyata beliau enggan menjawabnya. Ya tuhan, janganlah Engkau matikan beliau sebelum beliau mendapat fitnah yang disebabkan oleh perempuan pelacur. Pada suatu hari seorang pengembala kambing sedang berteduh di gereja Juraij yang letaknya jauh terpencil dari orang ramai. Tiba-tiba datang seorang perempuan dari sebuah dusun yang juga sedang berteduh di tempat tersebut. Kemudian keduanya melakukan perbuatan zina, sehingga melahirkan seorang anak. Ketika ditanya oleh orang ramai: Anak dari siapakah ini? Perempuan itu menjawab: Anak dari penghuni gereja ini. Lalu orang ramai berduyun-duyun datang kepada Juraij. Mereka membawa besi perejang. Mereka berteriak memanggil Juraij, yang mana pada waktu itu sedang bersembahyang. Maka sudah tentu Juraij tidak melayani panggilan mereka, akhirnya mereka merobohkan bagunan gerejanya. Tatakala melihat keadaan itu, Juraij keluar menemui mereka. Mereka berkata kepada Juraij: Tanyalah anak ini. Juraij tersenyum, kemudian mengusap kepala anak tersebut dan bertanya: Siapakah bapamu? Anak itu tiba-tiba menjawab: Bapaku adalah seorang pengembala kambing. Setelah mendengar jawapan jujur dari anak tersebut, mereka kelihatan menyesal, lalu berkata: Kami akan memdirikan gerejamu yang kami robohkan ini dengan emas dan perak. Juraij berkata: Tidak payahlah, biarkan ia menjadi debu seperti asalnya. Kemudian Juraij meninggalkannya.
1505 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk. Apabila selesai sebahagian mereka, maka tampillah sebuah tempat (rahim) dan berkata: Inilah tempat orang yang menjaga dari terputusnya hubungan kekeluargaan. Allah berfirman: Baiklah. Apakah kamu rela kalau Aku menyambung orang yang menyambungmu, dan memutuskan orang yang memutuskanmu? Beliau berkata: Sudah tentu. Allah berfirman: Itulah milikmu. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Bacalah ayat Yang bermaksud: Maka apakah sekiranya kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinganya serta dibutakan matanya, maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran atau apakah hati mereka sudah terkunci?.
1506 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hubungan kekeluargaan itu digantungkan pada Arasy. Ia berkata: Barangsiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan aku maka Allah pun akan memutuskannya.
1507 Diriwayatkan dari Jubair bin Mut'im r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tidak akan masuk Surga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan (silaturrahim).
1508 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menginginkan rezekinya dimudahkan dan usianya dipanjangkan, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.
1509 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.
1510 Diriwayatkan dari Abu Ayub al-Ansari r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam.
1511 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.
1512 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling tahan menderita sakit melebihi Rasulullah s.a.w.
1513 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda dalam keadaan tidak sihat. Aku menggosok baginda dengan tanganku. Aku katakan kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau benar-benar tidak sihat. Rasulullah s.a.w bersabda: Memanglah, apa yang aku alami sekarang ini adalah sama seperti yang di alami oleh dua orang di antara kamu. Aku berkata: Kalau begitu engkau beroleh dua pahala sekaligus. Rasulullah s.a.w bersabda: Benar. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Setiap orang muslim yang ditimpa musibah atau sakit dan sebagainya, maka Allah akan mengampunkan kesalahan-kesalahan dari sakitnya, sebagaimana daun yang gugur dari pokoknya.
1514 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap orang muslim yang tersusuk duri atau lebih dari itu misalnya, maka kerananya dicatatkan satu darjat dan dihapuskan darinya satu kesalahan.
1515 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap musibah yang di timpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan, sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kepada kebingungan dari musibah yang beliau alami, maka hal yang demikian merupakan penghapus bagi kesalahan-kesalahannya.
1516 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Ketika diturunkan ayat: Yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. Orang-orang Islam merasa amat sedih tetapi kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Sederhanalah dan jangan terlalu berlebih-lebihan serta berusahalah melakukan yang benar. Setiap musibah yang menimpa orang-orang muslim adalah suatu pelebur kesalahan biarpun hanya sekadar tersusuk duri.
1517 Hadis Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan dari Ata' bin Abu Rabah r.a katanya: Ibnu Abbas bertanya kepadaku: Mahukah kamu jika aku perlihatkan seorang wanita yang menjadi calon penghuni Surga? Aku menjawab: Sudah tentu. Ibnu Abbas berkata: Wanita berkulit hitam itulah, beliau pernah datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Sesungguhnya aku diserang penyakit sawan babi atau gila babi. Aku ingin sembuh. Oleh itu berdoalah kepada Allah demi menyembuhkanku. Nabi s.a.w bersabda: Jika sekiranya kamu mahu bersabar bagimu adalah Surga. Sekiranya kamu mahu sembuh, aku boleh mendoakan kepada Allah semoga Dia berkenan menyembuhkanmu. Wanita itu berkata: Baiklah aku akan bersabar, tetapi aku ingin sembuh, jadi berdoalah kepada Allah supaya menyembuhkanku. Nabi s.a.w akhirnya mendoakan untuknya.
1518 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kezaliman itu akan mendatangkan kegelapan pada Hari Kiamat kelak.
1519 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim lain. Beliau tidak boleh menzalimi dan menyusahkannya. Barangsiapa yang mahu memenuhi hajat saudaranya, maka Allah pun akan berkenan memenuhi hajatnya. Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan kepada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan salah satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan Hari Kiamat nanti. Barangsiapa yang menutup keaiban seseorang muslim, maka Allah akan menutup keaibannya pada Hari Kiamat.
1520 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan memanjangkan usia atau waktu bagi orang-orang yang zalim. Walaupun begitu Allah tetap menyiksanya, maka Dia (Allah) tidak akan melepaskannya. Kemudian beliau membaca firman Allah: Yang bermaksud: Dan begitulah azab Tuhanmu apabila Dia mengazabkan penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azabNya itu adalah sangat pedih lagi keras.
1521 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Dua orang anak muda yang mana salah seorang di antaranya dari kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar sedang bertengkar. Seorang dari kaum Muhajirin atau mungkin juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak. Wahai orang Muhajirin! Manakala kaum Ansar berteriak. Wahai orang Ansar! Setelah mendengar suasana begitu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Ada apakah panggilan seperti Jahilyah ini? Mereka menjawab: Tidak ada apa-apa, wahai Rasulullah. Hanya ada dua anak muda sedang bertengkar di mana salah satu dari keduanya berusaha memukul bahagian tubuh yang satunya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak perlu menyebunyikan persoalan. Seharusnya kamu menolongnya baik yang zalim mahupun yang dizalimi. Terhadap yang zalim, maka hendaklah beliau mencegah kezalimannya. Sesungguhnya itu bererti telah menolongnya. Manakala terhadap yang dizalimi hendaklah beliau membelanya.
1522 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.
1523 Diriwayatkan dari Nu'man bin Basyir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit.
1524 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki meminta untuk masuk berjumpa Nabi s.a.w. Baginda bersabda: Persilakanlah beliau masuk. Beliau adalah putera yang paling buruk dari sebuah keluarga atau lelaki yang paling buruk dari sebuah keluarga. Tatakala lelaki itu masuk berjumpa Nabi s.a.w, maka Nabi s.a.w menyambutnya dengan kata-kata yang lemah lembut. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Mengapa anda (yaitu baginda) bercakap dan bersikap seramah itu. Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya orang yang kedudukannya paling buruk di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak ialah orang yang di jauhi atau orang yang ditinggalkan oleh orang ramai kerana mereka takut akan kejahatannya (orang yang buruk perkataan dan perbuatannya).
1525 Diriwayatkan dari Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya.
1526 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ya Allah, sesungguhnya aku hanyalah manusia. Setiap orang muslim yang aku caci maki atau aku kutuk atau aku pukul, maka jadikanla1527 Diriwayatkan dari Ummu Kalsum binti Uqbah r.a katanya: Sesungguhnya beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah dikira sebagai pendusta jika seseorang mendamaikan perselisihan di antara manusia. Beliau berkata yang baik dan menyampaikan yang baik pula h itu sebagai zakat dan rahmat baginya.
1528 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w pernah barsabda: Perhatikan! Aku akan terangkan kepada kamu apakah dia al-Adhhu? Ianya adalah umpatan yang biasa diucapkan di kalangan orang ramai. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda: Seseorang yang biasa berlaku jujur, maka beliau akan dicatat sebagai orang yang jujur. Sebaliknya orang yang biasa berbohong (berdusta) maka beliau akan dicatat sebagai pembohong.
1529 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kekuatan itu tidak dibuktikan dengan kemenangan bertumbuk. Tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika sedang marah.
1530 Diriwayatkan dari Sulaiman bin Surad r.a katanya: Dua orang lelaki sedang bercaci maki di hadapan Rasulullah s.a.w. Salah seorang dari mereka matanya menjadi merah dan urat darah di lehernya timbul. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku tahu suatu kalimat yang apabila ianya diucapkan maka apa yang beliau derita itu menjadi hilang, yaitu bermaksud: Aku berlindung dengan Allah dari godaan syaitan yang terkutuk. Lelaki itu berkata: Apakah engkau (baginda) melihat aku gila?.
1531 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang di antara kamu bertengkar dengan saudaranya maka hendaklah beliau menghindari dari memukul di bahagian muka.
1532 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Seseorang telah pergi ke masjid dengan membawa anak panah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Peganglah di bahagian yang tajam yaitu bahagian matanya.
1533 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang dari kamu pergi ke suatu majlis atau ke sebuah pasar, sedangkan di tangannya membawa anak panah, hendaklah beliau memegang di bahagian yang tajam. Kemudian hendaklah beliau memegang di bahagian yang tajam. Kemudian hendaklah beliau memegang di bahagian yang tajam.
1534 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Abu al-Qasim s.a.w pernah bersabda: Barangsiapa yang mengacukan atau menghadapkan senjata kepada saudaranya maka Malaikat akan mengutuknya sekalipun beliau itu adalah saudara kandungnya sendiri.
1535 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai soal jiran tetangga sehingga aku mengira bahawa beliau (jiran tersebut) yang akan mewarisinya (pusaka).
1536 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku mengira bahawa beliau yaitu jiran tersebut yang akan mewarisinya (pusaka).
1537 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Apabila datang seseorang yang berhajat kepada Rasulullah s.a.w, maka baginda akan menemui para Sahabatnya yang biasa baginda ajak berkumpul dan berbincang lalu baginda bersabda: Tolonglah, nanti kamu akan diberikan pahala. Allah akan memenuhi apa yang Dia (Allah) suka dari lisan (percakapan) NabiNya.
1538 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukan besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok.
1539 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Seorang perempuan telah datang berjumpa aku dengan membawa dua orang anak perempuannya, lalu dia meminta sesuatu dariku. Pada saat itu tidak ada makanan di rumah aku kecuali sebiji kurma. Tanpa berlengah-lengah aku terus memberikannya. Perempuan tersebut mengambil kurma yang diberikan lalu membahagikan kepada dua orang anak perempuannya dan dia tidak merasainya walaupun sedikit. Kemudian dia berdiri dan keluar bersama dengan dua orang anak perempuannya. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w pulang aku sampaikan cerita tersebut kepada baginda. Mendengar peristiwa tersebut baginda bersabda: Sesiapa yang mendapat cobaan dari anak-anak perempuannya, tetapi dia melakukan kebaikan terhadap mereka, nescaya mereka akan menjadi penghalang baginya dari azab Neraka.
1540 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Seorang muslim yang kematian tiga orang anak lelakinya tetapi masih di azab dengan Neraka adalah tidak lain dan tidak bukan kerana beliau amat suka bersumpah.
1541 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Seorang perempuan datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Orang lelaki boleh mendengar Hadis dari mu pada bila-bila masa. Oleh itu luangkanlah satu hari kepada kami untuk kami pelajari dari mu apa yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t. Baginda bersabda: Berhimpunlah kamu pada hari yang tertentu. Rasulullah s.a.w kemudiannya mendapatkan mereka serta mengajar beberapa perkara yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t. Lalu baginda bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang kematian tiga orang anak, nescaya mereka akan menjadi penghalang ibunya dari diazab dengan Neraka. Seorang perempuan bertanya: Bagaimana dengan mereka yang kematian dua orang anak, bagaimana dengan mereka yang kematian dua orang anak, bagaimana dengan mereka yang kematian dua orang anak. Baginda bersabda: Begitu juga mereka yang kematian dua orang anak, begitu juga mereka yang kematian dua orang anak, begitu juga mereka yang kematian dua orang anak.
1542 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Allah s.w.t mengasihi seseorang hamba nescaya dia akan memanggil Jibril a.s dan berfirman: Sesungguhnya Aku mengasihi orang tersebut, oleh itu kasihilah dia. Baginda bersabda: Lalu Jibril mengasihinya. Kemudian Jibril menyeru ahli langit dengan berkata: Allah telah mengasihi orang tersebut, jadi kamu semua mestilah mengasihinya, lantas semua ahli langit mengasihinya. Baginda bersabda: Kemudian orang tersebut diterima oleh semua golongan yang berada di muka bumi. Apabila Allah s.w.t memurkai seseorang hamba, nescaya dia juga akan memanggil Jibril a.s dan berfirman: Sesungguhnya Aku benci orang tersebut, oleh itu bencikanlah dia. Baginda bersabda: Lalu Jibril membencinya. Kemudian Jibril menyeru ahli langit dengan berkata: Allah telah membenci orang tersebut, jadi kamu semua mestilah membencinya, lantas semua ahli langit membencinya. Kemudian dia dibenci oleh semua penghuni bumi.
1543 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Seorang lelaki yang berasal dari pedalaman bertanya Rasulullah s.a.w: Bilakah berlakunya Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah persediaan kamu untuk menghadapinya? Lelaki itu menjawab: Cinta kepada Allah dan RasulNya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu akan tetap bersama orang yang kamu cintai.
1544 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Apakah pandangan kamu tentang seorang lelaki yang menyukai suatu kaum ketika dia bertemu dengan mereka? Rasulullah s.a.w menjawab: Seorang itu akan tetap bersama orang yang disukainya.

TAQDIR
1545 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara yaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selainNya. Seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Surga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Neraka sehinggalah dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli Neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Surga sehinggalah dia memasukinya.
1546 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Secara marfuk baginda s.a.w bersabda: Allah s.w.t mengutuskan Malaikat ke dalam rahim. Malaikat berkata: Wahai Tuhan! Ia masih berupa air mani. Setelah beberapa ketika Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan! Ia sudah berupa darah beku. Begitu juga setelah berlalu empat puluh hari Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan! Ia sudah berupa seketul daging. Apabila Allah s.w.t membuat keputusan untuk menciptakannya menjadi manusia, maka Malaikat berkata: Wahai Tuhan! Orang ini akan diciptakan lelaki atau perempuan? Celaka atau bahagia? Bagaimana rezekinya? Serta bagaimana pula ajalnya? Segala-galanya dicatit semasa dalam perut ibunya lagi.
1547 Diriwayatkan dari Saidina Ali k.w katanya: Ketika aku mengiringi jenazah di perkuburan Baqi' al-Gharqad (di Madinah). Lalu Rasulullah s.a.w menghampiri kami lantas baginda duduk dan kami juga duduk di sekitarnya. Baginda memegang sebatang tongkat dan menghentakkan tongkat itu ke tanah. Baginda kemudiannya menggariskan tanah dengan tongkat tersebut dan bersabda: Setiap orang dari kamu, setiap jiwa yang bernafas telah ditentukan oleh Allah s.w.t tempatnya di Surga atau di Neraka. Begitu juga nasibnya telah ditentukan oleh Allah s.w.t, apakah dia mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Saidina Ali k.w berkata: Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Kenapa kita tidak menunggu ketentuan kita terlebih dahulu kemudian barulah memulakan amal ibadat? Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang termasuk dalam golongan yang mendapat kebahagiaan, sudah pasti dia mudah melakukan amalan golongan bahagia. Begitu juga sesiapa yang termasuk dalam golongan yang mendapat kecelakaan, dia juga sudah pasti mudah melakukan amalan golongan celaka. Baginda bersabda lagi: Lakukanlah amalan kerana segala-galanya dipermudahkan. Golongan yang mendapat kebahagiaan akan dipermudahkan melakukan amalan golongan yang mendapat kebahagiaan. Manakala golongan celaka pula akan dipermudahkan melakukan amalan golongan celaka. Seterusnya baginda membaca ayat Yang bermaksud: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa dengan mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memberikan dia kemudahan untuk mendapat kesenangan Surga. Sebaliknya orang yang bakhil dari berbuat kebajikan dan merasakan cukup dengan kekayaannya dan kemewahannya serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.
1548 Diriwayatkan dari Imran bin Husain r.a katanya: Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah sudah diketahui penghuni Surga dan penghuni Neraka? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya. Sahabat bertanya lagi: Kalau begitu untuk apa amalan dilakukan? Rasulullah s.a.w menjawab: Segala-galanya akan dipermudahkan berdasarkan kepada untuk apakah beliau dijadikan.
1549 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Adam berhujah dengan Nabi Musa a.s, di mana Nabi Musa berkata: Wahai Adam, kamu adalah ayahku. Kamu menghampakan aku dan kamu keluarkan aku dari Surga. Nabi Adam menjawab: Kamu Musa. Allah s.w.t telah memilihmu dengan kalamNya. Allah s.w.t menulis untukmu dengan tanganNya (kuasa). Apakah kamu akan mencelaku terhadap sesuatu yang berlaku dengan ketetapan Allah s.w.t, di mana ianya telah ditetapkan sejak empat puluh tahun sebelum aku di ciptakan. Nabi s.a.w bersabda: Akhirnya Nabi Adam a.s tetap berhujah (mengemukakan dalil) dengan Nabi Musa a.s. Akhirnya Nabi Adam a.s tetap berhujah (mengemukakan dalil) dengan Nabi Musa a.s.
1550 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Allah s.w.t telah mencatit bahawa anak Adam cenderung terhadap perbuatan zina. Keinginan tersebut tidak dapat dielakkan lagi, di mana dia akan melakukan zina mata dalam bentuk pandangan, zina mulut dalam bentuk pertuturan, zina perasaan yaitu bercita-cita dan berkeinginan mendapatkannya manakala kemaluanlah yang menentukannya berlaku atau tidak.
1551 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah yaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?
1552 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang anak orang-orang Musyrikin. Baginda bersabda: Allah lebih mengetahui terhadap apa yang mereka lakukan.
1553 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang anak orang-orang Musyrikin. Baginda bersabda: Allah lebih mengetahui terhadap apa yang mereka lakukan sejak mereka diciptakan.

ILMU
1554 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w membaca firman Allah: Yang bermaksud: Dialah yang menurunkan kepadamu Wahai Muhammad kitab suci al-Quran. Sebahagian besar darinya ialah ayat-ayat muhkamat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya), ayat-ayat muhkamat itu ialah ibu atau pokok isi al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat mutasyabihat yang samar-samar serta tidak terang maksudnya. Oleh sebab itu timbullah fahaman yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing. Adapun orang-orang yang ada di dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari al-Quran untuk mencari-cari takwilnya memutarkan maksudnya menurut yang disukainya. Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama. Mereka berkata: Kami beriman kepadanya. Semuanya datang dari sisi tuhan kami dan tiada yang mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang berfikiran. Setelah selesai Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu melihat orang-orang yang mengikuti ayat-ayat yang mutasyabihat yaitu samar-samar dari al-Quran, maka mereka itulah orang-orang yang telah disebut oleh Allah. Oleh itu berhati-hatilah terhadap mereka.
1555 Diriwayatkan dari Jundab bin Abdullah al-Bajali r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Bacalah al-Quran selama mana hati kamu tetap padanya. Apabila kamu berselisih pendapat maka tegakkanlah kebenaran.
1556 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki yang paling dibenci oleh Allah s.w.t ialah lelaki yang suka mecetuskan perselisihan yang sengit.
1557 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu telah mengikuti sunnah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggakan mereka masuk ke dalam lubang biawak kamu tetap mengikuti mereka. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang kamu maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani? Baginda bersabda: Kalau bukan mereka, siapa lagi?
1558 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara tanda-tanda hampir Kiamat ialah terhapusnya ilmu Islam, munculnya kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan dilakukan secara terang-terangan.
1559 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Beberapa hari sebelum munculnya hari Kiamat, ilmu Islam dihapuskan, timbulnya kejahilan dan banyak berlaku jenayah terutama jenayah pembunuhan.
1560 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah. Sahabat bertanya: Apakah jenayah yang dimaksudkan? Rasulullah s.a.w bersabda: Yaitu jenayah pembunuhan.
1561 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah s.w.t mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula.

DDZIKIR, DO'A, TAUBAT DAN ISTIGFAR
1562 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.
1563 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang mampu menghafalnya, nescaya dia akan masuk Surga. Sesungguhnya Allah itu ganjil (esa pada zat, sifat dan perbuatanNya serta tiada sekutu bagiNya) dan Dia menyukai pada yang ganjil.
1564 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, maka hendaklah kamu berazam serta benar-benar memohon kepada Allah s.w.t dan janganlah berkata: Ya Allah, jika Engkau kehendaki maka perkenankanlah kepada aku, kerana sesungguhnya Allah itu bukanlah kedekut.
1565 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, janganlah berkata: Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau kehendaki. Tetapi hendaklah dia serahkan permohonannya dengan senang hati, kerana Allah tidak pernah segan untuk memberikan sesuatu kepadanya.
1566 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bercita-cita supaya cepat mati kerana ditimpa sesuatu kesulitan. Sekiranya dia berada dalam keadaan yang mengharuskan dia berbuat demikian, bolehlah dia berkata: Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku. Akan tetapi sekiranya mati itu lebih baik bagiku, matikanlah aku.
1567 Hadis Khabbab r.a: Diriwayatkan dari Qais bin Abu Hazim r.a katanya: Aku menemui Khabbab dan aku melihat dia sedang membakar tujuh luka yang terdapat di perutnya dengan besi panas. Lalu dia berkata: Kalau bukan kerana Rasulullah s.a.w melarang aku berdoa supaya cepat mati, nescaya aku akan berdoa untuk itu.
1568 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bercita-cita supaya cepat mati dan janganlah kamu berdoa supaya mati sebelum kematian itu sendiri datang kepadamu. Sesungguhnya apabila kamu mati, akan terputuslah segala amalan kamu. Sebaliknya apabila dipanjangkan umur seorang mukmin bererti bertambahlah kebaikannya.
1569 Diriwayatkan dari Ubadah bin as-Samit r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya.
1570 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Aku bertanya: Wahai Nabi Allah! Apakah kita perlu membenci mati? Di mana kami semua membenci mati. Baginda bersabda: Bukan begitu. Seseorang mukmin apabila diberitahu berita gembira dengan rahmat Allah, keredaanNya dan SurgaNya nescaya dia pasti suka untuk bertemu Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir apabila diberitahu adanya siksa serta murka Allah, dia tidak akan suka bertemu Allah dan Allah juga tidak suka bertemu dengannya.
1571 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya.
1572 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w menziarahi seorang lelaki Islam yang sakit tenat, tak bermaya untuk bergerak seolah-olah seekor anak burung yang baru menetas. Rasulullah s.a.w bertanya lelaki tersebut: Apakah kamu pernah berdoa memohon supaya diberi sesuatu? Lelaki itu menjawab: Ya. Aku berdoa: Ya Allah, jika Engkau ingin menyiksaku di akhirat kelak, tolonglah laksanakannya terhadapku di dunia ini. Mendengar kata-kata tersebut Rasulullah s.a.w bersabda: Maha Suci Allah s.w.t, kamu tidak akan mampu atau tidak akan berkuasa memikulnya. Bukankah lebih baik kamu berkata: Ya Allah, Yang bermaksud: Berikan kepadaku kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah aku dari siksa Neraka. Anas berkata: Lantas baginda berdoa kepada Allah s.w.t untuknya sehinggalah akhirnya dia sembuh dari penyakit tersebut.
1573 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis dzikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan dzikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis dzikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit. Baginda bersabda: Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakkan mereka dengan firmanNya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hambaMu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dariMu. Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Surga dariMu. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat SurgaKu? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat SurgaKu? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon dariMu perlindungan. Allah berfirman: Mereka pohon perlindunganKu dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari NerakaMu, wahai tuhan. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat NerakaKu. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunanMu. Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hambaMu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.
1574 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membaca: dalam sehari sebanyak seratus kali, nescaya dia mendapat pahala sebagaimana memerdekakan sepuluh orang hamba. Dia juga diampunkan seratus kejahatan, dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang. Tidak diganjarkan kepada orang lain lebih baik darinya kecuali orang tersebut melakukan amalan lebih banyak darinya. Manakala mereka yang berkata: dalam sehari sebanyak seratus kali nescaya terhapuslah segala dosanya sekalipun dosanya itu banyak seperti buih di lautan.
1575 Diriwayatkan dari Abu Ayyub al-Ansari r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang membaca: sebanyak sepuluh kali dalam sehari, nescaya dia mendapat ganjaran sebagaimana dia memerdekakan empat orang hamba dari putera Nabi Ismail.
1576 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Dua kalimah yang ringan di mulut, tetapi berat ditimbangan, serta disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih yaitu.
1577 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, para Sahabat bertakbir dengan suara yang cukup kuat lalu baginda bersabda: Wahai umatku! Perlahankanlah suara kamu. Sesungguhnya kamu bukannya berdoa kepada mereka yang buta ataupun ghaib, akan tetapi kamu sedang berdoa kepada yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat dan Dia bersama kamu. Abdullah bin Qais berkata: Ketika itu aku berada di belakang baginda sambil menyebut "Laa haula walaa quwwata illa bil laahi" lantas baginda bersabda: Wahai Abdullah bin Qais! Inginkah kamu aku tunjukkan sebuah gedung Surga? Aku menjawab: Tentu sekali, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Sebutlah "Laa haula walaa quwwata illa bil laahi"
1578 Diriwayatkan dari Saidina Abu Bakar r.a katanya: Dia pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Ajarkan kepada aku satu doa untuk aku bacakannya dalam sembahyang. Baginda bersabda: Bacalah doa "Alloohumma inni zdolamtu nafsii zdulman katsiiro" dan mengikut Qutaibah "Katsiiron walaa yaghfiru dzunuuba illaa anta faghfirli maghfirotan min 'indika war hamni innaka antal ghofuurur rohiimu"
1579 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w selalu berdoa: "Alloohumma inni a'udzubika minal 'ajzi wal kasali wal jubni wal haromi wal buykhli wa a'uudzu bika min 'adzzbil qobri wa min fitnatil mahyaa wal mamaati"
1580 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w selalu memohon perlindungan dari suratan takdir yang buruk, dari ditimpa kecelakaan, dari keghairahan musuh dan dari terkena bala.
1581 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Azib r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu ingin ke tempat tidur, berwuduklah terlebih dahulu sebagaimana kamu berwuduk untuk sembahyang. Kemudian berbaringlah di atas lambung kanan. Kemudian bacalah: "Allohumma innii asalamtu wajhii ilaika wa fawadltu amrii ilaika wal ja-tu zdohri ilaika rogbatan wa rohbatan ilaika laa manja-a wa laa manjaa minka illa ilaika aamantu bikitaa bika alladzii anzalta wa biunabiyyika alladzii arsalta"
jadikan doa ini sebagai ucapan (kata-kata) terakhir pada malam tersebut. Di mana sekiranya kamu mati nescaya kamu mati dalam keadaan fitrah (suci bersih). al-Bara' berkata: Aku mengulangi kalimah-kalimah tersebut supaya mengingatinya. Aku menyebut: "Amantu birosuulika alladzii arsalta"
Rasulullah s.a.w bersabda: Sebutlah : "Amantu binabiyyika alladzii arsalta"
1582 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang itu ingin tidur, hendaklah dia menyimpulkan penghujung kainnya lalu membuang debu-debu yang ada kemudian membaca: "Bismillaahirrohmaanirrohiim" kerana dia tidak mengetahui apakah yang akan berlaku di tempat tidurnya selepas itu. Apabila dia ingin berbaring, hendaklah dia berbaring di atas lambung kanan. Kemudian berdoa: "Subhaanaka Alloohumma Robbi bika wadlo'tu janbii wabika arfa'uhu in amsakta nafsii fagfirlahaa wa in arsaltahaa fahfazdhaa bimaa tahfazdu bihii 'ibaadakas shoolihiina".
1583 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w selalu berdoa: "Allohumma laka aslamtu wa bika aamantu wa'alaiika tawaakaltu wa ilaika anabtu wa bika khooshomtu" – "Alloohumma a'uudzu bi'izzatika laa ilaaha illa anta an tudlillanii antal hayyul ladzii laa yamuutu wal jinnu wal insu yamuutuun"
1584 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w selalu berdoa dengan doa ini:"Allohumma gfirlii khotiiathii wa jahlii wa isroofii fii amrii wamaa anta a'lamu bihi minnii Alloohummagfirlii jiddii wa hajlii wa khothoii wa 'amdii wa kullu dzaalika 'indii Alloohummagfirlii maa qoddamtu wa maa akhkhortu wa maa asrortu wa maa a'lantu wa maa anta a'lamu bihi minnii antal muqoddimu wa antal muakhkhiru wa anta 'alaa kulli syain qodiir".
1585 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w selalu berdoa: "Laa Ilaaha illal Loohu wahdahu a'azza jundahu wa nashoro 'abdahu wa gholabal ahzaaba wahdahu falaa syaea ba'dahu".
1586 Diriwayatkan dari Saidina Ali k.w katanya: Saidatina Fatimah r.a mengeluh sambil mengilas tangannya. Waktu itu beliau mendengar Nabi s.a.w mendapat seorang tawanan yang boleh dijadikan sebagai khadam. Saidatina Fatimah r.a pergi menemui Nabi s.a.w namun beliau tidak menemui baginda, cuma berjumpa Saidatina Aisyah r.a dan menceritakan maksud kedatangannya. Apabila Rasulullah s.a.w pulang, Saidatina Aisyah r.a terus menceritakan kepada baginda mengenai kedatangan Saidatina Fatimah r.a. Nabi s.a.w kemudiannya pergi menemui kami. Waktu itu kami sedang berada di tempat tidur, kami bangkit untuk menemui baginda lalu baginda bersabda: Tetaplah di tempat kamu. Baginda seterusnya duduk di antara kami sehinggalah aku reda dari memarahinya kemudian baginda bersabda: Inginkah kamu aku ajarkan sesuatu yang lebih baik dari permintaan kamu? Apabila kamu berada di tempat tidur masing-masing, kamu hendaklah membaca takbir "Alloohu Akbar" sebanyak tiga puluh empat kali, tasbih "SubhaanalLooh" sebanyak tiga puluh tiga kali dan tahmid "Alhamdulillaah" sebanyak tiga puluh tiga kali. Semuanya itu adalah terlebih baik dari seorang khadam.
1587 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia dari Allah s.w.t, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar kaldai memekik, pohonlah perlindungan dari Allah s.w.t dari godaan syaitan, kerana binatang terebut melihat syaitan.
1588 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w selalu berdoa setiap kali mendapat kesusahan. Di mana doanya: "Laa Ilaaha illal Loohul 'adziimul Haliimu laa ilaaha illal loohu Robbul 'arsyil 'adziimi laa ilaaha illal loohu Robbus samaawaati wa robbul ardli wa robbul 'arsyil kariimi".
1589 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.
1590 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku berdiri di hadapan pintu Surga ternyata kebanyakan orang yang memasukinya ialah dari kalangan orang-orang miskin. Aku juga melihat para pembesar sedang ditahan kecuali penghuni Neraka, di mana mereka diarahkan terus pergi ke Neraka. Ketika aku berdiri di hadapan pintu Neraka ternyata kebanyakan orang yang memasukinya adalah kaum wanita.
1591 Diriwayatkan dari Imran bin Husain r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Golongan yang paling sedikit menghuni Surga ialah kaum wanita.
1592 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada fitnah yang paling membahayakan kaum lelaki selepas zaman aku kecuali fitnah dari kaum wanita.
1593 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika tiga orang lelaki sedang berjalan-jalan, tiba-tiba turun hujan. Lalu mereka berteduh di dalam gua sebuah gunung. Secara tiba-tiba pintu gua itu tertutup dengan sebuah batu besar menyebabkan mereka terkurung, lalu sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Ingatlah semua amal baik yang pernah kamu lakukan kerana Allah s.w.t. Setelah itu berdoalah kepada Allah s.w.t dengan amalan masing-masing. Semoga Allah s.w.t menolong kesulitan ini. Lelaki pertama berkata: Ya Allah, suatu ketika dahulu aku mempunyai dua orang ibu bapa yang sudah tua melarat. Mereka tinggal bersama keluargaku yang terdiri dari seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil. Aku pelihara mereka serta berkhidmat untuk mereka. Sebaik sahaja aku mempunyai masa lapang aku terus memerahkan susu untuk mereka. Aku utamakan kedua orang tuaku untuk meminumnya terlebih dahulu dari anak-anakku. Satu hari kerana kesibukan pekerjaanku sehingga ke petang, baru aku dapat pulang. Aku dapati kedua orang tuaku sudah tidur. Seperti biasa aku terus memerah susu. Aku letakkan susu tersebut di dalam sebuah bejana. Aku berdiri di hujung kepala kedua orang tuaku, namun aku tidak sanggup membangkitkan mereka dari tidur yang nyenyak. Aku juga tidak sanggup memberi anak-anakku minum terlebih dahulu sebelum kedua orang tuaku meminumnya, sekalipun mereka meminta-minta di hadapanku kerana lapar dahaga. Aku terus setia menunggui mereka dan mereka juga tetap pula tidur sampai ke pagi. Jika Engkau tahu apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata mengharapkan keredaanMu, maka tolonglah aku dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini, sehingga kami boleh melihat langit. Disebabkan khidmat bakti tersebut Allah s.w.t berkenan menolong mereka dengan menggerakkan sedikit batu besar tersebut, sehingga mereka boleh melihat langit. Lelaki kedua pula berkata: Ya Allah, suatu ketika dahulu aku mempunyai seorang sepupu perempuan. Aku mengasihinya sebagaimana cinta seorang lelaki terhadap seorang perempuan yang cukup mendalam. Aku minta supaya dia melayani keinginan nafsuku. Namun begitu dia tidak sudi untuk berbuat demikian kecuali setelah aku mampu memberikannya wang sebanyak seratus dinar. Untuk tujuan tersebut dengan susah payah akhirnya aku mampu mengumpulkan wang sebanyak itu. Aku membawa wang tersebut kepadanya. Sebaik sahaja aku ingin menyetubuhinya, dia berkata: Wahai hamba Allah! Takutlah kepada Allah. Janganlah kamu meragut kesucian ku kecuali dengan pernikahan terlebih dahulu. Mendengar kata-kata tersebut aku terus bangkit darinya serta membatalkan niat jahatku itu. Seandainya Engkau tahu bahawa apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata untuk mencari keredaanMu, tolonglah kami dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini. Allah s.w.t berkenan menolong mereka di mana batu besar itu terbuka sedikit lagi. Lelaki ketiga pula berkata: Ya Allah, suatu ketika dahulu aku pernah mengupah seorang pekerja untuk menugal padi. Sebaik sahaja selesai melakukan pekerjaan, dia berkata: Berikan upahku. Namun aku enggan membayar upahnya. Dia terus menugal padi dan meminta lagi upahnya beberapa kali. Aku masih seperti biasa, enggan membayar upahnya dan terus mengupahnya menugal padi sehingga aku berjaya memiliki beberapa ekor lembu dan beberapa ekor anaknya. Suatu hari lelaki tadi datang kepadaku dan berkata: Takutlah kamu kepada Allah. Kamu jangan lagi menzalimi aku dengan kewajipanku. Kemudian aku berkata kepadanya: Ambillah lembu itu serta anak-anaknya. Dia berkata: Takutlah kepada Allah dan janganlah mempermain-mainkan aku. Aku berkata: Aku tidak mempermain-mainkan kamu, tetapi ambillah lembu itu serta anak-anaknya. Sehingga akhirnya dia mengambil lembu tersebut. Seandainya Engkau tahu bahawa apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata untuk mencari keredaanMu, tolonglah kami dari kesulitan yang tinggal hanya sedikit lagi. Akhirnya Allah pun menolong mereka dengan menggerakkan batu besar yang menutupi gua tempat di mana mereka berteduh.

TAUBAT
1594 Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hambaNya yang beriman yaitu seorang lelaki yang berada di kawasan tandus. Bersamanya seekor unta yang membawa makanan dan minuman, lalu dia tidur. Sebaik sahaja dia bangkit unta tersebut telah hilang. Dia terus mencarinya sehinggalah terasa kehausan dan dahaga lalu berkata: Lebih baik aku kembali ke tempatku tadi. Aku akan tidur sehingga mati. Lantas dia tidur berbantalkan lengannya dengan harapan supaya mati. Namun begitu dia terjaga lagi dan didapati unta yang membawa bekalan makanan dan minuman ada di sisinya. Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hamba yang beriman ini dengan unta dan bekalannya.
1595 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hambaNya yaitu salah seorang dari kamu bertaubat kepadaNya semasa dalam perjalanan di kawasan tandus (kering kontang). Semasa berhenti rehat unta berjalan perlahan-perlahan meninggalkannya sambil membawa bersama bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu puas mencarinya sehinggalah merasa putus asa lalu berbaring di bawah sepohon pokok. Asyik dalam keadan tersebut tiba-tiba unta yang dicari-cari tadi muncul di sisinya. Dia terus memegang tali kekang unta tersebut. Oleh kerana terlalu gembira dia berkata dalam keadaan tersasul: Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhanMu.
1596 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sebaik sahaja Allah s.w.t menciptakan makhlukNya. Dia terus menulis dalam kitab yang berada di sisiNya di atas Arasy: Sesungguhnya rahmatKu mengatasi kemurkaanKu.
1597 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menahan di sisiNya sebanyak sembilan puluh sembilan dan diturunkan ke bumi hanya satu bahagian. Dari satu bahagian inilah seluruh makhluk saling kasih mengasihi antara satu sama lain sehinggakan binatang mengangkat kaki dari anaknya takut terpijak atau menyakiti anaknya.
1598 Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a katanya: Dia membawa beberapa orang tawanan menemui Rasulullah s.a.w. Seorang wanita dari kalangan tawanan tersebut kelihatan mencari sesuatu. Sebaik sahaja dia menemui seorang bayi dari kalangan tawanan, dia mengambil bayi tersebut lalu didukung dan disusuinya. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami: Adakah pada pandangan kamu wanita ini sanggup membuang anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak. Demi Allah dia tidak sanggup membuangkannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat kasihan belas terhadap hambaNya dari kasih sayang perempuan ini terhadap anaknya.
1599 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang lelaki yang tidak pernah membuat kebaikan berkata kepada kepada keluarganya bahawa apabila dia mati, bakarlah jenazahnya dan buangkan abunya. Sebahagian di darat dan sebahagian lagi ke laut. Demi Allah! Sekiranya Allah ingin mengazabnya, pasti akan diazab dengan siksaan yang tidak pernah dilakukan terhadap orang lain. Sebaik sahaja lelaki tersebut mati, dia diperlakukan sebagaimana permintaannya. Lalu Allah s.w.t memerintahkan abu yang dibuang ke bumi supaya bercantum. Kemudian memerintahkan pula abu yang dibuang ke laut supaya bercantum. Setelah semuanya bercantum, Allah s.w.t berfirman: Mengapa kamu lakukan semua ini. Dia menjawab: Kerana takut kepadaMu Ya Allah dan Engkau lebih mengetahui segala-galanya. Lalu Allah mengampuni lelaki tersebut.
1600 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah dikurniakan harta dan anak oleh Allah s.w.t. Dia bertanya kepada anak-anaknya: Sanggupkah kamu melaksanakan permintaanku atau aku serahkan pusaka kepada orang lain? Apabila aku mati bakarlah jenazahku. Baginda berkata: Mengikut pengetahuanku dia juga berkata: Tumbuklah jenazahku hingga halus dan hamburkanlah ke udara kerana aku tidak mampu untuk mengemukakan amalan baik di sisi Allah sedangkan Allah s.w.t berkuasa untuk menyiksaku. Baginda bersabda: Setelah mereka berjanji, anak-anaknya melaksanakan perintah tersebut. Lalu Allah s.w.t berfirman: Apakah yang membuatkan kamu melakukan sedemikian rupa? Lelaki itu menjawab: Kerana takut kepadaMu. Baginda bersabda: Perbuatannya itu hanyalah semata-mata takut kepada Allah s.w.t.
1601 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda tentang apa yang baginda terima dari Allah s.w.t katanya: Seorang hamba Allah melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh itu buatlah sesuka hatimu, Aku akan ampunkan dosamu. Hamba tersebut berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga atau keempat aku meminta keampunan, tetapi Allah s.w.t tetap berfirman: Buatlah sesuka hatimu, Aku tetap akan mengampunkan dosamu.
1602 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorangpun yang lebih suka kepada pujian selain dari Allah s.w.t, kerana itulah Dia memuji ZatNya sendiri. Begitu juga tidak ada seorangpun yang lebih marah dari Allah s.w.t itulah sebabnya Dia mengharamkan perbuatan keji.
1603 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t adalah Pemurka dan orang yang beriman juga adalah pemarah. Allah s.w.t akan murka terhadap orang mukmin apabila melakukan perbuatan haram.
1604 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, lalu lelaki tersebut datang berjumpa Nabi s.a.w dan memberitahu kepada baginda perihal tersebut. Baginda bersabda: Lalu diturunkan ayat Yang bermaksud: Dirikanlah sembahyang wahai Muhammad (engkau dan umatmu) pada waktu pagi, petang dan sebahagian dari waktu malam. Sesungguhnya amalan kebajikan khususnya sembahyang akan menghapuskan kejahatan. Perintah Allah tersebut adalah merupakan peringatan bagi orang yang sentiasa mengingati Allah. Abdullah berkata: Lelaki tersebut bertanya: Adakah ayat ini diturunkan untukku wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Untuk sesiapa sahaja dari kalangan umatku yang melakukannya.
1605 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Seorang lelaki berjumpa Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud, oleh itu hukumlah aku. Anas berkata: Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang lelaki tersebut turut mendirikan sembahyang bersama-sama Rasulullah s.a.w. Setelah selesai sembahyang lelaki tadi berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud. Oleh itu hukumlah aku sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran. Baginda bersabda: Adakah kamu mendirikan sembahyang bersama-sama kami? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Baginda bersabda: Kamu telah diampunkan oleh Allah s.w.t.
1606 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, lalu dia mencari seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang pendeta, dia terus berjumpa pendeta tersebut kemudian berkata: Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima? Pendeta tersebut menjawab: Tidak. Mendengar jawapan itu, dia terus membunuh pendeta tersebut dan genaplah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang Ulama, dia terus berjumpa Ulama tersebut dan berkata: Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima? Ulama tersebut menjawab: Ya! Siapakah yang boleh menghalang kamu dari bertaubat? Pergilah ke Negeri si polan, kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah s.w.t bersama mereka dan jangan pulang ke Negerimu kerana Negerimu adalah Negeri yang sangat hina. Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan tiba-tiba dia mati, menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bertelingkah mengenainya. Malaikat Rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah s.w.t. Manakala Malaikat Azab pula berkata: Dia tidak pernah melakukan kebaikan. Lalu Malaikat yang lain datang dalam keadaan berupa manusia dan coba menghakimi mereka sambil berkata: Ukurlah jarak di antara dua tempat. Mana yang lebih hampir, itulah tempatnya. Lantas mereka mengukurnya. Ternyata mereka dapati lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya dia diambil oleh Malaikat Rahmat.
1607 Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan dari Safuan bin Muhriz r.a katanya: Seorang lelaki bertanya Ibnu Umar: Apakah sabda Rasulullah s.a.w semasa kamu berdua-duaan dengannya? Ibnu Umar menjawab: Aku mendengar baginda bersabda: Pada Hari Kiamat Allah s.w.t menaungi orang mukmin berhampiran denganNya. Allah meminta pengakuan terhadap dosa yang dilakukan dengan berfirman: Adakah kamu tahu? Orang mukmin menjawab: Aku tahu, wahai tuhan. Allah s.w.t berfirman: Aku telah menyembunyikannya untukmu di dunia dan sekarang Aku mengampunkannya untukmu. Lalu diberikan catatan kebaikannya. Sedangkan orang-orang kafir dan orang-orang munafik dipanggil mengikut nama masing-masing. Mereka itulah orang-orang yang mendustakan Allah.
1608 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya. Undian tersebut dikeluarkan kepada isteri-isteri baginda. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan. Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Tatakala aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para Sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin al-Muattal as-Sulami az-Zakwani telah ditinggal oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam hinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut. Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannya ketika dia mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain ucapannya sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak ditangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik. Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya yaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah dari pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya kurasakan ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan hinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di bina berhampiran dengan rumah kami. Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar as-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah! Aku berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar. Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan? Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong. Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan dari Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku. Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku: Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku? Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya. Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku? Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian. Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain darinya masih ramai. Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul. Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah: Wahai kaum muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku. Lalu Saad bin Muaz al-Ansari bangun berkata: Aku yang akan menolongmu dari orang itu wahai Rasulullah. Jika dia dari golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami dari golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu. Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang salih tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya! Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka hinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku. Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis. Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan dari Allah dan bertaubatlah kepadaNya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya. Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak punyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s: Yang bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi Demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t. Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada NabiNya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda. Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat al-Quran menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku. Saidatina Aisyah berkata: Lalu Saidina Abu Bakar orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang dari kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia menfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat sehingga ayat Yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga hinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu. Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah. Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara perempuannya yaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka!

SIFAT ORANG MEREKA DAN HUKUM BAGI MEREKA
1609 Diriwayatkan dari Zaid bin Arqam r.a katanya: Ketika kami musafir bersama Rasulullah s.a.w tiba-tiba orang ramai ditimpa kesulitan. Lalu Abdullah bin Ubai berkata kepada pengikutnya: Yang bermaksud: Janganlah kamu membelanjakan harta benda kamu kepada orang-orang yang ada bersama Rasulullah s.a.w supaya mereka bersurai meninggalkannya di sekitar kawasan tersebut. Zuhair berkata: adalah bentuk bacaan al-Quran bagi orang yang membacanya secara baris di bawah. Abdullah bin Ubai berkata lagi: Yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah dari medan perang sudah tentu pihak kita sebagai orang-orang yang mulia lagi kuat akan mengusir orang-orang yang hina lagi lemah yaitu pihak Islam keluar dari Madinah. Zaid berkata: Aku terus berjumpa Nabi s.a.w memberitahu kata-kata tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w memanggil Abdullah bin Ubai bertanya tentang ucapannya. Tetapi Abdullah bersumpah tidak pernah berkata demikian. Malah dia menjawab bahawa: Zaid telah membohongi Rasulullah s.a.w. Zaid berkata: Aku menjadi resah mendengar jawapannya itu sehinggalah Allah menurunkan ayat menjelaskan kebenaranku Yang bermaksud: Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu wahai Muhammad. Zaid berkata: Kemudian Nabi s.a.w memanggil Abdullah bin Ubai dan pengikutnya supaya meminta ampun. Zaid berkata: Mereka menggeleng kepala masing-masing seolah-olah batang kayu yang tersandar. Zaid berkata: Sebenarnya rupa paras mereka amat baik.
1610 Diriwayatkan dari Jabir r.a katanya: Nabi s.a.w pergi ke kubur Abdullah bin Ubai lalu mengeluarkan jenazah Abdullah dari kuburnya. Baginda meletakkan jenazah Abdullah di atas dua lutut baginda lantas meludahnya, kemudian memakaikan baju baginda kepada jenazah tersebut. Allahlah yang mengetahui segala-galanya.
1611 Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a katanya: Tiga orang lelaki telah berkumpul berhampiran Baitullah, dua orang darinya Quraisy dan seorang lagi banyak pengetahuan agama atau dua orang yang banyak pengetahuan agama dan seorang Quraisy yang sedikit pengetahuan agamanya serta perutnya buncit. Salah seorang di antara mereka berkata: Pada pendapat kamu adakah Allah mendengar kata-kata kita? Lelaki kedua berkata: Dia mendengar percakapan yang kuat dan tidak mendengar percakapan yang perlahan. Lelaki ketiga berkata: Sekiranya Dia mendengar percakapan yang kuat nescaya Dia juga mendengar percakapan yang perlahan. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat Yang bermaksud: (Dan semasa kamu berselindung ketika melakukan dosa di dunia dahulu bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan dosa itu).
1612 Diriwayatkan dari Zaid bin Thabit r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w keluar ke peperangan Uhud, sebahagian dari tentera yang mengikuti baginda membelot menyebabkan para Sahabat menjadi dua pasukan. Sebahagian dari para Sahabat berkata: Kita akan membunuh mereka, manakala sebahagian lagi berkata: Kita tidak boleh membunuh mereka. Lalu Allah s.w.t menurunkan Ayat Yang bermaksud: Maka apakah yang menyebabkan kamu berpecah menjadi dua golongan kerana kaum munafik itu.
1613 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Pada zaman Rasulullah s.a.w orang munafik selalu tidak menyertai peperangan, malah mereka bergembira dengan sikap mereka tidak bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Nabi s.a.w kembali, mereka mengemukakan berbagai alasan kepada baginda sambil bersumpah dan mengharapkan pujian terhadap apa yang mereka tidak lakukan. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, maka jangan kamu sangka mereka akan terselamat dari siksa.
1614 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Marwan berkata kepada penjaga pintunya: Wahai Rafi'! Pergilah kepada Ibnu Abbas dan katakanlah: Sekiranya setiap orang di antara kita disiksa kerana bergembira terhadap apa yang diperolehi dan suka dipuji terhadap apa yang tidak dilakukan, nescaya kita semua turut akan disiksa. Ibnu Abbas berkata: Kenapakah kamu ni? Ayat ini diturunkan kepada Ahli Kitab. Kemudian Ibnu Abbas membaca ayat yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan kitab yaitu: Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya, ini satu ayat. Kemudian Ibnu Abbas membaca ayat Yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, terselamat dari siksa. Seterusnya Ibnu Abbas berkata: Nabi s.a.w bertanya kepada mereka, tetapi mereka menyembunyikannya malah memberikan jawapan lain. Kemudian mereka keluar dengan perasaan telah memberitahu apa yang ditanyakan kepada mereka. Mereka berharap mendapat pujian terhadap jawapan tersebut serta bergembira dengan tipu helah mereka.
1615 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Di antara kami ada seorang lelaki dari Bani Najjar, dia telah membaca surah al-Baqarah dan surah Ali Imran serta selalu menulis untuk Rasulullah s.a.w, lalu dia melarikan diri untuk bersama-sama Ahli Kitab. Anas berkata: Ahli Kitab menyanjungnya. Mereka berkata: Lelaki ini telah menulis untuk Muhammad menyebabkan mereka mengkaguminya. Setelah beberapa ketika bersama-sama Ahli Kitab, lelaki tersebut meninggal dunia. Ahli Kitab menggali kubur dan mengkebumikannya. Bumi memuntahkannya ke permukaan. Mereka menggali lagi dan mengkebumikannya semula. Namun bumi tetap memuntahkan lelaki tersebut ke permukaan. Mereka menggali dan mengkebumikannya lagi. Bumi tetap memuntahkannya semula ke permukaan. Akhirnya mereka membiarkannya di permukaan bumi.

SUASANA HARI KIAMAT, SURGA DAN NERAKA
1616 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya akan tiba seorang lelaki besar lagi gemuk pada Hari Kiamat. Namun di sisi Allah s.w.t tidak dapat menandingi timbangan sayap seekor nyamuk. Kamu bacalah ayat yang bermaksud: Maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amalan mereka pada Hari Kiamat kelak.
1617 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Seorang pendita datang berjumpa Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Muhammad atau Wahai Abu al-Qasim! Pada Hari Kiamat Allah s.w.t memegang langit, bumi, gunung-ganang, pokok-pokok, air, tanah dan semua makhluk dengan jari-jariNya. Kemudian Dia menggoyangnya sambil berfirman: Akulah Raja, Akulah Raja. Lalu Rasulullah s.a.w ketawa kerana kagum mendengar kata-kata pendita tersebut sambil membenarkannya kemudian membaca ayat Yang bermaksud: Dan orang yang syirik tidak menghormati Allah dengan sewajarnya, sedangkan pada Hari Kiamat bumi keseluruhannya berada dalam genggaman kuasaNya. Maha suci Allah, Dia dan keadaanNya yang tertinggi dari apa yang mereka sekutukan.
1618 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t menggenggam bumi pada Hari Kiamat dan melipat langit dengan tangan kananNya kemudian berfirman: Akulah Raja! Di manakah raja-raja bumi?.
1619 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat Allah s.w.t melipat langit kemudian menggenggamnya dengan tangan kanan lalu berfirman: Akulah Raja! Di manakah orang yang gagah perkasa? Di manakah orang yang bongkak? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiriNya lalu berfirman: Akulah Raja! Di manakah orang yang gagah perkasa? Di manakah orang yang bongkak?.
1620 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat manusia dikumpulkan di tanah putih bersih seperti roti yang lembut, tidak1621 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat nanti bumi akan berubah seolah-olah menjadi sepotong roti yang dilambungkan oleh Tuhan Yang Maha Perkasa di tanganNya sebagaimana seorang dari kamu melambungkan roti dari dua tangan semasa berjalan. Itu adalah hidangan ahli Surga. Tiba-tiba datang seorang Yahudi lalu berkata: Semoga Tuhan Yang Maha Pengasih memberkatimu wahai Abu al-Qasim! Inginkah engkau mendengar ceritaku tentang hidangan ahli Surga pada Hari Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya, silakan! Orang tersebut berkata: Bumi akan berubah seolah-olah menjadi sepotong roti sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Mendengar kata-kata tersebut Rasulullah s.a.w memandang kepada kami kemudian ketawa hingga kelihatan gigi geraham baginda. Orang tersebut berkata lagi: Inginkah kamu aku ceritakan tentang lauk pauk mereka? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya! Orang itu berkata: Lauk-pauk mereka adalah Balam dan Nun. Para Sahabat bertanya: Apakah Balam dan Nun itu? Lelaki tersebut menjawab: Lembu dan ikan paus di mana seketul daging terbaik yang tergantung pada hatinya dapat dimakan oleh tujuh puluh ribu orang ada apa-apa untuk seseorang itu berlindung.
1621 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat nanti bumi akan berubah seolah-olah menjadi sepotong roti yang dilambungkan oleh Tuhan Yang Maha Perkasa di tanganNya sebagaimana seorang dari kamu melambungkan roti dari dua tangan semasa berjalan. Itu adalah hidangan ahli Surga. Tiba-tiba datang seorang Yahudi lalu berkata: Semoga Tuhan Yang Maha Pengasih memberkatimu wahai Abu al-Qasim! Inginkah engkau mendengar ceritaku tentang hidangan ahli Surga pada Hari Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya, silakan! Orang tersebut berkata: Bumi akan berubah seolah-olah menjadi sepotong roti sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Mendengar kata-kata tersebut Rasulullah s.a.w memandang kepada kami kemudian ketawa hingga kelihatan gigi geraham baginda. Orang tersebut berkata lagi: Inginkah kamu aku ceritakan tentang lauk pauk mereka? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya! Orang itu berkata: Lauk-pauk mereka adalah Balam dan Nun. Para Sahabat bertanya: Apakah Balam dan Nun itu? Lelaki tersebut menjawab: Lembu dan ikan paus di mana seketul daging terbaik yang tergantung pada hatinya dapat dimakan oleh tujuh puluh ribu orang.
1622 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sekiranya sepuluh orang Yahudi mengikutiku nescaya semua orang Yahudi di muka bumi ini memeluk Islam.
1623 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Ketika aku berjalan bersama Rasulullah s.a.w di sawah, baginda bertongkatkan pelepah tamar. Tiba-tiba datang sekumpulan orang Yahudi, sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Tanyalah dia tentang roh! Sebahagian lagi menyahut: Adakah kamu takut terhadapnya? Dia tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diingini terhadap kamu. Sebahagian dari mereka tetap berkata: Tanyalah dia! Lalu sebahagian di antara mereka berjumpa Rasulullah s.a.w dan bertanya tentang roh. Nabi s.a.w diam tidak menjawab. Pada anggapanku ketika itu baginda sedang menerima wahyu. Abdullah berkata: Aku tetap berdiri di situ. Setelah selesai menerima wahyu, Rasulullah s.a.w menjawab dengan membaca ayat yang bermaksud: (Dan mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang roh. Katakanlah: Roh itu termasuk dalam urusan tuhanku dan kamu hanya diberi sedikit sahaja ilmu pengetahuan).
1624 Diriwayatkan dari Khabbab r.a katanya: al-As bin Wa'il berhutang dengan aku. Aku berjumpanya lalu bertanya: Inginkah kamu membayar hutangku. Dia menjawab: Aku tidak akan membayar hutangmu sehingga engkau kufur terhadap Muhammad. Aku menjawab: Aku tidak akan kufur kepada Muhammad sekalipun engkau mati dan dibangkitkan semula. al-As berkata: Adakah aku akan dibangkitkan semula selepas mati? Kalau begitu aku akan membayar hutangmu nanti apabila aku kembali semula kepada harta dan anak-anak aku. Wakie' dan al-A'masy juga meriwayatkan demikian. Khabbab berkata: Lalu turunlah ayat Yang bermaksud: Tidakkah engkau merasa hairan memikirkannya (wahai Muhammad), orang yang ingkar kepada ayat-ayat Kami serta dia berkata: Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak pinak pada Hari Akhirat sehingga ayat Yang bermaksud: Dan dia akan datang kepada Kami seorang diri.
1625 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Abu Jahal berdoa: Wahai tuhanku sekiranya al-Quran ini betul datang dari sisiMu, maka turunkanlah hujan batu dari langit atau timpakan kepada kami siksaan yang pedih. Lalu turunlah ayat Yang bermaksud: Dan Allah tidak sekali-kali akan menyiksa mereka, sedangkan engkau wahai Muhammad ada di antara mereka dan mengapa mereka tidak patut disiksakan oleh Allah sedangkan mereka menyekat orang-orang Islam dari Masjidil Haram sehingga ke akhir ayat.
1626 Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: Diriwayatkan dari Masruq r.a katanya: Ketika kami duduk di sisi Abdullah yang berbaring di antara kami. Tiba-tiba datang seorang lelaki menemui beliau lalu berkata: Wahai Abu Abdul Rahman! Ada seorang pembawa cerita bohong di hadapan pintu Kindah (pintu Kufah) mencerita dan mendakwa bahawa tanda kepulan asap yang akan datang dan melemaskan orang-orang kafir. Manakala orang-orang mukmin seperti terkena selsema. Abdullah bangkit dan duduk dengan marah lalu berkata: Wahai kaum manusia, bertaqwalah kepada Allah! Sesiapa di kalangan kamu yang mengetahui sesuatu, hendaklah dia bercakap mengikut apa yang dia ketahui dan sesiapa yang tidak mengetahui, hendaklah dia berkata: Allah yang lebih mengetahui. Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman kepada Nabi-Nya s.a.w: (Katakanlah wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran al-Quran ini dan aku bukanlah dari orang-orang yang (mengada-ngadakan. Ketika Rasulullah s.a.w melihat orang ramai membelot, baginda berdoa: Wahai Allah! Timpakanlah kesulitan sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Nabi Yusuf a.s. Masruq berkata: Tidak berapa lama berlakulah musim kemarau menyebabkan semua makanan habis, sehinggakan mereka terpaksa memakan kulit-kulit kayu dan bangkai kerana kelaparan. Lalu salah seorang dari mereka mendongak ke langit lantas terlihat kepulan asap. Kemudian Abu Sufian pergi berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya engkau dibangkitkan untuk memerintah manusia supaya taat kepada Allah dan menghubungkan tali silaturrahim. Sekarang kaummu telah ditimpa malapetaka. Oleh itu berdoalah kepada Allah. Allah s.w.t berfirman sehingga ayat Yang bermaksud: Oleh itu tunggulah wahai Muhammad masa langit membawa asap kemarau yang jelas lagi nyata menyebabkan kebuluran yang dahsyat, menimpa seluruh keadaan manusia yang kafir itu sehingga mereka berkata: Ini adalah satu azab yang sungguh menyakitkan hinggalah firmanNya yang bermaksud: Sudah tentu kamu akan kembali ingkar. Abdullah berkata: Adakah akan diperlihatkan azab Hari Akhirat? Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Ingatlah! Sekiranya kamu mengulangi keingkaran kamu, kamu akan binasa semasa kami timpakan kamu dengan paluan yang kuat dari pihak lawan kamu sesungguhnya kami tetap akan menyiksa dengan azab yang sebenar-benarnya. Paluan yang kuat itu berlaku ketika peperangan Badar. Ayat-ayat Dukhan kepulan) (asap, Batsyah (pukulan), lizam kepastian) siksa orang-orang (kafir dan ayat-ayat Rom semuanya telah berlalu.
1627 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Bulan telah terbelah kepada dua bahagian pada zaman Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda: Saksikanlah!.
1628 Diriwayatkan dari Anas r.a katanya: Penduduk Mekah telah meminta kepada Rasulullah s.a.w supaya menunjukkan kepada mereka satu bukti. Lalu Rasulullah s.a.w memperlihatkan kepada mereka mukjizat pembelahan bulan sebanyak dua kali.
1629 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya bulan telah terbelah pada zaman Rasulullah s.a.w.
1630 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tiada seorang pun yang dapat bersabar menghadapi dugaan kesakitan sebagaimana yang baginda dengar dari Allah s.w.t. Bahkan mereka menyekutukan Allah serta beranggapan Dia mempunyai anak. Namun begitu Allah s.w.t tetap melindungi dan mengurniakan rezeki kepada mereka.
1631 Diriwayatkan dari Abdullah bin Qais r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tiada seorang pun yang dapat bersabar menghadapi dugaan kesakitan sebagaimana yang baginda dengar dari Allah s.w.t. Mereka menyekutukanNya serta beranggapan Dia mempunyai anak. Namun begitu, Allah s.w.t tetap memberi rezeki, melindungi mereka dan memperkenankan permintaan mereka.
1632 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Allah s.w.t telah berfirman kepada penghuni Neraka yang paling ringan siksaannya: Seandainya kamu mempunyai dunia yang penuh dengan kelengkapannya, mahukah kamu menebus dirimu dengan semuanya itu? Orang itu menjawab: Ya! Allah s.w.t berfirman lagi: Aku telah meminta darimu sesuatu yang lebih ringan berbanding dengan perkara ini ketika engkau berada di tulang sulbi Nabi Adam, yaitu agar engkau tidak menyekutukan Aku. Aku menyangka engkau melaksanakan permintaan tersebut. Allah s.w.t berfirman: Aku juga tidak akan memasukkan kamu ke dalam Neraka, tetapi kamu ingkar dan tetap menyekutukan aku.
1633 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah orang kafir dibangkitkan di atas muka mereka pada Hari Kiamat? Rasulullah s.a.w menjawab: Bukankah Allah yang menjadikannya berjalan dengan menggunakan dua kakinya semasa di dunia. Jadi, sudah tentu Dia mampu menjadikan mereka berjalan dengan menggunakan muka pada Hari Kiamat.
1634 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Perumpamaan orang mukmin seperti tanaman. Tidak henti-henti angin meniupnya dan orang mukmin sentiasa menerima cobaan. Sedangkan perumpamaan orang munafik seperti sepohon pokok yang kuat tidak boleh digoyangkan sehinggalah ia ditebang.
1635 Diriwayatkan dari Kaab r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Perumpamaan orang mukmin itu seperti tanaman yang kecil. Apabila ditiup angin dia merebah kemudian tegak kembali sehingga kelihatan bergoyang-goyang. Manakala perumpamaan orang kafir adalah seperti sepohon pokok yang kuat di atas tunjangnya, tidak boleh digoyangkan sehinggalah ia tumbang.
1636 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya dari semua jenis pokok terdapat satu jenis pokok yang susah gugur daunnya. Ia adalah umpama seorang muslim. Coba jelaskan bagaimanakah pokok tersebut? Orang ramai berpendapat bahawa ianya adalah sejenis pokok yang terdapat di sebuah wadi. Abdullah berkata: Pada pendapatku ia adalah pokok tamar, tetapi aku malu untuk menyatakannya. Kemudian orang ramai berkata: Jelaskanlah kepada kami pokok tersebut wahai Rasulullah! Abdullah berkata: Baginda bersabda: Ia adalah pokok tamar. Kata Abdullah: Aku nyatakan perkara tersebut kepada Umar. Beliau berkata: Sekiranya engkau mengatakan bahawa pokok tersebut adalah pokok tamar nescaya itu lebih aku sukai dari perkara lain.
1637 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Dari Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Amalan seseorang tidak akan dapat menyelamatkan diri masing-masing. Seseorang bertanya: Walaupun engkau wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Ya! Walaupun aku tetapi Allah telah meliputi rahmatNya kepadaku. Tetapi kamu berusahalah sungguh-sungguh!
1638 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syukbah r.a: Bahawa Nabi s.a.w telah mengerjakan sembahyang hingga pecah-pecah telapak kaki baginda. Maka baginda ditanya: Mengapa engkau menyusahkan diri dengan ini semua? Sedangkan Allah telah mengampuni segala kesalahanmu samada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur!
1639 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang baginda berdiri hingga pecah-pecah telapak kakinya. Aisyah r.a berkata: Wahai Rasulullah! Mengapa engkau lakukan ini semua? Sedangkan Allah telah mengampunkan segala kesalahanmu samada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Wahai Aisyah Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur!
1640 Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: Diriwayatkan dari Syaqiq bin Salamah r.a katanya: Ketika kami duduk menunggu di hadapan pintu Abdullah tiba-tiba Yazid bin Muawiyah Nakhaie melintas di hadapan kami. Kami berkata: Beritahulah kepada Abdullah bahawa kami berada di sini. Yazid masuk menemui Abdullah. Tidak berapa lama kemudian, Abdullah keluar menemui kami. Beliau berkata: Aku diberitahu bahawa kamu semua berada di sini. Sebenarnya tidak ada yang menghalangku untuk keluar menemui kamu, hanya aku bimbang kamu semua jemu kepadaku. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w dulu memerhatikan kami ketika memberi nasihat, kerana baginda bimbang kebosanan menguasai diri kami

SURGA, KENIKMATAN DANPENGHUNINYA
1641 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Dari Nabi s.a.w: Allah s.w.t berfirman: Aku telah sediakan untuk hambaKu yang soleh, sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata atau didengari oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Bukti kebenaran perkara itu terkandung di dalam al-Quran ayat: Yang bermaksud: Tiada seorang pun yang mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu pelbagai nikmat yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan.
1642 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Dari Rasulullah s.a.w sabdanya: Sesungguhnya di dalam Surga terdapat sebatang pokok yang akan dilalui oleh orang yang berkenderaan di bawah teduhannya selama seratus tahun.
1643 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a: Dari Rasulullah s.a.w sabdanya: Sesungguhnya di dalam Surga terdapat sebatang pokok yang akan dilalui oleh orang yang berkenderaan di bawah teduhannya selama seratus tahun tanpa melepasinya.
1644 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a: Dari Nabi s.a.w sabdanya: Sesungguhnya di dalam Surga terdapat sebatang pokok yang akan dilalui oleh penunggang kuda yang pantas selama seratus tahun tanpa melepasinya.
1645 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada penghuni Surga: Wahai penghuni Surga! Mereka menjawab: Ya Tuhan kami! Segala kebahagiaan dan kebaikan ada di tangan Mu. Dia berfirman: Adakah kamu semua telah reda? Mereka menjawab: Mengapa kami tidak reda wahai Tuhan, sedangkan Engkau telah berikan kepada kami sesuatu yang Engkau tidak berikan kepada seorang pun dari makhlukMu. Allah berfirman lagi: Mahukah kamu, Aku berikan sesuatu yang lebih baik dari itu? Mereka berkata: Wahai Tuhan! Apakah yang lebih baik dari itu? Allah berfirman: Aku haruskan kepada kamu keredaan Ku dan Aku tidak akan murka lagi kepada kamu untuk selama-lamanya.
1646 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya penghuni Surga berusaha melihat ahli Ghuraf sebagaimana mereka berusaha melihat bintang-bintang di langit.
1647 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Abu al-Qasim s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya kumpulan pertama yang akan memasuki Surga adalah umpama bulan purnama dan kumpulan berikutnya bagaikan cahaya bintang yang bergemerlapan di langit. Masing-masing mempunyai dua orang pasangan yang tulang sumsum betisnya jelas kelihatan. Di dalam Surga tiada seorang pun yang bersendirian tanpa pasangan.
1648 Diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy'ari r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya istana orang mukmin di dalam Surga dibina dari sebutir mutiara yang berongga. Panjangnya enam puluh batu dan di dalamnya ada keluarga orang mukmin tadi. Dia mengelilingi mereka tetapi masing-masing tidak dapat melihat sebahagian yang lain.
1649 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah telah menjadikan Nabi Adam setinggi enam puluh hasta. Setelah menciptakannya Allah berfirman: Pergi dan berikan salam kepada kumpulan itu. Mereka adalah sekumpulan Malaikat yang sedang duduk, maka dengarlah jawapan mereka kepadamu kerana salam itu adalah salam penghormatan untukmu dan keturunanmu. Maka Nabi Adam pergi dan mengucapkan: Mereka menjawab: Mereka menambahkan Maka rupa bentuk setiap manusia yang akan memasuki Surga adalah seperti Nabi Adam. Ketinggiannya enam puluh hasta. Setelah Nabi Adam, rupa bentuk (ketinggian) manusia terus berkurangan hingga sekarang.
1650 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Api (ini) yang dinyalakan oleh anak Adam adalah sepertujuh puluh dari kepanasan api Neraka Jahanam. Para sahabat berkata: Demi Allah, dengan kepanasan inipun sudah memadai wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Sesungguhnya kepanasan api Neraka Jahanam melebihi kepanasan api ini sebanyak enam puluh sembilan bahagian (kali ganda). Setiap satu bahagian, kepanasannya sama dengan api ini.
1651 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Neraka berdebat dengan Surga, Neraka berkata: Aku akan dimasuki oleh orang yang zalim dan takabur (sombong). Surga pula berkata: Aku akan dimasuki oleh orang yang lemah dan miskin. Maka Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada Neraka: Kamu adalah siksaan Ku. Aku akan menyiksa siapa saja yang Aku kehendaki melaluimu. Allah berfirman: Aku gunakan kamu untuk menimpakan bencana terhadap siapa saja yang Aku kehendaki. Allah berfirman pula kepada Surga: Kamu adalah rahmat Ku. Aku akan berikan rahmat Ku melalui kamu kepada siapa saja yang Aku kehendaki. Kedua-dua dari kamu Aku akan isi hingga penuh.
1652 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah bersabda: Neraka Jahanam selalu berkata: Masih adakah lagi? Sehinggalah Allah Yang Maha Tinggi meletakkan telapak kaki Nya, maka Neraka Jahanam berkata: Cukup! Cukup! Demi Keagungan Mu!. Masing-masing dihimpunkan menjadi satu bahagian.
1653 Diriwayatkan dari Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Pada Hari Kiamat kelak maut didatangkan seperti kibas belang (Abu Kuraib menambah di dalam riwayatnya: Lalu dihentikan antara Surga dan Neraka. Mereka sepakat pada baki Hadis). Kemudian diseru: Wahai penghuni Surga! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu berkata: Ya! Ini adalah maut. Kemudian diseru pula: Wahai ahli Neraka! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu menjawab: Ya! Itu adalah maut. Kemudian diperintahkan supaya maut disembelih dan menyeru: Wahai ahli Surga! Kamu tetap kekal dan tidak akan mati. Wahai ahli Neraka! Kamu juga tetap kekal dan tidak akan mati. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca ayat Yang bermaksud: Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, yaitu ketika segala perkara telah diputus dan mereka dalam kelalaian serta tidak beriman. Kemudian baginda menunjuk ke arah dunia dengan tangan.
1654 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah memasukkan ahli Surga ke dalam Surga dan ahli Neraka ke dalam Neraka, kemudian seorang penyeru yang berdiri di antara mereka akan berkata: Wahai ahli Surga! Kamu tidak akan mati. Wahai ahli Neraka! Kamu juga tidak akan mati, masing-masing kekal di tempat mereka.
1655 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Gigi geraham atau taring orang kafir adalah seperti Bukit Uhud dan ketebalan kulitnya adalah seperti perjalanan sejauh tiga hari.
1656 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Jarak antara dua bahu seorang kafir di dalam Neraka adalah seperti perjalanan selama tiga hari dengan kenderaan yang laju.
1657 Diriwayatkan dari Harithah bin Wahab r.a katanya: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Inginkah kamu aku beritahu tentang ahli Surga? Para Sahabat menjawab: Ya! Rasulullah s.a.w bersabda: Mereka semua adalah orang yang lemah dan merendah diri, seandainya mereka bersumpah kerana Allah nescaya Allah akan memperkenankannya. Kemudian baginda bersabda lagi: Inginkah kamu aku beritahu tentang ahli Neraka? Mereka menjawab: Ya! Baginda bersabda: Mereka semua adalah orang yang selalu diagung-agungkan dan bermegah-megah serta sombong.
1658 Diriwayatkan dari Abdullah bin Zam'ah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menyebut di dalam khutbah baginda tentang unta dan penyembelih unta tersebut serta membaca ayat Yang bermaksud: Ketika orang yang paling jahat di kalangan mereka menerima perintah supaya membunuh unta mukjizat. Diutuskan bersamanya seorang lelaki mulia, kuat dan gagah perkasa dalam kelompoknya seperti Abu Zam'ah. Kemudian baginda bersabda tentang wanita dan memberi nasihat mengenai mereka kemudian bersabda: Mengapa ada di kalangan kamu yang memukul isteri masing-masing.
1659 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku melihat Amru bin Luhaiy bin Qam'ah bin Khindif yaitu bapa Bani Ka'ab bergerak dengan dadanya di dalam Neraka.
1660 Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat manusia akan dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan belum berkhatan. Aku Bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah kaum lelaki dan wanita akan melihat di antara satu sama lain?. Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Urusan ketika itu lebih penting dari memandang kepada orang lain.
1661 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Dia mendengar Nabi s.a.w bersabda dalam khutbahnya: Sesungguhnya kamu akan menemui Allah dalam keadaan berjalan kaki, telanjang dan belum berkhatan.
1662 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Manusia akan dibangkitkan dalam tiga keadaan; takut, berharap dan dua, tiga, empat serta sepuluh orang di atas seekor unta. Selebihnya akan dikumpulkan di dalam Neraka pada setiap ketika di mana sahaja mereka berada samada pada waktu malam, pagi, tengah hari atau petang.
1663 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda mengenai firman Allah Yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan Semesta Alam. Baginda bersabda: Seorang dari mereka tenggelam dalam peluhnya sehingga paras telinga.
1664 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat keringat akan mengalir di atas tanah sepanjang tujuh puluh depa dan akan mencecah paras mulut atau paras telinga mereka. Saur (perawi Hadis) tidak pasti yang manakah telah disabdakan oleh Nabi, paras mulut atau telinga.
1665 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang itu mati, akan diperlihatkan tempatnya setiap pagi dan petang. Sekiranya dia di kalangan ahli Surga, akan diperlihatkan kepadanya Surga. Sekiranya dia dari kalangan ahli Neraka, akan diperlihatkan kepadanya Neraka. Diberitahu kepadanya: Inilah tempatmu sehingga kamu dibangkitkan oleh Allah pada Hari Kiamat.
1666 Diriwayatkan dari Abu Ayyub r.a katanya: Rasulullah s.a.w keluar setelah matahari terbenam lalu terdengar suara, kemudian baginda bersabda: Orang Yahudi sedang disiksa di dalam kuburnya.
1667 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Apabila seseorang hamba dikebumikan di dalam kuburnya kemudian ditinggalkan oleh kawan-kawannya nescaya dia akan mendengar bunyi hentakan tapak kasut mereka. Seterusnya dia akan didatangi oleh dua malaikat lalu mendudukkannya dan bertanya: Apa pendapatmu tentang lelaki ini yaitu Nabi Muhammad s.a.w?. Baginda bersabda lagi: Sekiranya dia seorang mukmin, nescaya dia akan menjawab: Aku bersaksi bahawa dia hamba Allah dan pesuruhNya. Lalu diberitahu kepadanya: Lihatlah tempatmu di Neraka, sesungguhnya Allah telah menggantikannya dengan Surga. Nabi s.a.w bersabda: Dia dapat melihat kedua-duanya yaitu Surga dan Neraka.
1668 Diriwayatkan dari al-Bara' bin Azib r.a katanya: Nabi s.a.w membaca firman Allah: yang bermaksud: Allah menetapkan pendirian orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh. Lalu baginda bersabda: Ayat ini diturunkan mengenai siksa kubur. Orang Mukmin ditanya: Siapakah tuhan kamu?. Dia mejawab: Allah Tuhanku dan Muhammad s.a.w Nabiku. Itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Yang bermaksud: Allah menetapkan pendirian orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.
1669 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang dihitung pada Hari Kiamat nescaya dia akan disiksa. Aku bertanya: Bukankah Allah s.w.t telah berfirman Yang bermaksud: Maka dia akan dihisab dengan mudah dan ringan?. Baginda bersabda: Itu bukannya perhitungan, itu hanyalah pembentangan kepada orang-orang yang dihitung pada Hari Kiamat dan dia akan diazab.
1670 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Allah ingin menyiksa s.
esuatu kaum nescaya azabNya akan menimpa sesiapa sahaja yang berada di kalangan mereka. Kemudian mereka akan dibangkitkan mengikut amalan yang telah mereka lakukan.

BERBAGAI FITNAH DAN TANDA-TANDA HARI KIAMAT
1671 Diriwayatkan dari Zainab binti Jahsyin r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w terjaga dari tidurnya, baginda bersabda: (Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah). Celakalah bagi bangsa Arab dari kejahatan yang telah dekat. Sesungguhnya hari ini sebahagian dari dinding Yakjuj dan Makjuj terbuka seluas ini, Sufian (perawi Hadis) mengisyarat angka sepuluh dengan menggunakan tangannya. Zainab berkata: Wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan bersama-sama kami ramai orang-orang yang soleh? Baginda bersabda: Ya, jika banyak berlaku kemaksiatan.
1672 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Hari ini dinding Yakjuj dan Makjuj terbuka seluas ini, Wuhaib (perawi Hadis ini) mengisyaratkan angka sembilan puluh dengan membuat lingkaran jari telunjuk dan ibu jarinya.
1673 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menggerak-gerakkan tangan dalam tidurnya, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah, di dalam tidur anda melakukan sesuatu yang belum pernah anda lakukan. Baginda bersabda: Menghairankan, ada segolongan manusia dari umatku yang menyerbu ke Baitullah kerana ada seorang lelaki Quraisy berlindung di Baitullah sehingga ketika mereka sampai di Baida' mereka dibenamkan (dimusnahkan). Kami berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya jalan itu telah dipenuhi oleh manusia. Baginda bersabda: Benar, di antara mereka ada yang memang bermaksud untuk menyerbu, ada yang dipaksa dan ada yang sekadar melalui tempat tersebut, tetapi mereka semuanya dibinasakan sekaligus, lalu mereka dibangkitkan dari tempat-tempat yang berlainan, Allah akan membangkitkan mereka berdasar kepada niat mereka.
1674 Diriwayatkan dari Usamah r.a katanya: Nabi s.a.w telah naik ke salah satu bangunan yang tinggi dari bangunan-bangunan di Madinah, kemudian baginda bersabda: Apakah kamu melihat apa yang aku lihat? Sesungguhnya aku melihat tempat-tempat berlakunya berbagai fitnah di sekitar rumahmu bagaikan tempat turunnya air hujan.
1675 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Akan terjadi berbagai fitnah, di mana pada ketika itu orang yang menjauhi fitnah lebih baik dari orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik dari orang yang berjalan, manakala orang yang berjalan lebih baik dari orang yang melibatkan dirinya dengan fitnah tersebut, orang yang terlibat dengan fitnah tersebut akan mengalami kehancuran. Sesiapa yang menemui tempat berlindung maka hendaklah beliau berlindung dari fitnah tersebut.
1676 Diriwayatkan dari Abi Bakrah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila dua orang Muslim bertemu dan kedua-duanya menghunuskan pedang masing-masing, maka orang yang membunuh dan orang yang dibunuh kedua-duanya akan dimasukkan ke dalam Neraka. Menurutnya lagi, aku berkata atau baginda ditanya: Wahai Rasulullah kalau orang itu membunuh maka jelaslah dosanya, akan tetapi apakah kesalahan orang yang dibunuh. Baginda bersabda: Sesungguhnya beliau juga bermaksud untuk membunuh saudaranya.
1677 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan berlaku Kiamat sehinggalah ada dua puak yang besar saling berperang antara satu sama lain, di mana berlaku pertempuran yang besar di kalangan mereka sedangkan dakwaan mereka adalah sama.
1678 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Hari Kiamat itu akan berlaku setelah banyaknya peristiwa Harj. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, apakah Harj itu? Baginda bersabda: Pembunuhan, pembunuhan.
1679 Diriwayatkan dari Huzaifah bin al-Yaman r.a katanya: Demi Allah aku merupakan orang yang paling tahu di kalangan manusia tentang semua fitnah yang akan berlaku antaraku (ketika Huzaifah mengeluarkan kata-kata) sehinggalah berlakunya Kiamat. Aku tidak tahu (tentang fitnah) melainkan Rasulullah s.a.w telah memberitahu aku sesuatu secara rahsia dan baginda tidak memberitahu perkara tersebut kepada orang lain tetapi Rasulullah s.a.w telah memberitahu (tentang fitnah) ketika Rasulullah s.a.w memberi ucapan dalam satu majlis yang aku turut menghadirinya. Maka Rasulullah s.a.w bersabda untuk memberitahu bilangan fitnah. Di antara fitnah-fitnah itu terdapat tiga perkara yang tidak memberi sebarang kesan dan di antara fitnah itu ialah fitnah-fitnah yang diibaratkan seperti angin di musim panas, ada yang kecil dan ada yang besar.
1680 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehinggalah sungai Furat kering dan mengeluarkan gunung (timbunan) emas yang menyebabkan manusia berbunuh-bunuhan. Maka seramai sembilan puluh sembilan dari seratus orang telah dibunuh dan setiap lelaki dari kalangan mereka itu akan mengharapkan kejayaan itu menjadi miliknya.
1681 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehinggalah keluar api di Negeri Hijaz yang menerangi tengkok-tengkok unta di Busyra.
1682 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda dalam keadaan baginda menghadap ke arah timur: Sesungguhnya fitnah akan muncul di sebelah sana, sesungguhnya fitnah akan muncul di sana yang mana akan muncul dua tanduk syaitan.
1683 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan berlaku Kiamat sehinggalah perempuan-perempuan tua Bani Daus memukul gendang sambil mengelilingi (untuk menyembah) Zal-Khalasah yaitu berhala yang disembah oleh Bani Daus pada zaman Jahiliyah di Tabalah.
1684 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah seorang lelaki datang ke kubur seorang lelaki lain dan berkata: Kalau boleh aku ingin berada di tempat mayat itu (mati).
1685 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Orang yang mempunyai dua betis kecil yaitu Zu Suwaiqatain dari Habsyah akan meruntuhkan Kaabah.
1686 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah keluarnya seorang lelaki dari Kaum Qahtan yang akan memerintahkan atau memandu manusia dengan tongkatnya.
1687 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah kamu memerangi satu kaum yang diibaratkan muka-muka mereka seperti perisai bagi tentera. Hari Kiamat juga tidak akan berlaku sehinggalah kamu memerangi satu kaum yang memakai kasut yang diperbuat dari rambut.
1688 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Orang yang lebih baik dariku telah memberitahu aku bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata kepada Amar ketika baginda hendak mula menggali parit serta menggosok kepalanya seraya bersabda: Kasihan Ibnu Sumayyah orang yang jahat akan membunuhmu.
1689 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Umatku dirusakkan oleh penduduk kampung ini yang terdiri dari Bani Quraisy. Para Sahabat bertanya: Apa yang akan kamu perintahkan kepada kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau boleh semua manusia hendaklah memulaukan mereka.
1690 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kisra telah mati, maka tiada lagi Kisra selepasnya. Sekiranya Qaisar musnah maka tiada lagi Qaisar selepasnya. Demi nyawaku di tangannya akan dibelanjakan khazanah mereka berdua di jalan Allah.
1691 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Kamu semua akan membunuh orang-orang Yahudi. Maka kamu semua akan membunuh mereka sehingga batu akan berkata: Wahai para muslimin! Di sini ada orang Yahudi, datanglah kemari dan bunuhlah dia.
1692 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah para muslimin memerangi orang Yahudi. Para muslimin memerangi mereka menyebabkan orang Yahudi bersembunyi di belakang batu dan pokok. Maka batu atau pokok berkata: Wahai para muslimin! Wahai hamba Allah! Ada Yahudi di belakangku. Datanglah ke sini dan bunuhlah dia melainkan pokok yang berduri, kerana pokok itu adalah di atara pokok kaum Yahudi.
1693 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah dibangkit para Dajjal pendusta yang hampir bilangan mereka tiga puluh orang. Setiap mereka mendakwa dirinya adalah Rasul (utusan) Allah.
1694 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Aku telah menemani Ibnu Soyyad ke Mekah. Dia telah berkata kepadaku: Adakah engkau tahu, aku telah menjumpai manusia yang menyangka aku adalah Dajjal. Tidakkah engkau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Dajjal tidak diperanakkan. Aku menjawab: Memang benar. Ibnu Soyyad berkata lagi: Aku telah diperanakkan. Tidakkah kamu telah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dajjal tidak memasuki Madinah dan juga Mekah. Aku menjawab: Memang benar. Ibnu Soyyad berkata lagi: Aku telah diperanakkan di Madinah sekarang ini aku ingin pergi ke Mekah. Abu Said al-Khudri berkata: Kemudian Ibnu Soyyad berkata kepadaku di akhir perbicaraannya: Demi Allah. Sesungguhnya aku merupakan orang yang paling tahu tentang kelahirannya, tempatnya dan di mana dia. Abu Said al-Khudri berkata: Dia telah menyebabkan aku kebingungan.
1695 Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan dari Muhammad bin al-Mungkadir r.a katanya: Aku telah melihat Jabir bin Abdullah telah bersumpah dengan nama Allah bahawasanya Ibnu Soyyad adalah Dajjal. Aku bertanya: Adakah kamu bersumpah dengan nama Allah? Ibnu Jabir menjawab: Aku telah mendengar Umar bersumpah sedemikian ketika bersama Nabi s.a.w dan Nabi tidak mengingkarinya.
1696 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Umar bin al-Khattab telah bertolak bersama Rasulullah s.a.w dan beberapa orang Sahabat (sekumpulan Sahabat yang tidak lebih dari sepuluh orang) ke perkampungan Ibnu Soyyad. Setibanya baginda di sana, baginda s.a.w mendapati beliau sedang bermain dengan beberapa orang kanak-kanak lelaki di tepi binaan yang tinggi kepunyaan Bani Maghalah. Ketika itu Ibnu Soyyad hampir baligh. Ibnu Soyyad tidak menyedari kedatangan Rasulullah s.a.w sehinggalah Rasulullah s.a.w menepuk belakangnya dengan tangan lalu bertanya kepada Ibnu Soyyad: Adakah engkau bersaksi bahawa aku ini Rasulullah? Ibnu Soyyad melihat kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: Aku bersaksi bahawa engkau Rasul (utusan) para Ummiyyin (tidak pandai membaca dan menulis). Ibnu Soyyad bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Adakah engkau bersaksi aku adalah utusan Allah? Rasulullah s.a.w enggan (tidak mengakuinya) lalu baginda bersabda: Aku hanya beriman dengan Allah dan para RasulNya. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Apa yang engkau nampak (tentang perkara-perkara ghaib)? Ibnu Soyyad berkata: Datang kepadaku berita benar dan berita bohong. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Engkau tidak dapat membezakan antara keduanya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Sesungguhnya aku telah menyembunyikan sesuatu darimu supaya engkau boleh memberitahuku benda tersebut. Ibnu Soyyad berkata: Dukh, yaitu sejenis asap. Lalu Rasulullah s.a.w terus memotong cakapnya dengan menyebut: Ikhsa' (yaitu perkataan mengherdik seperti bunyi menghalau anjing). Engkau tidak mampu mengetahui perkara-perkara ghaib dengan semata-mata kuasa yang ada pada engkau kerana semua itu adalah pemberian Allah. Lalu Umar bin al-Khattab berkata: Wahai Rasulullah s.a.w! Biarkan aku memenggal lehernya. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya benar dia adalah Dajjal maka engkau tidak mampu membunuhnya dan sekiranya dia bukan Dajjal maka tiada sebarang kebaikan membunuhnya. Salim bin Abdullah berkata: Aku telah mendengar Abdullah bin Umar menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersama Ubai bin Kaab al-Ansari ke sebuah kebun tamar. Di dalam kebun tamar itulah Ibnu Soyyad berada. Apabila Rasulullah s.a.w memasuki kebun itu, baginda segera bersembunyi di belakang pelepah tamar. Baginda bersembunyi supaya boleh mendengar apa yang diucapkan oleh Ibnu Soyyad tanpa dilihat (diketahui) oleh Ibnu Soyyad. Maka Rasulullah s.a.w telah melihat Ibnu Soyyad sedang mengiring di atas hamparan yang dianyam dari kapas sambil mengeluarkan suara yang tidak difahami. Tiba-tiba ibu Ibnu Soyyad ternampak Rasulullah s.a.w yang sedang bersembunyi di belakang pelepah tamar, lalu dia memberitahu Ibnu Soyyad: Wahai Sof! Sof adalah nama Ibnu Soyyad. Ini Muhammad, lalu Ibnu Soyyad bangkit. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya ibu Ibnu Soyyad membiarkannya nescaya akan nyata siapakah sebenarnya Ibnu Soyyad. Salim menceritakan bahawa Abdullah bin Umar berkata: Maka Rasulullah s.a.w berdiri ditengah-tengah orang ramai lalu memuji Allah dengan apa yang layak bagiNya, kemudian memperkatakan tentang Dajjal, sabdanya: Sesungguhnya aku memperingatkan kamu tentang Dajjal dan semua para Nabi sebelum ini memperingatkan kaumnya mengenai Dajjal. Nabi Nuh telah memperingatkan kaumnya tentang Dajjal, tetapi aku terangkan kepada kamu sesuatu yang belum pernah diterangkan oleh para Nabi sebelum ini kepada kaumnya. Ketahuilah, sesungguhnya Dajjal itu buta sebelah matanya, sedangkan Allah Maha Suci lagi Maha Luhur dan tidak buta.
1697 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tiada seorang Nabi pun yang diutuskan melainkan dia memberi peringatan (yang menakutkan) kepada umatnya tentang penipu yang buta sebelah matanya. Ketahuilah bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya dan Tuhan kamu tidak buta sebelah matanya dan ditulis di antara dua matanya (Dajjal) Kaf Fa dan Ra (Kafir).
1698 Diriwayatkan dari Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dajjal ialah orang yang buta matanya sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya serta dia mempunyai Surga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Surga dan Surganya pula ialah Neraka.
1699 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Perhatian! Aku akan menceritakan kepada kamu tentang Dajjal apa yang belum diceritakan oleh Nabi kepada kaumnya. Sesungguhnya Dajjal itu buta sebelah matanya. Dia akan datang membawa bersamanya seperti Surga dan Neraka. Surga yang didakwa oleh Dajjal itu sebenarnya adalah Neraka. Aku memperingatkan kamu (dalam masalah Dajjal) sebagaimana Nabi Nuh memperingatkan kaumnya.
1700 Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami pada satu hari, cerita yang panjang tentang Dajjal. Antara perkara yang baginda ceritakan kepada kami ialah sabdanya: Dajjal akan datang sedangkan dia tidak dapat memasuki jalan-jalan dan lereng-lereng bukit di Madinah maka dia berhenti di kawasan tanah yang masin dan gersang (tiada tumbuhan) yang terletak selepas Madinah. Maka keluar pada hari itu seorang lelaki yang paling baik atau (keraguan rawi) antara manusia yang baik lalu lelaki itu berkata kepada Dajjal: Aku bersaksi sesungguhnya engkau ini adalah Dajjal sebagaimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w dalam Hadisnya. Dajjal pun bertanya: Apa pendapat kamu sekiranya aku mematikan yang ini kemudian aku menghidupkannya semula. Adakah kamu ragu-ragu tentang masalah itu. Lelaki itu menjawab: tidak. Maka Dajjal telah membunuhnya kemudian menghidupkannya semula. Lalu lelaki itu berkata sebaik sahaja Dajjal menghidupkannya: Demi Allah. Aku lebih mengetahui tentang dirimu sekarang ini dari apa yang aku tahu kelmarin. Abu Said menyambung lagi: Dajjal ingin membunuh lelaki itu tetapi tidak berjaya.
1701 Diriwayatkan dari al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Tiada seorang pun yang bertanya kepada Nabi s.a.w tentang Dajjal lebih banyak dari apa yang aku tanya. Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah yang menyusahkan kamu. Dia tidak boleh memberi sebarang kemudaratan kepada kamu. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Mereka berkata, dia (Dajjal) mempunyai makanan dan sungai. Nabi bersabda lagi: Dia merupakan makhluk yang paling hina kerana boleh menipu para mukmin dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya.
1702 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada negara (dalam dunia) melainkan akan dipijak (dilanda) oleh Dajjal kecuali Mekah dan Madinah kerana setiap jalan dan lereng bukit dijagai oleh barisan Malaikat. Oleh itu Dajjal akan turun (berhenti) di satu kawasan bernama Sibkhah (tanah kering lagi masin) maka Madinah bergegar sebanyak tiga kali, kemudian semua para Kuffar (orang kafir) dan para Munafiq keluar dari Madinah menemui Dajjal.
1703 Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda sambil menunjukkan dengan jari selepas ibu jari (jari telunjuk) dan jari tengah: (Jarak waktu) Antara masa aku diutuskan dengan masa berlakunya Kiamat seperti ini.
1704 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Jarak masa aku diutuskan dengan berlakunya Hari Kiamat adalah seperti dua jari ini (yaitu jari telunjuk dan jari tengah).
1705 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Orang Arab Badwi telah datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Mereka bertanyakan tentang Hari Kiamat yaitu bilakah berlakunya Hari Kiamat. Maka Rasulullah s.a.w melihat kepada yang paling muda di antara orang arab kampung itu lalu bersabda: Sekiranya dia ini hidup dan belum sempat tua (mati sebelum tua), maka ketika itu berlakulah Kiamat untuk kamu. (Mengikut riwayat Kiamat juga dimaksudkan dengan mati, yaitu apabila seseorang itu mati maka telah berlaku ke atasnya Kiamat walaupun sebelum mencapai umur tua).
1706 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan dengan masa berlakunya Kiamat. Ketika itu ada seorang budak lelaki dari kaum Ansar yang dipanggil Muhammad. Maka Rasulullah s.a.w menjawab: Sekiranya budak lelaki ini hidup, boleh jadi dia tidak sempat tua (mati sebelum tua) sehinggalah berlakunya Kiamat. (Mengikut riwayat Kiamat juga dimaksudkan dengan mati, yaitu apabila seseorang itu mati maka telah berlaku ke atasnya Kiamat walaupun sebelum mencapai umur tua).
1707 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Jarak masa antara dua tiupan sangkakala ialah empat puluh. Para Sahabat bertanya: Wahai Abu Hurairah! Adakah ianya empat puluh hari? Abu Hurairah berkata: Aku tidak tahu. Para sahabat bertanya lagi: Empat puluh bulan? Abu Hurairah berkata: Aku tidak tahu. Para Sahabat bertanya: Empat puluh tahun? Abu Hurairah berkata: Aku tidak tahu. Abu Hurairah menyambung lagi. Kemudian Allah menurunkan air (hujan) dari langit maka mereka (manusia yang telah mati) dibangkitkan sebagaimana tumbuhnya sayur-sayuran. Seterusnya Abu Hurairah meriwayatkan lagi: Manusia (ketika itu) tidak mempunyai sesuatu melainkan benda (tulang belulang, kain kapan) yang buruk dan seketul tulang Ajbuzzanab, yaitu tulang (tempat tumbuh ekor pada haiwan dan dinamakan juga tulang sulbi), dengan tulang inilah manusia dibentuk (dihidupkan) pada Hari Kiamat.

SIFAT JUHUD DAN LEMBAH LEMBUT
1708 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang akan mengikuti mayat dan dua darinya akan pulang. Hanya satu sahaja yang akan bersamanya dalam kubur. Perkara tersebut ialah: Kaum kerabat, harta benda dan amalannya. Semua kaum kerabat dan harta bendanya akan pulang, manakala yang kekal bersamanya ialah amalannya.
1709 Diriwayatkan dari Umar bin Auf r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengutuskan Abu Ubaidah bin al-Jarrah ke Bahrain. Dia pergi ke Bahrain untuk mengambil jizyah ahli Bahrain kerana Rasulullah s.a.w telah membuat perjanjian dengan penduduk Bahrain. Rasulullah s.a.w telah memerintahkan al-Ala' bin al-Hadhrami untuk mengutip Jizyah dari penduduk Bahrain. (Selepas itu) Abu Ubaidah pulang dari Bahrain dengan harta Jizyah. Orang-orang Ansar telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah maka mereka (orang-orang Ansar) datang bersembahyang Subuh bersama Rasulullah s.a.w. Selesai sembahyang, Rasulullah s.a.w berpaling menghadap rombongan. Mereka menyerahkan wang kutipan jizyah kepada Baginda. Rasulullah s.a.w senyum ketika melihat ahli rombongan tersebut, kemudian Baginda bersabda: Aku kira kamu semua (Orang Ansar) telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah dari Bahrain membawa sesuatu. Mereka menjawab: Memang benar wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Maka beritahulah khabar gembira ini dan bercita-citalah apa yang mengembirakan kamu (dengan wang ini). Demi Allah. Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka. Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.
1710 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang lelaki di antara kamu telah melihat orang yang Allah berikan kepadanya harta yang banyak dan anak-anak, maka dia hendaklah melihat kepada mereka yang lebih rendah (tidak mendapat kurniaan harta yang banyak atau anak-anak) darinya.
1711 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Ada tiga orang dari Bani Israel (seorangnya) ditimpa penyakit kusta, seorangnya berpenyakit gugur rambut dan seorang lagi buta. Maka Allah telah menguji ketiga-tiganya dengan mengutus kepada mereka seorang Malaikat. Malaikat tersebut telah mendatangi orang yang berpenyakit kusta dan bertanya kepadanya Apakah yang paling engkau sukai? Orang itu menjawab: Warna yang elok serta kulit yang baik dan sembuh dari kotoran yang menyebabkan manusia memandang jejek kepadaku (penyakit kusta). Maka Malaikat tersebut menyapunya (tempat sakitnya) lalu hilanglah penyakit itu (sembuh) dan diberi warna serta kulit yang baik. Malaikat bertanya lagi: Harta apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Unta atau Lembu (syak rawi) Ishak syak samada orang berpenyakit kusta atau orang yang tiada rambut di mana seorang dari mereka menjawab unta dan seorang lagi menjawab lembu. Maka dia diberikan unta yang mengandung sepuluh bulan. Orang itu mendoakan semoga Allah memberkati perbuatannya itu. Kemudian Malaikat tersebut telah datang menemui orang yang berpenyakit gugur rambut lalu bertanya: Apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Rambut yang elok dan sembuh dari penyakit yang menyebabkan manusia memandang jejek kepadaku. Malaikat menyapunya (tempat sakit) lalu hilanglah penyakitnya dan diberikan rambut yang baik. Malaikat bertanya lagi: Harta apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Lembu. Maka dia diberikan seekor lembu yang sedang bunting. Dia mendoakan keberkatan dari Allah atas perbuatannya. Kemudian Malaikat tersebut mendatangi pula seorang yang buta lalu bertanya: Apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Aku ingin Allah mengembalikan penglihatanku semoga aku dapat melihat manusia. Malaikat menyapu matanya, maka Allah mengembalikan penglihatan kepada beliau. Malaikat itu bertanya lagi: Harta apakah yang amat engkau sukai? Dia menjawab: Kambing biri-biri maka dia diberikan seekor biri-biri yang telah melahirkan anak. Maka kedua-dua (lelaki berpenyakit kusta dan yang tiada rambut) menguruskan kelahirkan unta dan lembu begitu juga halnya dengan lelaki buta. selepas sekian lama, maka bagi lelaki yang berpenyakit kusta telah memiliki satu lembah dari unta, bagi lelaki yang berpenyakit gugur rambut telah memiliki satu lembah dari lembu dan bagi lelaki yang buta telah memiliki satu lembah dari kambing biri-biri. Nabi s.a.w menyambung lagi: Kemudian Malaikat tersebut mendatangi lelaki yang berpenyakit kusta dengan jelmaan sebagaimana keadaan lelaki itu sebelumnya dan dia mengadu kepada lelaki tersebut: Aku seorang lelaki miskin yang telah kehabisan bekalan semasa aku bermusafir. Aku tidak mempunyai tempat untuk mengadu pada hari ini melainkan kepada Allah dan kepada engkau. Aku memohon dari mu demi Yang telah memberikan kepadamu warna serta kulit yang baik dan juga harta seekor unta yang boleh membantu aku meneruskan perjalanan sepanjang musafirku. Maka lelaki itu menjawab: Aku mempunyai banyak tanggungan (menyebabkan aku tidak boleh memberikannya kepadamu). Malaikat itu berkata kepada lelaki itu: Aku rasa aku mengenalimu. Tidakkah engkau dahulunya berpenyakit kusta dan manusia memandang jejek kepadamu? (Tidakkah engkau) Seorang yang fakir lalu Allah mengurniakan kepadamu (harta)? Lelaki itu menjawab: Aku mewarisi harta ini dari warisan orang tuaku. Malaikat itu berkata: Sekiranya kamu berdusta Allah akan menjadikan keadaan kamu sebagaimana kamu sebelum ini. Kemudian Malaikat tersebut mendatangi pula orang yang berpenyakit gugur rambut seperti lelaki tadi dan bertanya seperti dia bertanya kepada lelaki berpenyakit kusta, keadaannya sama seperti yang berlaku ketika Malaikat tersebut meminta dari lelaki yang berpenyakit kusta. Malaikat berkata: Sekiranya kamu berdusta Allah akan menjadikan keadaan kamu sebagaimana kamu sebelum ini. Kemudian Malaikat itu mendatangi pula lelaki yang buta dengan jelmaan seperti seorang yang buta lalu mengadu: Aku seorang lelaki pengembara yang miskin. Aku telah kehilangan kenderaan semasa musafir, maka aku tidak mempunyai tempat untuk mengadu melainkan kepada Allah dan kepada engkau. Aku memohon darimu demi Yang telah mengembalikan penglihatanmu seekor kambing biri-biri yang boleh membantu aku meneruskan perjalananku. Lelaki itu berkata: Aku sebelum ini adalah seorang yang buta, Allah telah mengembalikan penglihatanku, oleh itu ambillah apa yang engkau mahu dan tinggal apa yang engkau tidak mahu. Demi Allah, aku tidak akan menegah dan mengungkit kembali pemberianku kepada kamu untuk mengambil apa yang engkau kehendaki kerana Allah. Malaikat berkata: Jagailah hartamu. Sesungguhnya kamu semua telah diuji oleh Allah. Allah telah meredai kamu dan membenci dua orang Sahabatmu.
1712 Diriwayatkan dari Saad r.a katanya: Demi Allah Aku merupakan lelaki pertama dari orang Arab yang memanah di jalan Allah. Sesungguhnya kami telah berperang bersama Rasulullah s.a.w. Ketika itu kami tidak mempunyai makanan untuk dimakan melainkan daun-daun Hublah dan Samuru (dua jenis tumbuhan) sehingga najis kami seperti najis kambing. Kemudian keesokannya Bani Asad mengajar aku pengetahuan agama. Kalau demikian, sesungguhnya aku telah gagal dan usahaku sia-sia. Mengikut riwayat Ibnu Numair tidak menyebut perkataan Izan (bermaksud kalau demikian).
1713 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Semenjak berpindah ke Madinah, keluarga Muhammad s.a.w tidak pernah kenyang makan gandum selama tiga malam berturut-turut sampai baginda wafat.
1714 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya kami, keluarga Muhammad s.a.w pernah selama satu bulan tidak menyalakan api melainkan hanya memakan kurma dan air.
1715 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Ketika kewafatan Rasulullah s.a.w tidak ada di tempat menyimpan barang makananku sesuatu yang boleh dimakan melainkan setengah Wusuk (timbangan) gandum dalam simpananku. Aku memakannya sehingga sekian lama, kemudian aku ingin menimbangnya ternyata ia sudah habis.
1716 Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w wafat ketika manusia hanya kenyang dengan buah tamar dan air.
1717 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Demi nyawaku di tanganNya. (Diriwayatkan dari Abu Abbad) Demi nyawa Abu Hurairah di tanganNya. Rasulullah s.a.w tidak pernah mengenyangkan keluarganya tiga hari berturut-turut dengan roti yang diperbuat dari gandum sehinggalah baginda wafat.
1718 Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada para Sahabat al-Hijr: Jangan kamu masuk ke daerah kaum yang disiksa itu (jika kamu memasuki juga ke tempat itu) nescaya kamu semua akan menangis. Sekiranya kamu semua tidak menangis maka jangan kamu masuk ke daerah mereka, sekiranya kamu masuk juga nescaya kamu juga akan ditimpa azab yang sama seperti mereka.
1719 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Orang yang berusaha untuk membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti.
1720 Diriwayatkan dari Jundub al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya.
1721 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Adakalanya seorang hamba mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat.
1722 Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang lelaki telah dihumban ke Neraka pada Hari Kiamat, terpancul keluar ususnya dan dia berputar dalam Neraka seperti seekor kaldai berputar mengelilingi pengisar gandum dalam kandang. Ahli Neraka mengerumuninya dan mereka bertanya: Hai kamu! Apa yang telah terjadi kepadamu? Bukankah kamu dahulu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menegah manusia dari melakukan perkara mungkar? Dia menjawab: Memang benar. Aku telah menyuruh orang melakukan kebaikan tetapi aku (sendiri) meninggalkannya dan aku menegah manusia dari melakukan perkara mungkar sedangkan aku melakukannya.
1723 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap umatku diampunkan dosanya kecuali yang menyatakan secara terang-terangan (telah melakukan dosa). Termasuk terang-terangan ialah seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, sehingga waktu pagi rahsianya ditutupi oleh Allah, (tetapi) waktu paginya dia berkata: Hai Si anu, semalam aku telah melakukan itu dan ini (dosa), sedangkan Allah menutup perbuatannya (dari pengetahuan manusia) sepanjang malam itu. Sepanjang malam itu Allah menutup rahsianya (perbuatan dosa), tetapi waktu pagi dia membuka apa yang telah ditutup oleh Allah.
1724 Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a katanya: Dua orang lelaki telah bersin berhampiran Nabi s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w mendoakan kepada salah seorang dari keduanya tetapi tidak mendoakan kepada lelaki yang kedua. Maka lelaki yang tidak didoakan oleh Rasulullah s.a.w berkata: Semasa dia bersin engkau doakan untuknya (tetapi) semasa aku bersin engkau tidak doakan untukku. Rasulullah s.a.w menjawab: Dia mengucapkan sedangkan engkau tidak mengucapkan.
1725 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Menguap (dengan mulut terbuka luas) merupakan gangguan dari syaitan. Apabila ada di antara kamu yang menguap maka hendaklah dia menutup mulutnya mengikut kemampuan.
1726 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada satu kelompok dari Bani Israel yang telah lenyap, tidak diketahui apakah yang dilakukan oleh mereka (menyebabkan mereka lenyap). Aku kira mereka telah menjadi tikus. Tidakkah kamu perhatikan, sekiranya kita berikan kepadanya (tikus) susu unta, dia tidak meminumnya, tetapi jika diberikan susu kambing, dia akan minum.
1727 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Seorang mukmin tidak akan disengat (ditikam) dalam satu lubang sebanyak dua kali.
1728 Diriwayatkan dari Abu Bakrah r.a katanya: Seorang lelaki telah memuji seorang lelaki di hadapan Nabi s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Celaka kamu! Kamu telah memenggal leher temanmu. Kamu telah memenggal leher temanmu. Rasulullah s.a.w mengulangi ucapan tersebut beberapa kali. Sekiranya seseorang di antara kamu mesti memuji Sahabatnya maka hendaklah dia berkata aku kira si anu itu begini-begini, Allah lah yang lebih mengetahui tentang dirinya. Aku tidak memuji sesiapa pun di hadapan Allah. Aku menghitungnya (memujinya) begitu dan begini sekiranya dia memang mengetahui hal itu.
1729 Diriwayatkan dari Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mendengar seorang lelaki sedang memuji seorang lelaki secara berlebih-lebihan, lalu Rasulullah s.a.w segera bersabda: Sesungguhnya kamu telah menghancur atau memotong belakang seorang lelaki.
1730 Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Urwah r.a katanya: Sesungguhnya ketika Abu Hurairah ingin meriwayatkan Hadis, beliau berkata: Dengarlah pemilik kamar (Saidatina Aisyah), dengarlah pemilik kamar. Ketika itu Saidatina Aisyah sedang sembahyang. Apabila Saidatina Aisyah selesai sembahyang, beliau berkata kepada Urwah: Tidakkah kamu telah mendengar ucapan orang itu sebentar tadi? Sesungguhnya Nabi s.a.w ketika menerangkan satu Hadis, sekiranya ada orang yang menghitungnya pasti baginda dapat mengetahuinya.

TAFSIR
1731 Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ketika diperintahkan kepada Bani Israel: Masuklah ke pintu gerbang kampung Nabi Musa atau pintu yang ke lapan di Baitulmuqaddis sambil sujud dan ucaplah Hittatun. Yang bermaksud: Bebaskanlah kami dari dosa, nescaya dosa-dosa kamu akan diampunkan. Tetapi mereka menukar yaitu tidak mengikut arahan tersebut. Mereka memasuki pintu secara perlahan-lahan dan mengucapkan Habbatun fi Sya'ratin. Yang bermaksud: Biji dalam rambut.
1732 Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Allah s.w.t telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w sebelum tiba hari kewafatan baginda sehingga baginda wafat. Wahyu yang paling banyak diturunkan adalah pada hari kewafatan Rasulullah s.a.w .
1733 Hadis Umar r.a: Diriwayatkan dari Torik bin Syihab r.a katanya: Orang-orang Yahudi berkata kepada Umar r.a: Kamu semuanya membaca sepotong ayat yang sekiranya ayat tersebut turun kepada kami nescaya kami akan jadikan hari tersebut sebagai satu Hari Raya. Umar segera menjawab: Aku amat mengetahui di mana ayat itu diturunkan serta bila ia diturunkan dan di mana Rasulullah s.a.w berada ketika ia diturunkan. Ayat tersebut diturunkan di Arafah. Ketika itu Rasulullah s.a.w sedang wukuf di Arafah.
1734 Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan dari Urwah bin az-Zubair katanya: Urwah bertanya kepada Saidatina Aisyah mengenai firman Allah Yang bermaksud: Sekiranya kamu tahu kamu tidak akan berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Saidatina Aisyah menjawab: Wahai anak saudaraku dia ialah anak yatim yang hidup bersama walinya (penjaga), makan dari harta walinya (penjaga). Apabila dewasa walinya (penjaga) tertarik dengan harta dan kecantikkannya dan ingin mengahwininya tanpa memenuhi maskahwin yang biasa diberikan kepada gadis lain. Oleh sebab itu, para wali (penjaga) tidak dibenarkan mengahwini anak-anak yatim melainkan mereka berlaku adil kepada anak-anak yatim dan memberikan maskahwin lebih banyak dari gadis lain dan mereka diperintah mengahwini gadis yang sesuai dengan mereka selain anak-anak yatim itu. Urwah menyambung lagi, Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Sahabat bertanya Rasulullah s.a.w tentang fatwa berhubung dengan anak-anak yatim selepas turunnya ayat ini. Allah menurunkan ayat Yang bermaksud: Mereka semua bertanya meminta fatwa tentang perempuan, beritahulah kepada mereka bahawasanya Allah memberi fatwa kepada kamu berhubung dengan masalah mereka yaitu anak-anak yatim dan apa yang telah dibaca kepada kamu dalam al-Quran mengenai masalah anak-anak yatim perempuan yang kamu tidak berikan kepada mereka harta mereka dan kamu mahu mengahwini mereka. Aisyah berkata: Firman Allah Taala Yang bermaksud: Dibacakan kepada kamu dalam kitab, merupakan ayat pertama yang disebut oleh Allah tentang perkara ini. Firman Allah Taala Yang bermaksud: Sekiranya kamu tahu tidak dapat berlaku adil terhadap anak-anak yatim maka hendaklah kamu mengahwini perempuan (lain) yang setaraf dengan kamu. Asiyah berkata lagi: Firman Allah dalam ayat yang lain Yang bermaksud: Dan kamu ingin mengahwini mereka seperti seorang yang tidak ingin mengahwini anak-anak yatim perempuan yang miskin yang tinggal bersama mereka. Oleh itu mereka ditegah mengahwini gadis-gadis yatim kerana ingin memiliki hartanya dan kecantikannya melainkan mereka berlaku adil lantaran mereka tidak ingin mengahwini gadis-gadis yatim yang miskin.
1735 Hadis Saidatina Aisyah r.a: Tentang firman Allah Yang bermaksud: Sesiapa yaitu wali (penjaga) yang menjaga anak-anak yatim yang miskin bolehlah dia makan dari harta anak yatim peliharaanya dengan baik, dengan katanya: Ayat ini diturunkan kepada wali (penjaga) harta anak yatim yang mengurus harta mereka. Mereka boleh mengambil harta tersebut sekiranya dia amat berhajat menggunakan wang tersebut.
1736 Hadis Saidatina Aisyah r.a: Ia Menerangkan firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Apabila mereka yaitu orang kafir mendatangi kamu dari sebelah atas dan bawah kamu, apabila pemandangan kamu menjadi kabur dan hari kamu bergementar kerana ketakutan, dengan katanya: Ini mengisahkan tentang peperangan Khandak.
1737 Hadis Saidatina Aisyah r.a: Tentang firman Allah Taala Yang bermaksud: Sekiranya seorang wanita takut suami membencinya atau tidak mahu melayaninya. Saidatina Aisyah r.a berkata: Ayat ini diturunkan pada masalah seorang perempuan yang telah berkahwin dengan seorang lelaki, sesudah sekian lama, suaminya ingin mencerainya, lalu wanita itu berkata: Jangan ceraikan aku dan kamu ku bebaskan dari kewajipan-kewajipan terhadapku, maka turunlah ayat ini.
1738 Hadis Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan dari Said bin Jubair r.a katanya: Ahli Kufah telah berselisih pendapat tentang ayat Yang bermaksud: Sesiapa yang membunuh seorang mukmin secara sengaja maka balasannya adalah Neraka Jahanam. Lalu aku pergi menemui Ibnu Abbas dan bertanya mengenai ayat tersebut. Ibnu Abbas memberitahu Ayat tersebut merupakan ayat yang terakhir diturunkan, oleh itu tidak ada yang menasakhkannya.
1739 Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya: Serombongan orang-orang mukmin telah menemui seorang lelaki yang sedang mengembala kambingnya, lalu mereka memberi salam dan memegangnya kemudian membunuhnya serta mereka mengambil kambing-kambingnya. Maka turunlah ayat Yang bermaksud: Jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepada kamu dengan kata-kata: Kamu bukan seorang yang beriman dan Ibnu Abbas membaca "Assalaamu".
1740 Diriwayatkan dari al-Bara' r.a katanya: Kaum al-Ansar apabila mereka menunaikan Haji kemudian mereka pulang dan (apabila sampai di rumah) mereka tidak memasuki rumah melainkan melalui pintu belakang. AL-Bara' mencerita lagi: Pada satu ketika, seorang lelaki dari kaum al-Ansar telah memasuki rumah melalui pintu hadapan, maka ada orang bertanya kepadanya tentang perbuatannya itu, lalu turunlah ayat Yang bermaksud: Tiada sebarang kebaikan mengikut sangkaan kamu memasuki rumah melalui pintu belakang.
1741 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a: Mengenai firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Itulah mereka yang mendakwa bahawa mereka mencari jalan penghubung kepada tuhannya. Siapakah di kalangan mereka yang paling dekat dengan tuhan mereka dengan katanya: Ada sekelompok jin yang telah memeluk Islam, dan sebelum ini mereka disembah oleh manusia, maka orang-orang yang menyembah itu tetap sahaja menyembah mereka yaitu jin walaupun mereka yaitu jin tersebut telah memeluk Islam.
1742 Hadis Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan dari Said bin Jubair r.a katanya: Aku telah bertanya Ibnu Abbas mengenai surah At-Taubah. Ibnu Abbas menjawab: Bahkan ianya merupakan surah al-Fadhihah yaitu surah yang menceritakan keaiban. Firman Allah: turun tidak henti-henti sehingga mereka menyangka tidak ada seorang pun di kalangan kami melainkan diceritakan rahsia dalam surah itu. Aku bertanya pula tentang surah al-Anfal. Ibnu Abbas memberitahu surah itu diturunkan sewaktu peperangan Badar. Ibnu Jubair bertanya lagi tentang surah al-Hasyr. Ibnu Abbas memberitahu bahawa surah itu diturunkan untuk menceritakan tentang Bani An-Nadhir.
1743 Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a katanya: Umar telah berkhutbah di atas mimbar Rasulullah s.a.w. Beliau mengucap syukur kepada Allah dan memujiNya, kemudian dia berkhutbah: Sesungguhnya arak telah diharamkan berikutan dengan turunnya ayat al-Quran pada hari ia diturunkan. Arak yang diharamkan diperbuat dari lima perkara yaitu gandum, barli, tamar, zabib dan madu. Arak ialah benda yang boleh menyebabkan hilang akal yaitu mabuk dan tiga benda yang suka aku peringatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada kita tentang masalah warisan yaitu orang tua dan al-Kalaalah yaitu orang yang mati tidak meninggalkan ayah dan ibu serta anak untuk menerima pusakanya dan perkara-perkara yang boleh menyebabkan berlakunya riba.
1744 Hadis Abu Zar r.a: Diriwayatkan dari Qais bin Ubad katanya: Aku telah mendengar Abu Zar r.a telah bersumpah: Sesungguhnya firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Inilah dua golongan kaum muslimin dan kafir Musyrikin yang bertengkar mengenai tuhan mereka. Diturunkan berkenaan dengan mereka yang telah berperang dalam peperangan Badar, yaitu Hamzah, Ali, Ubaidah bin al-Haris, Utbah, Syaibah bin Rabi'ah dan al-Walid bin Utbah.

Jakarta, 5 Desember 2009 M. / 18 Dzulhijjah 11430 H.
Pengutip


Abu Silmy

Sumber : CD Holy Quran – Al-Bayan